Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Sunday, November 25, 2012

Amar Farish 19

            Selepas seminggu tidak menunjukkan muka, Zahra memberanikan diri datang ke pejabat. Dia tahu dia harus kuat untuk menghadapi hari-hari yang bakal mendatang. Kini dia keseorangan. Ibu bapanya masih kecewa dengan peristiwa yang mengaibkan itu dan sejak dia diijabkabulkan dengan Farish, tidak pernah sekalipun ibu bapanya menelefonnya bertanya khabar. Dan dia sendiri tidak berani untuk menelefon ibu bapanya.

            Tapi, kalau ibu bapanya kecewa, dia seribu kali lebih kecewa. Dia menyesal kerana terpaksa menamatkan zaman bujang dengan cara seperti ini. Kalaulah dia tidak bodoh mengikut Farish malam itu, pastinya semua ini tidak akan terjadi.

            Dan Farish pula, selepas sah menjadi suaminya, sikap lelaki itu terus berubah. Kalau sebelum ini mereka akan bertengkar seperti budak kecil, tapi kali ini Farish lebih banyak mendiamkan diri. Bila berkomunikasi dengan Zahra, dia tidak lagi memandang wajah gadis itu dan nada suaranya hambar.

            “Artikel minggu lepas dah siap ke?”

            Zahra tersentak seketika melihat Ketua Pengarang yang baru dilantik menggantikan tempat Rudy, En.Arif berdiri dihadapan mejanya.

            “Err… maaf, En.Arif. Belum siap lagi. Saya cuba siapkan secepat mungkin.” Zahra membalas gugup. Terbata-bata dia memandang skrin laptop dan membelek buku nota yang mengandungi bahan artikelnya.

            En.Arif sudah tergeleng-geleng melihat Zahra.

            “Cik Zahra, macam ni ke cara seorang wartawan buat kerja?” soalnya agak sinis.

            Zahra sudah membatukan diri.

            “Artikel tu nanti nak dihantar ke editor lagi, kita tak ada banyak masa. Saya tak tahu macam mana caranya, tapi artikel tu mesti siap sebelum makan tengah hari ni.” Tegas suara En.Arif.

            Zahra mengangguk perlahan. “Baiklah… maafkan saya, En.Arif.”

            Selepas En.Arif berlalu pergi, Zahra meraup mukanya berkali-kali. Aduh, sejak berkahwin dengan Farish, prestasi kerjanya juga semakin menurun. Sebelum ini tugasnya selalu siap menepati masa.

            “Sabar jelah, Ara. En.Arif tu nak tunjuk kuasa je. Mentang-mentang baru jadi Ketua Pengarang. En.Rudy dulu takdelah garang macam ni,” ujar Jue tiba-tiba.

            Dia sendiri sebenarnya tidak puas hati dengan Ketua Pengarang yang baru ini. Pada firasatnya, mungkin En.Arif terlalu teruja baru memegang jawatan yang tinggi, habis semua orang dimarah dan dibebelnya jika terlewat sedikit.

            Zahra diam sahaja. Kata-kata Jue tidak mencuit hatinya. Jari-jemarinya terus laju menaip mengetuk papan keyboard dan cuba melupakan hal sebentar tadi.

            Dia tidak berhenti dari tadi. Kali ini dia memberi fokus seratus-peratus pada kerjanya. Ketika Jue mengajaknya makan tengah hari pun, dia menolak kerana tugasnya belum selesai.

            Selepas hampir tiga jam tidak bergerak dari hadapan komputer, barulah artikelnya siap. Zahra mengerling ke jam tangannya, waktu makan tengah hari masih ada tapi dia sudah hilang selera untuk makan. Akhirnya dia ke pantry untuk membuat Nescafe panas. Itu sahajalah makanannya untuk tengah hari itu.

            Ketika dia kembali ke mejanya semula, dia lihat Farish dan Rudy berjalan beriringan melewati mejanya. Rudy menjeling ke arah mejanya.

            “Eh Zahra, tak keluar makan ke? Minum Nescafe je?” Rudy menegur.

            Zahra tersenyum. Dia sempat mengerling ke arah Farish yang berdiri disebelah Rudy, namun lelaki itu cuma buat tak tahu dan memandang ke arah lain.

            Eleh, kalau kau tak sudi pandang aku, kau ingat aku batak sangat ke nak pandang kau? Zahra menggerutu sendiri.

            “Rasa tak nak keluar, tak rasa lapar,” ujarnya. “Err… En.Rudy dah makan?”

            “Dah, baru makan tadi dengan Farish.”

            Farish yang tidak selesa menjadi tunggul di situ terus menyampuk, “Weh Rudy, aku masuk ofis dululah. Kerja aku berlambak lagi tak siap.”

            Rudy mengangguk seraya menumbuk perlahan bahu Farish sebelum sepupunya itu berlalu pergi. Zahra sendiri buat tak tahu sahaja melihat suaminya pergi. Orang dah tak sudi, buat apa nak terhegeh-hegeh? Buat karan je!

            “Dah seminggu saya tak nampak awak datang kerja. Awak okey ke?” soal Rudy lembut.

            Zahra tersenyum. Kan bagus kalau suaminya yang bertanya soalan seperti ini.

            “Insya-Allah saya tak apa-apa. Mental saya masih di paras normal,” guraunya.

            Rudy tertawa kecil. Kedua-dua tangannya menyeluk kocek seluar.

            “Oh ya, awak pulak macam mana? Best ke jadi Pengarah Eksekutif sekarang?” Zahra menukar kata panggilan apabila berdua sahaja dengan Rudy. Rudy sendiri lebih suka ‘bersaya, awak’ berbanding berencik.

            “Alhamdulillah, okey je. Cuma kena lebih struggle bila dah masuk bahagian lembaga pengarah ni. By the way, awak dengan Farish macam mana?”

            Berubah terus muka Zahra sebaik diaju soalan tersebut. Dia menggumam bibir dan menghirup sedikit Nescafenya.

            Rudy menekup mulut dengan sebelah tangan. Baru dia tersedar dia sedang bertanya soalan yang salah, ditempat yang salah dan dimasa yang salah!

            “Maaf, saya…”

            “Tak apalah… saya dengan Farish macam tulah… nak macam mana lagi?” Zahra ketawa kecil dihujung suaranya walaupun ketawanya hanya dibuat-buat.

            “Ara, kita kawan kan?”

            Zahra agak pelik bila ditanya begitu.

            “Jadi kalau ada apa-apa masalah atau nak luahkan perasaan, saya selalu ada untuk awak. Cari aja saya bila-bila masa, insya-Allah saya akan ada untuk membantu,” ujar Rudy dengan senyumannya yang menenangkan.

            Zahra turut tersenyum. Rudy seolah-olah dapat menyelami isi hatinya. Dia mengangguk.

            “Baiklah, saya kena masuk ofis dulu. Kerjalah elok-elok. Kalau ada apa-apa, call je. Assalamualaikum…”

            Rudy menunduk sedikit tanda pamitan. Zahra senang sekali dengan cara Rudy melayannya.

            Dia ada juga terfikir. Kenapa dia mesti jatuh suka kepada Farish? Kenapa tidak Rudy saja? Rudy jauh lebih budiman, matang, sopan dan lembut tutur katanya. Kalau lelaki lain, tentu sudah digelar ‘berlagak macho’ tapi Rudy benar-benar lain. Macho yang ada dalam dirinya nampak natural, bukan dibuat-buat.

***********
 “Pernikahan Farish dengan Zahratul Jannah selamat berlangsung seminggu lepas, bos.” Key memaklumkan ketika mengambil bosnya yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur petang itu.

            Sepanjang minggu lepas Kamal tidak ada di Malaysia kerana menguruskan perniagaannya di Dubai. Dan apabila dimaklumkan oleh Key melalui telefon bahawa anaknya ditangkap khalwat, dia segera menyuruh anak buahnya itu menyiasat tentang hal tersebut.

            “Honestly, apa yang kau cakap dalam telefon hari tu masih samar-samar. Aku tak berapa faham macam mana Amar boleh kena tangkap khalwat dengan perempuan tu. Dalam bilik hotel pulak tu!” Kamal menekan dengan nada yang sedikit kesal.

            Key yang sedang memandu kereta sempat mengerling sedikit ke cermin pandang belakang memandang Kamal.

            “Sumber daripada pemilik hotel tu, memang Farish dengan Zahratul berdua je dalam bilik hotel masa diorang ditangkap. Tapi bilik tu didaftar atas nama orang lain. Tapi bila pemilik hotel cuba hubungi nombor telefon orang yang tempah bilik hotel tu, panggilan tak dijawab. Mungkin jugak dia cuma letak nombor telefon palsu.”

            Kamal tergeleng-geleng mendengar kata-kata anak buahnya. Hairan betul dia bagaimana Farish dan Zahratul Jannah boleh terperangkap sedangkan setahunya mereka berdua tidak pernah keluar berdua bersama.

            Dan yang lebih membuatnya bengang, kenapa mesti Zahratul Jannah? Tidak ada perempuan lainkah? Dia benar-benar tidak suka anaknya bergaul dengan perempuan-perempuan baik kerana hasratnya untuk menjadikan Farish sebahagian daripada ahli Geng Eagle masih belum pudar.

            “Hari tu aku ada suruh kau siasat perempuan tu, ada apa-apa maklumat?” Kamal menyoal lagi.

            “Ada bos. Beberapa hari ni saya ada ekori dia balik ke rumah. Dia tak tinggal bersama Farish. Apa sebabnya, saya tak pasti.”

            Kamal menaikkan kening mendengar jawapan Key.

            “Kenapa tak tinggal bersama? Diorang bergaduh ke?”

            “Pernikahan mereka dijalankan secara rahsia. Tiada siapa yang tahu Amar dan Zahratul dan bernikah.” Key memutar stereng membelok ke Jalan Taman Maluri.

            Kali ini Kamal mengangguk.

            “Baiklah, tentukan masa yang sesuai. Aku nak jumpa menantu aku tu secara personal. Aku bukan nak apa-apakan dia, cuma nak tahu perempuan jenis apa yang dinikahi anak aku.”

            Key mengangguk patuh. Namun dalam hati, dia seperti dapat mengagak bahawa bosnya tidak akan suka kepada Zahratul Jannah. Perempuan baik-baik bukanlah pilihan Kamal.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Monday, November 12, 2012

KhaiRizal : A Love Story 1


            “Rina!!!”

            Terkejut zebra Khai mendengar suara kuat suaminya yang memanggilnya dari halaman rumah. Haish, nak bagi aku kena heart attack ke Inspektor Gadget ni?

            Khai yang sedang menonton TV dengan mata stim terus bangun dan keluar mencari suaminya.
            “Nak apa, Inspektor Gadget? Salam mana pergi hah? Pergi ago-go kat Hawaii?” Tu dia, bila dah bengang tak ada berabang-abang dah. Panggil nama manja terus, Inspektor Gadget.

            “Haha…banyaklah. Jom ikut abang pergi sekolah Keri sekarang,”arah Rizal tidak mempedulikan bebelan isterinya.

            “Buat apa?” Khai buat muka bosan. Dia baru ingat nak tidur. Rasa mengantuk lepas basuh pinggan walaupun jam baru menunjuk pukul 10 pagi. Apa punya isteri daa…

            “Abang baru terima call kat balai tadi. Anak teruna Rina tu dah pandai sekarang. Belasah anak orang sebab perempuan.”

            Terbelalak biji mata Khai macam ternampak lembu-lembu duduk bersila sambil makan rumput bersuap.
*************
“Alah abah ni, bukan salah Keri la.” Khairizal cuba membela diri sebaik dibawa pulang ke rumah selepas mendapat izin guru tadikanya. Nasib baik kes Khairizal menumbuk rakan sekelasnya tidak dipandang serius kerana dianggap masih kanak-kanak.

            Khai buat muka selamba aja. Tadi serius sangat. Dia ingat anaknya turut lebam akibat ditumbuk. Apabila melihat anaknya baik-baik saja, dia terus lega tanpa bertanya lanjut tentang keadaan budak yang ditumbuk anaknya itu. Yang penting anaknya yang comel tak lebam, itu sahaja yang dia mahu tahu. Selebihnya pandai-pandai Rizal sendiri.

            “Apa pulak bukan salah Keri? Malu abah tau tak? Kenapa pukul anak orang? Nanti Keri masuk penjara baru padan muka!” Rizal cuba mengugut Khairizal.

            Khairizal tersengih. “Ya ke? Alah tak pe, abahkan polis. Nanti Keri boleh keluar semula, kan? Kan? Kan?”

            Rizal terdiam sendiri. Budak-budak zaman sekarang pandai betul menjawab. Sumbat kain dalam mulut kang baru tahu. Tapi dia tak adalah kejam macam tu nak sumbat mulut anak sendiri.

            “Keri terpaksalah. Budak tu kacau kawan Keri. Keri geramlah. Dia tarik tocang rambut kawan Keri sampai kawan Keri nangis. Keri tumbuklah dia biar dia serik.”

            Khai tersengih mendengar jawapan anaknya. “Aii…kemana tumpahnya kuah kalau tak ke meja kalau tak ada pinggan?”

            Rizal buat kening double-jerk. Cilok peribahasa dari mana pulak bini aku ni? Aku search google pun tak dapat, apatah lagi dalam Kamus Dewan Bahasa edisi ke seratus juta.

            “Tocang? Anak abah ni baru 6 tahun dah ada awek, ek?”

            “Kawan jelah abah, teman tapi mesra gitu.” Khairizal menjawab ibarat menjawab soalan dari wartawan Melodi. Berangan jadi artis pulak kau ya.

            “Eii…budak ni, sikit-sikit menjawab. Abah tambat kat peti ais kang baru tahu.”

            Khairizal macam biasa buat dono je. Abahnya dari dulu memang cuma tahu mengugut tapi tak pernah pun mendendanya setiap kali dia melakukan kesalahan. Ibunya pun marah kadang-kadang je. Itupun kalau rasa ada mood nak marah.

            “Keri, promise me you won’t do that again, okay?” Kali ini Rizal menyoal serius.

            “Insya-Allah kalau Keri ingat tapi Keri ni cepat lupa sikit. Hahaha…”

            Rizal mengurut kepala. Tension betul melayan kepala angin budak ni sorang. Ikut perangai ibunya di zaman kegemilangan dulu kut.

            “Sudah-sudahlah, bang. Dia dah fahamlah tu. Keri, pergi naik mandi. Lepas ni tolong ibu masak,”sampuk Khai akhirnya.

            “Apalah ibu ni, masak tu kan kerja orang perempuan. Kenapa Keri kena…” Khairizal tidak jadi menghabiskan kata-katanya bila Khai mula mengangkat tangan. Kalau Khai dah bagi tanda isyarat macam tu jangan mimpilah nak melawan. Kena cepuk kang tak boleh tidur tiga hari tiga malam.

            “Ya, mak encik. Saya menurut perintah.” Khairizal terus berlari ke tingkat atas.

            Rizal tertawa kecil.

            “Apa gelak-gelak? Sekurang-kurangnya dia lebih takutkan Rina daripada abang,” bidas Khai. Tawa Rizal seolah-olah memerlinya.

            “Yalah mak encik, saya faham.” Rizal mengajuk gaya percakapan anaknya. “Saya pergi balai dulu ya, mak encik. Ada problem call saya okey?”

            “Yalah, yalah, pergilah cepat sikit. Serabut dah Rina tengok muka abang ni!” Khai mendengus dan segera ingin berlalu ke dapur tapi lengannya pantas dicekup Rizal.

            “Betul ke serabut tengok muka abang ni?” Rizal menduga. Wajahnya didekatkan ke wajah comel Khai.

            “Eh, apa ni? Senggugut ke? Rina cepuk kang!” Wajah Khai merona merah. Dia bukannya tak suka tapi malulah…aww!

            Rizal sudah ketawa mendengar kata-kata isterinya. Dari dulu tak berubah-ubah. Perangai childish dan kasarnya sukar dikikis.

            “Abang pergi balai dulu. Tengah hari ni kalau abang tak call maknanya abang balik makan tengah hari.”

            Khai tersenyum dan mengangguk. Dia menghantar Rizal ke muka pintu. Rizal melambai-lambai isterinya dari jauh tanpa langsung pandang kehadapan. Kerana terlalu asyik pandang ke belakang…

            Buk! Rizal jatuh terduduk. Kepalanya diusap-usap menahan pedih. Kurang asam kau tiang, sejak bila kau terpacak kat sini hah? Malu aku 3 kilo.

            Khai sudah ketawa berdekah-dekah di muka pintu melihat suaminya. Langsung tak ada timbang rasa. Bukannya nak tolong.

            “Yang abang pergi langgar tiang tu kenapa? Lain kali bukaklah mata tu luas-luas. Kalau tak nampak pergi letak lidi buat tahan mata.” Adeh, hari-hari nak buat lawak sawan tenuk dengan aku. Tak larat dah aku nak gelak.

            Rizal mengibas-ngibas punggung seluar. “Tak pe…tak pe…Rina gelaklah. Hari ni hari Rina.”
            Huhu…yalah tu. Hari ni hari aku, esok pun hari aku jugak, bisik hati Khai dengan tawa yang masih bersisa.

            Terus Rizal melompat masuk ke dalam kereta. Bukan sebab marah tapi sebab malu. Ada ke patut terlanggar tiang rumah sendiri? Dah lebih 5 tahun dia membawa keluarganya tinggal di rumah arwah mama dan papa yang terletak di Taman Bayu Perdana tapi nampaknya dia belum menghafal kedudukan rumah itu sepenuhnya.
*************
Di sebuah gudang lama tempat lepak kebiasaan Ray bersama anak-anak buahnya, Ray hampir tertidur dengan mata stim sambil menghisap rokok. Kepalanya lalok kerana minum alkohol lebih 5 gelas.

            “Dapat tak?” soal Ray kepada Burn.

            “Err…sorry bos, saya dah cuba tapi sekretari dia cakap dia tengah meeting,”jawab Burn takut-takut. Bukannya apa, dengan Ray tak boleh buat main-main. Silap sikit maka tamatlah riwayat hidupnya.

            “Cuba sampai dapat. Kalau tak kau makan peluru pistol aku hari ni.”

            Kecut mendengar ugutan Ray, cepat-cepat Burn menekan punat telefon bimbit. Burn sendiri tidak faham apa yang dikejarkan Ray sebenarnya. Dia asyik disuruh menghubungi nombor telefon Ariana, Pengarah Urusan IBSYA Holdings itu padahal sudah terang lagikan nak bertorchlight Ariana tidak pernah mengangkat panggilan telefonnya.

            Ray kembali meneguk air kuning berbuih di dalam gelasnya. Gambar bekas teman wanitanya 7 tahun lalu ditatap tanpa perasaan. Ariana @ Along, sudah lama mereka tidak bersua. Kini gadis itu sudah menjawat jawatan tinggi dalam syarikat sementara Ray hanya tahu buat catwalk versi kucing jantan di ofis papanya dan menghabiskan duit.

            Wajah Rizal, bapa saudara Along pula bermain di fikirannya. Masih segar diingatannya bagaimana Rizal telah menjatuhkan air mukanya di khayalak ramai dan telah membelasahnya di pub. Ketika itu dia tidak melawan kerana usianya masih mentah dan naif.

            Kini usianya sudah 26 tahun, tiba masa untuk dia membalas segala yang telah dilakukan Rizal kepadanya sebelum ini. Dia sudah memiliki kekuatan yang tidak dimilikinya sebelum ini. Dia punya wang, pengaruh dan anak-anak buah yang sentiasa bersedia mengabdikan diri kepadanya.

            Semua orang menganggapnya tidak berguna termasuk papanya, tapi dia tidak peduli. Matlamatnya kini cuma Rizal, dia akan kembali menuntut bela di atas pengaiban yang diterimanya. Rencananya dia akan membalas dendam melalui Along, anak saudara kesayangan Rizal itu dan dia bersumpah Rizal akan menyesal seumur hidup!

            “Bos!” Suara Burn menyentaknya.

            “Papa bos call dari ofis.” Dia menyuakan telefon ke telinga Ray. Ray mengesat air hidungnya dan terus mencapai telefon tersebut.

            Burn teguk liur. Uwek! Kejap lagi kena basuh dengan Dettol telefon tu. Pengotor betullah bos aku ni. Tapi nasib baik bapak dia telefon, tak payah aku telefon ex-girlfriend dia. Jual mahal betullah perempuan sorang ni. Tapi kalau aku jadi perempuan pun aku takkan pandang jantan macam ni. Pemusnah masa depan negara. Huhuhu… Burn gelak jahat dalam hati.

            “Ada apa, pa?”

            “Atan, mana kamu pergi hah? Dah check bekalan yang nak dieksport ke Rusia? Kamu ni tak pernah nak menyenangkan kerja papa, tahu tak?” jerkah Dato’ Awang di corong telefon memaksa Ray menjauhkan sedikit telinganya dari telefon. Pecah gegendang telinga aku kang siapa nak ganti? Nak ganti dengan telinga hippopotamus?

            “Nanti Atan check lah, pa. Bagi masa sikit, okey?”

            “Hei, nak masa berapa lama lagi? Dari minggu lepas mintak tangguh. Hari-hari kamu dok buat apa? Makan, tidur, berak je? Anak tak guna!”

            Ray mengetap bibir. “Kalau Atan ni anak tak guna, papa pergi cari anak lain, okey? Daa…”

            Belum sempat Dato’ Awang membalas, cepat tangan Ray menekan punat merah di telefon. Sebab itulah dia tidak rapat dengan papanya. Setiap kali menelefon atau bertembung dengannya, papa cuma tahu marah dan menjerkah.

            Selepas mamanya meninggal dunia tahun lepas, dia keluar mencari hiburan sendiri dan kini dia telah menemui erti hiburan dalam tafsirannya sendiri iaitu buat duit atas angin. Papanya berhempas pulas di pejabat dan dia pula menikmati hasil kekayaan berjuta-juta ringgit tanpa perlu berusaha.

            “Burn, kau tolong check stok bekalan simen dan pasir yang nak dihantar ke Rusia tu. Nanti aku bagi kau bonus lebih. Aku malaslah, rasa nak pergi holidays for a few weeks. Jangan lupa sertakan stok dadah. Diorang kata nak bayar mahal kalau dapat cepat. Dah selesai semua kau call diorang, suruh diorang bank in dua juta ringgit ke akaun aku. Bukan dua juta rupiah, faham?”

            Burn mengangguk pantas. Ray menekan puntung rokoknya di atas gambar yang diletakkannya di atas meja dan terus berlalu meninggalkan Burn sendiri. Apabila Ray pergi barulah Burn memberanikan diri melihat gambar siapa yang dicucuh Ray tadi.

            Gambar seorang lelaki yang lengkap berkemeja polis tapi tidak nampak dengan jelas wajahnya kerana kertas gambar telah hangus kerana puntung rokok di bahagian muka. Siapa agaknya ek? Tak heranlah, seorang pengedar dadah yang dikehendaki macam bosnya memang menganggap polis sebagai musuh utamanya.

            Tapi kadang-kadang Burn rasa nak gelak pun ada. Yalah, nama betul bosnya Jantan bin Awang tapi minta dipanggil Ray. Pigiidahh!! Hahaha…

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Friday, November 9, 2012

Amar Farish 18

Kedatangan Dato’ Sharif dan Datin Aliah ke rumah sewa Zahra disambut baik oleh Zahra serta emak dan ayahnya yang baru tiba dari kampung.

            Selepas bersalam dengan Datin Aliah, Zahra terus ke dapur untuk membancuh air. Sejujurnya dia malu dengan kedatangan ibu bapa Farish ke sini. Tidak tahu di mana mahu disorokkan muka selepas berlakunya insiden yang memalukan itu.

            “Err… anak Dato’ dan Datin tak datang sekali ke?” soal ayah Zahra, Pak Cik Yusuf setelah memperkenalkan dirinya dan isterinya.

            “Dia…”

            “Dia masih di ofis. Banyak kerja katanya.”

            Pantas Dato’ Sharif memotong kata-kata isterinya. Sebenarnya Farish berada di villa sekarang. Kata Farish, dia masih belum bersedia untuk menebalkan muka bertemu ibu bapa Zahra kerana dia tahu ini memang salahnya kerana membawa Zahra keluar malam itu.

            “Tak usahlah panggil kami Dato’ dan Datin. Saya Sharif, ini isteri saya Aliah. Panggil nama saja kedengaran lebih akrab. Kita kan bakal besan, betul tak?” ujar Dato’ Sharif cukup ramah.

            Pak Cik Yusuf dan Mak Cik Nurul sedikit terpinga-pinga. Mereka sebenarnya sudah tahu tentang rancangan ibu bapa Farish untuk menyatukan Farish dan Zahra selepas Zahra menceritakan segalanya melalui telefon, tapi tidak sangka pula Dato’ Sharif ingin membincangkan perkara tersebut secepat ini. Tambahan pula keluarganya cuma berasal dari kampung, Dato’ Sharif tidak terfikirkah tentang pangkat dan kedudukannya?

            “Saya tahu mungkin perkara ni agak cepat tapi saya rasa eloklah kita satukan Farish dan Zahra dengan segera,” sampuk Datin Aliah.

            Zahra yang berada di dapur dapat mendengar dengan jelas butir bicara Datin Aliah itu. Hatinya menjerit tidak mahu. Untuk apa dia menikah dengan orang yang tidak mencintainya?

            “Tapi, tak rasa cepat sangat ke?” soal Mak Cik Nurul pula.

            “Nak tak nak, kita terpaksa. Kalau perkara ni dilambat-lambatkan, Farish dengan Zahra terpaksa turun naik mahkamah dan ini akan menjatuhkan imej syarikat dan suami saya,” jelas Datin Aliah cukup lembut namun tegas.

            Mak Cik Nurul memandang wajah suaminya yang pucat. Kesihatan suaminya semakin memburuk semenjak kes Zahra ditangkap khalwat. Batuknya tidak henti-henti hingga kadang-kala keluar darah daripada mulutnya.

            Ibu bapa mana yang tidak kecewa. Inikah balasan untuk mereka setelah mereka bersusah payah menyekolahkan anak tinggi-tinggi sehingga ke peringkat universiti?

            Zahra cuba menjenguk ke ruang tamu. Dia tidak berani untuk keluar dan berhadapan dengan Dato’ Sharif dan Datin Aliah. Tidak semena-mena air matanya bertakung melihat wajah pucat ayahnya.

            Ayah, maafkan Ara kerana tak mampu jadi anak yang baik. Ara dah memalukan nama baik keluarga. Dalam keadaan ayah sakit pun Ara tergamak buat ayah macam ni. Mak, ayah, ampunkan Ara… bisik hatinya pilu.

            “Terserahlah. Saya ikut aja apa yang Sharif dan Aliah fikirkan betul,” luah Pak Cik Yusuf akhirnya.

            Tidak!!! Hati Zahra menjerit. Ingin sahaja dia keluar dan membantah tapi dia tidak berdaya. Apakah dia masih mempunyai hak untuk bersuara setelah tergamak memalukan ibu bapanya sendiri?

            “Baguslah kalau begitu. Sebelum berita ni sampai ke pengetahuan orang luar, marilah kita cepat-cepat satukan mereka,” gesa Datin Aliah menerbitkan senyuman diwajahnya. Sedikitpun dia tidak menunjukkan riak tidak puas hati atau marah kerana akhirnya berbesan dengan orang kampung.

            “Tapi Dato’ dan Datin betul-betul tak kesah ke?” Mak Cik Nurul bertanya menginginkan kepastian. Dia sedikit spektikal kerana Dato’ Sharif dan Datin Aliah begitu mudah menerima orang yang tidak dikenali menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

            Atau mungkinkah dia yang cepat terpengaruh dengan filem P.Ramlee, Antara 2 Darjat dan sinetron-sinetron Indonesia di TV3?

            Dato’ Sharif tersenyum.

            “Sebab tak kesahlah kami datang sini. Kami nak berjumpa sendiri dengan ibu bapa bakal menantu kami. Kami nak datang meminang secara baik. Tapi kalau boleh, biarlah pernikahan ni dilakukan secara rahsia dulu. Biar kita-kita aja yang tahu. Nanti bila kes ni dah reda barulah kita buat majlis kahwin.” Dia menjelaskan sekaligus mengusulkan cadangan.

            Pak Cik Yusuf dan Mak Cik Nurul mengangguk sahaja. Mereka bersetuju dengan setiap cadangan yang diutarakan Dato’ Sharif sekiranya untuk dapat menjaga reputasi Media Art & Craft dan nama baik Dato’ Sharif sendiri.

            Jauh disudut hati, rasa rendah diri tetap ada. Maklumlah, mereka cuma orang kampung, apalah yang mereka tahu tentang syarikat dan kehidupan di kota. Asalkan cadangan itu tidak merugikan Zahra, mereka bersetuju tanpa bantahan.

            Dan Zahra yang sedari tadi mencuri dengar perbualan orang tuanya dari dapur  hanya mampuu menahan rasa sakit hati yang bersarang dihatinya. Betapa robek hatinya apabila ibu bapanya langsung bersetuju untuk menyatukan dia dan Farish tanpa bertanya sama ada dia bersetuju atau tidak.

************
“Aku terima nikahnya Zahratul Jannah binti Yusuf dengan mak kahwinnya RM80 tunai…”

            Masih terngiang-ngiang ditelinganya saat Farish melafazkan akad. Namun ketika itu, Zahra langsung tidak menitiskan air mata. Tidak tahu sama ada dia gembira atau sedih dengan pernikahan ini. Jelas wajahnya hanya menunjukkan pasrah saat itu.

            Majlis pernikahannya diadakan dalam suasana yang cukup sederhana. Hanya jiran-jiran terdekat, Jue, Rudy dan kedua ibu bapanya yang hadir menyaksikan upacara pernikahan tersebut.

            Perkahwinan itu dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Rakan-rakan bisnes Dato’ Sharif mahupun teman-teman Datin Aliah sendiri tidak dimaklumkan. Kata Farish, dia mahu keadaan kembali reda sebelum dia sendiri cukup bersedia untuk memberitahu umum tentang status barunya.

            “Ara kena ingat yang Ara sekarang dah jadi isteri orang. Kena dengar cakap suami. Tentang mak dan ayah kamu janganlah risau. Tahulah kami uruskan hidup kami sendiri.” Itu kata-kata pertama yang keluar dari bibir Mak Cik Nurul ketika Zahra duduk bersendirian di dalam bilik pengantin.

            Zahra tunduk. Tanpa disedari air matanya menitis. Sewaktu akad nikah tadi dia langsung tidak menangis, tapi sebaik mendengar kata-kata ibunya, air matanya terus mengalir tanpa disekat-sekat.

            “Mak, tolonglah percayakan Ara. Ara tak salah. Farish pun sama. Kami terperangkap.” Sayu suara Zahra menahan sebak.

            “Kami percaya. Kami percayakan kamu, nak. Bukan baru sehari, dua ayah dan mak jaga kamu. Tapi kita tak mampu buat apa-apa. Mungkin ini memang suratan-Nya,” keluh Pak Cik Yusuf pula, sesekali dia terbatuk.

            Zahra bertambah sebak. Dia tahu mak dan ayahnya kecewa kerana dia mengakhiri zaman bujangnya dengan cara seperti ini. Sudahlah ayahnya sering sakit-sakit sejak akhir-akhir ini, dan sekarang terpaksa bersusah payah menaiki bas ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menjadi wali pernikahannya.

            “Mak minta pada kamu, kalau kamu masih sayangkan mak dan ayah, kalau boleh buat masa ni janganlah hubungi kami.” Permintaan Mak Cik Nurul kali ini benar-benar melukakan hati Zahra.

            “Tapi kenapa mak? Ara tak salah… Ara minta maaf…”

            “Kami perlu cari ketenangan, Ara. Kami perlukan masa untuk melupakan kejadian ni. Kamu baik-baiklah tinggal di KL ni ya, nak? Mak dan ayah selalu mendoakan kebahagiaan kamu,” ujar Mak Cik Nurul lagi.

            Ya, dia memang percaya anaknya tidak bersalah. Menantunya juga sama. Cuma dia dan suaminya perlu melapangkan fikiran buat masa ini. Perkahwinan ini penting demi menutup aib keluarga. Apa yang dia mahu jawab jika jiran-jiran bertanya kenapa kenduri kahwin di kampung tidak diadakan? Biarlah perkara itu menjadi rahsia buat masa ini.

            Mak Cik Nurul tahu, kedua-dua besan dan menantu dapat menerima keluarganya walaupun taraf mereka berbeza. Sewaktu dia bersalaman dengan Datin Aliah tadi, Datin Aliah tetap memaniskan muka dan berjanji untuk menyayangi Zahra seperti anak sendiri.

            Dan sewaktu bersalam dengan Farish, menantunya itu tersenyum manis dan mencium tangannya penuh hormat. Alhamdulillah, dia mendapat menantu yang sopan dan tahu menghormati orang tua.

            “Kami balik dulu, Ara. Kami kena cepat. Bas kami untuk balik Melaka pukul 3.00 petang ni,” sampuk Pak Cik Yusuf.

            Ikutkan hati, Zahra berat untuk melepaskan ibu bapanya pergi namun dia sedar, mungkin ibu bapanya masih kecewa. Akhirnya dia tinggal bersendirian di dalam bilik pengantin itu dengan kekesalan yang tidak berpenghujung.

***********

            Selepas majlis pernikahannya tamat, Zahra duduk diruang tamu bersama Farish dan ibu bapa mentuanya. Rudy sudah pulang ke ofis semula atas permintaan ayahnya. Maklum sajalah, Rudy baru sahaja menggantikan posisi ayahnya sebagai Pengarah Eksekutif, jadi banyak perkara yang perlu dipelajarinya. Jue juga terpaksa pergi kerana mencari bahan artikel diluar.

            Zahra hanya menunduk dan tidak berani bersuara. Dia tahu siapa dirinya jika hendak dibandingkan dengan orang-orang kaya di dalam rumah ini. Dia kini berada di satu tempat yang asing. Dia tidak pernah mengenali ibu bapa mentuanya secara peribadi sebelum ini. Tiba-tiba sahaja dia disatukan dengan Farish. Segalanya berlaku dengan sekelip mata.

            “Memandangkan Zahra dah jadi menantu dalam keluarga ni, apa kata Zahra tinggal aja kat sini dengan kami?”

            Cadangan Datin Aliah itu membuat Zahra dan Farish terkejut. Masing-masing tidak berkelip memandang Datin Aliah.

            “Betul tu. Tak kira macam mana pun cara kamu berdua bernikah, Zahra tetap menantu kami.” Dato’ Sharif menyetujui kata-kata isterinya.

            Zahra melirik ke arah Farish. Suaminya itu hanya membuang pandang ke lain, seperti langsung tidak berminat dengan cadangan yang diutarakan ibunya.

            Benci sangat ke Farish ni kat aku? detik Zahra.

            “Macam mana, Rich? Kamu setuju ke?” soal Dato’ Sharif.

            Farish angkat bahu. “Buatlah apa yang mama dan papa rasa betul. Kalau dia pun nak tinggal sini, pindah jelah ke sini.”

            Jawapan Farish itu membuat Zahra kecewa. Daripada jawapannya sudah menunjukkan yang dia tidak mahu ambil peduli langsung tentang isterinya. Zahra akur. Orang dah tak mahu, kenapa perlu dipaksa? Macam dia pula yang terhegeh-hegeh mahu berkahwin dengan anak orang kaya.

            “Mama, papa, Ara hargai cadangan tu tapi buat masa ni, biarlah Ara tinggal menyewa dengan kawan Ara macam sebelum ni,” ujar Zahra perlahan.

            “Nak tinggal menyewa? Tapi Ara kan menantu kami, tinggallah disini,” pujuk Datin Aliah.

            Zahra tersenyum kelat. “Tak apalah, Ara kena biasakan diri dulu. Lagipun, Ara dengan Farish bukannya rapat pun sebelum ni. Semua yang berlaku terlalu tiba-tiba. Biarlah Ara balik tenangkan diri.”

            Datin Aliah sedikit kecewa dengan jawapan menantunya. Dia memandang Farish, meminta agar Farish bersuara tapi Farish diam sahaja.

            “Tak apalah, kalau nak balik rumah sewa tu, biar saya hantarkan nanti,” ujar Farish dengan muka tiada perasaan.

            Dato’ Sharif dan Datin Aliah hanya mampu menggeleng. Agaknya anak dan menantu mereka belum boleh mencari keserasian. Tapi kalau tak serasi, macam mana sampai boleh kena tangkap basah?

************

“Tak nak! Tak nak! Sya nak jumpa Farish. Sya nak terangkan perkara sebenar kat dia!” bentak Syazreen apabila mummynya menegahnya untuk berjumpa dengan Farish.

            Datin Zabedah memandang anaknya dengan pandangan melotot.

            “Hei, Syazreen! Si Farish tu baru je kahwin, kamu jangan cuba nak buat kecoh. Nanti tak pasal-pasal Dato’ Sharif dengan Datin Aliah serang kamu. Kamu lupa ke? Kamu yang menyebabkan si Farish tu ditangkap khalwat!”

            Syazreen terdiam mendengar jerkahan mummynya. Air matanya mula bertakung.

            “Buat masa ni keadaan masih tegang. Tunggu bila kes ni reda. Sepanjang tempoh tu, jangan sesekali keluar cari si Farish tu. Dibuatnya dia berdendam dengan kamu, macam mana?

            Heee… mummy ni dah lama geram dengan kamu, Sya. Nak kata bodoh, anak sendiri. Yang kamu sengaja ajak Farish jumpa kat hotel tu kenapa? Tengok apa dah jadi sekarang. Dengar sini baik-baik, kalau Farish atau mak ayah dia ada call, jangan sesekali jawab. Mesej diorang pun jangan balas, faham?”

            “Tapi kenapa?” Syazreen menyoal.

            “Eh, kamu ni nak mati ke? Kalau diorang cari kamu sampai ke lubang cacing macam mana? Kamu tu bernasib baik sebab diorang tak datang serang sampai ke rumah ni, tau tak? Dahlah, lupakan mereka untuk sementara,” tutur Datin Zabedah tegas dan terus keluar dari bilik anaknya.

            Syazreen yang sedari tadi menahan air matanya terus menangis semahu-mahunya sambil menekup muka ke bantal.

            Namun jika difikir-fikirkan, memang ini salahnya juga. Dia mengajak Farish berjumpa di hotel, dengan harapan Farish datang bersendirian. Dan dalam masa yang sama, dia menelefon pejabat agama dan membuat aduan ada orang berkhalwat di hotel tersebut dan memberikan nombor biliknya. Dia ingin memiliki Farish walau dengan cara apa sekalipun.
           
            Alangkah marahnya dia apabila Farish datang bersama Zahra. Habis rancangannya gagal. Dia turun sebentar untuk memanggil security guard. Dia lupa bahawa sebelum itu dia telah menelefon orang dari pejabat agama. Dan apabila Farish dan Zahra ditinggalkan berdua di dalam bilik hotelnya, mereka berdua pula yang ditangkap.

            Sebenarnya, memang dari awal lagi dia ingin menerangkan perkara sebenar kepada Farish, Dato’ Sharif dan Datin Aliah tapi mummynya berkali-kali menegah. Kata mummynya, takut Dato’ Sharif dan Datin Aliah berdendam tapi Syazreen tahu, niat mummynya lebih kepada ingin membalas dendam. Bukannya Syazreen tidak tahu, Datin Zabedah cukup benci dengan Farish sejak Farish menolak cinta Syazreen mentah-mentah.

            Maafkan I Rich, I tak mampu buat apa-apa… rintihnya. Akhirnya, dia menangis tak berlagu sebab dia tak pasang radio.

************
            Ketika hari hampir lewat petang barulah Farish menghantar Zahra pulang ke rumah sewanya. Kereta BMW Farish berhenti dihadapan rumah sewa itu.

            “Turunlah, dah sampai.”

            Zahra tersentak dari lamunan sebaik Farish menyuruhnya turun dari kereta mewah itu.

            Zahra memandang Farish, namun lelaki itu sedikit pun tidak menoleh ke arahnya. Pada tanggapan Zahra, Farish tidak dapat menerima pernikahan ini dan membencinya. Maklumlah, dia cuma perempuan kampung. Mana mungkin Farish pernah berniat mahu berkahwin dengan gadis sepertinya. Mungkin tastenya cuma gadis-gadis kaya dan seksi.

            “Baiklah, terima kasih tolong hantarkan saya, En.Farish,” ucap Zahra perlahan dan terus keluar dari kereta tersebut.

            Sebaik Zahra menutup pintu kereta, BMW Farish itu terus meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan tersebut.

            Zahra mengeluh sendiri. Pandang aku pun tak, memang dah benci tahap petala ke lapan lah tu kut…

            Zahra terus mengepit tas tangannya dan melangkah masuk ke halaman rumah sewa. Memang ketika dia ke Villa Sharif tadi, dia datang sehelai sepinggang. Yang ada di dalam dompet pun cuma sedikit wang dan kad pengenalan.

            “Assalamualaikum…” Dia mengetuk pintu rumah yang berkunci.

            Tidak sampai satu minit, pintu dibuka. Jue kelihatan terkejut Zahra berdiri dihadapan rumahnya dengan masih memakai baju kurung putih satin yang dipakai semasa akad nikah tengah hari tadi.

            “Ara, kau datang nak ambil baju-baju kau ke? Kau nak tinggal dengan Farish kat villa tu?”

            Zahra tidak menjawab pertanyaan itu. Mata Jue melilau memandang ke jalan raya.

            “Eh, mana En.Farish? Dia tak temankan kau sekali ke? Takkan kau nak angkut barang ke sana sorang-sorang?” Jue menyoal lagi.

            Kali ini Zahra tidak mampu menahan sebak. Benar, dia yang membuat keputusan untuk tinggal bersama Jue, namun kebisuan Farish telah membuktikan bahawa Farish memang tidak pernah memerlukannya sebagai seorang isteri.

            Kalau benar Farish mahukannya, kenapa Farish sedikitpun tidak mengajaknya untuk tinggal di villa itu bersamanya?

            Tanpa sepatah kata, tubuh Jue terus dirangkul dengan erat. Zahra terus menangis semahu-mahunya di bahu sahabatnya itu.

            Jue kebingungan.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Friday, November 2, 2012

Amar Farish 17

Dato’ Sharif mengurut-urut dahi. Kaca matanya dilurutkan. Villa Sharif sunyi-sepi. Tiada siapa berani berkutik. Rudy yang berdiri di satu tiang hanya mampu berpeluk tubuh. Dia tidak berani masuk campur urusan peribadi keluarga itu biarpun dia sepupu Farish.

            Farish duduk di sofa dan hanya tunduk memandang lantai manakala Datin Aliah hanya mampu mengeluh.

            “Mama dan papa dah buat keputusan…” Suara Dato’ Sharif memecah kebuntuan.

            “Kamu kena kahwin dengan budak tu!”

            Kata-kata Dato’ Sharif bagaikan dentuman yang menggegarkan seluruh sendi Farish. Dia dan Rudy hampir serentak mengangkat muka memandang Dato’ Sharif.

            Zahra… tak! Aku cintakan Zahra, mana mungkin aku sanggup tengok dia kahwin dengan orang lain! jerit hati Rudy.

            “Tolonglah papa, Farish merayu. Jangan buat Farish macam ni. Farish tak boleh kahwin dengan Zahra.” Lemah sekali suara Farish merayu pada papanya.

            Datin Aliah yang duduk disebelah Farish mengusap-usap kepala anaknya itu.

            “Rich, mama dan papa dah tak larat nak marah kamu lagi. Kalau kami marah pun tak ada guna. Terimalah keputusan kami ni. Kalau Rich tak nak kahwin dengan budak tu, Rich nak turun naik mahkamah ke? Nak malukan mama dan papa ke?”

            Farish terdiam mendengar kata-kata mamanya. Dia hanya mampu menahan sebak. Tuhan sahaja yang tahu betapa menyesalnya dia kerana membawa Zahra ke hotel itu. Kalaulah dia tidak melayan pujuk rayu Syazreen.

            Syazreen! Perempuan plastik itu sungguh pandai berlakon. Selepas mengetahui Farish dan Zahra ditangkap khalwat, dia terus melarikan diri kerana tidak mahu terlibat sama. Dia takut dituduh bersubahat. Sejak itu dia langsung tidak menunjukkan mukanya lagi kerana takut diminta oleh ibu bapa Farish untuk menerangkan hal yang sebenar di mahkamah.

            “Tapi Rich tak bersalah. Malam tu Farish cuma nak keluar makan dengan Zahra, lepas tu Syazreen telefon. Dia cakap dia ada kat hotel dan nak bunuh diri. Semuanya berlaku dengan sekelip mata aja. Tolonglah percayakan Rich.”

            Farish menelan air liur lagi. Mana mungkin dia akan berkahwin dengan Zahra sedangkan dia tahu Rudy ada hati pada gadis kampung itu. Tapi adakah dia benar-benar tidak rela?

            “Farish, papa percayakan kamu. Sejak bila papa pernah hilang kepercayaan terhadap kamu?  Tapi tanggapan mama dan papa tak sama dengan orang lain kat luar sana. Macam mana kalau rakan-rakan bisnes papa tahu tentang hal ni? Papa dah cukup kecewa Rich. Demi maruah keluarga, kahwinlah dengan perempuan tu. Itu aja jalan penyelesaiannya.”

            Kata-kata Dato’ Sharif cukup lembut, tapi tegas. Memang dia dan isterinya tidak pernah sekali pun naik marah pada Farish, biar sebesar mana pun kesalahan anak mereka itu. Farish satu-satunya anak mereka. Dialah racun, dan dia jugalah penawarnya.

            Selepas Dato’ Sharif dan Datin Aliah berlalu dari ruang tamu itu, Farish mengambil angin di taman halaman. Dia duduk di atas rumput memerhati beberapa batang pohon flamboyan yang tubuh subur di taman mini buatan mama dan Mak Mah.

            Dia sedikit tersentak apabila bahunya disentuh seseorang dari belakang. Namun dia tidak berpaling, dan dia sendiri tidak mahu tahu siapa orangnya. Masalahnya sendiri sudah cukup berat.

            “Rich, aku tahu sekarang bukan masa yang tepat untuk bertanya, tapi macam mana Ara boleh ada dengan kau malam tu?”

            Ketika itu barulah Farish menoleh. Rudy duduk mencangkung di belakangnya dengan mata kuyu. Dalam waktu-waktu begini pun Rudy masih sempat menzahirkan rasa cemburunya.

            “Dahlah Rudy, sekarang bukan masa untuk jealous. Aku dengan dia tak ada apa-apa pun. Aku cuma nak hantar dia balik sebab hari dah malam. Masa tulah Syazreen call aku, nak bunuh diri kononnya. Aku yang lurus bendul ni pun percaya jelah. Yang buat aku kecewa, kenapa Syazreen lari? Kenapa dia tak cuba back up aku? Kan dia kata dia cintakan aku.” Suara Farish bertukar berang.

            Rudy terdiam. Jauh di sudut hati, dia sangat kecewa apabila mendapat tahu Farish dan Zahra ditangkap khalwat. Itupun ibu bapanya yang memberitahu selepas mereka menyuruhnya berjanji untuk tidak menghebohkan perkara ini kepada sesiapa. Maruah mereka sekeluarga mungkin akan tercemar jika Farish dan Zahra tidak disatukan.

            “Rich, aku mengaku memang aku cemburu. Tapi memandangkan ini melibatkan reputasi dan maruah keluarga, aku nasihatkan, kahwinlah dengan Zahra!”

            “Apa kau cakap ni?” Farish seolah-olah tidak percaya apa yang dikatakan oleh Rudy.

            “Aku tahu kau tak cintakan Zahra dan aku yakin Zahra pun tak ada feeling kat kau. Tapi janganlah terlalu kejam sampai sanggup calarkan maruah keluarga sendiri. Aku tahu kau dan Zahra memang tak bersalah. Cubalah pertahankan rumah tangga kau untuk beberapa bulan dan lepas kes ni dah reda, kau boleh lepaskan dia kalau kau nak,”ujar Rudy lagi.

            Farish tersenyum sinis. Rudy, kenapa kau terlalu yakin aku memang tak ada apa-apa feeling pada Zahra?

            “Rudy… Rudy… kau ingat kahwin cerai ni benda main-main ke? Kalau aku kahwin dengan Zahra, dan lepas tu aku ceraikan dia, macam mana dengan nasib dia lepas tu? Dia akan jadi janda,”ujarnya.

            “Tentang tu kau tak payah risau. Kau tahu aku sayang dia, kan? Aku masih sudi terima dia.”

            Kali ini Farish pula terdiam. Rudy memandang jam tangannya. Hampir menunjukkan pukul 4 petang. Kalau dia terus berada di sini pun bukannya dia boleh buat apa-apa. Lebih baik dia pergi menemui Zahra. Dia tahu Zahra juga memerlukan sokongan moral buat masa sekarang.

            “Dahlah Rich, banyak-banyakkan rehat. Jangan fikir sangat. Aku balik dulu.”

*************************
Zahra masih memerap di biliknya. Dia tidak peduli dengan dunia luar. Dia sebenarnya masih belum mahu percaya apa yang dilaluinya semalam. Segalanya berlaku terlalu pantas. Dia menemani Farish masuk ke bilik hotel Syazreen, kemudian Syazreen keluar untuk memanggil pengawal supaya menghalaunya dan tidak sampai seminit pintu bilik itu diketuk. Dan kemudian… kemudian…

            Dia mengeluh. Air matanya menitik lagi. Apalah salahnya kerana menerima dugaan seberat ini? Dia hanya gadis kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan yang halal, tapi kenapa segala-galanya berakhir dengan satu insiden yang mengaibkan?

            Luluh hatinya mendengar tangisan ibunya di corong telefon sebaik dia menceritakan kejadian yang menimpanya malam tadi. Ibu dan ayahnya akan ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan ibu bapa Farish. Bagaimanalah perasaan ayahnya semasa menerima berita ini. Sudahlah kesihatan ayahnya tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

            “Ara.”

            Zahra hanya memandang dengan ekor mata melihat Jue masuk ke biliknya. Hari ini Jue mengambil cuti untuk menemaninya. Dia sendiri bukannya mengambil cuti, tapi sengaja ponteng. Dia sudah tidak peduli sekiranya dia dipecat sekalipun. Memang hidupnya sudah hancur.

            “Ara, En.Rudy ada kat luar. Dia nak jumpa kau,”beritahu Jue perlahan.

            “Suruhlah dia balik, aku nak tidur.” Semasa Zahra memejamkan matanya, air matanya menitis lagi.

            Jue kasihan melihat keadaan Zahra. Mata sahabatnya itu sudah bengkak kerana banyak menangis. Dari pagi tadi Zahra tidak keluar bilik, makan minum pun tidak.

            “Aku minta maaf, Ara. Dia berkeras nak jumpa kau. Dia cakap nak bagitahu something tentang kes tu.” Teragak-agak Jue memberitahu.

            Zahra membuka mata. Dia mengesat air matanya, memakai tudung kepala dan terus keluar dari bilik. Jue hanya mengekorinya.

            Dia lihat Rudy sedang duduk di bangku halaman rumah. Sebaik melihat Zahra muncul, Rudy terus bangun. Dia merenung Zahra penuh simpati. Wajah gadis itu tampak pucat sekali.

            Selepas Zahra mengambil tempat duduk di bangku, barulah Rudy kembali melabuhkan punggungnya.

            “Awak… awak tak apa-apa?” Dalam nada yang agak serba-salah Rudy mengajukan soalan itu.

            Zahra menggeleng perlahan.

            “Awak sabarlah ya, semua ni dugaan dari Allah. Semakin berat dugaan, bermakna Allah makin sayangkan kita.” Rudy memujuk.

            Zahra diam tanpa kata-kata. Pandangan matanya jatuh ke halaman rumah. Telinganya seolah-olah sudah tuli untuk mendengar segala kata-kata pujukan. Tangisan ibunya di corong telefon sudah cukup menyedihkan hatinya.

            Rudy mengetap gigi. Dia mati kutu apabila Zahra langsung tidak respons dengan kata-katanya. Bukan dia mengharapkan Zahra memberi jawapan panjang lebar. Cukuplah sekadar tersenyum sedikit. Tapi Zahra sekarang tampak sungguh muram seperti baru kematian suami.

            Suasana sunyi itu terganggu seketika apabila telefon bimbit Rudy berdering. Huh, kacau stim betullah. Telefon tahun depan tak boleh ke? gerutu Rudy.

            Kening ternaik sedikit apabila nombor telefon ibunya tertera di skrin. Segera panggilan itu dijawab.

            “Hello, ibu.”

            “Amboi, angkat-angkat telefon terus hello, ya? Salam mana pergi? Pergi main teng-teng belakang rumah?” perli Puan Sara.

            Rudy tersengih. “Err… sorry, bu. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.” Ambik, sekali bagi salam penuh.

            “Hmm… waalaikumussalam. Rudy, kamu cepat pergi HKL sekarang, ya? Babah tiba-tiba pengsan dekat ofis tadi. Doktor kata tekanan darah tinggi.”

            “Hah?” Ternganga luas mulut Rudy. Setahunya sudah beberapa bulan babahnya tidak diserang penyakit, kenapa tiba-tiba penyakit darah tingginya kembali menyerang?

            “Ya Allah, kenapa boleh jadi macam tu, ibu? Babah macam mana, okey ke?” Saat itu Zahra seolah-olah tidak wujud dihadapan matanya. Dia terlalu risau dengan kondisi babahnya.

            “Tak tahulah, Rudy. Mungkin stress agaknya. Datanglah cepat!” desak ibunya.

            “Err… okey, okey, Rudy datang sekarang. Tunggu ya, bu. Assalamualaikum.”

            Telefon kembali dimasukkan ke dalam kocek seluar. Ketika itu barulah Rudy tersedar Zahra ada dihadapannya saat ini. Dia merasa serba-salah. Nak tinggal Zahra, rasa tak sampai hati. Tapi ayahnya berada di hospital kerana sakit sekarang.

            “Kalau awak ada urusan, pergi jelah,” ujar Zahra tiba-tiba.

            “Huh?”

            “Awak pergi jelah. Saya okey.” Zahra meyakinkan.

            “Kalau awak okey, senyum sikit.”

            Zahra agak terkesima dengan permintaan Rudy itu. Namun dia tetap tersenyum, tanda dia baik-baik saja.

            Alhamdulillah, lapang sedikit dada Rudy melihat senyuman di bibir gadis pujaannya. Selepas itu dia terus pamit untuk ke Hospital Kuala Lumpur pula.

**************

            “Babah!”

            Serentak En.Suhaimi Seth dan Puan Sara menoleh ke muka pintu.

            “Hish, bertuah punya budak. Jangan menjerit boleh, tak? Inikan hospital!” marah Puan Sara.

            Rudy pura-pura tidak mendengar bebelan ibunya dan terus masuk ke bilik wad yang menempatkan ayahnya. Dia terus merapat ke sisi En.Suhaimi Seth.

            “Babah tak apa-apa? Macam mana boleh pengsan? Ayah tak makan pagi, ya?” Bertalu-talu soalan keluar dari mulut Rudy.

            En. Suhaimi Seth masih mampu tergelak.

            “Tak adalah, mungkin babah stress sikit dengan kerja yang berlambak kat ofis tu. Maklumlah, babah ni dah tua.”

            Rudy terdiam.

            “Itulah kamu, babah suruh kamu gantikan posisi dia sebagai ahli board of directors kamu menolak. Menggatal nak jadi Ketua Pengarang. Sekarang babah dah sakit, siapa mau jawab?” leter Puan Sara. Sudah cukup lama dia menyimpan rasa geram dengan anaknya itu.

            Rudy hanya mampu tersenyum sumbing. Mungkin benar kata ibunya. Mungkin ini memang salahnya. Sebelum ini babahnya sudah menyatakan hasrat untuk bersara dan mahu Rudy pula memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif tapi dia yang selalu berlengah-lengah. Katanya belum bersedialah, susahlah, dan bermacam-macam lagi alasan.

            “Sudahlah, Sara. Membebel pun tak guna kalau dia tak mahu,” ujar En. Suhaimi Seth lembut.

            “Rudy, macam mana dengan Farish? Babah dengar dia kena tangkap khalwat dengan wartawan dari company kita. Uncle Sharif kamu yang beritahu.”

            Rudy terkaku seketika. Dia memandang ibunya namun Puan Sara sudah mengalihkan muka. Dia tahu Puan Sara juga sangat terkejut sebaik mendapat tahu tentang berita itu. Kata Puan Sara, Farish anak yang tidak mengenang budi. Sudah dibela dari kecil, besar-besar memalukan orang tua.

            Rudy melabuhkan punggung di sisi katil ayahnya dan bersuara, “Semua ni fitnah, babah. Mereka terperangkap. Rudy tak pasti cerita yang sebenarnya, tapi Rudy pasti mereka tak bersalah. Rudy kenal siapa wartawan tu. Dia gadis yang baik.”

            “Mana kamu tahu dia baik? Kamu kenal dia lama mana?” sampuk Puan Sara.

            “Rudy tak adalah kenal dia lama pun, tapi Rudy dah tahu macam mana perangainya.” Rudy menjelaskan.

            Puan Sara mencemik. “Iyalah tu. Entah-entah dia memang sengaja perangkap Farish. Maklumlah, dengar cerita dia tu budak kampung. Memanglah dia nak mencari jalan pintas untuk hidup senang.”

            Terkejut Rudy mendengar tuduhan ibunya. Dia beristighfar dalam hati.

            “Ibu, jangan buat andaian sendiri. Kadang-kadang andaian boleh jadi fitnah. Kita tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Lagi satu, ibu pernah jumpa wartawan tu. Namanya Zahra. Rudy pernah kenalkan dia pada ibu waktu majlis makan malam tempoh hari.”

            Puan Sara angkat kening. “Zahra? Zahra mana? Entah, ibu dah lupa!”

            Rudy melepaskan keluhan. Cepat betul ibunya lupa. Padahal tempoh hari ketika majlis makan malam, ibunya sendiri memuji kecantikan dan peribadi Zahra.

            “Dahlah, kita lupakan hal ni untuk sementara. Babah macam mana? Kena tahan wad ke?” soalnya mengalih topik.

            “Babah ditahan sehari je. Doktor kata tekanan darah terlalu tinggi sebab stress.”

            Jawapan babahnya membuat Rudy semakin merasa bersalah. Bukannya sebelum ini dia tidak tahu babahnya memang ada darah tinggi. Bila babahnya mahu bersara, dia masih lagi berkeras tidak mahu menggantikan posisi babahnya dalam syarikat.

            “Babah…” Dia bersuara perlahan. “Lepas ni, babah bersaralah. Babah rehat kat rumah. Biar Rudy yang gantikan posisi babah.”

            Kata-kata Rudy agak mengejutkan. Sekelip mata sahaja keputusannya boleh berubah.

            “Kenapa tiba-tiba ubah fikiran?” tanya Puan Sara.

            “Rudy rasa sudah tiba masanya untuk Rudy lebih bertanggungjawab. Biarlah babah duduk di rumah, jaga kesihatan. Rudy tahu satu hari nanti memang Rudy tetap kena ambil alih jawatan babah. Biarlah Rudy belajar daripada sekarang.”

            Penjelasan Rudy yang panjang lebar itu menerbitkan senyuman di bibir kedua-dua orang tuanya. Semakin lama, semakin lebar.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)