Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Thursday, August 28, 2014

Kutemui Cinta 3

MALAM masih muda. Baru kira-kira tiga jam tadi matahari terbaring di peraduan untuk membenarkan alam dibungkus kegelapan. Namun suasana Kuala Lumpur terus hidup dan rancak dengan alunan muzik di merata-rata.

            Hafiz keluar makan bersama rakan-rakannya di Kafe King Pie di pusat beli-belah, Pavilion Kuala Lumpur. Kafe itu telah menjadi kafe kegemaran mereka sejak lama dulu kerana selain terdapat 16 jenis pai yang berbeza, harganya pula murah dan yang paling penting,rasanya enak.

            “Fiz, best tak sebilik dengan Adam?,”tanya Amir sambil menyuapkan pai ayam cendawan ke dalam mulutnya.

            “Kalau kau nak aku menipu, aku akan jawab ya,” selar Hafiz selamba.

            “Aku tahu dia tu teruk,” balas Amir. “Pertama kali aku kenal dia pun, aku dah rasa cukup menyampah!”

            “Kau dah tengok sendiri perangai dia tu. Perangai macam jembalang tanah. Siapa boleh tahan?” kecam Hafiz pula.

            “Setakat ni apa yang dia dah buat pada kau?”

            “Dia suka mengarah aku macam-macam. Konon-konon dialah ketua bilik tu dan jugak suka kutuk aku sebab aku anak nelayan. Mentang-mentanglah aku ni miskin!”

            Azhar terus tersedak mendengar kata-kata Hafiz.
            “Apa? Kau cakap kat mamat tu kau anak nelayan?”
            Hafiz mengangguk.
            “Apasal kau cakap macam tu?”

            “Aku nak biar dulu. Aku nak tengok sampai setakat mana berlagaknya mamat tu. Apa dia ingat dia anak Dato’, besar sangat ke?”

            Hafiz meluahkan segala ketidakpuasan hatinya. Dia sebenarnya tidak pernah berniat untuk bermusuh dengan sesiapa tapi Adam sendiri mengaku memusuhinya. Kalau itu sudah tanggapan Adam terhadapnya, apa lagi boleh buat? Sepanjang menginap sebilik dengan Adam selama lebih dua minggu, dia cukup bersabar.

            “Sampai bila kau nak macam ni dengan dia? Kau orang duduk sebilik. Susahlah kalau tak bersefahaman," ujar Amir menggeleng-gelengkan kepala.

            Hafiz tersenyum hambar. “Bukan aku yang nakkan permusuhan ni...”

            “Kenapa kau tak tanya dia?
            “Tanya apa?”
            “Kenapa dia tak suka kau?”

            “Entahlah, aku malas nak fikir. Hei korang tau tak? Si Adam tu ada satu tabiat buruk. Dia ni sebenarnya kuat hisap rokok. Kau orang pun tahukan aku ni jenis tak tahan bau asap rokok. Setiap kali dia merokok dalam bilik tu,seksa aku nak bernafas.Pernah jugaklah aku suruh dia hisap kat lain tapi dia buat don’t know je. Aku pun malaslah nak bising-bising.” Hafiz galak bercerita dan terus menyedut teh ais limaunya.

            Memang Adam seorang yang kuat merokok. Dia pula jenis yang alergi dengan asap rokok. Jadi setiap kali Adam mahu merokok, dialah yang terpaksa mengalah keluar dari bilik itu sehingga urusan Adam selesai. Memanglah merokok di dalam kawasan asrama adalah dilarang sama sekali. Kalau diikutkan dia boleh melaporkan perbuatan Adam itu ke pihak universiti tapi dia tidak mahu menambahkan kebencian Adam terhadapnya. Malas nak bergaduh.

            “Fiz, aku dah tahu siapa yang kau tengok hari tu."

Suara Amir mengembalikan Hafiz ke dunia nyata.

            “Siapa?” Hafiz mengelip-ngelipkan mata, bingung.

            “Hari tu masa hari pendaftaran, aku nampak kau asyik aja renung someone. Waktu tu, aku cuma pura-pura tak tahu tapi lepas hari tu, aku dengan si Zhar ni pergi siasat latar belakang maklumat dia,” beritahu Amir tersenyum.

            “Oh ya? Dan siapa ‘dia’ yang kau maksudkan tu?”soal Hafiz sinis, sedikit ragu-ragu.

            “Nurul Nadya Binti Asnawi, jurusan Perundangan. Dia muda setahun daripada kau. Dia sama macam kau, tahun pertama dan sedang buat program ijazah. Result STPM dia cemerlang woo... kau sendiri takkan percaya kalau kau tengok. Pointer dia dekat-dekat empat, tapi kalau dibundarkan jadi empat jugak. Tak hairanlah kalau kau suka kat dia sebab dia memang cun.”

            Wajah Hafiz merona kemerahan. Tidak menyangka dia sampai sejauh itu Amir berusaha menyiasat latar-belakang gadis bernama Nadya itu.

            “Lagi satu, ayah dia cuma pesara askar. Tapi cuma untuk pengetahuan, mak ayah dia sebenarnya dah bercerai. Sekarang dia tinggal dengan ayah dia. Boleh dikatakan, hidup dia taklah sesenang kita ni,” sampuk Azhar pula. Dia mengenyit matanya apabila melihat Hafiz sudah tidak berkelip memandangnya.

            “Aku rasa, kalaulah kau tak syok kat dia, dah lama aku sapu dia. Tapi kau tahu jelah aku tak suka potong jalan kawan,” kata Amir dengan riak wajah tak bersalahnya kerana terlalu jujur membuat pengakuan.

            Hafiz terdiam tanpa kata. Sangkanya Amir cuma main-main atau tersalah orang tapi rupa-rupanya Amir memang serius dan tidak salah orang. Gadis yang ditemuinya dua minggu lepas memang Nurul Nadya Binti Asnawi.

            Memang sejak pertama kali bertemu dengan gadis itu, dia selalu tidak senang duduk. Wajah Nadya sentiasa datang menerpa. Dia sentiasa tidak lena tidur. Atau adakah dia sebenarnya telah jatuh cinta? Ah! Takkanlah semudah tu.

            “Kitorang boleh tolong kalau kau nak.” Azhar menawarkan bantuannya sambil tersengih nakal.

            “Tolong apa?”Hafiz masih lagi buat-buat tak faham.

            “Pleaselah, Fiz. Kitorang tahu kau sebenarnya suka kat dia,betul tak?”

            Hafiz menundukkan sedikit wajahnya yang terasa berbahang.

            “Jadi sebagai kawan yang baik, aku rasa kitorang patut tolong kau untuk tackle awek tu. Itu pun kalau kau naklah. Tapi kalau kau tak nak, baik kasi kat aku aje,” ujar Amir seraya menjongket bahu.

            Hafiz cuma diam lantas tersenyum. Namun rakan-rakannya itu dapat mengagak dia memberi jawapan yang positif.

*********************************

ADAM melangkah ke sebuah pub di Subang Jaya ketika muzik rancak sedang bergema. Asap rokok dan bau minuman keras terasa mencucuk hidung.

            Air pahit, masam dan payau yang membakar tekak itu sudah beberapa kali diteguknya. Tiba-tiba dia meneguk air itu kembali.

            “Adam, kalau you mau minum, you order saja. You punya pasal semua free!” kata pelayan yang menyambut kedatangannya tadi. Dia memang sudah lama kenal dengan pelayan itu, Amy namanya. Adam adalah pelanggan tetap di situ dan dia mengunjunginya sejak dia berumur 15 tahun hinggalah sekarang.

            Adam menyedut asap rokoknya dalam-dalam. Orang kata rokok membahayakan kesihatan, tetapi dia menghisap rokok sejak berumur 14 tahun lagi. Dia sihat tanpa ada sakit itu dan sakit ini. Lagi pula,memang tiada siapa pun yang tahu selama ini dia merokok dan minum minuman keras kecuali Yasmin, teman wanitanya. Hafiz juga sudah tahu dia merokok tapi Hafiz tidak tahu dia minum minuman keras. Tapi bagaimana dengan perasaan Yusof dan papa kalau mereka tahu apa yang dilakukannya ini?

            Ahh…boleh pergi mampus dengan perasaan! Aku tak perlu ada perasaan segala. Kerana terlalu berperasaanlah aku jadi begini. Perasaan kasih, perasaan belas dan perasaan tanggungjawab. Aku tak perlu ada perasaan-perasaan bodoh itu! Manusia yang berperasaan sering terjerat dengan perasaan sendiri.

            Otaknya semakin berserabut, bergumpal-gumpal dan kusut. Kepalanya seperti dicucuk-cucuk dengan duri tajam.

            Mama… Adam ada di sini. Maafkan Adam sebab mungkir janji. Adam tak nak mama lihat penderitaan ini. Dan Adam harap mama akan bahagia di atas sana,bisik ada pada tiga biji gelas yang telah kosong dan diletaknya rapat-rapat seolah-olah gelas-gelas itu adalah arwah mamanya.

            Dia ingat lagi janjinya kepada mama saat mama nazak di atas katil kerana menderita barah usus. Ketika itu dia dan Yusof baru berumur 10 tahun dan masih belum mengerti apa-apa. Mama menyuruh mereka berjanji agar tidak meninggalkan solat dan segera belajar mengaji agar dapat mengaji untuknya apabila dia sudah tiada nanti.

            Dan selepas mama meninggal dunia, Adam semakin lupa akan janji itu. Dia merasakan bahawa Tuhan tidak adil kepadanya. Kenapa mamanya yang diambil? Kenapa bukan mama orang lain? Dia terasa ingin meraung dan menjerit hingga pecah tenggoroknya sewaktu melihat sekujur tubuh mama yang sudah kaku,tapi untuk apa? Kalau dia menangis air mata darah sekalipun,mama tidak akan kembali semula ke dunia.

            Yusof? Dia masih lagi berpegang pada janjinya. Selepas kematian mama, Yusof semakin rajin solat dan berdoa untuk mama walaupun tidak mengaji kerana mereka berdua sama-sama tidak pandai mengaji Al-Quran. Belum pernah sekalipun Yusof mengabaikan solat, malahan sepanjang hidup selama lebih 21 tahun, sepuntung rokok pun tak pernah disentuhnya.

            Ah! Betapa bodohnya Yusof. Yusof tidak tahu erti keseronokan yang sebenar. Bagi Adam, menghisap rokok dan meneguk air kencing syaitan inilah erti keseronokan yang sebenar.

            Adam melambai-lambai ke arah Amy. Segelas lagi air kuning terhidang di hadapannya. Air kuning itu diteguk lalu merodok-rodok tekak, kemudian berenang ke otak dan dia merasa lapang sekali. Semakin banyak dia meneguk air itu semakin lega otaknya. Segala masalahnya bagaikan hilang sekelip mata. Air kuning itu umpama ubat, pahit tapi semakin lama semakin enak-elok untuk otak yang tidak sihat, macam otaknya.

            Empat gelas kosong tersusun di atas meja.Satu gelas yang masih penuh berisi air kuning yang baru saja dihidang oleh Amy dihantar ke bibir. Gelas di tepi bibir menunggu masa sahaja untuk diteguk.

            “Sudahlah, kau dah banyak minum ni!” kata satu suara. Gelas di tangan Adam disambarnya lalu diletakkan di atas meja.

            “Jangan campur urusan aku. Hidup aku, aku punya sukalah!” Adam berang dan cuba menyambar gelas yang masih penuh dengan air kuning itu.

            “Hei Adam, ikut aku balik!” tekan suara itu lagi.
            “Aku kata tak nak, tak naklah!”

            Tiba-tiba pipinya ditampar dengan kuat. Namun Adam bukannya marah,malahan ketawa dengan kuat.

            “Kau dah mabuk, Adam.Mari balik!” kata suara itu lagi lalu menarik tangan Adam menuju ke kereta.

            Adam menyentap kasar tangannya dari cengkaman itu. Kemudian dia mendongak memandang wajah manusia yang terlalu sibuk dengan urusan hidupnya itu. Lama dia merenung. Matanya buntang tatkala melihat wajah manusia itu. Dia nampak dirinya sendiri. Seketika kemudian,dia rebah dan dia tidak ingat apa-apa lagi selepas itu.

*******************************

ADAM tidak tahu dia berada di mana kini.Dia berada di tempat yang begitu asing. Tempat itu sangat gelap dan berbau busuk.

            Aku kat mana ni? Dia bertanya kepada dirinya sendiri.Tangannya menekup hidung.

            Dia merasa tanah yang dipijaknya bergerak-gerak. Tiba-tiba dia disambar api menjulang yang keluar dari rekahan tanah yang dipijaknya itu.

            “Aduh, sakitnya!” Adam cuba lari dari situ namun api itu seakan mengejarnya.Kakinya yang sudah melecur itu tidak dipedulikan.

            Kini dari kaki sampai ke atas pinggang, kulitnya sudah melecur dengan teruk. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Dia cuba lari tapi kakinya sudah lemah. Akhirnya dia jatuh terjelepok di atas tanah yang berbara.Separuh daripada kulit mukanya terbakar. Dia menjerit kesakitan sekuat-kuat hati namun tiada siapa yang datang untuk membantu. Dia hanya bersendirian saat ini.

            Adam tidak tahu bagaimana dia boleh terdampar ke tempat yang begitu asing ini. Dia menangis memanggil papa dan mama namun sia-sia sahaja kerana dia memang benar-benar bersendirian kini.

            Beberapa minit kemudian tiada lagi api yang menjulang. Tanah juga. kembali bercantum. Dan Adam sangat terkejut apabila semua kulitnya yang sudah melecur kembali pulih.Perlahan-lahan dia cuba bangun dan melihat ke sekeliling.

            “Ya Allah, dimana aku sebenarnya?”

            Tidak lama selepas itu muncul sebongkah batu besar dari rekahan tanah. Hati Adam berdebar-debar. Bahana apakah ini?

            Seperti ada satu kuasa yang mengawal tubuhnya, tiba-tiba dia memegang kepalanya sendiri.Adam tidak mampu mengawal tubuhnya. Lebih mengejutkan dia dengan sendirinya menghantukkan kepalanya ke bongkah batu itu.

            Kepalanya mengalir darah merah. Kepalanya terasa sangat sakit tapi entah kenapa dia terus menghantukkan kepalanya ke batu itu. Seperti ada sesuatu yang mengawal tubuhnya dan dia tidak mampu menghalang dirinya sendiri.

            Adam tenat. Dia lemah tidak mampu berkata apa-apa. Terasa kepalanya seperti sudah hancur. Dia meraba-raba kepalanya. Terkejut dia apabila dia merasa kepalanya sudah kosong. Tengkoraknya sudah hancur. Lebih mengejutkan lagi apabila dia melihat otaknya sudah terjatuh ke tanah.

            Tidak lama selepas itu keadaan kepalanya kembali seperti sedia kala. Tengkorak dan otaknya kembali bersatu. Namun tidak lama kerana selepas itu sekali lagi dia menghantuk-hantuk kepalanya ke bongkah batu tersebut hingga kepalanya pecah.

            Adam menanggung satu kesakitan yang amat sangat tika ini. Kalau boleh dia mahu membunuh diri agar dia terlepas dari penderitaan ini tapi untuk apa? Mungkin seksaannya akan menjadi lebih berat dari ini.

            “Arrrgghh!!!! Yusof… Azriel… tolong aku!” rintih Adam yang semakin lemah.

            “Adam, bangun! Bangun, Adam!” Tiba-tiba dari jauh dia mendengar suara sayup-sayup. Macam suara Yusof.

            “Suf, tolong aku! Tolong aku!” jerit Adam sekuat hati.

            “Yusof!!!”

            Terus Adam membuka matanya. Dia memandang ke sekeliling untuk seketika tetapi seperti ada sebakul batu terbeban di atas kepalanya. Terlalu berat. Sedaya upaya dia cuba membuka mata dan mengangkat kepalanya,tetapi gagal dan dia rebah semula.

            Dia nampak dua susuk tubuh secara samar-samar.Penglihatannya masih kabur.

            “Baru bangun?” soal salah seorang daripada dua susuk tubuh itu.

            Adam mengurut-urut kepalanya. Seketika kemudian barulah dia dapat melihat siapa yang bertanya tadi.

            “Azriel? Yusof?” Adam kaget. Entah-entah mereka berdua yang membawanya pulang semalam. Itu ertinya, mereka sudah tahu dia ke pub, merokok dan minum minuman keras semalam!

            “Minum ni. Kau akan rasa lebih lega lepas ni.” Azriel menghulurkan secawan kopi panas kepada Adam.Adam mengambilnya tanpa mengucapkan terima kasih.

            Aduh, nasib baik mimpi, bisik Adam dalam hati. Nasib baik dia bukannya betul-betul ada di tempat gersang yang mengerikan itu.

            Dia menghirup kopi panas itu perlahan-lahan. Sedikit demi sedikit sakit kepalanya berkurangan. Matanya meliar melihat ke setiap sudut bilik asrama itu.

            “Kau ada dalam bilik kitorang,” ujar Yusof seakan tahu apa yang bermain difikiran adiknya.

 “Kalaulah Hafiz tahu kau mabuk semalam, mesti dia beritahu pihak universiti pasal hal ni. Nasib baik kitorang tak hantar kau ke bilik asrama kau semalam!”       

Adam terdiam. Walaupun Yusof dan Azriel sudah tahu bahawa dia merokok dan mabuk semalam, mereka tidak terus marah-marah. Wajah mereka tetap tenang. Mungkin mereka menunggu sendiri penjelasan darinya dan tidak mahu memaksa. Kadang-kadang dia merasa bertuah kerana mendapat seorang abang dan rakan yang bertimbang rasa seperti Yusof dan Azriel.

            “Kau pernah tak terfikir akibat daripada perbuatan kau ni? Kalau pihak universiti tahu, aku tak heran sangat tapi macam mana kalau papa tahu?” soal Yusof memecah kebisuan.

            Adam menyepi. Dia tahu apa maksud pertanyaan Yusof. Papa mereka, Dato’ Husin sendiri pernah memberi amaran. Kalau dia tahu salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya merokok, dia tidak akan membenarkan mereka mengambil alih syarikat apabila masing-masing sudah menggenggam ijazah nanti. Dan yang lebih teruk, duit poket mereka juga akan disekat. Kalau hanya merokok pun papa mereka sudah membuat keputusan setegas itu, apatah lagi kalau dia mendapat tahu ada antara anak-anaknya yang sudah mulai berani meneguk sirap alkohol!

            “Kau tahu tak, Adam? Minum arak tu hukumnya berdosa besar!” tekan Azriel pula.

            “Suf, Riel, aku minta maaf!”

            “Buat apa nak minta maaf dengan kitorang? Sebab dah kantoi? Minta maaf ajalah dengan Allah,” sindir Yusof selamba, tapi penuh bermakna.

            Adam sempat menjeling dengan matanya yang masih merah.

            “Kitorang boleh simpan rahsia kau ni,” ujar Yusof lagi. “Tapi dengan syarat aku tak nak kau ke tempat-tempat maksiat macam tu lagi. Kalau kau langgar juga arahan aku ni dan papa dapat tahu, aku tak nak berbohong untuk kau lagi. Jangan suruh aku back-up kau, faham?”

            Adam sekadar mengangguk. Dia berjanji hanya untuk menyelamatkan dirinya tapi dia tidak boleh menjamin dia tidak akan ke pub lagi kerana itu adalah favourite portnya!

            Namun tiba-tiba dia teringatkan mimpinya yang mengerikan tadi. Sebenarnya sudah banyak kali dia didatangi mimpi seperti itu. Mimpi yang sama berulang-ulang kali namun dia tidak dapat mengagak apa maksud di sebalik mimpinya itu.

**********************************
ADAM begitu keletihan. Dia pulang ke bilik asramanya dalam keadaan tidak bermaya dengan kepala yang masih terasa berat. Ketika melangkah masuk ke biliknya, dia lihat Hafiz sedang duduk di atas katil sambil menghadap laptop.

            Dia tidak mempedulikan Hafiz dan terus ke almari pakaian untuk mengambil tuala.

            “Kau tidur kat mana malam tadi?” Hafiz menyoal dengan mata yang masih memandang skrin laptop.

            “Jangan sibuklah!” Seperti biasa Adam menjawab kasar setiap pertanyaan Hafiz. Dia ingin segera keluar namun langkahnya terhenti di muka pintu apabila Hafiz memanggil namanya.

            “Aku tanya ni. Kau tidur kat mana malam tadi?”

            Adam tersentak. Belum pernah ada seorang pun yang berani mempersoalkan dirinya kecuali papa, Yusof dan Azriel. Tapi Hafiz... lelaki ini memang berani. Dia patut lebih berhati-hati dengan lelaki miskin ini.

            “Aku tanya kau untuk kali yang terakhir. Kau tidur kat mana malam tadi?” Nada suara Hafiz kedengaran semakin tinggi. Adam hairan kenapa Hafiz begitu sibuk mencampuri urusan peribadinya sedangkan dia sendiri pun jenis yang tidak suka mencampuri urusan peribadi orang lain.

            “Kau ni apahal? Pernah ke aku sibuk kau nak balik ke tak sebelum ni?”soal Adam pula. 

            “Hei, kau ingat aku nak sangat ke ambil tahu hal kau? Daripada aku sibuk busybody pasal kau, aku buat tahi mata lagi bagus tau tak? Aku tanya cuma sebab kau roomate aku. Takut-takut nanti kalau ketua dorm tanya kau pergi mana, senang aku nak jawab,” bidas Hafiz. Dia sudah bosan melayan Adam dengan baik selama ini sedangkan Adam sendiri pun tidak pernah mahu berbaik dengannya. Cukuplah setakat ini dia berhipokrit!

            “Cakap ajalah aku tidur kat rumah bapak aku!” Laju saja ayat itu keluar dari mulut Adam. Sekadar untuk melepaskan dirinya.

            “Betul kau tidur rumah bapak kau semalam?”
            Pantas Adam mengangguk.
            Hafiz turut mengangguk, tanda dia dapat menerima alasan Adam.

            Adam terus berlalu ke bilik air sambil mencebik. Dia tidak faham kenapa Hafiz terlalu sibuk mahu tahu hal peribadinya. Kenapa dia ditakdirkan bertemu dengan Hafiz, lelaki miskin kaki sibuk?

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Saturday, August 23, 2014

Zikir Cinta 25

DANIEL tersenyum sendiri melihat pemandangan Bandaraya Canberra yang terbentang luas di bawah. Bandaraya yang sungguh segar, harmoni dengan alam. Kata ibu, warna daun dapat membangkitkan perasaan tenang dalam jiwa.

            Tidak tahulah kata-kata ibu boleh dipraktikkan oleh orang lain atau tidak. Tapi baginya, kata-kata ibu itu ada benarnya juga. Melihat Bandaraya Canberra yang didominasi warna hijau, warna daun, hati dan jiwanya sungguh tenang di kala ini.

            Selepas ini dia akan pergi meninggalkan Canberra, bumi New South Wales. Tiada lagi alasan untuk dia berada di sini. Pengajiannya sudah tamat dan rakan-rakannya juga sudah mahu pulang ke negara masing-masing. Tempat ini hanya akan meninggalkan luka yang dalam buat dirinya.

Cinta Aulia. Gadis itulah yang telah menjadikan cintanya sebagai barang pertaruhan. Tapi gadis itu jugalah cintanya yang paling dalam.

Gadis itu telah mempermainkannya, seolah-oleh anak orang miskin boleh diperlakukan sesuka hati seperti boneka yang tidak berperasaan, tapi gadis itu jugalah yang sentiasa berada diingatannya.

Gadis itu jugalah yang telah menghancurkan hatinya dan memijak-mijak cinta tulus darinya, tapi gadis itulah yang sentiasa berada disanubarinya.

Tidak dapat dinafikan, Cinta sudah meminta maaf dan dia sudah memaafkan gadis itu. Tapi kemaafan yang diberi tidak akan sesekali membuatkan dirinya hanyut. Tidak untuk kali yang kedua. Dia sedar siapa dirinya dan siapa Cinta Aulia.

 “Bila difikir-fikirkan, kelakar macam mana seorang perempuan boleh bersikap sangat menyakiti hati kita, tapi kita masih mencintainya dengan sepenuh hati tanpa tercalar sedikit pun perasaan itu.”

Kata-kata Adrian semasa di International Sculpture Park tiba-tiba menjengah memorinya. Ketika itu mereka baru sahaja pulang dari bercuti dan menghabiskan masa bersama-sama sebelum Adrian pulang ke Auckland.

Mata Daniel yang dari tadi asyik merenung keindahan dan kejernihan air tasik buatan dihadapannya mula berpaling kepada Adrian.

“Jiwang karat atap rumah pulak kau ni. Kau tu pernah ada awek ke?” Daniel menjolok.

“Dulu ada, tapi sekarang dah tak ada.”

“Mesti dia tinggalkan kau, kan?”

“Memang dia yang tinggalkan aku.”

Daniel tertawa sarkastik.

“Memang patut pun dia tinggalkan kau. Dia boleh dapat pakwe yang seribu kali lebih baik dari mamat poyo macam kau!”

“Eh, sebab aku poyolah dia suka.” Adrian menjawab pula.

“Habis tu apasal dia tinggalkan kau?”
“Barah hati,” ujar Adrian cukup tenang.

Cepat-cepat Daniel mengusir senyuman diwajahnya. Dipandangnya wajah Adrian yang tenang merenung tasik.

“Maksud kau, dia dah…”

Adrian mengangguk tanpa sempat Daniel menghabiskan ayatnya.

Lidah Daniel kelu untuk berkata-kata. Tidak disangkanya Adrian yang sentiasa ceria dan poyo itu pernah kehilangan seorang kekasih yang disayanginya.

“Adrian, aku minta… minta ma…”

“Tak, tak apa. Kau tak tahu. Aku pun bukannya pernah cerita apa-apa kat kau.” Adrian masih tersenyum.

“Kitorang couple dari high school lagi. Budak sangat. Semua orang kata kitorang ni couple of the year,” cerita Adrian perlahan.

Daniel terdiam.

“Lama kitorang couple, sampai habis sekolah. Sementara tunggu kemasukan ke universiti, aku sempat buat part time. Tapi dalam tempoh tu aku tak pernah jumpa dia. She gave so many excuses. Satu hari tu, aku pergi rumah dia. Tapi apa yang aku dapat? Dia bukan sambut aku baik-baik, malahan dia tengking aku. Maki aku.”

Mata Daniel yang redup masih merenung Adrian.

“Dia cakap dia dah ada balak lain. Dia minta aku lupakan dia. Kau tahu apa aku rasa Danny? Hati aku hancur, aku rasa macam dunia ni dah nak kiamat.”

Adrian berjeda beberapa ketika sebelum menyambung kembali ceritanya.

“Dan lepas tu, aku dah tak jumpa dia lagi. But the weird thing is, aku masih sayangkan dia walaupun aku tahu dia dah ada boyfriend lain. Perasaan aku sikit pun tak berubah. Tapi beberapa bulan berlalu, aku ada jumpa parents dia dekat shoppingmall. Aku tanya khabar dia. Parents dia terkejut sebab aku tak tahu yang anak diorang dah meninggal dunia akibat barah hati yang dah berada di peringkat kritikal.”

Daniel menunduk merenung rumput dibawah bangku. Sejenak merenung Daniel yang begitu atentif, Adrian menyambung.

“Parents dia bawa aku pergi kubur anak diorang. Masa tu lah segala-galanya terjawab. Dia sebenarnya sengaja jauhkan diri dari aku sebab dia ada barah hati sejak kecil lagi.”

“Parents dia tahu tentang hubungan korang?”

Adrian mengangguk.

“Tahu, dari mula-mula kitorang couple lagi.”

Daniel terdiam. Otaknya ligat berfikir. Cuba menghadamkan kata-kata Adrian tadi. Tapi tiba-tiba dia menyedari sesuatu. Ada fakta yang hilang dalam cerita Adrian tadi.

“Kau cakap parents dia dah tahu pasal relationship kau dengan anak diorang, kan?”

Adrian mengangguk lagi.

“Habis tu macam mana pulak masa anak diorang sakit, diorang langsung tak bagitahu kau?”

Adrian terdiam.

“Dan dulu kau pernah cakap yang kau tak pernah bercinta dan tak pernah jatuh cinta pada perempuan. Macam mana pulak tiba-tiba boleh muncul watak makwe dalam cerita ni?”

Daniel menjungkitkan kening. Adrian membalas pandangan Daniel dan tersenyum.

“Boleh tak aku cakap yang cerita aku ni aku ambil dari majalah lepas tu aku kencing kau?” soalnya selamba.

Daniel yang baru menyedari dirinya dipermainkan menjerit dan menampar bahu Adrian. Tergelak besar Adrian melihat sahabatnya itu.

“Tak guna kau, Adrian. Kau tipu aku!” Daniel bengang. Yalah, buat penat je kawan tu bersedih, tup-tup kena tipu rupanya.

Adrian ketawa terbahak-bahak dan mula mengelak apabila bahunya hampir ditampar untuk kali kedua.

“Alah, aku saja je nak tengok kau macam mana. Ingat tough sangat, rupa-rupanya tahap jiwang karat atap rumah kau lagi dahsyat dari aku!”

Wajah Daniel merah padam dan mula mengejar Adrian yang melarikan diri. Sejak dulu Adrian suka mengenakan orang dan Daniellah yang selalu menjadi mangsanya.

Daniel tersenyum. Dia menutup ingatannya tentang perkara itu. Muhammad Hafiz Adrian, aku akan rindukan kau.

Dia mengerling jam tangan. Sejam lagi sebelum dia meninggalkan Canberra, Australia Capital Territory. Tapi rasanya elok kalau dia bergerak sekarang, tak mahu pemandu teksi yang menunggunya sedari tadi merungut pula.

Namun saat dia berpaling ingin berlalu, dirinya kaget seketika melihat sesusuk tubuh sedang berdiri dibelakangnya saat itu. Tidak tahu sejak bila tubuh itu tercegat disitu, tapi apa yang pasti, dia langsung tidak menyedari ada orang dibelakangnya.

Terkelip-kelip mata Daniel memandang wajah gadis kesayangannya. Benarkah gadis itu benar-benar ada dihadapannya saat ini? Atau dia hanya berhalusinasi?

Cinta tersenyum dengan mata yang berkaca-kaca.

“Saya tahu awak ada kat sini. Awak mesti ada kat sini.”

Daniel diam tanpa reaksi. Dia masih lagi membatu saat Cinta melangkah semakin menghampirinya.
“Daniel…” Suara Cinta bergetar.

“Saya nak minta maaf atas semua salah saya selama ni. Saya betul-betul menyesal atas perbuatan saya pada awak. Kalaulah masa boleh diputarkan semula, saya takkan sesekali mensia-siakan awak. Saya minta maaf, Danny. Selama ni saya selalu cuba untuk tipu diri saya, mengatakan bahawa diri saya hanya layak dicintai anak-anak orang kaya. Padahal dalam tempoh tiga tahun melihat awak dari jauh, saya hanya memandang awak. Sejak dulu lagi saya merasakan ada sesuatu dalam diri awak yang tak ada pada lelaki lain.”

Terkedu Daniel mendengarnya. Dia diam seribu bahasa. Benarkah Cinta Aulia Dato’ Razak yang berkata-kata saat ini?

“Daniel, saya… saya cintakan awak. Saya sayang awak. Tolonglah jangan pergi dari hidup saya lagi lepas ni.”

Mata Daniel langsung tidak berkelip memandang wajah Cinta yang kelihatan sebak saat meluahkan perasaannya.

Daniel terpana. Air liurnya diteguk beberapa kali dengan tarikan nafas yang mulai turun naik tidak sekata. Dia cuba mengumpul semangat sekuat yang boleh.

“Cinta…”

Cinta memandang tepat ke wajah Daniel yang kelihatan tenang sahaja.

“Saya sakit hati dengan apa yang awak buat pada saya selama ni. Tapi kalau awak betul-betul dah menyesal dengan perbuatan awak, saya sebagai makhluk Allah yang kerdil tidak layak untuk menghukum. Demi Allah, kalau awak tak meminta maaf sekalipun, saya dah lama maafkan awak…”

Saat mendengarkan kata-kata itu, Cinta mula tersenyum. Tetapi Daniel menyambung lagi ayatnya.

“Saya harap kali ni awak betul-betul dah berubah. Dan saya harap apa yang awak cakapkan sebentar tadi bukan kerana bertaruh lagi dengan kawan-kawan awak.”

Wajah Cinta yang tersenyum mulai berubah. Kata-kata itu begitu menghiris perasaannya. Semakin sebak hatinya.

Inilah padahnya kerana menipu dulu. Sekarang apabila dia mulai jujur dengan perasaannya sendiri, Daniel sudah tidak mahu mempercayainya lagi.

“Sebagai manusia biasa, saya jugak ada hati dan perasaan. Saya ada perasaan sedih, saya ada perasaan kecewa. Hati saya dah banyak terluka. Hati saya dah serik. Fikiran saya, hati saya, berkali-kali mengingatkan pada diri sendiri yang saya sememangnya tak layak untuk gadis secantik dan sekaya awak.
Saya maafkan awak tapi untuk menerima awak semula dalam hidup saya sebagai pasangan saya, saya tak boleh. Hati saya dah tertutup untuk gadis bernama Cinta Aulia Dato’ Razak,” ungkap Daniel perlahan.

Cinta sudah tidak mampu membendung kesedihannya. Luluh hatinya mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari bibir lelaki yang dicintainya. Air matanya berderai tanpa henti. Betapa sebak dan kecewa hatinya saat mula menyedari bahawa Daniel mendekatinya selama ini hanya mahu menjadi kawannya, tetapi bukan lagi sebagai pasangannya. Hati Daniel sudah kosong buat dirinya.

Mungkin salah dirinya sendiri. Dia berangan-angan terlalu tinggi. Beranggapan bahawa Daniel akan selalu mencintainya. Namun dia tidak menyalahkan Daniel. Daniel berubah kerana dirinya. Dia sendiri yang telah merubah Daniel menjadi seperti yang sekarang.

“Saya tak kesah kalau awak masih nak berkawan dengan saya. Kita jadi kawan biasa, itu lebih baik. Saya minta maaf. Saya terpaksa pergi stesen bas sekarang. Perjalanan saya ke Sydney nanti boleh tahan jauh juga. Saya doakan awak bahagia, Cinta. Awak layak dapat lelaki yang lebih baik dari saya. Assalamualaikum…”

Usai menghabiskan kata-katanya, Daniel terus melangkah pergi meninggalkan Cinta yang masih lagi menangis.

Cinta teresak-esak tanpa menghiraukan pengunjung-pengunjung lain di Ainslie Mountain ketika itu. Ditempat itu dia pernah melafazkan cintanya kepada Daniel dulu. Dan hari ini, ditempat yang sama Daniel membuang dirinya.

Hatinya meraung. Baru hari ini dia tahu betapa sakitnya hati ditinggalkan oleh orang yang dicintai. Baru hari ini dia menyedarinya. Sakitnya, ya Allah!

Perlahan-lahan tubuhnya melorot ke tanah. Dadanya dipegang kuat. Cuba menahan rasa sakit hati yang sudah hancur berderai. Hari ini dia belajar bahawa manusia bernama Cinta Aulia ini tiada daya untuk memiliki segala yang dia mahukan.

Daniel yang baru melangkah masuk ke teksi yang menantinya sedari tadi, menoleh ke tingkap dan memandang ke belakang. Dia sendiri bagaikan tidak percaya dengan kata-kata yang telah dilemparkan kepada Cinta sebentar tadi. Dia tidak percaya bahawa dia telah menyingkirkan Cinta dari hatinya.

Benarkah? Semudah itukah dia menghilangkan perasaannya terhadap gadis yang sudah dicintainya lebih tiga tahun di bumi Canberra ini?

Daniel mengepal penumbuk. Benarkah hatinya memang benar-benar sudah beku untuk menerima kembali gadis yang amat dicintainya? Jika benar ini yang diinginkannya, kenapa hatinya tidak gembira? Kenapa hatinya tidak berasa lapang? Kenapa hatinya terasa bagai dirobek-robek?

Daniel memejam mata. Rasa sebak cuba ditahan. Akhirnya dia menggagahkan diri memalingkan wajahnya dan tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

Selamat tinggal, Cinta Aulia. Semoga awak bahagia...
Suddenly I’m afraid, saying I love you
They’re not words I’m used to saying
With hardened lips, I love you, I love you
I am shouting those words on your back

Because we breathe the same air
It would be too much to ask for more
As love keeps growing without knowing
Only scars are coming back

Maaf aku tengah bosan, sebab tu aku edit gambar ni. Maafkan aku T.T

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Wednesday, August 20, 2014

Kutemui Cinta 2

NADYA tersenyum sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik asrama. Kebetulan dia mendapat bilik yang sama dengan Suraya.

            Dilihatnya bilik itu kecil dan serba sederhana. Sebuah katil bujang, almari pakaian yang disediakan kunci dan meja tulis menghadap keluar. Tapi sebenarnya kalau diikutkan, bilik ini jauh lebih baik daripada biliknya di kampung yang hanya diterangi lampu pelita pada waktu malam dan dinding kayu yang sudah semakin reput. Agaknya kalau diterajang, habis runtuh.

            “Nadya,” panggil Suraya selepas selesai mengemas barang-barangnya dan menyusun baju ke dalam almari

            “Awak nak ikut saya tak?”

            “Pergi mana?”soal Nadya kemudiannya.

            “Saya ada lagi dua orang kawan. Kebetulan bilik diorang sebelah bilik kita ni aja. Nak kenal-kenal dengan diorang tak?”pelawa Suraya.

            Nadya cuma mengangguk dan mengikut Suraya ke bilik sebelah. Suraya mengetuk pintu. Seketika kemudian, seorang gadis bercermin mata dan berambut lurus paras bahu membuka pintu. Dia tersenyum memandang Suraya.

            “Kau rupanya, masuklah. Kitorang tengah kemas-kemas bilik ni,” pelawa gadis bercermin mata itu.

            Kemudian gadis itu mengalihkan pandangannya kepada Nadya yang sedang berdiri di belakang Suraya.

            “Siapa ni? Kawan baru kau?”

            Suraya tersenyum dan mengangguk.

            “Ooo... aku Maya.” Gadis bercermin mata itu memperkenalkan dirinya. Cara percakapannya agak kasar meskipun penampilannya tampak lemah-lembut. 

            “Saya Nurul Nadya. Panggil aja Nadya.” Lembut suara Nadya menjawab lantas menyambut tangan Maya.

“Marilah masuk.”

Nadya mengangguk. Dia bersama Suraya masuk ke dalam bilik Maya. Ada seorang lagi di dalam bilik itu dan sedang mengemas pakaian-pakaiannya. Rambutnya pendek dan pakaiannya seperti lelaki. Gayanya ala-ala tomboy.

            “Zul, ini kawan baru Suraya. Nama dia Nadya,” ujar Maya kepada gadis tomboy yang dipanggil Zul itu.

            Zul tersenyum.
            “Aku Zulaikha. Panggil aku Zul.”
            Nadya mengangguk.
            “Kau jurusan apa?
            “Perundangan. Awak?”
            “Aku dengan Maya sama, Civil Engineering.”

            Nadya tersenyum dan mengangguk-angguk.

            “Hmm... sekarang secara tak langsung Nadya dah masuk ke dalam group kita. Kawan-kawan I, kawan-kawan you all jugak. Setuju?”soal Suraya ceria.

            “Mestilah. Kawan-kawan kau, kawan-kawan kitorang jugak. Lagipun makin ramai makin bagus, betul tak?” ujar Zulaikha dan disokong oleh Maya yang mengangguk ceria.

            Nadya tersenyum. Senang hatinya kerana diterima sebagai kawan oleh mereka bertiga. Mereka tampak ikhlas, langsung tidak menunjukkan kepura-puraan untuk mempamerkan kemesraan.

            Sekilas Nadya memandang Suraya. I? You? Tidak pernah pula Suraya membahasakan dirinya sebagai I dan you kepadanya. Apabila bercakap dengannya, Suraya membahasakan dirinya sebagai saya dan awak. Tapi dia tidak kisah. Dia lebih selesa Suraya bercakap dengan bahasa itu dengannya. Kedengaran lebih lembut dan sopan.
********************************

HAFIZ masuk ke dalam bilik asramanya. Hatinya penasaran ingin tahu siapakah teman sebiliknya. Kalau ikutkan hati, dia mahu tinggal menyewa rumah bersama Amir dan Azhar yang berdekatan dengan universiti tapi cadangannya itu tidak dipersetujui oleh ibu dan ayahnya. Kata mereka, tahun pertama lebih baik menginap di asrama supaya dapat menyesuaikan diri.

            “Aduh, beratnya! Kau letak apa dalam ni? Baju ke batu?” Amir sedikit mengah ketika dia menolong Hafiz mengangkat beg baju rakannya itu.

            “Aku letak anak gajah!” tempelak Hafiz sambil tersengih.

            “Bila kau sebut anak gajah, teringat pulak aku kat si Azhar tu...”

            “Hisy, tak baik kau ni!”tegur Hafiz .Dia tahu Amir suka memanggil Azhar gajah kerana tubuh Azhar yang agak gempal. Azhar pula memanggil Amir lidi kerana tubuh Amir yang kurus kering. Baguslah tu, fair and square!

            Kedua-duanya menyeringai ketawa. Namun tawa mereka spontan terhenti tatkala melihat ada tiga orang lelaki di dalam bilik yang bakal dihuni oleh Hafiz. Dan salah seorang daripada mereka adalah Adam, lelaki berlagak di pejabat pendaftaran yang mengajak orang lain bergaduh hanya kerana berebutkan borang pendaftaran.

            “Well... well... well... guys, meh tengok siapa roommate aku!”ujar Adam sengaja melemparkan senyuman sinis.

            “Kau sebilik dengan aku ke? Nanti, jangan jawab! Aku tahu kau akan jawab ya, jadi sebelum tu biarlah aku beritahu kau something. Aku tak suka dengan budak miskin yang suka menyibuk macam kau ni!”

            Adam tersenyum puas kerana dapat membalas dendam. Dia tidak tahu betul atau tidak Hafiz anak orang miskin tapi dia memang yakin Hafiz datang dari keluarga miskin. Melihatkan cara Hafiz berpakaian; jaket jeans yang agak lusuh, seluar jeans yang sedikit koyak di bahagian lutut dan peha serta baju T berjenama murah telah cukup membuktikan bahawa dia bukanlah datang dari golongan berada.

            “Anak orang miskin? Hei, kau tahu tak dia ni...” Amir ingin mempertahankan Hafiz tapi cepat-cepat Hafiz menepuk bahu Amir dan menggeleng.

            “Aku Azriel. Kau orang boleh panggil aku Aril,” ujar Azriel ramah.

            Amir berjabat dengan Azriel.

            “Aku Yusof.” Yusof menghulurkan tangannya kepada Amir. Amir menyambutnya dengan baik. Dahinya berkerut hairan tatkala terpandangkan wajah Yusof yang seiras dengan Adam. Silih berganti dia memandang kedua-duanya.

            “Oh ya, ini adik aku, Adam. Kitorang kembar,” beritahu Yusof memperkenalkan Adam seperti dia tahu apa yang bermain di fikiran Amir.

            Amir sekadar mengangguk.

            Dia menghulurkan tangan mahu berjabat dengan Adam. Sebenarnya tadi dia agak sakit hati kerana Adam memanggil Hafiz budak miskin tapi atas sebab mahu menjaga hati Yusof dan Azriel, tangannya dihulur juga. Sekadar buat syarat. 

Adam pula hanya diam membisu dan membiarkan huluran tangan Amir tidak bersambut. Baginya kawan-kawan Hafiz juga adalah musuhnya.

            Amir memandang Hafiz dan tersenyum. Dia cuba untuk tidak berkecil hati dengan perbuatan Adam tadi. Dah mujur orang nak salam, berlagak pulak! gerutunya.

            “Korang duduk bilik ni jugak ke?” Amir cuba melarikan topik, cuba untuk tidak ambil peduli tentang sikap Adam.

Azriel menggeleng.

“Eh, tak. Kitorang cuma tolong Adam kemas barang-barang dia aja. Lepas ni kitorang dah nak balik bilik kitorang sendiri.”

Amir membalas dengan mengangguk dan membantu Hafiz mengemas barang-barangnya untuk dimasukkan ke dalam almari pakaian.

Adam dalam diam menggigit bibir. Sambil mengambil dan menyusun barang-barang, dia sesekali mengerling Hafiz dengan riak tak puas hati. Benar-benar tidak menduga akan duduk sebilik dengan musuhnya sendiri.

Dan kebisuan Hafiz tadi juga seakan mengiakan bahawa dia memang anak orang miskin. Tak apalah, bagus juga. Ada benda untuk diejek dan dikutuk setiap hari. Pasti selepas ini lebih banyak perkara menarik yang akan berlaku. Ini hanyalah permulaan masalah antara mereka. Pasti akan ada masalah susulan selepas ini.
***********************************
PELAJAR-PELAJAR baru mengikuti minggu orientasi selama dua minggu. Selepas dua minggu, mereka mengikuti kuliah seperti mana pelajar-pelajar lain.

            “Wei, Adam. Apa cerita minah tu sekarang?” soal Azriel ketika mereka bertiga duduk melepak di bangku panjang yang diletakkan di ruang rehat lobi sebelum mengikuti kuliah pertama.

            Berkerut dahi Adam untuk seketika. Dia kelihatan seperti tidak faham apa yang ditanya oleh Azriel.

            “Ala... si Yasmin tulah!” Azriel mengingatkan Adam tentang Yasmin, teman wanita Adam yang paling lama berdamping dengan Adam iaitu sejak mereka di tingkatan satu lagi.

            Azriel memang faham sangat kalau Adam tidak ingat tentang teman wanitanya sendiri. Teman wanitanya bukan seorang. Adam memang kasanova terkenal sejak di zaman persekolahan mereka.

            Apa yang nak dihairankan? Adam, jejaka kacukan Melayu, Cina dan Inggeris yang memiliki wajah tampan menjadi kegilaan ramai perempuan. Dia dipuja bagai bintang Hollywood.

            Adam berbangga dengan kelebihan yang dia miliki. Dia tidak pernah melepaskan peluang memikat dara-dara yang sudah sasau belaka. Orang muda-muda kata, just for fun. Darah mudalah katakan. Lain pula halnya dengan Yusof, si abang pula seorang yang pemalu dan tidak berani menegur perempuan secara terang-terangan.

            Tapi Adam hanya kaki perempuan untuk suka-suka sahaja. Tidak pula sampai ke bilik tidur. Itu katanya, benar atau tidak, hanya Allah yang mengetahuinya.

            “Entahlah aku. Dah dekat sebulan aku tak call dia. Dia pun tak call aku,” balas Adam selamba.

            Baginya, perempuan ibarat baju, mudah ditukar ganti bila-bila masa. Dan apabila baju itu sudah lusuh, boleh dicampak ke dalam tong sampah sesuka hati.

            “Wei, aku ada idea baik punya!” ujar Adam kelihatan ceria.

            Yusof dan Azriel saling berpandangan, menunggu kata-kata Adam yang seterusnya.

            “Kau tahu, sejak aku mula-mula melangkah masuk ke dalam universiti ni, aku dah pasang satu azam baru,” katanya dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

            “Hah, aku tahu! Aku tahu! Mesti kau nak belajar bersungguh-sungguh, kan?” potong Yusof tidak sabar-sabar.

            Adam mempamerkan riak mengejek.

            “Apa standard pasang azam cam gitu? Kau ingat aku budak nerd? Aku ada azam lain. Tak ada kena-mengena dengan pelajaran.”

            “Yelah, cakap ajalah,” ujar Azriel yang malas mendengar Adam berdolak-dalih.

            “Aku nak usha perempuan bertudung.” 

Kata-kata Adam itu membuatkan Azriel dan Yusof tergamam seketika.

            “Kenapa? Tak percaya?”

            “Apasal pulak? Bukan ke sebelum ni kau cakap kau tak suka perempuan bertudung? Kau cakap diorang ni hipokrit sebab suka berselindung di sebalik imej baik sedangkan diorang ni taklah baik mana pun. Apasal sekarang tiba-tiba berubah pulak?” tekan Azriel inginkan kepastian.

            Dia tahu benar prinsip Adam sebelum ini. Adam tidak suka dengan perempuan bertudung yang dianggapnya hipokrit selama ini. Mana tidaknya, dalam  surat khabar dan internet pun penuh dengan berita-berita negatif tentang perempuan bertudung.

            Adam tersengih nakal.

            “Aku sebenarnya saja nak try best ke tak bercinta dengan perempuan bertudung ni. Yelah... kau kan tahu dari dulu aku asyik bercinta dengan perempuan seksi je. Sekali-sekala nak jugak tukar angin. Tapi kalau aku rasa tak best, aku boleh pasang azam lain.” Selamba Adam mengungkapkannya sambil ketawa berjela-jela.

           Tergeleng-geleng Yusof dan Azriel mendengarnya. Tak ada wawasan langsung.

            “Eh, budak Hafiz tu pulak apa cerita pulak?” tanya Yusof ingin melarikan topik perbualan.

            Adam mencemik sinis.

            “Budak miskin tu? Tahulah aku nak handle dia.”

            “Adam, kau pasti ke dia tu memang anak orang miskin? Entah-entah, dia kerabat raja tak?” duga Azriel.

            “Alah tak mungkinlah! Kau tengok ajalah jaket yang dia pakai tu. Warnanya dahlah lusuh. Agaknya dah 10 tahun tak bertukar ganti!”

            “Wei, ada orang cakap, don’t judge a book by its cover. Entah-entah dia tu kerabat raja yang menyamar sebagai rakyat biasa. Kalaulah dia tahu ada anak Dato’ yang berlagak macam kau ni, mesti dia suruh sultan lucutkan pangkat Dato’ papa kita,” tambah Yusof sengaja menakut-nakutkan Adam. Walaupun dia tahu Adam tidak akan takut dengan ugutan sebegitu.

            Adam ingin membalas semula kata-kata Yusof. Dia juga tidak mahu kalah, namun  lidahnya kelu sebaik terpandang seorang gadis bertudung lalu dihadapannya sebelum menghilang disebalik sudut lobi.

            Hmm... gadis tadi sesuai menjadi mangsa pertamanya. Dia sudah berazam sebaik saja bergelar budak kampus, dia ingin memikat sebanyak yang mungkin gadis-gadis bertudung dan sekarang, dia sudah menemui seorang gadis yang bakal menjadi mangsanya .Gadis tadi cantik, kecil molek dan yang paling penting, bertudung.

            “Hei, Adam. Jomlah, dah pukul 8.30 ni. Kuliah dah nak start.” Kata-kata Yusof memancung lamunannya.

            “Wei, aku dah jumpa mangsa pertama aku.” Wajah Adam kelihatan ceria.

            “Mangsa? Mangsa apa?” Azriel buat-buat tak faham.

            “Alah perempuan bertudung. Aku dah nampak tadi. Boleh tahan jugak,” ujar Adam seraya mengenyit matanya.

            Yusof mengeluh. Malas dia melayan perangai mata keranjang adiknya itu. Dia terus menarik tangan Adam yang masih duduk di bangku.

            Adam akur. Dan sepanjang kuliah pertama pada pagi itu, dikepalanya asyik merangka pelbagai rancangan bagaimana caranya memikat gadis bertudung tadi.

            Bukannya senang memikat seorang gadis yang lebih terpelihara. Semuanya harus berjalan mengikut rancangan yang teliti. Silap sedikit saja, pasti gagal. Dan sebagai seorang kasanova terkenal, dia tidak mahu gagal dan dia benci akan kegagalan.

            Pada sebelah petangnya, Adam ke Perpustakaan Universiti Malaya untuk mencari buku-buku rujukan untuk belajar semula apa yang sudah ketinggalan sepanjang kuliah pagi tadi. Mana tidaknya, semasa pensyarah sedang bersyarah di depan, dia berangan di belakang.

            Ketika dia sedang tercari-cari buku, dia ternampak gadis bertudung itu lagi. Gadis yang sudah merosakkan ketenangannya hari ini. Gadis itu sedang membaca buku di sudut meja.

            Tanpa membuang masa, Adam terus duduk di hadapan gadis cantik itu. Mungkin ini adalah masa yang sesuai untuknya mendekati gadis tersebut. Kalau bukan sekarang, mungkin tiada peluang kedua lagi selepas ini.

            Si gadis terus membaca dan langsung tidak berminat untuk menoleh ke kiri atau ke kanan.

            “Hai.” Adam memulakan langkah awal. 

            Gadis cantik itu mula memandang Adam. Dia cuma tersenyum dan kemudian meneruskan pembacaannya.

            Adam angkat kening ala-ala The Rock. Gadis itu tidak sama seperti perempuan-perempuan yang dikenalinya sebelum ini. Kalau perempuan lain melihat wajahnya, pasti akan terhegeh-hegeh meminta nombor telefonnya atau mengajaknya berkenalan tapi perempuan di hadapannya ini langsung tidak menunjukkan sebarang minat kepadanya.

            Apalah aku ni bodoh sangat? Diakan perempuan bertudung, pandailah dia nak cover. Takkanlah terhegeh-hegeh nak berkenalan dengan aku macam minah gedik pulak! Adam cuba berfikir positif.

            “Err... awak baca buku apa?”Adam mencuba lagi.
            Kali ini gadis itu mengerutkan dahi.
            “Awak siapa?”
            “Saya... saya Adam. Adam Dato’ Husin. Awak?”
             “Nadya,” jawab gadis itu tersenyum dan memperkenalkan dirinya.
            “Saya dari course Civil Engeneering.”
            “Saya dari Fakulti Perundangan.".

            Adam tidak berkelip memandang wajah Nadya. Kulinya putih gebu dan kemerah-merahan, hidungnya comel, bibirnya nampak merah semula jadi dan matanya yang bundar itu sungguh cantik. Sesiapa yang melihatnya pada pandangan kali pertama pasti akan menoleh untuk kali kedua.

            “Mmm… kebetulan saya ni student baru dan saya teringin untuk mencari sekurang-kurangnya seorang rakan dari semua jurusan. Awak sudi jadi kawan saya? Wakil dari jurusan Perundangan?” Entah kenapa, laju saja soalan itu meluncur keluar dari mulutnya. Ayat macam kasanova baru nak up. Huhu…

            “Hah?” Terkejut Nadya mendengar soalan yang tiba-tiba itu. Well, that escalated quickly. Haha!

            “Awak nak jadi kawan saya tak?” Kali ini Adam lebih yakin dengan pertanyaannya.

            “Ooo... kalau sekadar nak berkawan,saya tak ada masalah.”

            Jawapan yang keluar dari bibir mulus Nadya benar-benar menggembirakan hatinya. Hampir sahaja dia bersorak gembira. Bagus, langkah pertama sudah berjaya.

            “Memandangkan sekarang kita dah jadi kawan, boleh bagi number phone awak? Mmm... maksud saya, untuk memudahkan komunikasi,” pinta Adam terus-terang.

            “Saya tak pakai telefon bimbit.”

            Adam mengangguk hampa. Ada ke orang zaman sekarang yang tak ada telefon?

            “Tak apalah. Esok-esok kita boleh jumpa lagi,” ucapnya.

            Dia merenung Nadya dengan panahan anak matanya yang menggoda, namun Nadya langsung tidak faham dengan maksud renungan itu. Wajahnya tetap bersahaja.

            “Mmm... siapa nama awak tadi?” Nadya bertanya lagi.

            “Adam.”

            “Oh, maaf. Adam, saya terpaksa pergi dulu. Ada hal yang nak dibereskan.”

            “Saya faham. Tapi esok awak datang sini lagi, kan?” Adam bertanya. Matanya tidak lekang memandang wajah Nadya.

            Nadya mengangguk dan mengemas buku serta alat-alat tulisnya. Dia menghadiahkan senyumannya kepada Adam sebelum pergi dari situ.

            Adam masih lagi di situ walaupun sudah hampir setengah jam Nadya berlalu. Rancangan pertama sudah berjalan dengan lancar dan tidak lama lagi dia akan melaksanakan rancangan keduanya.

            Dia harus mendekati Nadya perlahan-lahan. Dan selepas Nadya sudah berada di tangannya, dia akan memastikan Nadya sentiasa mengikut telunjuknya, seperti yang dipraktikkan kepada gadis-gadis sebelum ini. Biarlah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.


p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)