Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Tuesday, May 18, 2010

Abang Khai Tomboy? 15

Khai menyanyi-nyanyi kecil sambil berjalan beriringan bersama Suri di taman bunga yang terdapat di hospital tersebut.

Suri angkat kening. Dari tadi dia tidak faham satu apa pun yang dinyanyikan Khai. Apa punya lagu daa…
“Kenapa Khai tak nak Rizal tahu?” Suara Suri memecah kebuntuan.
Kalau orang tak tahu yang si Khai ni sebenarnya perempuan, mesti orang ingat Khai dengan Suri ni loving couple. Sekali pandang macam orang tengah dating. Tapi ada ke orang dating kat hospital?
“Sebab… er… sebab aku tak naklah.”
“Tapi, mesti ada sebab yang tersendiri kenapa Khai tak nak Rizal tahu yang Khai ni sebenarnya perempuan,” balas Suri. Pelik betul rasanya apabila Khai memintanya untuk berjanji agar tidak mendedahkan kepada Rizal tentang jantina sebenar Khai. Apa yang mahu dirahsiakan oleh Khai?
“Aku… aku tak sedia lagi nak kasi tau dia. Yalah, kita orang ni selalu bergurau selamba aje. Main tepuk-tepuk kepala, kepit kepala bawah ketiak, dah jadi kebiasaan antara kita orang. Aku takut kalau dia tahu aku ni perempuan, dia mula jauhkan diri.” Khai meluahkan apa yang terbuku di hatinya.
Sedar tak sedar, Khai kini semakin rapat dengan Rizal. Mereka bergurau dan bersembang seperti sudah kenal lama. Khai juga merasa ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya sejak akhir-akhir ini. Dia selalu merasa berdebar apabila Rizal dekat dengannya dan dia selalu mengelak daripada bertentangan mata dengan lelaki itu. Tapi, kenapa Cuma dengan Rizal? Kenapa dia tidak merasakan hal yang sama kepada lelaki-lelaki lain?
“Tapi, Khai kan pelakon. Macam mana Rizal boleh tak tahu?” Pertanyaan Suri menyentak lamunan Khai.
“Dia tu kan polis, manalah sempat tengok TV. Pada anak-anak saudara aku pun aku dah mintak dia orang janji supaya tak bagi tahu pada Rizal!”
“Habis tu sampai bila Khai nak berahsia?”
“Sampai bila-bila. Sampai aku dah tak mampu lagi untuk tutup rahsia ni.” Mudah jawapan Khai. Ya, sampai aku dah tak boleh lagi tipu perasaan aku sendiri.
“Oit, Abang Khai, syoknya dating dengan Cikgu Suri. Boleh kacau?” Angah yang tiba-tiba datang entah dari ceruk mana memaut bahu Khai dari belakang.
“Hisy, kau ni... Lain kali datang bagi salam dulu boleh tak?” marah Khai dan melarikan bahunya daripada pautan angah. Bukan apa, dia selalu rasa geli dan berbulu bila ada orang sentuh belakang lehernya.
“Okeylah, assalamualaikum...”
“Hmm… waalaikumussalam....” jawab Khai endah tak endah.
“Waalaikumussalam, angah,” jawab Suri lembut.
Khai menjeling Suri. Sejak dulu, dia kagum dengan peribadi Suri. Gadis itu sangat lemah-lembut dalam pertuturan dan kelihatan seperti tidak pernah marah seumur hidupnya. Dia terfikir, kenapa dia tidak boleh menjadi selembut dan sesopan Suri?
“Laa… angah ingat Cikgu Suri tengah dating dengan abah kat atas...”
“Abah?” Khai bertanya pelik.
“Yalah, mulai hari ni, pak su nak angah panggil dia abah,” jawab angah ceria.
Khai tersenyum. Alhamdulillah… Satu perkembangan yang sihat. Nampaknya Rizal dah dapat terima kehadiran along, angah dan adik dalam hidupnya. Rasanya, Rizal takkan lagi mempersoalkan kenapa Abang Razlan mewasiatkannya untuk menjaga mereka.
“Buat apa pulak cikgu kau ni nak dating dengan si Rizal tu? Dia tengah dating dengan Kak Lehalah,” ujar Khai.
“Kak Leha?” Angah tergelak besar. Orang-orang sekeliling dah tak dipedulikannya. Kalaulah tengah ada kat dalam hospital sekarang, pasti kena tendang keluar.
“Angah, tak baik ketawa macam tu. Angah kan perempuan,” tegur Suri lembut, seperti seorang ibu yang menegur anaknya.
“Err… ya, cikgu. Maafkan saya.” Angah menggaru-garu kepala. Dapat malu tiga kilo.
Khai teguk liur. Cara teguran Suri pun penuh kelembutan. Tidak tak macam dia. Susah-susah tak dengar cakap sangat, dia hempuk aje kepala orang tu kat dinding lapan kali.
“Eh, angah, adik mana?” soal Khai mengubah topik. Enggan terus melayan perasaan.
“Angah dah hantar dia naik ke bilik abah. Tapi, tadi masa angah masuk, angah hanya nampak Kak Leha. Abah tak ada pulak.”
Khai terdiam. Dah terkenalah tu… Entah di manalah si Rizal tu menyembunyikan diri? Khai tahu sangat yang Kak Leha sebenarnya ada hati pada Rizal.
“Eh, bang, tadi Uncle Am telefon. Dia cakap hari ni dia nak datang melawat abah. Tapi, dia suruh angah yang pergi ambik dia kat IBSYA Holdings,” tutur angah.
“Naik apa?”
“Naik kereta kuda! Kalau pergi sekolah naik kereta tu, bukan setakat tukang kebun, cikgu dengan pengetua pun confirm dengki. Kuda lagi mahal dari kereta Kancil. Tak percaya? Tanyalah lembu.”
“Eiii… budak ni, aku cepuk kang...” Khai sudah menunjukkan tapak tangannya.
“Tak adalah, abang ni tanya soalan tak masuk akal langsung. Dah angah tak pandai bawak kereta, naik teksilah maknanya.”
“Tak payah, kau tumpang aje abang lepas ni. Abang pun teringin jugak nak tengok kompeni famili kau tu.” Khai menawarkan bantuan.
Angah sekadar mengangguk.

******************************


DATO’ RASHID sedang menghisap cerut sambil memandang ke luar tingkap keretanya dengan pandangan kosong. Dia berkira-kira ingin pulang ke rumah. Sudah lebih empat hari dia tidak pulang dan tidak menghubungi anaknya. Dia cuma mahu keadaan kembali normal selepas kes serbuan besar-besaran yang dilakukan pihak polis hinggakan Geng 13 antara gangster Korea paling digeruni itu pun berjaya ditumpaskan. Dia mahu keadaan reda sebelum dia kembali kepada kegiatan haramnya itu.
Rasa benci, marah dan geram saling berantakan. Belum pernah dia dimalukan seperti ini. Sepanjang penglibatannya dalam aktiviti penyeludupan dadah, setiap urusniaga yang dilakukan selalunya berjalan lancar, tanpa ada pihak lain yang mengetahui terutamanya pihak polis. Tapi sejak akhir-akhir ini, seperti ada sesuatu yang tidak kena.
“Bos!”
Dato’ Rashid tersentak. Rio yang duduk di bahagian penumpang menghulurkan air mineral kepadanya.
Tanpa mengucapkan terima kasih, Dato’ Rashid terus mengambil botol air mineral yang dihulur Rio dan meneguk air di dalamnya dengan rakus. Dia benar-benar dahaga.
Tiga hari dia terpaksa menyembunyikan diri untuk mengelakkan sebarang kontroversi dengan pihak polis. Memang sampai sekarang pihak polis belum tahu dialah sebenarnya ketua bagi Geng 23X. Tapi, dia tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga.
Apa yang paling membuatkannya semakin berdendam dengan polis kini adalah kerana dia telah ditembak oleh seorang pegawai polis semasa serbuan tempoh hari. Mujur peluru itu hanya menembusi lengannya dan tidak mencecah tulang. Dia teringin sekali memburu semula polis tersebut kerana telah berani menembaknya. Tapi sayang, dia tidak dapat mengecam dengan betul wajah polis tersebut kerana pada waktu kejadian itu berlaku pada waktu malam.
“Mana kau pegi masa kita kena serbu hari tu?” Mendatar suara Dato’ Rashid. Langsung tidak beremosi. Sudah lama sebenarnya dia memendam soalan itu, tapi baru sekarang dia boleh meluahkannya. Lebih empat hari menghilang, baru pagi tadi Rio tiba-tiba muncul di tempat persembunyian mereka. Kemudian tanpa berkata apa-apa, Dato’ Rashid terus mengarahkan Rio memandu keretanya dan membawanya keluar dari situ kerana dia sudah tidak betah lagi tinggal di tempat persembunyian yang serba tidak mencukupi.
“Saya berurusan dengan konco-konco Geng 13 yang masih tinggal di Korea,” ucap Rio tenang dan mula memulas stereng.
“Masih ada Geng 13 yang terlepas?” Dato’ Rashid bertanya lanjut.
“Bukan. Beberapa orang daripada mereka tak ada masa kita buat urusniaga dengan geng mereka hari tu. Mereka memang tinggal di Korea dan uruskan kemasukan stok dadah ke pelabuhan,” jelas Rio lagi.
“Apa mereka cakap?”
“Mereka marah sebab hari tu polis serbu dan geng-geng mereka semua dah ditangkap. Mereka ingat nak tukar identiti dan lari sebelum polis berjaya menjejaki mereka. Tapi, sebelum tu, mereka nak minta ganti rugi sebab duit mereka dah melayang...”
“Oh, duit dia orang aje dia orang peduli? Aku ni? Siapa nak ganti balik stok dadah aku yang dah dirampas pihak polis? Sedap-sedap aje mintak ganti rugi! Sekarang, satu apa pun kita tak dapat. Dadah kena rampas, duit melayang,” rengus Dato’ Rashid geram.
Rio tidak membalas apa-apa. Dia tekun memandu. Cuma, sesekali matanya mengerling ke cermin pandang belakang untuk melihat bosnya.
Dato’ Rashid bersandar di kusyen lembut kereta Mercedesnya. Matanya dari tadi ralit memandang ke luar tingkap. Kebetulan keretanya lalu di hadapan syarikat IBSYA Holdings. Dato’ Rashid terpandang seseorang. Seseorang yang amat dikenalinya. Khai! Apa anak aku buat dekat sini? Dato’ Rashid tertanya-tanya.
Riostop!” arah Dato’ Rashid. Serentak itu kereta yang dikemudi Rio diberhentikan di tepi jalan.
“Ada apa bos?”
“Cuba kau tengok sana!” tunjuk Dato’ Rashid kepada Khai yang baru sahaja memasuki bangunan syarikat IBSYA Holdings.
“Eh, tu bukan Khai, anak bos?” teka Rio.
“Yalah, takkan anak kambing kut... Tapi yang aku hairan, kenapa Khai datang sini? Ada urusan apa dia datang sini?” Hati Dato’ Rashid begitu tertarik untuk mengetahui apa tujuan anaknya ke IBSYA. Setahunya, anaknya memang tak pernah kenal dengan mana-mana pemilik syarikat sebab anaknya memang tidak berminat dalam bidang korporat. Jadi, siapa yang masuk dengan Khai tadi? “Rio, aku nak kau siasat apa Khai buat dekat sini. Lagi satu, aku nak tahu siapa budak yang baru keluar kereta dengan Khai tadi.”

“Baik bos!”

*************************
KEMBALI ke rumah adalah satu kelegaan bagi Rizal. Memang bosan gila duduk di hospital. Dahlah bau ubat memanjang, tak ada teman sembang. Ajak jururawat sembang pun, dia buat tak tahu aje. Kat hospital tak ada Astro, tapi kat rumah, macam-macam ada!

“Abah!”
Dengar saja suara tu, Rizal sudah tahu siapa yang empunya suara. Dia tersenyum dan mendepangkan tangan. Adik terkedek-kedek berlari dan memanjat ke dalam dukungannya.
“Rizal, sudah-sudahlah berdukung tu. Mari uncle hantar sampai bilik. Kamu ni kena rehat,” ujar Dato’ Amri dengan senyuman yang meleret di bibirnya. Di tangannya, terdapat beg-beg baju Rizal.
“Alah, nantilah uncle. Saya rindu sangat kat anak saya ni,” ujar Rizal sambil mencium pipi adik dan menggomol tubuh adik. Terkekek-kekek adik ketawa. Sekarang, cuma anak-anak saudaranya penguat semangatnya. Memberi kekuatan untuk mengenali erti sebuah keluarga.
Dulu, Rizal tak tahu apa maknanya sebuah keluarga. Papa terlalu sibuk dengan urusan pejabat, mama tidak pernah memanjakannya dan dia tidak rapat dengan Abang Razlan. Dia seolah-olah hidup dalam dunia sendiri. Tapi sekarang, dia mula tahu menghargai orang-orang di sekelilingnya. Bak kata orang, famili harus diutamakan. Cewah!
“Hmm… ikut suka kamulah. Sekarang, uncle kena pergi dulu, ada meeting penting,” ujar Dato’ Amri sambil memandang jam tangannya.
Rizal mengangguk. Selepas bersalaman, Dato’ Amri terus beredar. Sebagai ahli perniagaan, tentunya jadual kerja Uncle Am sangat padat. Uncle Am dah tolong uruskan pembayaran bil hospital pun dah lebih daripada cukup.
“Along dengan angah mana?”
“Along keluar. Angah ada kat dalam bilik dengan Abang Khai...”
Apa? Bilik? Angah dengan Khai tengah duduk dalam bilik? Apa yang dia orang buat? Hisy, jaga kau Khai. Berani kau nak buat perkara sumbang pada anak saudara aku. Tak ada siapa boleh sentuh anak saudara aku kecuali dengan keizinan tok kadi dan sijil nikah dan diwalikan oleh aku sendiri, bebel Rizal sambil terus melangkah laju ke bilik angah di tingkat atas.
“Jagalah, Abang Khai... Ini serangan terhebat daripada keturunan Hang Setia.”
Serangan terhebat? Hang Setia? Tanpa berfikir apa-apa, aku terus pulas tombol pintu dan… “Woi, kau orang buat…” Rizal terdiam. Ayat itu tidak jadi dihabiskannya apabila satu gumpalan kain dilontar ke mukanya. Tak adalah sakit mana, tapi kuang ajar namanya... Dahlah gumpalan kain tu terdiri daripada seluar dalam dan bra.
Angah ternganga. Cepat-cepat dia tutup mulut. Khai yang tengah pegang seluar dalam bunga-bunga yang digumpal untuk membalas serangan angah cuma tersengih menampakkan giginya yang bersinar.
“Angah, kau orang buat apa ni?” Rizal genggam tombol pintu. Geramnya dah tak terkira ni.
“Err… angah…”
“Berhenti bermain dengan seluar dalam. Pergi kumpul semua baju kotor dan masukkan dalam mesin basuh,” arah Rizal tegas. Ada ke main dengan seluar dalam? Aku ingat apa bendalah angah sebut serangan dengan Hang Setia tadi.
Angah tersengih-sengih dan mengutip bra dan seluar dalam yang dah bergelimpangan di atas lantai.
Baru lima hari aku tak ada, rumah dah jadi macam tongkang pecah, keluh Rizal berat.
“Aku dah tau memang kau yang datang. Cuma kau aje yang akan balas serangan aku dan rosakkan pertandingan kita orang. Wei, kau tak nampak ke aku dengan angah tengah main perang-perang ni?”
“Jadi? Ada aku kisah? Nak sangat perang, pergilah jadi askar. Tak payah perang guna seluar dalam!” Rasakan kau pulak. Dasar bapak saudara tak bertanggungjawab!
Khai mencebik dan terus keluar dari situ.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Friday, May 14, 2010

Abang Khai Tomboy? 14

“ABAH!”
Rizal mendepangkan tangan. Pantas adik berlari ke dalam dukungannya. Pipi adik dikucup bertalu-talu.
“Abah, adik rindu abah!” Adik memeluk erat tubuh Rizal. Seperti enggan melepaskan pak sunya itu.
“Aduh, sakit adik!” Rizal terjerit apabila adik tertekan bahagian bahunya.
“Abah sakit ya kena tembak?”
Rizal senyum. Kemudian mengangkat tubuh adik dan membawanya ke riba.
“Bila pak su boleh keluar?” tanya angah yang duduk di birai katil.
“Doktor kata pak su dah sihat. Esok pun dah boleh keluar. Luka ni boleh dirawat di rumah.”
Angah hanya mengangguk tanda faham. Along yang turut serta melawat Rizal, hanya diam tidak berkutik. Dia lebih senang menjadi pendengar sahaja.
“Anak abah ni pulak macam mana? Nakal tak sepanjang abah tak ada?” Rizal kembali mengalihkan perhatian kepada adik.
“Tak, abah. Sekarang adik dah pandai mandi sendiri. Adik dah tak minta angah dengan Abang Khai mandikan adik. Angah cakap, kalau adik sayang kat abah, nak abah sembuh, adik kena pandai berdikari,” jawab adik petah.
“Angah sebenarnya tak sampai hati, pak su,” sampuk angah.
Rizal mengalihkan pandangan kepada angah.
“Sebenarnya sepanjang tiga hari pak su tak sedar, adik asyik menangis aje. Sebab tu angah tak bagi dia lawat pak su. Angah cakap kat dia, kalau dia nak pak su sembuh, dia mesti jadi anak yang baik.”
Rizal senyum dan mengangguk. “Terima kasih, angah. Angah banyak tolong pak su.”
No hallah, pak su! Pak su kan dah macam abah kita orang sendiri...”
Rizal terdiam. Abah? “Kenapa angah tak panggil pak su, abah?”
Angah tergamam. Dia sengih-sengih macam kerang masin. “Takkanlah nak panggil abah kut. Tak sesuailah pak su jadi abah kita orang. Beza umur angah dengan pak su pun cuma sembilan tahun. Takkanlah abah semuda tu...”
“Kenapa? Pak su tak layak jadi abah kau orang?”
“Err… bukan macam tu, pak su. Tapi…” Angah kelihatan serba salah.
“Atau, kau orang sendiri tak sudi jadi anak pak su?” soal Rizal lagi.
“Err… bukan…”
“Kalau bukan, mulai hari ni pak su nak angah dan along start panggil pak su, abah. Boleh?”
“Betul ke ni, pak su?” Wajah angah ceria.
Rizal hanya mengangguk.
“Okey, okey... Angah setuju, abah.”
Pertama kali Rizal mendengar panggilan abah keluar dari bibir angah. Dan gelaran itu, ditujukan untuknya. Alangkah bahagianya kalau aku dah ada anak nanti. Rizal memekarkan senyumannya.
“Tak. Along tak setuju!” Along tiba-tiba bangun dari sofa yang diduduknya. Majalah di tangannya dicampak ke sofa tersebut. “Abah along cuma seorang, Razlan bin Ibrahim dan dia seorang guru. Bukan Rizal bin Ibrahim, inspektor polis,” ujar along tegas. Dia terus mengambil tas tangannya yang diletakkan di atas meja dan beredar dari situ. Di muka pintu, along terserempak dengan seorang gadis yang baru ingin masuk. Along menjeling ke arah gadis itu dan terus berlalu.
Rizal tergeleng-geleng. Kalau pun dia marahkan aku, kenapa dia tunjukkan kemarahannya pada gadis tu? Uff! Rizal mengeluh berat.
“Cikgu Suri!” jerit angah riang seperti kanak-kanak Ribena dan terus mendapatkan gadis bertudung dan berbaju kurung yang baru masuk itu. Angah mencium sopan tangan Suri dan mengambil seplastik buah limau di tangan Suri. “Tengok ni abah, cikgu angah bawak limau untuk abah,” kata angah sambil menyuakan plastik buah limau itu kepada Rizal.
Cikgu ni macam tahu-tahu saja mulut aku sekarang tengah payau, tak selera makan apa-apa. Memang kenalah buah limau ni.
Suri sekadar tersenyum dan menundukkan wajahnya.
“Tak mengajar hari ni?” Rizal memulakan bicara.
“Hari ni cuti, Encik Rizal. Hari Ahad,” jawab Suri lembut.
“Entah, abah ni. Kalau cikgu pergi mengajar hari ni, dia nak ajar siapa? Kerusi dengan dinding?” perli angah.
Rizal membulatkan biji mata dan meramas-ramas rambut angah hingga rambut angah kusut.
“Isy, apalah abah ni... Suka sangat kacau rambut angah.” Muncung angah sudah panjang sedepa. Rambutnya dibetul-betulkan.
“Angah kan sekarang dah rasmi jadi anak abah. Jadi nak tak nak, angah kena terima yang lepas ni setiap hari abah akan buli angah.”
“Abah...”
Cis, minah pengkid dah bertukar jadi kucing miang. Belum pernah Rizal tengok angah merengek-rengek macam ni. Agaknya macam nilah sifat dia dulu masa dengan arwah Abang Razlan. Hipokrit betullah anak saudara aku seorang ni.
“Huh, dahlah. Abah duduklah sini dengan Cikgu Suri. Angah nak keluar dengan adik,” ujar angah dan terus mendukung adik. Angah senyum nakal.
“Err… cikgu kat sekolah mengajar apa?” tanya Rizal sebagai modal bicara. Tak adalah nampak canggung sangat nanti.
Suri duduk di kerusi sebelah katil dan tersenyum. “Saya mengajar Matematik Tambahan.”
“Oh, jadi maknanya cikgu pandailah Matematik Tambahan?” Rizal rasa, inilah soalan paling bodoh yang pernah dia utarakan sepanjang dia bernafas di muka bumi yang luas lagi indah ini. Kalau dah mengajar Matematik Tambahan, mestilah pandai Matematik Tambahan. Hisy, bodoh punya soalan.
“Hmm… macam mana cikgu boleh tahu saya masuk hospital?”
“Angah yang bagi tahu. Dia beria-ia sangat nak suruh saya datang melawat Encik Rizal. Kebetulan hari ni tak kerja, saya datanglah.”
Rizal tersenyum. Baiknya hati Cikgu Suri sebab sudi luangkan masa untuk menjenguknya walaupun tak saling mengenali.
“Err… Encik Rizal nak limau? Saya tolong kupaskan.”
Aisy, baiklah pulak cikgu ni. Cara percakapannya lembut aje. Nampak gaya macam tak pernah marah orang seumur hidup. Agaknya macam manalah dia mengajar. Mesti selalu kena buli dengan murid. Rizal mengangguk. Orang nak tolong, takkan nak tolak kut.
Suri tersenyum lagi dan mengambil sebiji limau dari beg plastik yang dibawanya.
Dia ni suka sangat senyum. Kenapa agaknya ya? “Kita belum habis bincang lagi pasal kes Angah,” ujar Rizal.
“Kes apa?”
“Kes angah alias Syafiqa yang bergaduh kat sekolah hari tu.”
“Oh, yang tu... Saya dah bincang dengan Khai. Tak ada apa sebenarnya. Saya cuma nak berbincang tentang tingkah laku Syafiqa sepanjang di sekolah dan memberi beberapa cadangan sahaja,” jawab Suri.
Rizal mengangguk. “Cikgu… Terus-terang saya cakap, saya sebenarnya masih terkejut dengan tanggungjawab yang mendadak ni. Yalah, sebelum ni saya hidup bujang. Pergi mana-mana tak ada siapa boleh halang. Tapi, bila saya kena jaga tiga orang anak saudara sekali gus, ambil masa sikitlah. Diri saya sendiri pun saya tak tahu nak urus, inikan pulak nak uruskan budak-budak tu. Masa mula-mula saya dapat surat peguam, saya rasa takut. Macam-macam benda yang bermain di fikiran saya. Adakah saya dapat mendidik anak-anak saudara saya dengan baik? Bagaimana kalau anak-anak saudara saya tak sukakan saya? Adakah saya sebenarnya ikhlas nak jaga dia orang atau ia hanya kerana sekeping surat wasiat?
“Tapi, saya beritahu diri saya sendiri. Tak salah kalau saya cuba. Why don’t I just let all things happen. And… it works. Kadang-kadang ada up and down, tapi saya tak boleh nafikan yang saya sebenarnya dah mula sayangkan anak-anak saudara saya tu. Saya sayang dia orang macam anak-anak saya sendiri. Dulu, cuma adik yang panggil saya dengan panggilan abah, tapi sekarang, angah pun dah panggil saya dengan gelaran tu...”
Suri tersenyum manis. “Alhamdulillah... Itu tandanya, encik ikhlas jaga dia orang, bukan kerana surat wasiat tu.”
Rizal balas senyuman Suri. Kemudian, menyambut seulas limau yang telah dikupas dari tangan Suri.
“Tak salah mencuba. Kita semua ni bermula daripada kosong. Kita belajar daripada kesilapan. Setiap pengalaman yang kita lalui akan buat kita maju setapak demi setapak,” ujar Suri tenang.
“Cikgu, saya rasa canggung pulak cikgu panggil saya encik. Tak perlulah panggil saya dengan gelaran tu. Saya ni cuma inspektor polis aje. Panggil saja Rizal.”
 “Okey. Rizal pun boleh panggil saya Suri aje, tapi kalau kat sekolah, Rizal kena panggil saya Cikgu Surilah,” balas Suri.
Rizal hanya mengangguk tanda faham.
Dump!
Bagai nak luruh jantung Rizal. Tiba-tiba aje pintu biliknya diterjah masuk oleh Khai. Yes, Khai datang melawat aku. Tapi, siapa kat belakang dia tu? Kak Leha? No!
**************************
Rizal, maaflah. Sepanjang Rizal duduk kat hospital ni, Leha langsung tak ada masa nak jenguk Rizal,” ujar Kak Leha becok.
“Yo, what’s up bro?” sapa Khai sambil menumbuk bahu Rizal.
“Argh! Khai!” Spontan Rizal menjerit. Binawe punya budak! Kut ya pun, janganlah tumbuk bahagian kena tembak ni.
Sorry, sorry... Lain kali aku buat lagi.” Khai tergelak besar sambil mengusap-usap perlahan bahu Rizal yang berbalut.
“Err… Khai, ini hospital,” sampuk Suri.
Khai tersenyum malu dan menggaru-garu kepala. “Sorry, Cikgu Suri. Cikgu, jom teman saya pergi honeymoon. Eh, silap, jom teman saya pegi jalan-jalan kat taman bawah tu. Bosanlah duduk sini, tak ada pemandangan yang indah.”
Rizal ketap bibir. Apasal Khai ajak Suri? Kenapa bukan aku? Aku sendiri pun dah bosan gila asyik duduk dalam bilik ni. Eh, aku ni cemburu ke? Apasal aku kena cemburu pulak? Memang padanlah Khai berpasangan dengan Suri sebab Suri tu perempuan, takkanlah nak berpasangan dengan aku pulak. Lelaki tambah lelaki, sama dengan gay, sama dengan dapat dosa, sama dengan tak boleh kahwin, sama dengan tak dapat anak, sama dengan tak ada siapa nak jaga aku bila dah tua nanti, sama dengan masuk rumah orang-orang tua, sama dengan tak ada siapa nak berdoa kat kubur aku, juga sama dengan, akan diazab di api neraka. Wargh!!! Aku tak nak!
Suri sekadar mengangguk, tanda menerima pelawaan Khai. Mak aih, selamba maut minah ni. Imej sopan, tutup aurat, tapi senang-senang aje setuju bila lelaki bukan muhrim ajak keluar. Hisy, apa nak jadi dengan manusia zaman sekarang ni? bebel Rizal tidak puas hati. Matanya hanya memandang Suri dan Khai berlalu.
Sekarang, tinggallah Rizal seorang dengan Kak Leha si andalusia dalam bilik ini. Mula-mula dulu, memang dia ingat Kak Leha ni dah kahwin, tapi bila dia tanya angah, rupanya Kak Leha tu sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi. Patutlah miang semacam aje.
“Rizal, makanlah buah strawberi yang Leha bawak ni. Saudara Leha tu baru balik dari Cameron Highlands dua hari lepas. Itu yang Leha bawakan untuk Rizal ni,” ujar Kak Leha sambil membuka beg plastik di tangannya.
Rizal menguntumkan senyuman yang tak berapa ikhlas. Aduh, macam mana ni? Dia betul-betul serius dengan apa yang dia cakap hari tu. Dia betul-betul nak aku panggil dia Leha. Argh! Ini semua kau punya pasallah,  Khai. Buat apa kau ajak orang tua ni datang sini?
“Err… tak apalah Kak Leha. Saya dah kenyang. Saya baru aje makan limau tadi,” kata Rizal bersungguh-sungguh sambil menunjukkan kulit buah limau di atas meja yang dikupas oleh Suri tadi.
“Alah, makanlah strawberi yang Leha bawak ni. Limau tak sedap. Rasalah ni...” rengek Kak Leha serupa kanak-kanak yang kehilangan gigi susunya.
“Saya tak selera nak makan apa-apa,” kata Rizal lagi bila Kak Leha terus mendesak.
“Makanlah, rasa sikit. Satu pun jadilah.” Kak Leha ambil sebiji buah strawberi, seakan mahu menyuap ke dalam mulut Rizal.
No way! Tak rela aku disuap oleh seseorang yang sepatutnya jadi kakak aku. Otak! Otak! Cepatlah kau berfungsi. Rizal mencari cara untuk lari. Cepat! Idea, idea… datanglah…
“Aduh! Aduh!” Rizal tekup perut dan pura-pura kesakitan.
“Rizal, kenapa ni?” Kak Leha bertanya risau.
“Sakit perut!”
“Sakit perut? Meh Leha tengok.”
“Eh, tak apa.” Cepat Rizal menepis tangan Kak Leha. “Saya rasa nak pergi tandaslah. Dah tak tahan ni.” Rizal melompat turun dari katil. Pahanya yang terkena tembakan, sudah tidak terasa sakit lagi. Bolehlah dia berjalan secara normal, cuma lambat sikit aje. Tapi, segala-galanya boleh kalau ia adalah satu pelan untuk melarikan diri daripada Kak Leha. Ya, Malaysia Boleh!
“Mari Leha temankan.”
“Eh, tak apa. Dah tak tahan sangat ni...” Terus saja Rizal berlari keluar dari bilik wad dengan hanya berkaki ayam. Panggilan Kak Leha tidak dihiraukannya. Rasa sengal di paha setiap kali kakinya melangkah, sudah tidak terasa. Rupa-rupanya, Kak Leha juga membantu serba sedikit dalam proses penyembuhan aku ini ya.

Toilet. Mana toilet ni? Langkah Rizal semakin laju. Risau juga dia kalau Kak Leha mengejarnya dari belakang. Dia tak rela menjadi buruan andalusia. Ya, dah jumpa. Toilet, here I come! Tanpa berfikir apa-apa lagi, terus saja Rizal masuk ke dalam tandas. Setelah yakin keadaannya selamat dan lokasi yang dia pilih juga cukup strategik untuk dijadikan tempat persembunyian, terus dia duduk di atas mangkuk tandas. Nafasnya turun naik. Oksigen, oksigen… Selamat! Peluh di dahi diseka. Tak sia-sia usahanya. Ya, akhirnya dapat jugak dia lari. Hehehe...

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Wednesday, May 5, 2010

Abang Khai Tomboy? 13

Di sebuah gudang lama,tempat Dato’ Rashid berkumpul bersama anak-anak buahnya…

“Bodoh,perlahanlah sikit!”tengking Dato’ Rashid semasa Yogi sedang menjahit luka di lengannya selepas berjaya mengeluarkan kelongsong peluru yang menembusi dagingnya.

Tertunduk-tunduk Yogi meminta maaf.Kemudian dengan berhati-hati kembali menjahit luka Dato’ Rashid.Walaupun banyak wang dan harta tapi satu kelemahan apabila bergelar penjahat, apabila ditembak dia tidak boleh dihantar ke hospital.Kalau tidak pasti pihak hospital akan bertanya pelbagai soalan dan kenapa dia ditembak.

“Bodoh!Bahlul!Semua tak guna!”pekik Dato’ Rashid lantang.

Yogi yang tersentak mendengar pekikan Dato’ Rashid tercucuk sedikit kulit Dato’ Rashid dengan jarum yang dipegangnya.Spontan Dato’ Rashid menjerit kesakitan.

“Sorry,bos!”

Dato’ Rashid mendengus geram.Terketar-ketar Yogi ingin meneruskan kerjanya tapi pantas Dato’ Rashid menepis tangan Yogi.

“Bos,nak saya habiskan budak ni?”tanya Eric yang setia di sisinya.

“Bagus jugak idea kau tu!”Dato’ Rashid mula tersenyum.

“Errr…bos,tolonglah maafkan saya.Saya betul-betul tak sengaja!”Yogi meletakkan kepalanya di kaki Dato’ Rashid.

“Minta maaf?Hari raya lambat lagilah.Eric!”Seraya itu kepala Yogi disepaknya.Darah membuak-buak mengalir keluar dari kepala Yogi yang mengenai hujung sepatu Dato’ Rashid.

Pow!!!

Yogi terbaring di lantai dengan mata buntang.Peluru pistol yang dilepaskan Eric tepat mengenai jantungnya.

“Bodoh,hidup pun menyusahkan aku!”Dato’ Rashid menyepak tubuh Yogi.

“Niles,lepas ni kau campak mayat ni kat lombong!”arahnya.Niles mengangguk dan terus mengheret mayat itu pergi dari situ.

Eric mendekati Dato’ Rashid dan meneruskan kerja Yogi yang dilakukan setengah jalan.
Perlahan-lahan dia menjahit luka bosnya itu.Kali ini dia mahu lebih berhati-hati.Takut dia juga akan menerima nasib yang sama seperti Yogi.

Dato’ Rashid terketap-ketap menahan amarah yang bersarang di hati.Rasa aneh masih merajai fikirannya.Setahunya,dia tidak pernah memberitahu sesiapa tentang rancangannya ingin berurus niaga dengan Geng 13 di pelabuhan perkapalan itu.

Hanya seorang yang tahu tentang perkara itu.Dia cuma memberitahu kepada seorang anak buah yang paling dipercayainya walaupun anak buahnya itu baru beberapa bulan menyertai kumpulannya iaitu Rio.

*******************************
DALAM payah Rizal cuba membuka mata. Beralih dari alam yang tadinya diam dan sepi kepada alam yang hangat dan bising. Untuk seketika, dia terasa persekitarannya kelam dan samar.

Aduh, kat mana aku ni? Wayar apa pulak yang menjalar kat tangan aku ni? Apasal ada bau ubat? Rizal cuba mengiring ke kiri, tapi dia terasa bahunya terlalu berat. Bila dia menoleh, terkejut dia apabila melihat Khai tidur di sebelahnya. Kepala Khai dilentokkan ke bahunya.

Saat itu, Rizal ambil peluang untuk merenung muka Khai. Comelnya dia. Hidung mancung, boleh buat penyangkut baju. Kulitnya putih gebu kemerah-merahan. Ringan aje tangan Rizal mengusap-usap pipi dan rambut Khai. Kalaulah dia perempuan, tentu dia boleh jadi seorang perempuan yang cantik. Tapi dia bukan perempuan! Spontan Rizal menghentikan perlakuannya. Astaghfirullah… Sabar, Riz, sabar… Allah masih beri kau peluang untuk hidup. Kau tak boleh buat perbuatan terkutuk ni. Gay sangat diharamkan dalam agama. Kalau kau gay sekalipun, belum tentu si Khai ni nakkan kau.

Rizal cuba angkat kepala Khai. Terasa lenguh bahunya tika itu. Sedang dia asyik mencuba untuk bangun, tiba-tiba Khai terjaga.

Khai menenyeh-nenyeh matanya dan merenung Rizal dengan mata bulatnya. “Rizal, kau dah sedar? Ya Allah, kau dah sedar!” Tak semena-mena tubuh Rizal dipeluknya.

Jantung Rizal berdegup kencang. Dup dap, dup dap… Apa hal dengan kau ni, Riz? Dengan budak laki pun kau boleh feel ke? “Aduh, sakit Khai. Sakit!” adu Rizal apabila terasa sengal di bahu.

Cepat Khai meleraikan pelukannya. “Err…sorry. Aku tak ingat kau kena tembak.”

Kena tembak? Err… pasal kes serbuan besar-besaran tu ke? Patutlah berbalut macam separuh mumia aje. “Mana kau tahu aku kena tembak semalam?”

“Semalam? Kau ni mengigau ke apa? Dah tiga hari kau terlantar kat sini tak bangun-bangun, tau?” jawab Khai sambil menguap menahan kantuk.

Terkejut Rizal mendengar jawapan Khai. Dah tiga hari? Apasal aku rasa macam baru semalam? Hairan aku. Biasanya kalau orang lain, sehari pun dah bangun. Aku ni sampai tiga hari. Dahsyat betul!
“Habis tu, dah tiga hari jugak ke kau tidur kat sini?”

Cepat aje Khai mengangguk.

“Ambil berat jugak kau pasal aku ek…” Rizal mula tersenyum nakal.

Khai mencebik. Mukanya sudah merona merah. “Wei, kalau bukan sebab adik, tak ada maknanya aku nak tunggu kat hospital ni, tau? Tiga hari tiga malam dia menangis sebab kau kena tembak. Dia cakap setiap malam dia mimpi benda yang sama. Kau ingat tak sebelum kau operasi, adik tak bagi kau pergi?”

Rizal terdiam. Memang sehari sebelum dia melakukan serbuan, berkali-kali adik melarangnya untuk menyertai serbuan itu sebab adik takut dia kena tembak. Adik cakap yang dia tidak mahu kehilangan abahnya lagi, tapi dia terpaksa kecewakan adik sebab dia adalah seorang polis dan tugasnya berkhidmat kepada negara.

“Cuma sebab adik ke kau tunggu aku kat sini?”

“Ha’ahlah. Habis tu kau ingat apa?” Muka Khai makin merah.

“Bapak kau tak marah kau asyik datang sini?”

“Sejak hari serbuan kau tu, bapak aku langsung tak balik-balik. Call pun tak!”

“Habis tu kau tak risau?”

“Gila kau tak risau! Tapi, tak ada apalah… Bapak aku memang macam tu. Aku dah biasa dah. Kadang-kadang ada jugak sampai seminggu keluar tak balik-balik.”

Rizal berfikir-fikir sendiri. Tiba-tiba pulak dia teringat pasal majlis makan malam IBSYA Holdings tempoh hari. Lepas dia bagi ucapan, dia dikerumuni ramai VIP. Tengah dia asyik melayan VIP-VIP itu bersembang, tiba-tiba dia nampak seorang perempuan dari jauh. Dia cuba mendekati perempuan itu, tapi bila dia semakin hampir, perempuan itu lesap macam begitu sahaja. But she seems very familiar. I think I already met her somewhere. Muka dia macam muka…

“Kau…” Jari Rizal tepat menunjuk ke muka Khai.

Tiba-tiba pintu bilik wad dibuka. Azman yang segak memakai jaket kulit hitam, masuk ke dalam bilik. “Oh, kau orang dating ya? Maaf mengganggu,” usik Azman.

“Hisy, kau ni... Kut ya pun tengoklah aku dengan siapa. Jantan ke betina,” bidas Rizal.

Azman tersengih. Dia nak duduk kat sebelah katil, tapi sebaik terpandang sebakul buah di atas meja, cepat dia memesong arah dan lebih berminat membelek buah-buahan yang ada kat dalam bakul. “Uih, sedap ni Riz... Ada anggur, epal, strawberi… My favourite!” Dengan muka tak malu, Azman terus buka balutan bakul buah itu dengan rakusnya. Kemudian mengunyah buah anggur sebiji demi sebiji.

Rizal geleng kepala melihat reaksi rakannya itu. Khai pula sudah ternganga. Apa punya perangailah...

“Rugi kau Riz. Tiga hari kau tak bangun, tiga hari jugaklah aku asyik melantak buah kau ni. Kau halalkan, ya? Lagipun, kau kan sakit, mesti kau tak selera nak makan buah-buah ni, kan?”

Rizal tersenyum dan menggeleng-geleng. “Ambik ajelah, Man. Aku memang tak selera nak makan apa-apa pun.”

“Wei, tapi aku hairanlah. Setiap hari aku datang, pasti ada orang bawak buah, tapi tak tahulah pulak siapa yang bawak,” ujar Azman sambil mengunyah buah strawberi.

“Err… Riz, aku blah dululah.” Khai tiba-tiba bangun dari tempat duduknya.

“Kenapa?” soal Rizal. Dalam hatinya sudah rasa kecewa. Tak sampai setengah jam berbual, Khai dah nak pergi. Ini semua kau punya pasallah, Azman bin Mamat.

“Aku ada shootinglah. Kau dah jumpa director drama aku tu, kan? Garang nak mampus. Okeylah, aku chiow...” Cepat aje Khai lesap tanpa sempat Rizal kata apa-apa.

Azman terpinga-pinga. “Riz, budak tu ambik kelas teater ke?”

“Apasal kau tanya macam tu pulak?”

“Habis tadi cakap pasal shooting, director…

“Dia tu pelakonlah!”

What?

“Memanglah kau tak kenal sebab kita ni kerja pun tak tentu masa. Mana sempat tengok TV. Aku sendiri pun tak kenal. Sampai sekarang aku tak pernah tengok drama lakonan dia.”

Azman cuma mengangguk-angguk.

“Man, apa jadi masa kes serbuan hari tu?” Rizal bertanya.

“Mmm… ada dua benda. Baik dan buruk. Kau nak dengar yang mana dulu?”

“Baik dululah!”

“Kita berjaya tangkap Geng 13. Dia orang datang dari Korea untuk berurusan dengan Geng 23X dan benda buruknya…”

“Geng 23X terlepas!” Pantas Rizal memotong kata-kata Azman.

“Mana kau tau?”

“Dia orang lari depan mata aku!”

You… What?

“Aku dah cuba halang, tapi tak berjaya. Aku makin lemah sebab aku kena tembak. Tapi sebelum aku pengsan, aku sempat tembak bos dia orang. Kena kat lengan aku rasa...” Rizal mengusap-usap bahu yang berbalut kerana ditembak.

 “Habis tu kau nampak muka bos Geng 23X tu?”

Soalan Azman mematikan lamunan Rizal. “Tak.”

Muka Azman bertukar hampa.

“Dia orang semua pakai topeng, tapi aku pasti bos dia orang tu sebenarnya dah tua sebab perutnya boroi.”

“Okey… Aku rasa kata-kata kau ni boleh digunakan untuk menjejaki Geng 23X. Jadi kesimpulannya, bapak segala bapak ketua gangster tu ialah orang tua.”

Serentak itu Rizal dan Azman ketawa. Orang tua? Hmm… sepatutnya di usia senja, dia patut mengisi waktu lapang dengan mengucup tikar sejadah. Ini tidak, dia mengedar dadah pula. Cerdik punya manusia!

“Mmm… Aku nak beritahu sesuatu ni. Tuan Rashdan bagi kau cuti tiga minggu. Best tak?” Azman mengangkat ibu jarinya.

“Apasal lama sangat? Setahu aku kecederaan aku ni taklah serius sangat. Aku rasa tembakan yang kena kat paha ni pun tak cecah tulang.”

“Wei, kalau aku yang dapat cuti sampai tiga minggu, aku takkan banyak soal jawab tau. Kau tu kira untung Tuan Rashdan nak bagi rehat lama. Aku tahulah kau tu workaholic, tapi rehatlah sekali-sekali. Ni biar aku terangkan apasal dia bagi kau cuti sampai tiga minggu. Seminggu setengah kerana kecederaan di bahu dan seminggu setengah lagi kerana kecederaan di paha. Jadi, nanti bolehlah kau luangkan lebih masa dengan anak-anak saudara kau.”

Rizal sudah tersenyum mendengarnya. Tiga minggu? Ini dah bagus. Bolehlah aku jumpa Khai hari-hari.

****************************

KHAI menjerit sekuat hati di tandas wanita yang terdapat di hospital itu. Kau memang tak guna! Tak guna kau,  Rizal! Tak guna!

Khai membasuh mukanya di singki. Geramnya memang tak terhingga. Tiga hari berturut-turut dia datang melawat Rizal dan tidur di sebelah katil lelaki itu setiap malam. Tiap-tiap hari dia datang membawa sebakul buah dengan harapan apabila Rizal sudah sedar nanti Rizal akan memakan buah-buahan yang dibawanya, tapi Rizal menyedekahkan buah-buah pemberiannya kepada Azman. Kalaulah aku tahu perangai kau macam musang pulut, lebih baik kau tak payah bangun, bentak Khai tidak puas hati.

Perempuan-perempuan tak kira usia, tua dan muda yang ada dalam tandas tu semua memandang ke arah Khai. Tapi, Khai tidak mahu mempedulikan mereka dan terus membebel seorang diri. Apa yang dia bebelkan, dia sendiri tidak tahu.

“Dik.” Ada satu suara menyapa.

“Nak apa?” Khai melayan acuh tak acuh. Dari cermin di hadapannya, dia dapat melihat imej perempuan yang menyapanya. Seorang wanita lingkungan 30-an.

“Adik ni buta huruf ke?”

Tersentak Khai mendengar soalan itu. Kurang ajar betul soalan yang diutarakan itu. Apakah sebenarnya maksudnya bertanya seperti itu? “Apasal akak tanya macam tu?”

“Kat luar tu tulis ini tandas perempuan. Kat sebelah tu baru tandas lelaki. Adik salah toilet ni.”

“Saya perempuanlah, kak.”

“Perempuan? Betul ke ni?” Wanita itu memandang Khai atas bawah.

“Tipulah. Kalau betul kau perempuan, mana dada kau?” Seorang remaja belasan tahun tiba-tiba menyergah.

Kurang ajar punya budak. Langsung tak reti hormat orang tua, bentak hati Khai panas.

“Awak ni bapuk ke?” ujar satu suara lagi.

“Kesian… Mungkin dia teringin sangat nak jadi perempuan kut...” Seorang wanita berbisik kepada kawannya.

Khai rasa kepalanya sudah nak berasap. Dahlah dia fade-up dengan Rizal, minah-minah ni pulak nak cari pasal.

Memang tak ramai yang tahu Khai sebenarnya perempuan. Satu kelebihan Khai, dia memiliki suara yang serak-serak basah. Satu lagi sebab kenapa orang ramai tak boleh cam dia perempuan sebab dia suka pakai bengkung untuk tutup dua bukit di dadanya itu.

“Nah, ambillah tengok IC. Khairina anak Dato’ Rashid!” Khai menghulurkan ICnya pada wanita yang awal-awal menyapanya tadi.

“Oh, maaf ya, dik. Akak tersilap. Maklumlah...” Wanita itu menyerahkan semula IC yang dipegangnya kepada Khai.

“Eh, awak ni bukan Khairina, pelakon tu?” tanya seorang gadis awal 20-an.

“Pelakon? Eh, betul ke Khai ni?” Seorang demi seorang datang mendekati Khai.

“Kak Khai, saya minat betul dengan lakonan akak sebagai pengkid dalam cerita…”

Waaa… Mummy, tolong Khai. Hajatnya ke sini mahu menenangkan fikiran, tapi semakin kusut fikirannya. Seorang demi seorang mendekatinya dan meminta tandatangannya.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)