Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Saturday, June 19, 2010

Abang Khai Tomboy? 18

SUASANA ruang tamu di rumah itu sunyi sepi tiba-tiba. Tidak ada seorang pun yang berani berkutik. Angah sudah membawa adik tidur di tingkat atas. Khai berdiri di satu sudut sambil berpeluk tubuh. Rizal berdiri di hadapan along yang duduk menikus dengan linangan air mata.
Kecewanya Rizal hanya Allah yang tahu. Tidak tahu di mana harus disorokkan muka apabila anak saudaranya sendiri ditangkap atas tuduhan mencuri di pasar raya. Kawan-kawan along masih dalam siasatan polis kerana pihak polis menemui barang-barang curi di dalam beg mereka. Along dibenarkan diikat jamin kerana tiada bukti along mencuri. Dia hanya dibawa ke balai polis kerana dilihat berjalan bersama kumpulan tersebut.
“Kau kurang ajar dengan aku, aku boleh terima. Kau tak suka aku, aku tetap sabar. Kau tak nak terima aku dalam rumah ni, aku beri kau masa. Tapi, kau memalukan aku, itu aku tak boleh terima!” jerkah Rizal dengan mata merah menyala.
“Tapi, saya tak mencuri.” Along cuba mempertahankan dirinya.
“Ya, tapi kau berkawan dengan pencuri!”
Along terdiam. Memang pada awalnya itulah niatnya. Rakan-rakannya ingin mengajarnya bagaimana caranya berbelanja dengan seronok dan mudah tanpa mengeluarkan sesen pun. Semasa di pasar raya tersebut, dia sendiri terkejut apabila melihat rakan-rakannya sibuk memasukkan pelbagai jenis barangan yang dijual ke dalam beg sandang. Rakan-rakannya turut memaksanya melakukan hal yang sama, tapi dia takut.
Segala-galanya berlaku dengan sangat pantas. Tak sampai seminit, mereka tiba-tiba disapa beberapa orang pekerja di pasar raya tersebut. Selepas menggeledah beg-beg mereka, barang-barang curi ditemui dan mereka semua dibawa ke balai polis. Pihak pasar raya itu sebenarnya sudah lama mengetahui tentang kegiatan rakan-rakan along melalui CCTV yang terdapat di pasar raya tersebut, tapi setiap kali pihak mereka cuba mendekati, rakan-rakan along lebih pantas keluar daripada pasar raya tersebut. Tapi, nasib mereka kurang baik pada hari ini.
“Kau ni dah kebulur sangat ke, ha? Duit yang tiap-tiap bulan aku bagi tu, belum cukup ke sampai kau nak berkawan dengan budak-budak macam tu? Memang sekarang kau tak mencuri, tapi akan datang...”
“Rizal...” Khai bersuara. Dia tidak suka Rizal menengking along seperti itu. Benar along bersalah, tapi tidak seharusnya along ditengking seperti itu. Along memerlukan lebih pendekatan psikologi, tidak perlu dimarahi seperti anak kecil lagi.
“Kenapa? Kau tak suka aku marah dia? Sebab sikap mengalah kau nilah dia cepat naik kepala. Kau tahu, dalam masa sehari aje dia dah buat dua kesalahan. Dahlah ponteng kuliah, lepas tu lepak pulak kat tengah-tengah bandar. Kalau setakat tu tak apa, aku boleh maafkan. Tapi dia dah diseret ke balai atas tuduhan mencuri. Mana aku nak letak muka aku ni, Khai? Seorang inspektor polis, tapi ada anak saudara yang perangai macam setan!”
Berdesing telinga Khai dan along mendengar ayat Rizal yang terakhir itu.  Tergamak Rizal menyamakan anak saudaranya sendiri dengan setan.
“Riz, kau ni dah melampau!” Bulat mata Khai merenung Rizal.
“Sekarang kau kata aku macam tu, tapi suatu hari nanti, kau akan berterima kasih pada aku. Along dengar sini baik-baik, mulai hari ni, aku akan sekat semua perbelanjaan kau.”
Tersentak along mendengar kata-kata bapa saudaranya.
“Kau akan hadiri kuliah ikut masa. Pergi dan balik aku yang hantar. Pakaian, aku tak nak lagi kau pakai baju dedah sana sini. Setiap kali keluar, aku nak kau pakai baju kurung. Aku takkan bagi lagi duit saku tiap-tiap bulan. Semua makan minum kau, aku dah tanggung. Kalau aku dapati kau membantah, aku…”
“Sudahlah, pak su!” Along memekik tiba-tiba. Air mata yang mengalir laju, diseka.
Rizal tergamam mendengarnya.
“Pak su tak berhak untuk tentukan hidup saya. Pak su tak boleh nak halang dengan siapa saya nak berkawan, bila saya nak keluar dan apa yang saya nak pakai. Saya tak pernah kacau hidup pak su, jadi pak su jangan nak kacau hidup saya. Siapa pak su, ha? Pak su bukan siapa-siapa bagi saya. Pak su tu cuma penyibuk yang…”
Pang! Tamparan pertama Rizal mengenai pipi along. Along terdorong ke belakang dan terjatuh ke atas sofa. Pipinya sudah memerah. Khai terdiam menyaksikan aksi spontan itu.
“Jangan sesekali tinggikan suara pada aku!” Rizal menudingkan jari telunjuknya ke muka along dengan mata menyorot ganas.
Khai bergegas mendapatkan along dan mengusap-usap rambut anak saudaranya itu. “Riz, kau tak sepatutnya naik tangan pada dia. Mak bapak dia sendiri pun tak pernah jentik dia, kau nak lempang dia pulak. Apa kes?”
Rizal teguk liur. Rasa bersalah mula bertandang. Dia benar-benar tidak menyangka malam ini dia akan menampar along. Dia masih boleh mengawal dirinya walaupun along ditangkap pihak polis, tapi dia rasa tercabar apabila anak saudaranya itu berani meninggikan suara kepadanya.
“Sudahlah! Memang dari awal saya dah tahu yang pak su tak pernah sukakan saya. Pak su bencikan saya, sebab tu pak su selalu cari salah saya. Pak su pergilah manjakan angah dengan adik. Kalau pak su dah menyampah sangat tengok muka saya, saya boleh keluarlah dari sini.” Usai menghabiskan kata-katanya, along terus menolak tubuh Khai yang memeluknya dan mencapai tas tangan di atas meja.
Khai cuba menarik tangan along, tapi along pantas berlari keluar ke muka pintu. Khai memandang Rizal, berharap Rizal dapat berbuat sesuatu. Paling tidak, menghalang along daripada pergi. Tapi, Rizal tidak melakukan apa-apa. Lelaki itu hanya membalas pandangan Khai dan terduduk di sofa.

*************************
“SI RIZAL tu memang tak guna! Dia ingat dia tu siapa? Nak atur-atur hidup I konon...” luah along geram sambil meneguk air kuning berbuih-buih dalam gelasnya. Sejak kematian kedua ibu bapanya, meneguk Hennessy, Martini, VSOP dan Vodca, bagaikan sudah menjadi kebiasaan baginya.

Ray tersenyum mendengar luahan buah hati kesayangannya itu. Walaupun tempoh hari dia telah dimalukan oleh bapa saudara along, dia masih setia bersama along. Bukan atas dasar cinta, tapi dia tidak akan berhenti selagi bapa saudara along tidak menerima balasannya. Dia begitu berdendam dengan Rizal dan cara dia membalas dendam, adalah melalui along.
“Yang paling I tak boleh terima, ada ke dia tampar I... Belum pernah ada sesiapa dalam dunia ni yang pernah naik tangan pada I, tau tak? My parents pun tak pernah jentik I. Sampai bila-bila pun I akan benci dia. Benci dia sampai mati!” Along meletakkan gelas yang dipegangnya di atas kaunter minuman. Kepalanya sudah pening-pening lalat.
“Senang-senang, you tinggalkan aje rumah tu. Sejak pak su you ada, hidup you kat rumah tu dah tak aman. Dia macam gila kuasa. Semua benda kat rumah tu dia nak kawal.” Ray cuba mengapi-apikan along.
Along mengangguk-angguk. “Memang I dah tinggalkan pun neraka tu. Dia nak sangat kawal rumah tu, ha, ambiklah! I tak heran pun!”
“You boleh tidur rumah I kalau you nak. Parents I tak ada. Dia orang pegi Paris.” Tiba-tiba aje Ray jadi baik. Baik ada makna.
“Mmm… boleh jugak.” Along tersenyum manja.
Ray mencuit hidung along lantas meraih pinggang buah hatinya itu. “Memandangkan sekarang you dah bebas dan tak ada apa lagi yang boleh halang you, apa kata you bagi I cium you sikit.”
“Cium? Mana boleh!” Pantas along menolak wajah Ray yang semakin dekat dengan pipi gebunya. Walaupun sudah beberapa bulan dia berpasangan dengan Ray, tapi Ray hanya berpeluang meraih pinggangnya. Cukup cuma itu. Belum pernah sampai cium-mencium atau sampai ke bilik tidur walaupun sudah berkali-kali Ray mengajaknya melakukan perbuatan itu.
Come onlah, Ari. Kita bukan budak-budak lagi. Dah tak ada siapa yang boleh halang kita,” pujuk Ray. Dia tidak akan berputus asa selagi along tidak jatuh ke perangkapnya malam ini. Kebetulan pula malam ini memang along memerlukan seseorang untuk menemaninya.
Along menggeleng-geleng. “I tak nak. I tak bersedia lagi untuk sampai ke tahap tu.”
Please, AriJust one night!
“Hei, you ni dah gila ke? I bukan bukan perempuan murahan tau!” Along tiba-tiba naik berang apabila jari-jemari Ray semakin nakal.
Ray menghentikan perlakuannya. Orang ramai yang turut minum berdekatan mereka sudah memandang ke arah mereka. Perasaan Ray panas tiba-tiba. Sepantas itu ringan tangannya menghayunkan penampar ke muka along. Along tersembam di kaunter. “Oh, bukan perempuan murahan ya? Yang kau pakai baju tak cukup kain, dedah sana-sini, saja nak tarik nafsu kaum lelaki tu bukan murahan namanya?”
Tergamam along mendengar kata-kata Ray. Tidak disangkanya Ray juga tergamak mengangkat tangan kepadanya. Air matanya bergenang.

“Engkau tu memang murahan, tau tak? Murahan!” Ray menarik tali halus yang menyangkut pada bahu along sehingga tali itu tercabut dan koyak. 


Along menangis sambil menyilangkan kedua-dua belah tangan ke dadanya. Saat ini dia cuma terkenangkan pak sunya. Meminta agar pak sunya datang untuk menyelamatkannya.
Tangan Ray hampir menyinggahi pipi along untuk kali yang kedua, tapi sepantas itu ada tangan lain yang menampannya.
“Tak ada siapa boleh sakiti anak saudara aku!”
Along mengangkat muka. Wajah pak sunya yang garang menentang wajah Ray. Syukur, doanya dimakbulkan.
“Apa, kau ingat kau dah kuat sangat ke?” Ray menolak kuat bahu Rizal.
“Argh!” Tiba-tiba Rizal mengerang kesakitan. Bahunya masih belum sembuh betul selepas ditembak tempoh hari. Bahunya memang mudah terasa sakit walaupun hanya dilanggar atau ditolak perlahan.
“Mak aih, baru tolak sikit dah sakit? Hari tu bukan main perkasa kau ejek nama aku depan orang ramai,” sindir Ray sinis.
Rizal menahan geram yang teramat. Kalau tidak kerana kecederaan ini, alamatnya sudah lama Ray lenyek dibuat lempeng.
“Pak su, pak su tak apa-apa?” Segera along mendapatkan Rizal dan mengusap-usap bahu ayah saudaranya itu.
Rizal mengangguk-angguk. “Pak su tak apa-apa. Along macam mana?”
“Saya pun tak apa-apa,” jawab along sambil mengesat air mata yang masih berbaki di tubir matanya. Terharu dia dengan perhatian yang diberi pak sunya selama ini. Bodohnya dia kerana melabel sikap prihatin Rizal selama ini sebagai penyibuk.
“Jangan kacau anak saudara aku lagi lepas ni. Kalau tak, tahulah nasib kau!” Rizal memberi amaran. Langkah diatur.
“Kau nak buat apa, ha? Nak menjerit macam tadi ke? Jadi bapuk ajelah kau! Balik rumah masak nasi, tunggu laki kau balik lagi bagus!”
Langkah Rizal terhenti. Along memegang tangan pak sunya, berharap pak sunya tidak mempedulikan kata-kata Ray. Namun sebaik berpaling, sebiji tumbukan melayang ke muka Ray. Tubuh Ray terhenyak ke kaunter minuman hingga beberapa biji gelas yang berada di atas kaunter tersebut terjatuh dan pecah.
Suasana menjadi sunyi tiba-tiba. Muzik dan alunan melodi yang rancak dan membingitkan telinga, sudah tiada. Orang ramai yang sedang menari juga turut merenung mereka bertiga.
Rizal memegang bahunya. Pasti selepas ini bahunya semakin susah untuk sembuh. Semakin banyak aktiviti yang dilakukan melibatkan anggota di bahu, tubuhnya dipaksa bekerja lebih kuat daripada biasa.
Ray mengesat cecair merah yang mengalir di tepi bibirnya. Kepalanya terasa pening-pening lalat.
Rizal mengusap-usap kepala along untuk menenangkan anak saudaranya itu. Dia kaget sebentar apabila melihat tali halus yang menyangkut di bahu kiri along sudah putus.
“Along, kenapa ni? Siapa buat?”
Along menggeleng. “Tak, tak ada siapa. Saya yang tak sengaja tertarik tali ni tadi!”
“Tengok tu, masih nak bela dia lagi!”
Along terdiam mendengar jerkahan Rizal.
Sepantas itu Rizal mendekati Ray dan menghadiahkan sebiji sepakan di perut pemuda itu. Terjerit Ray kerana kesakitan. Along  pula sudah terdiam seribu bahasa. Tidak disangkanya Rizal akan berubah seganas itu.
“Ini hamper sebab kau berani buat kurang ajar pada anak saudara aku!” Rambut Ray ditarik. Sebijik lagi penumbuk menyinggahi pipi lelaki itu. “Ini pulak hadiah sagu hati sebab berani naik tangan pada anak saudara aku!”
Ray sudah terkulai lemah di atas lantai. Orang ramai pula bagaikan tidak berani melawan Rizal dan hanya mampu menjadi penonton setia.
Rizal menarik kedua-dua belah pipi Ray, memaksa lelaki itu memandangnya. “Dengar sini baik-baik. Pasang telinga kau! Mulai hari ni, jangan sesekali dekati anak saudara aku lagi, pandang dia pun jangan. Kalau aku dapati kau tak buat apa yang aku suruh, jangan salahkan aku kalau sesuatu terjadi pada kau, faham?”
Ray hanya diam membalas pandangan Rizal.
“Faham tak?!” tempik Rizal lagi. Dia mengangkat tangan bagai ingin menumbuk Ray, tapi pantas Ray menyilangkan kedua-dua belah tangannya untuk melindungi mukanya dari ditumbuk lagi.
“Ya, saya faham, bang. Saya takkan kacau Ariana lagi!”
Rizal tergelak kecil melihat aksi Ray. Memang sesiapa yang pernah merasai penangannya untuk kali pertama akan berasa serik. “I assume you to understand it.” Kemudian pipi Ray dilepas kasar.
“Nah, saya bayar atas semua kerugian tadi!” Rizal mengeluarkan beberapa keping not seratus dan meletakkan di atas kaunter minuman. Terketar-ketar pelayan lelaki itu mengambil sejumlah wang yang ditinggalkan.

Rizal menanggalkan jaketnya dan menyarungkan ke tubuh along. Dia tidak suka melihat tubuh along terdedah seperti itu.

*******************************

ALONG tersentak daripada lamunan apabila Rizal muncul dihadapannya sambil menyuakan secawan kopi panas. Tanpa mengucapkan terima kasih, along terus mengambil cawan kertas yang dihulurkan itu lantas menghirup kopi panas itu perlahan-lahan. Tubuh dan fikirannya terasa segar sedikit.

Rizal terus duduk di sebelah anak saudaranya itu. Penutup Maggi cup ditarik. Seronoknya makan Maggi kat kaki lima 7-Eleven. Sengaja dia bawa along ke sini untuk berbincang. Malam ini dia mahu berbincang dari hati ke hati. Dia tidak mahu lagi ada sebarang sengketa antara dia dan along.
“Nak?”
Along menggeleng.
“Along tau tak, pak su dulu masa kat akademi, selalu makan Maggi. Kat sana disiplin tinggi. Makan malam awal, jadi cepat lapar. Tengah-tengah malam tu ajelah boleh curi-curi makan bawah selimut,” cerita Rizal sambil menyuapkan Maggi kari ke dalam mulutnya.
Along hanya diam tanpa memberi sebarang respons. Dia asyik merenung cawan kopi yang panas meruap di tangannya.
“Dulu, masa sebelum masuk akademi, pak su tak pernah makan Maggi sebab mama dengan papa pak su, maksudnya nenek dengan atuk along, dia orang tak bagi pak su makan benda-benda mengarut macam ni. Dia orang kata boleh lembabkan otak. Tapi, bila masuk aje akademi, inilah yang jadi makanan kegemaran pak su sampai sekarang.” Rizal galak bercerita walaupun dia tahu along tidak akan membalas kata-katanya. Tujuannya hanya mahu along kembali ceria dan tidak terlalu memikirkan peristiwa di pub tadi.
“Pak su…” Along bersuara perlahan. “Saya… Saya minta maaf.” Tiada lagi suara kasar dan garang setiap kali berkomunikasi dengan Rizal. “Saya selalu kurang ajar dengan pak su selama ni. Pak su tegur baik-baik, saya selalu balas dengan tengkingan.”
Rizal terdiam mendengar kata-kata along. Buat pertama kalinya dia mendengar along bertutur selembut ini. Kalau tidak, sikit-sikit nak memberontak. “Sudahlah, along. Pak su tak ambik hati pun. Biasalah, along masih remaja. Darah tengah panas. Pak su pun nak mintak maaf sebab selalu banding-bandingkan along dengan angah dan adik.”
“Tak, pak su memang betul. Saya memang degil, tak dengar kata. Saya cuma nak orang lain lebih beri perhatian pada saya. Lepas ibu dan abah meninggal, saya rasa kesunyian. Saya harap bila saya berperangai macam tu, Abang Khai akan lebih prihatin dan selalu bertanya pasal saya, tapi nampaknya dia makin tak sukakan saya.” Along mengesat air matanya.
“Tak, along. Rasanya along dah salah anggap tentang sikap dia. Mungkin dia pun dah tak kuasa nak nasihatkan along lagi. Atau, mungkin dia fikir along dah besar, along dah boleh fikir sendiri mana baik dan mana yang buruk.”
“Tapi, saya tak setabah tu, pak su. Saya tak kuat. Saya rasa seolah-olah dunia ni dah kiamat bila mata saya tengok sendiri ibu dan abah dikafan dan dikebumikan,” luah along.
Rizal diam mendengar luahan along.
“Saya… saya rindu ibu dan abah. Saya sangat rindukan dia orang.”
Rizal mengusap-usap belakang along dan membawa anak saudaranya itu ke dalam pelukannya. “Tak salah untuk luahkan perasaan. Jangan malu untuk luahkan apa yang terbuku di hati kita sebab sedikit sebanyak ia boleh meringankan beban yang kita tanggung. Menangislah, kalau itu dapat tenangkan hati along.”
Along terus menangis teresak-esak. Dalam hidupnya, baru kali ini dia merasa setenang itu. Ya, kematian ibu dan abah adalah qada dan qadar Allah. “Pak su.” Pelukan dileraikan.
“Yup!”
“Boleh saya panggil pak su, abah? Sama macam angah dengan adik?” Teragak-agak along menyatakan hasratnya itu.
Rizal tersenyum dan mengangguk. “Abah suka kalau along panggil abah dengan panggilan tu. Along anak abah.”
Bibir Along mula mengukir senyuman. Kemudian dia berjalan beriringan bersama Rizal menuju ke kereta.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Thursday, June 3, 2010

Abang Khai Tomboy? 17

ANGAH angkat kening melihatkan Khai yang sedari tadi duk tersengih sorang-sorang sambil menyuap burger ke dalam mulut. Dia hairan betul tengok perangai Khai sejak akhir-akhir ini. Setiap kali keluar bersama dan bila dia biarkan Khai layan blues, dia tengok Khai suka senyum sorang-sorang. Kenapa agaknya ek? Ada pelakon lelaki baru yang handsome ke? Adakah lebih maco daripada aku? Hati angah tertanya-tanya. 

“Bang, abang ni sihat tak?” soal angah. Risau jugak dia melihat perangai Khai sebegitu. Manalah tau Celsius tiba-tiba tukar jadi Newton.
“Biasa aje. Apasal?” Khai masih lagi tersenyum.
Angah masih pelik.
Khai mengalihkan pandangan pada angah. “Apasal kau tenung aku macam tu? Ada tahi gigi ke?” Burger diletakkan semula ke dalam pinggan. Jari kelingkingnya dimasukkan ke dalam mulut untuk mengorek sisa-sisa makanan yang mungkin terlekat di celah gigi. Langsung tidak mempedulikan lelaki di meja sebelah yang sudah memandangnya dengan pandangan jijik di restoran McDonald’s itu. Eleh, macamlah dia tak ada tahi gigi.
“Apasal kau tengok aku ni? Tahulah aku ni handsome, maco, berkebolehan…”
“Sudah, sudah... Cair tahi telinga angah dengar.” Angah pulak korek telinganya dengan tisu.
“Hisy, pengotorlah kau ni. Tak nampak ke kita tengah berada di tempat awam?”
“Hmm… yalah tu. Abang tu cari tahi gigi, tak kotor pulak?” perli Angah.
Khai mencebik selamba.
“Bang, apsal abang senyum sorang-sorang tadi?”
“Senyum sorang-sorang? Ekau gilo ko? Ado ko cakap den senyum sorang-sorang.” Ceh, cakap dialek Negeri Sembilanlah pulak...
“Angah nampaklah!”
“Mana ada!”
“Kat McD ni ada CCTV tak? Biar angah tunjukkan buktinya.”
“Sayangnya tak ada!” Khai jelir lidah. Tapi, dalam hati dia sebenarnya dah malu tahap gaban. Macam manalah dia boleh tak sedar yang dia tengah senyum? Tadi tu pun, dia teringatkan si Inspektor Gadget. Teringatkan perangai nakalnya, kebudak-budakannya dan kematangannya (kadang-kadang aje dia akan berperangai sebegini).
Aduh, kenapalah dengan aku sejak akhir-akhir ni? Takkanlah aku boleh terpikat dengan Inspektor Gadget. Dahlah perangai childish, samalah macam aku. Tapi, kalau boleh, aku naklah yang matang, boleh bimbing aku ke arah kematangan. Kalau dah childish tambah childish, huru-hara dunia.

Kini gemilang itu semakin pasti ku genggam
Gemilang suara keyakinan kian dalam
Gementar harus jangan jiwaku harus bertenaga
Mungkinkah ini menjadi realiti

Khai tersentak dari lamunan pendeknya apabila terdengar lagu Gemilang nyanyian Jaclyn Victor dari dalam poketnya. Cepat dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Memang sejak dulu, dia memang minat gila kat Jaclyn Victor. Rakan-rakan artis pun hairan tengok tahap keminatannya yang agak dahsyat.
Poster-poster dan semua lagu Jaclyn Victor ada dalam simpanannya. Tak kira, India ke Melayu, minat tetap minat. Dulu pun, Jaclyn Victor boleh menang Malaysian Idol agaknya sebab si Khai ni. Mana tidaknya, masa pertandingan tu dilangsungkan, tiap-tiap minggu Khai beli top-up untuk mengundi Jaclyn Victor. Beribu-ribu undian dihantar.
7 missed call. Aisy, buat apa pulak Inspektor Gadget ni telefon aku? Dah lima kali dia call, tapi aku langsung tak dengar. Apasal tak dengar, ha? Ada sound trouble ke aku ni? Terus Khai memeriksa bahagian volume. Lah, patut pun... Volume diset pada tahap satu. Tadi, dia tak dengar sebab sibuk shooting. Habis tu takkanlah nak jawab telefon masa kamera tengah on. Dia suruh manager dia tolong pegangkan. Mungkin manager dia pun ada sound trouble kut. Lepas habis semua pengambaran, dia lupa pulak nak setkan balik volume ke tahap lima. Dia boleh dengar panggilan ketujuh ni pun sebab telefon ni ada dalam poket.

Apa hal kau cari aku?

Khai menaip mesej untuk Rizal.Tak lama kemudian…

Aku boring gila dowh… Jom lepak rumah aku. Main PS2 ke.

Khai tersenyum. Masa bosan baru ajak orang. Kalau tak, asyik kata aku ni penyibuk aje.

Sorry arh. Aku busy sikit. Tegah ada urusan antara sedar dan pengsan.

Rasalah kau, Inspektor Gadget. Biar aku pulak yang jual mahal.

Alah…bukan urusan antara hidup dan mati pun. Aku sunyi gila ni. Along dengan angah keluar, adik pulak tidur. Cerita kat TV pun tak best.

Aku tegah lepak dengan angahlah ni...

Ooo… Keluar tak ajak aku. Jaga kau!

Hek eleh Inspektor Gadget ni. Apa hal pulak aku kena ajak kau? Bukan penting sagat pun kau tu...

Lama Khai menanti SMSnya dibalas. Dah dua minit. Apasal Inspektor Gadget tak balas-balas lagi? Merajuk ke?
Tet! Tet!
Khai tak sabar-sabar mahu membaca mesej yang seterusnya. Tapi kali ini, Rizal tidak menghantar sms, sebaliknya kiriman mms. Gambarnya yang tengah buat muka blur dengan lidah terjelir dan hidung kembang. Khai tergelak. Tubuhnya terenjut-enjut ketawa.
“Bang, apasal ni?”
“Ni, tengok abah kau ni. Cantik punya perangai!” Khai menghulurkan telefon bimbitnya kepada angah. Dia terus ketawa mengingatkan gambar Rizal tadi. Polis apa macam tu? Perangai kalah budak lima tahun.
Angah angkat kening melihat ibu saudaranya yang masih ketawa. Memang gambar yang dihantar abah ini lucu. Yalah, muka dah handsome, tiba-tiba buat hidung kembang pulak. Tapi, dia tak terasa mahu ketawa. Dia lebih berminat merenung ibu saudaranya itu. Dia akui, memang ibu saudara dan abahnya itu agak rapat sejak akhir-akhir ini. Sepanjang abahnya berada di hospital tempoh hari, Khai yang beria-ia mahu menjaga abahnya siang malam. Ada juga kadang-kadang dia nampak ibu saudaranya itu suka tersenyum sorang-sorang, macam tengah teringatkan sesuatu. Agaknya ini ke petanda orang tengah angau bercinta? Hisy, mana mungkin! Abah kan belum tahu Abang Khai ni perempuan. Takkanlah dia orang bercinta kut...
“Bang, abang suka kat abah tak?” Angah menduga.
Khai terdiam. Terasa darah bagai menyerbu ke muka.
Angah mencebik dan mengacau-ngacau air Cokenya dengan straw. “Eleh, muka dah siap merah-merah pink... Betulkan abang suka kat abah? Kan? Kan? Kan?”
Khai cuba mengawal perasaan malunya. Pantas dia mengambil paket sos di atas meja dan melemparkan ke arah angah. Tepat mengenai bahu gadis tomboi itu. “Kau budak kecik, apa kau tau? Tak payah sibuk-sibuk hal orang tua.”
“Eleh, ingat dah matang sangatlah tu. Umur pun baru 24. Berapa tahun sangat beza umur angah dengan abang. Baru tujuh tahun!”
“Tapi, kau tu baru budak sekolah!”
“Angah rasa soalan angah tadi taklah panjang mana pun. Angah cuma tanya abang suka kat abah atau tak? Yang abang pegi melalut hal-hal orang tua dengan sekolah tu apasal?” Angah menjolok. Makin merah muka Khai, makin seronoklah dia mengusik.
“Inspektor Gadget tu? Come onlah. Aku hanya suka berkawan dengan dia sebab kita orang sekepala. Dia senang dibuli. Dia tu lawak sebenarnya tau tak? First time kita orang jumpa, dia cuba heret aku pergi balai sebab ingat aku ni betul-betul peragut. Memang aku rasa lawak tahap hiperbola dan Bluehyppo masa tu. Satu lagi masa kat majlis IBSYA, ada ke dia bagi ucapan mengarut-ngarut kat atas pentas depan VIP? Dia tu memang selamba maut. Apasal pulak aku cakap dia senang dibuli? Sebabnya, hari tu aku kepit kepala dia bawah ketiak aku, dia biarkan aje. Aku tau dia boleh lepas, tapi dia biar aje sampailah kau datang. Satu lagi, masa dia baru balik hospital. Dia tak marah pun kau lempar seluar dalam atas muka dia. Lawak, lawak…” Khai galak bercerita sambil ketawa dan menekan-nekan perut.
“Ya. Dan, sebab itulah abang boleh terpikat kat abah. Angah dah lama kenal abang. Angah tahu jenis lelaki yang abang suka. Abang kan kasar, jadi abang suka lelaki yang lembut. Bukan pondan, tapi penuh dengan kasih sayang.”
“Yalah tu, pernah ke kau nampak aku keluar dengan lelaki? Lelaki manalah yang nakkan aku ni. Cuma orang yang ikuti drama lakonan aku aje yang tahu aku perempuan.”
“Dalam erti kata lain, perkataan abang sebenarnya suka kat abahlah? Tapi, daripada gaya abang pulak, bukan setakat suka aje, tapi dah terjatuh cinta,” usik angah lagi.
Falling in love? For what? Aku bukan minah jiwanglah. In fact, he just not my type, ujar Khai bersahaja.
“Okey, kalau macam tu mungkin Cikgu Suri ada chance!
What?” Berubah muka Khai. Memanglah dia tahu Rizal adalah jejaka maco yang menjadi kegilaan, tidak kira anak dara mahupun andartu. Tapi kalau Cikgu Suri, susah dia nak percaya. Setahunya Cikgu Suri seorang yang lemah lembut dan agak pemalu dengan kaum Adam. Mungkinkah Rizal sendiri sudah terpikat dengan kelembutan Cikgu Suri? “Cikgu Suri pun syok kat Rizal ke?”
“Why not? Lagipun, Cikgu Suri dengan abah semakin rapat sejak akhir-akhir ni.” Betul ke tak? Hentam ajelah. Manalah dia tahu Cikgu Suri dengan abahnya rapat atau tidak. Setahunya kali terakhir mereka bertemu, ketika abahnya masih ditahan di hospital. Itu pun cuma pertemuan buat kali kedua.
Khai terdiam. Dia asyik merenung wajah angah. Mencari kepastian. Betul ke cerita angah ni? Hujung jarinya mengetuk-ngetuk meja. “Dahlah, tak payah merepek lagi. Jom blah,” katanya sebelum melangkah meninggalkan restoran tersebut.
Angah tersenyum tepi. Lambat-lambat dia mengekori langkah ibu saudaranya itu. “Tak apa, sekarang bolehlah abang kata angah merepek. Lepas abah dengan Cikgu Suri jadi sweet couple, barulah abang tahu siapa yang merepek. Tak suka, ya? Okey, angah akan sedarkan abang.”

*****************************
“ASSALAMUALAIKUM!”
Laungan salam di luar pintu pagar menyentakkan Rizal yang sedang tidur petang di ruang tamu. Hisy, siapa pulak kacau proses pengtiduran aku ni? Rizal meramas-ramas rambut dan menekup mulut yang tengah menguap.
Rizal ingat lagi masa dia berada di akademi. Disebabkan tabiatnya yang suka sangat menguap kuat-kuat masa bangun pagi, kawan-kawannya pakat nak pedajalkannya. Masa tengah dia syok mengembangkan lubang hidungnya, cepat dia orang masukkan butir manik ke dalam hidungnya sampai dia susah nak bernafas sebab manik tu tersumbat. Disebabkan itu, dia terpaksa dihantar ke hospital untuk mengeluarkan manik-manik tersebut. Gila nakal kawan-kawannyau dulu. Kat mana dia orang sekarang agaknya ya? Dah kahwin ke belum. Atau still jadi bujang lapok macam dia?
“Waalaikumussalam... Siapa pulak yang…” Rizal tak jadi menghabiskan ayatnya apabila terlihat seseorang tercegat berdiri di luar pagar. Cantiknya dia… Indahnya ciptaan Tuhan…
“Eh, cikgu dah sampai. Apalah abah ni, cikgu datang, bukan nak jemput masuk.” Angah tiba-tiba muncul entah dari mana dan menyambut Suri yang sedang tersenyum.
“Abah, hari ni Cikgu Suri nak ajar angah Add Math. Sebab tu angah ajak dia datang sini,” terang angah kepada aku.
“Angah, sepatutnya angah yang pergi rumah cikgu sebab angah yang nak menuntut ilmu, bukan cikgu. Ada ke seorang guru mencari muridnya? Kalau orang yang nak belajar silat zaman-zaman dulu, sanggup redah hutan belantara untuk cari guru yang boleh mengajar dia orang, tau tak?” Buat pertama kalinya Rizal berhujah panjang, macam seorang ayah yang menasihati anaknya.
Angah tersengih sambil menggaru-garu kepalanya.
“Tak apalah, Rizal. Lagipun, saya memang suka mengajar angah. Dia cepat menangkap apa yang saya ajar dan dengar kata. Setiap kali peperiksaan pun, dia sentiasa tunjukkan prestasi yang baik.”
Rizal tersenyum dan mengangguk-angguk. Angah yang berdiri di sebelah Suri, sudah tersengih-sengih macam orang malaria. Kembang setaman kena puji.
“Marilah masuk!” Rizal mempelawa. Kang kata apa pulak suruh anak dara orang tercegat tengah-tengah panas. Kesian kulit Suri yang putih melepak tu jadi hitam arang.
Angah naik ke tingkat atas untuk mengambil buku-buku pelajarannya. Suri pula membuka beg sandangnya dan mengeluarkan beberapa buah buku untuk mengajar.
Rizal perhatikan Suri. Cikgu ni memang comel. Macam anak patung versi sopan. Tapi, hatinya langsung tidak bergetar setiap kali memandang wajah Suri. Wajah Suri tak mampu membuai perasaannya. Pendek kata, dia tak rasa apa-apa. Cuma wajah Khai yang mampu menggetarkan hatinya, membuai perasaannya. Jiwang pulak dia di petang hari ni. Kenapa? Kenapa dia mesti jatuh cinta pada jantan?
“Abah!”
Rizal terpinga-pinga sebaik mendengar suara itu. Dia toleh pada Suri yang duduk di sofa bersama angah. Sejak bila pulak Suri dengan angah dah mula sesi pembelajaran ni? Agaknya aku yang lama sangat berangan kut.
“Daripada abah asyik berangan kat situ, baiklah abah pergi buat air untuk cikgu angah ni. Dapat jugak pahala.”
Amboi, sedapnya bahasa budak ni. Aku cepuk sebijik kang tak tidur tiga hari tiga malam, rengus Rizal tidak puas hati.
“Angah, tak baik cakap macam tu. Kalau nak mintak tolong, mintalah dengan penuh sopan santun. Itu kan ayah saudara angah,” tegur Suri lembut sambil menyentuh belakang angah.
Angah tersengih dan bersuara, “Yalah, cikgu. Saya minta maaf. Saya suka kat cikgu sebab cikgu kalau nak tegur saya, cikgu tegur baik-baik. Tak tengking terus. Cikgu ni penuh dengan sifat keibuanlah. Sama macam arwah ibu saya.”
Suri tersenyum malu.
Rizal angkat kening. Apa hal pulak si angah ni puji Suri lebih-lebih?
“Kan best kalau cikgu kahwin dengan abah saya ni. Ada orang yang tolong uruskan dia, jaga makan minum kita orang...”
Memanglah Suri baik dan patut kahwin sebab Suri penuh dengan sifat keibuan dan… Eh, angah cakap apa tadi? Kahwin dengan abah? Rizal sudah membulatkan biji matanya.
“Saya tengok cikgu dengan abah saya memang secocok. Senang-senang cikgu kahwin dengan abah ajelah...”
Suri tergamam. Diam tanpa kata.
“Wei, angah, abah hempuk kepala kau kat tiang baru kau nak sedar agaknya. Kalau ya pun janganlah cakap depan cikgu, malulah dia. Dahlah abah ada kat sini,” ujar Rizal sambil bercekak pinggang.
Kring! Kring!
Tersentak Rizal apabila mendengar bunyi telefon rumah berdering. Kuat gila. Siapalah yang pasang volume kuat macam tu. Macamlah dalam rumah ni ada orang pekak.
“Helo...”
“Helo, Riz, kali ni kau kena tolong aku. Betul-betul kena tolong.” Suara Khai cemas.
“Apa hal kau ni? Macam kurang sel badan aje!”
“Lepas ni kau pun akan kurang sel badan. Dengar sini, along sekarang tengah ada kat balai. Dia dan kawan-kawan dia ditangkap kat supermarket sebab mencuri.”
What?” Rizal menjerit kuat. Memang dia tahu perangai along teruk, tapi kalau dah sampai tahap mencuri, itu dah dikira jahat.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Tuesday, June 1, 2010

Abang Khai Tomboy? 16

“PAPA pergi mana baru balik?” tanya Khai ketika sedang bersarapan di meja makan.
“Kenapa tanya?” Dato’ Rashid memulangkan soalan sambil meneguk jus oren.
“Kenapa? Tak boleh tanya? Kalau tak nak jawab tak apa,” balas Khai selamba. Dia mengerling jam di tangan. Pukul 8.30 pagi. “Papa tak pergi kerja hari ni?” tanya Khai lagi.
“Cuti. Malas nak masuk pejabat.”
“Ooo… tak apalah, pa. Khai dah lewat ni Pagi ni shooting start awal. Director nak buat scene bangun tidur. Bye! Cepat-cepat Khai menyalami papanya dan meninggalkan meja makan.
“Rina!”
“Papa!” Khai menjeling. “Berapa kali orang cakap jangan panggil dengan nama tu.”
“Khai, ada duit belanja?”
“Ada, kenapa?”
“Tak, papa dah tranfer seribu ke akaun Khai. Kalau nak, cucuk aje kat ATM.”
“Ya ke? Ya Allah, baiknya papa...” Khai ketawa riang dan terus memeluk tubuh papanya dengan erat.
“Argh!” Terjerit Dato’ Rashid apabila Khai tidak sengaja menekan jahitan di lengannya.
“Kenapa, pa?” Khai menghentikan perlakuannya. Serta-merta rasa bersalah hinggap dalam dirinya. Tapi, takkanlah baru peluk macam tu dah sakit?
No, no, it’s okay.” Dato’ Rashid menahan kesakitan dan mengusap-usap lengannya. Khai tidak boleh tahu dia luka di lengan kerana ditembak.
I’m sorry.” Khai masih rasa bersalah. Dia mahu mengusap lengan papanya, tapi dengan pantas papanya menepis.
“Papa okey, sayang. Pergilah, nanti Khai lewat.”
Khai mengangguk perlahan dan terus beredar. Dalam hati, dia tertanya-tanya. Kenapa papa boleh kesakitan sampai begitu sekali sedangkan dia hanya memeluk? Dan, ke mana papa menghilang sepanjang lima hari ini?
Dato’ Rashid meneguk liur. Segera telefon bimbit di atas meja makan dicapai. Nombor Rio ditekan. Beberapa ketika, panggilan disambungkan. “Hello!
“Helo, ada apa bos?”
“Dah dapat apa yang aku arahkan?”
“Dah, bos. Saya dah suruh budak kita carikan.”
“Bagus, jumpa aku kat tempat biasa. Tunggu aku lebih kurang setengah jam lagi. I’m on my way.
***********************

“APA?” Bagai nak tersembul mata Dato’ Rashid mengajukan soalan itu.
“Terserahlah bos nak percaya atau tidak, tapi saya dah cakap benda yang betul. Pemilik asal IBSYA Holdings, Tan Sri Ibrahim, besan bos.” Tegas Rio.
Anak-anak buah Dato’ Rashid yang lain mengangguk mengiakan kata-kata Rio.
“Tapi, mana mungkin. Anak aku dulu cuma kahwin dengan seorang guru bergaji rendah.”
“Itu sebabnya dia tak nak mewarisi perniagaan bapak dia. Dan lagi satu, lelaki yang bos nampak berjalan masuk dengan Khai ke IBSYA hari tu, sebenarnya bukan lelaki...” Rio mengeluarkan sesuatu daripada jaketnya.
“Maksud kau?”
“Dia cucu bos. Anak Khairiah. Syafiqa binti Razlan.” Rio menyuakan sekeping foto kepada Dato’ Rashid.
Tajam mata Dato’ Rashid meneliti gambar itu. Seorang gadis belasan tahun dengan rambut potongan pendek berposing dengan senyuman mekar di bibir. Ya, benar. Wajah itu mirip sekali dengan wajah arwah anak sulungnya, Khairiah. Jika tidak kerana kepala batu Khairiah yang tetap ingin mengahwini Razlan, guru bergaji rendah itu, pasti sampai sekarang mereka sekeluarga hidup bahagia dan anaknya itu kini telah selamat dinikahkan dengan anak Dato’ Fahmi.
Menurut Rio lagi, menantu yang tidak diakui kewujudannya selama ini, sebenarnya anak orang kaya. Dia anak kepada pemilik syarikat IBSYA Holdings. Rasa kesal menghimpun di dadanya. Kalaulah dari awal dia tahu tentang status sebenar menantunya itu, tentu dia merestui perkahwinan mereka. Dato’ Rashid mengeluh berat.
Tempoh hari, Dato’ Rashid melihat anaknya begitu mesra berjalan beriringan bersama cucunya memasuki bangunan syarikat tersebut. Melihatkan keakraban mereka, dia pasti mereka sebenarnya sudah lama berhubung. Jadi, selama ini Khai sering berhubung dengan anak-anak Khairiah di luar pengetahuannya.
Dato’ Rashid mempunya tiga orang anak. Dua perempuan dan seorang lelaki. Anaknya yang sulung, Khairiah. Yang kedua, Khairul dan yang bongsu, Khairina. Anak lelakinya masih belajar di Australia. Dia tidak pasti adakah anak lelakinya itu turut berhubung dengan anak-anak Khairiah secara rahsia seperti Khairina ataupun tidak.
Dato’ Rashid asyik sekali merenung gambar di tangannya dan berjalan mengelilingi pondok tempat persembunyian mereka itu. Sebijik macam orang tengah tawaf. Di sudut hatinya, terselit sedikit rasa bersalah terhadap cucu-cucunya. Dia tidak pernah menemui mereka. Sejak dulu, ketika mendapat pengkhabaran bahawa Khairiah sudah selamat melahirkan anak yang pertama, dia adalah orang yang paling bahagia. Ikutkan hati, mahu sahaja dia berlari mendapatkan anaknya, tapi bila mengingatkan peristiwa anaknya tidak menuruti perintahnya dan keluar dari rumah untuk menikahi Razlan, hatinya kembali menjadi keras.
Tapi, itu dulu. Sewaktu dia belum tahu bahawa Razlan adalah anak orang kaya. Tapi sekarang, segala rahsia sudah terbongkar. Dia mahu mencari cucu-cucunya semula. Bayangkan kalau dia dapat mewarisi seluruh harta kekayaan dan aset IBSYA Holdings, tentu dia akan menjadi antara salah seorang ahli perniagaan terkaya di Malaysia. Idea jahat sudah mula melegari benak Dato’ Rashid.
*******************************
“INI hasil maklumat dan lakaran wajah yang aku dapat daripada salah seorang ahli Geng 13.” Azman menghulurkan fail berwarna coklat kepada Rizal.
Rizal segera mencapai fail di tangan Azman. Dia cuba meneliti lakaran wajah ketua Geng 23X seperti yang diberitahu oleh Azman. Betul, menurut lakaran memang wajah ketua Geng 23X ni nampak agak tua. Dia sendiri yakin akan perihal itu.
            Walaupun Rizal telah diberi cuti selama tiga minggu, tapi dia tidak mahu mengabaikan tugasnya. Selagi semua ahli Geng 23X tidak dapat ditangkap, selagi itu dia tidak dapat menghembus nafas lega. Mereka masih bebas di luar sana dan mungkin tempat mereka mengedar dadah sudah makin meluas. Dia pulak terpaksa duduk berehat di rumah sambil menambah lemak di badan. Hari ini pun sengaja dia menyuruh Azman datang ke rumahnya selepas waktu bertugas. Dia juga ingin tahu tentang perkembangan kes itu.
            “Oi, Inspektor Gadget!”
Terkejut Rizal dibuatnya. Huh, panggil orang main oi-oi aje!
Azman juga turut terperanjat dengar suara yang sumbang lagi sumbing itu. Khai muncul dari ruang dapur sambil menatang dulang.
“Maaf, encik polis. Saya terkasar bahasa pulak. Saya memang dah biasa dengan si Rizal ni.” Khai tersengih-sengih sambil menghulurkan secawan kopi pekat kepada Azman.
Rasa cemburu Rizal bagaikan mahu meledak apabila dia ternampak jari-jemari Khai dan Azman saling bersentuhan semasa Azman mahu menyambut cawan kopi daripada tangan Khai. Sabar, Rizal…
“Air ni kau buat sendiri ke?”
“Mestilah. Aku, Khai Dato’ Rashid. Pelakon yang serba boleh. Cantik, menarik dan memang da bomb.” Khai puji diri sendiri.
Tak tau malu langsung. Aku pun memang suka puji diri sendiri juga, tapi cukuplah dalam hati aje. Dia ni, depan kawan aku pun dia selamba aje, getus hati Rizal.
“Okeylah. Kau sembanglah dulu ngan member kau ni. Malas aku nak busy body hal-hal polis ni,” kata Khai lagi dan terus membawa dulang tadi untuk pergi dari situ.
“Yalah, cepat sikit. Menyibuk aje!”
“Wei, siapa budak tu dengan kau?” tanya Azman tiba-tiba.
“Tak ada kaitan pun. Dia bapak saudara kepada anak-anak saudara aku sebelah kakak ipar aku...”
Azman mengangguk. Perlahan-lahan dia menghirup kopi panas itu.
“Man.”
“Yup!”
“Cuba kau tengok aku.”
Azman merenung Rizal pelik. “Woi, kau ni sihat ke tak Rizal? Naik bulu roma aku dengar kau buat suara gedik macam tu.”
“Buat ajelah apa yang aku suruh.”
“Isy, tak naklah aku. Aku normal tau!”
“Oi, ada ke aku kata aku syok kat kau?”
Azman serba salah. Dia menunduk. Beberapa ketika, perlahan-lahan dia renung mata Rizal.
Rizal renung ke dalam mata Azman. Azman nampak tidak selesa.
“Err… cepatla Riz. Aku tak sukalah.”
Perlahan-lahan tangan Azman dicapai Rizal. Kemudian, Rizal usap-usap dengan penuh kasih sayang.
“Apa hal kau ni? Aku tahulah kau kena tembak, tapi bukan kat kepala, kena kat bahu aje kut... Takkan otak kau pulak tak betul...” Pantas Azman menarik tangannya daripada pegangan Rizal.
Rizal hairan. Dia garu kepala. Kenapa dia hanya ada perasaan dengan Khai? Padahal Azman pun jantan jugak.
“Dahlah, aku nak balik!” Azman bangkit dari sofa, tapi pantas Rizal menangkap lengannya. Macam nak pujuk pasangan kekasih aje!
“Oit, apa ni? Kau sedar tak apa yang tengah kau buat ni? Kau ni memang…”
Pang! Ambik kau sedas. Memang dah lama Rizal tak lempang muka orang. Kadang-kadang best jugak lempang orang ni, terutamanya orang yang tengah berfikiran negatif macam Azman ni. Ada ke patut dia cakap aku syok kat dia? Tolonglah...
“Oi, kau ingat aku ni gay ke? Aku tak ada feeling kat kaulah. Tadi tu, aku saja aje test. Apa faedah aku dapat kalau aku jadi gay? Anak pun tak dapat, dosa kering bolehlah...”
Azman diam. Dia mengusap-usap pipinya. “Sakitlah, ngok! Kut ya pun, janganlah tampar aku.”
“Ni, dengar sini.” Rizal tarik semula Azman ke sofa. “Erm… macam ni ceritanya…” Rizal cuba menyusun kata-kata yang sesuai untuk diluahkan kepada Azman. Tak boleh cakap sembarangan, nanti takut Azman fikir negatif.
“Hurm… Ceritanya macam ni…”
“Oi, berapa banyak cerita daa… Nak cerita tu cerita ajelah!”Azman buat muka fade-up.
“Aku… err… aku…” Isy, susah betul nak bagi tahu ni kenapa? “Aku dah jatuh cinta dengan seseorang.” Ya, akhirnya terluah jugak apa yang ingin diluahkan Rizal.
Azman membulatkan mata. Mulutnya ternganga.
“Kau… kau jatuh cinta? Nanti! Nanti! Kalau kau cakap kau jatuh cinta dengan kerjaya dan tanggungjawab yang perlu digalas untuk besarkan anak-anak saudara kau, itu aku percaya, tapi kalau kau cakap kau jatuh cinta dengan seseorang, susah aku nak percaya. Macam ada unsur-unsur kecek aje!”
“Suka hati kaulah nak kata apa pun. Tapi, aku rasa pelik tau tak?”
“Apasal?”
“Aku jatuh cinta dengan lelaki...” Rizal berbisik di telinga Azman.
“Apa? Lelaki?” Azman menjerit kuat.
Pantas Rizal menutup mulut Azman. Hisy, kalah orang perempuan. Asyik menjerit aje dia ni.
“Isy, patutlah perangai kau lain macam. Berbulu aku tengok. Aku tak percayalah kau… err...  Tak apalah. Aku nak balik!” Azman bangkit, mula mengatur langkah.
Rizal tarik tangan Azman. Dia tahu, pasti Azman berfikir yang bukan-bukan. Dia tidak boleh biarkan Azman terus berfikiran sebegitu. Habislah reputasinya sebagai polis termaco kalau Azman heboh perihalnya kepada orang lain.
“Isy, jangan sentuh akulah! Stay away from me!” Azman tepis-tepis tangan Rizal.
Budak ni memang nak kena. Pang! Ambik kau sedas lagi. Cukup dua belah tapak tangan kat dua belah pipi Azman.
Sedang asyik Azman meraba-raba pipinya, laju saja Rizal menarik tangan Azman untuk pergi ke halaman rumah. Takut jugak Rizal kalau-kalau Khai atau orang lain mendengar perbualannya dengan Azman.
“Dengar sini, aku tak ada feeling kat kau. Tak ada, faham?”
“Habis tu kau cakap…”
“Bukan kat kau!”
Azman terdiam.
“Lelaki tu… Dia lain sikit. Dia bukan macam kita ni, faham tak?”
“Tak faham…” Azman geleng kepala. Buat muka blur.
“Sepanjang aku kenal dia, memang perangai dia kasar, tapi dia nampak keibuan, tau tak? Hati aku sejuk setiap kali tengok dia. Tapi yang peliknya, aku hanya ada feeling kat dia. Bila dengan kau atau jantan-jantan lain, aku tak rasa macam apa yang aku rasa kat dia. Kalau kau ni, rasa loya adalah...”
“Keibuan? Kau betul-betul yakin ke dia memang jantan?” tanya Azman. Dia sudah mula tertarik dengan apa yang dikatakan Rizal.
Rizal terdiam. Betul ke Khai jantan? Atau, pengkid? Tapi, pada penglihatannya, perangai Khai memang macam jantan, cuma bila Khai dengan adik, Khai nampak sweet sangat. Bagaikan seorang ibu yang sedang membelai anaknya. Ada ke lelaki yang berperangai macam tu kat dunia ni? Dia yang dah mula sayang kat anak-anak saudaranya pun tak berperangai macam tu.
“Aku rasa, kau ni tak pastilah tentang jantina sebenar dia,” ujar Azman tiba-tiba.
“Maksud kau?”
“Kau belum betul-betul kenal dia sepenuhnya.”
Rizal garu kepala yang tak gatal.
Azman tarik Rizal ke sebuah bangku batu di halaman rumah. “Aku ada beberapa tip yang mungkin kau boleh cuba. But don’t try this at home!
“Kalau tak cuba kat rumah, nak cuba kat mana lagi?”
“Itu saja aje aku buat gimik.” Azman ketawa mengekek. “Dengar apa aku cakap... Senang aje kalau kau nak tau dia tu lelaki ke perempuan. Caranya…”
Rizal terangguk-angguk. Mendengar penjelasan Azman dengan teliti. Wah, mesti boleh pakai tip dia ni. Ya! Lepas ni aku tahulah si Khai tu lelaki ke perempuan. Kalau betul dia perempuan, memang sahlah aku ni memang manusia yang normal.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)