Rizal mengeluh sendiri sambil menurunkan Beretta 92 nya. Dia
benar-benar tidak ada mood untuk latihan menembak hari ini. Sudah 3 hari Khai
tidak mahu bercakap dengannya dan dia sendiri tidak tahu mahu memujuk
bagaimana. Kalau setakat tak bercakap tak apa, ini boikot tak nak masak pulak.
Terpaksalah dia bawa Adik dan Khairizal makan kedai mamak.
Along memang tak
terlibat sebab dia makan kat luar, lagipun dia tampak makin ceria sejak
akhir-akhir ini kerana katanya, Ray sudah tidak menunjukkan mukanya lagi. Rizal
pun malas hendak membebankan Along dengan menceritakan masalah rumah tangganya
disebabkan cemburu Khai yang tidak berasas.
“Rizal.”
“Yup?”
“Kenapa awak nampak
muram je sejak akhir-akhir ni?” Teguran Fida hanya hanya disambut dengan
senyuman yang hambar.
Rizal membuang
penutup telinga. Pistol di tangan dipandang tanpa perasaan walaupun setiap
tembakannya di padang sasar mengena. Tak rasa bangga langsung.
“Awak marah pasal
mesej tu ke?” soal Fida lagi.
Rizal menggeleng. Kemudian
duduk di sebuah bangku sambil meneguk air mineral. Yalah takkan nak angguk
pulak, Fida bukannya sengaja menghantar mesej itu kepadanya.
“Kalau bukan awak
yang marah, mesti isteri awak yang marah kan?” Fida sudah mula mengambil tempat
duduk di tempat Rizal. Dia baru mendapat tahu Rizal tertukar telefon dengan
isterinya pada hari dia tersilap menghantar mesej kepada Rizal. Itupun melalui
Azman kerana Rizal selalu menceritakan setiap masalah kepada temannya yang
sewel itu.
Rizal memalingkan
kepala 90 darjah ke kiri. Memandang wajah Fida. Tapi pandangannya taklah lama
sangat sebab dia bukannya duduk sebelah Pamela Anderson.
“Kalau isteri awak
marah sebab tu, jangan risau. Saya boleh pergi jumpa dia untuk terangkan
semuanya!”
Rizal tergelak
halus. “Tak, tak payah. Saya rasa ini masalah rumah tangga, orang luar tak
perlu tahu.”
Fida menunduk. Dari
air mukanya jelas dia merasa bersalah. Kalaulah dia memeriksa dulu nombor
telefon siapa sebelum menekan butang send tentu semuanya tidak akan jadi
seperti ini. Raut wajahnya yang redup memandang Rizal. Macam manalah agaknya
dia nak jemur kain kalau redup memanjang?
“Sudahlah, jangan
fikir apa-apa sekarang. Apa yang penting misi yang Tuan Rashdan arahkan. Tak
lama lagi kita akan adakan serbuan untuk menumpaskan Sharks, jadi kita perlu
fokus,” ujar Rizal dengan muka yang dibuat-buat ceria.
Fida menggigit
bibir sebaik Rizal angkat punggung pergi dari situ. Rizal, aku tak dapat
nafikan aku ada hati pada kau tapi tak pernah terlintas difikiran aku untuk
jadi penyebab kau dan isteri kau bergaduh. Maafkan aku...
*************
Rizal yang sedang
tenang melayan blues di kedai mamak berdekatan balai polis tersentak seketika.
Dia pandang kiri, nampak seorang nenek melintas jalan. Dia pandang kanan,
nampak mamak tengah tebar roti canai. Dia pandang belakang, tak nampak apa-apa
sebab ada longkang. Dia pandang depan, nampak satu makhluk separa manusia
separa gorilla. Kenapa dia fikir macam tu? Sebab gorilla tak pandai bagi salam.
“Ini mesti kes kau
dengan bini kau,kan? Dah berhari-hari tak selesai lagi?” Azman tergelak. Dia
mengambil tempat duduk di hadapan Rizal. Baru dia ingin menyedut milo ais
Rizal, Rizal merampas kembali gelasnya.
“Nak minum beli
sendiri. Ingat aku ni jabatan kebajikan?” Rizal yang sememangnya tengah bengang
bertambah bengang dengan kehadiran Azman.
“Ala bro, yang kau
berangin sangat ni apahal? Chill lah, rumah tangga mana yang tak dilanda badai?
Seperti kata pantun,cinta di padang pasir sangatlah panas, cinta di dalam peti
sejuk juga sangatlah sejuk, tapi cinta di hati ini siapa yang tahu? Tuan
Rashdan pun tak tahu.”
Rizal tergelak
kecil. Nak marah terus tak jadi. Memang elok sangatlah dia berkawan dengan
Azman. Sama-sama kepala bocor. Mampus Azman kalau Tuan Rashdan tahu mamat ni
mempermainkan nama dia.
“Kau tau, Azman?”
“Tak tahu…”
“Wei, samdol!
Jangan menyampuk boleh tak?” Kening Rizal sudah berkerut.
“Yalah, dah kau
tanya tadi aku jawab jelah.” Azman tersengih-sengih.
“Malaslah aku nak
cerita!”
“Yelah, yelah, Inspektor
Rizal. Aku gurau jelah, kau ni sikit-sikit nak touching, sikit-sikit nak emo.
Datang bulan ke apa?” Azman membidas.
Rizal terdiam. Ya
tak ya, apahal dia sensitif sangat? Time dia pedajal kawan-kawan dengan lawak
tak kelakar tak apa pulak. Bila dia sendiri terkena, nak naik angin.
“Hmm…aku dah tak
tahu nak buat apa, Man. Sampai sekarang Khai tak nak cakap dengan aku. Kalau
tak biasanya aku balik makan tengah hari, kan? Ini dah hari ke berapa aku makan
kat kedai mamak, tahu tak?”
Azman tersenyum mendengar
luahan sahabatnya.
“Hai… semua orang
yang berumah tangga ada masalah. Bagi aku, pergaduhan tu yang akan mengeratkan
lagi hubungan korang. Sedangkan orang yang baru bercinta pun boleh bergaduh,
inikan pulak suami isteri. Apa pun, perasaan cinta aje yang boleh membuatkan
sesuatu hubungan tu bertahan. Nampak, bahasa aku dah macam karangan Bahasa
Melayu tingkatan 4. Hahaha…”
Kening Rizal
terangkat sebelah. Sebiji macam Ziana Zain dalam cerita Maria Mariana. Nasib
baik tak bawa kertas dan pen nak minta tandatangan.
“Okey, sorry sebab
lawak yang tak menjadi.” Azman berdehem. “Walaupun aku tak ada awek apatah lagi
bini, aku rasa yang paling penting dalam sesuatu hubungan tu adalah sikap
saling memahami dan bertolak ansur. Kalau kedua-duanya tak ada, maka hancurlah
hubungan itu. Tengok, sekali lagi ayat aku skema macam dalam Google Search.”
Kali ini Rizal
tergeleng-geleng. Patutlah kau ni tak ada awek, Azman…
“Okey, aku tak tahu
secara menyeluruh apa masalah korang suami isteri dan aku pun tak ada hak untuk
tahu. Tapi kau jagalah isteri kau tu sebaik mungkin. Jangan biarkan dia
menangis di bucu-bucu koridor. Sebab bila dia nangis, itu tandanya dia
bersedih, takkan mengantuk pulak ye tak?” ujar Azman sambil menggaru-garu
dagunya yang sedikit berjambang.
Rizal cuma buat
muka biri-biri sambil menghabiskan saki-baki milo aisnya. Selalunya kalau dia
malas nak dengar, dia selalu pura-pura menonton TV dokumentari biawak aje.
“Wei, Rizal.”
“Hmm…”
“Esok jangan lupa
masuk balai awal sikit. Tuan Rashdan nak pasukan kita berkumpul sebelum
bertolak,”pesan Azman dengan serius.
“No need to remind me. Aku tahulah.” Rizal cuma menyahut
malas.
Azman mencebik. “Okey then, aku blah dululah. Jangan
fikir apa-apa buat masa ni. Fokus pada serbuan kita je nanti.”
Dan akhirnya Azman meninggalkan Rizal dengan masalah
yang masih tiada penyelesaian.
Rizal mengeluh. Esok dia dan pasukannya dihantar
bertugas di luar untuk mengadakan latihan menembak dan memeriksa senjata
sebelum mengadakan serbuan untuk menangkap ahli-ahli Sharks. Dari hasil
siasatan, Sharks akan berada di Pelabuhan Klang tidak lama lagi untuk satu urus
niaga dengan mafia dari China.
Dia akan pergi
mungkin seminggu, dan seminggu jugalah dia tidak akan pulang ke rumah.
Bagaimana pula tentang masalahnya dengan Khai? Hmmm…
***************
Rizal melutut
sambil menyuakan pipinya kepada Khairizal dan Adik. Terus kedua-duanya memeluk
Rizal dan mencium pipi abah mereka.
“Abah balik cepat,
okey? Abah belum bagi hadiah Adik,” bisik Adik di telinga Rizal.
Rizal tersengih.
“Ops, abah lupalah. Sorry, okey? Insya-Allah abah akan beli bila abah balik
nanti.”
“Keri tak nak
hadiah. Keri nak abah cepat balik je, kita main polis-polis nanti.” Khairizal
memeluk erat leher abahnya. Seolah-olah mereka tidak akan bertemu lagi.
Rizal tersenyum dan
mengangguk. Pelukan dileraikan. Dia beralih kepada Along pula. Along tersenyum
dan terus mencium tangan Rizal.
“Jaga diri
baik-baik, okey. Kalau boleh jangan jalan sorang-sorang, takut balang biskut tu
datang pulak,” gurau Rizal sambil mengusap-usap kepala Along. Dia pasti Along
tahu siapa balang biskut yang dimaksudkannya.
Along tertawa
kecil. “Tak apa, sepanjang abah tak ada Along akan pastikan Angah selalu teman
Along. Biar laki dia yang jalan sorang-sorang.”
Rizal tersengih
lalu mencium dahi Along. Walaupun Along sudah dewasa tapi entah kenapa Rizal
masih melayan anak saudaranya itu seperti budak kecil.
Kemudian dia
memandang isterinya yang berdiri tercegat sambil berpeluk tubuh di muka pintu.
Dia tahu mereka belum menyelesaikan konflik antara mereka secara adil, telus
dan saksama. Ikutkan hati dia ingin mengajak isterinya duduk berbincang dan
bertanya apa yang tidak kena dengan hubungan antaranya dengan Fida. Padahal
mereka bertemu di balai sahaja, bukannya
pernah berdating di Sunway Lagoon mahupun Pulau Tioman.
Tapi masa
membataskannya. Belum tiba masanya untuk mereka berbincang kerana Rizal ada
misi yang lebih penting untuk diselesaikan. Beberapa hari sebelum serbuan dia
dan pasukannya wajib menjalani latihan dan persiapan terakhir. Harus bersiap
sedia mental dan fizikal.
Tangan Khai
digenggam kemas walaupun Khai cuma buat muka jenglot.
“Jangan macam ni,
Rina. Tak baik buat abang macam ni. Abang janji bila abang balik je kita
bincang sama-sama,”ucap Rizal lembut, menyejukkan sedikit hati Khai yang
sememangnya memerlukan pili bomba itu.
Huluran tangan
Rizal disambut dan dicium hormat. Salam dihulur tanda perpisahan. Semoga beliau
berbahagia di samping anak tercinta. Biarkan aku pergi membawa diri…okey, aku
memang suka merapu, terima kasih. Dalam tengah-tengah serius sempat lagi Rizal
mensewelkan diri sendiri. Entahlah kenapa kuat sangat mengarut.
Rizal menatap lama
wajah isterinya. Entah kenapa berat sungguh dia hendak pergi, padahal ini bukan
kali pertama dia menyertai misi menyerbu markas penjahat tapi perasaannya kali
ini sungguh berbeza. Gerak hatinya melarangnya pergi tapi otaknya menegaskan
misi ini penting demi negara.
Dia sempat melambai
untuk kali terakhir dan terus masuk ke dalam kereta.
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)