Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Wednesday, April 15, 2015

Kau Bidadariku... 11

ADRIAN menghela nafas lega. Segala fail yang diperlukan sudah siap disemak untuk dibentangkan didalam mesyuarat pada pukul 2 petang nanti. Jam di dinding menunjukkan pukul 1.20 tengah hari. Dia membetulkan urat belikat yang terasa lenguh, ingin mengambil masa beberapa minit merehatkan tubuh sebelum mesyuarat bermula.

            Bibirnya spontan melakar secarik senyuman tatkala pandangan matanya bertembung dengan seraut wajah ayu milik arwah Jessica yang terpampang di desktop komputer ribanya yang dibiarkan bernyala.

            Tiada siapa tahu gambar wallpaper komputernya itu tidak pernah bertukar ganti semenjak pemergian gadis kesayangannya. Bahkan Daniel sendiri tidak tahu. Kalau rakannya itu tahu, pasti dia akan dibebel sepanjang karangan Bahasa Melayu SPM tentang isu kahwin dan jodoh.

            Daniel mengatakan dia menolak jodoh kerana sering mengelak dan menjauhkan diri daripada setiap wanita yang mendekatinya. Mungkin tiada yang memahami, tapi hakikatnya dia memang tiada hasrat untuk berkenalan dengan mana-mana perempuan walau secantik atau seanggun mana sekalipun. Dia memang tidak mahu!

            “Kau sedap cakap kat aku kan? Kau untunglah dapat kahwin dengan orang yang kau sayang. Kalau kau tak ada jodoh dengan Cinta, aku berani bet lah kau pun takkan kahwin sampai sekarang!” bidas Adrian suatu ketika dahulu.

            Bukannya dia tak tahu bagaimana susahnya Daniel ingin bersatu dengan Cinta suatu masa dahulu. Bukannya dia tak tahu bagaimana sayangnya Daniel terhadap Cinta. Pelbagai dugaan harus dirempuhi sehingga mereka akhirnya melangkah ke gerbang perkahwinan. Daniel yang setia hanya memandang Cinta seorang dari zaman belajar hingga ke alam pekerjaan. Lalu dia tidak nampak apa sebab Daniel mahu mendesaknya berkahwin dengan orang yang tidak dicintainya.

            “Aku bukan paksa. Aku nasihat. Kau dah tak ada saudara-mara lain. Kalau dah tua nanti, apa kau nak tinggal dekat rumah orang-orang tua? Tak nak habiskan usia senja dengan anak cucu?” Daniel membalas ingin mematahkan hujah Adrian.

            “Alah, nanti kalau Dania dah besar kau suruhlah anak kau kahwin. Pastu beranak banyak-banyak. Cucu kau bagilah sikit tinggal dengan aku, buat teman aku main game,” seloroh Adrian, seperti biasa mengeluarkan idea mengarut untuk perancangan masa hadapan demi mematikan topik perbualan yang membosankan itu.

            Daniel sekadar menjuihkan bibir. Malaslah nak cakap lagi. Adrian tak pernah mengaku kalah dalam mempertahankan pendiriannya.

            Adrian tergelak sendiri setiap kali mengingati peristiwa itu. Daniel… Daniel… aku tahu kau kawan yang baik. Kau tak nak tengok aku sunyi. Tapi aku dah cukup selesa dengan apa yang aku ada sekarang, cetus hatinya sendiri.

            Tangannya perlahan-lahan menarik keluar sekeping gambar yang disimpan didalam kocek seluarnya. Gambar yang diambilnya dari album foto milik arwah Hafiz.

            Apa yang berlaku pagi tadi selepas bersarapan bersama Puan Sri Azila bagai terbayang-bayang diruang fikiran. Hari ini, satu lagi rahsia tentang kembarnya telah tersingkap. Rahsia yang benar-benar mengejutkan dan tidak pernah terlintas dek akal fikirannya ketika diperkenalkan kepada Nadya di majlis kenduri doa selamat malam tadi.

            Kali pertama kakinya memijak lantai jubin kamar Hafiz, sebuah bingkai gambar bersaiz besar yang tergantung menghadap ke katil menarik perhatiannya. Jika gambar itu dilihat dari jauh, tiada apa-apa yang menghairankan. Hanya kelihatan sepasang kekasih berpakaian sedondon berwarna putih satin berposing dihadapan kamera. Namun sebaik kakinya melangkah mendekati gambar tersebut, terbuntang dua biji matanya memerhati seraut wajah wanita yang kelihatan begitu cantik bergandingan dengan pasangannya.

            Wajah comel keanak-anakan, kulit yang putih berseri dengan pipi yang dihiasi rona kemerah-merahan. Mata yang bundar dan bersinar dengan alis yang terlentik semulajadi. Wajah yang disolek tipis itu kelihatan begitu menawan. Macam anak patung.

            Namun bukan itu yang mengejutkan Adrian. Bukan kejelitaan paras wanita itu yang membuatkan dirinya kaku sehingga tidak mampu bersuara. Tetapi kerana wanita didalam gambar itu adalah Nadya. Isteri Adam!

            “Itu Nadya, bekas tunang Hafiz.” Adrian tersentak.


            Dia menoleh kepada Puan Sri Azila yang tercegat berdiri dibelakangnya.

            “Hafiz dan Nadya bertunang selepas tamat belajar. Pada waktu tu ibu serahkan perniagaan butik ibu pada Nadya. Nadya dianggap sebagai bakal menantu dalam rumah ni. Tapi sayang, jodoh mereka tak kesampaian. Hafiz meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya,” cerita Puan Sri Azila senada, tampak tenang sahaja wajahnya.

            Adrian tidak bereaksi. Dia lihat ibunya itu merapati dan mengusap-usap wajah kaku Hafiz yang tersenyum ceria didalam gambar tersebut.

            “Kalaulah Hafiz masih ada, tentu mereka dah kahwin pun sekarang. Tentu Nadya dah jadi adik ipar Adrian.” Puan Sri Azila meluahkan rasa hati. Rasa sebak didada cuba ditahankan. Dia tahu setiap kali dia masuk ke bilik ini, dia pasti gagal membendung air mata kesedihan dan kerinduannya. Kalau tidak kerana permintaan Adrian, sudah pasti bilik ini akan terus dikunci dan tidak akan dibuka lagi untuk selama-lamanya.

            “Adik ipar?”

            “Adrian lahir dulu. Adrian tua beberapa minit daripada Hafiz.”

            Adrian tergangguk-angguk. Ketika dia berkenalan dengan rakan-rakan sekampus Hafiz dalam majlis kenduri doa selamat malam tadi, tiada apa pun yang mencurigakan hatinya. Mereka semua melayaninya dengan baik dan kelihatan seronok bercerita peristiwa ketika belajar dulu. Tidak tahu pula dia, sebelum berkahwin dengan Adam, Nadya pernah bertunang dengan saudara kembarnya. Patutlah Nadya nampak rapat dengan Puan Sri Azila.

            “Gambar ni diambil semasa majlis pertunangan diorang. Cantik, kan? Hafiz yang suruh gantung gambar ni dekat dengan katil. Dia suka tenung sebelum tidur.” Puan Sri Azila galak bercerita tentang kenangan lalu. Kenangan semasa Hafiz yang merencana mahligai indah bersama Nadya, semua itu begitu menggamit memori dan perasaan.

            Suasana dibiarkan sepi untuk seketika. Adrian bagaikan terkhayal sendiri merenung gambar itu dengan perasaan yang bercampur-baur. Hairan kenapa dalam ramai-ramai kawan Hafiz semalam, tiada seorang pun yang menceritakan kepadanya apa hubungan Nadya dan Hafiz sebelum ini. Entahlah, mungkin juga mereka hendak menjaga hati Adam yang sudah bergelar suami kepada wanita itu.

            Hmm… Nadya dan Hafiz nampak sepadan. Tapi Nadya dengan Adam lagi sepadan, sempat dia memberi komen dalam hati.

            “Jomlah Adrian, kita tengok yang lain-lain pula.” Suara Puan Sri Azila mengembalikan Adrian ke dunia nyata.

            Adrian menurut sahaja. Dia mengikut ibunya melihat barang-barang yang lain pula. Almari pakaian Hafiz dibelek-belek, namun tiada apa yang istimewa. Baju-baju yang ringkas dan tak berapa up-to-date. Pada pendapat Adrian, Hafiz mungkin bukan jenis seseorang yang terlalu mementingkan fesyen. Dia hanya pakai apa yang selesa dan kena pada tubuhnya.

             “Ada gambar lagi tak, bu?” pinta Adrian. Dia tidak berminat mahu melihat barang-barang lama didalam bilik itu kerana dia lebih tertarik mahu mengetahui bagaimana kehidupan lampau Hafiz.

            Puan Sri Azila tidak menyoal lanjut. Dia menggeledah almari kecil dibawah meja solek yang berhabuk. Beberapa buah album yang tersimpan didalam kotak dikeluarkannya.

            “Rasanya ini jelah semua. Gambar-gambar masa dekat UM dulu. Berhabuk sikit sebab sejak Hafiz tak ada, ibu jarang masuk sini.”

            Adrian mengucapkan terima kasih. Dia duduk dibirai katil sambil membelek album-album tersebut. Gambar yang paling banyak tersimpan adalah gambar Nadya. Nadya yang masih kelihatan keanak-anakan dan polos. Gayanya sedikit berbeza dengan Nadya yang ditemuinya malam tadi, tetapi kecomelan wajahnya tidak banyak berubah.

            Adrian tersenyum dalam hati. Walaupun hanya mampu melihat Hafiz dalam bentuk imej kaku, namun dia yakin Hafiz begitu menyayangi Nadya. Dia seakan mampu merasai betapa setia dan begitu tulusnya kasih Hafiz pada gadis itu.

            Seperti aku yang setia pada arwah Jessica, desisnya sedikit tersentuh. Dia seolah-olah mampu membayangkan bagaimana sedihnya Nadya sewaktu kematian Hafiz dulu. Pasti perasaan Nadya cukup menderita dan terdera.

            Dia mengerti semua itu, kerana dia juga merasakan hal yang sama sewaktu melihat Jessica menghembuskan nafas terakhir dihadapan matanya. Saat itu dia sendiri terasa jiwanya bagaikan sudah melayang pergi untuk selama-lamanya.  

            “Macam mana Nadya boleh kahwin dengan Adam?” Adrian kembali menyoal. Dia berminat untuk mengorek rahsia.

            Puan Sri Azila yang berdiri sahaja sedari tadi mula mengambil tempat duduk disebelah anaknya. Dia menarik nafas dalam-dalam dan mula bercerita tentang perkara yang pernah terjadi dahulu. Tentang bagaimana kehidupan Nadya selepas pemergian Hafiz, Nadya yang merencana untuk mendirikan rumah tangga bersama Rafi namun tidak kesampaian dan kemudian Nadya berkahwin dengan Adam atas permintaan abahnya dan papa Adam, arwah Dato’ Husin.

            Adrian setia menadah telinga sambil matanya tidak lepas menatap gambar-gambar didalam album lama tersebut. Kini dia mula memahami bagaimana perjalanan hidup Nadya dan Adam. Patutlah… rupa-rupanya Adam sukakan Nadya sejak Nadya bersama dengan Hafiz lagi. Perkahwinan mereka adalah perkahwinan yang diatur dan akhirnya membawa bahagia sehingga ke hari ini.

            Moga berkekalan hingga ke akhir hayat hendaknya. Amin… doanya ikhlas didalam hati.

            “Adrian ambil sekeping, boleh?” tunjuk Adrian pada sekeping gambar pertunangan didalam album tersebut.

            “Nak ambil? Kenapa?” Berlapis-lapis kerutan didahi Puan Sri Azila.

            “Nak simpan je. Sebab muka Hafiz sama macam Adrian.”

            Puan Sri Azila menguntumkan senyuman dan mengambil sekeping gambar.

            “Ambillah yang ni.  Dalam gambar ni Hafiz dengan Nadya nampak cantik sangat. Ibu suka tengok yang ni.”

            Adrian tersenyum tepi. Gambar yang diberi oleh ibunya ditenung lama-lama. Matanya silih berganti memandang wajah pasangan yang kelihatan sungguh ceria dan berseri-seri itu. Memang sama cantik, sama padan. Tapi sayangnya tak ada jodoh.

            Imbasan memori Adrian mati disitu. Dia menghela nafas dengan gambar yang masih tergenggam kemas ditangannya.

            “So you’re dating another ‘me’ a few years ago?” bisiknya perlahan pada gambar wajah Nadya. Melihat kedua-duanya begitu cantik berpakaian serba putih seperti pengantin, dia terbayangkan wajah arwah Jessica. Gadis Indonesia itu juga pasti akan tampak jelita jika mengenakan busana serba putih seperti ini.

            Sebenarnya dia tiada sebarang sebab yang spesifik kenapa hatinya tiba-tiba tergerak mahu menyimpan gambar pertunangan Hafiz dan Nadya. Gambar itu tiada kena-mengena dengan dirinya, tetapi setiap kali menatap wajah Hafiz, dia akan membayangkan dirinya yang berada didalam gambar tersebut. Dan gadis disebelahnya pula adalah arwah Jessica.

            “Jessica… saya rindu awak sangat-sangat…” keluhnya hiba. Mata yang terasa berbahang dipejam rapat demi menahan tangisan yang mahu gugur. Sungguh, mengingati gadis itu benar-benar menyesakkan nafasnya. Menyeksa batinnya.
**********************

Canberra, Australia (9 tahun yang lalu)

“AWAK rasa okey tak kalau suatu hari nanti jodoh awak orang Malaysia?” Adrian menyoal ketika dia melangkah menyusuri Kingsley Street bersama Jessica. Mereka berdua bersiar-siar dikawasan itu untuk seketika sementara menunggu Daniel dan Jason Lee yang sedang bertemu dengan pensyarah untuk bertanyakan tentang tugasan semester.

            Jessica melorekkan senyuman, merenung Adrian dengan riak pelik.

            “Kenapa kamu tanya kayak gitu? Aku nggak percaya kalau ada orang Malaysia yang akan suka sama aku,” tukas gadis Indonesia itu pula.

            “Kenapa cakap macam tu? Awak cantik apa…”

            “Ini bukan tentang soal cantik atau nggak. Aku biasa-biasa aja, bukan orang kaya. Orang tua aku kan cuma ngerjain sawah. Setahu aku sih, orang-orang Indonesia yang kerja di Malaysia jadi pembantu, buruh. Jadi aku nggak percaya aja kalau ada orang Malaysia yang akan suka sama aku.”

            Tersenyum sahaja Adrian mendengar kata-kata itu. Baginya, Jessica cukup istimewa. Begitu merendah diri orangnya. Dan itu yang membuatkan Adrian jatuh hati dalam diam. Dia tidak peduli Jessica orang Indonesia atau Malaysia kerana dia mencintai Jessica seadanya.

            “Kamu ni ngomong tentang siapa sih? Orang Malaysia mana yang mau suka sama aku? Daniel? Dia kan suka sama Cinta!”

            Adrian tersengih gedik. Belakang lehernya digaru-garu tanpa tujuan. Adoi, Jessica ni. Dah bagi hint pun takkan tak faham-faham lagi?

            “Kenapa? Awak suka Daniel ke?” Adrian memulangkan pertanyaan.

            Jessica mencemikkan wajahnya.

            “Aku suka Daniel dan aku suka kamu juga. Aku suka dan sayang semua teman-teman aku.”

            Errk… aku kena friendzone ke ni? detik Adrian. Tapi tak boleh salahkan Jessica kalau dia beri jawapan begitu kerana Jessica memang tidak tahu isi hatinya yang sebenar.

            Jessica mendongak ke langit apabila telinganya menangkap kicauan merdu burung dari atas.

            “Adrian, cantik banget. Lihat sana, burung warna biru!” Tangan Jessica menunjuk ke arah burung Blue-Wren yang hinggap di pohon berhampiran.

            Adrian menoleh ke arah yang ditunjuk. Pura-pura berminat untuk melihat burung berbulu biru terang itu. Tiada apa yang menarik pun baginya kerana burung Blue-Wren memang sejenis burung yang terbang bebas dan umum dijumpai disekitar Canberra, Sydney mahupun Melbourne. Kalau di Malaysia, mungkin burung secantik ini tidak akan mampu terbang bebas. Kemungkinan besar akan ditangkap, dijual dan dibela didalam sangkar.

            “Aku jadi iri, Adrian. Di Surabaya nggak ada burung secantik ini. Mengikut apa yang aku baca di buku, burung kayak gini memiliki karakteristik yang aneh. Mereka bisa membentuk pasangan jantan dan betina, namun pasangan ini akan kahwin dengan burung Blue-Wren yang lain. Dan biasanya Blue-Wren jantan akan memetik kelopak bunga berwarna kuning dan memberikan kelopak tersebut pada burung betina sebagai bagian dari proses kahwin.” Jessica galak bercerita tanpa menyedari Adrian yang sudah tayang muka bosan.

            Dia cerita pasal burung pulak. Kalau macam ni bila aku boleh confess? Adrian menggerutu sendiri.

            “Ternyata burung juga bisa jadi romantis, ya? Burung jantan mau memiliki yang betina, maka dia memberi kelopak bunga sebagai hadiah. Sweet,” ujar Jessica lagi, namun kali ini membuatkan Adrian tersenyum.

            “Awak rasa lelaki yang bagi bunga pada perempuan nampak sweet?” soalnya berminat. Kalau Jessica suka, jangankan kelopak bunga, satu kedai bunga pun dia sanggup borong untuk gadis itu!

            “Aku bilang burung, bukannya manusia!” sela Jessica selamba.

            Adrian tergelak halus. Mereka berdua terus berjalan sampailah tiba di tempat letak kereta yang berhampiran dengan Australian National University (ANU) College of Business and Economics.

            “Jessica.”
            “Yup?”
            “Awak belum jawab soalan saya tadi.”

            “Soalan apa?” Terjungkit seketika kening Jessica melihat Adrian yang tiba-tiba bertukar serius.

            “Awak terima tak kalau jodoh awak nanti orang Malaysia?”

            Jessica menghela nafasnya untuk seketika sementara jantung Adrian pula sudah berdetak sakan menanti jawapan yang bakal keluar dari bibir Jessica.

            “Tentang jodoh itu…”

            “Adrian! Jessica! Sorry lambat sikit, tadi professor ada explain something pasal group assignment,” jerit Jason Lee dari jauh. Pemuda berbangsa Cina itu baru keluar dari bangunan fakulti bersama Daniel yang membawa timbunan fail tugasan mereka.

            Pengacau! Adrian membentak dalam hati. Tadi baru ingat nak buat scene romantik ala-ala Korea dengan Jessica. Jumpa pensyarah lama sikit tak boleh ke?

            “Professor dah tengok kertas kerja kita. So far okey, cuma ada beberapa fakta kena betulkan. Dah bertanda, nanti kita betulkan balik dekat library,” ujar Daniel pula.

            Jessica terus mendapatkan Daniel dan membantu rakannya itu membawa sebahagian fail yang penuh ditangan lelaki itu.

            “Nggak apa-apa deh. Nggak lama kok. Jadi selepas ini kita mau terus ke library atau makan dulu?” Jessica memberikan tumpuan kepada Daniel dan Jason Lee tanpa menyedari wajah Adrian yang sedikit kelat.

            “Makan dululah, buat alas perut. Tak payah berat-berat. Kita pergi Union Shop je. Belilah biskut ke, air mineral ke apa.” Jason Lee mengusulkan pendapat.

            Jessica hanya mengangguk tanda setuju.

            “Biskut dengan air mineral ni mainstreamlah. Union Newsagency okey jugak, beli beef pie. Jenama Mrs Mac’s pun okey rasanya,” sampuk Daniel pula.

            “Mrs Mac’s? Halal ke?” Jessica mengerutkan kening.

            “It’s inside the fridge. Some of the pies ada logo halal, and some don’t. Bukan semua Mrs Mac’s pie tu halal. So pilih yang ada logo halal je,” jawab Daniel bersahaja.

            “Hmm… okey,” jawab Jessica pendek.

            Daniel, Jessica dan Jason Lee terus melangkah pergi tanpa menyedari Adrian yang ketinggalan dibelakang. Langkah kaki diseret penuh kemalasan kerana sebal babak romantisnya terbejat dengan kehadiran Daniel dan Jason Lee.

            Arghh… Jessica Lidya Arfan! Kau memang dilahirkan lembab ke apa? Kau tak nampak aku dah lama suka kau? Tak nampak ke?! Kata-kata itu Adrian hanya mampu jeritkan didalam hati.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

5 comments:

ain said...

hahahahha
jessica2X....teringat ZC

Syuhada Mat Isa said...

comel je adrian.haha

hannah said...

ciannye adrian :'(

Eddayu said...

Adrian oh Adrian... jgn nk fefeeling kat bini org tau.. ;P

E-la Adiey said...

kak Eddayu - tak feeling lagi.....buat masa skrg :P