Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuesday, June 24, 2014

Zikir Cinta 7

DANIEL baru selesai menghadiri perjumpaan ANU Malaysian Student Organisation (MSO) bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain. Sebagai setiausaha kelab tersebut, dia bertanggungjawab merekod dan mengurus segala hal ehwal, menulis aktiviti kelab dan mengupdate aktiviti kelab di Facebook.

            Daniel melangkah menyusuri deretan kedai di tingkat bawah Union Building (Bangunan yang terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan kepada pelajar-pelajar ANU seperti kedai runcit, restoran, majalah, akhbar, mesin ATM dan pelbagai lagi).

            Dia sendiri tidak tahu kenapa dia ke sini. Terasa seperti ada sesuatu yang dia tertinggal atau terlupa. Dengan langkah yang teratur, dia terus ke kedai take-away Rosie’s Chicken untuk membeli kentang goreng dan minuman berkarbonat. Setelah itu dia duduk seorang diri diatas padang rumput Union Court yang berhadapan dengan Union Building sambil menikmati makanannya.

            Sejuk mata melihat pemandangan di sekitar kampus yang kelihatan ceria dengan pokok-pokok bunga berwarna-warni dan rumput yang menghijau tanpa pencemaran. Persekitarannya juga tenang dan sangat bersih. Satu perkara yang unik mengenai kampus ini yang tidak ada ditempat lain, kanggaru liar bebas berkeliaran didalam kampus. Kadang-kadang ada di School of Law dan School of Arts. Dan yang paling banyak disekitar High Commissioner, Yarralumla dan Parliament House.

            Boleh dikatakan hampir keseluruhan suburb Acton adalah kawasan yang dimiliki oleh Australian National University. Umumnya, Canberra bertanah pamah yang dikelilingi banjaran gunung. Merupakan bandar yang cukup terancang, malah tersenarai antara bandar paling sistematik di dunia. Siratan jalannya sangat baik, tiada kesesakan dan selamat.

            Paling yang patut dipuji, susah hendak melihat walau setompok sampah dimana-mana. Mungkin kerana itulah Canberra dicemburui bandar-bandar lain di Australia.

            Dia asyik sahaja menikmati pemandangan sambil mengunyah kentang sehinggalah dia nampak Jessica melambainya dari jauh.

            Daniel tersenyum dan turut melambai.

            “Assalamualaikum, Danny,” sapa Jessica apabila gadis itu sudah menghampirinya.

            “Waalaikumussalam. Duduklah.”

            Jessica tersenyum dan terus duduk disebelah Daniel.

            “Nak sikit?” Jessica menggeleng apabila Daniel mempelawa kentang gorengnya.

            “Untung ketemu kamu disini. Aku capek banget nyariin kamu dari tadi. Kita juga udah telat nih,” ujar Jessica.

            Berkerut-kerut dahi Daniel. Pergi mana pulak?

            “Err… kita ada janji nak pergi mana-mana ke?”

            Jessica buat muka pelik.

            “Aduh, Danny. Masa kamu lupa sih? Kita kan ada appointment sama Professor Ronald untuk final project ini!”

            Daniel terpaku. Astaghfirullah… patutlah dari tadi dia terasa seperti terlupa sesuatu. Dia benar-benar terlupa tentang janjinya mahu ke pejabat Professor Ronald bersama Jessica bagi membincangkan tentang tajuk akhir semester mereka.

            Daniel mengerling jam tangan. Tapi masalahnya sekarang, dia sudah berjanji mahu keluar bersama Cinta sejam lagi. Dia sedar sejak akhir-akhir ini dia mudah benar tentang terlupa janjinya kerana sering bersama Cinta.

            “Maaf ya, Jess. Kita pergi lain kalilah.”
            “Loh, kenapa?” Jessica membulatkan mata.

            “Saya… saya sibuk. Nak buat assignment!” Daniel berdalih. Oh, sekarang dia sudah pandai menipu pula!

            Jessica kelihatan hampa.

            “Danny, this is the only opportunity we have as Professor Ronald is a very busy person. You know that, right? Ini kali ketiga aku mengatur temu janji.”

            “Saya tahu, Jess. Tapi saya tak boleh nak elak. Macam nilah, apa kata awak atur semula appointment kita lain kali?”

            “It’s not that easy, Danny. Aku udah susah payah ngatur appointment ini. Apa salahnya sih, kalau kamu ngerjain tugasan kamu itu di lain hari?”

            Daniel melepaskan keluhan. Sebenarnya memang dia pun yang salah. Dia berjanji dengan Jessica, kemudian berjanji dengan Cinta pula.

            “Okey, awak marahlah saya. Marah saya puas-puas. Tapi hari ni memang tak boleh,” ujar Daniel dengan wajah meminta simpati. Tanpa dia sedari, dia kini lebih mementingkan Cinta daripada rakan-rakannya sendiri.

            Jessica memandang Daniel. Lama. Daniel pula sudah tidak senang ditenung sebegitu.

            “Baiklah, terserah kamu deh. Appointment seterusnya kamu atur sendiri sama Professor Ronald.”

            Kata-kata Jessica menerbitkan senyuman di wajah lelaki bernama Daniel itu.

            “Jangan senang dulu. Besok kamu harus belanja aku makan siang, ganti kamu nggak mau pergi hari ini!”

            Daniel masih mengulum senyuman.

            “Okey, insya-Allah!”

            Jessica terus pamit meminta diri. Daniel hanya mengekori langkah Jessica lewat ekor matanya.

            Keluhan dilepaskan lagi. Rasa bersalah menyentak-nyentak tangkai hatinya.
*******************


CINTA berbaring sambil menatap siling bilik. Matanya memandang kosong siling putih itu sejak sepuluh minit yang lalu. Tidak tahu kenapa, dari tadi bayangan wajah Daniel menerjah-nerjah fikirannya. Sudah lebih tiga minggu persahabatannya dengan lelaki itu terjalin, dan sepanjang itulah dia lebih banyak menghabiskan masa bersama Daniel berbanding rakan-rakannya atau teman-teman lelakinya yang lain.

            Jika ditanya kepada diri sendiri, dia sendiri tidak tahu apa yang dirasakannya sekarang. Dia akui, dia mendekati Daniel kerana pertaruhan yang berlangsung antara dia dan rakan-rakannya. Tapi sekarang entah kenapa hatinya tiba-tiba berbelah bahagi.

            Dia tidak lagi merasa teruja dengan pertaruhan itu. Melihat wajah Daniel yang polos dan sentiasa tenang, dia jadi tidak tegar.

            Siapa yang tidak akan jatuh hati pada Daniel? Lelaki itu bukan sahaja lemah-lembut dalam pertuturan, tetapi juga bijak dan menghormati semua orang sehinggakan ramai pelajar-pelajar wanita di kampus salah anggap dan menyangkakan Daniel menyukai mereka.

            Dan Cinta sendiri? Dia tidak tahu apa yang dia rasakan terhadap Daniel. Ketika pertama kali bertemu dengannya tiga tahun yang lalu, hatinya meronta-ronta ingin mengenali jejaka pendiam itu dengan lebih dekat. Namun sebaik sahaja mendapat tahu lelaki itu hanyalah anak seorang penjual kuih, dia terus tawar hati.

            Atau mungkin juga dia malu kerana rakan-rakannya sering memandang rendah dengan orang-orang yang tidak setaraf dengan mereka. Apa rakan-rakannya akan cakap kalau dia bercinta dengan anak penjual kuih? Pasti dia akan ditertawakan dan dipulaukan.

            Tapi dia tahu satu sifat yang tiada dalam dirinya. Tiada dalam diri Cinta Aulia. Dia sebenarnya bukanlah jenis yang suka memperkecilkan orang lain. Mungkin ini kerana pengaruh rakan-rakan sejak dibangku sekolah. Tambahan pula, dulu dia bersekolah di sekolah antarabangsa dan tidak bergaul dengan anak-anak orang miskin.

            “Kenapalah kau dilahirkan sebagai anak orang miskin?” Cinta mengeluh sendiri.

            Alangkah bagusnya kalau Daniel anak Dato’ atau Tan Sri. Atau paling koman pun, ayahnya seorang businessman berjaya ke. Tapi itu bukan kenyataannya. Daniel hanyalah anak penjual kuih berasal dari Mersing!

            “Cinta! Cinta!” Jeritan itu memancung angannya.

            Tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu, Erma dan Hana terus menyerbu masuk.

            “Cinta, Razif cari kau!” beritahu Erma dengan senyuman yang luas.

            Cinta bangkit malas-malas dari katil empuknya. Sudah lebih dua minggu dia tidak menghubungi lelaki itu. Ada apa hal agaknya.

            “Korang ni tak reti kelentong ke? Cakaplah aku takde!” Kening Cinta bertaut.

            “Larh… aku ingat kau pun nak jumpa dia. Bukan ke dia tu Razif, anak orang kaya yang naik Porsche tu!” balas Hana mencebirkan bibir.

            Cinta mendengus. Dia terus turun ke tingkat bawah dengan hanya memakai T-shirt sendat tanpa lengan dan lengging.

            Razif yang setia menunggunya ditepi jalan sambil bersandar di Porschenya tersenyum sambil memegang sekuntum ros merah.

            “Hai, sayang,” sapa Razif ceria. Berkocak dadanya melihat susuk tubuh Cinta yang sungguh menggiurkan itu.

            Cinta sekadar tersenyum seadanya.

            “This is for you my pretty girl!”

            Cinta mengambil bunga ros yang dihulur Razif kepadanya. Terpaksalah ambil, kalau tak nanti kecil hati pula. Baginya, Razif hanyalah salah seorang daripada teman lelaki yang sebenarnya tidak diperlukan. Tapi nasib baik kaya.

            “Jom kita keluar. Main bowling. My treat!” ajak Razif.

            Cinta tersenyum.

            “Sorry Zif, hari ni I rasa nak study. Exam is just around the corner,” dalihnya.

            “Sejak bila tiba-tiba rajin study ni?” Nada Razif seperti menyindir.

            “Ini kan final examination so I have to hit the books lah,” jelas Cinta. Sebenarnya petang ini dia sudah berjanji mahu keluar dengan Daniel. Rugilah kalau peluang ini terlepas kerana pertaruhan dia dengan rakan-rakannya masih berjalan dan dia tidak mahu gagal.

            “Okay… but how about tomorrow?” cadang Razif lagi.

            “I tak janji. I will call you back bila I dah free,” putus Cinta kemudiannya.

            Alah, esok dia ada temu janji dengan Kamal, anak Tan Sri Rahim, salah seorang pemilik syarikat hartanah bumiputera di ibu kota. Mana boleh dia keluar dengan dua orang lelaki dalam satu masa!

            Razif kelihatan hampa, namun dia masih tersenyum.

            “Okeylah, tak apa. Demi you, seribu tahun pun I sanggup menunggu!”

            Tidak lama kemudian, Razif terus pamit meminta diri. Cinta tersenyum kelat. Aduh, lelaki!

            Selepas Razif berlalu, Cinta mendengus dan naik ke apartmentnya semula.

            “Amboi, romantiknya si Razif tu, ya?” Suara Hana yang sedang khusyuk dihadapan laptop dimeja mamar menerjah ke lubang telinga Cinta saat dia melihat jambak bunga ros ditangan rakannya yang cantik itu.

            Cinta mencebik.

            “Romantik kau kata? Muka macam jambatan tak siap!”

            “Macam tu punya handsome pun kau tak nak lagi? Apa bendalah kau ni!” bidas Erma yang datang entah dari mana.

            “Bagi korang siapa lagi handsome, Razif ke Daniel?” Soalan Cinta membuatkan Erma dan Hana saling berpandangan.

            “Don’t say that you…”

            “Come on, Erma. Janganlah berfikiran sempit sangat. Aku cuma tanya, bukannya suka kat si Daniel tu!” Cinta menafikan sambil ketawa berjela-jela.

            Erma dan Hana tersenyum sinis.

            “So macam mana?” Hana bertanya.

            “Macam mana apa?”

            “Perkembangan kau dengan Daniel sekarang?”

            “Alah… biasalah. Lelaki, memang macam tu. Mula-mula je konon malu-malu kucing. Tak adalah hard to get sangat!” ujar Cinta tertawa.

            “So bila kau nak luah kau syok kat dia?” tanya Erma pula.

            Cinta tersenyum tepi.

            “Aku tahulah bila masanya. Korang siapkan je duit tu sebab lepas ni, aku nak pergi shopping puas-puas!”

            Usai itu, dia masuk ke bilik meninggalkan teman-temannya dengan senang hati. Erma dan Hana tersenyum kagum. Cinta sememangnya mampu menundukkan mana-mana lelaki yang dia mahu. Sesuai dengan namanya. Cinta! Mampu membuat mana-mana lelaki pun mencintainya.

*******************


“TENGOK sana, Danny! Kat situ kampus kita!” tunjuk Cinta kepada bangunan Australian National University (ANU) yang berdiri megah di kejauhan.

            Daniel hanya tersenyum. Dia kagum melihat pemandangan keseluruhan Canberra dari Ainslie Mountain. Dari tempat setinggi kira-kira 843m ini, Canberra dilihat begitu harmoni dengan alam. Keseluruhannya kelihatan berwarna hijau, warna daun. Pemandangannya menghadap lurus ke bangunan Parliament House.

            Canberra memang sebuah ibu kota taman yang damai. Dibangunkan sekitar tasik buatan manusia yang luas. Dari menara itu juga, Daniel nampak Canberra dibahagi dua tasik – sebelah kawasan pentadbiran manakala sebelah lagi kawasan membeli-belah dan penempatan penduduk.

            Sebenarnya sudah banyak kali dia ke sini bersama Adrian dan Jason Lee Namun kali ini perasaannya berbeza sekali, kerana dia pergi bersama seorang gadis yang dicintainya dalam diam sejak tiga tahun yang lalu.

            Cinta Aulia, tidak mengapalah kalau dia tidak boleh memiliki hati gadis itu. Asalkan dia masih diberi peluang menjadi sahabatnya, itu sudah lebih dari mencukupi. Sesuatu yang tidak pernah terlintas difikirannya sebelum ini.

            “Awak suka datang sini?” Cinta bertanya.

            “Suka. Dah banyak kali saya datang dengan Adrian dan Jason Lee. Tapi biasanya saya suka datang sorang-sorang,” jawab Daniel sambil matanya terus melihat panorama alam yang luas terbentang.

            “Datang sorang-sorang? Kan best kalau datang dengan kawan-kawan.” Cinta bertanya lagi.

            “Kadang-kadang lagi best kalau datang sorang-sorang sebab masa tu lah saya boleh dapat ketenangan. Masa tu lah saya boleh terkenangkan ibu saya kat kampung. Kalau saya bersedih pun saya suka duduk kat sini. Bila bersedih, saya sentiasa ke atas dan sentiasa mengingati yang paling atas! Selain duduk di atas tikar sejadah mengadu pada Allah, di sini buat saya bersyukur dengan kekuasaan dan kebesaran-Nya,” tutur Daniel panjang lebar.

            Cinta sekadar tersenyum. Huh, lantaklah! Aku bukannya berminat nak tahu pun.

            “Daniel.”

            “Hmm…” Mata Daniel masih tidak lekang dari melihat pemandangan indah dihadapannya.

            “Dah berapa lama kita kenal?”

            “Lebih kurang tiga tahun.”

            “Tak, maksud saya, dah berapa lama kita berkawan?”

            “Lebih kurang tiga minggu. Kenapa?”

            “Danny, ermm… awak nak tahu sesuatu?” Dia mula memanggil Daniel dengan nama ringkas.

            “Apa dia?”

            “Walaupun baru tiga minggu kita berkawan, saya sebenarnya sukakan awak.”

            Daniel terkedu. Dia menoleh memandang Cinta. Benarkah apa yang diungkap gadis itu? Benarkah selama ini gadis itu menyukainya?

            Cinta menatap ke dalam anak mata Daniel untuk meyakinkan lelaki itu. Yes, tak lama lagi umpan mengena! jerit hati Cinta gembira.

            “Selama ni saya nafikan perasaan saya sendiri. Padahalnya sepanjang tiga tahun dekat sini, saya selalu perhatikan awak dari jauh. Saya berkasar dengan awak selama ni pun sebab nak tutup perasaan saya. Tapi sekarang saya tak mampu nak tipu diri sendiri lagi. Saya… saya memang suka awak!”

            Tidak berkelip mata Daniel menentang mata bundar Cinta saat gadis itu melafazkan kata-kata keramat yang selama ini dinanti-nantikannya. Tubuhnya melayang ke satu tempat yang indah bagaikan syurga. Hatinya sejuk serta-merta.

            “Jadi… sebab tu ke awak ajak saya datang sini?” Daniel mula bersuara.

            Cinta menunduk dan mengangguk, buat-buat malu.

            Daniel tidak dapat berkata apa-apa. Membahang wajahnya menahan malu. Kulitnya yang putih itu kelihatan benar-benar merah.

            Selama ini, kata-kata itu jugalah yang ingin dia luahkan kepada Cinta. Namun kerana sedar status dan kedudukannya, dia diam sahaja. Masakan si gadis kaya dan cantik jelita itu mahu menjadi pasangannya.

            Tapi tiba-tiba sekarang tanggapannya terhadap Cinta sudah berubah. Cinta sebenarnya bukanlah seorang gadis yang memandang harta kekayaan dan darjat.

            “Tapi, saya tak setaraf…”

            “Itu tak penting, Danny. Apa yang penting adalah perasaan saya sekarang. Saya nak tahu, adakah awak merasakan perkara yang sama macam saya,” potong Cinta dengan suara yang cukup lembut.

            Cair hati Daniel mendengarnya.

            Daniel tahu Cinta tidak berbohong saat menyatakannya. Dia nampak ketulusan di mata gadis itu.
            Terima kasih Cinta. Terima kasih kerana sudi menerima diri ini…


You you, when you say
“I love you, I love you, I love you”
When you say it, you make me believe it
You you, when you look
Silently, silently at my eyes
When you look at them and smile,
You make me smile too

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

3 comments:

Nadya Roslan said...

what happend????diorg kapel ke??

Syuhada Mat Isa said...

cinta xdela playgirl sgt pun.de skit perasaan kesian la walaupun nakal

lollipop kunyah said...

haish...tak suka cinta