Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Sunday, May 24, 2015

Kau Bidadariku... 25

“HATI-HATI, bang. Jaga diri. Dah sampai sana nanti call Nadya tau?” Nadya sempat berpesan ketika menghantar suaminya ke KLIA. Hari ini Adam akan berangkat ke Dubai bersama Yusof dan Azriel untuk projek usahasama dengan RED Corporations.

            Adam membalas dengan anggukan bersama sebaris senyuman manis. Usai Nadya mengucup tangannya, dia mencium ubun-ubun isterinya pula.

            Adam dan Yusof akan ke Dubai hanya untuk seminggu dua sahaja demi menyelesaikan hal penubuhan syarikat dan pelan bangunan. Tetapi Azriel selaku jurutera yang bertanggungjawab menyelenggara projek itu akan bermastautin di sana untuk satu jangka masa yang agak lama sehinggalah projek tersebut selesai. Justeru itu Azriel membawa isterinya, Maya bersama dua orang anak mereka menetap disana.

            “Mia, Izwan, Husna, Fimi, meh sayang papa sikit.” Yusof duduk bertinggung, menggamit anak-anaknya datang kepadanya.

            Sebaik dia mendepangkan tangan, keempat-empat anaknya terus memeluknya.

            “Mia, jaga adik-adik tau. Ada apa-apa masalah beritahu mama, okey? Kalau rindu papa, bagitahu je. Nanti kita Skype,” pesan Yusof kepada Mia, anaknya yang sulung. Mia berusia 6 tahun manakala tiga adik kembarnya; Izwan, Husna dan Fimi berusia 3 tahun.

            “Nanti belikan Mia mainan, boleh? Mia nak patung Elsa!”

            “Aik, haritu kan papa dah beli teddy bear besar, takkan nak mainan lagi.”

            “Tapi patung Elsa tu Mia belum ada. Kawan-kawan Mia semua dah. Diorang bawak pergi sekolah tunjuk kat Mia,” balas anaknya pula sambil memuncungkan bibir. Buat muka minta simpati.
            Yusof tersengih. Hidung comel anaknya itu ditarik perlahan.

            “Yalah, yalah, nanti kalau ada masa papa belikan. Papa ke sana nak kerja, kan?”

            “Buat apa beli mainan lagi? Mainan kat rumah dah banyak, tapi tak main pun!” sampuk Zulaikha, agak kurang senang dengan cara suaminya itu memanjakan anak.

            “Tapi mama, patung Elsa tu lain. Dia dari kartun Frozen. Ala… kartun yang ada Olaf. Let it go… let it go…” tekan Mia bersungguh-sungguh. Siap menyanyi sebagai demo untuk meyakinkan Zulaikha. Tergelak-gelak Yusof melihatnya

            “Yalah, papa beli nanti. Ika, takpelah. Patung ni je. Kan awak tahu yang Mia memang suka kartun Frozen,” ujar Yusof.

            “Hmm… okey, sekali ni je tau.” Zulaikha sekadar memberi respons pendek dengan muka yang dibuat-buat tegas.

            Sengih sampai ke telinga Mia mendengar jawapan mamanya.

            Adam tersenyum sendiri melihat keluarga Yusof. Matanya melirik ke arah Nadya. Wajah isterinya itu tampak sedikit sugul. Mungkin terkesan melihat kehidupan bahagia Yusof dan Zulaikha yang memiliki ramai anak serta penuh limpahan kasih sayang.

            “Sayang isteri abang…” Adam memaut tubuh Nadya, seakan cuba mententeramkan perasaan isterinya. Bahu wanita itu diusap-usap sayang.

            Nadya membalas pandangan suaminya bersama seraut wajah yang cukup tenang.

            “Sayang abang jugak…” luahnya perlahan. Wajahnya kembali diceriakan. Kemudian dia mendapatkan Maya pula dan memeluk rakannya itu.

            “Bila balik Malaysia?”

            “Tak tahulah, Nadya. Kena tengoklah bila Abang Azriel siap kerja. Insya-Allah 6 bulan lagi nanti aku balik kejap bila permit tamat. Nanti kita selalu contact ya? Facebook kan ada,” sambut Maya tersenyum simpul.

            “Farid, Anis, meh sini sayang. Salam dengan Aunty Nadya.” Maya memanggil dua orang anaknya yang berdiri di sisi suaminya.

            Dua kanak-kanak itu menurut patuh arahan si ibu. Tangan Nadya dikucup sebelum mereka kembali mendapatkan Azriel.

            Selesai pemeriksaan kastam dan mendaftar masuk bagasi, Adam dan Nadya sekali lagi berpelukan. Saling bertaut erat bagai tidak mahu dilepaskan. Seolah-olah ini adalah pertemuan terakhir antara mereka.

            “Nadya cinta abang sangat-sangat,” ucap Nadya sedikit sebak. Matanya dipejamkan seketika saat terasa ada cecair jernih mulai bertakung di kelopak mata.

            Ini bukanlah kali pertama Adam ke luar negara atas urusan kerja. Tapi entah kenapa, dia rasakan perpisahan kali ini sungguh berbeza. Adam masih dihadapan mata, tapi entah kenapa rasa rindunya pada lelaki itu hadir membuak-buak tanpa diundang.

            “Abang cinta Nadya juga. Cinta sangat-sangat. Tunggu abang balik, ya?” Adam tersenyum nipis sambil mengelus-elus kasih kepala isterinya.

            “Adoi… Romeo dan Juliet, sudah-sudahlah tu. Pergi seminggu je pun!” sindir Yusof, membuatkan semua yang berada di situ menyeringai ketawa.

            “Sibuk, jealouslah tu!” bidas Adam tatkala pelukan sudah diuraikan. Nadya pula hanya mampu tersengih sumbing.

            “Hahaha… tak ada makna aku nak jealous.” Yusof mencebir bibir yang sedang memaut bahu Zulaikha.

            Siap urusan di kaunter imigresen, Adam dan Yusof melangkah beriringan masuk ke balai berlepas bersama Azriel dan Maya yang berpimpinan dengan anak-anak mereka.

            Nadya hanya mampu merenung Adam dari jauh sehinggalah suaminya itu hilang dari pandangan. Tidak tahu kenapa, baru beberapa saat Adam menjauh, hatinya sudah dirundung kesedihan.

            Sabarlah… suami kau bukannya pergi untuk selama-lamanya. Janganlah manja sangat, dia memujuk diri sendiri sambil meletakkan tangan ke dada. Perasaan tidak enak yang berlingkar di jiwa saat itu segera dibuang jauh-jauh.

            “Apa lagi, Nadya? Jadi bujanglah sekejap seminggu dua ni. Jom kita tengok wayang!” ajak Zulaikha dengan wajah yang bersinar ceria.

            “Eleh, banyaklah bujang. Ni askar-askar kecik ni, mana nak tinggal?” Nadya memuncungkan mulut menunjuk ke arah anak-anak Zulaikha.

            Zulaikha ketawa mengekek.

            “Alah, diorang ni aku boleh tinggalkan dekat rumah parents aku. Jomlah tengok wayang. Aku sejak ada tiga kembar ni, susah nak bergerak. Dah jarang boleh keluar,” pujuk Zulaikha sambil mengerdip-ngerdipkan mata ke arah Nadya, buat muka comel.

            Nadya tergeleng-geleng. Dia tersenyum dalam hati melihat anak-anak Zulaikha yang semuanya fotostat muka Yusof. Mesti penat jaga anak ramai, lagi-lagi kalau dapat tiga kembar sekaligus. Nak curi masa untuk diri sendiri pun belum tentu ada masa.

            “Yalah, kita…” Belum sempat Nadya menyudahkan ayatnya, kedengaran telefon bimbitnya pula bergegar didalam tas tangan.

            “Ibu?” Nadya membaca nama Puan Sri Azila di skrin. Cepat-cepat jarinya menyentuh punat hijau.

            “Hello ibu, assalamualaikum…”
            “Waalaikumussalam. Nadya sihat?”
            “Alhamdulillah, sihat bu. Ibu sihat?”
            “Ibu sihat je. Adam pergi outstation kan harini?”
            “Aah, kenapa bu?”

            “Adam dah naik flight kan? Ibu ingat nak ajak Nadya lunch sekali hari ni. Weekend macam ni mesti Nadya bosan makan sorang-sorang kan?”

            “Lunch?” Nadya melirik jam tangan yang menunjukkan pukul 11.15 pagi. Kebetulan hampir masuk waktu makan tengah hari.

           Namun dia agak keberatan untuk menerima pelawaan itu. Hujung minggu begini pasti Adrian juga bercuti. Kalau Adrian cuti, pasti lelaki itu ada di rumah bersama ibunya.

            “Nadya, boleh tak? Ke Nadya tak nak?” Angan pendek Nadya terganggu mendengarkan suara itu.

            “Err… Nadya… nak…” Perlahan sahaja jawapannya. Dia tidak sampai hati untuk menolak. Hendak memberitahu alasan sebenar kenapa dia keberatan, dia tidak tergamak.

            “Baguslah, meh datang rumah ibu. Hari ni ada chef istimewa masak tau. Ibu teruja nak rasa. First time dia masak!”

            Terjungkit kening Nadya mendengarnya. “Chef istimewa? Siapa, bu?”

            “Alah, datanglah dulu!”

            “Err… okey, tapi Nadya tak datang sorang tau. Nadya bawa Zulaikha sekali.” Kaedah ini mungkin lebih selamat. Jika dia membawa birasnya bersama, tiadalah timbul sebarang sebarang masalah sekiranya dia bertemu dengan Adrian.

            “Boleh, datang ramai-ramai pun takpe. Makan ramai-ramai lagi best. Meriah!”

            Nadya melebarkan senyuman. “Okey. Nadya on the way ke sana. Ibu tunggu ya?”

            “Okey, Nadya. Cepat tau. Hehe… tata. Assalamualaikum…”

            “Waalaikumussalam…”

            Telefon bimbitnya kembali disimpan didalam beg tangan. Dia mengalihkan pandangan pada Zulaikha yang setia menanti disebelah.

            “Err… Zul, kita tengok wayang lain kalilah. Jom makan dekat rumah Puan Sri? Dia ajak lunch.”

            “Makan free? Eh, makan free mestilah aku nak!” Cepat Zulaikha menjawab sambil tersengih-sengih macam kerang rebus.

            “Tak jadilah aku hantar anak-anak aku pergi rumah mak aku. Bawa diorang makan sekalilah, tak payah aku masak balik karang. Hehehe…”

            Berkerut-kerut muka Nadya melihat keletah keanak-anakan birasnya itu. 

            “Yalah, jom!”
**************************

SEBARIS senyuman mesra bertapak di wajah Puan Sri Azila ketika menyambut kedatangan Nadya bersama Zulaikha di banglonya. Nadya memimpin tangan Izwan dan Husna dikiri dan kanannya, sementara Zulaikha memimpin Mia dan Fimi.

            “Meh masuk, tengah masak lagi ni. Tapi dah hampir siap dah,” ujar Puan Sri Azila cukup ceria ketika bersalaman dengan Nadya dan Zulaikha.

            “Aduh, tengah masak lagi? Malulah kitorang, ibu. Datang untuk makan je, tak tolong masak sekali.”

            Puan Sri Azila tergelak melihat reaksi serba-salah anak angkatnya.

            “Eh, dah memang ibu ajak makan. Bukannya ibu ajak masak. Alah, ibu pun goyang kakilah. Ada chef volunteer hari ni. Dia nak masak sebab ibu cakap teringin nak makan makanan western.”

            Nadya terkebil-kebil. Chef makanan western?

            “Adrian ke?”

            “Iyalah, chef didatangkan khas dari New Zealand!” Puan Sri Azila berlelucon pula menjawab telahan Nadya.

            Nadya mengangguk. Tepat jangkaannya. Nasib baik dia bawa Zulaikha bersama.

            Sejurus itu mereka semua masuk ke dalam rumah. Bau masakan lazat sudah menerawang ke segenap ruang didalam rumah, membuatkan perut masing-masing mulai galak berkeroncong minta diisi.

            “Sedapnya, apa bendalah dia masak ni,” cetus Zulaikha perlahan sambil menggosok perut.

            “Ish, Zul!” Nadya mencuit lengan birasnya dengan kening yang dikerutkan.

            “Dah sampai?” Adrian keluar dari ruang dapur sambil memegang sudip. Lelaki itu berpakaian serba santai; seluar tracksuit dengan T-shirt slim fit bersama apron yang sudah tercalit kesan minyak dan kotoran.

            “Duduklah dekat meja dulu, kejap lagi saya hidangkan makanan,” ujar Adrian melemparkan secarik senyuman sebelum dia melangkah masuk ke dapur semula.

            “Jom Nadya, Zulaikha,” ajak Puan Sri Azila.

            “Takpe ke ni, mak cik? Kita biar Adrian masak sorang-sorang?” tanya Zulaikha.

            “Taklah, bukan masak sorang. Mak Munah ada tolong sekali.”

            “Oh…”

            Mereka terus ke ruang makan yang bersebelahan dengan dapur. Terdapat meja panjang dengan pelbagai hiasan mewah diatasnya. Pinggan mangkuk dan cawan juga sudah tersusun rapi.

            Zulaikha mendudukkan anak-anaknya di atas kerusi dan memberikan gula-gula pelbagai perisa. Selalunya dia akan menggunakan kaedah ini agar anak-anaknya itu tidak berlari berkejaran di rumah orang.

            “Kejap ek, nak pergi tengok dapur,” ujar Puan Sri Azila sebelum meninggalkan ruang makan.

            “Handsome jugak mamat tu ek?” bisik Zulaikha tersengih nakal. Anak-anaknya sudah dibiarkan makan dan bermain sesama sendiri.

            “Hish, Zul. Yusof tu baru beberapa jam pergi tau,” ungkap Nadya mengingatkan.

            Zulaikha terus mencemik.      

            “Aku puji je. Dah memang mamat tu handsome. Ini baru kali kedua aku jumpa dia. Muka dia macam Hafiz, tapi Hafiz versi budak-budak baik. Dia nampak macam versi bad boy sikit. Lagipun tak salah kalau aku nak puji makhluk ciptaan Allah, kan?”

            Nadya merengus. Dia ingin membalas, namun kelibat Adrian yang tiba-tiba muncul membantutkan niatnya.

            “Sekejap, sikit lagi. Sorry kalau lama menunggu,” tutur Adrian sambil meletakkan mangkuk yang dibawanya ke atas meja. Meskipun tampak letih dan berpeluh kerana memasak, namun bibir lelaki itu tidak lekang dengan senyuman. Dia kelihatan cukup senang melayan dan menyambut tetamu pada hari ini.

            “Takpe, takpe, kitorang okey je,” jawab Zulaikha pantas.

            Adrian tersenyum. Kemudian menghalakan pandangan pada anak-anak Zulaikha.

            “Adik, siapa nama?” Dia menyoal Mia. Pantang jumpa budak kecil, dia pasti mahu menegur kerana suka melayan kanak-kanak.

            “Mia Sarah binti Mohd Yusof,” jawab Mia lurus.

            Adrian memekarkan senyuman. Melihatkan Mia, dia teringat pada Dania. Cuma bezanya Dania lebih keletah dan Mia pula agak pendiam.

            “Adik-adik semua nama apa? Umur berapa tahun?”

            “Izwan, Husna, Fimi. Tiga tahun!” sahut Mia sambil menunjukkan tiga jarinya.

            Adrian mengelus-ngelus kepala Mia. Terhibur hatinya melihat tiga adik kembar Mia. Semuanya nampak sama. Baik dan berdisiplin. Tak macam kanak-kanak lain.

            “Mia nak coklat? Uncle ada banyak coklat.”

            Terkelip-kelip Mia mendengar pelawaan Adrian. Dia memalingkan muka ke arah Zulaikha seakan meminta izin.

            Zulaikha angkat bahu. “Makan makanan berat dulu. Coklat makan kemudian.”

            Mia mengukir senyuman luas.

            “Nanti lepas makan uncle ambil, okey?”

            Adrian tersenyum kepada Nadya dan Zulaikha sebelum berlalu ke dapur. Zulaikha cepat-cepat menjeling ke arah mangkuk yang baru diletakkan di atas meja.

            Mediterranean Chicken Stew. Wapnya berlegar-legar dipermukaan mangkuk, kemudian naik mengapung ke udara sambil menerbitkan bau harum yang menggoda selera. Kecur air liur Zulaikha melihatnya.

            “Oh god, dia sangat pandai masak Nadya. Dahlah handsome, pandai masak pulak tu. He’ll be a hot and sexy boyfriend. Untung mana-mana perempuan yang dapat dia!”

            Nadya tepuk dahi. Alamak, lebih-lebih pula si Zulaikha ni. Kalau Yusof dengar, mampus merajuk setahun.

            Tidak lama selepas itu, Adrian muncul semula bersama Puan Sri Azila dan Mak Munah. Masing-masing membawa pinggan berisi makanan yang sudah siap dimasak.

            “Adrian yang masak semua ni?” tanya Nadya seperti tidak percaya.

            Ada grilled mozzarella sandwich, taco salad, walnut crusted salmon, fish and chips dan bermacam-macam variasi juadah yang semestinya bukan makanan ruji orang Melayu. Dah macam nak buka restoran gamaknya.

            “Aah, saya masak. Mula-mula tadi saya ingat nak masak Hangi, makanan tradisional suku Maori dekat New Zealand, tapi rasanya tak sesuai kot. Sebab cara nak masak pun bukannya boleh letak atas api dapur. Hangi ni sayuran dan daging yang dimasak dengan cara sekap dalam api bawah tanah dan telungkup dengan batu untuk panaskan dalam api. Pastu tutup dengan daun kubis atau selada air dan masak selama tiga jam,” jelas Adrian panjang lebar. Dia cukup teruja sekiranya bercerita tentang makanan kerana suka memasak.

            Kata arwah Jessica dulu, kalaulah Encik Jamal tiada syarikat sendiri, pasti dia sudah menjadi tukang masak di Paris dan bukannya berkhidmat di Brilliant Sdn. Bhd.

            Tercengang Nadya mendengar penerangan Adrian. Langsung dia tak faham.

            “Oh… err… ayah mana, ibu?” Segera Nadya melarikan topik lain pula. Kaku sekejap otaknya sebab dia pun hanya tahu masak makanan Melayu.

            “Ayah ada emergency. Problem sikit dekat company. Tak dapatlah lunch dengan dia sekali hari ni,” jawab Puan Sri Azila yang sudah mengambil tempat duduk.

            Adrian turut menarik kerusi dan duduk disebelah ibunya. Dia mengambil pinggan dan menyendukkan makanan untuk Puan Sri Azila.

            “Mak Munah, jom duduk sekali,” ajak Adrian.

            “Tak apalah, Mak Munah nak kemas dapur tu. Bersepah lepas masak.”

            “Ish, kan kita masak sama-sama. Nanti kita kemaslah sama-sama. Mak Munah duduk dulu, kita makan sekali,” ujar Adrian lagi, membuatkan Mak Munah tidak mampu untuk menolak. Dia terus duduk disebelah Adrian.

            “Kau tengok tu, Nadya. Baiknya dia layan maid.” Zulaikha berbisik perlahan sambil tersengih nakal.

            Nadya mengeluh sendiri. Sabar jelah.

            “Silalah, self service. Kalau sedap puji, kalau tak sedap diam je, okey?” gurau Adrian tersenyum senget.

            Nadya dan Zulaikha sama-sama ketawa. Masing-masing sibuk mengambil makanan. Zulaikha mengambil kentang didalam pinggan fish and chipsnya lalu disuapkan kepada anak-anaknya. Mulalah riuh mulut masing-masing sambil mengangakan mulut. Macam anak burung.

            “Sorry, diorang ni bising sikit kalau lapar,” beritahu Zulaikha serba-salah.

            Adrian yang leka menikmati hidangan sekadar menyungging senyuman. Suara kanak-kanak adalah bunyi yang indah baginya. Dan dia tidak ada masalah untuk mendengar kanak-kanak ketawa, menangis, bising ataupun bercakap.

            “Tak apalah, dah nama pun budak-budak,” balas Adrian tenang. “Mia, meh makan dengan uncle nak?”

            Pantas Mia menggeleng. Dia memang jenis kanak-kanak pemalu dan jarang mahu pergi pada orang yang tidak dikenalinya. Adrian hanya ketawa dengan respons Mia.

            Nadya yang melihatkan birasnya terkial-kial melayan keempat-empat anaknya sekaligus, cuba untuk membantu. Dia terus bangun, membawa pinggannya lalu menyuapkan ikan salmon untuk Mia dan Izwan. Zulaikha pula melayan Fimi dan Husna.

            “Anak ke berapa ni?” tanya Mak Munah pula dengan senyuman manis yang terbias di wajah tuanya.

            “Hehe… entahlah macam mana nak kira. Mia yang sulung, tiga lagi ni kembar. Mana satu keluar dulu, saya pun dah tak ingat,” jawab Zulaikha selamba.

            Adrian tergelak halus. Sambil mengunyah taco salad, kornea matanya sesekali dikerling ke arah Nadya yang leka melayan anak-anak saudaranya makan. Sabar wanita itu melayan Mia dan Izwan yang kadang-kala mengelak untuk disuap dan riuh bercakap walaupun pelat. Sesekali Nadya tersenyum dan mengesat mulut dua kanak-kanak itu yang comot dengan jari. Jelas terserlah sifat-sifat keibuannya.

            Entah kenapa, terbuai seketika Adrian melihatnya. Wajah, tingkah dan perilaku wanita itu bagaikan mengusik hatinya. Dia cepat-cepat melarikan pandangan. Cuba mematikan galau dihati. Dia tidak mahu hatinya bergetar.

            Perasaan ini… perasaan yang sama dirasainya ketika pertama kali jatuh cinta pada arwah Jessica.

           Allah, apa aku ni? Dosalah, jaga mata! sempat Adrian bermonolog didalam hati.

            “Err… Adam dengan Yusof pergi Dubai berapa lama?” Adrian segera mengajukan pertanyaan. Cuba mematahkan kejanggalan yang tiba-tiba hadir dalam diri.

            Apa benda kau ni, Adrian? Masa jumpa Nadya sebelum ni kau okey je, tapi kenapa hari ni hati kau nak buat perangai. Ingat Adrian, kau sayang Jessica. Kau sayang dia sampai bila-bila. Jangan suka orang lain, lebih-lebih lagi bini orang! Adrian menegaskan pada diri sendiri.

            “Diorang kat sana seminggu lebih je. Oh ya, terima kasih sebab masak semua ni. Sedap ikan salmon ni. Maaf sebab tak tolong masak sekali,” jawab Nadya, sekaligus memuji tanda penghargaan kepada Adrian. Dia menguntumkan senyuman sekilas pada lelaki itu sebelum kembali memberi tumpuan kepada anak-anak saudaranya.

            “Oh, err… tak apa. Saya masak untuk tetamu hari ni.” Sedikit gugup Adrian membalas. Liurnya diteguk beberapa kali. Bahang panas kerana memasak tadi belum habis, sekarang wajahnya berbahang kerana benda lain pula. Butir peluh yang mulai terbit didahi dikesat. Tubuhnya dikibas-kibas, buat-buat panas.

            Memang sebenarnya sudah berpuluh-puluh kali dia menatap wajah wanita itu. Namun entah kenapa, baru hari ini hatinya merasa terusik. Dia cuba menyedapkan hati sendiri. Mungkin dia hanya tertarik dengan cara Nadya melayan kanak-kanak. Mungkin.

            Sedang fikirannya melayang entah ke mana, dirinya dikejutkan dengan bunyi ringtone telefon yang bergegar didalam poket seluar. Cepat-cepat telefonnya dikeluarkan.

            “Hello.” Lama dia diam ditelefon, mendengar kata-kata si pemanggil. Sesekali dia mengangguk-angguk.

            “Okey, tak ada masalah. Tentang pelantikan PR Officer baru tu awak suruh HR Department settlekan. Tapi kalau boleh saya nak utamakan fresh graduate, sebab mereka perlukan pengalaman dan belajar dunia pekerjaan yang sebenar. Cuma pastikan calon yang dipilih betul-betul layak untuk pegang jawatan tu. Okey… waalaikumussalam.”

            Usai itu talian terus dimatikan.

            “Hal syarikat ke, Adrian?” soal Puan Sri Azila.

            “Aah, ibu. Hal pelantikan PR Officer baru. Yang lama baru resign minggu lepas.”

            Puan Sri Azila mengangguk-angguk.

            Adrian terus menikmati makanannya. Telefonnya diletakkan di atas meja. Kali ini dia tidak lagi merenung Nadya. Takut berdosa kerana tidak menjaga pandangan mata. Seharusnya dia menjaga ikhtilat, nak berkawan dengan isteri orang pun ada caranya.

            “Sedap Adrian masak. Dah boleh buka kafe macam Daniel ni!” sakat Puan Sri Azila yang sudah selesai menghabiskan fish and chipsnya. Tangannya mencapai mangkuk kecil, hendak merasa Mediterranean Chicken Stew pula.

            “Eh, Daniel tu pandai masak western sebab Adrian yang ajar,” sela Adrian seraya tertawa kecil, cuba memesongkan perhatiannya tentang perkara tadi.

          Puan Sri Azila mengelus kasih kepala Adrian. Dia terhibur setiap kali melihat Adrian senyum dan ketawa kerana anaknya itu memiliki lesung pipit dikedua-dua belah pipinya. Arwah Hafiz pula hanya ada lesung pipit di pipi kiri sahaja.

Tapi semenjak Adrian tinggal dikediamannya kira-kira dua bulan yang lalu, dia tidak pernah mendengar Adrian ketawa yang benar-benar ikhlas. Kalau ketawa pun, hanya jika Daniel ada bersama.

            Pelik, mood Adrian sukar untuk diduga. Bahkan sehingga ke saat ini, dia dan suaminya sendiri belum benar-benar mengenali siapa sebenarnya Muhammad Hafiz Adrian!
**************************

“ADRIAN masak? Sedap ke?” soal Adam sebaik Nadya menceritakan peristiwa tengah hari tadi. Isterinya itu baru saja mengirimkan gambar selfie dia dan Zulaikha melalui aplikasi Whatsapp ketika makan di kediaman Puan Sri Azila.

            Kali ini Nadya tidak berselindung. Dia sudah berjanji setiap aktivitinya akan diberitahu kepada Adam. Dia tidak mahu suaminya tahu hal siang tadi dari mulut orang lain. Lebih-lebih lagi dari si pengintip yang sengaja menghuru-harakan rumah tangganya.

            “Sedap? Bolehlah…” jawab Nadya bersahaja. Dia tidak mahu memuji lebih-lebih meskipun dalam hatinya mengakui masakan Adrian memang sedap.

            “Ya ke ni?” Adam menduga.
            “Yalah, takkan nak tipu pulak. Umm… pukul berapa kat sana? Sini dah pukul 11 lebih.”

            “Dekat sini pukul 7.41 malam. Beza empat jam kan. Ada dekat hotel sekarang. Esok baru start kerja.”

            Nadya mengangguk biarpun tahu suaminya tidak dapat melihat anggukannya.

            “Angel, I miss you so much,” luah Adam. Lenggok suaranya tiba-tiba bertukar manja. Biarpun belum sampai 24 jam berpisah dengan Nadya, namun hatinya sudah meronta-ronta mahu pulang semula ke Malaysia.

            Nadya tersenyum tepi. “I miss you too, abang. Jaga diri. Sekarang kat sana musim panas, kan? Minum air banyak-banyak, jangan jatuh sakit.”

            “Okey, I will. Nadya pergilah tidur, esok nak ke butik. Nanti abang call lagi.”

            “Okey. Good night, bang. I love you.”

            “And I love you every step of the way, my angel. Goodnight, sayang. Bye,” balas Adam pula. Dia sempat mengucup telefon sebelum menamatkan talian.

            Nadya tersenyum bahagia. Lama telefonnya ditenung sebelum dilekapkan ke dada. Sungguh, hatinya merasa cukup bahagia dikasihi sebegini oleh suaminya. Dan dia sudah tidak memerlukan apa-apa lagi selain cinta dari seorang lelaki bernama Mohd Adam bin Husin.

            Sunyi malam semakin mencengkam. Nadya merebahkan tubuhnya ke katil. Bingkai gambar perkahwinannya yang tergantung megah di dinding bilik ditenung lama. Senyuman manis suaminya didalam gambar itu bagaikan meresap ke dalam jiwa.

            Hmm… abang, cepatlah balik. Nadya rindu abang, keluhnya sendiri dalam hati.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

No comments: