Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Saturday, July 12, 2014

Zikir Cinta 13

MALAM sudah benar-benar larut. Namun Daniel masih belum pulang sejak petang tadi. Jason Lee risau. Adrian lebihlah lagi.

            “Manalah budak ni pergi. Kena culik kang susah pulak aku nanti!” ujar Adrian sambil menjenguk ke luar tingkap.

            “Takkanlah merajuk sampai dah lewat ni tak nak balik kot!” sambut Jason Lee yang menunggu di muka pintu, takut-takut Daniel pulang.

            Mereka berdua risau kerana Daniel minta diturunkan dijalan raya yang sunyi. Dan walaupun sekarang musim bunga, cuaca di Canberra sangat sejuk, lebih sejuk daripada Melbourne, Tasmania dan Sydney. Sehingga mereka terpaksa memakai sweater tebal. Risau kalau terjadi apa-apa kepada Daniel diluar sana.

            “Kau tahu dia pergi mana?” Adrian bertanya.

            “Kalau aku tahu, tak ada maknanya aku nak duduk kat sini. Aku dah pergi cari dia,” balas Jason Lee.

            “Habis tu, biasanya kalau dia tengah sedih ke, kau tak tahu dia pergi mana?” Jason Lee mengembalikan pertanyaan.

            “Dulu dia pernah cakap, kalau dia tengah sedih, dia suka melihat dari atas dan sentiasa ingat pada yang paling atas. Aku tak faham. Takkan dia terbang kot!”

            Jason Lee menggaru-garu kepala.

            “Dia tu suka sangat cakap metafora. Straight to the point je tak boleh ke?”

            Adrian mengerutkan dahinya. Dia benar-benar buntu.

            “Aku dah risau ni. Nak pergi cari dialah.”

            “Aku ikut!” sambut Jason Lee.

            “Assalamualaikum…” Belum sempat Adrian mengambil kunci kereta dan Jason Lee menyarung jaketnya, ada suara orang memberi salam di muka pintu.

            Daniel muncul, tersenyum nipis kepada rakan-rakannya dan meletakkan jaketnya di belakang pintu.

            “Jason, aku bawakan ayam Subway favourite kau. Sorry lambat balik, ayam dah sejuk,” ujar Daniel dan meletakkan bungkusan ditangannya diatas meja ruang tamu.

            Adrian dan Jason Lee saling berbalas pandangan. Kemudian memandang Daniel pula.

            Jason Lee terasa pelik. Dalam sedih-sedih pun teringat lagi nak belikan ayam Subway.

            “Apasal korang tengok aku macam tu?” Daniel bertanya dengan riak bingung.

            “Kau tak apa-apa?”

            Daniel tersenyum mendengar pertanyaan Adrian.

            “Okey je. Kenapa?” Dia pula bertanya. Kaedah itu lebih selamat agar Adrian dan Jason Lee tidak perasaan pertukaran ekspresi wajahnya.

            Adrian mendekati Daniel dan menepuk bahu sahabatnya itu.

            “Danny, percayalah apa yang dah berlaku ni, bukan sebab aku sengaja nak pisahkan kau dengan Cinta. Tapi aku…”

            “Tak payahlah kau nak rasa bersalah sangat. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ni,” potong Daniel dengan senyuman yang tenang. Sudah sepanjang malam dia keluar menenangkan diri, dan dia yakin dia telah menerima takdir yang sudah tersurat buatnya. Kenapa perlu bersedih lebih-lebih? Cinta bukan isterinya.

            “Semua ni bukan salah kau. Kau cuma nak yang terbaik untuk aku. Dan aku hargai apa yang kau dah buat untuk aku. Kalau tak, mungkin sampai sekarang Cinta masih memperalatkan aku. Aku ni tak lebih daripada barang mainan dia. Aku betul-betul percayakan dia. Aku serahkan hati aku untuk dia. Dan dia buat aku percaya yang dia juga sayangkan aku,” ujar Daniel panjang lebar.

            “Semua ni salah aku. Bukan salah Cinta. Aku yang tak sedar diri. Takkanlah Cinta Aulia Dato’ Razak yang kaya raya nak jatuh cinta pada lelaki miskin tak ada apa-apa macam aku ni,” sambungnya lagi. Dan kata-katanya terhenti di situ. Dia cuba mengalihkan pandangan matanya daripada Adrian.

            “Dia tak cintakan aku sebab aku anak orang miskin. Aku tak ada harta. Kau rasa kelakar tak?”

            Tergamam Adrian dan Jason Lee mendengar pertanyaan itu. Masing-masing kaku untuk memberi jawapan.

            Daniel melontarkan tawa halus. Seperti ada yang menggelikan hatinya.

            “Anyway, thanks a lot. Kau dah buka mata aku. Cinta memang takkan berubah, dan takkan pernah sukakan lelaki macam aku.”

            Adrian meneguk air liur.

            “Aku dah mengantuk. Kau pun pergilah tidur. Letihlah…” Daniel pura-pura menggeliat, membetulkan urat saraf yang terasa lenguh.

            Adrian tersenyum kecil. Daniel membalas senyumannya dan terus masuk ke dalam bilik.

            Ketika itu Adrian memandang Jason Lee. Jason Lee memuncungkan bibir. Dan akhirnya Adrian berlalu ke biliknya tanpa sebarang kata. Jason Lee pula terus membuka bungkusan ayam dan menikmatinya dihadapan kaca TV.

****************************

DANIEL terjaga dari lena. Dia meraba-raba jam loceng di tepi katil. Baru pukul 2.30. Biasanya kalau terjaga tengah malam, dia pasti akan bangun untuk solat tahajjud. Itu yang diajar oleh ibunya sejak kecil.

            Dia terus bangkit dari katil dan ke bilik air untuk mengambil wuduk.

            Daniel menunaikan solat tahajjud. Memohon ketenangan dari yang Maha Esa. Selesai solat, dia khusyuk berzikir di tikar sejadah. Apabila bersedih, ingatlah pada yang paling atas. Itu prinsip hidupnya. Tiada apa yang lebih atas kedudukannya selain Allah SWT.

            Tidak kira walau berjumpa dengan pakar prikiatris sekalipun, tidak akan dapat menenangkan hatinya. Cuma dengan mengadu dan meluahkan segala kesedihan kepada Allah SWT dapat membuat hatinya tenang.

            “Ya Allah, ya Tuhanku, ampunilah segala dosa ibu dan arwah ayahku. Ampunilah segala dosaku, seluruh Muslimin dan Muslimat. Aku tahu aku tidak layak ke syurga-Mu, tapi aku takut ke neraka-Mu. Lindungilah aku daripada seksa api neraka. Ampunilah aku yang selama ini begitu taksub mengejar cinta dunia hinggakan aku hampir lupa cintaku pada-Mu. Ya Allah, andai hati ini seakan berubah, kembalikanlah aku pada-Mu. Kasihi hatiku kerana sesungguhnya hati ini milik-Mu.”

            Daniel meraup wajahnya. Kini segala yang terbuku di hatinya telah diluahkan pada yang Maha Kuasa.

            Kini, dia sedar apa erti kemarahan Adrian dan larangan Jessica serta Jason Lee selama ini. Dia tidak menyedari kerana matanya dikaburi dengan cinta palsu gadis bernama Cinta Aulia.

            Hatinya telah diuji dan ternyata dia hampir gagal dalam ujian itu. Taksubnya dia dengan cintanya kerana terlalu mengasihi Cinta Aulia. Baru sahaja mengenal erti bercinta, dia telah menyerahkan seluruh cinta dan jiwa raganya. Dia telah dikaburi dengan niat yang dipesongkan dari hatinya. Dan malam itu, seorang anak Adam menangisi kesilapan yang dilakukan.

            “Ampuni aku, Ya Allah…” Dadanya menahan sebak. Mata dipejamkan sekuat-kuat hati demi mencari kekuatan sementara bibirnya terkumat-kamit perlahan menghitung zikir dengan ruas-ruas jari tangannya.
****************

TERBELIAK  biji mata Jason Lee memandang ke meja yang penuh dengan sajian pada pagi itu. Bau harum spageti dan lasangna menyerbu masuk ke lubang hidungnya. Bunyi bising ketukan kuali dan bau asap menarik perhatiannya.

            “Eh, awal kau bangun!” Adrian menyapa sebaik keluar dari ruang dapur. Bolognise dan pasta diletakkan di atas meja makan.

            “Kau ke yang masak semua ni?” tanya Jason Lee tidak percaya.

            “Taklah, aku tukang tolong je. Danny yang masak,” jawab Adrian.

            Jason Lee mengelip-ngelipkan mata.

            “Dia dah tak sedih ke?” Jason Lee berbisik supaya tidak didengari Daniel.

            Adrian angkat bahu.

            “Entah, okey je aku tengok dia. Pagi tadi dia offer nak masak, aku on je lah. Boleh jugak lupakan kesedihan dia tu.”

            Tidak lama kemudian, Daniel muncul bersama sup macaroni yang masih panas meruap.

            “Jangan sangka Adrian je yang pandai masak tau!” gurau Daniel.

            Jason Lee tertawa sinis.

            “Huh, mentang-mentanglah aku tak pandai masak.”

            “Eh, terasa ke?”

            Daniel dan Adrian sama-sama tertawa. Memang sepanjang tiga tahun tinggal serumah, Jason Lee tidak pernah menjenguk dapur. Yang selalu menjadi tukang masak adalah Adrian. Cuma hari ini entah kenapa Daniel menawarkan diri untuk memasak.

            “Apa kes korang masak banyak-banyak pagi ni?” tanya Jason Lee yang sudah mengambil tempat duduk. Daniel dan Adrian duduk di tempat masing-masing.

            “Tak ingat ke? Hari ni hari jadi aku!” jawab Adrian sambil menyenduk sup macaroni kedalam mangkuknya.

            Jason Lee membulatkan biji.

            “Ye ke? Sumpah aku lupa. Happy birthday!”

            “Kau memang. Tengah hari jap lagi ada makan-makan kat rumah Abang Daud, korang nak pergi tak?” soal Adrian.

            “Makan-makan? Ada apa kat sana?” Jason Lee menyoal kembali sambil mengunyah spageti.

            “Alah, saja dia buat makan-makan untuk student Malaysia. Katanya, hari ni anniversary wedding dia and wife dia yang kedua.”

            “Ooo…” Jason Lee mengangguk-angguk sahaja.

            “Dengar cerita Abang Daud buat makanan tradisional Malaysia. Rendang, lemang, ketupat. Nak bagi pelajar-pelajar Malaysia lepaskan kerinduan pada kampung halaman katanya. Dah macam Hari Raya lah pulak. Aku pun rasa nak pergi. Dah lama tak makan benda alah tu semua. Hahaha…”

            Jason Lee tersenyum sinis.

            “Nak sangat makan makanan Malaysia, kau try la masak sendiri.”

            “Aku tak reti masak lemang, rendang bagailah. Tanya korang pun bukan korang tahu!” Adrian membidas.

            Daniel sekadar tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala. Adrian memang suka makanan tradisional Melayu, tetapi sejak awal perkenalan, belum pernah sekalipun dia lihat Adrian memasak makanan Melayu. Balik-balik western. Balik-balik makanan pan Asian. Tetapi kalau mereka rasa nak makan roti canai atau satay, mereka akan ke Roti House, sebuah restoran Malaysia di sini.

            “Danny, kau dah lupakan Cinta ke?” tanya Jason Lee selamba.

            Terjegil biji mata Adrian memandang Jason Lee. Bagaimana Jason Lee dengan selamba badaknya boleh bertanya soalan seperti itu? Sedangkan Daniel dan Cinta belum sampai 24 jam pun berpisah.

            “Err… sorry… aku…” Jason Lee merasa bersalah melihat wajah Daniel yang bertukar mendung. Baru tadi nampak Daniel tersenyum macam tak ada apa-apa. Sekarang bersedih pula. Jason Lee rasa nak hempuk kepalanya ke dinding.

            Daniel menguntumkan sebaris senyuman dan memandang rakan-rakannya. Sudu ditangan ralit mengacau-ngacau sup macaroni.

            “Kenapa nak sorry-sorry pulak? It is has been written. Aku tak menyesal. Sebaliknya aku sangat berterima kasih pada korang terutamanya kau, Adrian. Kau dah banyak kali nasihatkan aku tapi aku buat pekak je. Kita banyak gaduh sebab Cinta. Aku tak percaya, hubungan kita yang dah macam adik-beradik hampir musnah sebab…” Belum sempat Daniel menghabiskan kata-katanya, Adrian memotong.

            “Janganlah cakap macam tu. Dah nama pun hubungan kita macam adik-beradik, mestilah bergaduh. Tak ada adik-beradik yang tak gaduh. Ibarat carik-carik bulu beruang, lama-lama bercantum semula.”

            “Wei, siapa ajar kau carik bulu beruang? Bulu ayamlah!” sampuk Jason Lee mengherotkan muka.

            Daniel tersenyum. Terhibur dia melihat telatah Adrian dan Jason Lee.

            “Dahlah, makan cepat. Lepas ni kita pergi rumah Abang Daud,” kata Adrian lagi dan terus makan makanan yang terhidang dihadapannya. Walaupun menetap di New Zealand, tapi dia tetap dikira sebagai pelajar Malaysia kerana masih memegang Mykad Malaysia

            Daniel mengangguk dan terus menikmati sup makaroninya. Adrian dan Jason Lee lebih kepada adik-beradik baginya. Dia tidak mungkin akan mendapat sahabat yang lebih baik daripada mereka.

            Kenangan sewaktu pertama kali Cinta meluahkan perasaan kepadanya di puncak Ainslie Mountain menerjah memorinya. Kenangan itu masih segar diingatannya. Ketika Cinta meluahkan perasaannya, dia kelihatan benar-benar tulus. Sinar matanya menunjukkan bahawa dia tidak berbohong. Mulut memang boleh berbohong, tapi mata tidak akan dapat menafikan apa-apa.

            Cinta memang playgirl first class. Mampu menipu sesiapa sahaja dengan merubah sinar matanya. Padahal semua itu palsu belaka. Dia bijak menipu dan bermain dengan perasaan. Pasti sekarang Cinta sedang mentertawakannya.

            Prang!!

            Daniel tersentak. Dia hanya tersedar apabila gelas kaca disebelahnya jatuh berderai ke lantai.

            Adrian dan Jason Lee merenung Daniel.

            “Kenapa pandang aku?”

            “Kenapa kau jatuhkan gelas tu?” Adrian membulatkan biji mata.

            “Aku?” Daniel terkejut.

            Ya Allah, begitu asyik dia mengelamun sehingga tidak sedar tangannya menolak gelas disebelahnya.

            “Danny, kau okey ke tak?” Jason Lee memegang bahu Daniel.

            Daniel meneguk air liur.

            “Aku minta maaf. Rasa tak sedap badan…”

            “Tak apalah, gelas ni biar aku kemas.” Adrian bangkit menuju ke dapur untuk mengambil penyedok sampah.

            Daniel menunduk memandang meja. Ya Allah, kenapa dengan aku ni?

            “Korang pergilah majlis Abang Daud tu nanti. Aku nak duduk rumah, tak nak pergi mana-mana,” ujar Daniel sedikit gugup dan terus meninggalkan meja makan.

            Adrian yang baru kembali dengan penyodok dan penyapu di tangan terkelip-kelip memandang Daniel yang masuk ke biliknya meninggalkan Jason Lee sendirian.

            Jason Lee memandang Adrian. Kemudian mengangkat bahu.

            Adrian melepaskan keluhan.

*****************

PELAJAR-PELAJAR Malaysia datang dan pergi silih berganti. Pagi itu, seorang penuntut Australian National University yang mesra digelar Abang Daud mengadakan jamuan bagi meraikan hari ulang tahun kedua perkahwinannya bersama isteri. Dia dan isterinya berkahwin semasa di semester ketiga menuntut di universiti tersebut dan sekarang sedang menyambung pelajaran ke peringkat master.

            Cinta yang turut hadir duduk di satu sudut di dalam ruang tamu sambil matanya liar memerhati para tetamu yang hadir.

            Tidak tahu kenapa, dia merasa kekosongan pada pagi itu. Dari pagi tadi dia menanti kehadiran seseorang, tetapi orang yang dinanti-nantikannya tidak datang. Dia nampak Adrian dan Jason Lee sedang berbual mesra dengan tuan rumah. Tapi mana Daniel?

            Daniel. Dia tahu lelaki itu terluka selepas melihat adegan mesranya bersama Razif. Dan sekarang dia sudah kehilangan kedua-duanya.

            Dia tidak peduli tentang Razif. Padanya, lelaki seperti itu jenis murahan yang mudah didapati dalam lambakan komuniti manusia. Tapi Daniel… entah kenapa jiwanya seakan ingin menjerit dan meraung apabila Daniel pergi dan mengatakan tidak akan menganggunya lagi. 

            Baginya, Daniel tidak lebih dari sekadar pemuda kampung yang mudah diperalat dan mudah dikaburi dengan janji-janji palsu. Sikap polosnya membuatkan dia seperti anak kecil yang boleh disuruh untuk melakukan apa-apa sahaja.

            Tapi itu sebelum dia mengenali hati budi Daniel. Sekarang dia rindu untuk menatap wajah polos Daniel. Senyuman pemuda itu yang mampu membuatkan sesiapa sahaja tenang setiap kali memandang wajahnya. Baru sehari Daniel meninggalkannya, tapi hatinya bagai sudah seksa menanggung sakitnya.

            “Hei, Cinta!”

            Cinta tersentak. Dia terpinga-pinga memandang rakan-rakannya.

            “Kau nangis?” tanya Hana.

            Cinta tersentap. Dia meraba-raba matanya yang sedikit berair. Dia sendiri tidak sedar sejak bila air mata itu keluar dari tubir matanya.

            “Kau rindu sangat ke kat family kau?” soal Fatin pula.

            Cinta tertawa.

“Tak adalah. Mata masuk habuk,” tukasnya.

“Ya ke ni? Atau sebenarnya kau rindu dekat budak miskin tu?” Jantung Cinta seakan terhenti mendengar soalan Erma. Rindu?

“Itulah kau. Siapa suruh kau dating kat bar tu dengan Razif? Sekarang dah kena cekup. Razif pun kau tak dapat, Daniel pulak lari entah ke mana!” bebel Hana.

Cinta merenung Hana sinis.

“Hello, setakat diorang tu aku tak heranlah. I can get someone better. In fact, si Daniel tu budak bendul. Aku cuma nak guna dia untuk buat assignment. Sekarang assignment dah siap, so aku dah tak perlukan dia lagi!” ujarnya angkuh, sekadar untuk meyakinkan rakan-rakannya.

Tapi benarkah kata-kata yang diucapkan itu sama dengan apa yang ada di hatinya?

Erma, Hana dan Fatin pula sekadar mencebik mendengar kata-katanya.

“Dahlah. Aku rimaslah duduk kat sini. Kita blah la. Jalan-jalan kat luar lagi best!” ajak Cinta. Dia terus meletakkan gelas berisi air oren yang belum habis di atas meja dan berlalu meninggalkan rakan-rakannya.


p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

3 comments:

budak blur said...

best3X..sambung lagi.giler ar..bila tgk gambar2 actress dalam cerita ni,aku betul2 imagine diorg.mcm diorg betul2 wujud pulak. aq suka tgk gambar daniel,adrian dgn jason tu.haha..mcm real je

intan razak said...

haha..yg bergambar bertiga tu sesuai giler jd daniel,adrian n jason.suke2...sambung lagi

Anonymous said...

pandai pulak sedih cinta tu