Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Wednesday, March 3, 2010

Abang Khai Tomboy? 6

“BENCINYA aku! Tak guna kau. Kau memang tak guna pak su!” jerit along perlahan sambil bibirnya mengetap bibir kerana marah yang teramat. Tangannya ligat mengupas bawang merah yang tinggal tiga per empat lagi untuk dihabiskan.
Habis sebiji bawang merah dikupas, sebiji lagi diambil dari bakul besar itu. Bila dikira-kira, dah lebih 80 biji bawang merah yang telah dikupasnya. Banyak benar pak su beli bawang merah hari ni.
“Kalau aku dapati kau membantah dan tak buat apa yang aku suruh, dendanya kupas bawang merah dan bawang putih satu bakul dan bersihkan halaman rumah yang macam kapal nak belayar ni!”
Tiba-tiba along teringat akan kata-kata pak sunya. Patutlah… Pak su memang sengaja beli sebakul besar bawang merah hari ini sebagai hukuman denda untuknya. Isy, tak boleh jadi. Kalau hari-hari macam ni, matilah aku, gumam along sendiri.
Along langsung tidak menyangka bahawa penipuannya kali ini telah terbongkar. Kalau dulu dengan Abang Khai, senang aje dia nak kelentong. Tapi dengan pak su… orang tua tu betul-betul nak ragging aku! pekik hatinya.
Tapi kalau difikir-fikirkan, memang salahnya juga kerana tidak menurut arahan pak sunya itu. Dia terpaksa keluar senyap-senyap pagi tadi sebab sudah berjanji dengan Ray, teman lelakinya. Ray sudah memberikan kata putus kepadanya, sama ada hubungan mereka diteruskan atau diputuskan... Along tidak mahu kehilangan Ray. Dia sangat menyayangi Ray.
Dulu selepas mama dan papa meninggal dunia, along sering ke kelab-kelab malam. Kata teman-temannya, tempat itu sesuai untuk menenangkan fikiran dan tekanan. Entah, sebenarnya sampai sekarang dia belum dapat merasai ketenangan apa yang dimaksudkan teman-temannya di tempat bingit seperti itu. Tapi, apa yang pasti, hanya teman-temannya tempat dia meluahkan perasaan selepas kematian mama dan papa. Angah? Adik? Apa yang dia orang tahu?
Tangan along melepaskan pisau. Matanya ditenyeh-tenyeh kerana kepedihan. Jam yang tergantung pada dinding dapur itu sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Pak su memang tak bertimbang rasa. Dia sedap-sedap tidur, kita kena buat kerja.
“Hoi, dah siap ke belum?”
Suara dari belakang betul-betul mengejutkan along.
Rizal memandang ke bakul besar berisi bawang yang belum dikupas. Hmm… kesian pulak dia tengok budak ni. Tapi nanti, budak ni tak boleh dimanjakan sangat. Masa dia di akademik dulu, lagi teruk dia kena ragging.
Along tunduk terkulat-kulat. Tidak berani menentang mata Rizal.
Tahu takut. Jadi inilah yang perlu kau buat setiap kali kau langgar perintah aku!
“Pak su, boleh tak saya sambung esok aje? Saya dah mengantuk, tangan saya pun dah bengkak,” rayu along sambil mengurut-urut jari lembutnya.
Alahai, ni yang aku lemah ni. Aku memang tak boleh dengar orang merayu-rayu macam ni. Segarang-garang aku pun, aku memang selalu kalah dengan rayuan. Sebab tulah pegawai-pegawai bawahan senang nak buli aku.
“Kau dengar sini, ini last warning daripada aku. Aku memang pantang kalau ada orang langgar perintah aku. Nak-nak budak mentah mcam kau ni... Memandangkan ini kesalahan pertama, jadi aku ringankan sikit hukuman kau. Kau boleh berhenti sekarang.”
Ya, aku juga mempunyai hati yang lembut. Being good boy sometime could be advantages. Rizal senyum senget.
“Terima kasih, pak su!” Aiseh, baiklah pulak orang tua ni!
“Jangan ingat kau boleh lepas dengan begitu mudah! Petang esok, lepas balik kolej, aku nak kau, angah dengan adik berkumpul kat halaman rumah dengan pakaian yang tertutup. Kalau boleh pakai T-shirt dan seluar sukan. Sakit mata aku tengok kau pakai baju macam beruang panda ni!”
Along tarik muncung. Ada ke dia samakan aku dengan beruang panda? “Kita nak buat apa, pak su?”
“Sebelum ni ada ke aku tanya kenapa kau pakai baju yang dibeli kat butik Baby Kiko?”
Along tarik muncung. Bencinya!!!

***********************************
“ASSALAMUALAIKUM, dah lama tunggu?”

“Taklah, Uncle Am. Baru aje.” Rizal menjawab sopan.
Dato’ Amri duduk bertentangan dengan Rizal.
Pada penglihatan Rizal, lelaki di depannya itu tidak jauh berubah. Sejak dulu dia tetap segak dan kemas dengan sutnya walaupun sudah sedikit boroi.
Uncle nak minum apa? Coffee… tea…
No, thanks, uncle tak nak minum. Uncle datang cuma nak jumpa kamu saja. Dah lebih dua tahun uncle tak jumpa kamu. Kamu semakin mirip dengan papa kamu.”
Kata-kata Dato’ Amri membuatkan Rizal tersenyum. Papa, sungguh aku merinduinya.
“Dah lama uncle tak nampak kamu. Sekarang dah jadi polis, handsome pulak tu,” puji Dato’ Amri membuatkan hati Rizal kembang setaman. “Jadi, bila kamu nak ambil alih syarikat?”
Rizal mengeluh. Sangkanya selepas dua tahun dia berhijrah, Uncle Am akan melupakan hasrat untuk menyuruhnya mengambil alih syarikat dan faham cita-citanya. Dia suka jadi polis. Dia tak suka pekerjaan yang memerlukannya duduk di dalam bilik penghawa dingin berjam-jam lamanya dengan seluar slacks dan kot tebal.
Dulu, waktu arwah papa masih hidup, berkali-kali papa menegaskan kepadanya yang dia tidak boleh menjadi polis dan dia harus menggantikan tempat papanya sebagai Pengarah Urusan syarikat. Tapi, dia tetap tidak mahu. Dulu sebelum papa menyuruhnya mengambil alih syarikat, papa juga memaksa arwah abang. Tapi, abang tetap dengan cita-citanya yang ingin menjadi seorang guru. Sepertimana abangnya, dia juga mahu mengejar cita-citanya.
Semasa dia di akademik, papa langsung tidak mahu mengambil tahu perihal dirinya. Mungkin papa masih terasa hati dengan keputusan yang diambilnya. Selepas setahun di akademik, baru papa mahu bercakap dengannya. Mungkin papa sudah faham dengan cita-citanya.
“Rizal, kamu ni sama macam abang kamu. Kamu berdua langsung tak mewarisi darah seorang ahli perniagaan. Cubalah kamu fikirkan, kalau uncle dah tak ada, siapa yang akan uruskan syarikat tu? Syarikat tu dibangunkan atas hasil titik peluh papa kamu sendiri, tau tak?” Dato’ Amri berbicara panjang lebar.
“Saya tahu uncle, tapi saya harap uncle faham dengan cita-cita saya. Memang sejak dulu saya nak jadi polis. Tak pernah ada langsung keinginan saya nak jadi ahli perniagaan. Saya harap uncle dapat bersabar untuk dua, tiga tahun lagi.”
“Kenapa? Kamu dah bersedia nak ambik alih syarikat?” Muka Dato’ Amri bersinar-sinar macam ubat gigi Fresh & White.
“Tak, bukan saya, tapi anak arwah abang. Anak sulung dia, along sekarang dah masuk kolej. Ambik course perniagaan. Saya rasa dia memang berminat dalam bidang ni. Insya-Allah lepas dia habis belajar, dia akan ambik alih syarikat. Anak-anak arwah yang lain pun ada share masing-masing. Cuma perlu tunggu dia orang besar dulu...”
Dato’ Amri terdiam.
Tolonglah uncle, tolonglah angguk. Jangan paksa saya lagi...
“Baiklah, kalau dah macam tu kata kamu.” Dato’ Amri mengangguk. “Tapi, malam Rabu minggu depan kamu kena ikut uncle.”
“Kenapa?”
“Ada majlis makan malam untuk sambut hari ulang tahun syarikat.”
“Kenapa mesti saya uncle? Saya tak ada kena-mengena…”
“Ada, kamu adalah anak kepada pemilik asal syarikat tu, bukan uncle. Lagipun, kamu bertugas pada waktu siang, malam kamu free, kan? Kamu pergilah... Kamu cakap, kamu anggap uncle macam ayah kamu sendiri, takkanlah kamu tak boleh penuhi permintaan uncle yang satu ni?”

Hisy, ni yang aku lemah bila diugut pasal kasih sayang ni. Memang Rizal sudah anggap Dato’ Amri seperti ayahnya sendiri, tapi dia memang betul-betul tidak berbakat dalam bidang ini. Tapi tak apalah, setakat pergi majlis makan malam, apalah sangat. Lepas makan aku baliklah. Habis cerita!

***************************************
KETIKA Khai memakirkan keretanya di hadapan rumah itu, dia lihat along, angah dan adik sedang bergotong-royong membersihkan halaman rumah. Terlopong mulutnya. Biar betul. Sebelum ni tak pernah pulak dia lihat angah dan adik bersihkan halaman rumah yang dah serupa dilanda taufan Katrina ni. Along, jauhlah sekali. Rizal? Mana pulak Inspektor Gadget ni pergi?
“Assalamualaikum!” sapa Khai ketika baru keluar dari kereta.
Serentak itu along, angah dan adik berpaling memandang Khai. Melihatkan Khai memasuki halaman rumah, adik terus berlari-lari anak mendapatkan Khai.
“Hai, adik, adik buat apa ni?” soal Khai sambil mendukung adik.
“Adik basuh pasu bunga tu. Tadi adik nampak ada benda-benda panjang berenang dalam bekas pasu tu. Benda panjang yang gedik-gedik tu...”
Khai angkat kening. Benda panjang gedik-gedik? Jentik-jentik atau anak nyamuk ke?
“Awal abang datang. Tak ada shooting ke hari ni?” soal angah yang sedang mengumpulkan daun-daun kering dan dimasukkan ke dalam plastik sampah.
“Jap lagi pegilah. Aku singgah sini kejap aje,” beritahu Khai. Dia mengembang-ngempiskan hidungnya beberapa kali. “Hisy, busuklah adik ni. Tak mandi!” ujarnya pura-pura menekup hidung dan melepaskan adik daripada dukungan.
Adik tarik muncung dan memukul kaki Khai. “Abang Khai jahat. Adik tak nak kawan!”
“Ala la, gurau sikit pun tak boleh. Tak sportinglah adik ni!” Khai duduk berlutut di hadapan adik.
“Adik mandilah. Abah yang mandikan adik tadi!”
Khai terdiam. Abah? Sampai sekarang adik masih sangka yang Rizal tu adalah abahnya? Rizal tak cuba ke untuk terangkan perkara sebenar? Teringatkan Rizal, dia teringatkan semula tentang pertemuan pertamanya dengan lelaki itu. Rizal, memang tak dinafikan dia memang handsome. Dia senang melihat cara Rizal melayan anak-anak saudaranya. Rizal sekarang dah tak segarang sebelum ini. Ketegasannya masih sama, tapi dah ada sifat toleransi dan tak sangka yang sekarang dia dah nak mandikan adik.
“Yalah, yalah... Adik wangi. Abang Khai salah.” Khai memeluk tubuh kecil adik. Tidak dinafikan, memang kadang-kadang dia agak kasar, tapi bila dengan budak kecil, dia akan bertukar menjadi seorang yang penyayang. Mungkin itu sifat semula jadi yang dianugerahkan Tuhan kepada setiap wanita. Tidak kira betapa kasarnya seorang perempuan itu, betapa pun fizikalnya seperti lelaki. Hakikatnya, dia tetap seorang perempuan.
“Rajin kau orang bersihkan halaman rumah. Sebelum ni tak pernah-pernah aku nampak kau orang buat. Selagi rumah ni tak macam pusat pelupusan sampah, selagi tu kau orang asyik buat tak nampak aje. Selama ni aku malas nak tegur, takut kau orang kecik hati aje,” sindir Khai.
“Ini semua pak su punya pasal, tau tak? Ingat kan kenapa dia suruh kita orang pakai T-shirt dengan seluar sukan hari ni. Rupa-rupanya suruh kita orang kemas halaman rumah. Dia tu sedap-sedap aje keluar jumpa Uncle Am,” sampuk along sambil membersihkan longkang yang dah berlumut hijau.
“Habis tu memang patut pun pak su kau buat macam tu. Kalaulah dia tak ada, aku rasa sampai tahun depan pun belum tentu kau orang kemas. Dah memang kau orang tu pengotor,” kecam Khai.
“Hmm… yalah tu. Abang pun sama jugak. Korek hidung tak basuh tangan!” bidas angah selamba.
“Apa? Kau cakap aku korek hidung…”
Angah terus melarikan diri apabila melihat Khai seperti ingin menerkamnya. Apa lagi, berlakulah adegan Khai yang memegang watak Tom dan angah sebagai Jerry. Sekeliling halaman rumah dia orang tawaf. Dengan penuh bersemangat angah melarikan diri daripada terkaman Khai. Kalaulah Khai berjaya dapat dia… bahaya.
“Woi, apa hal kau orang berlari berkejaran seindah bunga di taman ni?” Satu suara tempikan bergema dari arah pintu pagar.
Serentak itu larian Khai dan Angah terhenti.
“Pak su...”
Rizal sedang bercekak pinggang sambil bersandar di pintu pagar. Along pura-pura meneruskan kerjanya.
“Wei, aku suruh kau orang buat kerja ke main kejar-kejar? Baru dua jam aku pergi, dah macam-macam jadi. Kau ni Khai, apasal kau datang sini? Dah tak ada kerja lain?”
“Eh, suka hati akulah kenapa dan bila aku nak datang. Inikan rumah anak-anak saudara aku jugak!”
Rizal tersenyum sinis. Kemudian mengangguk-angguk. “Okey. Angah, pumping 20 kali!”
Mulut masing-masing tercengang mendengar arahan Rizal.
No, Rizal. You can’t…
“30!” Rizal tidak peduli apa yang Khai mahu katakan.
Angah tidak punya pilihan, dia terus melakukan seperti yang diminta oleh pak sunya.
Khai mengetap bibir geram dan terus menuju ke bangku halaman rumah. Duduk di situ sambil berpeluk tubuh. Rizal memang melampau. Dia sendiri tidak pernah memperlakukan anak-anak saudaranya seperti itu sebelum ini. Ini betul-betul latihan cara tentera.          
“Dah, dah... pergi sambung balik kerja kau,” arah Rizal walaupun angah baru pumping lima kali.
Toleransi jugak pak su ni. 30 konon. Baru buat lima dah kesian. Angah senyum sumbing.
Tidak lama selepas itu aktiviti mereka berjalan seperti biasa. Along menyental longkang, angah menyumbat rumput kering ke dalam plastik sampah dan adik membasuh pasu bunga.
Sedang memerhatikan anak-anak saudaranya membuat kerja, Rizal sempat menoleh sekilas kepada Khai. Dia lihat dari tadi Khai mencebik. Mungkin tidak puas hati dengan cara layanannya kepada anak-anak saudaranya. Wajah Khai yang memang putih kemerah-merahan menjadi semakin merah apabila dia marah. Comel.
Hisy, apa yang kau fikir ni Rizal? Khai tu lelakilah! Aku tak mau jadi gay! Entah kenapa ni tiba-tiba pulak boleh terjangkit sawan pengantin hari ni. Eh, silap, itu untuk orang nak menikah aje...
“Wei, Khai!” Rizal mendekati Khai.
“Hmm…” Khai mendengus kasar.
“Kau marah kat aku, ek?”
“Baguslah tu. Sekurang-kurangnya selain jadi polis, kau pandai tilik orang lain,” sindir Khai.
Rizal tersenyum.
Alahai… manis macam madu. Ada lesung pipit pulak tu. Hisy, Khai, kau jangan buat gila. Dia tak tau kau perempuan!
“Wei, kalau kau nak tahu, aku ni adalah polis paling baik dalam dunia, tau tak? Mana pernah ada orang denda main kesian-kesian. Tadi tu aku gertak aje sebut 30!”
“Yalah, tapi dia tu perempuan!”
“Ada ke dia pernah mengaku dia tu perempuan? Aku sendiri pernah dengar kawan-kawan dia panggil dia Fiq. Apa nama betul dia?”
“Syafiqa!”
Rizal cuma mengangguk dan sekali lagi tersenyum.
Ya Allah, kenapalah dia ni handsome sangat?
“Khai, betul ke sampai sekarang papa kau belum dapat terima cucu-cucu dia?” soal Rizal.
Khai terdiam. Begitu berat baginya untuk melafazkan kenyataan itu. Papa memang seorang yang keras hati. Walau dipujuk macam mana dan bagaimana pun, hati orang tua itu tidak akan berubah. “Kalau aku tak cakap pun kau tau, kan?” ujar Khai bersahaja.
Rizal tersenyum nipis dan mengangguk-angguk. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Khai.
Sedaya upaya Khai cuba menahan getaran yang semakin hebat di hatinya. Jantungnya berdegup kian kencang apabila Rizal duduk di sebelahnya.
“Adakah cuma sebab abang aku cikgu dia tak suka kat abang aku?” soal Rizal.
Khai mengangguk perlahan. “Ya, menurut cerita arwah mama aku, sebaik aje Kak Khairiah cakap yang kekasih dia seorang guru, papa aku terus bantah. Dia tak setuju Kak Khairiah kahwin dengan seorang guru yang dianggapnya bergaji rendah. Papa aku tak pernah pun jumpa abang kau. Sebab tu dia tak dapat menilai dengan baik.”
“Hmm… aku faham. Takkanlah Dato’ Rashid nak benarkan anak dia kahwin dengan seorang guru bergaji rendah. Status keluarga kita ibarat langit dengan bumi,” sambut Rizal dan memandang reaksi Khai dengan ekor matanya. Status yang berbeza? Dia juga anak orang kaya, tapi tak ramai yang tahu.
“Aku tak pernah anggap kau dan Abang Razlan macam tu. Lagipun, sekarang ni kan sempena Satu Malaysia, aku kena amalkan konsep persamaan taraf.”
Rizal ketawa mendengar jawapan Khai. Tapi, dalam masa yang sama dia rasa pelik. Tujuannya berkata status mereka berbeza hanya semata-mata untuk menguji apakah Khai tahu tentang status dirinya, tapi rupa-rupanya Khai juga tidak mengetahuinya. Memang anak-anak saudaranya tidak pernah menceritakan tentang syarikat import eksport kain batik dan sutera milik keluarga mereka kepada Khai atau mungkin anak-anak saudaranya sendiri tidak pernah tahu bahawa keluarga mereka sebenarnya mempunyai perniagaan sendiri...

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

No comments: