Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Saturday, April 4, 2015

Kau Bidadariku... 8

ADRIAN bagaikan tidak percaya. Terasa ingin sahaja diselam kepalanya kedalam kolah mandi untuk membuktikan bahawa dia sememangnya tidak bermimpi saat ini. Adakah Adam kembarnya? Kenapa muka dia macam cina sikit, muka Adam macam mat saleh? Takkan masa mengandung ibunya terkenan muka sampai jauh sangat bezanya!

            Adam melemparkan senyuman. Hampir sahaja dia menghamburkan tawanya memandang wajah Adrian yang berkerut dengan mata yang terkebil-kebil seperti ternampak kambing yang duduk bersila sambil makan rumput bersuap.

            “Adam bin…?”
            “Husin!”

            Kali ini Adrian mengangguk pula. Okey, bin lain. Jadi maknanya Adam bukanlah kembarnya. Jadi bagaimana Adam boleh memiliki rantai yang sama dengan rantai miliknya? Setahu dia, hanya dia dan kembarnya yang memiliki rantai seperti itu.

            “Duduklah dulu.” Adrian mempelawa buat kali yang kedua. Sebaik dia membenamkan punggung ke kerusinya, barulah Adam mengambil tempat duduk.

            Adrian mengetap bibir. Tangannya terus membuka laci dibawah meja dan mengambil rantai yang tersimpan elok didalamnya. Kebiasaannya dia hanya menyimpan aksesori leher itu disitu dan tidak berminat mahu memakainya.

            “Ini rantai saya, sama macam yang Encik Adam pegang. Macam mana encik boleh dapat rantai tu?”

            Adam mengulum senyuman. Dia menarik nafas untuk seketika sebelum menjelaskan siapa dirinya dan siapa kembar Adrian, arwah Naim Mohd Hafiz. Dia disini kerana amanat terakhir sahabatnya itu; mencari kembar Hafiz sekaligus menyatukan kembali lelaki itu dengan ibu bapa kandungnya.

            Adrian termangu. Lidahnya kelu tidak mampu mengungkapkan sebarang kata. Tangannya sesekali meraup wajah dengan perasaan berkecamuk yang sukar untuk ditafsirkan sebaik mendapat tahu bahawa kembar yang tidak pernah ditemuinya selama ini sebenarnya sudah meninggal dunia sejak tujuh tahun yang lalu.

            Sedihkah dia? Tapi tiada perasaan sebak yang bertamu di hati. Mungkin kerana dia tidak pernah mengenali Naim Mohd Hafiz.

            “Saya nak bawa Encik Hafiz jumpa ibu bapa kandung encik,” ujar Adam setelah selesai bercerita. Jauh di dasar hati, dia merasakan rindunya pada sahabatnya itu bagaikan sedikit terubat sebaik melihat wajah Adrian. Sebiji sama, macam fotostat.

            Adrian mengangguk lambat-lambat. Agak kaget kerana ini kali pertama ada orang memanggilnya Hafiz.

            “Okey, sekarang pukul empat. Saya boleh tangguhkan kerja saya, kita pergi sekarang?” Adrian mengeluarkan gagasan. Dia kepingin mahu mengenali ibu bapa kandungnya meskipun selama ini dia tidak pernah berusaha ke arah itu.

            “Boleh, Encik Hafiz tunggu sekejap. Saya telefon ibu encik.”

            Adam terus mengeluarkan telefon bimbitnya. Tidak lama selepas itu talian bersambung dengan nombor telefon milik Puan Sri Azila.

            “Assalamualaikum. Ya, saya ni Adam. Mak cik, saya dah jumpa kembar Hafiz… ya, ya, saya nak bawa dia jumpa mak cik dan pak cik sekarang. Pak cik ada kat rumah?”

            Adrian memerhati sahaja Adam yang sedang bercakap di telefon. Pada hematnya, Adam mungkin rapat dengan ibu bapa kandungnya sehingga lelaki itu kelihatan begitu bersungguh-sungguh mencarinya dan sanggup datang ke pejabatnya pada hari ini.

            “Baiklah, mak cik. Suruh pak cik balik cepat-cepat tau. Saya on the way… assalamualaikum.”
            Talian terus dimatikan.

            “Kita boleh pergi sekarang. Ibu encik ada dekat rumah dan ayah encik dalam perjalanan balik dari pejabat.”

            Adrian sekadar mengangguk. Setelah membuat salinan dokumen dan menukar passwordnya, laptop terus dimatikan. Mereka berdua melangkah beriringan turun ke ruang legar di ground floor.

            “Encik Hafiz, kita naik kereta saya aja, boleh?”

            Adrian mengangguk tanpa banyak soal. Pada pemerhatiannya, Adam nampak baik dan tiada sebab untuk dia mencurigai lelaki itu.

            Dan sepanjang berdua didalam kereta Audi A4 itu, Adam banyak menceritakan bagaimana perilaku arwah Hafiz semasa hidupnya kecuali tentang hubungan Hafiz dan Nadya ketika itu. Meskipun perkara itu sudah lama berlalu, namun hatinya masih dipagut rasa cemburu setiap kali mengingatinya.

            “Hafiz tu baik orangnya. Dia soft spoken, sopan dan tak pernah tinggal solat. Hanya akan marah bila orang mencabar kesabaran dia. Sepanjang jadi roommate dia masa dekat UM dulu, dia banyak beralah dengan saya. Dia jugak merendah diri, suka berpakaian selekeh. Tapi siapa sangka, dia sebenarnya anak orang berada,” tutur Adam yang tekun dengan pemanduannya.

            Adrian yang hanya menjadi pendengar setia diam sahaja. Mendengar apa yang diceritakan Adam, arwah Hafiz tidak banyak beza pun dengan dirinya. Mungkin kerana dia sendiri berkawan dengan Daniel yang banyak menasihatinya dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama. Tapi kalau arwah Hafiz seorang yang lembut, dia pula agak panas-baran orangnya.

            “Saya sebenarnya dah cari Encik Hafiz sejak tujuh tahun lepas. Merata-rata tempat saya cari, tak sangka pulak encik sebenarnya ada dekat Shah Alam aja dan encik dah tukar nama.”

            Adrian sekadar melayangkan senyuman. Dia tahu nama asalnya Hafizuddin, itu yang diceritakan oleh Encik Jamal.

            Melihatkan Adam yang kelihatan bersungguh bercerita dan memberitahu tentang pencariannya selama tujuh tahun membuatkan Adrian diselubungi rasa bersalah. Rasa bersalah kerana tidak pernah berusaha selama ini. Baru hatinya terbuka hendak memulakan pencarian, Adam lebih awal muncul dan datang mencarinya.

            “Mesti Encik Adam kawan Hafiz yang paling rapat, kan?” soal Adrian setelah agak lama membisu.

            Adam sedikit tergamam mendengar pertanyaan itu. Err… selalu gaduh masa jadi roommate, bergaduh sebab perempuan, itu kira berkawan ke? Tapi itu dulu…

            “Hafiz kawan saya dunia akhirat.” Dia menjawab tenang. Enggan bercerita lebih lanjut, namun tidak pula menafikan soalan Adrian tadi.

            “Encik Hafiz…”
            “Err… boleh saya minta sesuatu?” Adrian memotong.
            “Ya?”

            “Panggil saya Adrian. Orang tak pernah panggil saya Hafiz,” pintanya kerana Adam dari tadi memanggilnya dengan nama Hafiz. Dia tahu nama itu elok maknanya, cuma terasa canggung kerana itu bukan nama panggilannya.

            “Oh…” Adam terpaku. “Maaf, Encik Adrian. Saya panggil Hafiz sebab…”

            “Takpe, takpe, saya faham.” Adrian menzahirkan senyuman.

            Adam sekadar tersenyum tepi. Sedikit tersipu kerana permintaan Adrian tadi. Lupa pula dia, meskipun wajah kedua-duanya sama, namun hakikatnya mereka tetap orang yang berbeza. Adrian bukan arwah Hafiz.

            Tambahan pula pernah dibesarkan di New Zealand dan belajar di luar negara, mestilah dia nak guna nama yang lebih kontemporari, Adam membuat andaian sendiri.
*****************

PUAN SRI AZILA tergamam dengan mata yang buntang memandang Adrian. Nyawanya dirasakan bagai tersekat dikerongkong. Lututnya pula terasa sudah lembik untuk berdiri. Kalau suaminya tidak memegang tubuhnya dari belakang, mungkin dia sudah terjelepok ke lantai.

            “Hafizuddin, anak ibu…” Puan Sri Azila merenung sayu wajah anaknya. Titisan-titisan rindu mula gugur dari kelopak mata.

            Adrian bagaikan mengerti perasaan ibu kandungnya. Tubuh Puan Sri Azila terus didakap seerat yang mungkin. Wanita itu mulai menangis teresak-esak didada Adrian.

            “Ibu rindu sangat-sangat. Kenapa Hafizuddin tak pernah cari ibu selama ni?”

            Adrian terdiam. Dia mengerti perasaan yang sudah sekian lama bermukim di hati ibu kandungnya, tapi entah kenapa hatinya sendiri bagaikan langsung tidak merasa sebak dengan pertemuan ini. Adakah dia membenci Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila?

            Tidak. Cuma hatinya tiada rasa. Nak kata sedih tak, terharu pun tak. Langsung tidak terasa mahu menitiskan air mata. Dia kaku sahaja melihat Puan Sri Azila yang menangis sambil memeluknya.

            Adam yang berdiri disatu sudut tidak jauh dari situ mengukir senyuman. Hatinya terasa berbunga bahagia melihat pertemuan diantara mereka. Alhamdulillah, segala amanat sudah tertunai.

            Hafiz, aku dah berjaya cari kembar kau. Ya Allah… terima kasih kerana memberi jalan dan petunjuk kepadaku selama ini, doanya memanjatkan rasa syukur didalam hati.

            Setelah pelukan diuraikan, Adrian mendapatkan Tan Sri Jamaluddin pula. Lelaki korporat itu juga bagaikan terpegun melihat Adrian dihadapannya. Bagaikan sedang melihat arwah Hafiz, anak yang soleh dan baik kepada kedua orang tuanya. Tubuh Adrian didakap seerat mungkin dengan mutiara jernih yang berladung di kelopak mata.

            Allahuakbar… hanya Dia yang tahu betapa aku merindui anakku selama ini. Sekarang dialah pengganti Hafiz. Terima kasih, ya Allah. Terima kasih kerana telah mempertemukan kami…

            Selajur, pandangan Tan Sri Jamaluddin beralih ke arah Adam. Dia tersenyum dan mengangguk, tanda ucapan terima kasih. 

            “Saya balik dulu, pak cik, mak cik. Dah pukul 5 ni, saya rasa Nadya pun dah balik rumah,” ujar Adam sambil melirik ke arah jam tangannya.

            Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila mengangguk. Mereka berdua tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada Adam atas pertolongan lelaki itu selama ini. Syukur, atas usaha Adam yang tidak putus-putus akhirnya mereka bertemu kembali dengan anak yang sudah terpisah selama 30 tahun dengan mereka.

            Sebelum berlalu meninggalkan banglo mewah itu, Adam menyerahkan kembali rantai loket berbentuk separuh hati milik arwah Hafiz itu kepada Puan Sri Azila. Rasanya dia tidak perlu lagi menyimpan rantai tersebut kerana pencariannya sudah berakhir.

            “Encik Ha… err… Encik Adrian.” Adam membetulkan. Dia sering kali tersasul setiap kali melihat wajah kembar Hafiz itu.

            Adrian melangkah mendekati Adam dan menyambut huluran tangan lelaki itu.

          “Saya dah nak balik. Saya tinggalkan encik dulu, boleh? Nanti kalau encik pun nak balik, encik boleh call saya. Saya hantar encik semula untuk ambil kereta.”

            Adrian menyambut kad bisnes yang dihulurkan oleh Adam.

            “Hafizuddin datang naik kereta Adam ke tadi?” sampuk Tan Sri Jamaluddin.

            “Aah, pak cik.”

            “Kalau macam tu nanti biar pak cik yang hantar Hafizuddin. Adam baliklah rehat dekat rumah. Kirim salam dekat Nadya.”

            Adam mengangguk. Adrian pula tidak memberi sebarang respons. Lelaki itu hanya diam dan terus menyimpan kad bisnes Adam didalam dompetnya.

            Terdetik juga rasa hairan dihati Adam. Adrian ni memang dilahirkan pendiam ke apa? Kenapa tak banyak bersuara? Dan apabila dipertemukan dengan ibu bapa kandungnya pun, Adrian hanya bersalam dan memeluk mereka tapi wajahnya langsung tidak menzahirkan sebarang emosi. Kenapa agaknya ya? Hmm… terlebih matured pun susah juga rupanya.

            Selepas Adam beredar pulang, Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila menunjukkan album-album lama milik mereka. Meskipun tiada kenangan bersama Adrian, namun mereka tetap mahu Adrian mengenali siapa keluarga kandungnya.

            Wajah Adrian bersahaja setiap kali ibu dan ayahnya itu menunjuk gambar Hafiz. Ada juga sedikit rasa kagum melihat paras yang persis dengan dirinya tetapi dengan gaya potongan rambut dan cara berpakaian yang berbeza.

            “Hafiz kalau ke mana-mana memang dress-up macam ni ke?” tunjuk Adrian pada sekeping gambar.

            Puan Sri Azila melirik melihat gambar arwah Hafiz yang berpakaian serba ringkas dengan T-shirt yang dipadankan dengan jaket denim lusuh.

            “Aah, dia selesa macam tu. Ikutkan hati, ibu nak aja tengok dia bergaya macam budak-budak remaja lain tapi dia selalu tak nak. Asyik kehulu kehilir dengan jaket lusuh dia ni,” ujar Puan Sri Azila dengan senyuman yang luas.

            Adrian mengangguk-angguk. Itu memang jelas kontras dengan dirinya. Dia paling suka melihat fesyen-fesyen terkini dan bergaya mengikut trend semasa. Apa boleh buat? Encik Jamal memanjakannya sejak kecil lagi.

            “Kita sambung tengok nanti. Jom makan. Rasanya Mak Munah dah siap masak tu,” ajak Tan Sri Jamaluddin. Dia dan isterinya suka makan malam sebelum Maghrib.

            Adrian mengangguk sahaja. Dia pasti pembantu rumah yang bekerja setengah hari di apartmentnya juga sudah memasak makan malam untuknya. Namun demi tidak mengecewakan hati Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila, dia terus menelefon pembantu rumah dan mengatakan dia makan di luar. Makanan yang sudah dimasak pembantu rumahnya disuruh bungkus dan dibawa pulang ke rumah.

            “Makan banyak-banyak ya, nanti kalau nak lagi bagitahu Mak Munah. Mak Munah ambilkan,” ujar Mak Munah yang sudah bertahun-tahun berkhidmat di banglo itu. Begitu mesra layanannya terhadap Adrian kerana dia sendiri sudah lama menantikan anak majikannya itu pulang ke pangkuan keluarga.

            Dan wajah Adrian yang sama dengan arwah Hafiz membuatkan dia mula jatuh sayang pada anak majikannya itu.

            “Mak Munah jomlah makan sekali.” Puan Sri Azila ingin menarikkan kerusi tetapi Mak Munah segera menolak kerana mahu mengemas dapur yang sedikit bersepah selepas memasak tadi.

            “Hafizuddin, nak lauk ni? Ke nak sayur?” Tan Sri Jamaluddin yang duduk bersebelahan dengan Adrian melayan anaknya itu bagaikan putera raja. Bukan sahaja nasi, lauk pun nak tolong sendukkan.

            Adrian menggeleng, menolak secara baik. Dia naik segan dengan layanan yang berlebihan ini. Biarpun belum mengenali ibu dan ayah kandungnya itu, mereka berdua kelihatan bersungguh-sungguh ingin mengambil hatinya.

            Adrian terharu. Rupa-rupanya Naim Mohd Hafiz dibesarkan oleh kedua orang tua yang begitu penyayang. Keramahan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila mengundang keselesaan. Mulai saat ini dirinya berjanji akan menyayangi dan menghormati kedua-duanya dengan sepenuh hati. Seperti mana dia sayang dan hormat pada Encik Jamal dan arwah Puan Sophia.

            “Ibu, ayah…” Adrian mula selesa memanggil mereka dengan gelaran tersebut. “Adrian tahu Hafizuddin tu nama asal Adrian, tapi Adrian tak pernah guna nama tu. Daddy dah tukar nama Adrian sejak kecil. Ibu dengan ayah panggil Adrian, boleh?”

Terkesima seketika Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila. Dalam hati sedikit tersentuh kerana anak mereka tidak mahu menggunakan nama yang mereka beri. Namun mereka tahu Adrian tidak boleh dipersalahkan. Semua ini angkara Jamal dan Sophia. Kalau Adrian membesar bersama mereka, tentu nama Adrian itu tidak akan wujud!

            “Baiklah, ibu cuba ubah ya, nak?” Puan Sri Azila menyahut perlahan dengan wajah yang cuba dimaniskan.

            Tan Sri Jamaluddin perasan raut wajah isterinya yang berubah mendung itu. Hmm… apa boleh buat? Memang dalam kad pengenalan pun nama anak mereka itu Muhammad Hafiz Adrian, bukannya Hafizuddin.

            “Ceritakanlah apa yang… err… Adrian buat selama ni. Sekolah kat mana, belajar kat mana, ayah nak tahu semuanya,” sampuk Tan Sri Jamaluddin cuba menghidupkan kembali suasana ceria. Meskipun masih terasa kekok untuk menggunakan nama panggilan Adrian, namun dia akan mencuba dengan sedaya-upaya.

            Adrian menarik nafas seketika dan tersenyum manis sebelum membuka cerita tentang dirinya yang pernah bersekolah di New Zealand dan hidup berpindah-randah di Malaysia. Tidak lupa tentang pengalamannya menuntut di Australian National University, Australia suatu ketika dahulu.

            “Umur Adrian dah tiga puluh, Adrian dah ada awek? Atau Adrian dah bertunang dengan seseorang?”

            Errk…? Hampir tersembur nasi yang dikunyahnya sebaik mendengar soalan cepumas dari Puan Sri Azila.

            Adrian tersenyum sumbing. Hmm… Adrian patutnya dah ada anak pun, ibu. Itupun kalau Jessica masih hidup, gumamnya.

            Dan kerana kematian Jessicalah yang membuatkan hatinya seakan tertutup untuk mencari ibu bapa kandungnya. Dia seakan-akan hidup dalam dunianya sendiri. Hanya ada Encik Jamal dan Daniel. Namun dia dapat merasakan mulai hari ini hidupnya akan sedikit berubah dengan kemunculan Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila.

            “Adrian single lagi. Busy uruskan company. Daddy ada anak syarikat kat Shah Alam. Brilliant Sdn. Bhd.”

            Jawapan Adrian membuatkan Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila saling berbalas pandangan. Jeda terjadi beberapa ketika antara mereka, memaksa Adrian untuk bersuara lagi.

            “Ibu dengan ayah tak nak tanya tentang daddy?”

            Tan Sri Jamaluddin mengeluh. Menelan air liur yang terasa kesat. Jamal, adiknya. Adakah dia daddy yang disebut-sebut oleh Adrian?

            “Kat mana dia sekarang?” soal Puan Sri Azila pula. Ikutkan hati, dia malas ingin mengambil tahu perihal adik iparnya itu. Bertemu kembali dengan anak kandungnya pun sudah cukup membuatkan dirinya bersyukur. Namun rasa penasaran itu tetap ada. Entah apalah khabar mereka-mereka yang ‘menculik’ anaknya 32 tahun yang lalu itu.

            “Daddy sihat, alhamdulillah. Dia uruskan company dekat New Zealand. Mummy dah meninggal dunia lapan tahun lepas,” jawab Adrian dengan wajah yang tenang.

            Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila kelihatan terkejut mendengar pengkhabaran itu. Mereka benar-benar tidak menyangka Sophia sudah lama meninggal dunia. Namun khabar tentang kematian Sophia sedikit-sebanyak meredakan suhu kemarahan Puan Sri Azila terhadap Jamal selama ini.

            “Adrian…” Puan Sri Azila mengelus-elus lembut rambut anaknya.
            “Err… ya, bu?”

            “Ibu rasa ibu nak buat kenduri doa selamat untuk meraikan kepulangan Adrian ke rumah ni. Macam mana, bang? Abang setuju tak?” Puan Sri Azila mengalihkan pandangan ke arah suaminya.

            Tan Sri Jamaluddin mendengus.

            “Boleh, abang ingat nak jemput Jamal sekali. Kita tetap perlu jumpa dia dan dia perlu jelaskan segala-galanya pada kita. 30 tahun, Azila. Itu bukan sekejap. Dia perlu meminta maaf atas apa yang dia dah lakukan selama ni,” ujarnya bernada tegas.

            Puan Sri Azila pula hanya menyambut dengan anggukan.

            Adrian mengerling wajah ayahnya yang sedikit tegang. Kelihatan wajah tua itu seperti sudah menyimpan rasa marah dan geram bertahun-tahun lamanya.

            “Ayah janganlah marah daddy. Daddy ada sebab. Kalau ayah nak jumpa, nanti Adrian contact daddy dan tanya schedule dia. Insya-Allah kalau dia tak busy dia akan datang,” ungkap Adrian perlahan.

            Puan Sri Azila melirik kurang senang apabila Adrian seakan-akan ingin membela orang yang sudah memisahkan dia dari anaknya itu.

            “Okeylah. Ayah ingat nak buat kenduri tu weekend ni. Ayah nak jemput kawan-kawan bisnes sebab kita pun memang dah tak ada saudara-mara lain. Adrian jemputlah kawan-kawan Adrian sekali, ya?” balas Tan Sri Jamaluddin dengan secarik senyuman.

            Adrian turut tersenyum. Nak jemput siapa ya? Dalam kepalanya cuma ada Encik Jamal, Daniel, Cinta dan Dania. Nak jemput Jason Lee tak boleh, kawannya yang seorang itu sudah menetap terus di UK.

            Walaupun kali pertama bertemu, Adrian cukup senang dengan layanan kedua ibu bapanya itu. Cara layanan Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila seperti mereka sudah lama bertemu. Kemesraan yang ikhlas dan langsung tidak dibuat-buat.

            Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Encik Jamal sibuk dengan perniagaan di luar negara, maka Dia telah mengurniakan ibu bapa yang begitu menyayanginya disini.
************************ 

“ABANG dah bawa Hafizuddin jumpa ibu dengan ayah?” Mata Nadya terbeliak tanda tidak percaya.

            Adam hanya mengangguk dengan riak bersahaja. Dia terus berbaring di sebelah isteri kesayangannya usai solat Isyak. Terasa sungguh selesa dapat merehatkan tubuh setelah seharian berada di pejabat dan berpusing-pusing disekitar Shah Alam siang hari tadi semata-mata demi mencari bangunan pejabat Brilliant Sdn. Bhd.

            Dan usahanya tidak sia-sia. Dia berjaya menemui Adrian. Semoga kemunculan anak yang dirindui oleh Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila selama 30 tahun itu mampu mewarnai hidup kedua-duanya yang sentiasa bersulam duka semenjak pemergian Naim Mohd Hafiz.

            “Macam tu je? Dia nak pulak ikut abang!” ujar Nadya masih skeptikal.

            “Yelah, abang ni ada aura penculik ke?” bidas Adam pula dengan nada bergurau.

            Nadya tergelak halus. Bukan itu maksudnya. Dia cuma pelik kerana Adrian mudah mempercayai orang yang tidak dikenalinya. Tapi betullah tu, muka Adam pun tak nampak macam orang jahat. Takkan muka pan Asian macam ni nak culik orang kot.

            “Macam mana rupa Hafizuddin tu?” Nadya mengajukan pertanyaan lain pula.

            “Kan sayang pernah terserempak dengan dia. Sayang tengok sama tak?”

            “Sama sebiji!”

            “Jatuh cinta tak?” Adam mengusik.

            “Soalan apa abang ni?” Wajah Nadya berubah cemberut.

            Adam ketawa. Dia tahu Nadya tidak menyukai gurauannya. Tetapi hakikatnya dia benar-benar cemburu. Biarlah orang nak kata dia takut pada bayang-bayang sendiri, tapi dia memang takut seandainya perkara itu terjadi.

            Arwah Hafiz cinta pertama Nadya. Lelaki pertama yang berjaya meroboh benteng hati wanita itu. Lebih tiga tahun mereka berdua menyulam cinta, malah hampir-hampir mendirikan rumah tangga. Sudah pastilah Adam cemburu dengan Adrian yang persis dengan cinta pertama isterinya itu.

            “Suka hatilah. Nadya nak tidur.” Nadya seperti berjauh hati. Dia terus berbaring membelakangi suaminya dan menarik selimut hingga ke muka.

            Adam memekarkan senyuman. Hai isteri… apalah yang kau tahu tentang apa yang ada dalam hati suamimu ini?

            “Nadya…” Adam menghela nafas. Tangannya dilingkar pada pinggang langsing isterinya dengan penuh kasih sayang.

            “Tadi abang dapat text dari Pak Cik Jamaluddin. Dia cakap this weekend nak buat kenduri doa selamat untuk Adrian. Dia suruh jemput Suraya, Maya, Zulaikha… semua-semualah. Kita pergi sekali nanti, okey?”

            Namun kata-kata suaminya itu tidak mendapat respons dari Nadya. Dia belum terlelap, cuma masih merajuk tentang tadi. Ada ke patut Adam kata dia jatuh hati pada Adrian? Minta simpang!

            “Hey angel, dah tidur ke? Abang cakap sorang-soranglah ni? Hmm… tidurlah, sweet dream. Sayang isteri abang. Jangan jatuh cinta dekat orang lain, nanti abang nangis,” bisik Adam perlahan, lembut ditelinga isterinya.

            Terharu Nadya mendengarnya. Meskipun ayat terakhir itu diucapkan dalam nada bergurau, namun tetap menyentuh hati wanitanya.

            Comel, desisnya tersenyum simpul. Lebur sedikit rasa sebalnya tentang perkara tadi. Perlahan-lahan dia membalikkan tubuh dan membalas dakapan erat suaminya.

            Adam merenung ke dalam anak mata isterinya. Penuh makna. Tubuh Nadya yang hanya berbalut baju tidur nipis itu ditenungnya beberapa ketika. Bergelodak perasaannya melihatkan tubuh isterinya yang melekuk satu-persatu disebalik baju tidur itu. Lengan putih gebu Nadya yang terdedah diusap-usap lembut.

            “Aik abang, pandang lain macam je. Kenapa ni?” Nadya seperti dapat mendengar hembusan nafas suaminya yang tertahan-tahan, bagaikan menghantar signal berlainan secara tiba-tiba.

            Adam tersenyum meleret.

            “I think… I wanna do naughty things tonight. With you…”

            Berderau seketika Nadya mendengarnya. Debaran didada semakin kuat apabila Adam semakin erat merengkuhnya ke dalam pelukan. Tiada jarak antara mereka yang memisahkan.

            “Abang, Nadya…”

            Ayat Nadya tergantung disitu sebaik Adam sudah menarik selimut membaluti keseluruhan tubuh mereka.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

5 comments:

hannah said...

amboi adam x beragak2

Liyana Azman said...

omai...x sbr nk tnggu weekend.nk jmpe daaaa

Nadya Roslan said...

adrian encik no feeling.kesian parent dia

baby mio said...

BEST 3X NAK LAGI.

Eddayu said...

pengsannnnn... :D