Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Thursday, April 9, 2015

Kau Bidadariku... 9

BANGLO tiga tingkat itu sudah penuh dengan rakan-rakan bisnes dan staf Kiara Holdings. Tan Sri Jamaluddin dan Adam berdiri di luar menanti kedatangan orang-orang masjid yang telah dijemput untuk majlis tahlil dan doa selamat itu. Nadya pula sibuk membantu Puan Sri Azila didapur menyiapkan makanan yang disediakan untuk dijamu pada para tetamu.

            Selepas waktu Isyak, Adrian hadir bersama Encik Jamal. Daniel yang mendukung Dania sambil tangannya menggenggam jari-jemari Cinta menurut dari belakang. Masing-masing kelihatan kemas dan segak memakai baju Melayu dan baju kurung.

            Encik Jamal kelihatan serba-salah sebaik melihat wajah abangnya. Dimana harus disorokkan muka setelah dia tanpa rasa berdosa telah memisahkan Adrian dengan Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila tiga puluh tahun yang lalu?

            Tempoh hari ketika Adrian menghubunginya dan mengatakan dia telah menemui ibu bapa kandungnya, Encik Jamal cukup gembira. Akhirnya beban rasa bersalah yang dipikulnya selama ini bagaikan terhempas begitu sahaja. Namun sebaik Adrian menyatakan mahu dia pulang ke Malaysia kerana majlis kenduri doa selamat yang diadakan sempena meraikan kepulangannya, Encik Jamal jadi serba tak kena.

            Lama dia duduk termenung dan berfikir. Adakah dia perlu pulang ke Malaysia? Beranikah dia untuk berhadapan dengan abang dan kakak iparnya? Bagaimana kalau mereka berdua tidak dapat menerima kehadirannya dan dia dihalau seperti kucing kurap?

          Tapi kata orang, berani buat berani tanggung. Dia sepatutnya sudah bersedia dengan sebarang risiko yang bakal diterima akibat perbuatannya. Akhirnya Encik Jamal memutuskan untuk menangguh segala urusan bisnes dan mengambil tiket penerbangan pulang ke Malaysia. Dan sepanjang dalam penerbangan itu dia hanya berdoa, berdoa dan berdoa agar abang serta kakak iparnya mampu memaafkan dirinya.

            “Assalamualaikum, ayah. Maaf kami lambat sikit. Jalan jam dekat depan sana.” Suara Adrian menyedarkan Encik Jamal daripada lamunannya.

            Adrian tersenyum lalu mencium hormat tangan Tan Sri Jamaluddin. Kemudian dia berjabat tangan dengan Adam yang mesra menyambut kedatangannya.

            Encik Jamal yang sedari tadi berdiri dibelakang Adrian sedaya-upaya untuk mengawal riak wajahnya. Dia perasan air muka Tan Sri Jamaluddin yang sedikit berubah sebaik melihat dirinya, namun abangnya itu tetap menghulurkan tangan dan memaniskan muka.

            “Sihat, Jamal? Lama tak jumpa,” sapa Tan Sri Jamaluddin sebaik Encik Jamal menyambut tangannya. Mereka bersalam seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku.

            Encik Jamal mengangguk lambat-lambat dengan rasa kekok.

            “Alhamdulillah, saya sihat. Abang long dengan kak long sihat?”

          “Sihat alhamdulillah, jemput masuk. Dah ramai orang kat dalam.” Tan Sri Jamaluddin mempelawa dengan mesra meskipun rasa marahnya masih berbekas. Dia seboleh-bolehnya enggan menunjukkan emosi dihadapan para hadirin. Tidak kira siapa pun, tetamu memang wajib diraikan.

            Adam mengiringi mereka semua masuk. Daniel dan Cinta yang berada dibelakang sekali hanya mampu saling berbalas pandangan sambil tersenyum. Mereka tahu ini satu pertemuan yang sukar untuk Encik Jamal dan Tan Sri Jamaluddin. Yalah, bagaimana harus mereka bersemuka setelah berpisah selama berpuluh-puluh tahun dek kerana khilaf masa lalu?

            Sememangnya Daniel dan Cinta tahu apa sebenarnya yang telah terjadi kerana hanya mereka berdua sahabat baik Adrian. Tempat Adrian mengadu nasib dan meluahkan perasaan. Syukurlah, Adrian menerima dan menyayangi ibu bapa kandungnya dengan hati yang terbuka meskipun saling tidak mengenali selama ini.

            Dan seperti yang dijangka, kemunculan kali pertama Adrian bersama Encik Jamal membuatkan staf-staf lama Kiara Holdings tergamam dan terkejut. Meskipun mereka sudah dimaklumkan tentang Adrian, namun apabila dapat melihat dengan mata sendiri, ada diantara mereka yang tidak mampu meluahkan rasa kerana raut wajah Adrian mengingatkan mereka kepada arwah Hafiz yang pernah menerajui syarikat sebelum ini.

            Namun Adrian seperti biasa, dia tetap tenang melayan pertanyaan setiap rakan bisnes Tan Sri Jamaluddin yang tidak dikenalinya itu. Ada diantara mereka yang mampu melayan baik kedatangan Encik Jamal meskipun tahu konflik yang pernah terjadi dan ada juga yang terang-terangan mempamerkan riak sinis. Mereka beranggapan Encik Jamal seperti tidak tahu malu kerana masih berani muncul setelah apa yang dilakukannya.

            Selepas selesai majlis tahlil dan doa selamat, tetamu yang hadir dijamu dengan juadah yang disediakan. Dimasak sendiri oleh Puan Sri Azila, Nadya dan Mak Munah. Puan Sri Azila menolak cadangan Tan Sri Jamaluddin yang ingin mengambil perkhidmatan katering pada mulanya. Katanya, dia mahu menjamu para tetamu dan anaknya dengan air tangannya sendiri.

            Sambil menikmati juadah, Adam memperkenalkan Adrian kepada rakan-rakannya pula. Yusof, Azriel, Suraya, Zulaikha dan Maya. Mereka semua adalah rakan-rakan sekampus, belajar di tahun dan semester yang sama dengan arwah Hafiz.

            “Pengalaman mencari selama 7 tahun sangat mencabar, Encik Adrian. Bukan setakat dalam KL, satu Malaysia kitorang dah pusing semata-mata untuk misi tu. Tapi tak sangka, ada kat Shah Alam je rupanya! Hairan macam mana tak pernah terserempak pun sebelum ni,” ujar Yusof cuba menghidupkan suasana ceria.

            Dia begitu gembira kerana akhirnya dapat bertemu dengan lelaki bernama Muhammad Hafiz Adrian itu. Kadang-kala terasa sedikit canggung untuk memanggil seseorang yang berwajah seperti Hafiz dengan nama lain, namun semua itu harus dibiasakan mulai sekarang. Kata Adam, Adrian yang tidak mahu dipanggil dengan nama Hafiz.

            “Takdir, Encik Yusof. Segala yang terjadi adalah aturan dari-Nya. Belum jumpa sebelum ni mungkin kerana Allah belum mengizinkannya. Kadang-kadang, ada perkara yang kita tak perlu faham, tapi kita perlu redha menerimanya,” ungkap Adrian tenang.

            Yusof mengangguk sahaja. Sedikit tersipu dengan jawapan Adrian. Tutur katanya penuh kematangan sehingga Yusof tidak mampu menambah ataupun mengulas.

            “Kawan-kawan Encik Adrian, right? Study sekali masa dekat Australia?” soal Azriel pula. Dia sudah berkenalan dengan Daniel dan Cinta.

            “Aah, diorang dikira kawan rapatlah. Kawan-kawan lain dah takde, semua dah balik negara masing-masing,” jawab Adrian ringkas.

            Daniel dan Cinta hanya menguntumkan senyuman. Dania yang lincah dan peramah sudah dibiarkan bermain dengan anak-anak Suraya, Maya serta Zulaikha. Mereka kelihatan seronok bermain bersama biarpun baru sahaja bertemu.

            Kanak-kanak. Mereka lurus dan tidak memilih siapa kawan mereka. Yang penting boleh bergelak ketawa.

            “Oh ya, lupa pulak. Nadya belum berkenalan dengan Encik Adrian, kan? Mana dia pergi?” sampuk Maya pula.

            Mereka terjengah-jengah, baru menyedari Nadya tidak turut serta dalam kumpulan mereka. Mungkin masih sibuk didapur.

            “Kejap aku panggilkan. Haish, isteri aku tu kalau dah buat kerja susah nak berhenti. Sibuk mengalahkan tuan rumah.” Adam sempat berceloteh sebelum melangkah ke dapur mencari isterinya.

            “Siapa Nadya? Kawan Hafiz jugak ke?” Soalan yang terpacul tiba-tiba dari bibir Adrian itu membuatkan masing-masing terkedu untuk seketika.

            Hmm… nak jawab apa, ek? Bekas tunang a.k.a bakal isteri tak jadi arwah Hafiz. Boleh ke jawab macam tu?

            “Isteri Adam, dia pun study sekali dengan Hafiz masa dekat UM,” jawab Suraya menyelamatkan keadaan. Yang lain-lainnya buat muka blur.

            Adrian mengangguk sahaja. Dan tidak lama selepas itu Adam kembali semula bersama Nadya yang baru menurunkan lengan baju kurungnya yang disisingkan kerana membasuh pinggan mangkuk tadi.

            “Sorry, busy sangat kat dapur tadi,” ujar Nadya sambil membetul-betulkan tudung.

            “Ish, dia ni. Dahlah jarang boleh berkumpul macam ni, sibuk nak basuh pinggan mangkuk. Lesing dengan lutut kang baru tahu,” omel Zulaikha dengan nada bergurau.

            Masing-masing spontan ketawa. Isteri Yusof itu memang agak brutal dan tidak berlapik cara percakapannya. Meskipun sudah bergelar isteri dan ibu, namun sifat tomboynya dari zaman remaja sukar dikikis sehingga kini.

            “Hehe… janganlah marah, tak jelitalah macam ni,” usik Nadya tersengih seraya menyinggung bahu Zulaikha.

            “Eh, aku tak jelita, aku cute. Semua orang tahu aku paling cute, kan? Kan? Kan?,” sela Zulaikha seraya mengibar-ngibarkan selendang yang dipakainya.

            Yusof tersenyum sumbing. Dia pula yang naik segan melihat telatah isterinya. Terlalu selamba walaupun dihadapan Adrian, Daniel dan Cinta yang tidak dikenalinya.

            “Oh ya, kenalkan ini isteri saya, Nadya. Nadya, ni Adrian. Nadya dulu kawan Hafiz,” ujar Adam sambil menekankan perkataan ‘kawan’. Meskipun dia cemburu, namun fikirannya masih rasional. Dan entah kenapa dia cemburu, dia sendiri tidak tahu sebenarnya. Mungkin hanya paranoid kerana wajah lelaki itu mirip Hafiz.

            Adrian hanya mengangguk sopan sebaik diperkenalkan kepada Nadya. Sememangnya dia sendiri tidak dibiasakan berjabat tangan dan menyentuh yang bukan mahramnya sejak dahulu lagi.

          Ketika zaman sekolah, dia juga agak bebas dalam pergaulan. Namun dia sedikit demi sedikit berubah sejak berkawan dengan Daniel di Australia. Sahabat baiknya itu suka memberi nasihat tentang agama dan mengingatkan dirinya tentang solat. Dan kini sifat Daniel itu sedikit-sebanyak mempengaruhi bicara dan perilakunya.

            Nadya membalas senyuman Adrian seadanya. Dia sudah melihat Adrian dari jauh semasa majlis tahlil yang dijalankan sebentar tadi namun tidak berminat untuk mendekati lelaki itu kerana sibuk menghidangkan lauk-pauk dan membereskan dapur.

            Dan tambahan pula, dia isteri orang. Hati suaminya perlu dijaga kerana dia sendiri sedia maklum Adam mencemburui Adrian tanpa sebab-musabab yang munasabah. Kalau hanya sebab wajah Adrian, rasanya itu alasan yang agak kurang relevan bagi Nadya.

            Benar, memang wajah Adrian membuatkan Nadya terkenang kepada masa lalunya. Namun semua itu tidak lagi menjentik tangkai hatinya. Yang lepas tu lepaslah. Sekarang dia sudah sah menjadi milik Adam dan dia ikhlas mencintai suaminya.

            “Saya rasa macam pernah jumpa Puan Nadya sebelum ni…” Adrian mengecilkan matanya seperti sedang cuba mengingati sesuatu.

            “Aah, haritu kita pernah jumpa. Dekat supermarket.” Laju Nadya menjawab.

            Adrian termangu seketika. Otaknya ligat memutarkan kembali peristiwa beberapa minggu sebelum ini. Seingatnya dia ada menolong seorang wanita yang tidak berjaya mencapai barang yang lebih tinggi ketika mengikut Daniel berbelanja di pasar raya.

            “Oh, saya ingat. Puan Nadya yang dekat supermarket tu, kan?”

            Nadya mengangguk dengan senyuman yang luas.

            Adrian pula sudah tertawa halus. Bila teringat semula kejadian itu, rasa kelakar pun ada. Patutlah ketika itu Nadya merenungnya macam tak pernah nampak orang. Meskipun hanya memandang wajah wanita itu sekilas, namun dia mampu mengecamnya sehingga ke saat ini. Hmm… dunia ini sungguh kecil rupanya.

            “Encik Daniel, boleh ceritakan Encik Adrian ni macam mana orangnya? Dulu masa study dekat Canberra berapa orang awek dia?” soal Adam sengaja mahu mencelah. Dia tidak suka kemesraan yang begitu cepat terjalin antara isterinya dengan Adrian.

            Tadi sebelum Nadya datang, Adrian bersembang langsung tak ketawa. Mukanya serius dan hanya tersenyum sekali-sekala. Tapi baru bercakap beberapa patah perkataan dengan Nadya, Adrian sudah mula melontarkan tawa halusnya. Adam cemburu dan tidak suka!

            “Adrian ni banyak awek masa di Canberra. Hot stuff katakan, awek bersusun!” ujar Daniel sengaja hendak mengenakan Adrian.

            Adrian menjegilkan biji mata. Bahu Daniel ditumbuknya perlahan. Cis, awek bersusun konon. Padahal dari dulu dia mana pernah bercinta. Bertahun-tahun menunggu arwah Jessica yang tidak pernah sedar tentang perasaannya.

            Ketika Daniel asyik menceritakan Adrian begitu dan begini suatu ketika dahulu, Adrian terpandang ke arah Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila yang duduk di sofa ruang tamu bersama Encik Jamal. Kelihatannya seperti ada benda serius yang sedang dibincangkan. Ketika itu orang-orang masjid dan para tetamu yang hadir sudah beransur pulang.

            “Saya minta diri kejap, boleh? Saya nak jumpa ibu dengan ayah saya.”

            Adrian pamit lalu mengatur langkah menghampiri kedua ibu bapanya sementara Daniel kembali menyambung cerita tentang Adrian yang tergendala sebentar tadi.

            “Ibu, ayah, bincang apa ni?”

            “Eh, Adrian tak bersembang dengan diorang?” Puan Sri Azila mengembalikan pertanyaan sambil melirik ke arah Adam, Nadya dan kawan-kawannya yang rancak berborak.

            Adrian mengukir secalit senyuman seraya melabuhkan punggung ke sofa bersebelahan ibunya.

            “Dah borak kejap tadi. Ibu dengan ayah bincang apa dengan daddy?”

            Encik Jamal diam sahaja dengan wajah yang tenang. Beberapa saat menunggu tanpa jawapan, Adrian bersuara lagi.

            “Ada apa-apa yang tak kena ke?”

            Tan Sri Jamaluddin berjeda beberapa ketika. Dia dan isterinya sudah duduk berbincang dari hati ke hati dengan Encik Jamal. Kalau tidak mengenangkan Jamal adiknya, ingin sahaja dia membawa kes ini ke muka pengadilan atas tuduhan menculik dan memisahkan seorang anak dari ibu bapa kandungnya.

            Tetapi selepas mengetahui sebab mengapa Encik Jamal membawa lari Adrian ke luar negara 30 tahun yang lalu, perasaan marahnya sudah beransur hilang. Masa memang tidak boleh diputarkan semula. Apa yang sudah terjadi, biarlah ianya berlalu. Yang penting, Encik Jamal berani tampil mengakui kesalahannya dan memohon maaf.

          “Ibu dan ayah dah bincang dengan daddy Adrian. Kami dah maafkan dia. Tak guna nak berdendam atau marah lama-lama. Apapun, kita semua tetap satu keluarga.”

            Tersenyum Adrian mendengar kata-kata ayahnya. Alhamdulillah, syukur ibu dan ayahnya itu lembut hati orangnya. Kini dia mengerti kenapa setiap kali dia bertanyakan kepada sesiapa tentang arwah Hafiz, jawapan mereka selalunya, “Hafiz pemaaf dan mudah mengalah,” atau “Kemarahan Hafiz selalunya kena pada tempatnya. Dia takkan marah kecuali kesabaran dia benar-benar teruji.” Rupa-rupanya sifat kembarnya itu adalah kerana diwarisi oleh Tan Sri Jamaluddin serta Puan Sri Azila.

            “Cuma satu ayah nak tanya, Adrian berminat tak nak kerja dekat Kiara Holdings? Company tu sekarang ayah yang uruskan, tapi yelah… ayah pun dah tua. Lambat-laun, ayah perlu serahkan company tu pada anak ayah.”

            Kali ini Adrian terdiam. Bekerja di Kiara Holdings? Kalau begitu, siapa yang akan menguruskan Brilliant Sdn. Bhd.? Dia serba-salah melihat air muka Encik Jamal yang sedikit berubah mendengar pertanyaan tersebut. Mungkin tidak menyangka Tan Sri Jamaluddin akan mengajukan soalan sebegitu.

            “Adrian selesa bekerja dekat Brilliant sekarang. Adrian minta maaf. Adrian tak boleh, ayah…” ujarnya menolak dengan nada selembut yang mungkin agar tidak menyinggung perasaan orang tuanya.

           “Tapi ayah perlukan pewaris, Adrian. Ayah dah tak ada anak lain. Kalau Hafiz masih hidup, tentu ayah tak kesah kalau Adrian tak nak ambil alih,” pujuk Tan Sri Jamaluddin.

            Encik Jamal yang mendengarnya mengeluh dalam diam. Bibir bawahnya digigit perlahan. Kenapa abang longnya boleh bertanya soalan itu dihadapannya? Memang Adrian bukan anak kandungnya, tapi Adrian sudah lama menguruskan anak syarikatnya itu. Sekarang baru jumpa, tiba-tiba mahu Adrian bekerja di Kiara Holdings pula. Habis siapa yang mahu menguruskan syarikatnya? Dia juga tiada anak lain selain Adrian.

            “Ayah, ibu, Adrian dah cukup lama uruskan Brilliant dan Adrian serasi dengan tempat kerja tu. Insya-Allah kalau hati Adrian terbuka suatu hari nanti, Adrian akan pertimbangkan semula. Tapi buat masa sekarang, Adrian nak kekal dalam Brilliant.”

            Jawapan Adrian membuatkan Encik Jamal tersenyum lega dalam hati. Namun tidak bagi Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila. Kedua-duanya jelas kelihatan kecewa dengan pendirian anak mereka. Tapi apa boleh buat? Tidak mungkin mereka akan mendesak kerana mereka baru sahaja ingin merapatkan hubungan dengan Adrian.

            Puan Sri Azila memalitkan senyuman di wajah. Rambut Adrian diusapnya penuh kasih.

            “Tak apalah kalau macam tu. Ibu takkan paksa. Kalau Adrian nak kerja di Brilliant, kerjalah. Tapi ibu ada satu permintaan…”

            Masing-masing menanti kata-kata Puan Sri Azila dengan wajah yang sedikit gelisah.

            “Ibu nak Adrian pindah rumah. Adrian tak payahlah tinggal sorang-sorang dekat apartment tu lagi. Adrian tinggal dengan ibu dan ayah kat sini ya?”

            Terpana seketika Adrian mendengarnya. Dia menoleh sekilas pada Encik Jamal yang tidak bereaksi apa-apa.

            “Err… tapi apartment Adrian tu nanti…”

            “Tinggalkan kosong je, Adrian. Buat tempat persinggahan sekali-sekala aja. Tentang maid tu jangan risau, bagi gaji penuh kat dia bila dah nak pindah nanti.” Encik Jamal memotong, seolah-olah memberi keizinan kepada Adrian untuk tinggal bersama Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila.

            Adrian terdiam tunak. Hanya kelopak matanya yang terkelip-kelip membalas pandangan ibu dan ayahnya yang masih menantikan jawapan.

            “Okeylah kalau macam tu. Nanti Adrian cari waktu bila boleh start kemas barang,” respons Adrian.

            Puan Sri Azila gembira tidak terkata. Tangannya mengusap-usap tangan Adrian dengan perasaan yang begitu bahagia. Akhirnya… inilah saat yang ditunggu-tunggunya selama ini. Menunggu anak yang dirinduinya selama ini pulang ke pangkuannya. Pulang dan tinggal bersamanya seperti satu keluarga.

            “Terima kasih, Adrian. Ibu sayang anak ibu ni.” 

Puan Sri Azila mendekatkan bibirnya ke dahi Adrian lantas mengucup dahi anaknya penuh syahdu.

            Adrian terkedu seribu bahasa. Hatinya terasa sejuk serta-merta sebaik menerima kucupan hangat sang ibu. Wajah lembut Puan Sri Azila ditatapnya dengan jiwa yang mulai terasa lapang. Ada rasa bahagia yang mula menyelinap diruang hati. Perasaan bahagia yang sudah sekian lama tidak dikecapinya.

            Kalaulah Adrian tahu begini perasaannya bertemu dengan ibu bapa kandung sendiri, pasti dia sudah mencari Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila sejak 7 tahun yang lalu!

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

6 comments:

Miza Lan said...

best.... dah bertemu semula..... Adam janganlah cemburu sangat..

Yuri Kiko said...

dh jumpa tp x tertarik antara satu sama lain pun.nasib baik.hehehe

E-la Adiey said...

terima kasih Miza Lan & Yuri Kiko ^_^
nanti sy sambung lagi. stay tune!

hannah said...

so sweet adrian dgn ibunya

zahra said...

agak2 siapa eak yg jatuh cnta dlu?nadya ke adrian?hihihi

Eddayu said...

yeaaaaaa... i loikee ;)