Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Sunday, May 31, 2015

Kau Bidadariku... 27

ADRIAN meletakkan coklat bar Hershey’s dihadapan Daniel, membuatkan sahabat baiknya itu sedikit terpinga-pinga.

            “Ini coklat terakhir, lepas ni dah tak ada coklat lagi,” ujar Adrian meleretkan senyuman di ruang wajahnya.

            Petang itu selepas pulang dari pejabat dia singgah sebentar ke rumah Daniel. Sudah agak lama dia tidak bertandang dan bertanyakan khabar terkini rakan-rakannya kerana jarak tempat tinggal yang semakin jauh. Maklumlah, Daniel dan Cinta tinggal di Shah Alam, sementara Adrian pula kini menetap bersama ibu bapanya di Bangsar.

            “Nak coklat tu!” Dania yang berada dalam dukungan abahnya ketawa riang. Tangan kecil comelnya ingin mengambil coklat tersebut, namun Daniel segera menegah.

            “Semalam dah makan Kit Kat, kan? Next time pula. This one abah simpan dulu.”

            Dania tarik muka cemberut tanda protes. Daniel menggeleng-geleng. Coklat yang diberikan Adrian diambil dan disimpannya kedalam kocek seluar.

            “Stop doing that thing with your face, Nur Qaseh Dania. Abah tak suka,” ujar Daniel tegas. Dia tidak suka anaknya meningkah kata-katanya. Dalam mendidik anak, ibu bapa tidak boleh terlalu memanjakan anak dan anak juga harus belajar dari awal bahawa tidak semua keinginannya harus dipenuhi.

            Dania mencebik seperti ingin menangis. Tersentuh Adrian melihatnya. Tubuh Dania diambilnya dari dukungan Daniel lalu dibawa kedalam pelukannya.

            “Tak boleh makan manis banyak sangat, nanti sakit gigi. Makan coklat tu nanti. Kalau Dania dengar cakap abah, nanti uncle bawa lagi banyak hadiah untuk Dania.”

            “Betul?” Dania mengelip-ngelipkan mata mendengar tawaran lumayan Adrian.

            Adrian mengangguk lalu mencium pipi montel anak angkat kesayangannya itu bertalu-talu. Dania ketawa kegelian.

            “Dania tak salah pun, Danny. Aku yang salah. Tak cover masa nak bagi coklat. Budak-budak tengok coklat, mestilah diorang nak,” tutur Adrian yang sudah mengambil tempat duduk bersebelahan meja di laman rumah itu. Dania diletakkan di atas ribaan.

            “Hmm…” Itu saja komen Daniel. “Eh, tapi kenapa kau cakap ini coklat terakhir?”

            “Terakhir dari peminat rahsia aku!”

            “Hah?” Sebaris kerutan bertapak didahi Daniel.

            “Bersembang apa tu? Macam ada benda best je?” sampuk Cinta dari jauh. Dia keluar ke halaman rumah sambil menatang dulang yang sudah tersedia air teh dan beberapa biji cawan untuk minum petang.

            Daniel cepat-cepat bangun mendapatkan isterinya.

            “Humaira, abang dah cakapkan. Nanti nak angkat air panggil abang. Humaira tak boleh buat kerja berat-berat tau?” tegur Daniel lembut. Dulang ditangan isterinya diambil.

            Cinta menguntumkan senyuman. “Tak berat pun, abang. Angkat air je pun.”

            Kedua-duanya terus ke meja. Cinta yang comel memakai gaun mengandung mengusap-usap perutnya yang sudah semakin menonjol. Kandungan keduanya itu kini sudah masuk usia lima bulan.

            “Sihat, Cinta? Tak kerja ke hari ni?” sapa Adrian.

            “Sihat alhamdulillah. Kerja separuh hari, tengah hari tadi dah balik,” sambut Cinta. Daniel memegang tangan isterinya, membantu Cinta duduk sebelum kembali melabuhkan punggung ke kerusi.

            “Dah lama tak datang sini. Seronok tinggal dengan parents?” tanya Cinta sambil menuang air ke dalam cawan.

            Adrian tersengih. “Okey je, tapi dah lama tak datang sebab jauh, bukan sebab lain. Ini pun nasib baik ada masa sikit. Nak bagi Dania coklat yang stalker kat ofis bagi.”

            Daniel dan Cinta saling berbalas pandangan untuk seketika. Kata-kata Adrian menerbitkan senyuman diwajah mereka.

            “Siapa secret admire tu, ek? Staf Brilliant ke?” Cinta cuba mengorek rahsia.

            Adrian tergelak halus. Teh panas yang dihulurkan oleh Cinta disisip perlahan sebelum dia menjawab, “No, rasanya tak ada staf seberani tu nak mengurat CEO sendiri!”

            “Habis siapa? Dah tahu ke belum sebenarnya ni?” soal Daniel pula.

            Adrian menggeleng-geleng seraya merengus perlahan. Peristiwa yang berlaku di Brilliant Sdn. Bhd. seminggu lalu kembali memercik ke kolam ingatannya. Sungguh dia tidak menyangka spesis perempuan sebegitu wujud di dunia ini. Terlalu berani!

            “Adik secretary aku!” Daniel dan Cinta membulatkan mata tanda tidak percaya.

            “Adik Widad? Serius?”

            Adrian mengangguk mendengar pertanyaan Daniel. Kemudian dia terus bercerita bagaimana peminat rahsianya itu boleh tertangkap tempoh hari.

            “Habis kau tak cakap apa-apa kat Widad?” respons Daniel pula.

            “Widad tak tahu apa-apa. Malaslah aku nak kecoh, malu Widad nanti. Budak tu ambil kunci ofis senyap-senyap. Tapi budak tu memang mereng, itu aku berani cakap. Ada ke patut dia kata dia suka aku sebab nama dia Adriana, sama dengan nama aku.”

            Cinta ketawa. “Adriana dan Adrian? Wow, comel sangat!” sakatnya.

            “Comel apa, budak lagi. Baru nak majlis konvo katanya!” tukas Adrian selamba.

            “Tapi aku memang tabiklah budak Adriana tu. Berani gila babas dia ceroboh masuk ofis kau tengah-tengah malam buta, ek?” tokok Daniel turut tertawa.

            Adrian jungkit bahu. “Perangai budak, kan? Itulah kerjanya. Tapi dia pun dah kantoi dan aku dah kasi warning kat dia. Aku rasa dia dah tak berani nak datang lagi.”

            “Ye ke? Entah-entah lepas ni dia start ikut kau balik rumah pulak. Aiyok… kau dah ada peminat fanatik!” Daniel sengaja menakut-nakutkan Adrian.

            Adrian pula mencemikkan muka. “Berani dia nak buat macam tu? Aku lempang dengan botol kicap baru dia tahu erti penyesalan.”

            Kata-kata Adrian disambut ketawa oleh Daniel dan Cinta. Adrian tersenyum cuma. Air tehnya ditiup sedikit untuk meredakan suhu kepanasannya sebelum disua ke bibir Dania.

            “Bismillahirrahmanirrahim… minum sikit-sikit. Panas ni,” ujar Adrian.

            Dania terus menghirup minuman itu perlahan-lahan. Daniel tersenyum spontan melihat anaknya yang berada di ribaan sahabatnya. Baginya, Adrian cukup penyayang dan suka pada kanak-kanak. Cuma satu sahaja, hati Adrian belum terbuka untuk membina keluarga sendiri sehingga ke saat ini.

            “Adrian.”

            “Yup?” Adrian mengalihkan pandangan ke arah Daniel.

            “Kau pernah cakap yang ibu ayah kau tanya kau ada awek ke tak, kan? Kenapa kau tak terus-terang je pasal arwah Jessica?”

            “Kalau aku cerita, nanti diorang sama membebel macam kau. Asyik nak suruh aku cari awek lain sebab Jessica dah lama tak ada,” ujar Adrian. Dia memang sudah sedia menghafal skrip apa yang akan keluar nanti.

            Ulas bibir Daniel mengoyak senyuman. Kepalanya digeleng-geleng perlahan. Lantaklah labu… dah malas nak nasihat.

            Untuk sejenak, Adrian tenggelam dalam kotak mindanya sendiri. Kebiasaannya jika topik sebegini dibangkitkan, kepalanya akan sentiasa memutarkan kembali wajah dan memori bersama arwah Jessica.

            Namun kali ini tidak. Dia tidak terbayangkan paras si gadis Indonesia yang selama ini membuai hatinya itu. Tapi sebaliknya wajah Nadya. Ya, wajah Nadya yang ada difikirannya saat ini. Teringat tentang perilaku penuh keibuan wanita itu tempoh hari.

            Saliva yang bertakung didalam mulut diteguk perlahan. Segera hatinya mengalun istighfar, cuba menyedarkan diri sendiri tentang hakikat yang sebenar.

            Apa benda kau ni, Adrian? Ingat sikit, kau cuma cintakan Jessica. Hanya Jessica! Kata-kata itu cuba ditegaskan kepada diri sendiri.
*************************

MASA yang sedikit terluang malam itu membolehkan Adam keluar berjalan-jalan seketika bersama Yusof dan Azriel di Mall of the Emirates. Sudah hampir seminggu mereka berkampung di Dubai dan kerja-kerja untuk penubuhan syarikat serta urusan bersama kontraktor dan jurutera di Dubai sudah hampir siap sepenuhnya. Tinggal dua hari lagi, Adam dan Yusof akan kembali pulang ke Malaysia.

            Adam melihat jam pada telefon. Pukul 8.00 malam waktu Dubai. Di Malaysia sekarang sudah larut malam dan Nadya juga pasti sudah tidur. Rindu sungguh hatinya mahu menatap wajah dan mendengar suara isterinya. Padahal baru tadi telefon.

            “Sudah-sudahlah tenung telefon tu Adam oii… hari-hari pun kau call dia. Takkan tak boring kot,” sela Yusof yang berjalan bergandingan bersama adiknya.

            Dari tadi cuma dia dan Azriel yang melihat deretan kedai, mencuci mata meninjau barangan yang dijual didalam pusat membeli belah itu. Adam pula hanya tahu diam, tunduk dan merenung telefon bagaikan hendak tembus ke lantai.

            Adam tersenyum tepi. “Kau tak faham, weh… bila takde anak ni, rasa macam bercinta dengan girlfriend. Asyik rasa rindu je. Haha…”

            Yusof menjungkit kening. Azriel yang mendengarnya buat muka seposen.

            “Geli telinga aku. Nak muntah!” ejek Azriel. Gelak dia dan Yusof semakin galak.

            Adam buat muka selenga. Katalah apa pun, dia hanya jujur tentang perasaannya.

            “Eh, korang tu yang tak romantik. Dah ada anak bersusun, lupa nak manjakan isteri,” bidas Adam.

            Yusof mempamerkan senyuman sinis. “Woi, kitorang manja-manja tu hal dalam biliklah. Bukan macam kau. Tengah jalan pun nak berpeluk!”

            “Eh, bini aku suka hati akulah nak bermanja kat mana pun.” Adam tak mahu kalah bila Yusof dan Azriel berkomplot ingin mengenakannya.

            “Kitorang tak larang pun kau nak manja dengan Nadyalah. Cuma sekarang ni kau tu lepak dengan kitorang. Tak payahlah asyik tenung telefon,” tambah Azriel. Tahulah bini jauh, takkanlah tak boleh berenggang sekejap.

            Adam tergelak. “Yalah, aku simpan…” Telefonnya dimasukkan ke dalam kocek.

            “Adoi, macam tak pernah keluar outstation adik aku ni…” omel Yusof perlahan.

            “Apa kau cakap?” Adam menekan suaranya.

            “Tak ada apa. Aku cakap, lawa kasut tu,” kata Yusof spontan sambil menunjuk ke arah beberapa pasang kasut yang terpamer di kedai berjenama Antonio Trading.

            Adam mengeluh kecil. Dia dengar dengan jelas apa yang diperkatakan oleh Yusof. Betul juga, ini bukan kali pertama dia keluar bertugas ke luar negara. Tapi entah kenapa perasaan kali ini sungguh berbeza. Kerinduannya kepada Nadya begitu menyeksa perasaan, lebih daripada kebiasaan. Semacam ada sesuatu yang tidak kena bakal berlaku.

            “Hai…” Lamunan singkatnya terbejat sebaik mendengar satu suara menyapa.

            Adam mula tayang muka bosan. Yusof dan Azriel cuba beriak bersahaja. Yasmin dihadapan mereka tersenyum mesra.

            “Tak sangka boleh jumpa kat sini. I baru jenjalan cuci mata sikit,” ujar Yasmin tanpa disoal. Hakikatnya, memang dia sengaja mengekori Adam. Dia juga menginap di hotel yang sama dengan Adam kerana mahu sentiasa dekat dengan lelaki idamannya itu.

            “Kitorang baru je nak balik hotel!” beritahu Adam sengaja hendak mengelak dan disambut dengan anggukan oleh Yusof dan Azriel.

            “Aah, entah apa agaknya anak bini aku buat kat rumah,” tokok Azriel pula.

            Yusof pura-pura menguap lalu menenyeh mata. “Huarghh… mengantuklah. Esok kena kerja lagi. Nak balik tidur.”

            “Okey, kitorang balik dulu. Jumpa esok, Cik Yasmin,” ujar Adam bersahaja.

            Tanpa bertangguh, ketiga-tiganya terus berlalu pergi tanpa sebarang pamitan. Yasmin menjeling dengan hati yang terbakar. Ada rasa terhina menyelinap garang lalu tampil mewarnai wajahnya. Oh, kau sombong dengan aku ya sekarang? Siap kau!

            Dia mengeluarkan telefon bimbit dan mendail nombor Jay. Beberapa minit dibiarkan berdering barulah panggilannya berjawab.

            “Eh, you pergi mana hah? I call angkatlah terus. Ingat I ni ada masa ke nak tunggu lama-lama?” marah Yasmin di corong telefon.

            “Sorrylah, Cik Yasmin. Saya dah tidur. Sini dah lewat…” jawab Jay agak mamai.

            Yasmin mendengus. “Ah, I tak pedulilah. I bayar you mahal. You jangan tidur lena selagi tugas you belum habis. Macam mana dengan persiapan plan you tu?”

            “Semuanya okey, Cik Yasmin. Tunggu hari je.”

            “Good, dua hari lagi I dengan Adam balik Malaysia. Siapkan apa yang patut.”

            Yasmin terus memutuskan talian. Bibirnya melarik senyuman penuh agenda. Rencana yang sudah tersedia di Malaysia harus berjalan dengan baik. Persetan apa akan jadi selepas ini. Baginya, Adam miliknya sejak dulu lagi dan Nadya adalah perampas!
***********************

“HARI ni ibu datang butik, baru je balik tadi. Pak Wahab yang hantarkan. Ibu masak nasi ayam hari ni.” Nadya bercerita tentang aktiviti hariannya sepanjang seminggu ketiadaan Adam. Beberapa hari lalu dia juga pulang berseorangan menjenguk abahnya di kampung.

             “Oh, dia tak makan dengan Adrian pulak,” balas Adam yang baru keluar dari Masjid Al Salam usai menunaikan solat Zohor disitu. Sambil tangan masih kukuh meletakkan telefon di cuping telinga, dia mencapai kasut kulitnya yang tersusun di rak.

            “Haritu Nadya dah cakap dengan ibu. Ibu pun tahu jarak ofis Adrian dengan rumah bukannya dekat, so sejak tu ibu dah tak kacau Adrian waktu kerja. Kalau ada masa, Nadya pergi rumah ibu. Kalau tak, ibu yang datang butik,” terang Nadya pula.

            “Oh okey… sayang buat apa tu? Tak busy ke?” Adam memulangkan pertanyaan. Selesai menyarung kasut, dia melangkah mendapatkan Yusof dan Azriel yang setia menunggunya di satu sudut luar bangunan masjid. Kedua-duanya sudah selesai solat beberapa minit awal sebelum Adam.

            “Ada dekat butik lagi. Dah dekat pukul lima ni, kejap lagi nak siap-siap balik. Busy sikitlah tadi, tiga hari ni kena kemas butik sendiri. Lily kan dah berhenti kerja,” cetus Nadya mendengus lelah dihujung suara. Pembantu butiknya itu sudah meletakkan jawatan beberapa hari lepas kerana masuk semester baru di kampus. Jadi Nadya terpaksa melakukan semuanya sendiri sehingga mendapat pekerja lain menggantikan Lily.

            Adam mengulum senyuman. “Sepatutnya sayang dah tak perlu kerja pun. Abang suruh duduk rumah, jaga abang je, sayang yang tak nak.”

            “Nadya kena jaga butik ni, bang. Ini amanah ibu pada Nadya. Lagipun ibu belum ada menantu. Nanti kalau Adrian dah kahwin, Nadya serahkan butik ni pada isteri dia. Then after that, I’ll give all my attentions just for you and our family.” Ucapan Nadya menjamah halwa telinga, membuatkan hati Adam terbuai bahagia membayangkan indahnya memiliki anak-anak sendiri bersama Nadya. Semakin membuatkan dirinya merindui sang bidadari yang jauh di Malaysia.

            Saat dia sudah menghampiri Yusof dan Azriel, Yusof menunjukkan jam di pergelangan tangannya seperti memberi isyarat mereka perlu bergegas kerana masih banyak kerja bertangguh yang belum dibereskan. Adam segera kembali ke dunia nyata.

            “Angel, sorry I have to go. Ada discussion pasal floor plan sketches lepas ni.”

            “Okey, kejap! Kejap! Abang balik Malaysia bila?”

            “Tak tahulah, sayang. Banyak kerja lagi. Mungkin kena stay lima,enam hari lagi.”

            “Oh…” Nada suara Nadya sedikit kecewa. Hmm… lamanya…

            “Okey, abang pergi dulu. I love you.”

            “Love you too,” Perlahan Nadya membalas sebelum ganggang telefon diletakkan.

            Dia menongkat dagu sambil berjeda. Kepala yang terasa sedikit berdenyut ditekan-tekan untuk seketika. Sunyi rasanya lebih seminggu disini tanpa Adam. Suasana pejabat kecil butik miliknya yang sudah agak suram itu ditenung. Sepi. Tiada lagi suara Lily menemani hari-harinya.

            “Lima, enam hari? Bukan esok kita dah balik ke?” soal Yusof yang mendengarkan perbualan Adam sebentar tadi.

            “Aku tak nak bagitahu Nadya. Kau jangan bagitahu Zulaikha aku balik esok, tau? Aku nak buat surprise,” sambut Adam lantas menyimpan telefon kedalam kocek seluar.

            Seboleh-bolehnya dia tidak mahu memberitahu Nadya tentang hal kepulangannya. Otaknya sudah merangka pelan kejutan buat isteri tercinta. Pasti Nadya gembira melihat dia yang sudah berada di hadapan pintu rumah esok tanpa disangka-sangka.

            “Hmm… kau ni macam-macam hal. Jomlah!” Yusof menyarung kaca mata hitam, menahan bahang terik mentari Dubai yang kian menyengat. Ketiga-tiga terus keluar dari perkarangan masjid.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

3 comments:

IVORYGINGER said...

Tolonglah selamatkan Nadya dr perancangan jahat Yasmin... xmau la hubungan Adam & Nadya hancur. Hope Andrian & Adriana can help on this.;D

E-la Adiey said...

IVORYGINGER - ahax.. adrian & adriana the second couple/heroheroin. insya-Allah they will help on this ;D

Liyana Azman said...

geram gak aku ngan adam ni kdg2.x nampak ke yasmin tu suka kat dia