Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Sunday, June 8, 2014

Zikir Cinta 3

DANIEL menunggu pelajar-pelajar lain keluar dahulu sebaik kelas tamat pada pagi itu. Matanya terus hinggap pada Cinta dan rakan-rakannya yang baru ingin keluar dari dewan.

            “Saya rasa ini awak punya. Mungkin terjatuh semalam.”

            Cinta terpaku seketika melihat sepit rambut berwarna ungu yang dihulurkan oleh Daniel. Tepat tekaannya, memang sepit itu terjatuh ketika terlanggar dengan Daniel semalam.

            “Eww… Cinta, dia pegang sepit rambut kau!” bisik Hana. Dia membuat mimik muka geli memandang sepit rambut Cinta yang dipegang oleh Daniel. Begitu rendah martabat orang miskin dimatanya, sehinggakan apa jua yang disentuh oleh orang miskin adalah najis.

            Daniel buat-buat tak dengar, walaupun kata-kata Hana begitu jelas dipendengarannya. Biarlah, dia sudah terbiasa.

            Cinta terus mengeluarkan beberapa helai tisu dan mengambil sepit rambutnya dengan beralaskan tisu tersebut.

            “Dah kotor, balik karang aku kena rendam dalam air panas. Kasi semua bakteria mati,” ujar Cinta tanpa sedikitpun memikirkan perasaan Daniel saat itu.

            Daniel mendengarnya dengan jelas, namun dia tidak melenting. Wajahnya tenang sahaja.

            “Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Daniel menundukkan sedikit kepalanya sebelum berlalu. Itu memang caranya dari dulu. Kalau hendak meminta maaf atau pamit, dia pasti akan menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat.

            Cinta bagai kehilangan kata-kata. Kenapa walaupun dia sudah menghina secara terang-terangan seperti itu, Daniel masih menghormatinya? Sedikitpun Daniel tidak marah. Tiada perasaankah lelaki itu?

            “Perempuan muka tembok ni. Silap hari bulan ada juga orang makan kasut saiz 12!” Adrian ketap bibir ketika Daniel menghampirinya.

            Walaupun dia hanya memerhati dari jauh, tapi dia lihat bagaimana cara layanan Cinta terhadap Daniel. Masakan barang yang dihulur oleh Daniel diambilnya dengan beralas tisu? Sungguh biadap!

            Daniel terus menepuk bahu sahabatnya itu dan menggeleng beberapa kali, menandakan dia tidak mahu memperbesarkan isu tersebut.

            “Aku tak fahamlah dengan kau ni, Danny. Ya, aku tahu kau bukan jenis suka bergaduh but at least, cubalah melawan sikit. Aku tak tahan betul dengan perangai si minah perasan cun tu. Nak je aku baling kasut aku ni kat muka dia. Yang kau ni lemah sangat dengan dia kenapa? Hampir tiga tahun dia buli kau, tau tak? Kau tak rasa apa-apa ke?” ujar Adrian ketika mereka berjalan pergi dari situ.

            “Pergaduhan dan kekasaran bukanlah cara aku. Kalau aku mampu, aku akan selesaikan dengan cara baik. Bukan dengan Cinta je, dengan semua orang pun aku macam tu.”

            Adrian mencebik mendengar alasan Daniel itu. Kata Daniel, Cinta sudah cukup dewasa untuk berfikir sendiri. Buat masa sekarang Cinta memang belum matang, tapi mana tahu suatu hari nanti dia akan berubah. Tapi sudah tiga tahun Daniel mengalah dengan Cinta, adakah gadis itu ada menunjukkan tanda-tanda ingin berubah? Tidak! Sifat mengalah dan lembut Daniel membuat Cinta dan rakan-rakannya semakin naik tocang.

            “Danny, nanti kejap.” Daniel mengerutkan dahinya. Mereka berhenti seketika. Adrian tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu.

            “Danny, let me be frank with you, tapi jangan terasa okey?”

            Dahi Daniel semakin berkerut. Lain macam saja bunyinya. Tapi dia tetap membatukan diri, menunggu kata-kata Adrian yang seterusnya.

            “For me, it doesn’t really matter if you really like her. Ya, aku nampak yang kau dah lama sukakan dia. Tapi cubalah kau control perasaan tu. Don’t make it so obvious, nanti dia makin naik lemak. Lagipun, kau tahu dia tu macam mana, kan? Dia pandang lelaki macam baju. Hari ni pakai baju lain, esok tukar yang lain pula. Dan baju tu pulak bukan baju sebarangan. Dia hanya nakkan yang mahal, yang murah dan dirasakan tak berkualiti dicampak ke tepi. Aku nasihatkan kau sebagai kawan dan saudara. Playgirls are difficult to deal with, and I don’t want you to get hurt.” Panjang lebar nasihat Adrian dengan nada yang cukup serius.

            Tidak berkelip mata Daniel memandang sahabatnya itu. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman kecil.

            “Maaf, perasaan tu memang susah nak dikawal kan? Aku mengaku aku sukakan dia, tapi aku tak pernah berangan nak bersama dengan dia. Aku sedar yang status keluarga aku dan dia ibarat langit dengan bawah tanah. Apa pun, terima kasih sebab ingatkan aku.”

            Sepi mengepung untuk seketika.

            “Eh, Jess dengan Jason mana ek? Lupa pulak aku nak tanya tentang diorang.” Daniel menyoal untuk cuba mengalihkan perhatian, sekaligus memecahkan suasana sepi tadi.

            “Diorang dah gerak dulu tadi. Aku suruh diorang tunggu kita kat library. Mmm… eh, lepas study group ni nak pergi Floriade tak? Jomlah, asyik belajar je tension gak aku.” Nada suara Adrian yang tadinya serius bertukar ceria serta-merta. Sebelah keningnya naik ala-ala Ziana Zain.

            Floriade, acara tahunan yang diadakan setiap kali musim bunga selama sebulan di Commonwealth Park, Canberra. Floriade dihadiri oleh ramai pelancong asing dari pelbagai negara kerana ketika musim bunga, Canberra seakan-akan ‘hidup’ dengan hiasan bunga-bungaan pelbagai warna. Ada juga bunga-bunga pelik yang tidak pernah diketahui kewujudannya sebelum ini.

            “Okey.” Pendek sahaja Daniel membalas namun menerbitkan senyuman yang lebar dibibir Adrian. Adrian menumbuk perlahan bahu sahabatnya itu lalu mereka terus berjalan menuju ke perpustakaan.

***********

“ADUH, sunyinya bandar Canberra ni. Dahlah sunyi, bosan betul,” rungut Cinta ketika mereka berempat berjalan-jalan di Canberra Centre. Mereka bukannya jenis kaki study, jadi setiap kali habis kelas mereka pasti akan merayau-rayau tanpa tujuan.

            “Yalah kan, kenapalah kita tak study dekat Melbourne atau Sydney aja? Sana lebih meriah. Canberra ni apa ada?” keluh Fatin pula dan disambut dengan anggukan teman-teman yang lain.

            Canberra merupakan ibu negara Australia tapi suasananya sangat sunyi dan damai. Penduduk yang tinggal di sini terlalu sedikit. Mungkin tidak lebih dari 360,000 orang. Bagi mereka yang suka berparti dan suasana yang hiruk-pikuk, mungkin lebih sesuai tinggal di Sydney.

            Dan menurut Cinta, kerana itulah papanya menghantar dia belajar di sini. Suasana yang damai ini sesuai untuk seseorang yang datang untuk tujuan belajar. Kalau Cinta dihantar belajar ke Sydney, mungkin Cinta cuma akan main-main dan bersosial.

            Memang tidak semua orang yang belajar di bandar-bandar sibuk suka berparti tapi Dato’ Razak masak benar dengan perangai anaknya yang satu itu. Cinta sukakan kebebasan dan sosial. Dulu Dato’ Razak mahu Cinta belajar di Malaysia sahaja agar senang dipantau tapi Cinta berkeras ingin belajar di luar negara.

            Dan akhirnya Dato’ Razak mengalah, tapi dengan syarat dia yang akan menentukan di mana tempat belajar Cinta. Walaupun agak berat hati apabila Dato’ Razak memilih Canberra, namun Cinta terpaksa menurut. Sedar tak sedar, sudah hampir tiga tahun dia berada di sini.

            “Wei Cinta, kau ingat tak Carl Manson? Ala… mat saleh German from our class!” Erma tiba-tiba mengalih topik.

            Masing-masing mula memandang Erma.

            “Carl? Mat saleh yang pendiam tu?” duga Cinta.

            Erma mengangguk. “Selama ni dia tak pernah pulak menunjukkan minat untuk berkenalan dengan perempuan, tapi baru pagi tadi dia tanya aku pasal Cinta. Aku rasa dia berkenan dengan kau, Cinta. Lepas tiga tahun baru dia nak tunjuk, ya?”

            Cinta angkat kening.

            “Dia tanya kau? Apasal tak tanya aku sendiri?”

            “Alah, mestilah dia malu.  Kau kan cantik,” celah Fatin tersengih-sengih.

            “Carl? Dia tu anak somebody ke? Anak orang kaya ke? Setahu aku dia cuma anak seorang guru. Well, I’m not interested. Dia memang ada rupa tapi tak kaya. Cakapkan pada dia, aku cuma mahu lelaki yang kacak dan kaya. Kacak dan kaya, okey?” tekan Cinta dengan suara yang sinis dan angkuh.

            Rakan-rakannya sudah mencebik dan saling berbalas pandangan. Kadang-kadang rasa kagum, dan kadang-kadang menyampah pun ada. Cinta… Cinta… nasib baik kau cantik. Kalau tak, ada ke lelaki nak pandang kau dengan perangai kau yang buruk ni?

            “Eh, bercakap tentang lelaki yang tak berapa kaya ni, aku teringat tentang kes dengan Daniel pagi tadi. Cinta, cara kau sound mamat tu pagi tadi kurang powerlah. Apasal kau tak maki je dia?” luah Hana tiba-tiba.

            Cinta menggigit bibir. Dia bukan tidak mahu memaki, tapi kadang-kala sifat Daniel yang terlalu tenang meresahkannya. Daniel jarang tersenyum dan jarang melenting. Wajahnya cukup tenang dalam apa jua hal sekalipun. Itu yang membuatkan Cinta terasa kalah. Dia seperti ‘syok sendiri’ kerana setiap kali dia menengking atau cuba menaikkan kemarahan lelaki itu, Daniel tetap cool dengan wajah yang tidak berperasaan.

            “Aku malas nak lebih-lebihlah. Lagipun dia dah pulangkan sepit aku, tak ada sebab aku nak marah.” Cinta memberi alasan.

            “Eeiii… tapi bakteria tu!” tekan Fatin.

            Cinta tergelak halus. Malas dia mahu berbahas. Nama Daniel kadang-kala membuat hatinya tidak keruan. Ada getaran dihatinya tapi segera dia membuang perasaan itu jauh-jauh. Hmm… anak penjual kuih dari kampung dan kolot itu, apa kelas?

            “Haish… sayang betul dia tu budak miskin. Kalau anak Dato’ ke, awal-awal aku dah rembat. Tapi harap muka aja handsome, poketnya kempis buat apa?” sela Fatin dan disambut dengan anggukan teman-teman yang lain.

            Daniel memang antara penuntut Malaysia yang kacak di kampus. Pada mulanya, dia tidak dikenali kerana sifat pendiamnya tapi apabila kali pertama diumumkan sebagai salah seorang pelajar terbaik universiti semasa di semester pertama, namanya terus menjadi bualan.

            “Yalah kan, dia tu budak kampung. Mesti kampung dia tu kat pedalaman. Lepas tu, setiap kali jejak tanah kat kampung dia tu, ada pacat. Eeii… geli aku!” kata Erma sambil membuat aksi jijik. Masing-masing yang mendengar meremang bulu roma.

            “Cinta, kau boleh dapatkan mana-mana lelaki aja yang kau nak, kan?” soal Hana.

            “So?” Cinta merenung Hana dengan mata bulatnya.

            “Kalau macam tu, kenapa kau tak pikat Daniel aja?”

            Tawa Cinta tiba-tiba meledak.

            “Kau ni kalau nak buat lawak pun biarlah bertempat. Budak kampung tu tak pernah ada dalam list aku. First time aku tengok dia pun memang aku dah singkirkan terus dia daripada calon suami. Bukan sahaja calon suami, nak jadi calon teman lelaki pun belum tentu layak.”

            Rakan-rakan Cinta turut ketawa. Memang budak kampung tidak setaraf dengan mereka. Tidak kira sebijak mana atau sekacak mana pun, miskin tetap miskin.

            “Dahlah miskin, kamceng Adrian pulak tu. Makin menambahkan rasa benci aku pada dia,” tokok Cinta lagi sambil merengus.

            Adrian, memang dia tidak suka dengan lelaki itu meskipun dia menjadi rebutan gadis-gadis kampus. Dia mula tidak menyukai Adrian apabila Adrian menolak cintanya mentah-mentah. Terasa kreadibilitinya tercabar kerana belum pernah dia ditolak oleh mana-mana lelaki.

            “Cinta, apa kata kau try tackle si Daniel tu?” Suara Hana menyentuk lamunan pendek Cinta.

            “Are you out of your mind? Kan aku dah cakap, aku cuma mahu lelaki kacak dan kaya. Budak kampung tu bukan taste aku. Kau kan tahu mak dia tu penjual kuih aja, ayah dia pulak dah lama tak ada. Mana tahan hidup macam ni.” Cinta menekan sambil membulatkan biji matanya.

            “Sabarlah, biar aku habis cakap dulu.” Hana menyentuh bahu Cinta.

            “Aku cuma nak tolong kau. Kau kan tahu si Adrian dengan Daniel tu kawan baik. Hubungan diorang dah macam adik-beradik. Jadi, kalau kau pikat Daniel, itu akan buat Adrian sakit hati. Inilah caranya kau boleh balas dendam kat Adrian sebab reject kau dulu!”

            Cinta sudah terdiam mendengar idea itu. Rakan-rakannya yang mendengar tersenyum dan mengangguk-angguk.

            “Eh, betul jugak. Apasal aku tak pernah terfikir?” Erma mengusap-usap dagunya.

            “Buat apa pulak si Adrian tu nak sakit hati? Dia bukannya suka aku pun!” sela Cinta.

            “Hish, kau ni. Takkanlah kau tak boleh fikir. Kalau kau dapat buat si Daniel tu tangkap cintan dengan kau, dan lepas tu kau tinggalkan je si miskin tu sampai dia sasau, of course si Adrian tu sakit hati sebab kau dah buat kawan baik dia macam tu. Aku rasa itu adalah balas dendam yang paling sesuai untuk Adrian,” jelas Hana.

            “In fact, apalah salahnya main-main sikit? Bukannya serius pun. Si Daniel tu one of the top scorer kat kampus. Bila Daniel tu dah ada kat tangan kau, semua perempuan yang tergilakan Daniel akan gigit jari,” celah Fatin pula, lebih kepada menghasut.

            Cinta tersenyum, kelihatan seperti berminat.

            “Tapi, aku tak rasa bersemangatlah kalau takde habuan…”

            “Okey, aku dah faham. Apa kata kita buat pertaruhan? Kalau Cinta berjaya pikat si Daniel tu, masing-masing kena beri Cinta RM3000. Mata wang Malaysia ya, bukan Australia.” Erma mengusulkan cadangannya.

            Masing-masing diam berfikir sementara Cinta sudah membayangkan wang ringgit yang bakal dilonggokkan dihadapan matanya. Bolehlah berjoli dan membeli belah sakan selepas ini.

            “Tapi kan, aku akan lebih bersemangat kalau korang naikkan sikit jumlah duit tu. Apa kata RM5000 ke, RM7000 ke…” Cinta mengacah sambil tersengih nakal.

            “Hek eleh, banyak songeh pulak kau. Kita bertaruh main-main dahlah. Aku setuju je kalau setakat RM3000, takde hal!” sahut Erma.

            Fatin angkat bahu. “Okeylah, kalau masing-masing dah setuju, aku pun setuju jugaklah!”

            Cinta memuncungkan bibir. Namun tidak lama. Senyumannya semakin lama semakin melebar. Akalnya mula merencana sesuatu yang jahat.


p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

5 comments:

Jessica Latisya said...

lol..cinta gedik

baby mio said...

best 3x.

Eddayu said...

nk lagi.. best laaa.. rase nk hempuk2 je kwn2 Cinta yg bg idea jahat tue.
dpt bayangkn betapa kecewanye Danny nnti..

E-la Adiey said...

Jessica - tu,kau jd minah indon. x nak komen? hahahaha

baby mio - terima kasih :D

kak eddayu - hohoho...terima kasih akak. nnti saya post lg. haha..x sangka org terima heroin jahat ;p

yuri said...

best3