Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Saturday, June 19, 2010

Abang Khai Tomboy? 18

SUASANA ruang tamu di rumah itu sunyi sepi tiba-tiba. Tidak ada seorang pun yang berani berkutik. Angah sudah membawa adik tidur di tingkat atas. Khai berdiri di satu sudut sambil berpeluk tubuh. Rizal berdiri di hadapan along yang duduk menikus dengan linangan air mata.
Kecewanya Rizal hanya Allah yang tahu. Tidak tahu di mana harus disorokkan muka apabila anak saudaranya sendiri ditangkap atas tuduhan mencuri di pasar raya. Kawan-kawan along masih dalam siasatan polis kerana pihak polis menemui barang-barang curi di dalam beg mereka. Along dibenarkan diikat jamin kerana tiada bukti along mencuri. Dia hanya dibawa ke balai polis kerana dilihat berjalan bersama kumpulan tersebut.
“Kau kurang ajar dengan aku, aku boleh terima. Kau tak suka aku, aku tetap sabar. Kau tak nak terima aku dalam rumah ni, aku beri kau masa. Tapi, kau memalukan aku, itu aku tak boleh terima!” jerkah Rizal dengan mata merah menyala.
“Tapi, saya tak mencuri.” Along cuba mempertahankan dirinya.
“Ya, tapi kau berkawan dengan pencuri!”
Along terdiam. Memang pada awalnya itulah niatnya. Rakan-rakannya ingin mengajarnya bagaimana caranya berbelanja dengan seronok dan mudah tanpa mengeluarkan sesen pun. Semasa di pasar raya tersebut, dia sendiri terkejut apabila melihat rakan-rakannya sibuk memasukkan pelbagai jenis barangan yang dijual ke dalam beg sandang. Rakan-rakannya turut memaksanya melakukan hal yang sama, tapi dia takut.
Segala-galanya berlaku dengan sangat pantas. Tak sampai seminit, mereka tiba-tiba disapa beberapa orang pekerja di pasar raya tersebut. Selepas menggeledah beg-beg mereka, barang-barang curi ditemui dan mereka semua dibawa ke balai polis. Pihak pasar raya itu sebenarnya sudah lama mengetahui tentang kegiatan rakan-rakan along melalui CCTV yang terdapat di pasar raya tersebut, tapi setiap kali pihak mereka cuba mendekati, rakan-rakan along lebih pantas keluar daripada pasar raya tersebut. Tapi, nasib mereka kurang baik pada hari ini.
“Kau ni dah kebulur sangat ke, ha? Duit yang tiap-tiap bulan aku bagi tu, belum cukup ke sampai kau nak berkawan dengan budak-budak macam tu? Memang sekarang kau tak mencuri, tapi akan datang...”
“Rizal...” Khai bersuara. Dia tidak suka Rizal menengking along seperti itu. Benar along bersalah, tapi tidak seharusnya along ditengking seperti itu. Along memerlukan lebih pendekatan psikologi, tidak perlu dimarahi seperti anak kecil lagi.
“Kenapa? Kau tak suka aku marah dia? Sebab sikap mengalah kau nilah dia cepat naik kepala. Kau tahu, dalam masa sehari aje dia dah buat dua kesalahan. Dahlah ponteng kuliah, lepas tu lepak pulak kat tengah-tengah bandar. Kalau setakat tu tak apa, aku boleh maafkan. Tapi dia dah diseret ke balai atas tuduhan mencuri. Mana aku nak letak muka aku ni, Khai? Seorang inspektor polis, tapi ada anak saudara yang perangai macam setan!”
Berdesing telinga Khai dan along mendengar ayat Rizal yang terakhir itu.  Tergamak Rizal menyamakan anak saudaranya sendiri dengan setan.
“Riz, kau ni dah melampau!” Bulat mata Khai merenung Rizal.
“Sekarang kau kata aku macam tu, tapi suatu hari nanti, kau akan berterima kasih pada aku. Along dengar sini baik-baik, mulai hari ni, aku akan sekat semua perbelanjaan kau.”
Tersentak along mendengar kata-kata bapa saudaranya.
“Kau akan hadiri kuliah ikut masa. Pergi dan balik aku yang hantar. Pakaian, aku tak nak lagi kau pakai baju dedah sana sini. Setiap kali keluar, aku nak kau pakai baju kurung. Aku takkan bagi lagi duit saku tiap-tiap bulan. Semua makan minum kau, aku dah tanggung. Kalau aku dapati kau membantah, aku…”
“Sudahlah, pak su!” Along memekik tiba-tiba. Air mata yang mengalir laju, diseka.
Rizal tergamam mendengarnya.
“Pak su tak berhak untuk tentukan hidup saya. Pak su tak boleh nak halang dengan siapa saya nak berkawan, bila saya nak keluar dan apa yang saya nak pakai. Saya tak pernah kacau hidup pak su, jadi pak su jangan nak kacau hidup saya. Siapa pak su, ha? Pak su bukan siapa-siapa bagi saya. Pak su tu cuma penyibuk yang…”
Pang! Tamparan pertama Rizal mengenai pipi along. Along terdorong ke belakang dan terjatuh ke atas sofa. Pipinya sudah memerah. Khai terdiam menyaksikan aksi spontan itu.
“Jangan sesekali tinggikan suara pada aku!” Rizal menudingkan jari telunjuknya ke muka along dengan mata menyorot ganas.
Khai bergegas mendapatkan along dan mengusap-usap rambut anak saudaranya itu. “Riz, kau tak sepatutnya naik tangan pada dia. Mak bapak dia sendiri pun tak pernah jentik dia, kau nak lempang dia pulak. Apa kes?”
Rizal teguk liur. Rasa bersalah mula bertandang. Dia benar-benar tidak menyangka malam ini dia akan menampar along. Dia masih boleh mengawal dirinya walaupun along ditangkap pihak polis, tapi dia rasa tercabar apabila anak saudaranya itu berani meninggikan suara kepadanya.
“Sudahlah! Memang dari awal saya dah tahu yang pak su tak pernah sukakan saya. Pak su bencikan saya, sebab tu pak su selalu cari salah saya. Pak su pergilah manjakan angah dengan adik. Kalau pak su dah menyampah sangat tengok muka saya, saya boleh keluarlah dari sini.” Usai menghabiskan kata-katanya, along terus menolak tubuh Khai yang memeluknya dan mencapai tas tangan di atas meja.
Khai cuba menarik tangan along, tapi along pantas berlari keluar ke muka pintu. Khai memandang Rizal, berharap Rizal dapat berbuat sesuatu. Paling tidak, menghalang along daripada pergi. Tapi, Rizal tidak melakukan apa-apa. Lelaki itu hanya membalas pandangan Khai dan terduduk di sofa.

*************************
“SI RIZAL tu memang tak guna! Dia ingat dia tu siapa? Nak atur-atur hidup I konon...” luah along geram sambil meneguk air kuning berbuih-buih dalam gelasnya. Sejak kematian kedua ibu bapanya, meneguk Hennessy, Martini, VSOP dan Vodca, bagaikan sudah menjadi kebiasaan baginya.

Ray tersenyum mendengar luahan buah hati kesayangannya itu. Walaupun tempoh hari dia telah dimalukan oleh bapa saudara along, dia masih setia bersama along. Bukan atas dasar cinta, tapi dia tidak akan berhenti selagi bapa saudara along tidak menerima balasannya. Dia begitu berdendam dengan Rizal dan cara dia membalas dendam, adalah melalui along.
“Yang paling I tak boleh terima, ada ke dia tampar I... Belum pernah ada sesiapa dalam dunia ni yang pernah naik tangan pada I, tau tak? My parents pun tak pernah jentik I. Sampai bila-bila pun I akan benci dia. Benci dia sampai mati!” Along meletakkan gelas yang dipegangnya di atas kaunter minuman. Kepalanya sudah pening-pening lalat.
“Senang-senang, you tinggalkan aje rumah tu. Sejak pak su you ada, hidup you kat rumah tu dah tak aman. Dia macam gila kuasa. Semua benda kat rumah tu dia nak kawal.” Ray cuba mengapi-apikan along.
Along mengangguk-angguk. “Memang I dah tinggalkan pun neraka tu. Dia nak sangat kawal rumah tu, ha, ambiklah! I tak heran pun!”
“You boleh tidur rumah I kalau you nak. Parents I tak ada. Dia orang pegi Paris.” Tiba-tiba aje Ray jadi baik. Baik ada makna.
“Mmm… boleh jugak.” Along tersenyum manja.
Ray mencuit hidung along lantas meraih pinggang buah hatinya itu. “Memandangkan sekarang you dah bebas dan tak ada apa lagi yang boleh halang you, apa kata you bagi I cium you sikit.”
“Cium? Mana boleh!” Pantas along menolak wajah Ray yang semakin dekat dengan pipi gebunya. Walaupun sudah beberapa bulan dia berpasangan dengan Ray, tapi Ray hanya berpeluang meraih pinggangnya. Cukup cuma itu. Belum pernah sampai cium-mencium atau sampai ke bilik tidur walaupun sudah berkali-kali Ray mengajaknya melakukan perbuatan itu.
Come onlah, Ari. Kita bukan budak-budak lagi. Dah tak ada siapa yang boleh halang kita,” pujuk Ray. Dia tidak akan berputus asa selagi along tidak jatuh ke perangkapnya malam ini. Kebetulan pula malam ini memang along memerlukan seseorang untuk menemaninya.
Along menggeleng-geleng. “I tak nak. I tak bersedia lagi untuk sampai ke tahap tu.”
Please, AriJust one night!
“Hei, you ni dah gila ke? I bukan bukan perempuan murahan tau!” Along tiba-tiba naik berang apabila jari-jemari Ray semakin nakal.
Ray menghentikan perlakuannya. Orang ramai yang turut minum berdekatan mereka sudah memandang ke arah mereka. Perasaan Ray panas tiba-tiba. Sepantas itu ringan tangannya menghayunkan penampar ke muka along. Along tersembam di kaunter. “Oh, bukan perempuan murahan ya? Yang kau pakai baju tak cukup kain, dedah sana-sini, saja nak tarik nafsu kaum lelaki tu bukan murahan namanya?”
Tergamam along mendengar kata-kata Ray. Tidak disangkanya Ray juga tergamak mengangkat tangan kepadanya. Air matanya bergenang.

“Engkau tu memang murahan, tau tak? Murahan!” Ray menarik tali halus yang menyangkut pada bahu along sehingga tali itu tercabut dan koyak. 


Along menangis sambil menyilangkan kedua-dua belah tangan ke dadanya. Saat ini dia cuma terkenangkan pak sunya. Meminta agar pak sunya datang untuk menyelamatkannya.
Tangan Ray hampir menyinggahi pipi along untuk kali yang kedua, tapi sepantas itu ada tangan lain yang menampannya.
“Tak ada siapa boleh sakiti anak saudara aku!”
Along mengangkat muka. Wajah pak sunya yang garang menentang wajah Ray. Syukur, doanya dimakbulkan.
“Apa, kau ingat kau dah kuat sangat ke?” Ray menolak kuat bahu Rizal.
“Argh!” Tiba-tiba Rizal mengerang kesakitan. Bahunya masih belum sembuh betul selepas ditembak tempoh hari. Bahunya memang mudah terasa sakit walaupun hanya dilanggar atau ditolak perlahan.
“Mak aih, baru tolak sikit dah sakit? Hari tu bukan main perkasa kau ejek nama aku depan orang ramai,” sindir Ray sinis.
Rizal menahan geram yang teramat. Kalau tidak kerana kecederaan ini, alamatnya sudah lama Ray lenyek dibuat lempeng.
“Pak su, pak su tak apa-apa?” Segera along mendapatkan Rizal dan mengusap-usap bahu ayah saudaranya itu.
Rizal mengangguk-angguk. “Pak su tak apa-apa. Along macam mana?”
“Saya pun tak apa-apa,” jawab along sambil mengesat air mata yang masih berbaki di tubir matanya. Terharu dia dengan perhatian yang diberi pak sunya selama ini. Bodohnya dia kerana melabel sikap prihatin Rizal selama ini sebagai penyibuk.
“Jangan kacau anak saudara aku lagi lepas ni. Kalau tak, tahulah nasib kau!” Rizal memberi amaran. Langkah diatur.
“Kau nak buat apa, ha? Nak menjerit macam tadi ke? Jadi bapuk ajelah kau! Balik rumah masak nasi, tunggu laki kau balik lagi bagus!”
Langkah Rizal terhenti. Along memegang tangan pak sunya, berharap pak sunya tidak mempedulikan kata-kata Ray. Namun sebaik berpaling, sebiji tumbukan melayang ke muka Ray. Tubuh Ray terhenyak ke kaunter minuman hingga beberapa biji gelas yang berada di atas kaunter tersebut terjatuh dan pecah.
Suasana menjadi sunyi tiba-tiba. Muzik dan alunan melodi yang rancak dan membingitkan telinga, sudah tiada. Orang ramai yang sedang menari juga turut merenung mereka bertiga.
Rizal memegang bahunya. Pasti selepas ini bahunya semakin susah untuk sembuh. Semakin banyak aktiviti yang dilakukan melibatkan anggota di bahu, tubuhnya dipaksa bekerja lebih kuat daripada biasa.
Ray mengesat cecair merah yang mengalir di tepi bibirnya. Kepalanya terasa pening-pening lalat.
Rizal mengusap-usap kepala along untuk menenangkan anak saudaranya itu. Dia kaget sebentar apabila melihat tali halus yang menyangkut di bahu kiri along sudah putus.
“Along, kenapa ni? Siapa buat?”
Along menggeleng. “Tak, tak ada siapa. Saya yang tak sengaja tertarik tali ni tadi!”
“Tengok tu, masih nak bela dia lagi!”
Along terdiam mendengar jerkahan Rizal.
Sepantas itu Rizal mendekati Ray dan menghadiahkan sebiji sepakan di perut pemuda itu. Terjerit Ray kerana kesakitan. Along  pula sudah terdiam seribu bahasa. Tidak disangkanya Rizal akan berubah seganas itu.
“Ini hamper sebab kau berani buat kurang ajar pada anak saudara aku!” Rambut Ray ditarik. Sebijik lagi penumbuk menyinggahi pipi lelaki itu. “Ini pulak hadiah sagu hati sebab berani naik tangan pada anak saudara aku!”
Ray sudah terkulai lemah di atas lantai. Orang ramai pula bagaikan tidak berani melawan Rizal dan hanya mampu menjadi penonton setia.
Rizal menarik kedua-dua belah pipi Ray, memaksa lelaki itu memandangnya. “Dengar sini baik-baik. Pasang telinga kau! Mulai hari ni, jangan sesekali dekati anak saudara aku lagi, pandang dia pun jangan. Kalau aku dapati kau tak buat apa yang aku suruh, jangan salahkan aku kalau sesuatu terjadi pada kau, faham?”
Ray hanya diam membalas pandangan Rizal.
“Faham tak?!” tempik Rizal lagi. Dia mengangkat tangan bagai ingin menumbuk Ray, tapi pantas Ray menyilangkan kedua-dua belah tangannya untuk melindungi mukanya dari ditumbuk lagi.
“Ya, saya faham, bang. Saya takkan kacau Ariana lagi!”
Rizal tergelak kecil melihat aksi Ray. Memang sesiapa yang pernah merasai penangannya untuk kali pertama akan berasa serik. “I assume you to understand it.” Kemudian pipi Ray dilepas kasar.
“Nah, saya bayar atas semua kerugian tadi!” Rizal mengeluarkan beberapa keping not seratus dan meletakkan di atas kaunter minuman. Terketar-ketar pelayan lelaki itu mengambil sejumlah wang yang ditinggalkan.

Rizal menanggalkan jaketnya dan menyarungkan ke tubuh along. Dia tidak suka melihat tubuh along terdedah seperti itu.

*******************************

ALONG tersentak daripada lamunan apabila Rizal muncul dihadapannya sambil menyuakan secawan kopi panas. Tanpa mengucapkan terima kasih, along terus mengambil cawan kertas yang dihulurkan itu lantas menghirup kopi panas itu perlahan-lahan. Tubuh dan fikirannya terasa segar sedikit.

Rizal terus duduk di sebelah anak saudaranya itu. Penutup Maggi cup ditarik. Seronoknya makan Maggi kat kaki lima 7-Eleven. Sengaja dia bawa along ke sini untuk berbincang. Malam ini dia mahu berbincang dari hati ke hati. Dia tidak mahu lagi ada sebarang sengketa antara dia dan along.
“Nak?”
Along menggeleng.
“Along tau tak, pak su dulu masa kat akademi, selalu makan Maggi. Kat sana disiplin tinggi. Makan malam awal, jadi cepat lapar. Tengah-tengah malam tu ajelah boleh curi-curi makan bawah selimut,” cerita Rizal sambil menyuapkan Maggi kari ke dalam mulutnya.
Along hanya diam tanpa memberi sebarang respons. Dia asyik merenung cawan kopi yang panas meruap di tangannya.
“Dulu, masa sebelum masuk akademi, pak su tak pernah makan Maggi sebab mama dengan papa pak su, maksudnya nenek dengan atuk along, dia orang tak bagi pak su makan benda-benda mengarut macam ni. Dia orang kata boleh lembabkan otak. Tapi, bila masuk aje akademi, inilah yang jadi makanan kegemaran pak su sampai sekarang.” Rizal galak bercerita walaupun dia tahu along tidak akan membalas kata-katanya. Tujuannya hanya mahu along kembali ceria dan tidak terlalu memikirkan peristiwa di pub tadi.
“Pak su…” Along bersuara perlahan. “Saya… Saya minta maaf.” Tiada lagi suara kasar dan garang setiap kali berkomunikasi dengan Rizal. “Saya selalu kurang ajar dengan pak su selama ni. Pak su tegur baik-baik, saya selalu balas dengan tengkingan.”
Rizal terdiam mendengar kata-kata along. Buat pertama kalinya dia mendengar along bertutur selembut ini. Kalau tidak, sikit-sikit nak memberontak. “Sudahlah, along. Pak su tak ambik hati pun. Biasalah, along masih remaja. Darah tengah panas. Pak su pun nak mintak maaf sebab selalu banding-bandingkan along dengan angah dan adik.”
“Tak, pak su memang betul. Saya memang degil, tak dengar kata. Saya cuma nak orang lain lebih beri perhatian pada saya. Lepas ibu dan abah meninggal, saya rasa kesunyian. Saya harap bila saya berperangai macam tu, Abang Khai akan lebih prihatin dan selalu bertanya pasal saya, tapi nampaknya dia makin tak sukakan saya.” Along mengesat air matanya.
“Tak, along. Rasanya along dah salah anggap tentang sikap dia. Mungkin dia pun dah tak kuasa nak nasihatkan along lagi. Atau, mungkin dia fikir along dah besar, along dah boleh fikir sendiri mana baik dan mana yang buruk.”
“Tapi, saya tak setabah tu, pak su. Saya tak kuat. Saya rasa seolah-olah dunia ni dah kiamat bila mata saya tengok sendiri ibu dan abah dikafan dan dikebumikan,” luah along.
Rizal diam mendengar luahan along.
“Saya… saya rindu ibu dan abah. Saya sangat rindukan dia orang.”
Rizal mengusap-usap belakang along dan membawa anak saudaranya itu ke dalam pelukannya. “Tak salah untuk luahkan perasaan. Jangan malu untuk luahkan apa yang terbuku di hati kita sebab sedikit sebanyak ia boleh meringankan beban yang kita tanggung. Menangislah, kalau itu dapat tenangkan hati along.”
Along terus menangis teresak-esak. Dalam hidupnya, baru kali ini dia merasa setenang itu. Ya, kematian ibu dan abah adalah qada dan qadar Allah. “Pak su.” Pelukan dileraikan.
“Yup!”
“Boleh saya panggil pak su, abah? Sama macam angah dengan adik?” Teragak-agak along menyatakan hasratnya itu.
Rizal tersenyum dan mengangguk. “Abah suka kalau along panggil abah dengan panggilan tu. Along anak abah.”
Bibir Along mula mengukir senyuman. Kemudian dia berjalan beriringan bersama Rizal menuju ke kereta.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

3 comments:

sherita said...

huhu...
garangnya abah...T_T

sharif said...

eh,citer ni dlm proses penilaian ke?? rasanya mmg patut dibukukan ^_^

Anonymous said...

cpt SAMBUNG!!!