Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Sunday, April 19, 2015

Kau Bidadariku... 13

“ESOK kan kerja, buat apa balik?” Itu soalan pertama yang keluar dari bibir Asnawi saat melihat kereta Adam meluncur memasuki perkarangan rumahnya. Dia ketika itu duduk bersendirian di pangkin sambil membaca surat khabar.

            “Abah ni macam tak suka je Nadya datang,” ujar Nadya memuncungkan mulutnya. Pura-pura merajuk.

            “Bukannya macam tu. Kan esok kerja, tak letih ke?” Asnawi bertanya lagi.

            “Balik hari je, abah. Lalu highway, tak lama pun. Dua jam je dah sampai,” tutur Adam pula dengan senyuman yang meleret. Tangan Asnawi dicapai lalu dicium hormat.

            Asnawi sekadar tersenyum dan membawa kedua-duanya masuk ke dalam rumah. Sememangnya hanya Nadya dan Adamlah yang boleh diharapkan sering pulang menjenguknya di kampung ini. Hilanglah juga sedikit rasa bosan dihujung minggu.

            “Abah dah makan?” Nadya meletakkan beg plastik di atas meja ruang tamu.

           “Minum teh aje. Boring duduk sorang-sorang, tu yang abah lepak dekat depan. Nadya dengan Adam tak bagitahu nak balik, kalau tak mesti abah dah masak tadi.”

            “Ish, buat apa nak masak? Nadya dengan Adam dah makan pagi tadi. Ni hah, Nadya ada masak sambal petai, sayur dengan ayam goreng, lauk favourite abah.”

            Nadya menunjuk beg plastik yang dipegangnya lalu mengeluarkan mangkuk tingkat berisi lauk pauk yang dimasaknya sejak pagi tadi.

            “Yelah, letak aje kat situ. Makan tengah hari sikit. Baru pukul 10. Abah tak lapar lagi sekarang,” ujar Asnawi. Dia melabuhkan punggung ke kerusi kayu di ruang tamu.

            “Abah, sorry kitorang dah lama tak balik sini. Baru-baru ni Adam dengan Nadya busy sikit.” Adam membuka bicara setelah mengambil tempat duduk disebelah isterinya.

            Asnawi tertawa kecil.

            “Tak apalah. Baru tak balik 3 minggu. Kalau nak dibandingkan dengan Ainul tu, jangan haraplah. Sejak berlakikan orang Penang, susah nak balik. Kali terakhir balik pun masa raya jelah,” omel Asnawi panjang lebar, namun wajahnya tetap tersenyum ceria.

            “Armand tak balik ke, abah? Kan hari ni hujung minggu?” soal Nadya pula, matanya melilau mencari wajah anak saudara kesayangannya.

            “Dia kata ada exam. Elok juga dia duduk dekat asrama tu, ada kawan-kawan belajar. Kalau balik sini pun abah bukan reti nak mengajar,” seloroh Asnawi pula.

            Adam dan Nadya sekadar melorekkan senyuman. Masing-masing berdiam diri untuk beberapa saat sebelum Adam bersuara lagi.

            “Sebenarnya busy sikit haritu sebab kembar Hafiz. Abah tahu kan pasal tu?”

           Asnawi mengerutkan dahi. “Benda dah lama kot. Bertahun-tahun cakap nak cari kembar Hafiz, tapi tak jumpa-jumpa jugak. Berhenti jelah, mungkin bukan rezeki Tan Sri dengan Puan Sri jumpa anak diorang kat dunia. Insya-Allah kat akhirat nanti berjumpa semula. Kita orang luar ni tak perlu masuk campur sangat hal keluarga orang lain.”

            Nadya tertawa spontan mendengar bicara panjang lebar dari abahnya.

            “Sebenarnya dah jumpalah, abah!” beritahunya dengan tawa yang masih bersisa. Kelakar betul, Adam baru cakap satu ayat, abahnya dah buat ulasan sepanjang satu perenggan karangan.

            Asnawi melopong untuk seketika. Dia menoleh kepada Adam mencari kepastian. Adam pula mengangguk, mengiakan kata-kata isterinya tadi.

            “Alhamdulillah, abah. Takdir Allah,” ujar Adam. “Patutlah selama ni tak jumpa, rupa-rupanya Hafizuddin tu dah tukar nama sejak kecil. Yusof upah orang untuk cari lokasi dia. Kalau tak, memang sampai beruban pun takkan jumpa kot!”

            Berjela Asnawi ketawa. “Aik, beruban? Perli abah ke ni?” Dia meraba-raba sedikit rambutnya yang telah putih dimamah usia.

            “Eh, mana ada. Kesitu pulak abah ni.” Adam menyanggah turut ketawa.

            “Tukar nama? Habis tu apa namanya sekarang?”

            “Muhammad Hafiz Adrian. Tapi orang panggil dia Adrian.” jawab Nadya pula.
         
            “Oh, orangnya macam mana pulak? Lawa tak?”

            Nadya terkebil-kebil seketika mendengar soalan itu. Perlukah dia menjawabnya? Dia berdehem seketika, sempat menjeling ke wajah Adam yang sudah sedikit lain.

            “Muka dia macam arwah Hafiz lah, abah.” Nadya memberi jawapan selamat sambil mengerling suaminya. Hmm… Adam, cemburunya tak habis-habis!

            Asnawi tersenyum lagi. “Maknanya lawalah. Hafiz tu lawa orangnya, muka K-pop. Hahaha… Adam pulak lawa mat saleh.”

            Adam sekadar mengetap gigi dan mempamerkan senyuman terpaksa. Kot ya pun janganlah puji lelaki lain depan menantu sendiri, abah. Lelaki tu dahlah mukanya macam bekas tunang isteri saya, gumamnya.

            “Hah, dah alang-alang Nadya dengan Adam datang hari ni, jomlah kita minum air kelapa muda. Kebetulan abah baru kait lepas subuh,” ujar Asnawi yang langsung tidak menyedari perubahan pada riak wajah menantunya. Bibirnya masih mengukir senyuman.

            “Jom, jom, ikut abah ke belakang!” ajak Asnawi yang sudah mengangkat punggung.

            Nadya turut bangun, ingin membuntuti langkah abahnya. Sebaik Asnawi sudah berlalu meninggalkan ruang tamu, Nadya menoleh kepada Adam yang masih mengeraskan tubuh di kerusi.

            “Abang, jomlah.” Dia menyentuh bahu suaminya.

            Adam tersenyum hambar, namun tidak menjawab. Masih diam dan duduk disitu.

            “Abang, jangan buat muka macam ni. Nanti abah nampak. Jom kita minum air kelapa,” pujuk Nadya lembut. Jari-jemari suaminya diraih dan ditarik perlahan.

            Hati Adam cair juga dengan kesungguhan isterinya. Dia kembali memaniskan muka dan menuruti langkah Nadya ke ruang belakang.

            Nadya hanya mampu menggeleng. Sejak berkahwin, ini kali pertama dia melihat Adam secemburu ini. Baru abah memuji lelaki lain, Adam sudah buat muka kelat. Tak relevan langsung mahu cemburukan Adrian. Padahal sejak kenduri dua minggu yang lalu, dia sendiri sudah tidak bertemu dengan lelaki itu.

            Harus berapa kali dia mengatakan bahawa dia tidak menyukai Adrian dan Adrian juga tidak tertarik kepadanya? Susah kalau dah cemburu buta!
*********************

ADRIAN menghela nafas perlahan. Air wajahnya yang tenang merenung batu nisan berukir nama Naim Mohd Hafiz dihadapannya. Perlahan-lahan dia duduk berteleku ditepi pusara yang berdindingkan marmar dan pokok puding kecil itu dengan bibir yang terkumat-kamit membacakan doa, memohon kepada Allah agar roh saudara kembarnya itu sentiasa dicucuri rahmat.

            Tan Sri Jamaluddin yang duduk bersila disebelah Adrian menoleh kepada Puan Sri Azila. Pandangan mata mereka bertembung untuk beberapa ketika saat mendengar suara Adrian yang begitu lancar sebutannya membaca pelbagai surah-surah Lazim.

          Terkelu mereka apabila mendengar Adrian fasih mengalunkan surah Yaasin dari awal sampai akhir tanpa perlu membuka buku surah yang mereka bawa dari rumah.

            Adrian hafal surah Yaasin? Hebat, Puan Sri Azila memuji dalam hati.

           Rupa-rupanya masih banyak yang dia belum tahu tentang Adrian. Betul ke Adrian belajar di Australia? Dari gaya dan perwatakan Adrian, macam banyak menuntut ilmu agama. Tak macam menuntut di negara orang putih pun.

            Puan Sri Azila menyimpan segala persoalan yang berlegar-legar dikepalanya untuk sementara dan turut membaca surah Yassin mengikut gerak bibir anaknya. Selepas menziarahi pusara Hafiz, mereka singgah untuk minum petang di Cinta Aisha’s Café.

            Melihat kelibat Adrian yang masuk ke kafe tersebut, Dania yang khusyuk dengan kerja sekolahnya terus berlari mendapatkan ayah angkatnya itu.

            “Dania tak sekolah hari ni?” soal Adrian saat Dania berada dalam dukungannya.

            “Tak, hari ni kan hari Ahad,” jawab Dania manja. Tangannya memeluk leher Adrian bagai melepaskan rindu kerana sudah lebih 2 minggu tidak bertemu.

            “Kenapa uncle dah lama tak datang sini? Uncle tak nak datang sebab Dania suka minta hadiah ke? Tapi Dania suka hadiah yang uncle bawak…” Mulut Dania tidak henti-henti berceloteh dengan bibir yang sengaja dimuncungkan.

           Terbahak Adrian ketawa. Kakinya melangkah masuk ke kafe. Terhibur Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila melihat kedua-duanya. Rapat macam anak-beranak.

            “Eh Adrian, kenapa datang tak call dulu?” Daniel yang keluar dari ruang dapur terus menerpa. Dia mendakap tubuh Adrian dan mencium tangan Tan Sri Jamaluddin.

            “Tak plan pun nak datang. Tadi aku dengan ibu ayah aku pergi kubur arwah Hafiz. Alang-alang free hari ni, aku ajak diorang singgah kafe kau. Ibu dengan ayah aku pun teringin nak tengok sebab aku bagitahu kafe kau ni cantik, makanan pun sedap-sedap!” seloroh Adrian seraya terkekeh ketawa.

            Daniel tersenyum sinis. “Kau tak payah kipas akulah, Adrian. Kalau nak makan free, bagitahu je. Bila-bila masa aku on.”

            “Uncle, aunty, jemput duduk dulu. Nanti saya bawakan buku menu.” Daniel mempersilakan ibu bapa Adrian duduk di sebuah meja bulat vintage yang disediakan.

            “Dania, pergi buat kerja sekolah, sayang. Esok cikgu nak tengok, kan?” Daniel ingin mengambil Dania dari dukungan Adrian, namun anak kecil itu memuncungkan mulut dan memeluk leher Adrian dengan lebih erat.

            “Nantilah, Dania nak jumpa uncle,” rengeknya manja.

            Adrian senyum senget. “Nantilah, Danny. Kasi dia duduk dengan aku kejap.”

            Daniel tergeleng sendiri. Dania kalau dah dapat Uncle Adrian dia,  jangan harap nak pandang benda lain. Akhirnya dia beralah dan bergerak ke kaunter untuk mengambil buku menu.

            Adrian melabuhkan punggung di sebuah kerusi bistro bertentangan dengan ibu dan ayahnya. Dania yang tidak mahu berenggang dengannya itu diletakkan di atas riba.

            Tidak lama selepas itu Daniel kembali bersama dengan dua buah buku menu dan menyuakan kepada Tan Sri Jamaluddin serta Puan Sri Azila.

            “Uncle dengan aunty boleh pilih nak makan apa. Beritahu je, saya belanja!”

            “Tak payah belanjalah, aku boleh bayar. Kau meniaga, kan?” jawab Adrian pula.

            Daniel tersengih sumbing. “Okey, suka hati kaulah. Kalau kau nak bayar, kecil tapak tangan, Stadium Shah Alam aku tadahkan!”

            Dua sahabat itu ketawa berderai-derai. Sekali lagi Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila saling berpandangan. Bila ada Daniel baru Adrian akan ketawa. Kenapa ya? Itu persoalan yang sekian lama bermain di minda dan tidak mereka temukan jawapannya.

            “Oh ya, dah dapat nak makan apa, uncle? Aunty?” Daniel beralih kepada ibu bapa Adrian pula.

            Kedua-duanya yang dari tadi asyik memasang telinga mendengar perbualan Adrian dan Daniel sedikit tersentak tiba-tiba diajukan soalan.

            Puan Sri Azila terus membelek buku menu, melihat senarai makanan dan minuman sepintas lalu.

            “Dah petang ni makan benda-benda ringan jelah. Beri aunty apple cardamom cake dengan caffe latte.”

            “Samalah, beri dua.” Tan Sri Jamaluddin menutup buku menu.
            “Orite. Kau Adrian, nak order apa?”
            “Aku tak rasa nak makan. Bagi kapucino panas je.”

            Daniel mengangguk sahaja. Sebelum melangkah pergi, pipi montel Dania dicubitnya perlahan. Geram melihat anaknya yang semakin membesar sihat itu.

            Adrian tersenyum tepi. Kepala Dania dikucupnya penuh kasih.

            “Rambut panjang ni, kenapa tak ikat?” Tangan Adrian menyisir-nyisir rambut Dania yang separas bahu itu.

            “Kawan Dania hilangkan getah rambut Dania. Dia pinjam lepas tu dia tak bagi balik,” adu Dania manja.

            “Aik, takkan getah ada satu je. Abah dengan ummi tak beli banyak-banyak ke?”

            “Abah dengan ummi dah tak sayang Dania. Dalam perut ummi ada baby. Abah dengan ummi sayang adik Dania je,” luah si kecil itu petah. Sedikit suram wajahnya.

            Sekali lagi segaris senyuman terukir di wajah Adrian. Kanak-kanak memang jujur dan polos.  Dia mengerti apa yang dirasai oleh Dania. Pastinya dia merasa terabai kerana Daniel kini lebih memberi tumpuan kepada Cinta yang sedang berbadan dua itu. Yalah, sebelum ini dia anak tunggal dan dimanjai, sekarang tiba-tiba terpaksa berkongsi kasih.

            “Tak bolehlah cakap macam tu, Dania. Abah dengan ummi sayang Dania, tapi abah dengan ummi kena jaga adik Dania lebih. Adik Dania dalam perut lagi. Adik Dania tak boleh makan sendiri, tak boleh jalan sendiri. Dania kakak, jadi Dania dah besar sekarang. Nanti adik Dania dah lahir, Dania pun kena jaga adik. Dania pun kena sayang adik, okey?” pujuk Adrian, cukup lembut suaranya demi mententeramkan hati si kecil itu.

            Dania yang tunduk dengan mulut yang sengaja dimuncungkan sedari tadi hanya mengangguk akur dengan kata-kata ayah angkatnya.

            Adrian menguntum senyum. Pipi Dania yang gebu dan montel itu diciumnya. Ada rasa tenang dan bahagia setiap kali menatap wajah polos anak dara Daniel ini. Tak ada anak sendiri, anak angkat pun jadilah.

            “Anak Daniel ni manja ya dengan Adrian? Sampai tak nak lepas tu,” usik Puan Sri Azila. Tersenyum luas dia melihat telatah Dania.

            “Dari dia baby lagi Adrian suka main dengan dia. Dia biasanya jarang pergi dekat ummi dia sebab ummi dia sibuk dengan kerja ofis. Adrian dah macam ayah kedua dia,” cerita Adrian.

            Dania yang manja diatas riba Adrian sudah leka dengan dunianya sendiri. Dia menyeluk kocek seluar Adrian dan mengambil telefon bimbit ayah angkatnya itu.

            “Dania nak main game,” pinta kanak-kanak itu.

            Adrian terus menyentuh skrin Iphone nya dan menekan aplikasi permainan yang dimuat turun ke dalam telefon bimbit. Setelah itu dia membiarkan Dania leka bermain dengan telefonnya.

            Adrian hanya mampu menggeleng. Budak-budak zaman millennium, jarang nak berenggang dengan alatan teknologi.

            “Adrian.”
            “Yup?” Adrian memandang wajah ayahnya yang agak serius itu.
            “Macam mana Adrian boleh hafal surah Yaasin?”

            Adrian mengelipkan mata. Hampir sahaja meletus tawanya. Tanya soalan macam tu pun nak buat muka ketat ke?

           Macam mana? Kerana dia pernah kehilangan dua orang insan yang paling dia sayangi –Puan Sophia dan Jessica. Hampir setiap malam dia membacakan surah Yaasin untuk kedua-duanya. Itu sudah menjadi rutin kebiasaan sejak beberapa tahun yang lalu.

            Tiada apa-apa yang istimewa. Mengamalkan bacaan surah tersebut hampir setiap hari yang membuatkan dia mampu mengingatinya, bukan kerana dia sengaja menghafal.

            “Adrian suka baca Yaasin, jadi secara automatik Adrian terhafal surah tu. Amalkan baca setiap malam, insya-Allah kita akan ingat.”

            Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila terdiam. Sedikit terkejut bercampur takjub. Di usia senja begini, mereka berdua masih sibuk dengan urusan duniawi. Hal pejabat, kawan-kawan, makan malam, kelab sana-sini dan main golf. Tiba-tiba terbit rasa malu kepada anak mereka sendiri yang baru sahaja masuk usia 30 tahun.

            “Apa pandangan ibu dan ayah? Kafe Daniel ni cantik, kan?” Adrian melencongkan topik perbualan. Dia agak keberatan untuk mengulas lebih lanjut mengenai jawapannya sebentar tadi.

            Puan Sri Azila melebarkan senyuman. Bola matanya memerhati ke segenap ruangan kafe milik Daniel itu. Kafe yang bertemakan vintage dan rustic. Tampak ekslusif  dengan sebahagian dindingnya yang terdiri daripada brick walls dengan kombinasi barnwood, old warehouse lighting fixtures dan rusted wire chandeliers.

            “Ini salah satu branch Cinta Aisha’s Café. Daniel ada lagi dua cawangan kat tempat lain, tapi dia jarang pergi sana. Daniel biasanya akan duduk sini je sebab dekat dengan rumah dan senang nak jaga Dania,” beritahu Adrian.

            Tan Sri Jamaluddin mengangguk-angguk dengan penuh rasa kagum. Sahabat baik Adrian itu bukan calang-calang juga orangnya. Muda lagi sudah ada bisnes sendiri. Idea dan dekorasi kafe juga tampak segar, bukan seperti kafe-kafe biasa yang dikunjunginya.

            “Ibu rasa ibu macam pernah nampak kafe ni, Adrian. Dalam majalah deko, kawan ibu ada tunjuk sebab katanya nak ambil ilham dekorasi kafe ni,” ujar Puan Sri Azila.

            “Aah, betullah tu. Kafe ni pernah masuk majalah dan surat khabar beberapa bulan lepas. Wartawan majalah nak interview sebab katanya kafe ni macam kafe kat oversea, fresh look for Malaysians,” sambut Adrian. Bersungguh dia bercerita mengenai kejayaan sahabat baiknya. Memang dia berbangga kerana Daniel bermula dari titik kosong untuk sampai ke tahap ini.

            Dan dia tidak pernah menganggap dirinya sebagai penyebab Daniel berjaya walaupun dia yang memberikan modal permulaan untuk kafe ini. Jika bukan atas hasil usaha dan kebijaksanaan Daniel sendiri, pasti perniagaan ini juga tidak akan ke mana.

            “Isteri Daniel tu mana? Ibu selalu nampak Daniel sorang je,” soal Puan Sri Azila.

            “Oh, isteri Daniel ada company keluarga. Kerja tak menentu. Nasib baik Daniel tu buka kafe, kerja sendiri, so tak terikat dengan sesiapa. Kalau tak mesti tak ada siapa nak uruskan Dania ni,” ujar Adrian pula. Kepala Dania yang masih leka dengan telefon bimbitnya diusap-usap perlahan.

            Puan Sri Azila mengangguk-angguk. Dia tersenyum sendiri melihat Dania. Alangkah indahnya kalau di usia begini dia sudah memiliki cucu. Ada juga teman untuk diajak bermain dan berborak dikala kebosanan. Duduk di banglo mewah itu pun tiada sesiapa melainkan suaminya serta Mak Munah. Tapi suaminya itu bukan jenis lekat rumah. Suka keluar melepak dengan rakan-rakan bisnes dan bermain golf.

            “Ibu dah 7 tahun menunggu cucu, tapi sampai sekarang tak dapat-dapat.”

            Tertaut kening Adrian mendengar bicara ibunya.

            “Ibu ada anak lain selain Adrian dengan Hafiz ke?”

            “Eh, tak adalah.” Puan Sri Azila ketawa kecil. “Maksud ibu, Nadya dengan Adam. Dah lama diorang kahwin, tapi sampai sekarang tak ada anak. Yalah, ibu pun tak boleh nak cakap lebih-lebih. Takut Nadya tu terasa hati. Mungkin belum ada rezeki.”

            “Oh… ibu dengan ayah rapat dengan diorang, ek?”

            “Mestilah, dah lama kenal. Ibu dah anggap Nadya tu macam anak ibu sendiri. Sebab tu ibu beri butik pakaian ibu pada dia. Alhamdulillah, dia mampu uruskan dengan baik. Dia kreatif, dah macam-macam jenis design baju dan fesyen untuk muslimah dia reka ekslusif untuk butik tu. Jual secara online pun ada!”

            Adrian diam sahaja dan hanya memasang telinga mendengar cerita ibunya. Dia lihat Puan Sri Azila cukup senang bercerita tentang wanita bernama Nadya itu.

            Baguslah… sekurang-kurangnya semenjak pemergian arwah Hafiz, ada yang sudi mengisi kekosongan hati ibunya. Ada juga yang sudi menjadi pengganti arwah Hafiz.

            Dia pula? Dia kini sudah memiliki Puan Sri Azila sebagai pengganti Puan Sophia. Tapi Jessica? Hmm… tidak. Jessica Lidya Arfan hanya ada satu. Tiada galang gantinya. Hanya gadis itu yang dicintainya dan dia mahu selama-lamanya kekal begitu.

      “Ish, ibu tiba-tiba rindu Nadya. Dah lamalah tak pergi butik borak dengan dia. Esok Adrian teman ibu, boleh tak? Ibu nak pergi butik jumpa Nadya.”

            Adrian terpaku sejenak dengan permintaan Puan Sri Azila itu. Dia mengerling sekilas pada Tan Sri Jamaluddin yang hanya mengangkat bahu.

            “Ayah tak boleh pergi. Esok satu hari jadual ayah padat,” ujar lelaki korporat itu seakan memahami maksud kerlingan mata anaknya.

            Puan Sri Azila mencemik. “Abang tu memang. Bila saya ajak je selalu busy.”

         “Eh, dah memang abang busy kot. Lainlah kalau Adrian ambil alih, baru abang temankan Zila pergi mana-mana Zila nak,” bidas Tan Sri Jamaluddin membela diri.

            Puan Sri Azila mengecilkan mata, buat riak tak puas hati pada suaminya. Tan Sri Jamaluddin membalas dengan melemparkan senyuman sinis. Pipi isterinya ditarik membuatkan Puan Sri Azila menyeringai perlahan.

            “Sakitlah…” Puan Sri Azila menggosok-gosok pipinya.

            Adrian tersenyum tepi melihat gelagat mereka. Amboi, boleh tahan romantik juga ibu dan ayahnya itu. Baru hari ini dia tahu. 

            “Pukul berapa ibu nak Adrian teman?”
            Mata Puan Sri Azila bersinar ceria mendengar pertanyaan Adrian.
            “Esok waktu lunch, boleh?”
            “Insya-Allah, Adrian beritahu secretary Adrian nanti.”

            “Terima kasih. Sayang anak ibu ketat-ketat.” Bibir Puan Sri Azila mengukir senyuman lebar.

            Adrian tidak bersuara. Sekadar membalas dengan senyuman nipis. Kalau diikutkan dia memang boleh menolak permintaan itu kerana esok adalah hari Isnin, hari bekerja. Tapi masakan dia tegar untuk menghampakan ibu kandungnya?

            Selagi dia mampu, maka dia akan berusaha sedaya-upaya untuk memenuhi apa jua permintaan orang yang sudah melahirkannya dengan segala jerih kepayahan itu. Kepada siapa lagi dia harus berbakti kalau bukan kepada ibu bapa sendiri?

            “Sorry sebab lambat, banyak order customer.”

            Daniel muncul bersama dulang berisi makanan dan minuman yang dipesan tadi.

            “Tak adalah, aku leka berborak. Tak rasa lama pun,” ujar Adrian seraya membetulkan duduknya. Dia mengambil piring apple cardamom cake di atas dulang tersebut dan menghulurkan kepada ibu dan ayahnya.

            “Mehla duduk, kita borak sekali.” Daniel menggeleng mendengar ajakan Tan Sri Jamaluddin.

       “Maaf, saya sibuk sikit. Kat dapur ada banyak order belum siap. Setengah jam lagi saya datang. Kalau ada apa-apa atau nak pesan makanan boleh panggil saya.”

            Tan Sri Jamaluddin mengangguk. Dia kagum melihat suasana kafe milik Daniel yang tidak putus-putus dengan pelanggan itu. Meskipun sudah punya ramai pekerja, namun Daniel tidak duduk goyang kaki. Dia turut sama turun padang menyiapkan pesanan makanan, minuman dan menjadi pelayan.

            Patutlah boleh berjaya. Dia memang tekun buat kerja, Tan Sri Jamaluddin sempat pula memuji dalam hati.

            “Adrian.” Tan Sri Jamaluddin mahu bertanya lagi.
            “Ya, ayah?”

            “Adrian ada Daniel je ke? Adrian tak ada girlfriend?” Lelaki berusia lebih separuh abad itu melantunkan soalan yang sudah sekian lama bergelut dihatinya. Hairan juga, takkan anaknya yang hebat bekerjaya dan berparas tampan itu masih belum berpunya.

            Adrian terpempan. Anak matanya sempat melirik ke arah Puan Sri Azila yang turut sama merenung dirinya dengan mulut yang sedang mengunyah kek. Kedua-duanya kelihatan berminat ingin tahu.

            Jessica…

            Nafasnya dihela perlahan bersama bayangan wajah si gadis jelita yang begitu menggetarkan perasaannya.

            Habisnya dia hanya tersenyum seraya meneguk kapucino panas yang terhidang di atas meja. Soalan itu dibiarkan tergantung begitu sahaja.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

4 comments:

ain said...

bilalah adrian ni nak move on....jessica dh lme xde

Liyana Azman said...

so sweet adrian dgn dania

Eddayu said...

Alololo... sweetnye Dania dgn uncle Adrian smpai Daniel pun ditolak ketepi.. ;)

E-la Adiey said...

Adrian dgn Dania mmg sweet. hahaha