Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Friday, November 9, 2012

Amar Farish 18

Kedatangan Dato’ Sharif dan Datin Aliah ke rumah sewa Zahra disambut baik oleh Zahra serta emak dan ayahnya yang baru tiba dari kampung.

            Selepas bersalam dengan Datin Aliah, Zahra terus ke dapur untuk membancuh air. Sejujurnya dia malu dengan kedatangan ibu bapa Farish ke sini. Tidak tahu di mana mahu disorokkan muka selepas berlakunya insiden yang memalukan itu.

            “Err… anak Dato’ dan Datin tak datang sekali ke?” soal ayah Zahra, Pak Cik Yusuf setelah memperkenalkan dirinya dan isterinya.

            “Dia…”

            “Dia masih di ofis. Banyak kerja katanya.”

            Pantas Dato’ Sharif memotong kata-kata isterinya. Sebenarnya Farish berada di villa sekarang. Kata Farish, dia masih belum bersedia untuk menebalkan muka bertemu ibu bapa Zahra kerana dia tahu ini memang salahnya kerana membawa Zahra keluar malam itu.

            “Tak usahlah panggil kami Dato’ dan Datin. Saya Sharif, ini isteri saya Aliah. Panggil nama saja kedengaran lebih akrab. Kita kan bakal besan, betul tak?” ujar Dato’ Sharif cukup ramah.

            Pak Cik Yusuf dan Mak Cik Nurul sedikit terpinga-pinga. Mereka sebenarnya sudah tahu tentang rancangan ibu bapa Farish untuk menyatukan Farish dan Zahra selepas Zahra menceritakan segalanya melalui telefon, tapi tidak sangka pula Dato’ Sharif ingin membincangkan perkara tersebut secepat ini. Tambahan pula keluarganya cuma berasal dari kampung, Dato’ Sharif tidak terfikirkah tentang pangkat dan kedudukannya?

            “Saya tahu mungkin perkara ni agak cepat tapi saya rasa eloklah kita satukan Farish dan Zahra dengan segera,” sampuk Datin Aliah.

            Zahra yang berada di dapur dapat mendengar dengan jelas butir bicara Datin Aliah itu. Hatinya menjerit tidak mahu. Untuk apa dia menikah dengan orang yang tidak mencintainya?

            “Tapi, tak rasa cepat sangat ke?” soal Mak Cik Nurul pula.

            “Nak tak nak, kita terpaksa. Kalau perkara ni dilambat-lambatkan, Farish dengan Zahra terpaksa turun naik mahkamah dan ini akan menjatuhkan imej syarikat dan suami saya,” jelas Datin Aliah cukup lembut namun tegas.

            Mak Cik Nurul memandang wajah suaminya yang pucat. Kesihatan suaminya semakin memburuk semenjak kes Zahra ditangkap khalwat. Batuknya tidak henti-henti hingga kadang-kala keluar darah daripada mulutnya.

            Ibu bapa mana yang tidak kecewa. Inikah balasan untuk mereka setelah mereka bersusah payah menyekolahkan anak tinggi-tinggi sehingga ke peringkat universiti?

            Zahra cuba menjenguk ke ruang tamu. Dia tidak berani untuk keluar dan berhadapan dengan Dato’ Sharif dan Datin Aliah. Tidak semena-mena air matanya bertakung melihat wajah pucat ayahnya.

            Ayah, maafkan Ara kerana tak mampu jadi anak yang baik. Ara dah memalukan nama baik keluarga. Dalam keadaan ayah sakit pun Ara tergamak buat ayah macam ni. Mak, ayah, ampunkan Ara… bisik hatinya pilu.

            “Terserahlah. Saya ikut aja apa yang Sharif dan Aliah fikirkan betul,” luah Pak Cik Yusuf akhirnya.

            Tidak!!! Hati Zahra menjerit. Ingin sahaja dia keluar dan membantah tapi dia tidak berdaya. Apakah dia masih mempunyai hak untuk bersuara setelah tergamak memalukan ibu bapanya sendiri?

            “Baguslah kalau begitu. Sebelum berita ni sampai ke pengetahuan orang luar, marilah kita cepat-cepat satukan mereka,” gesa Datin Aliah menerbitkan senyuman diwajahnya. Sedikitpun dia tidak menunjukkan riak tidak puas hati atau marah kerana akhirnya berbesan dengan orang kampung.

            “Tapi Dato’ dan Datin betul-betul tak kesah ke?” Mak Cik Nurul bertanya menginginkan kepastian. Dia sedikit spektikal kerana Dato’ Sharif dan Datin Aliah begitu mudah menerima orang yang tidak dikenali menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

            Atau mungkinkah dia yang cepat terpengaruh dengan filem P.Ramlee, Antara 2 Darjat dan sinetron-sinetron Indonesia di TV3?

            Dato’ Sharif tersenyum.

            “Sebab tak kesahlah kami datang sini. Kami nak berjumpa sendiri dengan ibu bapa bakal menantu kami. Kami nak datang meminang secara baik. Tapi kalau boleh, biarlah pernikahan ni dilakukan secara rahsia dulu. Biar kita-kita aja yang tahu. Nanti bila kes ni dah reda barulah kita buat majlis kahwin.” Dia menjelaskan sekaligus mengusulkan cadangan.

            Pak Cik Yusuf dan Mak Cik Nurul mengangguk sahaja. Mereka bersetuju dengan setiap cadangan yang diutarakan Dato’ Sharif sekiranya untuk dapat menjaga reputasi Media Art & Craft dan nama baik Dato’ Sharif sendiri.

            Jauh disudut hati, rasa rendah diri tetap ada. Maklumlah, mereka cuma orang kampung, apalah yang mereka tahu tentang syarikat dan kehidupan di kota. Asalkan cadangan itu tidak merugikan Zahra, mereka bersetuju tanpa bantahan.

            Dan Zahra yang sedari tadi mencuri dengar perbualan orang tuanya dari dapur  hanya mampuu menahan rasa sakit hati yang bersarang dihatinya. Betapa robek hatinya apabila ibu bapanya langsung bersetuju untuk menyatukan dia dan Farish tanpa bertanya sama ada dia bersetuju atau tidak.

************
“Aku terima nikahnya Zahratul Jannah binti Yusuf dengan mak kahwinnya RM80 tunai…”

            Masih terngiang-ngiang ditelinganya saat Farish melafazkan akad. Namun ketika itu, Zahra langsung tidak menitiskan air mata. Tidak tahu sama ada dia gembira atau sedih dengan pernikahan ini. Jelas wajahnya hanya menunjukkan pasrah saat itu.

            Majlis pernikahannya diadakan dalam suasana yang cukup sederhana. Hanya jiran-jiran terdekat, Jue, Rudy dan kedua ibu bapanya yang hadir menyaksikan upacara pernikahan tersebut.

            Perkahwinan itu dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Rakan-rakan bisnes Dato’ Sharif mahupun teman-teman Datin Aliah sendiri tidak dimaklumkan. Kata Farish, dia mahu keadaan kembali reda sebelum dia sendiri cukup bersedia untuk memberitahu umum tentang status barunya.

            “Ara kena ingat yang Ara sekarang dah jadi isteri orang. Kena dengar cakap suami. Tentang mak dan ayah kamu janganlah risau. Tahulah kami uruskan hidup kami sendiri.” Itu kata-kata pertama yang keluar dari bibir Mak Cik Nurul ketika Zahra duduk bersendirian di dalam bilik pengantin.

            Zahra tunduk. Tanpa disedari air matanya menitis. Sewaktu akad nikah tadi dia langsung tidak menangis, tapi sebaik mendengar kata-kata ibunya, air matanya terus mengalir tanpa disekat-sekat.

            “Mak, tolonglah percayakan Ara. Ara tak salah. Farish pun sama. Kami terperangkap.” Sayu suara Zahra menahan sebak.

            “Kami percaya. Kami percayakan kamu, nak. Bukan baru sehari, dua ayah dan mak jaga kamu. Tapi kita tak mampu buat apa-apa. Mungkin ini memang suratan-Nya,” keluh Pak Cik Yusuf pula, sesekali dia terbatuk.

            Zahra bertambah sebak. Dia tahu mak dan ayahnya kecewa kerana dia mengakhiri zaman bujangnya dengan cara seperti ini. Sudahlah ayahnya sering sakit-sakit sejak akhir-akhir ini, dan sekarang terpaksa bersusah payah menaiki bas ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menjadi wali pernikahannya.

            “Mak minta pada kamu, kalau kamu masih sayangkan mak dan ayah, kalau boleh buat masa ni janganlah hubungi kami.” Permintaan Mak Cik Nurul kali ini benar-benar melukakan hati Zahra.

            “Tapi kenapa mak? Ara tak salah… Ara minta maaf…”

            “Kami perlu cari ketenangan, Ara. Kami perlukan masa untuk melupakan kejadian ni. Kamu baik-baiklah tinggal di KL ni ya, nak? Mak dan ayah selalu mendoakan kebahagiaan kamu,” ujar Mak Cik Nurul lagi.

            Ya, dia memang percaya anaknya tidak bersalah. Menantunya juga sama. Cuma dia dan suaminya perlu melapangkan fikiran buat masa ini. Perkahwinan ini penting demi menutup aib keluarga. Apa yang dia mahu jawab jika jiran-jiran bertanya kenapa kenduri kahwin di kampung tidak diadakan? Biarlah perkara itu menjadi rahsia buat masa ini.

            Mak Cik Nurul tahu, kedua-dua besan dan menantu dapat menerima keluarganya walaupun taraf mereka berbeza. Sewaktu dia bersalaman dengan Datin Aliah tadi, Datin Aliah tetap memaniskan muka dan berjanji untuk menyayangi Zahra seperti anak sendiri.

            Dan sewaktu bersalam dengan Farish, menantunya itu tersenyum manis dan mencium tangannya penuh hormat. Alhamdulillah, dia mendapat menantu yang sopan dan tahu menghormati orang tua.

            “Kami balik dulu, Ara. Kami kena cepat. Bas kami untuk balik Melaka pukul 3.00 petang ni,” sampuk Pak Cik Yusuf.

            Ikutkan hati, Zahra berat untuk melepaskan ibu bapanya pergi namun dia sedar, mungkin ibu bapanya masih kecewa. Akhirnya dia tinggal bersendirian di dalam bilik pengantin itu dengan kekesalan yang tidak berpenghujung.

***********

            Selepas majlis pernikahannya tamat, Zahra duduk diruang tamu bersama Farish dan ibu bapa mentuanya. Rudy sudah pulang ke ofis semula atas permintaan ayahnya. Maklum sajalah, Rudy baru sahaja menggantikan posisi ayahnya sebagai Pengarah Eksekutif, jadi banyak perkara yang perlu dipelajarinya. Jue juga terpaksa pergi kerana mencari bahan artikel diluar.

            Zahra hanya menunduk dan tidak berani bersuara. Dia tahu siapa dirinya jika hendak dibandingkan dengan orang-orang kaya di dalam rumah ini. Dia kini berada di satu tempat yang asing. Dia tidak pernah mengenali ibu bapa mentuanya secara peribadi sebelum ini. Tiba-tiba sahaja dia disatukan dengan Farish. Segalanya berlaku dengan sekelip mata.

            “Memandangkan Zahra dah jadi menantu dalam keluarga ni, apa kata Zahra tinggal aja kat sini dengan kami?”

            Cadangan Datin Aliah itu membuat Zahra dan Farish terkejut. Masing-masing tidak berkelip memandang Datin Aliah.

            “Betul tu. Tak kira macam mana pun cara kamu berdua bernikah, Zahra tetap menantu kami.” Dato’ Sharif menyetujui kata-kata isterinya.

            Zahra melirik ke arah Farish. Suaminya itu hanya membuang pandang ke lain, seperti langsung tidak berminat dengan cadangan yang diutarakan ibunya.

            Benci sangat ke Farish ni kat aku? detik Zahra.

            “Macam mana, Rich? Kamu setuju ke?” soal Dato’ Sharif.

            Farish angkat bahu. “Buatlah apa yang mama dan papa rasa betul. Kalau dia pun nak tinggal sini, pindah jelah ke sini.”

            Jawapan Farish itu membuat Zahra kecewa. Daripada jawapannya sudah menunjukkan yang dia tidak mahu ambil peduli langsung tentang isterinya. Zahra akur. Orang dah tak mahu, kenapa perlu dipaksa? Macam dia pula yang terhegeh-hegeh mahu berkahwin dengan anak orang kaya.

            “Mama, papa, Ara hargai cadangan tu tapi buat masa ni, biarlah Ara tinggal menyewa dengan kawan Ara macam sebelum ni,” ujar Zahra perlahan.

            “Nak tinggal menyewa? Tapi Ara kan menantu kami, tinggallah disini,” pujuk Datin Aliah.

            Zahra tersenyum kelat. “Tak apalah, Ara kena biasakan diri dulu. Lagipun, Ara dengan Farish bukannya rapat pun sebelum ni. Semua yang berlaku terlalu tiba-tiba. Biarlah Ara balik tenangkan diri.”

            Datin Aliah sedikit kecewa dengan jawapan menantunya. Dia memandang Farish, meminta agar Farish bersuara tapi Farish diam sahaja.

            “Tak apalah, kalau nak balik rumah sewa tu, biar saya hantarkan nanti,” ujar Farish dengan muka tiada perasaan.

            Dato’ Sharif dan Datin Aliah hanya mampu menggeleng. Agaknya anak dan menantu mereka belum boleh mencari keserasian. Tapi kalau tak serasi, macam mana sampai boleh kena tangkap basah?

************

“Tak nak! Tak nak! Sya nak jumpa Farish. Sya nak terangkan perkara sebenar kat dia!” bentak Syazreen apabila mummynya menegahnya untuk berjumpa dengan Farish.

            Datin Zabedah memandang anaknya dengan pandangan melotot.

            “Hei, Syazreen! Si Farish tu baru je kahwin, kamu jangan cuba nak buat kecoh. Nanti tak pasal-pasal Dato’ Sharif dengan Datin Aliah serang kamu. Kamu lupa ke? Kamu yang menyebabkan si Farish tu ditangkap khalwat!”

            Syazreen terdiam mendengar jerkahan mummynya. Air matanya mula bertakung.

            “Buat masa ni keadaan masih tegang. Tunggu bila kes ni reda. Sepanjang tempoh tu, jangan sesekali keluar cari si Farish tu. Dibuatnya dia berdendam dengan kamu, macam mana?

            Heee… mummy ni dah lama geram dengan kamu, Sya. Nak kata bodoh, anak sendiri. Yang kamu sengaja ajak Farish jumpa kat hotel tu kenapa? Tengok apa dah jadi sekarang. Dengar sini baik-baik, kalau Farish atau mak ayah dia ada call, jangan sesekali jawab. Mesej diorang pun jangan balas, faham?”

            “Tapi kenapa?” Syazreen menyoal.

            “Eh, kamu ni nak mati ke? Kalau diorang cari kamu sampai ke lubang cacing macam mana? Kamu tu bernasib baik sebab diorang tak datang serang sampai ke rumah ni, tau tak? Dahlah, lupakan mereka untuk sementara,” tutur Datin Zabedah tegas dan terus keluar dari bilik anaknya.

            Syazreen yang sedari tadi menahan air matanya terus menangis semahu-mahunya sambil menekup muka ke bantal.

            Namun jika difikir-fikirkan, memang ini salahnya juga. Dia mengajak Farish berjumpa di hotel, dengan harapan Farish datang bersendirian. Dan dalam masa yang sama, dia menelefon pejabat agama dan membuat aduan ada orang berkhalwat di hotel tersebut dan memberikan nombor biliknya. Dia ingin memiliki Farish walau dengan cara apa sekalipun.
           
            Alangkah marahnya dia apabila Farish datang bersama Zahra. Habis rancangannya gagal. Dia turun sebentar untuk memanggil security guard. Dia lupa bahawa sebelum itu dia telah menelefon orang dari pejabat agama. Dan apabila Farish dan Zahra ditinggalkan berdua di dalam bilik hotelnya, mereka berdua pula yang ditangkap.

            Sebenarnya, memang dari awal lagi dia ingin menerangkan perkara sebenar kepada Farish, Dato’ Sharif dan Datin Aliah tapi mummynya berkali-kali menegah. Kata mummynya, takut Dato’ Sharif dan Datin Aliah berdendam tapi Syazreen tahu, niat mummynya lebih kepada ingin membalas dendam. Bukannya Syazreen tidak tahu, Datin Zabedah cukup benci dengan Farish sejak Farish menolak cinta Syazreen mentah-mentah.

            Maafkan I Rich, I tak mampu buat apa-apa… rintihnya. Akhirnya, dia menangis tak berlagu sebab dia tak pasang radio.

************
            Ketika hari hampir lewat petang barulah Farish menghantar Zahra pulang ke rumah sewanya. Kereta BMW Farish berhenti dihadapan rumah sewa itu.

            “Turunlah, dah sampai.”

            Zahra tersentak dari lamunan sebaik Farish menyuruhnya turun dari kereta mewah itu.

            Zahra memandang Farish, namun lelaki itu sedikit pun tidak menoleh ke arahnya. Pada tanggapan Zahra, Farish tidak dapat menerima pernikahan ini dan membencinya. Maklumlah, dia cuma perempuan kampung. Mana mungkin Farish pernah berniat mahu berkahwin dengan gadis sepertinya. Mungkin tastenya cuma gadis-gadis kaya dan seksi.

            “Baiklah, terima kasih tolong hantarkan saya, En.Farish,” ucap Zahra perlahan dan terus keluar dari kereta tersebut.

            Sebaik Zahra menutup pintu kereta, BMW Farish itu terus meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan tersebut.

            Zahra mengeluh sendiri. Pandang aku pun tak, memang dah benci tahap petala ke lapan lah tu kut…

            Zahra terus mengepit tas tangannya dan melangkah masuk ke halaman rumah sewa. Memang ketika dia ke Villa Sharif tadi, dia datang sehelai sepinggang. Yang ada di dalam dompet pun cuma sedikit wang dan kad pengenalan.

            “Assalamualaikum…” Dia mengetuk pintu rumah yang berkunci.

            Tidak sampai satu minit, pintu dibuka. Jue kelihatan terkejut Zahra berdiri dihadapan rumahnya dengan masih memakai baju kurung putih satin yang dipakai semasa akad nikah tengah hari tadi.

            “Ara, kau datang nak ambil baju-baju kau ke? Kau nak tinggal dengan Farish kat villa tu?”

            Zahra tidak menjawab pertanyaan itu. Mata Jue melilau memandang ke jalan raya.

            “Eh, mana En.Farish? Dia tak temankan kau sekali ke? Takkan kau nak angkut barang ke sana sorang-sorang?” Jue menyoal lagi.

            Kali ini Zahra tidak mampu menahan sebak. Benar, dia yang membuat keputusan untuk tinggal bersama Jue, namun kebisuan Farish telah membuktikan bahawa Farish memang tidak pernah memerlukannya sebagai seorang isteri.

            Kalau benar Farish mahukannya, kenapa Farish sedikitpun tidak mengajaknya untuk tinggal di villa itu bersamanya?

            Tanpa sepatah kata, tubuh Jue terus dirangkul dengan erat. Zahra terus menangis semahu-mahunya di bahu sahabatnya itu.

            Jue kebingungan.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

3 comments:

norihan mohd yusof said...

cian nye kat zahra,melampau gak farish wat zahra cam tu...kalu tak suke ke suke ke tk yah lah wat cam tu......sabar bebnyk zahra tuk sah layan kalu org dh tk sudi...

budak blur said...

hmm..btul tu.. benci farish! haha..tetiba

Syuhada Mat Isa said...

nyampah aku dgn farish. syazreen gedik pun sama