Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Thursday, August 28, 2014

Kutemui Cinta 3

MALAM masih muda. Baru kira-kira tiga jam tadi matahari terbaring di peraduan untuk membenarkan alam dibungkus kegelapan. Namun suasana Kuala Lumpur terus hidup dan rancak dengan alunan muzik di merata-rata.

            Hafiz keluar makan bersama rakan-rakannya di Kafe King Pie di pusat beli-belah, Pavilion Kuala Lumpur. Kafe itu telah menjadi kafe kegemaran mereka sejak lama dulu kerana selain terdapat 16 jenis pai yang berbeza, harganya pula murah dan yang paling penting,rasanya enak.

            “Fiz, best tak sebilik dengan Adam?,”tanya Amir sambil menyuapkan pai ayam cendawan ke dalam mulutnya.

            “Kalau kau nak aku menipu, aku akan jawab ya,” selar Hafiz selamba.

            “Aku tahu dia tu teruk,” balas Amir. “Pertama kali aku kenal dia pun, aku dah rasa cukup menyampah!”

            “Kau dah tengok sendiri perangai dia tu. Perangai macam jembalang tanah. Siapa boleh tahan?” kecam Hafiz pula.

            “Setakat ni apa yang dia dah buat pada kau?”

            “Dia suka mengarah aku macam-macam. Konon-konon dialah ketua bilik tu dan jugak suka kutuk aku sebab aku anak nelayan. Mentang-mentanglah aku ni miskin!”

            Azhar terus tersedak mendengar kata-kata Hafiz.
            “Apa? Kau cakap kat mamat tu kau anak nelayan?”
            Hafiz mengangguk.
            “Apasal kau cakap macam tu?”

            “Aku nak biar dulu. Aku nak tengok sampai setakat mana berlagaknya mamat tu. Apa dia ingat dia anak Dato’, besar sangat ke?”

            Hafiz meluahkan segala ketidakpuasan hatinya. Dia sebenarnya tidak pernah berniat untuk bermusuh dengan sesiapa tapi Adam sendiri mengaku memusuhinya. Kalau itu sudah tanggapan Adam terhadapnya, apa lagi boleh buat? Sepanjang menginap sebilik dengan Adam selama lebih dua minggu, dia cukup bersabar.

            “Sampai bila kau nak macam ni dengan dia? Kau orang duduk sebilik. Susahlah kalau tak bersefahaman," ujar Amir menggeleng-gelengkan kepala.

            Hafiz tersenyum hambar. “Bukan aku yang nakkan permusuhan ni...”

            “Kenapa kau tak tanya dia?
            “Tanya apa?”
            “Kenapa dia tak suka kau?”

            “Entahlah, aku malas nak fikir. Hei korang tau tak? Si Adam tu ada satu tabiat buruk. Dia ni sebenarnya kuat hisap rokok. Kau orang pun tahukan aku ni jenis tak tahan bau asap rokok. Setiap kali dia merokok dalam bilik tu,seksa aku nak bernafas.Pernah jugaklah aku suruh dia hisap kat lain tapi dia buat don’t know je. Aku pun malaslah nak bising-bising.” Hafiz galak bercerita dan terus menyedut teh ais limaunya.

            Memang Adam seorang yang kuat merokok. Dia pula jenis yang alergi dengan asap rokok. Jadi setiap kali Adam mahu merokok, dialah yang terpaksa mengalah keluar dari bilik itu sehingga urusan Adam selesai. Memanglah merokok di dalam kawasan asrama adalah dilarang sama sekali. Kalau diikutkan dia boleh melaporkan perbuatan Adam itu ke pihak universiti tapi dia tidak mahu menambahkan kebencian Adam terhadapnya. Malas nak bergaduh.

            “Fiz, aku dah tahu siapa yang kau tengok hari tu."

Suara Amir mengembalikan Hafiz ke dunia nyata.

            “Siapa?” Hafiz mengelip-ngelipkan mata, bingung.

            “Hari tu masa hari pendaftaran, aku nampak kau asyik aja renung someone. Waktu tu, aku cuma pura-pura tak tahu tapi lepas hari tu, aku dengan si Zhar ni pergi siasat latar belakang maklumat dia,” beritahu Amir tersenyum.

            “Oh ya? Dan siapa ‘dia’ yang kau maksudkan tu?”soal Hafiz sinis, sedikit ragu-ragu.

            “Nurul Nadya Binti Asnawi, jurusan Perundangan. Dia muda setahun daripada kau. Dia sama macam kau, tahun pertama dan sedang buat program ijazah. Result STPM dia cemerlang woo... kau sendiri takkan percaya kalau kau tengok. Pointer dia dekat-dekat empat, tapi kalau dibundarkan jadi empat jugak. Tak hairanlah kalau kau suka kat dia sebab dia memang cun.”

            Wajah Hafiz merona kemerahan. Tidak menyangka dia sampai sejauh itu Amir berusaha menyiasat latar-belakang gadis bernama Nadya itu.

            “Lagi satu, ayah dia cuma pesara askar. Tapi cuma untuk pengetahuan, mak ayah dia sebenarnya dah bercerai. Sekarang dia tinggal dengan ayah dia. Boleh dikatakan, hidup dia taklah sesenang kita ni,” sampuk Azhar pula. Dia mengenyit matanya apabila melihat Hafiz sudah tidak berkelip memandangnya.

            “Aku rasa, kalaulah kau tak syok kat dia, dah lama aku sapu dia. Tapi kau tahu jelah aku tak suka potong jalan kawan,” kata Amir dengan riak wajah tak bersalahnya kerana terlalu jujur membuat pengakuan.

            Hafiz terdiam tanpa kata. Sangkanya Amir cuma main-main atau tersalah orang tapi rupa-rupanya Amir memang serius dan tidak salah orang. Gadis yang ditemuinya dua minggu lepas memang Nurul Nadya Binti Asnawi.

            Memang sejak pertama kali bertemu dengan gadis itu, dia selalu tidak senang duduk. Wajah Nadya sentiasa datang menerpa. Dia sentiasa tidak lena tidur. Atau adakah dia sebenarnya telah jatuh cinta? Ah! Takkanlah semudah tu.

            “Kitorang boleh tolong kalau kau nak.” Azhar menawarkan bantuannya sambil tersengih nakal.

            “Tolong apa?”Hafiz masih lagi buat-buat tak faham.

            “Pleaselah, Fiz. Kitorang tahu kau sebenarnya suka kat dia,betul tak?”

            Hafiz menundukkan sedikit wajahnya yang terasa berbahang.

            “Jadi sebagai kawan yang baik, aku rasa kitorang patut tolong kau untuk tackle awek tu. Itu pun kalau kau naklah. Tapi kalau kau tak nak, baik kasi kat aku aje,” ujar Amir seraya menjongket bahu.

            Hafiz cuma diam lantas tersenyum. Namun rakan-rakannya itu dapat mengagak dia memberi jawapan yang positif.

*********************************

ADAM melangkah ke sebuah pub di Subang Jaya ketika muzik rancak sedang bergema. Asap rokok dan bau minuman keras terasa mencucuk hidung.

            Air pahit, masam dan payau yang membakar tekak itu sudah beberapa kali diteguknya. Tiba-tiba dia meneguk air itu kembali.

            “Adam, kalau you mau minum, you order saja. You punya pasal semua free!” kata pelayan yang menyambut kedatangannya tadi. Dia memang sudah lama kenal dengan pelayan itu, Amy namanya. Adam adalah pelanggan tetap di situ dan dia mengunjunginya sejak dia berumur 15 tahun hinggalah sekarang.

            Adam menyedut asap rokoknya dalam-dalam. Orang kata rokok membahayakan kesihatan, tetapi dia menghisap rokok sejak berumur 14 tahun lagi. Dia sihat tanpa ada sakit itu dan sakit ini. Lagi pula,memang tiada siapa pun yang tahu selama ini dia merokok dan minum minuman keras kecuali Yasmin, teman wanitanya. Hafiz juga sudah tahu dia merokok tapi Hafiz tidak tahu dia minum minuman keras. Tapi bagaimana dengan perasaan Yusof dan papa kalau mereka tahu apa yang dilakukannya ini?

            Ahh…boleh pergi mampus dengan perasaan! Aku tak perlu ada perasaan segala. Kerana terlalu berperasaanlah aku jadi begini. Perasaan kasih, perasaan belas dan perasaan tanggungjawab. Aku tak perlu ada perasaan-perasaan bodoh itu! Manusia yang berperasaan sering terjerat dengan perasaan sendiri.

            Otaknya semakin berserabut, bergumpal-gumpal dan kusut. Kepalanya seperti dicucuk-cucuk dengan duri tajam.

            Mama… Adam ada di sini. Maafkan Adam sebab mungkir janji. Adam tak nak mama lihat penderitaan ini. Dan Adam harap mama akan bahagia di atas sana,bisik ada pada tiga biji gelas yang telah kosong dan diletaknya rapat-rapat seolah-olah gelas-gelas itu adalah arwah mamanya.

            Dia ingat lagi janjinya kepada mama saat mama nazak di atas katil kerana menderita barah usus. Ketika itu dia dan Yusof baru berumur 10 tahun dan masih belum mengerti apa-apa. Mama menyuruh mereka berjanji agar tidak meninggalkan solat dan segera belajar mengaji agar dapat mengaji untuknya apabila dia sudah tiada nanti.

            Dan selepas mama meninggal dunia, Adam semakin lupa akan janji itu. Dia merasakan bahawa Tuhan tidak adil kepadanya. Kenapa mamanya yang diambil? Kenapa bukan mama orang lain? Dia terasa ingin meraung dan menjerit hingga pecah tenggoroknya sewaktu melihat sekujur tubuh mama yang sudah kaku,tapi untuk apa? Kalau dia menangis air mata darah sekalipun,mama tidak akan kembali semula ke dunia.

            Yusof? Dia masih lagi berpegang pada janjinya. Selepas kematian mama, Yusof semakin rajin solat dan berdoa untuk mama walaupun tidak mengaji kerana mereka berdua sama-sama tidak pandai mengaji Al-Quran. Belum pernah sekalipun Yusof mengabaikan solat, malahan sepanjang hidup selama lebih 21 tahun, sepuntung rokok pun tak pernah disentuhnya.

            Ah! Betapa bodohnya Yusof. Yusof tidak tahu erti keseronokan yang sebenar. Bagi Adam, menghisap rokok dan meneguk air kencing syaitan inilah erti keseronokan yang sebenar.

            Adam melambai-lambai ke arah Amy. Segelas lagi air kuning terhidang di hadapannya. Air kuning itu diteguk lalu merodok-rodok tekak, kemudian berenang ke otak dan dia merasa lapang sekali. Semakin banyak dia meneguk air itu semakin lega otaknya. Segala masalahnya bagaikan hilang sekelip mata. Air kuning itu umpama ubat, pahit tapi semakin lama semakin enak-elok untuk otak yang tidak sihat, macam otaknya.

            Empat gelas kosong tersusun di atas meja.Satu gelas yang masih penuh berisi air kuning yang baru saja dihidang oleh Amy dihantar ke bibir. Gelas di tepi bibir menunggu masa sahaja untuk diteguk.

            “Sudahlah, kau dah banyak minum ni!” kata satu suara. Gelas di tangan Adam disambarnya lalu diletakkan di atas meja.

            “Jangan campur urusan aku. Hidup aku, aku punya sukalah!” Adam berang dan cuba menyambar gelas yang masih penuh dengan air kuning itu.

            “Hei Adam, ikut aku balik!” tekan suara itu lagi.
            “Aku kata tak nak, tak naklah!”

            Tiba-tiba pipinya ditampar dengan kuat. Namun Adam bukannya marah,malahan ketawa dengan kuat.

            “Kau dah mabuk, Adam.Mari balik!” kata suara itu lagi lalu menarik tangan Adam menuju ke kereta.

            Adam menyentap kasar tangannya dari cengkaman itu. Kemudian dia mendongak memandang wajah manusia yang terlalu sibuk dengan urusan hidupnya itu. Lama dia merenung. Matanya buntang tatkala melihat wajah manusia itu. Dia nampak dirinya sendiri. Seketika kemudian,dia rebah dan dia tidak ingat apa-apa lagi selepas itu.

*******************************

ADAM tidak tahu dia berada di mana kini.Dia berada di tempat yang begitu asing. Tempat itu sangat gelap dan berbau busuk.

            Aku kat mana ni? Dia bertanya kepada dirinya sendiri.Tangannya menekup hidung.

            Dia merasa tanah yang dipijaknya bergerak-gerak. Tiba-tiba dia disambar api menjulang yang keluar dari rekahan tanah yang dipijaknya itu.

            “Aduh, sakitnya!” Adam cuba lari dari situ namun api itu seakan mengejarnya.Kakinya yang sudah melecur itu tidak dipedulikan.

            Kini dari kaki sampai ke atas pinggang, kulitnya sudah melecur dengan teruk. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Dia cuba lari tapi kakinya sudah lemah. Akhirnya dia jatuh terjelepok di atas tanah yang berbara.Separuh daripada kulit mukanya terbakar. Dia menjerit kesakitan sekuat-kuat hati namun tiada siapa yang datang untuk membantu. Dia hanya bersendirian saat ini.

            Adam tidak tahu bagaimana dia boleh terdampar ke tempat yang begitu asing ini. Dia menangis memanggil papa dan mama namun sia-sia sahaja kerana dia memang benar-benar bersendirian kini.

            Beberapa minit kemudian tiada lagi api yang menjulang. Tanah juga. kembali bercantum. Dan Adam sangat terkejut apabila semua kulitnya yang sudah melecur kembali pulih.Perlahan-lahan dia cuba bangun dan melihat ke sekeliling.

            “Ya Allah, dimana aku sebenarnya?”

            Tidak lama selepas itu muncul sebongkah batu besar dari rekahan tanah. Hati Adam berdebar-debar. Bahana apakah ini?

            Seperti ada satu kuasa yang mengawal tubuhnya, tiba-tiba dia memegang kepalanya sendiri.Adam tidak mampu mengawal tubuhnya. Lebih mengejutkan dia dengan sendirinya menghantukkan kepalanya ke bongkah batu itu.

            Kepalanya mengalir darah merah. Kepalanya terasa sangat sakit tapi entah kenapa dia terus menghantukkan kepalanya ke batu itu. Seperti ada sesuatu yang mengawal tubuhnya dan dia tidak mampu menghalang dirinya sendiri.

            Adam tenat. Dia lemah tidak mampu berkata apa-apa. Terasa kepalanya seperti sudah hancur. Dia meraba-raba kepalanya. Terkejut dia apabila dia merasa kepalanya sudah kosong. Tengkoraknya sudah hancur. Lebih mengejutkan lagi apabila dia melihat otaknya sudah terjatuh ke tanah.

            Tidak lama selepas itu keadaan kepalanya kembali seperti sedia kala. Tengkorak dan otaknya kembali bersatu. Namun tidak lama kerana selepas itu sekali lagi dia menghantuk-hantuk kepalanya ke bongkah batu tersebut hingga kepalanya pecah.

            Adam menanggung satu kesakitan yang amat sangat tika ini. Kalau boleh dia mahu membunuh diri agar dia terlepas dari penderitaan ini tapi untuk apa? Mungkin seksaannya akan menjadi lebih berat dari ini.

            “Arrrgghh!!!! Yusof… Azriel… tolong aku!” rintih Adam yang semakin lemah.

            “Adam, bangun! Bangun, Adam!” Tiba-tiba dari jauh dia mendengar suara sayup-sayup. Macam suara Yusof.

            “Suf, tolong aku! Tolong aku!” jerit Adam sekuat hati.

            “Yusof!!!”

            Terus Adam membuka matanya. Dia memandang ke sekeliling untuk seketika tetapi seperti ada sebakul batu terbeban di atas kepalanya. Terlalu berat. Sedaya upaya dia cuba membuka mata dan mengangkat kepalanya,tetapi gagal dan dia rebah semula.

            Dia nampak dua susuk tubuh secara samar-samar.Penglihatannya masih kabur.

            “Baru bangun?” soal salah seorang daripada dua susuk tubuh itu.

            Adam mengurut-urut kepalanya. Seketika kemudian barulah dia dapat melihat siapa yang bertanya tadi.

            “Azriel? Yusof?” Adam kaget. Entah-entah mereka berdua yang membawanya pulang semalam. Itu ertinya, mereka sudah tahu dia ke pub, merokok dan minum minuman keras semalam!

            “Minum ni. Kau akan rasa lebih lega lepas ni.” Azriel menghulurkan secawan kopi panas kepada Adam.Adam mengambilnya tanpa mengucapkan terima kasih.

            Aduh, nasib baik mimpi, bisik Adam dalam hati. Nasib baik dia bukannya betul-betul ada di tempat gersang yang mengerikan itu.

            Dia menghirup kopi panas itu perlahan-lahan. Sedikit demi sedikit sakit kepalanya berkurangan. Matanya meliar melihat ke setiap sudut bilik asrama itu.

            “Kau ada dalam bilik kitorang,” ujar Yusof seakan tahu apa yang bermain difikiran adiknya.

 “Kalaulah Hafiz tahu kau mabuk semalam, mesti dia beritahu pihak universiti pasal hal ni. Nasib baik kitorang tak hantar kau ke bilik asrama kau semalam!”       

Adam terdiam. Walaupun Yusof dan Azriel sudah tahu bahawa dia merokok dan mabuk semalam, mereka tidak terus marah-marah. Wajah mereka tetap tenang. Mungkin mereka menunggu sendiri penjelasan darinya dan tidak mahu memaksa. Kadang-kadang dia merasa bertuah kerana mendapat seorang abang dan rakan yang bertimbang rasa seperti Yusof dan Azriel.

            “Kau pernah tak terfikir akibat daripada perbuatan kau ni? Kalau pihak universiti tahu, aku tak heran sangat tapi macam mana kalau papa tahu?” soal Yusof memecah kebisuan.

            Adam menyepi. Dia tahu apa maksud pertanyaan Yusof. Papa mereka, Dato’ Husin sendiri pernah memberi amaran. Kalau dia tahu salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya merokok, dia tidak akan membenarkan mereka mengambil alih syarikat apabila masing-masing sudah menggenggam ijazah nanti. Dan yang lebih teruk, duit poket mereka juga akan disekat. Kalau hanya merokok pun papa mereka sudah membuat keputusan setegas itu, apatah lagi kalau dia mendapat tahu ada antara anak-anaknya yang sudah mulai berani meneguk sirap alkohol!

            “Kau tahu tak, Adam? Minum arak tu hukumnya berdosa besar!” tekan Azriel pula.

            “Suf, Riel, aku minta maaf!”

            “Buat apa nak minta maaf dengan kitorang? Sebab dah kantoi? Minta maaf ajalah dengan Allah,” sindir Yusof selamba, tapi penuh bermakna.

            Adam sempat menjeling dengan matanya yang masih merah.

            “Kitorang boleh simpan rahsia kau ni,” ujar Yusof lagi. “Tapi dengan syarat aku tak nak kau ke tempat-tempat maksiat macam tu lagi. Kalau kau langgar juga arahan aku ni dan papa dapat tahu, aku tak nak berbohong untuk kau lagi. Jangan suruh aku back-up kau, faham?”

            Adam sekadar mengangguk. Dia berjanji hanya untuk menyelamatkan dirinya tapi dia tidak boleh menjamin dia tidak akan ke pub lagi kerana itu adalah favourite portnya!

            Namun tiba-tiba dia teringatkan mimpinya yang mengerikan tadi. Sebenarnya sudah banyak kali dia didatangi mimpi seperti itu. Mimpi yang sama berulang-ulang kali namun dia tidak dapat mengagak apa maksud di sebalik mimpinya itu.

**********************************
ADAM begitu keletihan. Dia pulang ke bilik asramanya dalam keadaan tidak bermaya dengan kepala yang masih terasa berat. Ketika melangkah masuk ke biliknya, dia lihat Hafiz sedang duduk di atas katil sambil menghadap laptop.

            Dia tidak mempedulikan Hafiz dan terus ke almari pakaian untuk mengambil tuala.

            “Kau tidur kat mana malam tadi?” Hafiz menyoal dengan mata yang masih memandang skrin laptop.

            “Jangan sibuklah!” Seperti biasa Adam menjawab kasar setiap pertanyaan Hafiz. Dia ingin segera keluar namun langkahnya terhenti di muka pintu apabila Hafiz memanggil namanya.

            “Aku tanya ni. Kau tidur kat mana malam tadi?”

            Adam tersentak. Belum pernah ada seorang pun yang berani mempersoalkan dirinya kecuali papa, Yusof dan Azriel. Tapi Hafiz... lelaki ini memang berani. Dia patut lebih berhati-hati dengan lelaki miskin ini.

            “Aku tanya kau untuk kali yang terakhir. Kau tidur kat mana malam tadi?” Nada suara Hafiz kedengaran semakin tinggi. Adam hairan kenapa Hafiz begitu sibuk mencampuri urusan peribadinya sedangkan dia sendiri pun jenis yang tidak suka mencampuri urusan peribadi orang lain.

            “Kau ni apahal? Pernah ke aku sibuk kau nak balik ke tak sebelum ni?”soal Adam pula. 

            “Hei, kau ingat aku nak sangat ke ambil tahu hal kau? Daripada aku sibuk busybody pasal kau, aku buat tahi mata lagi bagus tau tak? Aku tanya cuma sebab kau roomate aku. Takut-takut nanti kalau ketua dorm tanya kau pergi mana, senang aku nak jawab,” bidas Hafiz. Dia sudah bosan melayan Adam dengan baik selama ini sedangkan Adam sendiri pun tidak pernah mahu berbaik dengannya. Cukuplah setakat ini dia berhipokrit!

            “Cakap ajalah aku tidur kat rumah bapak aku!” Laju saja ayat itu keluar dari mulut Adam. Sekadar untuk melepaskan dirinya.

            “Betul kau tidur rumah bapak kau semalam?”
            Pantas Adam mengangguk.
            Hafiz turut mengangguk, tanda dia dapat menerima alasan Adam.

            Adam terus berlalu ke bilik air sambil mencebik. Dia tidak faham kenapa Hafiz terlalu sibuk mahu tahu hal peribadinya. Kenapa dia ditakdirkan bertemu dengan Hafiz, lelaki miskin kaki sibuk?

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

5 comments:

ain said...

novel ni best sgt!! ahhh...old skool :')

Ct Roxalynna said...

oh mai...ya...

Ct Roxalynna said...

Hafiz? Adrian Hafiz? Oh Hafiz...

E-la Adiey said...

ain - terima kasih ^^

Ct Roxalynna - haha.. jeng3.. nantikannya :P

intan razak said...

x sabar nk baca sekuelnya.ada pulak adrian dlm cerita ni nanti. ahhh...cant wait!!