Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Friday, June 6, 2014

Zikir Cinta 1

CANBERRA. Australian Capital Territory. Bandaraya itu seperti sebuah kota taman yang damai. Ia dibangunkan sekitar tasik buatan manusia yang luas. Malah Canberra dibahagi dua oleh tasik itu. Sebelah merupakan kawasan pentadbiran manakala sebelah lagi kawasan membeli belah dan petempatan penduduk Canberra yang letaknya lebih ke arah selatan di negeri New South Wales, kira-kira 200 km dari Sydney.

            Daniel tidak dapat menyembunyikan senyumannya. Musim bunga tiba lagi. Musim ini adalah musim yang paling disukainya kerana warna alam seakan-akan kembali semula setelah melalui dua musim suram iaitu musim luruh dan sejuk.

            Meskipun kini sudah masuk musim bunga, cuaca di Canberra lebih sejuk berbanding Sydney dan Melbourne. Pada siang hari, Canberra agak panas dengan cuaca terik matahari yang kadang-kadang mencecah 18 darjah Celcius tetapi menjelang malam, cuacanya sejuk sehingga boleh mencecah bawah 10 darjah Celcius.

            Daniel melangkah masuk ke kedai berlabel Al-Fazal Spice and Butchery, sebuah kedai yang menjual daging halal, rempah ratus dan makanan sejuk beku yang terletak di Walder Street, Belconnen. Hari ini adalah hari minggu, hari yang sesuai untuknya membeli barang keperluan dapur.
            “Danny!” Dia menoleh saat seseorang menepuk bahunya dari belakang ketika dia hendak membayar harga daging yang dibelinya.

            “Eh, Jess!”

            Jessica, gadis Indonesia itu tersengih lebar.

            “Iya, kebetulan ya. Aku juga lagi cari barang dapur. Selepas ini kamu mau ke mana lagi?”

            “Mmm… saya nak beli daging je, lepas ni terus balik,” jawab Daniel.

            “Oh, kalau gitu kita jalan sama-sama aja, yuk? Aku lagi kesepian, teman-temanku nggak mau ikut aku shopping.”

            Daniel tertawa kecil dan mengangguk. Setelah masing-masing sudah membayar harga barang, mereka keluar dan berjalan beriringan ke kereta milik kawan Jessica. Salah seorang rakan kepada gadis itu meminjamkan kenderaan untuknya hari ini kerana hanya dia seorang yang rajin keluar membeli makanan. Yang lain-lain mahu tidur sahaja.

            Jessica Lidya Arfan. Sepanjang hampir tiga tahun menuntut di Australian National University (ANU), gadis itulah satu-satunya kawan perempuan yang paling rapat dengannya. Mereka satu jurusan, Business Administration. Dan Daniel cukup senang berkawan dengan gadis Indonesia yang peramah itu.

            “Kamu tau gak Danny, aku suka banget sama musim bunga. Bagi aku, musim ini adalah musim yang paling indah,” ujar Jessica memandu perlahan membelok ke simpang Josephson Street. 

            “Aku suka saat melihat bunga-bunga mula berputik, burung-burung mula berterbangan di langit dan orang-orang memakai pakaian warna-warni. Segalanya kelihatan cantik,” tambahnya lagi.

            Daniel diam melayan perasaan. Bukan dia tidak mendengar kata-kata itu, tapi dia ralit memandang orang yang lalu-lalang dari dalam kereta. Canberra tidak terlalu padat dan suasananya agak sunyi. Satu suasana yang sesuai dan tenang untuk seseorang yang bergelar mahasiswa.

            “Danny, kok diam aja? Kangen sama ibu kamu ya? Sabarlah, kita udah berada di semester akhir. Insya-Allah gak lama lagi kamu pasti bisa pulang ke Malaysia.” Jessica memujuk.

            Dia faham kerana mereka berdua berkongsi rasa yang sama. Sepanjang menuntut di sini, belum pernah sekalipun mereka pulang ke negara masing-masing semasa cuti semester. Bukan tidak mahu pulang, tetapi wang menjadi penghalang.

            “Tak adalah, saya tengok pemandangan. Anyway, awak ada masa? Nanti kita pergi library, study sama-sama.” Daniel mengalih topik, enggan berbicara tentang ibunya. Bukan apa, jika dia teringatkan ibunya, pasti hatinya tidak keruan. Entah bagaimanalah keadaan ibu yang ditinggalkan berseorangan di Malaysia. Mereka sudah tiada saudara-mara lain. Entah siapa yang menjaga sakit pening dan makan minum ibunya.

            “Okey, ajak Adrian sama Jason juga, pasti kita bisa tukar-tukar idea,” sambut Jessica bersemangat.

            Daniel mengangguk setuju. Tidak lama selepas itu, mereka sampai di rumah sewa Jessica di Verdon Street, kawasan O'Connor. Daniel berjalan kaki sahaja pulang ke rumah sewanya kerana dia juga tinggal dikawasan yang sama, cuma selang beberapa buah rumah sahaja. 

            Ah! Sedar tak sedar, rupa-rupanya dia kini sudah berada di semester akhir. Tidak lama lagi, dia akan menamatkan pengajiannya dan pulang ke Malaysia. Hatinya meronta-ronta ingin bertemu ibunya. Betapa dia ingin memeluk dan mencium tangan ibunya. Sudah tiga tahun dia tidak merasa masakan orang tua itu.

            Dia bukanlah anak orang kaya. Ibunya dulu seorang tukang urut dan penjual kuih, tapi setelah usianya semakin meningkat, dia hanya menumpukan kerjanya sebagai penjual kuih dan kadang-kadang menjual nasi sebagai pendapatan tambahan.

            Ibu membanting tulang empat kerat hanya untuk mencari sesuap nasi. Ayahnya pula sudah meninggal dunia sejak sebelum dia dilahirkan lagi. Daniel lihat sendiri bagaimana susah payah ibunya bekerja keras demi menyara mereka dua beranak. Daniel tahu, ibunya banyak menderita selama ini.

            Ya Allah… seandainya aku tak memiliki cukup waktu untuk membahagiakan orang tuaku, tolong bahagiakan ibuku dengan kasih sayang-Mu, doa Daniel didalam hati.

            Daniel tidak pernah tahu tentang kehidupan moden. Kerana itu tiga tahun lepas, sebaik sahaja dia bertemu dengan Muhammad Hafiz Adrian, lelaki melayu kacukan Inggeris yang bermastautin di New Zealand dan Jason Lee, anak orang kaya berbangsa Cina berasal dari Melaka, dia terus bersetuju untuk tinggal bersama mereka.

            Daniel merasa beruntung kerana memiliki dua sahabat baik yang sangat memahami keadaan dirinya. Kalau diikutkan, Adrian dan Jason Lee mampu tinggal didalam kawasan Acton yang lebih dekat dengan kampus mereka. Kebanyakan pelajar Malaysia disini adalah anak-anak orang kaya dan mereka yang belajar di sekolah private. Tetapi deminya, Adrian dan Jason Lee sanggup tinggal di kawasan O'Connor bersama pelajar penerima biasiswa sepertinya.

            Kerana sedar akan status dirinya, dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh, agar suatu hari nanti dia dapat memberikan kesenangan kepada ibunya. Dia mahu membalas segala pengorbanan wanita itu. Nanti ibunya tidak perlu susah payah menjual kuih lagi.

            Dia terus mematikan lamunan tatkala kakinya sudah menapak dihalaman rumah satu tingkatnya. Walaupun O'Connor sedikit jauh daripada kampus, iaitu lebih kurang 2 km untuk sampai, tetapi dia selesa tinggal disini. Ia merupakan kawasan taman perumahan yang tenang dan damai. Banyak pokok, terasa seperti tinggal dikampung-kampung di Malaysia.

            Tapi sebenarnya didalam kawasan Acton ada tempat tinggal yang untuk pelajar ANU yang agak murah seperti di Kingsley Street tetapi Daniel lebih memilih untuk tinggal di O’Connor kerana kawasan itu merupakan kawasan rumah teres, bukan jenis bertingkat-tingkat seperti hostel.

            Dia memberi salam dan melangkah dengan menundukkan sedikit tubuhnya sebagai tanda hormat ketika melintasi Adrian yang sedang menonton TV. Biar orang kata skema, tapi bagi Daniel, itu adalah adab. Dia akui dia masih lagi orang Melayu yang mengamalkan nilai-nilai ketimuran.

            “Weh, kau beli beef ke? Kau pergi naik apa? Nak masak stik tak malam ni?” soal Adrian bertalu-talu sambil mengekori Daniel ke dapur.

            Daniel meletakkan plastik berisi daging di tepi sinki.

            “Suka hati kaulah, apa pun kau masak aku bedal. Masa pergi tadi aku naik bas je. Dah masa tu kau tidur lagi, aku malaslah nak kejut. Tapi hala balik aku tumpang Jessica, dia naik kereta kawan dia. Kebetulan aku terserempak dengan dia. Eh, Jason mana?”

            “Entah, tadi dia cakap keluar lepak,” jawab Adrian sambil membelek-belek plastik daging tersebut.

            Daniel tidak berkata apa-apa.

            “Tadi kau jumpa Jessica kan? Did she ask anything about me?” Adrian memandang sahabatnya itu dengan mata yang bersinar-sinar.

            Daniel menggeleng. Adrian lambat-lambat mengangguk dengan wajah yang sedikit hampa.

            “Aku ada ajak dia buat study group dengan kita. Kau tak kesah kan dia join?” soal Daniel dengan kening yang sedikit terangkat.

            “Eh, mestilah tak. Lagi ramai lagi bagus!”

            Daniel diam sahaja walaupun dalam hati dia sudah mahu tergelak. Adrian… Adrian… orang buta saja yang tak nampak.

************************

RAZIF tidak berkelip memandang gadis bernama Cinta Aulia Dato’ Razak yang sedang duduk dihadapannya saat ini. Kadang-kala dia kaku untuk bersuara. Lidahnya kelu. Baru beberapa minggu berkenalan, namun hatinya tidak keruan.

            Kejelitaan gadis itu mampu membuat mana-mana lelaki pun cemburu kerana tidak dapat memilikinya. Jangankan lelaki Melayu, mat saleh pun ada yang berkenan mahu menjadikan gadis itu sebagai kekasih. Ah, beruntung sungguh dia dapat berkenalan dengan Cinta!

            “Hei, kenapa you tenung I macam tu? Ada apa-apa yang tak kena ke pada muka I?” Cinta melirik dengan senyuman yang menggoda.

            Razif menggeleng. “Tak adalah, you cantik sangat. Tak puas I pandang.”

            Cinta sekadar tersenyum. Dia sudah cukup lali dengan pujian sebegitu.

            “Oh ya, you cakap your dad Tan Sri kan? Dia buat bisnes apa?” Cinta mengalih topik sambil mengacau minumannya dengan straw.

            “Well, dia buka company sendiri. Syarikat hartanah. He’s very successful. Mungkin lepas I habis study I akan ambil alih cawangan syarikatnya di Berlin.” Razif bercerita dengan penuh semangat, dengan harapan Cinta kagum dengan kekayaan keluarganya.

            Cinta tersenyum. Yes, sasaran yang tepat. Razif boleh tahan, ada rupa. Anak orang kaya pula. Sepadan dengannya.

            “Cinta, nama you sangat unik. I belum pernah dengar seseorang yang bernama Cinta sebelum ni. Dan nama tu sepadan dengan you.” Razif masih tidak puas-puas memuji gadis tersebut.

            Tangan gadis itu diraih. Mata mereka bertaut.

            “Cinta, let me be honest with you. I ikhlas nak berkawan rapat dengan you. Dan kalau boleh, I nak jadikan you teman istimewa I. Itu pun kalau you sudi.” Cukup lembut kata-kata Razif untuk meraih keyakinan Cinta.

            Huh, lelaki. Ikhlas konon! Cinta mengejek dalam hati.

            “Nanti I fikirkan, okey. Tak naklah buat keputusan terburu-buru,” jawabnya.

            Razif mengangguk dengan wajah yang sedikit hampa.

            “Okay… I’ll be waiting.”

            “Mmm… I nak baliklah. Assignment I belum siap. Tolong hantarkan I, boleh?”

            Razif mengangguk. Sedikit pun dia tidak membantah. Sejak berkenalan dengan gadis itu, dia hanya mengikut telunjuknya sahaja. Dia seolah-olah telah dipukau dengan kecantikan Cinta.

            Mereka berjalan keluar dari restoran fastfood That Pizza Place dan menuju ke arah Porsche Razif yang diparkir di seberang jalan.

            Cinta tahu Razif tidak menipu. Sebelum berkenalan dengan Razif, dia sudah menyiasat serba-sedikit tentang latar belakang lelaki itu. Razif sememangnya anak seorang hartawan dan memang targetnya cuma orang-orang yang berduit. Dia alergi dengan orang miskin. Tidak setaraf katanya.

            “Okeylah, I keluar dulu. Thanks hantarkan I,” ujar Cinta apabila kereta Razif sudah tiba dihadapan apartment mewah NewActon East, Marcus Clarke Street yang didiaminya bersama rakan-rakan.

            “Err… Cinta.”
            “Yes?”
            “I love you.”

            Cinta tersenyum. Dia mengangguk sahaja. Tanpa membalas semula ucapan lelaki itu, dia terus keluar dari kereta.

            Razif akur. Tak apalah, cinta itu memerlukan kesabaran. Dia terus memandu keretanya meninggalkan kawasan NewActon.

            Jantan bodoh! kecam Cinta. Takkan Razif belum tahu, dia bukan jenis perempuan yang setia kepada seorang lelaki. Rasanya semua orang sudah tahu perangainya. Hampir semua lelaki kaya menjadi mangsanya, cuma mereka yang terlalu bodoh kerana membiarkan diri mereka menjadi mangsa. Habis duit mereka dikikis, mereka akan ditinggalkan begitu sahaja.

            “Hai… siapa pulak hantar balik hari ni?” Hana, salah seorang rakannya menyapa ketika dia baru masuk ke apartment serba ekslusif yang mempunyai tiga bilik itu.

            Hana tersengih-sengih. Dia sudah memerhati dari balkoni apartment mereka di tingkat tujuh itu. Cinta selalu sahaja dihantar pulang menaiki kereta mewah dengan lelaki-lelaki yang berbeza.

            Cinta mengulum senyuman, tidak menjawab soalan Hana. Siapa? Dia adalah Razif, anak orang kaya bodoh yang boleh dimanfaatkan!


p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

1 comment:

Syuhada Mat Isa said...

permulaan yang tak menghampakan
best :)