Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuesday, June 2, 2015

Kau Bidadariku... 28

ADAM dan Yusof sudah siap mendaftarkan bagasi masing-masing. Hari ini mereka akan menaiki penerbangan pulang ke Malaysia di Dubai International Airport. Adam merenung tiket penerbangan dan wajah comel Nadya di skrin telefonnya silih berganti.

            Kerinduan terasa semakin menyesakkan jiwa. Sumpah, balik nanti benda pertama dia mahu lakukan adalah memeluk Nadya sekuat-kuat hati sampai isterinya itu lemas! Adam tergelak spontan dengan rencana nakal yang bermain-main di mindanya saat itu.

            “Parah tahap angau kau ni, gelak sorang-sorang tengok tiket dengan telefon!” tegur Azriel yang sudah menggeleng-gelengkan kepalanya.

            “Kau cakaplah apa pun Riel, dia memang sengal. Biar jelah,” sahut Yusof pula.

            Adam menzahir senyuman yang luas. “Aku nak bagi hadiah apa kat Nadya, ek?”

            Yusof dan Azriel tidak memberi sebarang jawapan. Malas nak layan. Mereka berborak sesama sendiri sementara menanti masa untuk masuk ke balai berlepas.

            “Lupa nak cakap, Maya kirim salam. Dia minta maaf sebab tak dapat hantar korang sekali. Anak-anak aku demam pulak. Kejutan cuaca kot, Dubai panas sangat sekarang ni,” jelas Azriel.

            Yusof menepuk-nepuk bahu rakannya itu. “Wa’alaika wa’alaihissalam… tak apalah, kau tu ada dekat sini lama lagi. Jaga diri dengan family kau baik-baik. And Mr. Engineer, good luck for this project. HS Holdings dan RED Corporations percayakan kau untuk handle benda ni.”

            Azriel tersenyum manis. Kata-kata Yusof, sahabat baik merangkap ketuanya itu membuatkan hatinya bangga kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk satu projek yang boleh dikatakan besar dan berpotensi untuk syarikat. Lebih 8 tahun dia berkhidmat di HS Holdings, dia sangat berpuas hati dengan layanan serta penghargaan yang diberi.

            “Hah, aku tahu nak bagi apa!” kata Adam tiba-tiba, sekaligus membantutkan perbualan Yusof dan Azriel.

            Mereka terpinga-pinga. Adam mengeluarkan telefon bimbit dan mendail nombor telefon setiausahanya. Huda tidak mengikutnya ke Dubai kerana diminta untuk berjaga-jaga sekiranya terdapat sebarang urusan atau masalah di HS Holdings.

            “Hello, Huda. Awak kat mana?”

            “Bos? Saya dekat ofis. Ada apa, bos?” Huda mengembalikan soalan.

            “Good. Saya sampai KL dalam pukul 10 malam nanti. Awak tolong belikan saya sejambak bunga ros putih. Letak kad sekali tapi jangan tulis apa-apa. Saya akan tulis sendiri. Simpan dulu, nanti saya ambil bunga tu kat rumah awak.”

            Terangguk-angguk Huda mendengar arahan bosnya. Satu arahan yang lazim setiap kali Adam keluar outstation luar dari Kuala Lumpur. Bila mahu pulang, dia selalu menyuruh setiausahanya untuk membelikan sesuatu buat isteri tercinta.

            “Okey, boleh bos. Tak ada masalah.”
            “Thanks, bye. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumussalam, bos.”

            Telefonnya kembali dalam genggaman dengan senyuman yang mekar di wajah. Ros putih. Ya, hadiah yang tepat untuk Nadya. Sejak dulu lagi dia tahu ros putih adalah bunga kegemaran isterinya.

            “Kau pun pergilah beli something untuk Zulaikha,” sarannya melihatkan Yusof buat muka lima sen berkulat.

            Yusof menggeleng-geleng. “Kalau aku beli hadiah, aku tak boleh beli satu. Nanti anak-anak aku mintak. Hari tu pun Mia minta patung Frozen. Gila apa aku nak beli patung kat Dubai? Mahal kot. Baik aku pergi beli kat Giant je.”

            Adam meledakkan tawanya. “Kesian… kau kan bapak mithali…”

            Yusof menjuihkan bibir. Ketiga-tiganya rancak berborak sehinggalah Azriel terpandang Yasmin bersama dua orang lagi wakil dari RED Corporations yang berdiri tidak jauh dari situ.

            “Eh, tu Yasmin. Dia flight sama dengan korang ke?” Azriel memuncungkan bibir mengarah kepada Yasmin.

            Adam dan Yusof menoleh hampir serentak. Berkerut wajah kedua-duanya.

            “Ye kot. Kerja kat sini pun dah settle. Tapi tak sangkalah boleh sama waktu pulak, kan?” jawab Adam.

            “Entah-entah dia sengaja nak stalk kau, Adam!” serkap Azriel.

            “Ah, aku tak rasa dia masih suka aku. Sepanjang projek ni pun, aku tak pernah dapat text bukan-bukan dari dia,” ungkap Adam seolah-olah membela Yasmin pula.

            Tapi memang betul, sepanjang berada di Dubai, perilaku Yasmin tampak cukup profesional. Tak ada pun Yasmin menunjukkan sebarang minat untuk menggodanya. Cuma kadang-kala apabila keluar bersantai dengan Yusof dan Azriel, dia akan jadi rimas jika terserempak dengan Yasmin. Dan apa yang membuatkan dia marah kepada Yasmin sehingga kini hanyalah kerana mulut wanita itu tempoh hari, tiada sebab lain.

            “Habis kalau kau rasa dia tak ada feeling dengan kau, apahal kau nak lari dari dia? Sekarang ni tak pasal-pasal aku dengan Yusof terlibat sama,” sela Azriel tidak mengerti.

            Adam merengus. “Haritu masa aku cerita tak nak dengar elok-elok. Kang aku korek telinga kau pakai garpu baru tahu. Aku lari sebab si Yasmin tu mengata bini aku. Dan dia pun sampai sekarang belum minta maaf, get it?”

            “Oh…” Azriel menggaru-garu kepala sambil tersengih.

            “Tapi macam mana pulak kalau aku cakap yang si Yasmin tu memang masih syok kat kau?” sampuk Yusof mengangkat sebelah kening.

            Adam berdehem, cepat-cepat mengusir senyuman diwajahnya.

            “Tak mungkinlah. Aku tak rasa macam tu.”

            “Kalau aku cakap memang tak pernah nak percaya…” Yusof menggumam sendiri, agak kecewa dengan Adam yang seakan tidak mampu melihat hakikatsebenar.

            Perbualan diantara mereka bertiga terganggu seketika saat Yasmin datang menegur. Dua orang lagi lelaki yang merupakan wakil RED Corporations berdiri dibelakang wanita itu, lagak seperti pengawal peribadi pula.

            Adam, Yusof dan Azriel memaniskan muka dan bertegur sapa seperti biasa. Masing-masing cuba berlagak profesional demi menjaga hubungan bisnes antara syarikat.

            Sambil berbual, Yasmin sesekali melirikkan bola mata ke wajah kacak bekas teman lelakinya. Namun tiada sesiapa yang menyedari lirikan tersebut kerana matanya yang tersembunyi disebalik shades hitam.

            Figura Adam, senyuman dan paras lelaki itu benar-benar membuatkan hatinya tak keruan. Semakin membuatkan dirinya meronta-ronta tidak sabar-sabar untuk melaksanakan rancangannya.

            Kau tengoklah nanti, Adam. Aku dah sediakan satu kejutan yang paling besar bila kau sampai Malaysia nanti. Kau milik aku, bukan Nadya!
************************

“MANA dia pergi ni? Telefon pun tak angkat!” sungut Nadya mulai geram. Dari tadi dia cuba menghubungi suaminya namun panggilannya tidak dijawab. Telefon Adam seakan sengaja dimatikan.

            Bingung Nadya dibuatnya. Kebiasaannya walau sesibuk mana pun, Adam tetap akan mengirimkan SMS memaklumkan tentang aktiviti hariannya disana.

            Moodnya untuk meneruskan kerja terus merudum. Ditambah pula rasa pening dan sakit kepala yang kadang-kala menyerangnya sejak kebelakangan ini. Dia agak tertekan kerana terpaksa menguruskan hal tempahan pakaian dan tudung seorang diri. Persiapan untuk roadshow pameran hijab dan kecantikan yang akan berlangsung tidak lama lagi menambahkan rasa serabut dikepala.

            Jam yang terpaku didinding dikerling. Baru hampir pukul tiga petang, namun Nadya bagaikan sudah tidak betah berlama-lama di butik. Dia cepat-cepat menutup komputer dan meninggalkan segala stok pakaian yang terbengkalai didalam ofis.

            Tas tangannya dicapai. Segala suis yang bernyala ditutup lalu butiknya dikunci. Dia sudah tiada semangat untuk meneruskan kerja hari ini. Kakinya terus dihayun pantas ke medan tempat letak kereta untuk pulang ke rumah.

            Saat dia baru menghidupkan enjin Kia Optima miliknya, tiba-tiba tingkap keretanya diketuk orang. Nadya terkejut sebaik melihat ada seorang lelaki berkumis nipis merenungnya menerusi cermin kereta tersebut. Cermin keretanya diturunkan sedikit.

            “Cik ada tercicir duit ke? Ni ada banyak duit bertabur kat tepi kereta cik.”

            Nadya cuba memanjangkan leher untuk melihat ke arah yang ditunjuk oleh lelaki itu. Ada beberapa keping not RM50 dan RM10 bertaburan ditepi tayar keretanya.

            “Bukan, itu bukan duit saya.” Seingatnya dia sudah mengepit tas tangan dengan cermat. Mustahil duitnya boleh tercicir sebegitu banyak.

            Lelaki itu pula hanya mengangkat bahu. “Okeylah, saya beritahu je. Saya memang nampak duit tu terjatuh dari beg cik. Cik nak ambil ke tak, suka hati ciklah.”

            Nadya terdiam. Setelah lelaki tadi menghilang dari pandangan, barulah dia memeriksa dompetnya. Betulkah memang duit dia yang tercicir?

            Tapi kalau duit yang jatuh itu tidak diambil, takut juga kalau-kalau duit tersebut diambil oleh orang yang tidak bertanggungjawab dan digunakan ke jalan yang salah.

            Lebih baik aku ambil dan niat sedekah, telahnya. Dia bercadang untuk menyumbangkan duit itu ke tabung masjid dalam perjalanan pulang nanti. Moga-moga si pemiliknya mendapat saham pahala di akhirat nanti.

            Perlahan-lahan Nadya melangkah keluar semula dari kereta. Sedang dia membongkok mengutip not-not wang yang bertaburan itu, tidak semena-mena kepalanya diserkup dari belakang dengan kain, membuatkan pemandangannya gelap serta-merta.

            Dia cuba menjerit dan meronta-ronta, namun sia-sia kerana lokasi keretanya yang diparkir agak jauh dari orang ramai dan tiada sesiapa melewati kawasan tersebut. Serentak itu sebuah van hitam berhenti dihadapan kereta Nadya. Dua orang lelaki berbadan besar terus menghumbannya masuk ke dalam van dan memecut pergi dari situ.
****************************

TAMAT waktu bekerja, Adrian menapak keluar dari bangunan Brilliant Sdn. Bhd. menuju ke kereta. Lengan baju kemejanya disinsing hingga ke siku. Tali leher ditanggalkan. Rimas dengan badan yang sudah melekit kerana seharian dipejabat.

            Dia memandu lesu menghala pulang ke rumah sambil mendengar celoteh penyampai radio Hot FM. Sesekali pandangan matanya singgah pada sang mentari merah di ufuk barat, menandakan remang senja mulai bertebaran. Pedal minyak ditekan, mahu segera sampai ke rumah kerana tidak suka berada di luar semasa azan Maghrib berkumandang. Banyak syaitan berkeliaran.

            Sedang dia leka dengan pemanduan, ingatannya terhadap Nadya datang menerpa. Sekali lagi. Entah kali yang ke berapa dalam minggu ini. Adrian menghela keluhan berat.

            Aku tahu kau bekas kekasih Hafiz, tapi itu tak bermakna aku juga perlu sukakan kau! hatinya mendesis, seolah-olah Nadya berada dihadapan matanya saat ini.

            Dia pernah terbaca satu artikel didalam internet tentang twin connection sebelum ini. Pasangan kembar selalunya mempunyai hubungan batin yang kuat. Jika seorang jatuh sakit, seorang lagi akan merasakan hal yang sama. Jika seorang berada dalam kesedihan, seorang lagi tetap akan merasa sedih biarpun dari kejauhan.

            Tapi bagaimana pula kalau kembar yang sudah meninggal dunia? Bagaimana mahu diklasifikasikan? Adakah jika kembarnya pernah menyukai seorang wanita, maka berkemungkinan dia akan menyukai wanita yang sama?

            Bullshit, I don’t believe in this kind of crap! Adrian menggerutu geram. Bayangan wajah Nadya cuba dibuang sejauh yang mungkin. Terus setia pada Jessica yang sudah tiada adalah lebih baik daripada menyimpan perasaan pada isteri orang. Lainlah kalau Nadya masih bujang.

            “Lainlah kalau dia bujang…” Ayat itu terpacul keluar dari bibirnya.

            “Astaghfirullah…” Adrian kembali ke alam nyata, bukan lagi alam khayalan yang merimaskan dan yang membuat dirinya tenggelam dalam emosi resah secara melampau.

            Tangannya memegang kejap stereng kenderaan, cuba menumpukan perhatian seratus-peratus pada pemanduan. Tidak tahu berapa lama dia mengelamun tadi, rupa-rupanya dia sudah memandu melepasi lebuh raya.

            Hampir tiba dikawasan tempat tinggalnya yang agak sunyi, dia terpandang seorang lelaki yang berdiri di satu simpang. Lelaki tersebut kelihatan berkerut menahan kesakitan sambil memegang dada.

            Adrian cepat-cepat dia memberhentikan BMW 3 seriesnya dipinggir jalan lalu berlari-lari anak mendapatkan lelaki tadi.

            “Encik, encik tak apa-apa?”

            “Saya… saya sakit jantung…” luah lelaki berkumis itu pula. Dia kelihatan seperti benar-benar dalam kesakitan.

            “Astaghfirullahalazim!” Adrian pantas memaut tubuh lelaki itu tatkala melihatnya hampir terjelepok ke tar jalan.

            “Saya bawa encik ke hospital sekarang ya!”

            Dia bingkas memapah lelaki tersebut ke keretanya. Baru dia ingin membuka pintu dibahagian penumpang, lelaki tadi yang kononnya sakit jantung terus membelakangi Adrian lalu mengilas tangan Adrian ke belakang.

            “Hahaha… dasar bodoh!” Lelaki itu tergelak besar. Perwatakannya tiba-tiba berubah 360 darjah.

           Selajur, sebuah van hitam masuk di persimpangan jalan itu dan berhenti mendadak. Adrian menoleh, mula menyedari sesuatu yang buruk bakal berlaku.

            Dia pantas bertindak. Sebelah lengannya direntap kuat dari pegangan lelaki itu. Serentak itu dia berpaling dan melepaskan tumbukan ke wajah lelaki tersebut, menyebabkannya jatuh terlentang ke tengah jalan.

            Empat orang lelaki lain yang keluar dari van hitam tadi mengelilingi Adrian, seolah-olah mencabarnya untuk berlawan.

            Adrian menelan air liur. Kedua-dua belah penumbuknya dikepal kuat sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

            “Korang nak apa sebenarnya? Nak duit? Nak merompak? Ambillah semua! Aku takkan lawan!” katanya menahan dada yang mulai bergemuruh. Jam tangan, dompet dan kunci keretanya dicampak ke dalam kereta, tanda dia menyerah dan tidak akan berbuat apa-apa. Memang dia pernah belajar seni mempertahankan diri ketika di sekolah, tapi dia tidak pernah terfikir untuk mempraktikkannya. Dia tidak sukakan keganasan.

            Setakat duit dan harta, semuanya tidak bernilai andai nyawa melayang.

            Lelaki berkumis tadi berundur ke belakang sambil memegang pipi yang sudah sedikit bengkak akibat ditumbuk oleh Adrian.

            “Tangkap dia, tapi jangan pukul. Aku tak nak ada kesan lebam sikit pun pada tubuh dia!” Lelaki berkumis mengeluarkan arahan pada lelaki-lelaki bertopeng itu.

            Apabila salah seorang daripadanya cuba mencekau Adrian, Adrian mengelak dan melepaskan sepakan pada lelaki itu. Keempat-empat lelaki itu menyerang Adrian serentak, menyebabkan Adrian tidak mampu membalas serangan mereka sekaligus.

            Ketika Adrian sedikit terleka, salah seorang daripadanya menerpa dari belakang dan menekup hidung Adrian dengan sapu tangan. Adrian tidak mampu untuk melawan. Kepalanya pening kerana terhidu bau klorofom yang terlalu kuat. Tubuhnya terkulai dan dia terus pengsan tersembam ke tanah.
******************************

“GOODBYE, take care. Kirim salam pada Zulaikha, ek? Ingat, jangan sampai Nadya tahu aku dah sampai Malaysia.” Adam sempat berpesan untuk kali terakhir sebaik teksi yang dinaikinya bersama Yusof tiba dihadapan rumah Yusof.

            “Ya, ya, aku ingatlah. Hish!” Naik bosan Yusof mendengarnya. Dia terus keluar dari teksi dan membuka bonet mengambil bagasi.

            Sebelum berpisah, kedua-duanya saling berdakapan.

            “Kirim salam pada Nadya, okey? Jumpa kat HS Holdings nanti,” ujar Yusof.

            Adam mengangguk sambil tersenyum ceria. Selepas Yusof melangkah masuk ke perkarangan rumah membawa segala barang-barangnya, Adam masuk semula ke dalam teksi untuk pulang ke rumahnya pula.

            Teksi yang dinaikinya bergerak dengan kelajuan sederhana. Bibir Adam tidak lekang dengan senyuman. Pandangannya dilempar ke luar tingkap dengan perasaan yang begitu bahagia. Akhirnya… Malaysia!

            Dia berkalih merenung sejambak bunga ros putih yang diambilnya daripada Huda sebaik tiba di KLIA tadi. Bunga yang diletakkan disisinya itu diambil lalu dicium untuk seketika. Ros putih; bunga yang cukup cantik, secantik bidadari syurga yang sedang menanti kepulangannya dirumah.

            Bagi Adam, ros putih melambangkan kesetiaan dan ketulusan. Membawa makna cinta yang sesungguhnya. Gambaran hati yang penuh kesejukan. Erti lain, ia juga simbol kepada kelembutan. Ros putih cukup memberi gambaran tentang isterinya.

            Sementara masih dalam perjalanan, Adam menarik keluar kad kosong yang terselit di celahan bunga. Tangannya menyeluk pen didalam beg sandang dan menuliskan sesuatu pada kad tersebut.

            Something happened to me. And it was the best thing that ever could be a fantasy. A dream come true, and it was the day I met you. I love you more than I have ever found a way to say to you.

            p/s: I love two things; white roses and you. White roses, for a short while. But you, for the rest of my life :)

            Ayat yang ditulis dibaca berulang-ulang kali. Ok ke ni? Harap-harap Nadya suka.

            Pennya kembali disimpan ditempat asal dengan senyuman yang masih terhias dibibir. Tidak sabar menanti bunga itu berpindah tangan.

            Beberapa puluh minit kemudian, teksi itu berhenti dihadapan kondominum KEN Bangsar. Selepas membayar harga tambang, Adam melangkah masuk ke ruang legar kondominum sambil menggalas beg sandang di bahu, menjinjit beg pakaian ditangan sebelah kiri dan memeluk jambangan ros putih ditangan kanannya.

            Tiba di tingkat dua; kondo tempat tinggalnya, dia terus membuka pintu menggunakan kunci pendua.

            Ternaik keningnya melihatkan rumah yang senyap-sunyi dan gelap-gelita.

            Adam terus menekan suis lampu. Ruang tamu yang gelap bersimbah cahaya. Namun segalanya kelihatan kaku. Tiada sebarang bunyi dan tiada juga bau masakan. Menandakan Nadya masih belum pulang ke rumah.

            Sejurus itu dia berlari ke bilik utama. Kosong. Cadar masih kemas berlipat.

            Ya Allah, mana isteri aku pergi? cetusnya mulai bimbang. Kakinya terasa lembik tiba-tiba. Jambangan ros ditangannya terlepas ke lantai.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

5 comments:

Anonymous said...

ala mcm boleh agak je ap yg jadi next...sedihnya msti adam marah..sob sob sob

Liyana Azman said...

alamak dh rase lain mcm ni

IVORYGINGER said...

Tak nak la jd camni... umpama kisah ayah & ibu EJ. Akhirnya bercerai n sebabkan ank2x mderita sbb busuk hati org lain. dr novel Cinta Ada Di Sini Penulis Sha Ibrahim...

Where is Andriana? Hope she can be heroin and help Nadya & Adam & Andrian... Plz help them. Tak nak la plan busuk Jasmine berjalan lancar. T T

E-la Adiey said...

Anon - uhuk3...jgn sedih2... :'D

Liyana Azman - hehe...tunggu ya..

IVORYGINGER - Adriana akan muncul lagi nnti. Buat masa ni kena fokuskan pada watak utama dlu. tp of coz watak Adriana pun penting. Hehe.. insya-Allah sy x nakla buat pasangan bercerai kan. bila dh cerai, nak satukan balik akan jd susah ckit

Ct Roxalynna said...

...ooohhhh...damn.... kinda hate this curiosity of what would happen next... Please... save Nadya's n Adrian's good term relationships~^^