Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Thursday, May 21, 2015

Kau Bidadariku... 24

YASMIN senang hati berjalan-jalan sendirian di Pavilion Kuala Lumpur. Masa yang sedikit terluang pada pagi itu membuatkan dia malas hendak terus ke pejabat. Fokusnya kepada misi merenggut Adam buat masa ini membuatkan dirinya telah berubah menjadi seorang yang kurang komited pada kerjaya. Kalau sebelum ini, bisnes dan urusan pejabat menjadi keutamaan. Sekarang, dikepalanya cuma ada Adam, Adam dan Adam!

            Girang sungguh hatinya selepas mendapat pengkhabaran dari Jay tentang apa yang berlaku di Taman Tasik Shah Alam semalam. Ikutkan hati mahu saja dia menghubungi Adam, buat-buat tanya tentang keadaan lelaki itu. Tapi dia tidak mahu terburu-buru. Biar segala-galanya berjalan mengikut perancangan sehinggalah dia benar-benar pasti hubungan Adam dan Nadya sudah berantakan.

            “Oh my god, Jimmy Choo… my favourite!”

            Yasmin teruja saat melihat butik mewah kegemarannya dihadapan mata. Tergedik-gedik langkahnya masuk ke butik tersebut. Hendak mencuba beberapa pasang kasut dan beg tangan. Kalau boleh dia mahu shopping sakan, mahu melaram dihadapan Adam. Biar Adam nampak, dia lebih cantik berbanding Nadya!

            “Latest design ada? Bawa keluar semua!” Yasmin mengarah pada pekerja butik. Cukup angkuh gaya dan nadanya.

            Beberapa orang pekerja butik mengikut seperti yang diarahkan. Yasmin yang duduk bersilang kaki di kusyen empuk tersenyum luas melihat kotak-kotak kasut yang disusun dihadapannya oleh pekerja butik. Satu-persatu dicubanya. Yang mana berkenan, terus diambil tanpa berfikir panjang.

            Keluar saja dari butik Jimmy Choo, kiri kanan tangannya sudah penuh dengan beg shopping. Macam-macam lagi benda mewah dibeli.

            Apa nak kesah? Duit aku dah berkepuk-kepuk. Lainlah kalau Nadya, hidup menumpang harta orang kaya! sempat lagi Yasmin mengutuk dalam hati.

            Sedang asyik dia mencuci mata melihat kedai-kedai dan butik mewah, matanya hinggap pada sepasang suami isteri yang kelihatan sedang membelek barang-barang kosmetik berjenama Korea di outlet Etude House. Sesekali pasangan itu tergelak-gelak seperti ada benda yang melucukan. Jelas sekali terpancar kebahagiaan di wajah mereka.

            Si suami memeluk pinggang pasangannya. Sesekali bibirnya hinggap di pipi dan kepala si isteri yang berbalut kemas dengan tudung. Langsung tiada segan-silu dengan pandangan mata orang ramai.

            Yasmin menggigit bibir. Renyuk hatinya melihat perlakuan pasangan itu. Mati mendadak senyuman diwajahnya. Siapa lagi kalau bukan Adam dan Nadya. Macam mana dia boleh terserempak dengan mereka disini? Bukankah sekarang waktu pejabat? Adam sepatutnya berada di HS Holdings, Nadya patut berada di butik. Bukan keluar berdating!

            Dia ingin melarikan wajahnya untuk mengelak dari dilihat, namun sudah terlambat apabila Nadya lebih pantas menoleh dan memandangnya.

            “Yasmin?” Nadya sedikit kaget. Sepantas itu dia mencuit suaminya.

            Yasmin tersenyum kelat. Mahu tidak mahu, dia terpaksa melangkah mendekati pasangan itu. Takut nanti Nadya bersangka bukan-bukan.

            “Hai…” Dia menyapa, mempamerkan wajah mesra yang dibuat-buat.

            “Hai, Yasmin. Lama kita tak jumpa…”

            Nadya menguntumkan senyuman sambil menghulurkan tangan kepada Yasmin. Dia tersenyum luas, langsung tidak menyedari niat busuk gadis tinggi lampai yang pernah menjadi salah seorang teman wanita Adam itu.

            Tanpa sedar Adam sudah mengetap gigi gerahamnya. Melihatkan wajah Yasmin membuatkan mood cerianya sedikit cacat. Dia bercuti hari ini kerana mahu menghabiskan waktu bersama isterinya, alih-alih terserempak dengan Yasmin yang selama ini cuba dihindarinya.

            “Tak sangka boleh terjumpa kat sini. Awak buat apa? Shopping sakan nampak,” tegur Nadya melihat beg shopping yang penuh ditangan Yasmin. Dia cuba beriak biasa meskipun ada perkara yang pernah terjadi diantara mereka lebih sedekad yang lalu. Biarlah, dulu zaman budak-budak dan dia tidak mahu menyimpan dendam. Tambahan pula Yasmin sekarang sudah menjadi rakan bisnes Adam, jadi dia mahu bersangka baik.

            “Itulah, tiba-tiba I rasa macam nak shopping hari ni,” jawab Yasmin acuh tak acuh. Dia tersenyum manis pula kepada Adam.

            “Adam, tak pergi ofis ke hari ni?”

            “Tak, I cuti hari ni. Nak habiskan masa dengan my lovely wife,” ujar Adam selamba sambil mengeratkan pautan pada pinggang isterinya. Spontan dia menunduk lalu membenamkan hidungnya ke pipi Nadya, membuatkan wajah isterinya itu berbahang menahan malu.

            “Ish, abang. Yasmin tengok tu, malulah!” Nadya berbisik, segan pula diperlakukan begitu dihadapan Yasmin.

            Tergamam Yasmin melihatnya. Liurnya yang terasa kesat diteguk perlahan-lahan. Struktur wajahnya sengaja dikeraskan seolah-olah kemesraan suami isteri itu tidak memberi kesan kepadanya. Hakikatnya, senario itu sangat menyakitkan mata dan meluruh kalbunya!

            “You pun tak pergi ofis?” Adam tiba-tiba mengajukan pertanyaan, membuatkan Yasmin tersentak seketika.

            “Aah, rasa nak shopping. Dah lama tak keluar beli barang macam ni, asyik kerja je.” Yasmin menjawab, namun matanya sempat menilik Nadya atas bawah.

            Meskipun kekal menutup aurat, gaya dan fesyen Nadya tidak mengecewakan. Wanita kecil molek itu tampak comel memakai skirt labuh berwarna tiffany green, dipadankan bersama T-shirt santai, kardigan labuh berwarna kontra dan shawl yang sama dengan warna skirt. Imej yang segar dan tampak jauh lebih muda daripada usia sebenar.

            Sempat pula Yasmin membandingkan Nadya dengan dirinya. Dia lebih suka bergaya elegan dengan skirt pendek sendat paras peha bersama dengan kasut tumit tinggi seperti sekarang. Imej yang matang untuk menyerlahkan gaya korporatnya.

            Hmm… rupanya Adam suka imej comel, bukan elegan! desis Yasmin. Makin robek jiwa dibuatnya.

            “Okeylah, I pergi dulu. Ada hal. Enjoy your date,” ujar Yasmin seraya menguak sedikit rambut perang berkaratnya yang terjuntai di dahi.

            “Alright, you too,” balas Adam pula sepintas lalu. Acuh tak acuh.

            Yasmin mengukir secebis senyuman terpaksa sebelum berlalu pergi. Masam mencuka wajahnya setelah membelakangi Adam dan Nadya.

            Sebaik tiba di keretanya, Yasmin terus mencampakkan segala beg shopping di tempat duduk belakang. Wajahnya merah padam bagaikan gunung berapi yang akan memuntahkan lavanya bila-bila masa sahaja.

            “Aku benci kau Nadya! Aku benci kau! Aku akan musnahkan hidup kau!!!” Dia memekik sekuat-kuat hati sambil menghentak stereng kereta.

            Kepalanya dihempaskan ke kusyen dengan mata yang dipejamkan. Rasa sakit dan pedih hatinya dilontarkan melalui tangisan. Dia teresak-esak sendirian. Sungguh, mencintai Adam benar-benar membuatkan tubuh, otak dan perasaannya menderita.

            Namun dia masih lagi begitu. Dia masih mahukan Adam. Bukan lelaki lain.

            Setelah sudah sedikit tenang, baru dia teringatkan sesuatu. Jay kata Adam marah selepas melihat Nadya berduaan bersama Adrian, tapi kenapa yang berlaku sebaliknya? Kenapa mereka berdua kelihatan bahagia seperti tiada apa-apa terjadi sebelum ini?

            Air mata yang berjejeran dipipi terus dilap kasar. Tangannya menyelongkar tas tangan dan mengambil telefon bimbit. Nombor telefon Jay didail.

            “Hello!”
            “Ya, Cik Yasmin?”
            “You kat mana ni?”

            “Kat Pavilion, tengah stalk Adam dengan Nadya. Saya nampak Cik Yasmin tadi!”

            “Dahlah, tak payah mengendap diorang lagi. Datang sini sekarang, I tunggu you kat parking lot Aras B2.”

            Belum sempat Jay membalas, punat merah terus ditekan. Hanya 15 minit selepas itu baru Jay muncul. Yasmin membuka selak pintu keretanya. Jay terus masuk dan duduk dikerusi penumpang hadapan.

            “Ada apa, Cik Yasmin?”

            Yasmin menarik nafas dalam-dalam sebelum memanah tepat ke wajah Jay.

            “Macam mana you buat kerja ni, hah?”

            “Err… kenapa, Cik Yasmin?”

            “Kenapa? You boleh tanya I kenapa?!” Yasmin menaikkan oktaf suara dengan mata yang terjegil.

            Tertelan air liur Jay melihat mata Yasmin yang sudah merah menyala.

            “Pagi tadi beria-ia you cakap Adam marah Nadya. Adam mengamuk tengok isteri dia berdua-duaan dengan lelaki lain kononnya. Ini apa pulak? Diorang keluar dating harini macam tak ada apa-apa jadi semalam!”

            “Cik Yasmin janganlah marah saya. Saya pun tak faham apa yang dah jadi sekarang. Tapi saya tak tipu, memang Adam nampak marah semalam.”

            “You tak faham? I lagilah tak faham. Kan elok you jadi peti ais je, tak delah menyusahkan orang lain!” rengus Yasmin geram.

            Terkulat-kulat Jay dimarahi begitu. Tapi apa boleh buat? Dia bekerja untuk Yasmin, jadi terpaksalah dia menadah telinga sahaja.

            Sejujurnya dia sendiri terkejut tentang apa yang berlaku pada hari ini. Dia mengekori pasangan itu dari rumah sehinggalah ke Pavilion. Dan kedua-duanya kelihatan cukup mesra berjalan sambil berpegangan tangan. Takkan Adam tak marah langsung?

            “Saya rasa Cik Yasmin, Adam tu bukan jenis mudah kena tipu. Lagipun kita cuma buat si Nadya tu terserempak dengan Adrian dekat tempat public. Kalau tempat tertutup yang boleh mendatangkan keraguan dan syak wasangka, barulah syok Cik Yasmin!”

            Yasmin merenung wajah Jay. Kelihatan seperti berminat dengan apa yang diperkatakan lelaki itu.

            “Maksud you?”

            Jay mengukir senyuman ditepi bibir. “Saya ada cara lain yang lebih ekstrem. Kalau cara ni menjadi, silap-silap Adam terus ceraikan isteri dia talak tiga!”

            Yasmin menjingkit kening, mengisyaratkan agar Jay meneruskan kata-katanya.

            “Tapi kita kena tunggu beberapa hari dulu. Biar sampai kes semalam reda. Bila diorang leka, masa tu saya akan masuk jarum,” ujar Jay lagi.

            “Yalah, cakaplah apa plan you!” Yasmin mendesak, tidak sabar-sabar dia mahu tahu apa sebenarnya rencana Jay.

            “Tapi Cik Yasmin kena bayar saya lebihlah. Sebab untuk plan ni, saya tak boleh buat kerja sorang-sorang. Kena pakai orang lain jugak.”

            “Hmm… lain macam je you ni. Lantaklah nak pakai orang berapa ramai pun. Duit tak jadi masalah, you cakap je berapa you nak. Yang penting Adam tinggalkan isteri dia.”

            Jay tersengih-sengih gembira. Dari tutur kata Yasmin, dia tahu bosnya itu sudah dikuasai api cemburu dan dengki yang amat sangat. Dengki dengan kehidupan bahagia wanita lain kerana terlalu menginginkan seorang lelaki yang jelas-jelas bukan hak miliknya. Tapi biarlah, dia tak peduli. Janji dapat duit.

            Dia terus membuka mulut, memberitahu satu-persatu tentang rancangan barunya. Terdiam seketika Yasmin saat mendengarkan rancangan itu.

            Namun tidak lama selepas itu kedua-duanya ketawa sakan. Yasmin yakin kali ini dia tidak akan gagal lagi. Bila bisikan iblis sudah bermaharaja dihati, urusan dosa pahala ditolak ketepi. Sedikipun tiada perasaan bersalah kerana cuba meruntuhkan rumah tangga orang. Hendak rasa berdosa jauh sekali.

            Hati Yasmin kian berbunga dendam. Mekar kerana cintanya yang tidak berbalas seperti yang dimahukan. Kini baginya, hanya cinta yang berkuasa ke atas dirinya.

            Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu ia berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang menipu dan merosak (hubungan) seorang hamba sahaya dari tuannya, maka ia bukanlah sebahagian dari (golongan) kami, dan siapa yang merosak (hubungan) seorang wanita dari suaminya, maka ia bukanlah dari (golongan) kami.” (Hadis riwayat Ahmad, Al-Bazzar, Ibn Hibban, Al-Nasai dalam al-Kubra dan al-Baihaqi).
**********************

“DIA makin cantik sekarang kan, bang?”
            “Dia? Dia siapa?” Adam mengembalikan pertanyaan sambil menggenggam erat tangan isterinya. Selesai membeli sedikit barangan kosmestik di Etude House, mereka hanya berjalan-jalan mencuci mata melihat deretan kedai yang dibuka.

            “Yasminlah, siapa lagi…”

            Adam tidak memberi sebarang respons. Malas hendak mendengar nama wanita itu. Rasanya kalau Nadya tahu apa yang pernah diungkapkan oleh Yasmin, pasti Nadya tidak akan melontarkan pujian sebegitu.

            “Dah lama sangat tak jumpa dia. Dulu masa kat UM dia lain sikit. Sekarang makin bergaya. Tinggi macam model. Businesswoman berjaya pulak tu. Pakej lengkap, suka tengok dia. Tapi sayang dia macam nak cepat tadi, kalau tak mesti Nadya dah ajak dia minum sama-sama,” ujar Nadya lagi. Dia memuji ikhlas, namun Adam bagaikan sakit telinga mendengarnya.

            “Bukan main lagi Nadya puji si Yasmin tu. Nadya dah lupa ke apa yang pernah jadi dulu? Macam mana dia layan Nadya?”

            Nadya menzahirkan senyuman yang cukup manis. Wajah kelat suaminya dipandang sekilas.

            “Alah, dulu tu dululah. Semua orang boleh berubah, kan? Kenapa abang macam tak suka je? Bukan company abang joint venture dengan company Yasmin ke?”

            Adam merengus kecil. Patutkah dia menceritakan hal sebenar kepada Nadya? Tapi takut pula isterinya itu tersentuh. Yasmin bukanlah jahat, cuma bermulut celupar. Pasangan berkahwin mana yang tidak mahukan anak?

            Dan baginya, soalan “Bila nak dapat anak?” adalah satu soalan yang sangat menjengkelkan. Bukankah itu semua kerja Tuhan? Kalau akal manusia boleh menebak tentang jodoh dan zuriat, pasti masing-masing juga sudah tahu tarikh kematian sendiri.

            “Abang malas je nak bersembang pasal orang lain. Kan kita keluar ni nak seronok-seronok,” ujar Adam kemudiannya.

            “Oh ya, abang ada cakap haritu yang abang nak ke Dubai tak lama lagi untuk projek joint venture tu. Nadya ingat tak?” Adam tiba-tiba menukar subjek perbualan. Biarlah Yasmin tu. Malas…

            Nadya mengangguk-angguk.

            “Ingat, visa semua dah apply, kan? Berapa lama abang ke sana?”

            “Yup, hal visa dah setel. Paling lama kat sana pun dua minggu. Tapi rasanya tak sampai dua minggu kot. Rasa tak sedap hati nak tinggalkan Nadya lama-lama kat sini.”

            Nadya tergelak halus.

            “Abang, Nadya bukan budak kecil. Nadya boleh jaga dirilah.”

            “Nope, abang still tak nak pergi lama-lama!” Adam menggeleng-geleng manja. Telatahnya yang seperti anak kecil membuat Nadya ketawa. Pipi Adam ditarik lembut, geram dengan tingkah comel suaminya itu.

Adam turut ketawa dengan tangan yang erat memeluk bahu si isteri tercinta. Terpancar kebahagiaan diwajahnya. Sedikitpun tidak mampu menghidu ada manusia lain yang diam tidak menyenangi kehidupan mereka.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

No comments: