Selepas bersalam dengan Datin Aliah,
Zahra terus ke dapur untuk membancuh air. Sejujurnya dia malu dengan kedatangan
ibu bapa Farish ke sini. Tidak tahu di mana mahu disorokkan muka selepas
berlakunya insiden yang memalukan itu.
“Err… anak Dato’ dan Datin tak
datang sekali ke?” soal ayah Zahra, Pak Cik Yusuf setelah memperkenalkan
dirinya dan isterinya.
“Dia…”
“Dia masih di ofis. Banyak kerja
katanya.”
Pantas Dato’ Sharif memotong
kata-kata isterinya. Sebenarnya Farish berada di villa sekarang. Kata Farish,
dia masih belum bersedia untuk menebalkan muka bertemu ibu bapa Zahra kerana
dia tahu ini memang salahnya kerana membawa Zahra keluar malam itu.
“Tak usahlah panggil kami Dato’ dan
Datin. Saya Sharif, ini isteri saya Aliah. Panggil nama saja kedengaran lebih
akrab. Kita kan bakal besan, betul tak?” ujar Dato’ Sharif cukup ramah.
Pak Cik Yusuf dan Mak Cik Nurul
sedikit terpinga-pinga. Mereka sebenarnya sudah tahu tentang rancangan ibu bapa
Farish untuk menyatukan Farish dan Zahra selepas Zahra menceritakan segalanya
melalui telefon, tapi tidak sangka pula Dato’ Sharif ingin membincangkan
perkara tersebut secepat ini. Tambahan pula keluarganya cuma berasal dari
kampung, Dato’ Sharif tidak terfikirkah tentang pangkat dan kedudukannya?
“Saya tahu mungkin perkara ni agak
cepat tapi saya rasa eloklah kita satukan Farish dan Zahra dengan segera,”
sampuk Datin Aliah.
Zahra yang berada di dapur dapat
mendengar dengan jelas butir bicara Datin Aliah itu. Hatinya menjerit tidak
mahu. Untuk apa dia menikah dengan orang yang tidak mencintainya?
“Tapi, tak rasa cepat sangat ke?”
soal Mak Cik Nurul pula.
“Nak tak nak, kita terpaksa. Kalau
perkara ni dilambat-lambatkan, Farish dengan Zahra terpaksa turun naik mahkamah
dan ini akan menjatuhkan imej syarikat dan suami saya,” jelas Datin Aliah cukup
lembut namun tegas.
Mak Cik Nurul memandang wajah
suaminya yang pucat. Kesihatan suaminya semakin memburuk semenjak kes Zahra
ditangkap khalwat. Batuknya tidak henti-henti hingga kadang-kala keluar darah
daripada mulutnya.
Ibu bapa mana yang tidak kecewa.
Inikah balasan untuk mereka setelah mereka bersusah payah menyekolahkan anak
tinggi-tinggi sehingga ke peringkat universiti?
Zahra cuba menjenguk ke ruang tamu.
Dia tidak berani untuk keluar dan berhadapan dengan Dato’ Sharif dan Datin
Aliah. Tidak semena-mena air matanya bertakung melihat wajah pucat ayahnya.
Ayah, maafkan Ara kerana tak mampu
jadi anak yang baik. Ara dah memalukan nama baik keluarga. Dalam keadaan ayah
sakit pun Ara tergamak buat ayah macam ni. Mak, ayah, ampunkan Ara… bisik
hatinya pilu.
“Terserahlah. Saya ikut aja apa yang
Sharif dan Aliah fikirkan betul,” luah Pak Cik Yusuf akhirnya.
Tidak!!! Hati Zahra menjerit. Ingin
sahaja dia keluar dan membantah tapi dia tidak berdaya. Apakah dia masih
mempunyai hak untuk bersuara setelah tergamak memalukan ibu bapanya sendiri?
“Baguslah kalau begitu. Sebelum
berita ni sampai ke pengetahuan orang luar, marilah kita cepat-cepat satukan
mereka,” gesa Datin Aliah menerbitkan senyuman diwajahnya. Sedikitpun dia tidak
menunjukkan riak tidak puas hati atau marah kerana akhirnya berbesan dengan
orang kampung.
“Tapi Dato’ dan Datin betul-betul
tak kesah ke?” Mak Cik Nurul bertanya menginginkan kepastian. Dia sedikit
spektikal kerana Dato’ Sharif dan Datin Aliah begitu mudah menerima orang yang
tidak dikenali menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.
Atau mungkinkah dia yang cepat
terpengaruh dengan filem P.Ramlee, Antara 2 Darjat dan sinetron-sinetron
Indonesia di TV3?
Dato’ Sharif tersenyum.
“Sebab tak kesahlah kami datang
sini. Kami nak berjumpa sendiri dengan ibu bapa bakal menantu kami. Kami nak
datang meminang secara baik. Tapi kalau boleh, biarlah pernikahan ni dilakukan
secara rahsia dulu. Biar kita-kita aja yang tahu. Nanti bila kes ni dah reda
barulah kita buat majlis kahwin.” Dia menjelaskan sekaligus mengusulkan
cadangan.
Pak Cik Yusuf dan Mak Cik Nurul
mengangguk sahaja. Mereka bersetuju dengan setiap cadangan yang diutarakan
Dato’ Sharif sekiranya untuk dapat menjaga reputasi Media Art & Craft dan
nama baik Dato’ Sharif sendiri.
Jauh disudut hati, rasa rendah diri
tetap ada. Maklumlah, mereka cuma orang kampung, apalah yang mereka tahu
tentang syarikat dan kehidupan di kota. Asalkan cadangan itu tidak merugikan
Zahra, mereka bersetuju tanpa bantahan.
Dan Zahra yang sedari tadi mencuri
dengar perbualan orang tuanya dari dapur
hanya mampuu menahan rasa sakit hati yang bersarang dihatinya. Betapa
robek hatinya apabila ibu bapanya langsung bersetuju untuk menyatukan dia dan
Farish tanpa bertanya sama ada dia bersetuju atau tidak.
************
Masih terngiang-ngiang ditelinganya
saat Farish melafazkan akad. Namun ketika itu, Zahra langsung tidak menitiskan
air mata. Tidak tahu sama ada dia gembira atau sedih dengan pernikahan ini.
Jelas wajahnya hanya menunjukkan pasrah saat itu.
Majlis pernikahannya diadakan dalam
suasana yang cukup sederhana. Hanya jiran-jiran terdekat, Jue, Rudy dan kedua
ibu bapanya yang hadir menyaksikan upacara pernikahan tersebut.
Perkahwinan itu dirahsiakan daripada
pengetahuan umum. Rakan-rakan bisnes Dato’ Sharif mahupun teman-teman Datin
Aliah sendiri tidak dimaklumkan. Kata Farish, dia mahu keadaan kembali reda
sebelum dia sendiri cukup bersedia untuk memberitahu umum tentang status
barunya.
“Ara kena ingat yang Ara sekarang
dah jadi isteri orang. Kena dengar cakap suami. Tentang mak dan ayah kamu
janganlah risau. Tahulah kami uruskan hidup kami sendiri.” Itu kata-kata
pertama yang keluar dari bibir Mak Cik Nurul ketika Zahra duduk bersendirian di
dalam bilik pengantin.
Zahra tunduk. Tanpa disedari air
matanya menitis. Sewaktu akad nikah tadi dia langsung tidak menangis, tapi
sebaik mendengar kata-kata ibunya, air matanya terus mengalir tanpa
disekat-sekat.
“Mak, tolonglah percayakan Ara. Ara
tak salah. Farish pun sama. Kami terperangkap.” Sayu suara Zahra menahan sebak.
“Kami percaya. Kami percayakan kamu,
nak. Bukan baru sehari, dua ayah dan mak jaga kamu. Tapi kita tak mampu buat
apa-apa. Mungkin ini memang suratan-Nya,” keluh Pak Cik Yusuf pula, sesekali
dia terbatuk.
Zahra bertambah sebak. Dia tahu mak
dan ayahnya kecewa kerana dia mengakhiri zaman bujangnya dengan cara seperti
ini. Sudahlah ayahnya sering sakit-sakit sejak akhir-akhir ini, dan sekarang
terpaksa bersusah payah menaiki bas ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menjadi
wali pernikahannya.
“Mak minta pada kamu, kalau kamu
masih sayangkan mak dan ayah, kalau boleh buat masa ni janganlah hubungi kami.”
Permintaan Mak Cik Nurul kali ini benar-benar melukakan hati Zahra.
“Tapi kenapa mak? Ara tak salah… Ara
minta maaf…”
“Kami perlu cari ketenangan, Ara.
Kami perlukan masa untuk melupakan kejadian ni. Kamu baik-baiklah tinggal di KL
ni ya, nak? Mak dan ayah selalu mendoakan kebahagiaan kamu,” ujar Mak Cik Nurul
lagi.
Ya, dia memang percaya anaknya tidak
bersalah. Menantunya juga sama. Cuma dia dan suaminya perlu melapangkan fikiran
buat masa ini. Perkahwinan ini penting demi menutup aib keluarga. Apa yang dia
mahu jawab jika jiran-jiran bertanya kenapa kenduri kahwin di kampung tidak
diadakan? Biarlah perkara itu menjadi rahsia buat masa ini.
Mak Cik Nurul tahu, kedua-dua besan
dan menantu dapat menerima keluarganya walaupun taraf mereka berbeza. Sewaktu
dia bersalaman dengan Datin Aliah tadi, Datin Aliah tetap memaniskan muka dan
berjanji untuk menyayangi Zahra seperti anak sendiri.
Dan sewaktu bersalam dengan Farish,
menantunya itu tersenyum manis dan mencium tangannya penuh hormat.
Alhamdulillah, dia mendapat menantu yang sopan dan tahu menghormati orang tua.
“Kami balik dulu, Ara. Kami kena
cepat. Bas kami untuk balik Melaka pukul 3.00 petang ni,” sampuk Pak Cik Yusuf.
Ikutkan hati, Zahra berat untuk
melepaskan ibu bapanya pergi namun dia sedar, mungkin ibu bapanya masih kecewa.
Akhirnya dia tinggal bersendirian di dalam bilik pengantin itu dengan kekesalan
yang tidak berpenghujung.
***********
Selepas majlis pernikahannya tamat,
Zahra duduk diruang tamu bersama Farish dan ibu bapa mentuanya. Rudy sudah
pulang ke ofis semula atas permintaan ayahnya. Maklum sajalah, Rudy baru sahaja
menggantikan posisi ayahnya sebagai Pengarah Eksekutif, jadi banyak perkara
yang perlu dipelajarinya. Jue juga terpaksa pergi kerana mencari bahan artikel
diluar.
Zahra hanya menunduk dan tidak
berani bersuara. Dia tahu siapa dirinya jika hendak dibandingkan dengan
orang-orang kaya di dalam rumah ini. Dia kini berada di satu tempat yang asing.
Dia tidak pernah mengenali ibu bapa mentuanya secara peribadi sebelum ini.
Tiba-tiba sahaja dia disatukan dengan Farish. Segalanya berlaku dengan sekelip
mata.
“Memandangkan Zahra dah jadi menantu
dalam keluarga ni, apa kata Zahra tinggal aja kat sini dengan kami?”
Cadangan Datin Aliah itu membuat
Zahra dan Farish terkejut. Masing-masing tidak berkelip memandang Datin Aliah.
“Betul tu. Tak kira macam mana pun
cara kamu berdua bernikah, Zahra tetap menantu kami.” Dato’ Sharif menyetujui
kata-kata isterinya.
Zahra melirik ke arah Farish.
Suaminya itu hanya membuang pandang ke lain, seperti langsung tidak berminat
dengan cadangan yang diutarakan ibunya.
Benci sangat ke Farish ni kat aku?
detik Zahra.
“Macam mana, Rich? Kamu setuju ke?”
soal Dato’ Sharif.
Farish angkat bahu. “Buatlah apa
yang mama dan papa rasa betul. Kalau dia pun nak tinggal sini, pindah jelah ke
sini.”
Jawapan Farish itu membuat Zahra
kecewa. Daripada jawapannya sudah menunjukkan yang dia tidak mahu ambil peduli
langsung tentang isterinya. Zahra akur. Orang dah tak mahu, kenapa perlu
dipaksa? Macam dia pula yang terhegeh-hegeh mahu berkahwin dengan anak orang
kaya.
“Mama, papa, Ara hargai cadangan tu
tapi buat masa ni, biarlah Ara tinggal menyewa dengan kawan Ara macam sebelum
ni,” ujar Zahra perlahan.
“Nak tinggal menyewa? Tapi Ara kan
menantu kami, tinggallah disini,” pujuk Datin Aliah.
Zahra tersenyum kelat. “Tak apalah,
Ara kena biasakan diri dulu. Lagipun, Ara dengan Farish bukannya rapat pun
sebelum ni. Semua yang berlaku terlalu tiba-tiba. Biarlah Ara balik tenangkan
diri.”
Datin Aliah sedikit kecewa dengan
jawapan menantunya. Dia memandang Farish, meminta agar Farish bersuara tapi
Farish diam sahaja.
“Tak apalah, kalau nak balik rumah
sewa tu, biar saya hantarkan nanti,” ujar Farish dengan muka tiada perasaan.
Dato’ Sharif dan Datin Aliah hanya
mampu menggeleng. Agaknya anak dan menantu mereka belum boleh mencari
keserasian. Tapi kalau tak serasi, macam mana sampai boleh kena tangkap basah?
************
Datin Zabedah memandang anaknya
dengan pandangan melotot.
“Hei, Syazreen! Si Farish tu baru je
kahwin, kamu jangan cuba nak buat kecoh. Nanti tak pasal-pasal Dato’ Sharif
dengan Datin Aliah serang kamu. Kamu lupa ke? Kamu yang menyebabkan si Farish
tu ditangkap khalwat!”
Syazreen terdiam mendengar jerkahan
mummynya. Air matanya mula bertakung.
“Buat masa ni keadaan masih tegang.
Tunggu bila kes ni reda. Sepanjang tempoh tu, jangan sesekali keluar cari si
Farish tu. Dibuatnya dia berdendam dengan kamu, macam mana?
Heee… mummy ni dah lama geram dengan
kamu, Sya. Nak kata bodoh, anak sendiri. Yang kamu sengaja ajak Farish jumpa
kat hotel tu kenapa? Tengok apa dah jadi sekarang. Dengar sini baik-baik, kalau
Farish atau mak ayah dia ada call, jangan sesekali jawab. Mesej diorang pun
jangan balas, faham?”
“Tapi kenapa?” Syazreen menyoal.
“Eh, kamu ni nak mati ke? Kalau
diorang cari kamu sampai ke lubang cacing macam mana? Kamu tu bernasib baik
sebab diorang tak datang serang sampai ke rumah ni, tau tak? Dahlah, lupakan
mereka untuk sementara,” tutur Datin Zabedah tegas dan terus keluar dari bilik
anaknya.
Syazreen yang sedari tadi menahan
air matanya terus menangis semahu-mahunya sambil menekup muka ke bantal.
Namun jika difikir-fikirkan, memang
ini salahnya juga. Dia mengajak Farish berjumpa di hotel, dengan harapan Farish
datang bersendirian. Dan dalam masa yang sama, dia menelefon pejabat agama dan
membuat aduan ada orang berkhalwat di hotel tersebut dan memberikan nombor
biliknya. Dia ingin memiliki Farish walau dengan cara apa sekalipun.
Alangkah marahnya dia apabila Farish
datang bersama Zahra. Habis rancangannya gagal. Dia turun sebentar untuk
memanggil security guard. Dia lupa bahawa sebelum itu dia telah menelefon orang
dari pejabat agama. Dan apabila Farish dan Zahra ditinggalkan berdua di dalam
bilik hotelnya, mereka berdua pula yang ditangkap.
Sebenarnya, memang dari awal lagi
dia ingin menerangkan perkara sebenar kepada Farish, Dato’ Sharif dan Datin
Aliah tapi mummynya berkali-kali menegah. Kata mummynya, takut Dato’ Sharif dan
Datin Aliah berdendam tapi Syazreen tahu, niat mummynya lebih kepada ingin
membalas dendam. Bukannya Syazreen tidak tahu, Datin Zabedah cukup benci dengan
Farish sejak Farish menolak cinta Syazreen mentah-mentah.
Maafkan I Rich, I tak mampu buat
apa-apa… rintihnya. Akhirnya, dia menangis tak berlagu sebab dia tak pasang
radio.
************
Ketika hari hampir lewat petang
barulah Farish menghantar Zahra pulang ke rumah sewanya. Kereta BMW Farish
berhenti dihadapan rumah sewa itu.
“Turunlah, dah sampai.”
Zahra tersentak dari lamunan sebaik
Farish menyuruhnya turun dari kereta mewah itu.
Zahra memandang Farish, namun lelaki
itu sedikit pun tidak menoleh ke arahnya. Pada tanggapan Zahra, Farish tidak
dapat menerima pernikahan ini dan membencinya. Maklumlah, dia cuma perempuan
kampung. Mana mungkin Farish pernah berniat mahu berkahwin dengan gadis
sepertinya. Mungkin tastenya cuma gadis-gadis kaya dan seksi.
“Baiklah, terima kasih tolong
hantarkan saya, En.Farish,” ucap Zahra perlahan dan terus keluar dari kereta
tersebut.
Sebaik Zahra menutup pintu kereta,
BMW Farish itu terus meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan tersebut.
Zahra mengeluh sendiri. Pandang aku
pun tak, memang dah benci tahap petala ke lapan lah tu kut…
Zahra terus mengepit tas tangannya
dan melangkah masuk ke halaman rumah sewa. Memang ketika dia ke Villa Sharif
tadi, dia datang sehelai sepinggang. Yang ada di dalam dompet pun cuma sedikit
wang dan kad pengenalan.
“Assalamualaikum…” Dia mengetuk
pintu rumah yang berkunci.
Tidak sampai satu minit, pintu
dibuka. Jue kelihatan terkejut Zahra berdiri dihadapan rumahnya dengan masih
memakai baju kurung putih satin yang dipakai semasa akad nikah tengah hari
tadi.
“Ara, kau datang nak ambil baju-baju
kau ke? Kau nak tinggal dengan Farish kat villa tu?”
Zahra tidak menjawab pertanyaan itu.
Mata Jue melilau memandang ke jalan raya.
“Eh, mana En.Farish? Dia tak
temankan kau sekali ke? Takkan kau nak angkut barang ke sana sorang-sorang?”
Jue menyoal lagi.
Kali ini Zahra tidak mampu menahan
sebak. Benar, dia yang membuat keputusan untuk tinggal bersama Jue, namun
kebisuan Farish telah membuktikan bahawa Farish memang tidak pernah
memerlukannya sebagai seorang isteri.
Kalau benar Farish mahukannya,
kenapa Farish sedikitpun tidak mengajaknya untuk tinggal di villa itu
bersamanya?
Tanpa sepatah kata, tubuh Jue terus
dirangkul dengan erat. Zahra terus menangis semahu-mahunya di bahu sahabatnya
itu.
3 comments:
cian nye kat zahra,melampau gak farish wat zahra cam tu...kalu tak suke ke suke ke tk yah lah wat cam tu......sabar bebnyk zahra tuk sah layan kalu org dh tk sudi...
hmm..btul tu.. benci farish! haha..tetiba
nyampah aku dgn farish. syazreen gedik pun sama
Post a Comment