Anak buah Ray yang bernama Virgo menuam air batu ke kepala bosnya
sebaik bosnya itu sedar dari pengsan pagi itu. Mereka masih berada di pondok di
tengah-tengah ladang kelapa sawit itu.
Wajah Ray merah
padam. Dia benar-benar tidak menyangka Rizal bertekad memukulnya dan melarikan
diri. Dan yang lebih membuatnya sebal, tiada seorang pun anak buahnya yang
berjaya menangkap Rizal. Rizal seolah-olah hilang begitu sahaja dalam kegelapan
malam.
“Korang ni memang
tak boleh diharap. Semua otak dungu!” Ray melepaskan kemarahannya.
Anak-anak buahnya
cuma mampu memandang tanpa membalas apa-apa. Kalau berani menjawab, maka
pelurulah habuannya. Lebih baik senyap.
“Macam mana si
Rizal yang dah lembik tu boleh lari macam tu je? Korang ni harapkan badan je
besar, polis yang dah lembik nak mampus tu pun korang tak boleh kejar. Samseng
apa korang ni? Samseng tahi kucing?” tempelak Ray cukup-cukup.
Ray menggigit
bibir. Dia tidak tahu dimana dan bagaimana keadaan Rizal sekarang tapi dia amat
berharap Rizal sudah mati dimakan binatang buas didalam hutan. Biar tiada siapa
mampu menjejakinya lagi. Dan dia juga harus keluar dari Malaysia secepat
mungkin. Tapi tidak selagi dia belum melihat keluarga Rizal hancur.
Dia ingin melihat
keluarga Rizal porak-peranda. Biar semua orang menangisi pemergian Rizal
sementara dia seronok bercuti di luar negara sambil berjemur di tepi pantai.
Ray mengukir
senyuman. Satu idea jahat berlegar-legar dalam otaknya. Dia mengeluarkan
senjata api yang disisipkan dipinggangnya, dan tidak semena-mena dia melepaskan
tembakan rawak ke arah salah seorang anak-anak buah yang mengelilinginya.
Salah seorang ahli
Sharks yang tidak tahu apa-apa, sebutir peluru menembusi kepalanya. Dia
terkulai rebah dengan mata buntang. Tubuhnya tersembam ke lantai akibat tolakan
peluru yang menderas dari picu pistol Ray.
Masing-masing
ternganga. Tiada suara keluar dari mulut mereka. Tiada siapa berani bertanya
kenapa Ray tiba-tiba bertindak menembak ke arah salah seorang daripada mereka.
Ray tersenyum. Dan
dengan selambanya menyimpan semula pistol tersebut di pinggangnya.
“Aku ada rancangan
baik punya. Aku tak kira, selagi aku tak tengok keluarga Rizal tu
porak-peranda, aku takkan tenang. Virgo, siapkan kereta. Kita balik KL
sekarang!”
Virgo cepat-cepat mengangguk
sebaik mendengar arahan bosnya. Dia terus mengarahkan rakannya untuk menuam air
batu ke kepala Ray sementara dia keluar menyiapkan kereta.
Masing-masing tidak
berani berkutik, takut mereka menerima nasib yang sama seperti salah seorang
ahli Sharks yang ditembak tanpa diketahui hujung pangkal kesalahannya.
Ray tersenyum,
semakin lama semakin lebar. Senyuman yang menakutkan. Tak ubah macam lelaki
psiko.
Ray menggenggam
penumbuknya. Biarlah, dia tidak peduli sama ada Rizal masih hidup atau tidak.
Yang penting, dia akan memastikan keluarga Rizal tidak akan mengecapi
kebahagiaan lagi selepas ini!
************************
“Sabarlah, abang Khai. Kita berdoa semoga tak terjadi apa-apa pada
abah,” pujuk Along sambil mengusap-usap tangan ibu saudaranya itu. Dia sendiri
tidak dapat menyembunyikan tangisannya.
Khai semakin tidak
senang duduk. Berdiri salah, duduk pun salah. Sejak semalam dia tidak dapat
tidur memikirkan bagaimana keadaan suaminya sekarang.
Along dan Angah
setia duduk menemani ibu saudara mereka. Mereka tidak ke pejabat hari ini.
Masing-masing mengambil cuti selepas mengetahui ayah saudara mereka diculik
dalam operasi malam tadi.
Sejujurnya,
masing-masing masih bingung dengan motif penculikan tersebut. Setahu mereka,
operasi malam tadi adalah untuk memberkas kumpulan penjahat yang digelar
Sharks, tapi kenapa Rizal seorang yang diculik? Kenapa tidak polis lain? Dan
siapa sebenarnya dalang kepada kumpulan Sharks itu?
“Hish, kenapa si
Azman ni belum call lagi? Tak ada apa-apa perkembangan ke?” Hati Khai dipagut
resah. Sedari tadi matanya tidak berkalih dari memandang telefon bimbitnya di
atas meja ruang tamu. Manalah tahu Azman tiba-tiba menghubunginya untuk memaklumkannya
tentang Rizal.
“Abang Khai nak
Angah call Uncle Azman ke?” soal Angah.
Khai menggeleng.
“Tak apalah, kalau ada apa-apa perkembangan, Azman dah janji nak call. Azman
cakap seluruh pasukan polis dalam jabatannya dikerah untuk cari abah sejak
malam semalam. Kita berdoa semoga ada berita baik untuk kita, ya?”
Along dan Angah
hanya mampu mengangguk. Masing-masing cuma mampu berdoa dan berdoa.
Tidak lama mereka
kemudian, telefon bimbit Khai tiba-tiba berdering. Dengan pantasnya Khai
menyeluk telefon didalam kocek seluar dan menjawab panggilan tersebut tanpa
melihat terlebih dahulu nombor telefon siapa yang tertera di skrin.
“Hello, Azman! Suami
aku macam mana? Kau dah jumpa dia ke?” Soalan itu terus diajukan dalam keadaan
tergesa-gesa.
Along dan Angah
saling berpandangan.
Namun pertanyaan
itu hanya dibalas dengan hilai tawa yang kuat dari sebelah sana. Khai bingung.
“Suami kau ada
bersama aku. Kalau nak dia selamat, datang ke tempat aku seorang diri. Jangan
bawa polis. Ingat, kalau aku nampak kelibat polis walau seorang pun, kau cuma
akan jumpa mayat suami kau,” ujar pemanggil tersebut.
Khai tergamam.
Bibirnya terketar-ketar. Pandangannya terasa gelap tiba-tiba. Telefon bimbit
hampir terlepas dari tangannya, namun dia cepat-cepat menguatkan diri, cuba
mengawal minda agar kerisauannya tidak melangkaui kewarasan akal.
“Kau… kau siapa?
Apa kau nak? Mana suami aku?”
“Ikut saja arahan
aku, dan kau akan jumpa suami kau.”
Khai menggigit
bibir. Matanya sudah bertukar merah.
“Dengar sini, kalau
kau berani apa-apakan suami aku, aku akan bunuh kau, faham tak?” Khai masih
mengawal intonasi walaupun hatinya sudah semakin berang.
Namun ancaman Khai
tidak sedikitpun menakutkan si pemanggil, malah pemanggil itu hanya ketawa
dengan kuatnya dan terus mematikan talian.
“Kenapa, abang
Khai? Apa dah jadi? Siapa call tadi?” Along cepat-cepat bertanya.
Khai hanya mampu
terduduk dan membalas pandangan anak-anak saudaranya dengan pandangan yang
sayu.
“Abah korang kena
culik. Penculiknya minta abang Khai pergi ke tempat dia kalau nak abah korang
selamat.”
“Apa?” Along dan
Angah bersuara serentak dengan mata masing-masing yang terbeliak.
*************
Khai menggenggam jari-jemarinya sekuat hati. Kalau mengikut arahan
dan lokasi yang dinyatakan oleh si penculik, rasanya dia sudah sampai di tempat
yang betul.
Dalam hati, dia
tidak henti-henti berdoa agar suaminya tidak diapa-apakan. Dia yakin penjenayah
yang digelar Sharks dan penculik Rizal adalah orang yang sama. Cuma motifnya
kabur. Kenapa mereka hanya menculik Rizal seorang? Dan apakah motif penculikan
itu? Nak kata motifnya wang, mereka tidak meminta duit tebusan pun.
Matanya liar
memandang ke segenap sudut rumah teres di kawasan rumah tinggal itu. Dia tahu
tindakannya itu bodoh. Dia ke sini sehelai sepinggang, tanpa memaklumkan
apa-apa kepada pihak polis. Dia seolah-olah masuk ke perangkap maut. Tapi ini sahaja
jalannya. Dia hanya mahu suaminya selamat.
Tidak lama kemudian
telefon bimbitnya berdering lagi. Nombor telefon penculik tadi tertera di
skrin.
“Mana suami aku?”
Khai terus bertanya sebaik menjawab panggilan.
“Dah sampai? Bagus.
Sekarang pergi ke rumah hujung sekali,” arah si pemanggil.
“Hujung belah mana?
Kiri ke kanan?”
“Kiri. Rumah yang
masih dalam pembinaan tu.”
Khai memandang ke
kiri. Sebuah rumah terbengkalai yang tidak sempat disiapkan dipandangnya. Dia
terus berlari menuju ke rumah tersebut.
Lariannya terhenti
apabila rumah itu sudah tersergam dihadapannya. Nafasnya turun naik dengan
pantas. Tercungap-cungap keletihan.
Belum sempat dia
melepaskan lelahnya, kepala seseorang yang memakai topeng hitam terjengul dari
dalam rumah terbengkalai itu. Beberapa orang lagi manusia didalamnya turut
mengenakan topeng.
“Kau nak aku buat
apa lagi?” Khai yakin itulah penjahat-penjahat yang telah menculik suaminya.
Talian masih bersambung dengan penjahat terbabit.
“Jangan sesekali
dekat dengan rumah ni. Suami kau ada kat dalam. Sikit je kau melangkah, aku
takkan teragak-agak untuk bunuh suami kau.”
Khai menelan air
liur mendengar amaran tersebut. Dia ingin bersuara, tetapi panggilan sudah
dimatikan tiba-tiba.
Anak-anak buah Ray
yang berada didalam rumah tersebut terus bertindak dengan pantas. Mayat salah
seorang ahli Sharks yang telah ditembak mati oleh Ray diikat di satu sudut dan
kepalanya ditutup dengan kain hitam, kelihatan seolah-olah mayat itu adalah
mayat Rizal.
Arahan Ray
dilakukan dengan pantas. Sebutir bom yang disetkan masa akan meletup dalam masa
satu minit diletakkan disebelah mayat tersebut. Setelah segalanya selesai,
anak-anak buah Ray terus keluar dari pintu belakang tanpa disedari oleh Khai.
Mereka semua
melarikan diri dengan kereta yang sudah tersedia dibelakang rumah. Masing-masih
bersorak dan membuka topeng wajah masing-masing setelah pasti mereka semua
sudah berjaya.
Khai yang berdiri
di hujung jalan, memerhati rumah itu tanpa berkelip sudah tidak mampu bersabar
lagi. Dia ingin masuk walaupun tahu nyawanya jadi taruhan.
Baru dia melangkah
setapak, rumah itu meletup. Menghasilkan bunyi yang amat kuat menyebabkan Khai
tercampak ke belakang.
“Abang!!!”
Khai menjerit
sekuat-kuat hati. Dia yang tertiarap diatas tanah cuba untuk bangun. Air
matanya mengalir laju memandang rumah terbengkalai itu yang sedang hangus
dijilat api.
Rumah itu sudah
hancur berkecai. Serpihan-serpihannya berterabur dimerata tempat.
“Abang, jangan
tinggalkan Rina…” rintihnya sayu.
Kepalanya terasa
pening. Tidak lama kemudian dia pengsan.
*****************
Khai membuka
matanya perlahan-lahan. Berkerut-kerut dahinya menahan rasa sakit dikepala yang
amat sangat.
“Alhamdulillah,
Abang Khai dah sedar.” Terdengar suara Along.
Ketika pandangan
Khai yang tadinya kabur semakin jelas, dia lihat wajah-wajah orang yang
disayanginya ada dihadapannya saat itu kecuali Adik dan Khairizal.
Khai menyandarkan
tubuhnya pada kepala katil. Ingatan terhadap letupan yang berlaku menjelma
kembali.
“Abah kamu dah
tinggalkan Abang Khai. Dia dah tak ada. Suami Abang Khai dah tak ada…”
Tidak semena-mena
Khai teresak-esak pula. Butir-butir jernih tidak henti-henti mengalir keluar
dari matanya.
Along, Angah dan
Saiful saling berpandangan. Wajah Along dan Angah kelihatan merah seperti baru
lepas menangis.
“Abang Khai
sabarlah, kita tak tahu lagi. Uncle Azman cakap mereka cuma temui serpihan
daging manusia yang dah hangus. Mereka akan cuba dapatkan DNA. Belum tentu itu
mayat abah!” tegas Angah dengan esakan yang tertahan-tahan.
Saiful mendakap
bahu Angah, cuba mententeramkan perasaan isterinya.
Kata-kata Angah
semakin membuat Khai sebak. Dia berada di tempat kejadian. Dia sendiri melihat
rumah itu meletup. Dia yakin penculik-penculik itu sudah melarikan diri dan
serpihan daging manusia yang ditemui itu adalah suaminya.
Ah, ke mana
hilangnya sifat perikemanusiaan penculik-penculik itu? Apakah dosa suaminya
hingga mereka tergamak menghancurkan tubuhnya sedemikian rupa?
“Telefon Azman.
Cepat dapatkan info dari dia!” gesa Khai.
“Kita sabar dulu
ya, Abang Khai. Tadi Uncle Azman dah datang sini. Dia pergi semula ke lokasi
kejadian untuk tujuan siasatan. Dia dah janji akan telefon kalau ada apa-apa
info,” ujar Saiful dengan tenang.
Khai terdiam.
Tangannya tidak henti-henti mengelap air jernih yang tidak jemu keluar dari
tubir mata. Nafasnya terasa tersekat dan pembuluh darahnya terasa bagai ingin
pecah. Terlalu menyeksa!
Abang, jangan
tinggalkan Rina, hatinya merintih lagi.
******************
Pasukan bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk memadamkan
sisa-sisa api kebakaran. Khai sudah dikejarkan ke hospital setelah ditemui
terbaring tidak sedarkan diri tidak jauh dari tempat letupan.
Azman melepaskan
keluhan yang berat. Memerhati kawasan yang sudah ditandakan sebagai kawasan
larangan polis itu dengan pandangan yang kosong.
“Pihak forensik dah
ambil sampel daging untuk ujian DNA,” kata Fida yang berdiri disebelahnya.
Azman tidak
menjawab.
“Kemungkinan besar
Rizal dah mati,” sambung gadis itu lagi.
Azman berpaling,
menatap wajah Fida. Gadis itu kelihatan tenang, cuba menutup rasa sugul dan
sedih di hati.
Fida tahu,
bohonglah kalau dia kata dia sudah tidak menyimpan perasaan terhadap Rizal
barang sekelumit pun. Dia sedang berusaha untuk menerima Rizal hanya sebagai
rakan sepasukan, namun kesedihan yang dirasainya saat ini bukan kesedihan
seseorang yang kehilangan rakan sepasukan. Terasa seperti seorang kekasih yang
kehilangan kekasihnya untuk selama-lamanya.
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)