.
Hujung minggu yang tenang. Selaku
orang bujang yang tinggal menyewa sendiri, Azman memasak sarapannya sendiri;
roti dengan telur. Cukuplah untuk makan seorang.
Habis makan, dia mengambil
baju-bajunya di dalam mesin basuh pula untuk dijemur. Biasanya dia akan
mengumpul baju-baju yang dipakai selama seminggu dan hanya akan membasuhnya
pada hujung minggu. Begitulah hidup orang bujang.
Baru dia membuka pintu, dia lihat
Khai dan Khairul berdiri di luar pintu pagar rumahnya. Dia sedikit terkejut melihat
Khai yang kembali kepada imejnya dahulu; berambut pendek macam lelaki!
“Assalamualaikum, Azman!” Khai
memberi salam, namun wajahnya tiada senyuman.
Azman cepat-cepat mengawal diri,
menyedari dia memandang Khai tanpa berkelip dari tadi. Dia menjawab salam dan
terus membuka pintu pagar.
“Khai, Khairul, bila balik
Malaysia?” soalnya. Lebih 6 bulan Khai pergi membawa hati, tiba-tiba hari ini
Khai sudah berada di luar rumahnya.
“Kitorang baru sampai awal pagi tadi,”
jawab Khairul pendek.
Azman mengangguk-angguk. “Masuklah
dulu!”
“Tak apalah, aku sebenarnya nak ajak
bincang. Kalau kau tak keberatan, boleh kita ke restoran atau tempat lain?”
tutur Khai.
Azman terdiam sahaja mendengar suara
Khai yang mendatar. Mana perginya Khai yang ceria dan periang dahulu? Dia
tercari-cari senyuman disebalik wajah Khai.
“Bincang tentang apa?”
“Rizal!” Khai menjawab pendek.
Azman mengerutkan kening. Dia
memandang Khairul. Khairul pula hanya mengangguk.
Azman tidak banyak soal. Dia
membatalkan niatnya untuk menjemur baju. Mereka bertiga terus menaiki kereta
Khai menuju ke sebuah restoran berdekatan dengan stesen LRT di Masjid Jamek.
Dikedai makan tersebut,
masing-masing membisu. Khairul mengacau teh panasnya dengan wajah yang kosong.
Khai pula tidak memesan apa-apa minuman, dia tunduk sahaja dengan wajah yang
serius. Naik juling Azman dengan situasi itu.
Azman faham, pemergian Rizal yang
tidak disangka itu pasti memberi impak yang besar kepada Khai dan keluarganya.
Sedangkan dia sebagai rakan setugas pun hampir setiap hari teringatkan Rizal,
inikan pula seseorang yang bergelar isteri. Suasana dibalai juga sudah tidak
sama seperti dulu. Semua orang merasai pemergian Rizal. Kalau dulu Rizallah
badut bergerak, ketawa dan membuat lawak samdol setiap masa. Sekarang? Hmmm…
“Khai, Khairul, korang nak bagitahu
apa sebenarnya ni?”
Khairul membisu, tidak menunjukkan
sebarang minat untuk menjawab.
“Rizal. Aku nak bercakap tentang
Rizal,” ujar Khai setelah lama mereka saling merenung antara satu sama lain.
Azman mengangkat sebelah kening. Dia
masih diam, memberi peluang kepada Khai untuk meneruskan kata-katanya.
“Aku nak cari pembunuh Rizal!”
Kali ini Azman baru menunjukkan
reaksi terkejut. Dia memandang Khairul, tapi Khairul hanya mampu menggaru-garu
kepala dan mengangkat bahu.
“Dan aku perlukan bantuan kau,”
sambung Khai dengan tegas.
“Err… tapi Khai, mana nak cari?
Malaysia ni luas, dan lagipun pihak polis masih lakukan siasatan tentang kes
tu. Insya-Allah satu hari nanti pihak polis akan jumpa pembunuhnya.”
“Aku dah tak mampu nak bersabar lagi,”
potong Khai. “Enam bulan aku menunggu, itu dah lebih dari cukup. Lebih enam
bulan aku berendam air mata. Aku nak cari siapa pembunuhnya. Aku nak
pembunuhnya menerima balasan yang setimpal!”
Azman menelan air liur. Khai… Khai…
cakap macam senang je. Ingat nak cari pembunuh tu senang ke? Ini bukannya main
sembunyi-sembunyi.
“Tapi Khai…”
Belum sempat Azman bersuara, Khairul
dibawah meja sudah mencuit kaki Azman. Azman terkelip-kelip bingung memandang Khairul.
Khairul memberi isyarat supaya mengangguk sahaja.
Azman mengulum bibir. Tidak tahu
hendak menjawab ‘ya’ atau ‘tidak’. Tapi rasanya jawablah mana-mana pun, Khai
pasti akan memaksanya untuk berkata ‘ya’.
Suasana sepi untuk seketika.
Masing-masing hanyut dalam angan masing-masing. Tiba-tiba telefon Khai
berdering. Khai menyeluk poket, nombor Angah tertera di skrin.
“Excuse me.” Khai meminggir untuk
menjawab panggilan tersebut.
Khairul dan Azman mengangguk. Mereka
ditinggalkan berdua untuk seketika, namun Azman masih lagi membisu. Rasa
canggung pun ada.
“Azman.” Khairul bersuara.
“Huh?”
“Sebagai kawan baik kepada arwah
Rizal, aku dan Khai berharap sangat yang kau dapat tolong kami.”
“Err… tapi… aku tak tahu nak cakaplah.
Rizal dah lama tak ada tapi pihak polis masih teruskan siasatan sampai
sekarang. Lagipun Khai tu… ini bukan bidang tugas dia. Nak cari pembunuh tu
dimana? Ini bukan kerja yang senang,” tutur Azman dengan rasa serba salah.
“Sebab tulah kami perlukan bantuan
kau, Man. Kau seorang anggota polis, cuma kau satu-satunya harapan kami.
Lagipun, aku tak sampai hati tengok Khai macam tu. Lebih 6 bulan dia tinggal
bersama aku di Australia, aku sendiri nampak betapa menderita dan terseksanya
dia. Dan bila dia tiba-tiba cakap nak balik ke Malaysia, aku rasa ini satu
perkembangan yang bagus. Sekurang-kurangnya tak adalah dia hanya duduk
berkurung dalam bilik dan menangis.
Dan aku rasa kau sendiri tahu betapa
sayangnya Khai pada suaminya. Korang pun dah kenal lama, kan? Khai tu kuat, dia
tegas dan akan mempertahankan apa-apa atau sesiapa pun yang dia sayang. Dia
cuma mahukan keadilan, itu saja.”
Azman meraup wajah mendengar
kata-kata Khairul yang panjang melebar. Hatinya tersentuh. Dia memandang Khai
yang berdiri dihujung restoran, masih bercakap dengan telefonnya.
Jauh di sudut hati, dia menghormati
pendirian Khai. Lebih 6 bulan Khai pergi membawa hati, dia pulang sebagai
manusia lain. Dihadapannya kini bukan lagi Khairina, seorang isteri dan ibu
yang kelihatan lemah lembut dan penyayang. Tetapi dihadapannya sekarang adalah
Khai, gadis tomboy yang kasar dan kuat yang pernah dikenalinya sewaktu gadis
itu belum berkahwin dengan Rizal.
Azman tahu, Khai sedang cuba untuk
menjadi kuat. Tidak guna menangis mengenangkan apa yang sudah berlaku. Azman
tahu, bukan senang nak jadi kuat. Pakai sabun jenama Harimau Kuat pun belum
tentu jadi kuat. Makan biskut Tiger Biskuat pun takkan menjadikan seseorang itu
kuat.
Azman kagum. Bukan semua orang mampu
menjadi sekuat dan setabah itu. Kuat itu datangnya dari ketabahan. Kuat muncul
dari kesabaran.
“Siapa call tadi?” soal Khairul
apabila Khai kembali duduk di kerusinya.
Khai tersenyum tipis. “Tak ada apa,
Angah call tadi. Anak aku rindu nak dengar suara aku, itu yang lama aku berbual
dengan dia.”
Azman yang mendengarnya tidak
memberi sebarang respons. Khai… Khai… jauh disudut hati, dia sedih melihat apa
yang menimpa keluarga Khai. Pemergian Rizal telah mengubah segala-galanya.
Namun Khai masih cuba berdiri dan kuat demi anaknya. Itu yang membuatkan Azman
kagum. Dan kerana sifat itulah dia boleh terpikat dengan Khai.
“Aku setuju!” Meletus kata-kata itu
dari bibirnya.
Khai memandang Azman tanpa sebarang
reaksi. Azman membalas pandangan Khai sambil tersenyum.
“Aku akan tolong kau,” ulang Azman,
kali ini lebih yakin dan tegas.
Khairul sudah tersenyum lebar
mendengarnya. Khai juga gembira, namun dia terasa bibirnya tidak mampu untuk
tersenyum. Akhirnya dia cuma mengangguk tanda ucapan terima kasih.
*************
“Along
rindu Abang Khai!” Itu ayat pertama yang meletus keluar dari bibir Along.
Kedatangan Khai dan Khairul ke IBSYA Holdings petang itu begitu mengejutkannya.
“Kenapa
Abang Khai tak bagitahu yang Abang Khai dah balik? Kalau tak Along boleh pergi
ambil kat airport,” ujar Along lagi dengan senyuman yang begitu lebar. Dia
begitu merindui Khai yang tidak ditemuinya lebih setengah tahun.
Namun
kata-kata Along hanya disambut dengan senyuman. Baik Khai mahupun Khairul,
kedua-duanya tidak bersuara. Along mempersilakan kedua-duanya duduk di sofa.
“Angah
dengan Adik macam mana?” soal Khairul setelah agak lama membisu.
“Oh,
diorang sihat je. Angah tak ada kat ofis sekarang. Dia keluar kejap. Pergi
ambil Keri dan Adik kat sekolah,” jawab Along dengan senyuman yang masih tidak
lekang dari bibirnya.
“Along
masih tinggal dekat rumah Angah?” soal Khairul lagi.
Along
mengangguk. “Ha ‘ah, Along tak berani nak tinggal sorang-sorang kat banglo tu.
Takut tiba-tiba Ray datang mengacau. Lagipun Along ingat pesan Uncle Arul
beberapa bulan lepas, jangan tinggal sorang-sorang. Oh ya, lupa nak tanya.
Abang Khai dengan Uncle Arul bila sampai?”
“Baru
pagi tadi. Kitorang datang ofis ni pun sebab nak jenguk Along dengan Angah.
Rumah tu pun sunyi tak berpenghuni. Baguslah kalau Along ingat pesan uncle.”
Khairul membalas dengan senyuman manis.
Along
tersenyum. Namun dia agak tidak senang hati melihat ibu saudaranya yang seorang
itu. Dari tadi diam membisu. Tunduk sahaja memandang lantai dengan muka serius.
Apa benda agaknya yang menarik tentang lantai tu. Coraknya kut.
“Cantik
rambut baru Abang Khai. Macam artis Korea la!” Along menjolok, semata-mata
ingin menghiburkan hati Khai, namun Khai hanya buat muka stone.
Along
termalu sendiri. Dah rasa macam bercakap dengan Kamus Dewan Bahasa edisi ke
sepuluh.
“Along,
ada apa-apa masalah tak sepanjang kitorang tak ada ni?” Khairul mengalih topik
apabila melihat wajah Along yang merah menahan malu kerana usikannya tidak
dilayan.
Along
terus menggeleng.
“Tak
ada, uncle. Ray pun dah senyap macam tu. Angah dengan suami dia tak ada pun
mengeluh sebab Along, Adik dan Keri tinggal kat rumah diorang. Diorang sendiri
pun tak nak Along pindah semula ke banglo tu buat masa terdekat ni.”
Khairul
mengangguk lambat-lambat.
“Tapi
memandangkan Abang Khai dengan Uncle Arul dah balik ke sini, lebih baik Along
bawa Adik dan Keri balik semula ke banglo. Along rindu nak tinggal sama-sama
dengan Abang Khai macam dulu!” sambung Along ceria.
Kata-kata
yang keluar dari bibir Along itu membuatkan Khai dan Khairul berpandangan
sesama sendiri. Khairul memandang Along dengan sedikit serba-salah.
“Err…
Along…” Belum sempat Khairul menghabiskan kata-katanya, Khai terus memotong,
“Along, Adik dan Keri tak boleh tinggal dengan kami buat masa sekarang!”
Along
menaikkan sebelah keningnya dengan pandangan yang bingung. Matanya sudah
berkalih memandang Khairul yang tampak sedikit terkejut kerana Khai terlalu
berterus-terang.
“Ta…
tapi kenapa, Abang Khai?” Along bertanya.
“Ada
sebab tertentu. Lagipun Abang Khai kamu perlukan masa untuk bersendirian.
Berilah dia masa untuk mencari ketenangan dulu,” jelas Khairul.
Along
diam. Biarpun dia merasa alasan itu tidak relevan, tapi dia tidak mampu berbuat
apa-apa. Entahlah, dengan keadaan ibu saudaranya sekarang dia terpaksa menurut
sahaja.
“Abang
Khai tak nak jumpa Keri dengan Adik ke?” Along bertanya lagi.
Khai
memandang Khairul. Suasana kaku untuk seketika. Kemudian barulah Khai menjawab,
“Tidak buat masa sekarang. Insya-Allah satu hari nanti Abang Khai akan pergi
jenguk diorang.”
Along
hanya tersenyum dan mengangguk. Melihat dari penampilan Khai sekarang, ibu
saudaranya itu tampak lebih bermaya namun dia tahu ada sesuatu yang
disembunyikan. Biarlah, dia tidak berani ingin bertanya.
Selepas
menemui Along, Khai dan Khairul pulang ke banglo kediaman Khai sekeluarga
dahulu. Banglo yang terletak di Taman Bayu Perdana itu kelihatan suram tidak
berpenghuni. Pagi tadi sebelum ke rumah Azman, dia sudah ke sini untuk
mengambil keretanya yang sudah lama tersadai. Tetapi kali kedua dia ke sini,
barulah dia dapat mengamati setiap inci banglo itu sambil mengingati
memori-memori dahulu.
Dia
ingat lagi, dulu mereka sekeluarga sering minum petang dihalaman rumah. Bila
membersihkan halaman bersama Rizal, Rizal sering mengusiknya dan akhirnya berlakulah
adegan kejar-mengejar keliling rumah.
Ya
Allah, tabahkanlah hatiku, berkali-kali Khai cuba menahan sebak yang
bertandang.
“Khai,
jom masuk. Kau kena rehat.” Suara Khairul mematikan angannya.
Tanpa
berkata apa-apa, Khai akur. Dia mengekori langkah Khairul. Sebaik masuk ke
dalam banglo itu, ingatan terhadap Rizal semakin kuat. Dia bagaikan terbayang
kebahagiaannya satu ketika dulu sebaik memandang ke setiap penjuru banglo.
“Khai,
kau pergilah rehat kat bilik. Aku tidur kat bilik tamu,” ujar Khairul.
Khai
hanya mengangguk. Perlahan-lahan dia mendaki anak tangga, menuju ke bilik yang
pernah menjadi tempat peraduan dia dan suaminya.
Khai
cuba menahan air mata yang ingin jatuh. Gambar keluarga besar yang tergantung
didalam bilik itu membuatnya sedih. Tapi dia tahu dia tidak boleh menangis. Dia
harus lebih kuat selepas ini.
Dia
memandang ke setiap sudut bilik. Sudah kelihatan agak kusam dan bersawang
kerana ditinggalkan berbulan-bulan. Tengoklah, kalau ada masa dia akan mengemas
tapi sekarang dia perlu berehat kerana penat menaiki penerbangan dari Canberra
ke Malaysia selama berjam-jam.
Khai
melabuhkan punggung di atas katil. Laci yang terletak ditepi katil dibuka. Alat
keluinya masih tersimpan elok di situ tanpa diusik.
Melihat
alat keluinya, dia teringat akan mesej terakhir yang dihantar oleh suaminya –
2003.
“2003…
apa maksudnya?” Khai berkata-kata sendiri.
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)
2 comments:
best3x.. rindunyer kat Khai.. apa cter la dgn Rizal tue yek??
Apa misi khai yek
Cpt smbg ye ela
Post a Comment