.
Beberapa jam kemudian, gudang lama yang sudah hangus terbakar itu
ditandakan sebagai kawasan larangan polis. Pasukan bomba telah berjaya
memadamkan sisa-sisa api. Anggota polis yang tercedera sudah dikejarkan ke
hospital.
Syukur, serbuan
kali ini walaupun dianggap tidak berjaya kerana tiada seorang penjenayah pun
yang berjaya diberkas, namun tiada seorang pun pihak polis yang mati dalam
letupan tersebut.
Sejurus setelah
menyedari gudang tersebut telah dipasang bom, pihak polis bergegas keluar dari
tempat tersebut sambil memapah keluar anggota polis yang tercedera. Baru
beberapa minit keluar, tiba-tiba gudang itu meletup.
Dan yang paling
mengecewakan, Rizal tidak keluar bersama mereka dan mereka sendiri tidak pasti
sama ada Rizal terperangkap didalam gudang atau sudah dibawa ke tempat lain.
“Kalaupun Inspektor
Rizal berada di dalam gudang ketika letupan tu berlaku, mustahil dia masih
hidup,” kata Tuan Rashdan.
Rakan sepasukan
terutama Azman dan Fida sudah saling berbalas pandangan. Mereka tidak percaya
Rizal mati didalam letupan tersebut. Tidak, Rizal pasti masih hidup!
“Tuan Rashdan,
pihak forensik tak menemui apa-apa mayat pun dalam kebakaran ni. Besar
kemungkinan Inspektor Rizal masih hidup,” lapor seorang anggota polis.
Azman dan Fida tersenyum
mendengarnya. Tuan Rashdan mengangguk-angguk.
“Baiklah, teruskan
siasatan. Saya yakin Inspektor Rizal diculik tapi saya ingin tahu bagaimana
ianya boleh terjadi. Dan Inspektor Azman…”
“Saya, tuan!” Azman
bersuara.
“Saya mahu 8 orang
anggota polis yang tak cedera balik ke ibu pejabat. Siapkan laporan. Saya nak
hari ni jugak. Dan satu lagi, maklumkan pada keluarga Inspektor Rizal tentang
kehilangan Inspektor Rizal malam ni.”
Selesai
mengeluarkan arahannya, Tuan Rashdan terus berlalu pergi. Azman dan Fida masih
tegak berdiri di situ. Melihat gudang dua tingkat yang sudah rentung itu.
“Ya Allah, apa aku
patut beritahu Khai. Kesian isteri Rizal…” keluh Azman perlahan.
Fida menoleh
memandang Azman. Melihat wajah Azman yang sugul, empangan air matanya hampir
pecah. Dia terlalu risau tentang keselamatan Rizal saat ini. Apa agaknya kaitan
antara Sharks dengan kes penculikan Rizal?
*************
Khai yang sedang
khuyuk berwirid di tikar sejadahnya sedikit tersentak apabila apabila alat
keluinya berbunyi tiba-tiba. Terus dia bangkit dan mencapai alat kelui
tersebut.
2003 – pesanan dari
Rizal.
2003? Apa ni?
Bukankah Rizal ada operasi malam ini? Ada masa pulak nak menghantar pesanan
kepadanya. Tapi apa maksud 2003? Entah, mungkin Rizal tersilap tekan. Khai mengangkat
bahu dan mencampak alat keluinya di atas katil.
Khai kembali duduk
di tikar sejadah. Kali ini dia mengambil surah Yaasin dan membacanya. Begitu
khusyuk dia mengaji hingga tidak menyedari hari hampir larut. Tidak tahu pukul
berapa, tiba-tiba Khai terdengar seseorang memberi salam diluar rumah. Dengan
masih memakai telekung, Khai terus keluar menuju ke muka pintu.
Dia sedikit kaget
melihat dua orang lelaki memakai seragam polis berdiri dihadapannya. Dan salah
seorangnya adalah Azman.
“Waalaikumussalam.
Ya, ada apa?”
Azman meneguk liur.
Otaknya ligat berfikir, cuba untuk mencari perkataan yang sesuai agar tidak
melukai hati Khai. Ini bukan kali pertama dia memberitahu keluarga si mangsa
sekiranya terdapat khabar buruk, tapi kali ini lidahnya kelu sebaik memandang
wajah bersih Khai yang memakai telekung.
Ya Allah,
selamatkanlah Rizal. Lindungilah dia walau dimana pun dia berada, gumamnya
dalam hati.
“Ada apa, Man?”
Suara Khai menyentaknya.
“Khai, saya…” Azman
tidak mampu untuk mengucapkannya. Dia menoleh memandang rakan setugasnya,
mengisyaratkan agar rakannya yang memaklumkan kepada Khai.
“Harap bertenang,
puan. Kami bawa berita kurang baik. Suami puan, Inspektor Rizal Syafiqin telah
diculik dalam serbuan kali ini. Sehingga saat ini, kami masih mencarinya.
Diharap puan dapat bersabar,” beritahu rakan setugas Azman dengan tenang.
Khai terkedu
disitu. Kakinya longlai tiba-tiba. Dia hampir jatuh, tapi mujur dia sempat
memegang tepi pintu. Tangannya terketar-ketar menahan perasaan.
“Man, apa… apa semua
ni? Rizal mana? Suami saya mana?” soalnya bertalu-talu. Matanya sudah mula
berkaca.
Azman serba-salah
melihatnya. Dia mengerti perasaan Khai. Dia menyayangi Rizal dan tidak dapat
dinafikan, dia turut menyayangi Khai. Melihat Khai menangis, hatinya turut
terasa pedih.
Tubuh Khai sudah
melorot ke lantai. Air matanya mengalir laju tanpa disekat-sekat lagi. Rasa
kesal menghimpun di dadanya. Teringat tentang hubungannya dengan Rizal yang
agak tegang sebelum Rizal keluar dari rumah seminggu yang lalu.
Abang, maafkan
Rina. Rina salah sebab tak percayakan abang. Maafkan Rina… rintihnya.
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)
1 comment:
Ala sedih nye..nape rina tak bgtau pesanab 2003 tu...
Post a Comment