Selamat Datang!!

Followers

Whoever you are, please pray for GAZA

Whoever you are, please pray for GAZA
Let's pray for our Palestinian brothers and sisters. Donations can be made to Aman Palestine Malaysia via sms PALESTIN (10/5/3/1) to 39111

About Me

My photo

Nuraqilah Syuhaida | 24 years old | Terengganurian | UiTM ex-student | Novelist since 17 years old (2010) | Writing is the painting of the voice | Look in your heart & write 

Official FB Group

Official Page

Engagement

Solemnization

Reception

Bertandang

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story

KhaiRizal : A Love Story
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Saturday, May 18, 2013

KhaiRizal : A Love Story 15

Anak buah Ray yang bernama Virgo menuam air batu ke kepala bosnya sebaik bosnya itu sedar dari pengsan pagi itu. Mereka masih berada di pondok di tengah-tengah ladang kelapa sawit itu.

            Wajah Ray merah padam. Dia benar-benar tidak menyangka Rizal bertekad memukulnya dan melarikan diri. Dan yang lebih membuatnya sebal, tiada seorang pun anak buahnya yang berjaya menangkap Rizal. Rizal seolah-olah hilang begitu sahaja dalam kegelapan malam.

            “Korang ni memang tak boleh diharap. Semua otak dungu!” Ray melepaskan kemarahannya.
            Anak-anak buahnya cuma mampu memandang tanpa membalas apa-apa. Kalau berani menjawab, maka pelurulah habuannya. Lebih baik senyap.

            “Macam mana si Rizal yang dah lembik tu boleh lari macam tu je? Korang ni harapkan badan je besar, polis yang dah lembik nak mampus tu pun korang tak boleh kejar. Samseng apa korang ni? Samseng tahi kucing?” tempelak Ray cukup-cukup.

            Ray menggigit bibir. Dia tidak tahu dimana dan bagaimana keadaan Rizal sekarang tapi dia amat berharap Rizal sudah mati dimakan binatang buas didalam hutan. Biar tiada siapa mampu menjejakinya lagi. Dan dia juga harus keluar dari Malaysia secepat mungkin. Tapi tidak selagi dia belum melihat keluarga Rizal hancur.

            Dia ingin melihat keluarga Rizal porak-peranda. Biar semua orang menangisi pemergian Rizal sementara dia seronok bercuti di luar negara sambil berjemur di tepi pantai.

            Ray mengukir senyuman. Satu idea jahat berlegar-legar dalam otaknya. Dia mengeluarkan senjata api yang disisipkan dipinggangnya, dan tidak semena-mena dia melepaskan tembakan rawak ke arah salah seorang anak-anak buah yang mengelilinginya.

            Salah seorang ahli Sharks yang tidak tahu apa-apa, sebutir peluru menembusi kepalanya. Dia terkulai rebah dengan mata buntang. Tubuhnya tersembam ke lantai akibat tolakan peluru yang menderas dari picu pistol Ray.

            Masing-masing ternganga. Tiada suara keluar dari mulut mereka. Tiada siapa berani bertanya kenapa Ray tiba-tiba bertindak menembak ke arah salah seorang daripada mereka.

            Ray tersenyum. Dan dengan selambanya menyimpan semula pistol tersebut di pinggangnya.
            “Aku ada rancangan baik punya. Aku tak kira, selagi aku tak tengok keluarga Rizal tu porak-peranda, aku takkan tenang. Virgo, siapkan kereta. Kita balik KL sekarang!”

            Virgo cepat-cepat mengangguk sebaik mendengar arahan bosnya. Dia terus mengarahkan rakannya untuk menuam air batu ke kepala Ray sementara dia keluar menyiapkan kereta.

            Masing-masing tidak berani berkutik, takut mereka menerima nasib yang sama seperti salah seorang ahli Sharks yang ditembak tanpa diketahui hujung pangkal kesalahannya.

            Ray tersenyum, semakin lama semakin lebar. Senyuman yang menakutkan. Tak ubah macam lelaki psiko.

            Ray menggenggam penumbuknya. Biarlah, dia tidak peduli sama ada Rizal masih hidup atau tidak. Yang penting, dia akan memastikan keluarga Rizal tidak akan mengecapi kebahagiaan lagi selepas ini!
************************
“Sabarlah, abang Khai. Kita berdoa semoga tak terjadi apa-apa pada abah,” pujuk Along sambil mengusap-usap tangan ibu saudaranya itu. Dia sendiri tidak dapat menyembunyikan tangisannya.

            Khai semakin tidak senang duduk. Berdiri salah, duduk pun salah. Sejak semalam dia tidak dapat tidur memikirkan bagaimana keadaan suaminya sekarang.

            Along dan Angah setia duduk menemani ibu saudara mereka. Mereka tidak ke pejabat hari ini. Masing-masing mengambil cuti selepas mengetahui ayah saudara mereka diculik dalam operasi malam tadi.

            Sejujurnya, masing-masing masih bingung dengan motif penculikan tersebut. Setahu mereka, operasi malam tadi adalah untuk memberkas kumpulan penjahat yang digelar Sharks, tapi kenapa Rizal seorang yang diculik? Kenapa tidak polis lain? Dan siapa sebenarnya dalang kepada kumpulan Sharks itu?

            “Hish, kenapa si Azman ni belum call lagi? Tak ada apa-apa perkembangan ke?” Hati Khai dipagut resah. Sedari tadi matanya tidak berkalih dari memandang telefon bimbitnya di atas meja ruang tamu. Manalah tahu Azman tiba-tiba menghubunginya untuk memaklumkannya tentang Rizal.

            “Abang Khai nak Angah call Uncle Azman ke?” soal Angah.

            Khai menggeleng. “Tak apalah, kalau ada apa-apa perkembangan, Azman dah janji nak call. Azman cakap seluruh pasukan polis dalam jabatannya dikerah untuk cari abah sejak malam semalam. Kita berdoa semoga ada berita baik untuk kita, ya?”

            Along dan Angah hanya mampu mengangguk. Masing-masing cuma mampu berdoa dan berdoa.

            Tidak lama mereka kemudian, telefon bimbit Khai tiba-tiba berdering. Dengan pantasnya Khai menyeluk telefon didalam kocek seluar dan menjawab panggilan tersebut tanpa melihat terlebih dahulu nombor telefon siapa yang tertera di skrin.

            “Hello, Azman! Suami aku macam mana? Kau dah jumpa dia ke?” Soalan itu terus diajukan dalam keadaan tergesa-gesa.

            Along dan Angah saling berpandangan.

            Namun pertanyaan itu hanya dibalas dengan hilai tawa yang kuat dari sebelah sana. Khai bingung.

            “Suami kau ada bersama aku. Kalau nak dia selamat, datang ke tempat aku seorang diri. Jangan bawa polis. Ingat, kalau aku nampak kelibat polis walau seorang pun, kau cuma akan jumpa mayat suami kau,” ujar pemanggil tersebut.

            Khai tergamam. Bibirnya terketar-ketar. Pandangannya terasa gelap tiba-tiba. Telefon bimbit hampir terlepas dari tangannya, namun dia cepat-cepat menguatkan diri, cuba mengawal minda agar kerisauannya tidak melangkaui kewarasan akal.

            “Kau… kau siapa? Apa kau nak? Mana suami aku?”
            “Ikut saja arahan aku, dan kau akan jumpa suami kau.”
            Khai menggigit bibir. Matanya sudah bertukar merah.

            “Dengar sini, kalau kau berani apa-apakan suami aku, aku akan bunuh kau, faham tak?” Khai masih mengawal intonasi walaupun hatinya sudah semakin berang.

            Namun ancaman Khai tidak sedikitpun menakutkan si pemanggil, malah pemanggil itu hanya ketawa dengan kuatnya dan terus mematikan talian.

            “Kenapa, abang Khai? Apa dah jadi? Siapa call tadi?” Along cepat-cepat bertanya.

            Khai hanya mampu terduduk dan membalas pandangan anak-anak saudaranya dengan pandangan yang sayu.

            “Abah korang kena culik. Penculiknya minta abang Khai pergi ke tempat dia kalau nak abah korang selamat.”

            “Apa?” Along dan Angah bersuara serentak dengan mata masing-masing yang terbeliak.
*************
Khai menggenggam jari-jemarinya sekuat hati. Kalau mengikut arahan dan lokasi yang dinyatakan oleh si penculik, rasanya dia sudah sampai di tempat yang betul.

            Dalam hati, dia tidak henti-henti berdoa agar suaminya tidak diapa-apakan. Dia yakin penjenayah yang digelar Sharks dan penculik Rizal adalah orang yang sama. Cuma motifnya kabur. Kenapa mereka hanya menculik Rizal seorang? Dan apakah motif penculikan itu? Nak kata motifnya wang, mereka tidak meminta duit tebusan pun.

            Matanya liar memandang ke segenap sudut rumah teres di kawasan rumah tinggal itu. Dia tahu tindakannya itu bodoh. Dia ke sini sehelai sepinggang, tanpa memaklumkan apa-apa kepada pihak polis. Dia seolah-olah masuk ke perangkap maut. Tapi ini sahaja jalannya. Dia hanya mahu suaminya selamat.

            Tidak lama kemudian telefon bimbitnya berdering lagi. Nombor telefon penculik tadi tertera di skrin.

            “Mana suami aku?” Khai terus bertanya sebaik menjawab panggilan.

            “Dah sampai? Bagus. Sekarang pergi ke rumah hujung sekali,” arah si pemanggil.

            “Hujung belah mana? Kiri ke kanan?”

            “Kiri. Rumah yang masih dalam pembinaan tu.”

            Khai memandang ke kiri. Sebuah rumah terbengkalai yang tidak sempat disiapkan dipandangnya. Dia terus berlari menuju ke rumah tersebut.

            Lariannya terhenti apabila rumah itu sudah tersergam dihadapannya. Nafasnya turun naik dengan pantas. Tercungap-cungap keletihan.

            Belum sempat dia melepaskan lelahnya, kepala seseorang yang memakai topeng hitam terjengul dari dalam rumah terbengkalai itu. Beberapa orang lagi manusia didalamnya turut mengenakan topeng.

            “Kau nak aku buat apa lagi?” Khai yakin itulah penjahat-penjahat yang telah menculik suaminya. Talian masih bersambung dengan penjahat terbabit.

            “Jangan sesekali dekat dengan rumah ni. Suami kau ada kat dalam. Sikit je kau melangkah, aku takkan teragak-agak untuk bunuh suami kau.”

            Khai menelan air liur mendengar amaran tersebut. Dia ingin bersuara, tetapi panggilan sudah dimatikan tiba-tiba.

            Anak-anak buah Ray yang berada didalam rumah tersebut terus bertindak dengan pantas. Mayat salah seorang ahli Sharks yang telah ditembak mati oleh Ray diikat di satu sudut dan kepalanya ditutup dengan kain hitam, kelihatan seolah-olah mayat itu adalah mayat Rizal.

            Arahan Ray dilakukan dengan pantas. Sebutir bom yang disetkan masa akan meletup dalam masa satu minit diletakkan disebelah mayat tersebut. Setelah segalanya selesai, anak-anak buah Ray terus keluar dari pintu belakang tanpa disedari oleh Khai.

            Mereka semua melarikan diri dengan kereta yang sudah tersedia dibelakang rumah. Masing-masih bersorak dan membuka topeng wajah masing-masing setelah pasti mereka semua sudah berjaya.

            Khai yang berdiri di hujung jalan, memerhati rumah itu tanpa berkelip sudah tidak mampu bersabar lagi. Dia ingin masuk walaupun tahu nyawanya jadi taruhan.

            Baru dia melangkah setapak, rumah itu meletup. Menghasilkan bunyi yang amat kuat menyebabkan Khai tercampak ke belakang.

            “Abang!!!”

            Khai menjerit sekuat-kuat hati. Dia yang tertiarap diatas tanah cuba untuk bangun. Air matanya mengalir laju memandang rumah terbengkalai itu yang sedang hangus dijilat api.

            Rumah itu sudah hancur berkecai. Serpihan-serpihannya berterabur dimerata tempat.

            “Abang, jangan tinggalkan Rina…” rintihnya sayu.

            Kepalanya terasa pening. Tidak lama kemudian dia pengsan.

*****************

            Khai membuka matanya perlahan-lahan. Berkerut-kerut dahinya menahan rasa sakit dikepala yang amat sangat.

            “Alhamdulillah, Abang Khai dah sedar.” Terdengar suara Along.

            Ketika pandangan Khai yang tadinya kabur semakin jelas, dia lihat wajah-wajah orang yang disayanginya ada dihadapannya saat itu kecuali Adik dan Khairizal.

            Khai menyandarkan tubuhnya pada kepala katil. Ingatan terhadap letupan yang berlaku menjelma kembali.

            “Abah kamu dah tinggalkan Abang Khai. Dia dah tak ada. Suami Abang Khai dah tak ada…”

            Tidak semena-mena Khai teresak-esak pula. Butir-butir jernih tidak henti-henti mengalir keluar dari matanya.

            Along, Angah dan Saiful saling berpandangan. Wajah Along dan Angah kelihatan merah seperti baru lepas menangis.

            “Abang Khai sabarlah, kita tak tahu lagi. Uncle Azman cakap mereka cuma temui serpihan daging manusia yang dah hangus. Mereka akan cuba dapatkan DNA. Belum tentu itu mayat abah!” tegas Angah dengan esakan yang tertahan-tahan.

            Saiful mendakap bahu Angah, cuba mententeramkan perasaan isterinya.

            Kata-kata Angah semakin membuat Khai sebak. Dia berada di tempat kejadian. Dia sendiri melihat rumah itu meletup. Dia yakin penculik-penculik itu sudah melarikan diri dan serpihan daging manusia yang ditemui itu adalah suaminya.

            Ah, ke mana hilangnya sifat perikemanusiaan penculik-penculik itu? Apakah dosa suaminya hingga mereka tergamak menghancurkan tubuhnya sedemikian rupa?

            “Telefon Azman. Cepat dapatkan info dari dia!” gesa Khai.

            “Kita sabar dulu ya, Abang Khai. Tadi Uncle Azman dah datang sini. Dia pergi semula ke lokasi kejadian untuk tujuan siasatan. Dia dah janji akan telefon kalau ada apa-apa info,” ujar Saiful dengan tenang.

            Khai terdiam. Tangannya tidak henti-henti mengelap air jernih yang tidak jemu keluar dari tubir mata. Nafasnya terasa tersekat dan pembuluh darahnya terasa bagai ingin pecah. Terlalu menyeksa!

            Abang, jangan tinggalkan Rina, hatinya merintih lagi.
******************
Pasukan bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk memadamkan sisa-sisa api kebakaran. Khai sudah dikejarkan ke hospital setelah ditemui terbaring tidak sedarkan diri tidak jauh dari tempat letupan.

            Azman melepaskan keluhan yang berat. Memerhati kawasan yang sudah ditandakan sebagai kawasan larangan polis itu dengan pandangan yang kosong.

            “Pihak forensik dah ambil sampel daging untuk ujian DNA,” kata Fida yang berdiri disebelahnya.

            Azman tidak menjawab.

            “Kemungkinan besar Rizal dah mati,” sambung gadis itu lagi.

            Azman berpaling, menatap wajah Fida. Gadis itu kelihatan tenang, cuba menutup rasa sugul dan sedih di hati.

            Fida tahu, bohonglah kalau dia kata dia sudah tidak menyimpan perasaan terhadap Rizal barang sekelumit pun. Dia sedang berusaha untuk menerima Rizal hanya sebagai rakan sepasukan, namun kesedihan yang dirasainya saat ini bukan kesedihan seseorang yang kehilangan rakan sepasukan. Terasa seperti seorang kekasih yang kehilangan kekasihnya untuk selama-lamanya.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Thursday, May 16, 2013

I'm Officially Engaged :)

Assalamualaikum. Alhamdulillah. Rasanya dah genap 6 hari aku membawa status baru. Iaitu status tunangan orang. Tunangan Incik Sopi :D percaya tak? percaya tak? haha...
.

Majlis pertunangan berlangsung di rumah aku kat Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Majlis sederhana je tapi adalah dalam 90 orang jugak yang datang. 10 orang wakil dari pihak lelaki dan selebihnya adalah sanak-saudara aku. Haha... ramai tak? Ramai tak?

Oh ya, majlis pertunangan aku berlangsung pada 11 Mei (Sabtu) yang lepas. Aku belum habis belajar. Baru saja selesai menamatkan semester 4 dengan jayanya. Lagi setahun aku akan tamat program Diploma Komunikasi dan Pengajian Media di UiTM Alor Gajah, Melaka.
.
keluarga bakal mentua
Ok just for info, dalam adik-beradik aku, aku anak first yang bertunang. So aku dah lintas turn abang long aku yang berhasrat nak bertunang dengan aweknya tahun depan. Hahaha...
.
.
hantaran dari aku:-
1) sireh junjung
2) kain pelikat + toiletries
3) tali pinggang + wallet
4) kain persalinan
5) kek
6) buah-buahan
7) coklat

dan hantaran2 aku yg disponsor oleh mak tok kesayangan:-
7) kuih baulu
8) coklat lagi
9) kuih tart

 .
 .
hantaran dari Incik Sopi:-
1) sireh junjung
2) cincin
3) al-Quran tafsir
4) kain persalinan
5) telekung
6) sejadah
7) buah-buahan
8) kek
9) coklat
.
Sepatutnya kalau Incik Sopi kasi 9 dulang, sepatutnya aku kenalah balas lagi banyak. 11 dulang ke, 13 dulang ke... tapi tengok sama banyak je hantaran aku dengan Incik Sopi ni. Haha...
.


.
perkara yang agak memalukan? haha.. ada jugak sebenarnya. Masa bakal mak mentua aku dah siap sarungkan cincin ke jari, aku tunggu kaku je kat situ. Ada kamera2 yg focus, bersedia nak amik gambar tapi tak amik2 jugak.

Last2 aku sound, “Cepatlah amik!” Amekaw... depan keluarga bakal mentua lak tuh. Adoi... malu... malu! Nasiblah kan, Incik Sopi dapat bakal bini tak tau control ayu =,=

Tapi Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Semoga ikatan pertunagan ini akan berakhir dengan termeterainya ikatan perkahwinan. Amin... :)
 .
aku dan Incik Sopi
Aku, Incik Sopi, parents aku dan bakal ibu bapa mentua
 .
tak lupa, dua orang kawan aku dan Incik Sopi; Nana
dan Edruce yang sudi hadir untuk memeriahkan majlis
sanak saudara @ family belah ummi yang sudi datang dari jauh
semata-mata untuk memeriahkan dan menjayakan majlis
.
ADIOS! :D

Sunday, May 12, 2013

KhaiRizal : A Love Story 14 (bhg. 2)

.
        Beberapa jam kemudian, gudang lama yang sudah hangus terbakar itu ditandakan sebagai kawasan larangan polis. Pasukan bomba telah berjaya memadamkan sisa-sisa api. Anggota polis yang tercedera sudah dikejarkan ke hospital.

            Syukur, serbuan kali ini walaupun dianggap tidak berjaya kerana tiada seorang penjenayah pun yang berjaya diberkas, namun tiada seorang pun pihak polis yang mati dalam letupan tersebut.

            Sejurus setelah menyedari gudang tersebut telah dipasang bom, pihak polis bergegas keluar dari tempat tersebut sambil memapah keluar anggota polis yang tercedera. Baru beberapa minit keluar, tiba-tiba gudang itu meletup.

            Dan yang paling mengecewakan, Rizal tidak keluar bersama mereka dan mereka sendiri tidak pasti sama ada Rizal terperangkap didalam gudang atau sudah dibawa ke tempat lain.

            “Kalaupun Inspektor Rizal berada di dalam gudang ketika letupan tu berlaku, mustahil dia masih hidup,” kata Tuan Rashdan.

            Rakan sepasukan terutama Azman dan Fida sudah saling berbalas pandangan. Mereka tidak percaya Rizal mati didalam letupan tersebut. Tidak, Rizal pasti masih hidup!

            “Tuan Rashdan, pihak forensik tak menemui apa-apa mayat pun dalam kebakaran ni. Besar kemungkinan Inspektor Rizal masih hidup,” lapor seorang anggota polis.

            Azman dan Fida tersenyum mendengarnya. Tuan Rashdan mengangguk-angguk.

            “Baiklah, teruskan siasatan. Saya yakin Inspektor Rizal diculik tapi saya ingin tahu bagaimana ianya boleh terjadi. Dan Inspektor Azman…”

            “Saya, tuan!” Azman bersuara.

            “Saya mahu 8 orang anggota polis yang tak cedera balik ke ibu pejabat. Siapkan laporan. Saya nak hari ni jugak. Dan satu lagi, maklumkan pada keluarga Inspektor Rizal tentang kehilangan Inspektor Rizal malam ni.”

            Selesai mengeluarkan arahannya, Tuan Rashdan terus berlalu pergi. Azman dan Fida masih tegak berdiri di situ. Melihat gudang dua tingkat yang sudah rentung itu.

            “Ya Allah, apa aku patut beritahu Khai. Kesian isteri Rizal…” keluh Azman perlahan.

            Fida menoleh memandang Azman. Melihat wajah Azman yang sugul, empangan air matanya hampir pecah. Dia terlalu risau tentang keselamatan Rizal saat ini. Apa agaknya kaitan antara Sharks dengan kes penculikan Rizal?

*************

            Khai yang sedang khuyuk berwirid di tikar sejadahnya sedikit tersentak apabila apabila alat keluinya berbunyi tiba-tiba. Terus dia bangkit dan mencapai alat kelui tersebut.

            2003 – pesanan dari Rizal.

            2003? Apa ni? Bukankah Rizal ada operasi malam ini? Ada masa pulak nak menghantar pesanan kepadanya. Tapi apa maksud 2003? Entah, mungkin Rizal tersilap tekan. Khai mengangkat bahu dan mencampak alat keluinya di atas katil.

            Khai kembali duduk di tikar sejadah. Kali ini dia mengambil surah Yaasin dan membacanya. Begitu khusyuk dia mengaji hingga tidak menyedari hari hampir larut. Tidak tahu pukul berapa, tiba-tiba Khai terdengar seseorang memberi salam diluar rumah. Dengan masih memakai telekung, Khai terus keluar menuju ke muka pintu.

            Dia sedikit kaget melihat dua orang lelaki memakai seragam polis berdiri dihadapannya. Dan salah seorangnya adalah Azman.

            “Waalaikumussalam. Ya, ada apa?”

            Azman meneguk liur. Otaknya ligat berfikir, cuba untuk mencari perkataan yang sesuai agar tidak melukai hati Khai. Ini bukan kali pertama dia memberitahu keluarga si mangsa sekiranya terdapat khabar buruk, tapi kali ini lidahnya kelu sebaik memandang wajah bersih Khai yang memakai telekung.

            Ya Allah, selamatkanlah Rizal. Lindungilah dia walau dimana pun dia berada, gumamnya dalam hati.

            “Ada apa, Man?” Suara Khai menyentaknya.

            “Khai, saya…” Azman tidak mampu untuk mengucapkannya. Dia menoleh memandang rakan setugasnya, mengisyaratkan agar rakannya yang memaklumkan kepada Khai.

            “Harap bertenang, puan. Kami bawa berita kurang baik. Suami puan, Inspektor Rizal Syafiqin telah diculik dalam serbuan kali ini. Sehingga saat ini, kami masih mencarinya. Diharap puan dapat bersabar,” beritahu rakan setugas Azman dengan tenang.

            Khai terkedu disitu. Kakinya longlai tiba-tiba. Dia hampir jatuh, tapi mujur dia sempat memegang tepi pintu. Tangannya terketar-ketar menahan perasaan.

            “Man, apa… apa semua ni? Rizal mana? Suami saya mana?” soalnya bertalu-talu. Matanya sudah mula berkaca.

            Azman serba-salah melihatnya. Dia mengerti perasaan Khai. Dia menyayangi Rizal dan tidak dapat dinafikan, dia turut menyayangi Khai. Melihat Khai menangis, hatinya turut terasa pedih.

            Tubuh Khai sudah melorot ke lantai. Air matanya mengalir laju tanpa disekat-sekat lagi. Rasa kesal menghimpun di dadanya. Teringat tentang hubungannya dengan Rizal yang agak tegang sebelum Rizal keluar dari rumah seminggu yang lalu.

            Abang, maafkan Rina. Rina salah sebab tak percayakan abang. Maafkan Rina… rintihnya. 

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Tuesday, May 7, 2013

KhaiRizal : A Love Story 14 (bhg. 1)

“Bos, polis dah datang,” beritahu anak buah Ray, tapi dia sedikit pun tidak panik. Malah kelihatan begitu tenang.

            Ray tersenyum. 9mm glock dikeluarkan. “It’s time to play!”

            Kuncu-kuncunya turut tersenyum. Topeng dikeluarkan untuk melindungi wajah masing-masing daripada dikesan pihak polis. Burn dan beberapa orang lagi sudah berada di luar gudang, menunggu didalam bot untuk melarikan diri sebentar lagi.

            Pihak polis memasuki gudang lama 2 tingkat itu. Suasana gudang begitu sunyi, hanya bunyi hujan lebat di luar gudang kedengaran. Tanpa mereka ketahui, Ray sedang bersembunyi di tingkat atas bersama beberapa orang kuncu setianya sementara yang lain-lain berada di setiap sudut gudang mengawasi pihak polis. Bom telah dipasang di setiap penjuru gudang seperti yang dirancang.

            Pasukan polis seramai lima belas orang itu berpecah, mengambil posisi masing-masing. Rizal dan 4 orang anggota polis lain naik ke tingkat atas untuk memeriksa setiap bilik gudang.

            Pow!
            Pow!
            Pow!

            Tembakan bertubi-tubi di tingkat bawah mengejutkan Rizal. Dia berpaling memandang rakan sepasukannya.

            “Biar aku dengan Nadim pergi tengok,” ujar Razak.

            Rizal mengangguk. Terus Razak dan Nadim berlalu meninggalkan kumpulan itu. Kini Rizal hanya bersama Fida dan Naim.

            Sebuah bilik berkunci. Bam!!! Hanya dengan sekali tendangan, Rizal sudah berjaya memecahkan pintu bilik tersebut. Tapi tidak ada sesiapa didalamnya. Ketika itu mereka terpandang kelibat seseorang berpakaian serba hitam dan bertopeng berlari dihadapan mereka dan masuk ke sebuah bilik lain. Pantas Rizal berlari meninggalkan Fida dan Naim untuk mengejar kelibat manusia tadi.

            Sangka Rizal manusia bertopeng tersebut telah menghilangkan diri tapi rupanya dia bersembunyi dibelakang pintu bilik. Memang dia menunggu Rizal datang kepadanya kerana menuruti arahan Ray bahawa Rizal harus ditangkap hidup-hidup.

            Tanpa berfikir tentang bahaya terus Rizal masuk ke dalam bilik itu. Sepantas itu juga manusia bertopeng tadi menutup pintu dan menguncinya. Tanpa sempat Rizal berbuat apa-apa, lelaki itu menendang perutnya hingga dia jatuh terlentang.

            Rizal mengacukan Glock 17 nya tapi seorang lelaki lain yang entah dari mana datangnya terus menyepak lengan Rizal hingga senjata ditangan Rizal jatuh agak jauh.

            “Rizal! Rizal!” Ketukan bergema di muka pintu. Fida dan Naim cuba membuka pintu tersebut tapi tidak berjaya.

            Rizal cuba menyahut tapi pantas mulutnya ditekup dengan sehelai kain. Bau klorofom yang sangat kuat membuatkan kepalanya pening dan dia terus rebah tidak sedarkan diri.
            Fida dan Naim sudah panik apabila tiada sebarang sahutan dari dalam.

            “Berundur!” arah Naim. Fida hanya menurut.

            Pow! Naim menembak tombol pintu, beberapa saat kemudian pintu tersebut dapat dibuka. Namun yang mengejutkan tiada sesiapa didalamnya termasuk Rizal.

            “Ya Allah, mana Rizal?” Suara Fida agak cemas.

            Belum sempat Naim menjawab, beberapa das tembakan lagi kedengaran. Naim terus berlari ke tingkat bawah. Fida mengekorinya dari belakang. Namun yang ditemui mereka sungguh mengejutkan. 7 orang anggota polis terbaring di atas tanah kerana ditembak termasuk Razak dan Nadim.

            “Erin, kau tak apa-apa?” Fida meluru mendapatkan Erin yang sudah berlumuran darah akibat ditembak di bahu kirinya. Enam orang lagi yang ditembak cuba menahan kesakitan sementara menunggu bantuan.

            “Aku tak apa-apa, tapi aku rasa ada yang tak kena dalam misi kali ni. Sharks macam dah tahu kita akan datang. Diorang main serang hendap, lepas tembak terus lari.”

            Terkedu Fida dan Naim yang mendengar kata-kata Erin. Fida memandang ke sekeliling gudang, tiada seorang pun ahli Sharks yang kelihatan. Mereka memang sudah tahu pihak polis akan menyerbu tempat mereka dan merancang semua ini dari awal.

            “Mana Rizal?” soal Azman yang baru tiba di ruang hadapan gudang itu. Sebentar tadi dia dan beberapa orang anggota polis memeriksa stor yang terdapat di bahagian pintu belakang.

            “Err... Rizal...” Tergagap-gagap Fida cuba menerangkan. Dia sendiri tidak tahu kemana perginya Rizal. Tidak sampai seminit Rizal terperangkap di dalam bilik tingkat atas, dia sudah hilang entah ke mana.

            Tujuh daripada lima belas orang polis ditembak. Bagaimana ini boleh terjadi? Mereka dapat merasakan ini adalah misi paling gagal. Ada kemungkinan Sharks sudah tahu tentang serbuan malam ini.

            “Ada bom!” jerit Hamdan yang memeriksa celahan timbunan kotak di gudang itu.
            Masing-masing terbeliak.

****************

            Ray yang sedang berada di dalam bot bersama anak-anak buahnya ketawa dengan kuat apabila gudang tersebut meletup tiba-tiba. Dia begitu yakin semua anggota polis didalamnya sedang mati terbakar. Suis yang berfungsi menghidupkan bom kawalan jauh yang dipegangnya dibuang ke dalam sungai.

            Sebaik melihat dengan mata sendiri gudang itu sudah terbakar, enjin bot terus dihidupkan. Akhirnya mereka semua dapat melarikan diri tanpa ada seorang pun ahli mereka yang ditangkap.

            Selepas Rizal berjaya diculik, dia dan beberapa orang kuncunya melarikan diri melalui jalan rahsia yang sengaja dibina untuk masa-masa kecemasan seperti ini sementara kuncu-kuncu yang lain menyerang hendap pihak polis demi menarik perhatian mereka.

            “Lepas ni berhenti dekat pelabuhan, ada 2 buah kereta tunggu kita kat sana. Malam ni perjalanan kita jauh,” ujar Ray tersenyum tepi.

            Burn yang sedang mengemudi bot hanya mengangguk. Nasib baik bot yang mereka naiki itu jenis bot beratap, kalau tidak sudah lencun masing-masing kerana malam ini hujan turun sungguh lebat.

            Ray duduk merehatkan diri sambil meneguk air kuning berbuih tanda meraikan kejayaannya. Kemudian berpaling memandang Rizal yang terbaring di satu sudut bot itu dalam keadaan masih tidak sedarkan diri. Kaki dan tangannya diikat kemas.

            “Rizal, kau berlagak dengan aku selama ni. Kau ingat kau belasah aku depan orang ramai aku tak ada maruah? Tak ada rasa malu? Rasa benci aku pada kau melebihi apa pun dimuka bumi ni. Aku akan pastikan kau mati terseksa!” luah Ray perlahan, seolah-olah Rizal dapat mendengar bicaranya.

**************
            Prang!!! Gelas yang dipegang Khai terlucut tiba-tiba. Khai beristighfar dalam hati. Yalah, takkan nak menyanyi pulak, ye tak? Ada ke gelas pecah lepas tu bantai nyanyi lagu Isabella.

            Kenapa dengan aku ni? Tak cukup cell body ke apa? Khai meraup muka sambil mengutip kaca-kaca yang bertaburan di lantai. Dia mengerling ke arah jam dinding ruang tamu yang menunjukkan pukul 11.30 malam. Hujan di luar pula semakin lebat seakan tidak mahu berhenti.

            Dia tahu ini bukan kali pertama Rizal menyerbu markas penjahat, tapi ini kali pertama dia benar-benar tidak sedap hati. Harap-harap tiada perkara buruk yang menimpa suaminya.

            Dia tahu tidak ada gunanya dia cuma duduk dengan jiwa yang resah. Selepas serpihan kaca dibersihkan, terus dia ke bilik air mengambil wuduk.
******************
            “Rina... Rina...”

            Lemah suara Rizal. Dia meracau-racau memanggil nama isterinya dalam lena. Dalam mimpinya Khai tersenyum sambil memangku anak mereka, Khairizal. Kemudian perlahan-lahan berjalan pergi, meninggalkannya sendiri.

            “Rina, jangan tinggalkan abang...”

            “Hoi, diamlah! Memekak je!” jerkah Burn, serentak itu tangannya menghayun penumbuk ke Rizal.

            Rizal yang diikat di sebuah kerusi semakin lemah. Malam itu setibanya mereka di sebuah pondok using ditengah-tengah ladang kelapa sawit, teruk Rizal dibelasah anak-anak buah Ray. Hampir lunyai tubuh Rizal diperlakukan tanpa belas kasihan.

            Ray puas melihat penderitaan Rizal. Asap rokoknya disedut dalam-dalam. Dia menarik kedua-dua belah pipi Rizal, memaksa Rizal memandangnya. Asap rokok yang tadinya disedut, dihembus ke muka Rizal. Terbatuk-batuk Rizal kerana tidak tahan dengan bau asap yang melemaskannya.

            “Look at yourself now, so pathetic!” ejek Ray sarkastik.

            Namun yang mengejutkan, Rizal tetap membalas pandangan Ray dengan senyuman mengejek. “Aku tak takut kaulah, budak kecik!”

            Mencerlung biji mata Ray, pantas dia menghayun sebiji tumbukan tepat ke muka Rizal. Namun Rizal sedikitpun tidak mengaduh kesakitan, dia menentang berani anak mata Ray walaupun hidungnya sudah berdarah.

            “Ray... Ray... aku memang dah agak dari awal memang kau ketua Sharks. Kau ingat kau berjaya culik aku, kau dah hebat? Sebenarnya kau lebih menyedihkan berbanding aku!”

            Darah Ray mendidih mendengar kata-kata Rizal. Mulut Rizal memang lancang walaupun diikat seperti ini. Sekali lagi dia menumbuk muka Rizal. Tidak cukup dengan itu, dia menendang tubuh Rizal hingga Rizal jatuh terbaring di atas tanah bersama kerusi yang didudukinya. Namun Rizal hanya tergelak halus.

            “Kau boleh tunjuk berani dalam keadaan aku diikat, kan? Jangan jadi pengecut, budak. Kalau kau memang anak jantan, lepaskan aku. Satu lawan satu!”

            Ray terkesima apabila Rizal mencabarnya. Dia memandang anak-anak buahnya. Kalau aku tolak cabaran ni, anak-anak buah aku akan anggap aku pengecut. Alah, lagipun dia dah teruk kena belasah, aku mesti akan menang.

            “Okey, Burn buka ikatan dia!”

            Burn tidak banyak soal. Terus tali yang mengikat kaki dan tangan Rizal dileraikan. Kemudian tubuh Rizal ditarik kasar supaya berdiri.

            “Sedia?” Ray sudah siap membuka langkah.

            Rizal tersenyum tepi. Belum sempat dia menjawab, Ray sudah mula menyerangnya bertubi-tubi. Dia tidak mampu membuat serangan dan hanya boleh mengelak selagi termampu.

            Keadaan tubuh Rizal yang sudah sedia lemah akibat dibelasah dimanfaatkan Ray sepenuhnya. Dia terus menerus menyerang Rizal dan akhirnya memberi tendangan kuat ke dada Rizal hingga lelaki itu jatuh terdorong ke belakang dan tersembam di atas lantai.

            “Well... well... well... ini ke orang yang berani sangat cabar aku tadi? Nak lawan lagi? Bangunlah, aku boleh tamatkan riwayat kau sekaligus!” ujar Ray angkuh.

            Rizal meludah ke lantai apabila terasa sudah ada darah mengalir keluar dari mulutnya. Dia meraba-raba dadanya yang terasa perit. Untuk seketika dia teringatkan keychain berukir KR dan alat kelui yang sengaja disimpan didalam poketnya. Walaupun dia tidak membawa telefon bimbit, tapi keychain itu tetap dibawanya kerana apabila keychain itu ada dengannya, dia merasa seolah-olah isterinya berada dekat dengannya.

            “Bangunlah, jangan jadi pengecut!” Kata-kata Ray mematikan angan Rizal.

            Rizal meraba-raba poketnya. Kemudian bangun dan tersenyum. Abang akan balik Rina...

            “Kau ingat kau dapat pukul aku sikit kau dah hebat? Tadi aku baru warm up lah!” ujar Rizal dengan wajah mengejek.

            Berubah serta-merta muka Ray. Dia merasa egonya tercabar. Tanpa menunggu Rizal bersedia, terus dia menyerang Rizal bertubi-tubi tapi kali ini Rizal lebih pantas mengelak. Setiap serangan Ray tiada satu pun yang mengenai Rizal. Ketika wajah Ray tampak tertekan, barulah Rizal melancarkan serangan pertamanya. Muka Ray ditumbuk sekuat hati hingga lelaki itu jatuh tersembam agak jauh ke belakang.

            Ray mengerang kesakitan. Pipi kirinya sudah bengkak dan berdarah. Rizal mencebik sinis. Itulah, kalau kail panjang sejengkal, jangan diduga lautan dalam. Cewah, aku bermadah pulak!

            “Bos, bos tak apa-apa?” Burn dan anak-anak buah yang lain berlari mendapatkan Ray.  Masing-masing cuba membantu Ray tapi pantas Ray menepis.

            “Jangan campur urusan akulah bodoh!” pekiknya geram. Dengan sisa kekuatan yang masih tinggal, dia bangun dan mengesat darah di tepi bibir. Anak-anak buahnya meminggir.
            Sebenarnya dalam hati, Ray kagum dengan kekuatan Rizal. Bagaimana mungkin lelaki yang sudah lunyai dibelasah anak-anak buahnya tadi masih mampu berlawan?

            Kali ini serangan Ray lebih agresif. Dia terus memberi tendangan, tumbukan, sepakan dan pelbagai serangan tapi semuanya mudah ditepis oleh Rizal. Kuncu-kuncu Ray yang hanya menjadi penonton sedari tadi hanya mampu saling berpandangan. Ray seolah-olah diajak menyertai satu sesi latihan, bukannya perlawanan sebenar.

            Setelah Ray tampak keletihan, pantas Rizal mengilas tangan lelaki itu ke belakang dan mengambil Glock 17 yang tersisip di pinggang Ray.

            “Jangan dekat! Kalau tak bos kau mati katak kat sini!” ugut Rizal sambil mengacukan senjata tersebut ke kepala Ray.

            Ray sudah memucat. Anak-anak buah Ray kelihatan cemas dengan situasi yang tidak terduga itu.

            “Rupa-rupanya kau tetap budak macam dulu. Kalau ya pun nak ajak aku lawan, lain kali buanglah pistol dulu. Sekarang siapa susah? Kau jugak, kan?” bisik Rizal sarkastik.

            Ray mengetap bibir. Jantungnya berdegup kencang bagaikan sudah hendak meletup. Melihat anak-anak buahnya sudah ingin mengeluarkan senjata masing-masing, pantas dia menahan.

            “Jangan keluarkan pistollah, bodoh! Aku mati kang macam mana?”

            Mendengar kata-kata Ray, mereka menyimpan kembali senjata masing-masing dan berundur.

            “Buka pintu sekarang!”arah Rizal merenung pada pintu pondok yang berkunci.

            Tanpa berlengah salah seorang anak buah Ray terus membuka pintu tersebut dan berundur dari situ.

            Rizal terus mengacukan pistol ke kepala Ray dan sedikit demi sedikit menarik Ray berundur ke muka pintu yang terbuka luas.

            “Jangan ada sesiapa yang berani dekat!” Dia menekan suaranya, tangannya mengheret tubuh Ray ke muka pintu hingga mereka akhirnya keluar dari pondok tersebut. Tiada seorang pun anak buah Ray yang berani bertindak.

            Ketika menganggarkan jaraknya sudah agak jauh dengan pondok, dia terus menghentak kepala Ray dengan pistol di tangannya. Hentakannya tidak kuat, cuma akan membuat Ray pengsan untuk seketika.

            Ketika tubuh Ray hampir terkulai, Rizal terus melarikan diri, nekad meredah ladang kelapa sawit dan kegelapan malam. Dia lebih rela mati dimakan binatang buas daripada mati ditangan penjenayah.

            Pow!
            Pow!
            Pow!

            Bunyi tembakan kedengaran bertubi-tubi. Rizal langsung tidak menoleh ke belakang. Dia tahu anak-anak buah Ray sedang mengejarnya. Ada beberapa ketika, bullet peluru seakan hampir mencecah kepalanya tapi dengan izin Allah, satu pun tidak berjaya menembusinya.

            Beberapa ketika dia berlari, nafasnya terasa semakin semput. Kerana keadaan yang terlalu gelap, Rizal tidak perasan ranting kayu dan tersadung. Dia berguling-guling jatuh dan kepalanya terhentak sebongkah batu besar. Darah merah pekat membuak-buak mengalir keluar dari kulit kepala. Sakitnya hanya Allah yang tahu.

            Rizal cuba menahan kesakitan seboleh yang mungkin. Saat itu yang ada difikirannya cuma Khai dan anak-anaknya. Rizal mendongak memandang langit, kelihatan bulan purnama bersinar terang. Bunyi cengkerik dan burung hantu saling bersahutan. Namun bunyi tembakan sudah tidak kedengaran lagi. Rizal lega, mungkin anak-anak buah Ray sudah kehilangan jejaknya.

            Dengan sisa tenaga yang masih tinggal, dia meraba koceknya. Disitu dia menyimpan key chain handphone pemberian Khai dan alat keluinya. Dia terus mengeluarkan alat kelui dan menaip sesuatu untuk Khai.

            2003 – itu mesej ringkas yang cuba disampaikannya kepada Khai. Dia yakin Khai pasti dapat menganalisisnya.

            Kepalanya terasa semakin berpinar dan akhirnya dia terus pengsan dengan alat kelui yang masih berada di dalam genggamannya.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)