Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Sunday, August 17, 2014

Zikir Cinta 24

BEBERAPA minggu kemudian…

Daniel sudah siap menyarungkan jaket kulit hitam ke tubuhnya; jaket pemberian Jessica. Dia merenung tiket penerbangannya yang diletakkan di atas katil.

Mengikut jadual, dia akan mengambil tiket bas ke Sydney di stesen bas Jolimont Centre. Menaiki bas Murrays terus ke Sydney International Airport. Kemudian dari Sydney barulah dia menaiki pesawat MAS Airlines yang akhirnya akan membawa dia pulang ke Malaysia.

Tiga tahun dia tidak pulang dan ini adalah saat yang paling dinanti-nantikan. Ibu, tunggu kepulangan Daniel ya? Daniel akan pulang, bu…

Dia berlalu ke meja belajar dan mengambil album gambar di atas meja tersebut. Perlahan-lahan tangannya menyelak halaman pertama. Ada gambar dia bersama Adrian dan Jason Lee. Mereka bertiga berpelukan bersama segulung ijazah pada hari konvokesyen mereka, beberapa hari yang lalu.

Benar seperti yang dijangka rakan-rakan dan pensyarahnya, tahun ini sekali lagi dia mendapat anugerah dekan. Jason Lee juga tidak terkecuali.

Aku sayang korang Adrian, Jason… getus hatinya lalu membawa album gambar itu ke dada. Rasa sebak tiba-tiba datang menghimpitnya. Selepas ini mereka akan pulang ke tempat masing-masing. Entah bila mereka dapat bertemu lagi.

Kemudian dia membelek pula halaman yang seterusnya. Selakannya mati pada sekeping gambar. Gambar dia bersama Cinta ketika melawat Currumbin Wildlife Sanctuary di Gold Coast.

Teringat pula saat-saat akhir sebelum hari konvokesyen, hubungan antara mereka bertambah baik. Adrian juga sudah tidak sedingin dulu dan sudah mula menerima Cinta.

Selepas percutian itu tamat, Adrian pulang ke Auckland tapi cuma beberapa hari sahaja dan selepas itu dia kembali semula ke Australia untuk persiapan konvokesyen.

Di ANU, cuma ada dua sesi graduasi, iaitu ketika musim salji (sekitar bulan Julai) dan ketika musim panas (sekitar bulan Disember atau Januari). Jadi waktu mereka menunggu sehingga majlis graduasi tidak lama. Cuma dalam sebulan lebih sahaja. Dalam tempoh itu, sempat juga Daniel dan Jessica bekerja sementara di restoran untuk menambah wang saku.

Pelajar ANU sebenarnya boleh memilih sama ada mahu konvokesyen ketika musim panas atau musim salji. Cuma kebanyakan pelajar lebih suka memilih tarikh konvokesyen yang paling dekat kerana mahu segera pulang ke tanah air masing-masing.

Pada awalnya, seorang pensyarah sudah menawarkan pekerjaan buat Daniel di syarikat milik kawannya di Canberra kerana keputusan peperiksaan Daniel yang cemerlang setiap semester.

Namun Daniel tersenyum sahaja dan menolak tawaran kerja itu. Rasanya lebih baik dia bekerja di Malaysia sahaja, dekat dengan ibunya. Lagipun Malaysia masih memerlukan ramai tenaga kerja dan graduan sepertinya.

Mata Daniel tertancap pada gambar gadis yang amat dicintainya sejak dulu. Siapa lagi kalau bukan Cinta Aulia. Hanya gadis itu yang senantiasa bertahkta dihatinya. Gadis itu adalah cinta pertamanya.

Ya, memang dia sudah berbaik dengan Cinta tapi itu tidak bererti Cinta akan membalas perasaannya. Dia masih sedar asal usul dan keturunannya. Masakan anak seorang hartawan mahu bergandingan dengan anak seorang penjual kuih. Dan kalau Cinta membalas perasaannya sekalipun, dia tidak fikir dia akan menerimanya. Hatinya sudah cukup menampung kelukaan selama ini. Biarlah kekal sebagai kawan sahaja, itu lebih baik.

Dia menarik nafasnya dalam-dalam dan terus memasukkan album gambar tu ke dalam beg pakaiannya. Selepas semuanya siap dikemas dan yakin tiada apa lagi yang tertinggal, dia menjinjit sebuah beg pakaian besar dan menarik beg troli keluar dari bilik itu.

Adrian dan Jason Lee sedang duduk di ruang tamu menantinya. Sebaik melihat Daniel, Adrian dan Jason Lee terus mendapatkannya lalu mereka berpelukan. Lama.

“Dah sampai Malaysia jangan lupa call aku, okey?” pesan Adrian dengan suara yang tenggelam timbul.

“Jangan lupakan aku. Rajin-rajin call kalau tak sibuk nanti,” ujar Jason Lee sambil tertawa. Dia tidak mengambil penerbangan bersama Daniel walaupun destinasi mereka sama. Ibu bapanya mahu datang mengambilnya di sini.

Mereka meleraikan pelukan. Adrian merenung Daniel, seperti tidak akan melihat sahabatnya itu lagi selepas ini.

“Nanti aku pujuk parents aku supaya beri aku kerja kat Malaysia, okey?”

Daniel tertawa halus dan hanya mengangguk.

“Mari aku hantarkan kau sampai stesen bas.” Adrian menawarkan bantuan tapi kali ini Daniel menggeleng pula.

“Aku tak nak terus pergi sana. Aku nak pergi ke satu tempat dulu.”

“Ke mana? Biar aku hantarkan.”

“Tak, tak apa. Aku dah call teksi. Aku nak sendirian.”

Adrian terus kehilangan kata-kata. Jason Lee pula terkebil-kebil sendiri sambil membuntuti langkah Daniel ke muka pintu. Daniel sempat menghadiahkan sebuah senyuman yang manis kepada rakan-rakannya itu sebelum menaiki teksi meninggalkan rumah sewa mereka.

Adrian melepaskan keluhan. Dari gaya Daniel, dia tahu sahabatnya itu sedang kesedihan.

***************

HARI ini Cinta akan pulang ke Malaysia. Penerbangan domestiknya menaiki Qantas Airlines dari Canberra ke Melbourne tinggal lagi dua jam.

Cinta gelisah. Benda yang dicarinya tidak ditemui. Dari tadi dia menyelongkar almari baju dan meja belajar tapi semuanya menemui kegagalan. Benda itu sungguh penting buat dirinya. Hanya benda itu satu-satunya kenangan dia bersama jejaka impiannya.

            Tiket penerbangan? Benda itu tak penting pun! Kalau tiket hilang, dia boleh membatalkan penerbangan dan menempah tiket baru pada hari lain. Wang? Benda itu juga tidak penting!

            “Ya Allah, mana perginya ni…” keluh Cinta mulai putus asa.

            Tapi dia tahu dia tidak boleh mengalah. Kalau dia tidak menemui benda itu hari ini, dia betul-betul akan membatalkan penerbangan dan hanya akan pulang ke Malaysia apabila benda yang dicarinya ditemui.
            “Kau cari ni ke?” Satu suara di muka pintu.

            Pantas Cinta menoleh. Tersirap darahnya melihat rakannya tercegat di muka pintu. Sesuatu ditangan Erma menarik perhatiannya. Gambar!

            Cinta terus meluru ke arah Erma dan cuba mengambil gambar-gambar di tangan kawannya itu tapi Erma lebih pantas menyembunyikannya dibelakang.

            “Give it to me!”

            “Oh, jadi ini yang kau buat ya? Ingatkan pergi melancong dengan family, tapi rupa-rupanya kau dah masuk group budak-budak miskin tu!” Tajam mata Fatin saat melemparkan kata-kata itu.

            Cinta diam. Dia tahu lambat laun mereka akan tahu juga. Salahnya sendiri kerana meletakkan gambar-gambar kenangan bersama Daniel, Adrian, Jason Lee dan Jessica didalam laci meja tanpa berkunci.

“Kau sendiri tahu kan si Daniel dengan Jessica tu siapa? Diorang tu anak orang miskin. M.I.S.K.I.N!” Hana mengeja satu persatu, membuatkan telinga Cinta panas mendengarnya.

“Macam mana kau boleh selamba derk je berkawan dan duduk berkumpul dengan bebudak macam tu? Kau tak rasa jijik ke?” tokok Fatin pula.

Cinta membalas pandangan rakan-rakannya yang tajam menikam.

“Ya, aku berkawan dengan diorang. So what’s the problem?” Entah dari mana muncul kekuatan dalam dirinya untuk membela diri sendiri.

“Oh, kau pun nak jadi parasit macam diorang?” sindir Erma.

Cinta telan air liur. Terasa darah menyerbu ke muka. Bengang sungguh dia mendengar Erma menyamakan Daniel dan Jessica sebagai parasit. Kalau dulu kata-kata itu dianggap biasa, tapi hari ini dia terasa ingin sahaja menampar mulut Erma.

“Nak tahu siapa yang parasit sebenarnya?” Dia kembali menyoal. “Kita! Kita semualah parasit selama ni! Orang yang suka memandang rendah pada orang lainlah sebenarnya yang jijik!”

Terpempan rakan-rakan Cinta mendengar kata-kata yang cukup lantang itu. Belum pernah ada sesiapa yang berani menghina mereka seperti itu.

“Orang-orang miskin tak kotor. Malahan mereka jauh lebih mulia dari kita, anak orang kaya yang hidup penuh dosa dan noda. Apa yang membezakan seseorang itu cuma iman, bukan harta benda!”

“Oh my god, ada orang nak berlagak jadi ustazah kat sini. Wow Cinta, it’s so over the top,” ejek Erma lalu ketawa berdekah-dekah bersama yang lain-lain.

Cinta mengeleng-geleng kesal. Baru kini dia menyedari dengan siapa dia berkawan selama ini.

“Come on, Cinta. Baru kawan sekejap dengan budak-budak miskin tu, kau ingat kau dah cukup layak nak ceramah kitorang? Pleaselah, ini bukan diri kau. Kami nak Cinta Aulia yang lama, kawan kami yang lama.” Suara Erma kembali lembut, berniat memujuk.

“Tak, korang bukan kawan-kawan aku.” Kepala Cinta menggeleng rakus. “Kawan-kawan aku yang sebenarnya ialah Daniel, Jessica, Adrian dan Jason. Bukan korang.”

Berubah wajah masing-masing mendengarnya.

“Hei, apa yang mamat sewel tu dah racun kau, hah? Minah Indon tu… perempuan si…” Belum sempat Fatin menghabiskan kata-katanya, sebiji penampar singgah di pipinya. Mencerlung biji mata Fatin dengan pipi yang sudah kemerahan.

“Jangan sekali-kali hina kawan-kawan aku!” Cinta memberi amaran.

“Berani kau tampar aku? Dasar perempuan hipokrit, berlagak baik. Perempuan ja…” Sebiji lagi penampar hinggap di pipi sebelah lagi.

“Dan jangan pernah berani hina aku. Seteruk-teruk aku pun, aku belum pernah berzina. Tanya diri kau sendiri, sudah berapa ramai lelaki yang menjamah tubuh kau. Dah berapa puluh hotel kau masuk dengan lelaki yang berbeza. Aku doakan semoga Allah bukakan pintu hati korang semua untuk berubah.”

Mencuka wajah masing-masing mendengar kata-kata Cinta. Bagai satu tamparan yang begitu besar buat diri mereka.

Cinta terus merampas gambar-gambar miliknya dari tangan Erma. Tangannya mencapai dua buah beg pakaiannya lalu keluar dari bilik itu. Semua orang memberi laluan kepadanya.

Di pertengahan jalan, Cinta sempat berpaling ke arah anak-anak orang kaya yang pernah menjadi rakannya dikala gembira itu.

“Nak tahu sesuatu? Seorang sahabat sejati akan menyokong apa sahaja tindak-tanduk sahabatnya selagi perkara tu tak bertentangan dengan agama. Seorang sahabat sejati akan sentiasa menarik sahabatnya melakukan kebaikan, bukan mengheretnya ke lembah kemaksiatan. Dan seorang sahabat sejati tidak akan memandang pangkat dan harta sebelum menerima seseorang itu menjadi sahabatnya.”

Masing-masing seolah-olah terpukau mendengar kata-kata itu. Benarkah gadis yang bernama Cinta Aulia Dato’ Razak yang berkata-kata saat ini?

“Andai kata papa aku jatuh muflis dan terpaksa merempat ditepi jalan, sanggup ke korang terima aku masa tu? Sanggup ke?”

Tiada sesiapa yang menjawab.

“Tak, aku tak rasa korang akan terima aku. Pada waktu tu aku akan dianggap parasit macam yang korang selalu katakan. Korang akan pandang jijik pada aku. Kerana itu aku berani cakap yang korang sebenarnya bukan kawan-kawan aku.”

Usai menghabiskan ayatnya, Cinta terus berlalu dengan hati yang puas. Dia lega kerana akhirnya tidak perlu berlagak seperti Erma, Hana dan Fatin lagi. Dia akan menjadi dirinya sendiri mulai hari ini. Dia akan mencari sahabat yang akan sentiasa bersamanya, tanpa mengira pangkat dan harta.

Di tingkat bawah apartment, dia lihat Jessica tercegat berdiri seorang diri. Memang dia ada menelefon Jessica untuk menghantarnya ke airport kerana selepas dia pulang ke Malaysia, Jessica akan menjaga keretanya disini untuk sementara. Jessica tidak terus pulang ke Surabaya kerana masih bekerja untuk mengumpul duit.

“Dah lama tunggu? Kenapa tak telefon tadi?” Wajah Cinta kelihatan ceria menyambut kedatangan Jessica. Terus dia lupa tentang pergaduhannya dengan Erma, Hana dan Fatin sebentar tadi.

Jessica tersenyum. “Nggak lama kok. Baru aja. Yuk kita ke airport.”

Cinta menggeleng.

“Aku nak jumpa Daniel,” ujarnya dengan wajah yang begitu berharap. Dia tahu dia harus bertemu dengan Daniel hari ini. Kalau dia terlambat, dia tidak tahu adakah dia masih berkesempatan untuk bertemu dengan lelaki itu lagi.

“Okey, ayuh kita ke rumah dia!” ajak Jessica.

Cinta tersenyum dan pantas mengangguk dengan wajah yang bersinar-sinar.
**************

BUTA ke? Punyalah besar bagak doorbell kat luar tu, ketuk jugak pintu. Kalau pecah pintu rumah aku ni, siapa nak ganti? Ganti pakai bulu hidung dia ke? Adrian menggerutu seraya melangkah malas menghala ke pintu rumah sewanya yang diketuk dengan kuat tidak henti-henti sejak dari tadi.

            Matanya bulat seketika sebaik melihat dua susuk tubuh tercegat berdiri di hadapannya. Dia mengangkat kening ala-ala Ziana Zain.

            “Adrian, Daniel ada?”

            Adrian telan air liur. Wajah gadis pujaan Daniel, Cinta kelihatan begitu resah. Dia menoleh kepada Jessica yang berdiri disebelah gadis itu. Jessica memberi isyarat, menggesanya untuk menjawab soalan tersebut.

            “Mana Daniel?” Cinta bertanya lagi.

            Mulut Adrian terkumat-kamit seperti ingin menyatakan sesuatu tapi tiada satu perkataan pun yang keluar dari mulutnya. Jessica hilang sabar lalu meluru ke arah Adrian dan menggoncang kedua-dua belah bahu lelaki itu berkali-kali.

            “Adrian, kami nggak punya waktu buat basa-basi. Kami mau tau di mana Daniel. Dia masih ada di dalam atau sudah ke stesen bas?”

            Adrian seakan baru tersedar apabila bahunya digoncang. Dia menatap wajah Jessica, satu-satunya gadis yang mampu menggetar jiwanya. Punyalah ramai gadis Malaysia, gadis Indonesia ini juga yang dia suka.

            “Dia tak ada kat dalam.”

            Cinta dan Jessica kaget. Mereka saling berbalas pandang.

            “Dia dah pergi stesen bas ke? Jawablah Adrian!” desak Cinta.

            “Tak tahu…” Adrian menggeleng.

            “Adrian, kenapa sih kamu itu benci banget sama Cinta? Apa gak cukup dia udah mempertaruh nyawanya untuk Daniel waktu kemalangan dulu? Apa kejadian itu masih belum cukup untuk membuka mata kamu kalau selama ini kamu udah membuat justifikasi yang gak adil sama Cinta?” Lantang dan laju ayat itu keluar dari mulut Jessica.

            “Cik Jessica, saya tak benci Cinta!” tegas Adrian. Dia mulai hilang sabar. Dari tadi dia diserang bertalu-talu tanpa langsung diberi peluang membela diri.

            “I swear, I really don’t know where he is. Kalau saya tahu saya akan cakap.”

            “Masa kamu nggak tahu? Daniel kan teman baik kamu.” Jessica tidak percaya.

            “Ya, tapi saya tak tahu!”

            “Kamu…”

            “Sudahlah, jangan bergaduh lagi.” Cinta cuba mententeramkan kedua-duanya bila keadaan mulai kelihatan tegang.

            “Adrian…” Cinta memandang Adrian penuh berharap. “Saya betul-betul kena jumpa Daniel sekarang. Kalau saya tak jumpa dia hari ni, mungkin bila dah sampai Malaysia kami akan lost contact. I have something really important to tell him. Please...”

            Adrian menyedut oksigen yang memasuki rongga alveolusnya. Kasihan pula dia melihat Cinta.

            “Cinta, kalaulah saya tahu dia pergi mana, awak akan jadi the first person yang akan saya beritahu. Tapi percayalah, saya tak tipu. Saya memang tak tahu dia ada kat mana.”

            Cinta hampa mendengar jawapan Adrian. Sedaya upaya dia cuba menahan empangan air matanya daripada pecah. Jessica pula sudah mengusap-usap belakangnya.

            “Dia ada cakap yang dia nak pergi ke satu tempat dulu sebelum ke stesen bas. Dia tak beritahu ke mana dia nak pergi. Tapi sebelum pergi tadi, muka dia nampak sedih.” Adrian menokok.

            Cinta memandang anak mata Adrian bagai mencari kepastian. Kemudian memandang Jessica pula.

            Cinta meraup wajah dan bersandar di dinding rumah itu. Agaknya memang dia tidak ditakdirkan untuk bertemu lagi dengan Daniel. Segala-galanya telah berakhir.

            Adrian dan Jessica merenungnya simpati. Air mata Cinta mengalir turun tanpa disekat-sekat lagi. Agaknya inilah hukuman buat dirinya kerana telah mempermainkan perasaan lelaki. Dan sekarang Daniel telah pun pergi meninggalkannya.

“Bila bersedih, saya sentiasa ke atas dan sentiasa mengingati yang paling atas. Selain duduk di atas tikar sejadah mengadu pada Allah, di sini buat saya bersyukur dengan kekuasaan dan kebesaran-Nya.” Kata-kata Daniel dulu tiba-tiba kembali menjengah ruang memorinya.

Sentiasa ke atas… nanti! Sentiasa ke atas? Rasanya dia tahu di mana Daniel berada.

“Saya tahu kat mana Daniel sekarang!” Katanya tiba-tiba. Matanya kembali bersinar ceria.

Adrian dan Jessica terkelip-kelip memandangnya.

“Bila bersedih, sentiasa ke atas dan sentiasa mengingati yang paling atas. Dulu saya tak tahu apa maknanya, tapi sekarang saya dari tahu. Saya dah faham!”

“Err… Cinta…” Adrian serba-salah. Gaya Cinta yang terlalu gembira itu menakutkannya. Manalah tahu kalau-kalau dia kecewa selepas Daniel meninggalkannya, dia jadi…

Hish, harap-harap tak. Muka cantik, jangan jadi tak siuman sudah! getus hatinya.

“Saya nak pergi. Saya nak pergi cari Daniel!”

Cinta terus melangkah pergi meninggalkan Jessica. Jessica terpinga-pinga.

“Cinta, kamu mau tinggalin aku?”

“Maaf, aku ada urusan. Kau terus pergi airport ya?” laung Cinta dari jauh. Dia terus melompat masuk ke dalam kereta dan pergi begitu sahaja.

Jessica menggaru-garu kepala yang tidak gatal dengan wajah bingung.

“Jess, jom saya hantar awak pergi airport.” Adrian mempelawa sambil tersengih-sengih.

Jessica sekadar mengangguk tanpa mempedulikan sengihan Adrian.


p/s: Okeyla... hari ni aku pos bab 24 sebab dah ada orang marah aku. Katanya aku pos lambat sangat. Huahua... maafkan saya.. saya juga manusia biasa. Dah beberapa hari menghadap Microsoft Word tapi takde perkataan yang keluar akibat ketandusan idea =,="

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

10 comments:

eija said...

moga cinta dan daniel berjodoh.. jgn lah jd apa2 kt dorg..

intan razak said...

betul2...setuju dgn eija. i nak daniel balik dgn cinta. please3...

E-la Adiey said...

eija & intan - amin... meh sama2 kita doakan supaya idea sy dtg mencurah2 utk menulis. huahaha

Anonymous said...

omo..omo....cinta cpt cari daniel!! >.<

~Ain

budak blur said...

cpt cpt!nk bab seterusnya.ahax..

Unknown said...

makin suspense. hihihi...saya suka pasangan ni.moga kahwin cpt2. ceh,mcm betul2 je

syah said...

tgh syok2 baca dah habis.huhuhu... sokey writer, ill be waiting

Unknown said...

Huuuuu...T.T

Eddayu said...

Sedih la plak ble masing2 dh nk berpisah.. Rindu la kat Adrian.. Jason.. Jessica.. Friendship for ever

E-la Adiey said...

anon - >,<

budak blur- :3

Liyana Azman - hahaha

syah - thank you ;D

Ct Roxalynna - :')

Kak Eddayu - haha.. stay tuned akak. kat Malaysia diorg jumpa balik