Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Saturday, February 28, 2015

Kutemui Cinta 6

DARI JAUH lagi Yasmin serta rakan-rakannya, Zila dan Adila nampak kelibat Adam yang sedang tekun menelaah pelajaran. Mereka datang perlahan-lahan dan pura-pura berdehem sambil memerhatikan Adam. Adam sekadar tersenyum tepi apabila melihat Yasmin, Zila dan Adila dihadapannya.

            “Ada apa?”Adam bertanya.

            Yasmin cuma tersengih. Dia mengambil tempat duduk dihadapan Adam diikuti rakan-rakannya yang duduk disebelahnya.

            “Honey, jom kita pergi makan kat kafe.” Yasmin tiba-tiba bersuara.

            Adam tersentak seketika. Dia sebenarnya sedang cuba mengelak dari keluar bersama Yasmin kerana mahu Yasmin melupakannya. Dia tidak mahu memutuskan hubungan secara terus-terang kerana takut Yasmin akan kecewa. Mereka bercinta sejak di bangku sekolah, pastilah Yasmin tidak mudah untuk melepaskannya. Sebuaya-buaya dia pun, dia memang selalu kalah dengan air mata perempuan.

            Dia tidak peduli walaupun Yasmin sudah lama mendampinginya. Sekarang dia mahu berubah. Berubah menjadi lebih baik. Dia mahu belajar bacaan-bacaan solat, mengaji dan berhenti merokok. Dan baginya, kehadiran Yasmin hanya akan melambatkan proses pembelajarannya. Sekarang dia lebih mahu memberi tumpuan kepada rancangannya untuk mengenakan gadis bertudung bernama Nadya itu.

            “Dah lama kan Zila, kita tak makan dengan Adam?”

            Zila tersengih dan mengangguk mendengar jolokan Yasmin.

            Adam serba-salah. Lidahnya berat mahu mengatakan ya tapi dia juga tidak mahu mengatakan tidak.

            “Lain kali ajalah. I ada kerja nak kena buat.”

            “Ada girlfriend lain ke?” Adila bergurau. Semua ketawa kecuali Adam.

            “Adam! Saya cari awak sejak dari tadi. Saya jumpa abang awak tadi dan dia cakap awak ada kat sini. Saya nak pulangkan buku awak ni. Hari tu saya terbawa balik buku awak lepas kita balik dari kedai buku.”

            Nadya tersenyum memandang Adam dan Adam terlongo memandang Nadya.

            Yasmin merenung Nadya dengan tajam dan kemudian memandang Adam.

            “Ooo... patutlah you tolak makan dengan we all!”

            “Nadya, kenalkan ini Yasmin, Zila dan Adila. Yasmin, Zila, Adila, ini Nadya…”

            Nadya tersenyum. Dia menghulurkan tangannya untuk berjabat dengan Yasmin. Yasmin menyambut huluran tangan Nadya sambil menarik wajah masam.

            “Okeylah Adam, saya pergi dulu, ada kuliah kedua. Assalamualaikum.”

            Nadya berlalu dari situ.

            Nadya, kenapa kau tinggalkan aku sorang-sorang kat sini! jerit hati Adam. Selamba saja Nadya muncul dan tiba-tiba terus pergi begitu sahaja. Dia tahu bila-bila masa sahaja gunung berapi akan meletus.

            “Adam!” Yasmin menampar lengan Adam.
            “Adoi, apa ni?” Adam mengusap-usap lengannya.
            Yasmin mencebik. Gunung berapi dah meletus!
            “Siapa perempuan tu?’
            “Dia kawan I!”
            “Tipu!”
            “Betul!”
            “Apa buktinya?”
            “Nak berkawan pun kena ada bukti ke?”
            Senyap.

            “Sudahlah, Yasmin. Janganlah cemburu membabi buta. I tak ada apa-apa pun dengan dia. Kalau you tak percaya, you tanyalah dia sendiri!”

            “Sudahlah, I malas nak layan you!”

            Yasmin membentak. Dia menolak kerusi dengan kasar. Seorang pustakawan menjeling tajam ke arah Yasmin. Dia buat-buat tak tahu dan terus keluar dari perpustakaan itu. Zila dan Adila mengekorinya.

            Adam mengeluh berat. Inilah harga yang perlu dibayar kerana pernah menjadi seorang kaki perempuan. Susahnya mahu berubah. Tambah-tambah kalau terkena gadis kuat cemburu buta seperti Yasmin.
******************************

YASMIN mengetap bibirnya dan menutup buku dihadapannya itu dengan kasar. Segala apa yang dibacanya tadi langsung tidak masuk dalam kepala. Dia sendiri tidak tahu apa yang dibacanya.Seolah-olah dia sedang menatap huruf-huruf tulisan purba yang tidak diketahui maksudnya. Apabila teringatkan Adam dan Nadya, hatinya mula dihambat api cemburu. Buku tebal dihadapannya dihempas-hempas sekuat hati. Baru puas hatinya.

            “Bencinya! Bencinya!”

            Yasmin mengambil bantal lalu dilemparkan ke dinding. Dia masih marah dan kemarahannya tidak akan reda selagi dirinya dari tadi asyik terbayang-bayangkan Nadya yang sedang bergandingan dengan Adam, buah hatinya.

            “Kalaulah tak ada Nadya dalam dunia ni!” dengusnya. Dia tidak menoleh ke arah Zila dan Adila tetapi dia tahu teman-temannya itu sedang menelaah pelajaran di katil.

            “Kenapa pula?” soal Adila setelah lama membisu. Yasmin menyumpah seranah perempuan bertudung litup yang cantik itu. Bibirnya bergerak-gerak tetapi tidak jelas apa yang dikatakannya. Hatinya sebal.

            “You tak tengok ke perangai minah tu tadi? Mengada-ada!”

            “I tengok okey apa. Dia tak buat apa-apa pun. Dia cuma nak pulangkan buku Adam. I ni open-minded, so I tak keberatan untuk puji dia yang dia memang cantik. Mungkin imej bertudung dia tu nampak kekampungan tapi dia pandai bergaya. Maknanya kalau nak dipadankan dengan Adam, kira secocok jugalah.”

            Kata-kata Zila membuatkan Yasmin semakin sakit hati. Secocok? Secocok apa bendanya? Okey, mungkin Adam dan Nadya nampak secocok. Adam kacak, Nadya cantik. Tapi, cantik lagi aku daripada perempuan kampung tu! Yasmin tersenyum dengan pujian yang dibuat oleh dirinya sendiri.

            “Yasmin.”
            “Apa?” Yasmin memandang Adila.

            “Kenapa sepanjang kita study kat sini, I tak pernah pun nampak Adam ke masjid macam bebudak lain? Nak kata masjid tu jauh,tak juga. Yang biasa I nampak cuma abang dia si Yusof tu dengan kawan dia yang handsome, si Azriel tulah!”

            “Adam?” Sinis suara Yasmin. “Sepanjang I kenal dia sejak di bangku sekolah pun, dia memang tak pernah sembahyang!” sambungnya berterus-terang.

            Zila dan Adila terkejut.

            “You tak pernah ajak dia sembahyang?” Zila bertanya.

            “I dah cuba tapi tak berhasil. Dia selalu mengelak bila I ajak dia sembahyang but nevermind! Dosa dia, dialah yang tanggung. Tak ada kena-mengena dengan I!”

            Zila dan Adila terdiam mendengar jawapan Yasmin. Tak sangka zaman sekarang semakin ramai yang jahil agama. Zaman Arab Jahiliah mungkin sudah kembali, malahan mungkin lebih teruk!

            “Yasmin, you have to be careful. Jangan sampai silap hari bulan perempuan tu kebas Adam,” nasihat Adila sambil menekankan perkataan kebas.

            Yasmin tersenyum dan menggeleng.

            “Tak, Adam takkan berani buat macam tu. I know him.”

            “Apasal konfiden sangat?” tanya Adila sambil mengangkat sebelah kening.

            “I keep his secret,” beritahu Yasmin. “I berani jamin if his dad know about this, memang mampuslah si Adam tu! His dad takkan beri Adam ambil alih syarikat bila Adam dah graduate nanti!” tokoknya dengan senyuman lebar.

            “What secret?”Serentak Adila dan Zila bertanya.

            “You know what? Adam tu sebenarnya seorang perokok tegar sejak kitorang Form Two lagi tau!”

            Adila mencemik. “Perokok? Biasalah tu. Memang majority lelaki kat Malaysia ni hisap rokok. Kalau tak merokok, bukan lelakilah namanya.”

            “Ha ‘ah,betul tu.Boy I pun hisap rokok jugak,”tokok Zila.

            “You all ni tak fahamlah. Memanglah merokok bukan sesuatu yang menghairankan tapi bukan bagi ayah dia. Memanglah bapak dia tu pangkat Dato’ tapi tak open-minded langsung! Adam cerita kat I, kalau bapak dia tahu dia merokok, bapak dia takkan beri dia ambil alih HS Holdings. Katanya,itu dia tak heran sangat. Yang dia takut, kalau his dad sekat duit poket dan kad kredit dia aja!”

            “Kolotnya! Takkan nak hisap rokok pun tak boleh?” Adila merungut seolah-olah dia pula yang tidak dibenarkan merokok.

            “That’s why until now I still keep his secret. Kalau dia nak tinggalkan I pun, he should think twice!”

            Dan Yasmin tersenyum. Senyuman yang sinis!
************************

“AWAK suka kat Adam tak?” tanya Suraya tiba-tiba semasa mereka berdua bersiar-siar di Kinokuniya di KLCC.

            “Hah?” Nadya kaget.

            “Awak suka kat Adam atau tak?” Suraya mengulangi pertanyaannya dengan menyebut satu persatu.

            Nadya ketawa.

            “Tak adalah, dia tu cuma kawan saya,” balas Nadya dengan tawa yang masih bersisa. Dia menyatakan yang jujur, memang dia tidak menyimpan apa-apa perasaan kepada Adam melainkan perasaan sayang seorang kawan.

            “Betul ke ni?” Suraya menguji perasaan Nadya.

            Nadya mengangguk dengan bersungguh-sungguh.

            “Betul ke ni? Semalam saya nampak awak syok aja berbual dengan dia kat MPH.”

            “Ala... tak ada apa-apalah.Cuma borak-borak kosong aja.”

            “Ceritalah...” pujuk Suraya.

            “Dia tanya apa ciri-ciri lelaki idaman saya. Saya pun pelik jugak kenapa dia tanya macam tu sedangkan kitorang ni cuma kawan tapi bila dia dah tanya, terpaksalah saya jawab, kan? Saya jawab lelaki yang baik dan soleh adalah lelaki yang rajin sembahyang, pandai mengaji dan tak merokok.”

            “Lepas tu?”

            “Three!”Nadya ketawa.

            “Ala... janganlah main-main. Cepatlah cakap.”

            “Tak ada apa-apalah. Yang lain tu semuanya borak-borak kosong,” ujar Nadya tanpa mahu menceritakan apa yang ditanyanya kepada Adam semalam.

            Dia tidak tahu apakah benar Adam memang benar-benar sibuk dan tidak ada masa untuk ke masjid tapi dia tahu kalau dia bercerita kepada Suraya, pasti sahabat barunya itu akan beranggapan yang bukan-bukan tentang Adam. Sedangkan Maya dan Zulaikha yang juga jurusan Kejuruteraan Awam ada masa untuk ke masjid.

            “Hafiz macam mana?”

            Riak wajah Nadya berubah.

            “Err... kenapa dengan dia?” soal Nadya.Suaranya sedikit bergetar.

            “Kalau awak tak suka Adam, Hafiz pula macam mana?”

            “Mana awak kenal dia?”

            Suraya tersenyum.

            “Hafiz, dia yang terlanggar awak masa hari pendaftaran tu, kan? Siapa tak kenal dia? Walaupun baru freshie macam kita ni,dia tu hot guy kampus. Siapa yang tak cair tengok wajah jambu dia tu?” puji Suraya melambung-lambung.

            Nadya sekadar tersenyum.

            “Tak ada apa.” Nadya angkat bahu. Dia cuba mengelak dari berbicara tentang Hafiz.

            Suraya memandang Nadya.

            “Awak suka dia?”

            Nadya tiba-tiba ketawa mendengar pertanyaan Suraya. Namun Suraya tahu ketawa itu dibuat-buat.

            “Kenapa ketawa? Apa yang kelakar sangat?”

            “Saya tak kenal Hafizlah! Kenapa saya nak suka dia pulak?”

            Suraya memegang tangan Nadya dengan lembut.

            “Awak belum jawab ya atau tak.”

            Nadya tersenyum sendiri.

            “Sudahlah, saya belum sembahyang Asar lagi ni. Mari kita balik.”

            “Jawab dulu.”

            “Err... tak. Lagipun, sejak hari pendaftaran tu, saya belum pernah jumpa dia lagi,” bohong Nadya. Matanya tidak berani menentang mata Suraya.

            Suraya mendengus.Terasa sedikit menyampah dengan jawapan Nadya tadi. Dia tahu benar bagaimana Nadya kalau berbohong. Nadya tidak akan berani menatap matanya. Dipegangnya tangan Nadya dengan kuat menyebabkan gadis itu menjerit kecil.

            “Apa ni? Sakitlah Su!”

            “Awak jangan nak tipu saya, Nadya. Awak tak pandai menipu.Tak ada bakat menipu. Tak perlulah awak nak bagi alasan. Saya cuma tanya satu soalan yang cukup mudah dan jawapannya cuma ya atau tak.Sekarang saya nak awak jawab,awak suka dia atau tak?”

            Nadya sekali lagi membiarkan pertanyaan Suraya berlalu begitu sahaja.

            “Hei Nadya, saya tanya ni! Awak suka dia atau tak?”

            Nadya mengeluh.

            “Entahlah... saya sendiri pun keliru dengan perasaan saya. Bohong kalau saya cakap saya tak suka dia tapi...” Nadya cuba bersuara walaupun suaranya tenggelam timbul antara dengar dan tidak.

            Suraya tersenyum simpul.

            “Jadi awak suka dia?” Dipandangnya wajah Nadya. Cuba mencari kepastian disebalik wajah sugul itu.

            Nadya mengangguk perlahan. Malu untuk memberitahu bahawa dia sebenarnya suka pada Hafiz. Betapalah dia untuk menafikan getar hatinya sendiri.

            “Dah berapa lama awak kenal dia?”
            “Kitorang memang tak pernah kenal pun!”
            Suraya sedikit pelik.
            “Habis tu, macam mana awak boleh suka dia?”

            “Saya tak tahu. Baru dua kali saya jumpa dia tapi... entahlah. Saya sendiri pelik dengan hati saya ni.”

            “Awak pernah beritahu dia yang awak sukakan dia?”

            Nadya menggeleng.

            “Awak dah jumpa dia dua kali. Sekali lagi tu yang dekat mana?”

            “Err... masa dia datang luahkan perasaan pada saya,” beritahu Nadya. Sedikit kemerahan wajahnya tatkala teringatkan peristiwa itu.

            Suraya mengukir senyuman lebar.

            “Kalau dah suka sama suka, terima ajalah! Lagipun siapa yang tak nak couple dengan dia, hot guy kampus tu!”

            “Semuanya tak semudah tu, Suraya!” Nadya mengetap bibir.Wajahnya ditundukkan memandang lantai.

            “Apa yang susahnya?Beritahu aja awak suka dia dan lepas tu,jadi girlfriend dia. As simple as that!”

            “Nak sebut cinta dan suka tu memang senang, Suraya. Tapi tak bagi saya. Cinta tu cuma mitos. Dan bagi saya, tak ada cinta yang berakhir dengan kebahagiaan. Saya takkan percayakan lelaki semudah tu.”

            Luahan Nadya membuatkan Suraya terdiam. Cinta itu mitos? Tak percayakan lelaki? Apa yang tak kena dengan Nadya ni sebenarnya?

            “Err... Nadya, tapi...”

            Suraya ingin bertanya lebih lanjut tapi Nadya terus melangkah meninggalkan Suraya yang masih terpinga-pinga. Dia terpaksa berjalan lebih cepat untuk mengejar Nadya yang semakin meninggalkannya.

****************************

MALAM itu Yusof dan Azriel tidak sembahyang berjemaah di masjid seperti biasa. Mereka cuma sembahyang di dorm kerana selepas itu mereka harus mengajar Adam cara-cara solat.

             “Ha... kan aku dah cakap, kau tu memang kena belajar sembahyang balik. Baca surah Al-Fatihah pun entah apa-apa kau ni!” bebel Azriel.

            Adam tarik muncung.
            “Baca bacaan rukuk pulak,”suruh Azriel.
            Adam menggaru-garu kepala.
            “Rukuk? Rukuk tu apa?”

            Azriel menepuk dahi. “Ya Allah,jahilnya kau ni! Takkan rukuk pun tak tahu? Rukuk tak tahu,rokok tahu pulak!”

            “Kalau aku tahu tak adalah aku suruh korang ajar!” selar Adam pula.

            “Hmm... apa nak jadilah dengan kau ni? Dah tua bangka baru nak belajar sembahyang,” bebel Azriel sendiri.

            “Hei, kau ni nak ajar aku sembahyang atau nak membebel macam mak nenek?” Adam naik marah.

            “Sudahlah,sekarang ikut aku rukuk,”suruh Yusof.

            Yusof lalu menunjukkan cara-cara rukuk yang betul. Adam tiba-tiba ketawa.

            “Laa... jadi tunduk macam ni namanya rukuk? Ini aku pun tahu!” kata Adam. Sebenarnya dalam hati dia mengutuk kebodohan diri sendiri. Nama saja orang Islam tapi rukuk pun tahu!

            “Sekarang baca bacaan rukuk,” suruh Yusof.

            “Aku tak tahu. Tak ingat!”

            “Masya-Allah, tak tahu lagi! Macam mana si Nadya tu nak kat kau kalau kau tak tahu sembahyang?” marah Azriel yang sudah bosan. Dia tahu selama ini Adam jarang solat tapi dia tak sangka Adam sejahil itu.

            Adam mencemik.

            “Janganlah membebel lagi. Ajar ajalah macam mana bacaan tu!”

            “Malaslah aku ajar! Suf,kau ajarlah adik kau ni. Aku nasihat dia kata aku membebel,” bentak Azriel. Memang susah mengajar orang, lebih-lebih lagi kalau orang itu bodoh sombong-macam Adam.

            Lalu Yusof mengajar Adam cara bacaan rukuk satu persatu. Dia mengajar dengan sabar, tidak seperti Azriel yang ajarannya kadang-kadang diselang seli dengan bebelan yang membosankan. Namun bagi Azriel cara Yusof mengajar tidak berkesan kerana terbukti walaupun sudah lebih 20 minit Yusof mengajar, Adam masih belum dapat menghafal bacaan rukuk dengan betul. Azriel sudah hilang sabar.

            “Woi, Adam! Apasal kau ni lembab sangat?”marah Azriel tiba-tiba.

            Adam terkedu. Tidak menyangka Azriel menghamburkan kata-kata itu kepadanya.

            “Azriel, kenapa kau cakap macam tu?” Yusof menggeleng-geleng kepala. Dia kesal dan turut tersinggung dengan kata-kata Azriel tadi.

            “Cara kau mengajar tu tak berkesan, tau tak? Kau tu lembik! Kalau kau nak mengajar, kau kena cakap kasar-kasar, baru dia faham. Ini tak, asyik dengan perangai...” Belum sempat Azriel menghabiskan kata-katanya, Adam memotong.

            “Enough, Azriel. Jangan cakap apa-apa pasal abang aku. Kalau kau tak nak ajar aku pun, sudahlah. Abang aku boleh ajar. Aku sikit pun tak heranlah!” bidas Adam dan mengucapkan lagi beberapa kata-kata yang menyakitkan hati.

            Azriel tersenyum sinis. Jiwanya bergelora tapi dia cuba menyembunyikan perasaannya apabila dihambur dengan kata-kata pedas oleh kawan baiknya sendiri.

             “Okey, fine! Kalau kau rasa cara abang kau ni mengajar dapat buat kau belajar dengan cepat, teruskanlah! Aku pun tak buang masa!” ucap Azriel dan terus keluar meninggalkan bilik itu.

            Adam terduduk di kerusi sambil menekup mukanya. Terasa menyesal pula kerana telah menghamburkan kata-kata kesat di hadapan Azriel tadi. Yusof meluru ke arah adiknya. Bertahun-tahun mereka bersahabat, ini baru kali pertama mereka betul-betul bergaduh.

            “Wei, kau okey tak?” Yusof menggenggam bahu Adam.

            Adam mengangguk perlahan dan tersenyum. Senyuman yang hambar. 

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

3 comments:

Unknown said...

best novel ni.kisah kembar adrian

Unknown said...

I baru nak follow.. Hehehe
Thanks sudi share semula cite2 ela yg dolu2. ;)

E-la Adiey said...

Liyana Azman - hehe :)

Ct Roxalynna - saja la nak share, sbb xde cerita baru lg. hehe.. tq, silalah follow