Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Saturday, March 14, 2015

Kau Bidadariku... Prolog

8 tahun yang lalu…

“NADYA, sudikah awak menjadi teman hidup saya sampai ke akhir hayat saya, teman hidup semasa senang mahupun susah?” Hafiz menuturkan kata-kata keramat yang selama ini senantiasa dipendamnya. Sungguh telus dan berkeyakinan nadanya sambil anak matanya tajam menikam ke seraut wajah comel gadis yang dicintainya.

            Nadya telan air liur. Wajah mulai terasa berbahang apabila satu dewan bersorak sebaik mendengar kata-kata lamaran dari Hafiz. Dia ni biar betul!

            Adam yang berdiri dipintu masuk Dewan Tunku Canselor itu bersama Yusof dan Azriel terkejut besar. Meluluh pedih hatinya melihat gadis yang dikejarnya selama tiga tahun menuntut di universiti itu kini sedang dilamar oleh lelaki lain. Dan lelaki itu pula adalah musuhnya.

            Hari konvokesyen yang sepatutnya menjadi hari paling bersejarah buat dirinya bertukar menjadi mimpi ngeri!

            Tanpa menunggu jawapan daripada mulut Nadya, dia terus melangkah pergi dari dewan tersebut. Topi, jubah dan segulung ijazah yang diterimanya dibaling ke lantai dengan hati yang sudah pecah berderai.

            Yusof dan Azriel yang terbata-bata membuntuti langkahnya mengutip semula barang-barang yang sudah dibalingnya tadi. Bagi Adam, ijazah yang diterima pada hari ini sudah tidak bermakna apa-apa sebaik dia melihat dengan dua mata kepalanya sendiri lamaran Hafiz untuk Nadya di dewan tersebut.

            “Tak!” Jawapan Nadya untuk lamaran tadi membuatkan dewan itu sunyi mendadak.

            Hafiz perlahan-lahan melangkah menghala ke arah sang kekasih hati. Riak wajahnya sedikit gundah, risau kalau-kalau Nadya menolak lamarannya.

            “Kecuali kalau awak tak lukis orang lidi lagi. Kalau ya pun awak nak lukis saya, janganlah lukis orang lidi. Kurus kering, macam tak cukup makan!” seloroh Nadya yang sudah tersengih.

            Ketika itulah baru Hafiz mengukir senyuman. Lega hatinya. Dua orang sahabatnya dibelakang, Amir dan Azhar menggawang tangan buat tepukan high-five.

            Tapi cincin lain kali ek? Saya belum beli lagi.” Hafiz tayang muka tak bersalah.

            “Haih… macam mana ni? Nak lamar orang tak ada cincin. Tak jadilah!” gurau Nadya tidak mahu kalah.

            Dewan itu bergema lagi dengan tawa para graduan.

            Wajah Nadya sudah bersimbah warna merah menahan malu apabila rakan-rakannya sudah mencuit-cuit pinggangnya. Mahu mengusik. Pelajar universiti mana yang buat kerja gila melamar masa tengah hari konvokesyen? Orang lain takkan segila Hafiz. Ya, Naim Mohd Hafiz memang gila. Tapi gila-gila dia pun, Nadya tetap sayang.

            “Bila nak kahwin?” sorak satu suara yang entah dari ceruk mana.

            Hafiz menatap sayang wajah sang kekasih. Dan Nadya hanya mampu menundukkan wajah comelnya.

            “Baiklah, kepada anda semua yang berada di dalam dewan ini, anda semua dijemput hadir ke majlis pertunangan kami dalam masa tiga minggu dari sekarang. Itupun kalau anda semua mahu ke Melaka,” umum Hafiz, cukup jelas, kuat dan penuh yakin.

            Apa? Bertunang? Dia langsung tak bincang perkara ni dengan aku! detik Nadya. Tubuhnya sudah kejung dengan mulut yang ternganga luas.
************************

“TAK perlulah panggil Puan Sri. Panggil mak cik aja. Nadyakan bakal menantu mak cik. Tak lama lagi bila dah kahwin dengan Hafiz, panggil ibu pulak, okey?”

            “Baiklah, mak cik.” Nadya merekahkan senyuman, cukup senang dengan layanan orang tua Hafiz itu.

            “Mari Nadya, mak cik nak tunjuk gambar-gambar lama pada Nadya. Manalah tahu Nadya nak tengok macam mana rupa Hafiz waktu kecil,” pelawa Puan Sri Azila.

            Nadya hanya mengangguk lalu mengekori Puan Sri Azila ke bilik bacaan. Hafiz pula hanya mengikut dari belakang. Anak mata Nadya sempat menilik kawasan dalam rumah mewah milik Tan Sri Jamaluddin itu dengan penuh rasa kagum.

            Dia terkedu sendiri. Benar-benar tidak menyangka Hafiz dibesarkan di kediaman yang sebesar dan semewah ini. Peribadi Hafiz yang sentiasa bersederhana menjadikan tidak ramai tahu dia sebenarnya anak dari golongan berada.

            “Ini Hafiz waktu umur dia lima tahun. Dia baru nak masuk tadika. Baju seragam ni mak cik jahit sendiri tau!” tunjuk Puan Sri Azila kepada sekeping gambar seorang budak lelaki yang comel lengkap berpakaian seragam tadika berposing.

            Nadya kagum. Tak sangka Puan Sri Azila pandai menjahit.

            Dia tersenyum melihat aksi comel si kecil Hafiz didalam gambar itu. Tangannya terus menyelak setiap helaian album sehinggalah tiba di atas sekeping gambar dua orang bayi lelaki seiras.

            “Yang ini pula siapa mak cik?” soal Nadya penasaran sambil menunjukkan ke arah dua orang bayi dalam gambar itu.

            “Inilah Hafiz waktu usianya lima bulan,” jawab Puan Sri Azila. Nadya memandang Hafiz yang duduk disebelahnya. Hafiz sekadar tersenyum dan mengangguk.

            “Yang seorang lagi ni siapa?” tanya Nadya lagi.

            “Itu kembar saya,” jawab Hafiz pantas.

            “Kembar? Saya tak pernah tahu awak ada kembar. Dia ada kat mana sekarang?”

            Hafiz dan Puan Sri Azila saling bertatapan dengan isyarat mata, seakan-akan menyuruh satu sama lain untuk bercerita. Hafiz angkat kening pada ibunya.

            “Tak ada sesiapa tahu dia ada kat mana sekarang,” ujar Puan Sri Azila perlahan, mengalah dengan anaknya.

            “Maksud mak cik?”

            “Waktu umurnya baru mencecah setahun, mak cik serahkan dia pada ayah saudaranya memandangkan ayah saudaranya dah lama berkahwin tapi tak dikurniakan anak. Tapi dengan syarat anak yang diserahkan itu perlu tahu siapa ibu bapa kandungnya. Dan bila usianya 10 tahun, dia perlu diserahkan semula kepada kami. Tapi tak sampai dua bulan kami beri dia pada ayah saudaranya, ayah saudaranya bawa dia pergi entah ke mana. Dan sampai sekarang, kami tak pernah jumpa dia lagi…” Suara Puan Sri Azila tersekat disitu. Dia menarik nafas dalam-dalam menahan rasa sendu dihati.

            Hafiz tersenyum tepi. Tangannya mengusap-usap jari-jemari Puan Sri Azila menyedari wajah ibunya itu tidak seceria mula-mula tadi.

            “Saya dah janji pada ibu dan ayah saya yang suatu hari nanti saya akan cari semula saudara kembar saya yang hilang tu,” tutur Hafiz pula.

            Nadya terkedu seribu bahasa. Dirinya bagai dihempap rasa bersalah kerana bertanyakan soalan itu. Atmosfera ceria tadi tiba-tiba bertukar hening dan hiba.

            “Ini rantai saya dan kembar saya pun ada seutas rantai yang sama macam ni. Kalau kedua-dua loket hati dicantumkan, bentuk hati ni akan jadi bentuk hati yang sempurna,” beritahu Hafiz sambil menunjukkan seutas rantai berbentuk hati yang hanya tinggal separuh bahagiannya.

            “Walaupun saya tak pernah pakai rantai ni, saya selalu bawa ke mana-mana aja saya pergi.” Hafiz mengukir secalit senyuman dengan seraut wajah yang tenang.

            “Sudahlah, tak payah cerita benda-benda sedih lagi. Kamu ni Hafiz! Nanti ibu nangis baru tahu,” seloroh Puan Sri Azila sambil mencubit manja peha anaknya.

            Nadya dan Hafiz sama-sama tertawa. Setelah itu Puan Sri Azila mengajak Hafiz dan Nadya ke meja makan. Sambil minum dan menjamah kuih muih yang dihidangkan, ketiga-tiganya berkongsi cerita dan berbual mesra.

            “Oh ya, pak cik mana ya? Dari tadi saya tak nampak pun,” soal Nadya merujuk kepada Tan Sri Jamaluddin.

            “Masa-masa macam ni dia ada di pejabatlah. Kalau tak busy, dia balik awal. Kadang-kadang tengah hari pun dah ada kat rumah. Tapi kalau busy sangat, pukul 11 malam baru balik. Mak cik  risau, badan ayah Hafiz tu dah kurus. Orang kata, kerja tu kerja juga tapi kesihatan kena jaga. Tapi dia buat dono aja,” jawab Puan Sri Azila panjang lebar, sempat pula dia bersungut.

            “Tapi lepas ni ayah bolehlah rehat sikit sebab Hafiz akan gantikan ayah dalam syarikat. Betul tak, bu?” tokok Hafiz dan disambut dengan anggukan oleh Puan Sri Azila.

            Nadya dapat melihat keselesaan dan kemesraan Hafiz apabila bersama ibunya. Dia jadi cemburu kerana selama hidup hampir 24 tahun, belum pernah sekali dia merasai belaian kasih sayang seorang insan bergelar ibu. Yang dia ada cuma ayahnya di kampung, anak saudaranya yang bernama Armand dan satu-satu adiknya, Ainul.

            “Nadya.”

            “Ya, mak cik?” Nadya tersedar dari lamunan pendeknya.

            “Mmm… mak cik ingat nak serahkan butik mak cik pada Nadya.”

            Nadya terperanjat, membuatkan air oren yang diteguknya hampir tersembur keluar.

            “Kenapa? Nadya tak percaya?” Puan Sri Azila melirik.

            “Err… kenapa nak serahkan pada saya?"

            “Memang sejak dulu mak cik dah berniat. Gadis yang bakal jadi menantu mak cik akan mewarisi perniagaan mak cik. Lagipun, mak cik dah tua. Mak cik fikir nak rehat je sekarang ni.”

            Nadya mengelip-ngelipkan mata dengan riak serba-salah.

            “Saya tak ada pengalaman dalam bidang perniagaan, mak cik. Lagipun, saya cuma belajar bidang undang-undang. Mana ada sangkut paut dalam bidang bisnes,” ujarnya merendah diri. Dia sendiri agak keberatan untuk menerima pemberian yang dirasakan berlebihan itu. Puan Sri Azila pun masih belum rasmi menjadi ibu mentuanya.

            “Sebenarnya ada. Bukankah bidang perundangan pun memerlukan komunikasi? Mak cik percaya walaupun Nadya nampak pendiam, tapi Nadya suka kerja jumpa orang, betul tak?”

            Nadya mengangguk lambat-lambat.

            “Nak menguruskan butik pun sama. Kadang-kadang kita tak boleh nak harapkan pembantu aja untuk layan pelanggan. Untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan, kadang-kadang kita sendiri perlu berinteraksi dengan mereka."

            Nadya terdiam. Otaknya cuba mencerna kata-kata bakal ibu mentuanya itu. Lambat-lambat nafasnya dihela sebelum bibirnya kembali bersuara.

            “Tapi, sayakan belum jadi menantu mak cik,” ujarnya gusar. Adakah telinganya mampu menerima kalau orang-orang mengatakan dia menumpang kesenangan orang kaya? Dia ingin mengahwini Hafiz kerana dia mencintai pemuda itu, bukan kerana mahukan harta dan perniagaan keluarga lelaki itu.

            Puan Sri Azila melayangkan senyuman. Bahu bakal menantunya itu diusap-usap.

            “Nadya, walaupun Nadya belum lagi menjadi menantu mak cik, tapi mak cik yakin dan percaya pada Nadya. Kalau kita risaukan umpatan orang, sampai bila-bila pun kita takkan maju. Yang penting, seluruh ahli keluarga mak cik tahu siapa Nadya yang sebenarnya. Tolonglah jangan hampakan harapan mak cik.”

            Nadya melepaskan keluhan. Wajah Hafiz dipandangnya sekilas. Bakal suaminya itu memberi isyarat tanda menyuruhnya menerima usul Puan Sri Azila. Sukar untuk dia menolak pujukan Puan Sri Azila. Tegarkah dia untuk menghampakan harapan bakal ibu mertuanya itu?
************************

NADYA tersenyum sendiri merenung cincin yang tersarung di jari manisnya. Cincin bertatahkan berlian yang menandakan dirinya sudah diikat dan tidak boleh diusik lagi. Dia sendiri seakan tidak percaya kini sudah hampir sebulan dirinya bergelar tunangan orang. Tunangan kepada seorang lelaki yang dicintainya dengan sepenuh hati.

            Sekarang dia sedang berada di ofisnya di Butik NADYA’S. Butik ini adalah butik pemberian Puan Sri Azila. Butik itu yang pada awalnya diberi nama Butik AZILA’S kini diubah setelah bertukar pemilik.

Nadya sendiri tidak tahu bagaimana Puan Sri Azila begitu mudah menyerahkan perniagaannya kepada orang luar yang belum lagi rasmi menjadi ahli keluarganya, namun kepercayaan yang Puan Sri Azila letakkan kepadanya membuatkan dirinya berasa sangat dihargai dan dia berazam akan menguruskan butik pakaian pemberian bakal ibu mertuanya itu dengan lebih baik.

Dari cermin lutsinar ofis tersebut, Nadya dapat melihat figura sahabat baiknya, Suraya yang sedang sibuk melayan pelanggan-pelanggan yang mengunjungi butiknya. Suraya kini bekerja sebagai pembantunya untuk sementara sehinggalah dia mendapat pekerjaan yang lebih sesuai.

Dua lagi rakan karibnya, Zulaikha dan Maya pula sudah bekerja di HS Holdings sebagai jurutera. Mungkin kerana Adam dan Yusof ahli lembaga pengarah jadi peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan lebih mudah.

Angan Nadya terpancung sebaik pintu pejabatnya diketuk. Setelah dibenarkan masuk, Suraya menguak daun pintu dan memaklumkan ada pelanggan ingin bertemu.

Ketika Nadya sibuk melayan pelanggannya, telefon didalam ofisnya pula berdering. Dia segera berlalu ke mejanya pula.

“Assalamualaikum, Nadya.”

Nadya melontarkan senyuman. Mendengarkan suara itu sahaja, dia sudah tahu siapakah gerangannya dihujung talian.

Dia menjawab salam, duduk di kerusi agar lebih selesa dan kukuh menggenggam gagang telefon.

“Kenapa tiba-tiba call?”

“Kenapa? Tak boleh? Yalah, sebab orang tu dah tak ingat kita, kita call lah.”

“Macam kecil hati aja.”

“Bukan kecil hati tapi marah.” Hafiz menekan suara. Pijar sedikit hatinya mendengar gelak-gelak gadis yang dicintainya di hujung sana.

Orang tengah serius dia boleh pula gelak-gelak, gerutunya sedikit geram.

“Tak elok marah-marah. Tak baik untuk kesihatan.” Nadya membalas pula, selamba mengusik, mahu mengendurkan nada tegang di hujung sana.

“Keadaan butik macam mana? Okey?” Hafiz menukar tajuk perbualan apabila ketawa Nadya sudah surut.

“Okey aja. Pelanggan pun tengah ramai. Tak menang tangan dibuatnya.” Nadya membalas bersahaja.

Hafiz mengeluh. Kesibukan Nadya menguruskan butik sejak akhir-akhir ini membuatkan waktunya untuk bersama dengan tunangannya terbatas. Musnah harapan mahu mengajak Nadya keluar makan tengah hari.

Bila difikir-fikir semula, rasa menyesal pun ada kerana bersetuju dengan gagasan ibunya untuk menyerahkan butik kepada Nadya. Kalau dulu Nadya selalu ada waktu untuknya, sekarang mahu mengangkat panggilan telefon pun susah benar kerana jumlah pelanggan yang semakin bertambah.

Namun Hafiz tahu dia harus akur. Kalau ibunya tidak menyerahkan butik kepada Nadya, mahu diserahkan kepada siapa lagi? Mereka sudah tiada saudara-mara lain.

“Hafiz, are you still there?”

Tersentak dia. Genggaman telefon masih kejap tetapi akal fikirannya menerawang entah ke mana. Pelbagai perasaan menerpa serentak.

“I’m still here,” balas Hafiz senada, tanpa emosi.

“Marah ke?”

“Tak adalah. Mmm…saya rasa awak pun tentu tengah busy sekarang, kan? Maaf kerana mengganggu. Okey, bye.”

Perbualan yang hambar terus dinoktahkan. Masing-masing meletakkan telefon dengan syarat Nadya berjanji untuk makan tengah hari bersamanya esok. Janji yang terpaksa ditabur demi menjaga sekeping hati disana.

********************


Beberapa minggu kemudian...

AWAN dilangit semakin gelap. Gegar guruh kadangkala kedengaran, menandakan hujan lebat bakal turun tidak lama lagi.

            Hafiz melirik ke arah jarum jam dinding yang sudah menunjukkan pukul 11.45 pagi. Cepat-cepat dia mengemas mejanya. Hari ini adalah hari lahir Nadya yang ke-24 dan dia ingin ke Butik NADYA’S untuk membuat kejutan. Dia pasti Nadya yang sedang sibuk melayani pelanggan di butik gembira dengan kedatangannya.

            Titis-titis halus hujan mula rebas tatkala kakinya dihayun pantas mendekati keretanya. Jam di pergelangan tangan tanpa disangka hampir masuk waktu makan tengah hari. Hafiz terus melompat masuk ke dalam perut kereta dan memandu menyusuri Lebuhraya Persekutuan serta memasuki simpang ke Jalan Universiti.

            Bersendirian di dalam kenderaan dengan hujan lebat di luar meninggalkan dengung yang membingitkan telinga. Memang agak kurang menyenangkan, namun Hafiz terus mengemudi kereta sambil membayangkan reaksi wajah Nadya yang terperanjat melihat dia tiba-tiba muncul di butik pada hari ini. Mesti kelakar dan comel.

            Pemandangan didepan tampak berbalam. Beberapa kali keretanya dihon kerana tidak sengaja masuk ke lorong orang. Dia tahu dia sememangnya tidak berkebolehan memandu dalam keadaan hujan lebat namun hatinya cuba digagahkan mengambil risiko kerana mahu segera sampai sebelum waktu makan tengah hari.

            Kakinya nekad menekan pedal minyak tanpa mempedulikan keselamatan dirinya. Tidak semena-mena muncul sebuah lori treler meluru ke arah kenderaannya dan...

            Dummm!!!
************************

“SABARLAH nak. Kuatkan semangat,” pujuk bapa Nadya, Asnawi sambil mengusap kepala anaknya itu. Nadya hanya mampu duduk di sebelah tubuh Hafiz yang berselirat dengan wayar-wayar dan alat bantuan pernafasan dengan wajah sugul.

            Sudah empat hari Hafiz disahkan koma akibat kemalangan jalan raya. Sudah empat hari pemuda itu hanya kaku dikatil tanpa melakukan apa-apa. Semua orang sudah buntu apa yang harus dilakukan untuk menyembuhkan Hafiz.

            “Abah yakin Hafiz akan sedar semula daripada komanya,” tutur Asnawi lagi. Dia kasihan melihat anaknya yang kelihatan semakin kurus dan tidak bermaya. Dua hari yang lalu dia menerima panggilan daripada Nadya yang memaklumkan tentang kemalangan jalan raya yang menimpa Hafiz dan kini disahkan koma. Kerana itulah dia bergegas ke Kuala Lumpur bersama cucunya, Armand ke Kuala Lumpur untuk melihat keadaan bakal menantunya itu.

            “Mak dan ayah Hafiz mana? Diorang tak datang?” Asnawi menyoal.

            “Diorang dah balik sejam lepas,” jawab Nadya perlahan.

            “Abah, Nadya nak pergi surau kejap. Dah masuk waktu Zohor, abah tolong tengok-tengokkan Hafiz, ya?” ujar Nadya seraya melihat ke arah jam tangannya.

            “Pergilah, biar abah yang jaga Hafiz kat sini,” sahut Asnawi tersenyum.

            Nadya terus bangkit dan melangkah ke surau kecil hospital itu. Selepas mengambil wuduk, dia terus masuk ke dalam surau. Ketika itu surau agak sepi. Cuma ada seorang dua wanita yang sedang menunaikan solat.

            Saat tangannya sibuk membentang sejadah dan mengemaskan telekung, telinganya seperti menangkap suara menangis perlahan di tempat solat bahagian lelaki. Nadya ingin mengendahkan, tapi tidak tahu kenapa, hatinya bagai ditarik-tarik untuk melihat siapakah lelaki yang sedang menangis itu.

            Tangannya menyelak kain rentang yang memisahkan antara tempat solat lelaki dan wanita dengan berhati-hati. Sebaik mengintai melalui celahan kain itu, matanya spontan membulat dek kerana sentakan rasa terkejut.

            Adam. Adam sedang menangis? Dia lihat lelaki itu hanya bersendirian dengan tangan yang menadah ke langit.

            “Aku tahu aku tidak layak meminta apa-apa dari-Mu setelah terlalu banyak mengingkari perintah-Mu. Allah, aku menyesal atas apa yang pernah terjadi sebelum ini. Aku menyesal dengan apa yang sudah lakukan selama ini. Ampunilah segala dosa-dosaku, ya Allah. Aku hanya hamba-Mu yang kerdil lagi hina.

            Ya Allah, sesungguhnya Kaulah pemilik hati ini. Kau tahu segala yang ada didalam hati ini. Kau tahu siapa gadis yang aku cintai dan betapa aku ingin melihat dia bahagia. Hanya dengan kesembuhan Hafiz dapat membuatnya bahagia. Aku tidak meminta lebih, ya Rabbi. Pindahkanlah kesakitannya itu padaku andai itu yang satu-satunya jalan untuk menyedarkan Hafiz dari lenanya...”

            Nadya mengeluh. Rasa sebak kian memagut jiwa tatkala mendengar doa tulus dari lelaki itu. Syukur alhamdulillah, dia dapat melihat perubahan pada diri Adam. Lelaki itu sudah jauh berbeza berbanding Adam yang awal dikenalinya empat tahun yang lalu.

            Selesai menunaikan solat Zohor, Nadya kembali ke bilik wad yang menempatkan Hafiz. Tatkala melangkah masuk, dia lihat Adam sudah berada di dalam bilik itu dan sedang berbual-bual dengan abahnya. Nadya cuma melemparkan senyuman dan duduk di sisi katil Hafiz. Dari ekspresi wajah Adam, lelaki itu kelihatan bersahaja dan tiada tanda-tanda seperti baru lepas menangis. Bijak sungguh Adam menyembunyikan emosinya.

            “Adam beritahu dia kawan Nadya sejak di universiti tapi kenapa abah tak pernah nampak dia sebelum ni?” Soalan yang dilontar oleh Asnawi menyedarkan Nadya dari angan pendeknya.

            “Hari tu semasa hari pertunangan Nadya, Nadya nak kenalkan dia pada abah tapi dia tak datang,” jelas Nadya jujur.

            “Saya bukan tak nak datang ke majlis pertunangan tu pak cik, tapi hari tu saya outstation. Jadi tak dapat datang.” Adam memberi alasan yang paling logik difikirkannya saat itu. Hakikatnya, apalah gunanya hadir jika terpaksa melihat orang yang dicintainya bertunang dengan lelaki lain.

            Petang itu selepas sejam Asnawi meminta diri untuk pulang ke apartment, Nadya pula meninggalkan hospital itu dengan hati yang meluluh pedih. Entah sampai bila keadaan Hafiz akan terus seperti ini.

            Perasaan bersalah datang bertimpa-timpa kerana baru sekarang dia menyedari dia tidak pernah punya waktu untuk lelaki itu. Setiap masanya hanya dihabiskan untuk urusan butik. Setiap hari dia hanya memikirkan apa yang terbaik untuk butik demi tidak menghampakan Puan Sri Azila. Dan hari-hari yang berlalu, dia sudah mengabaikan perasaan tunangnya sendiri.
****************************

HAMPIR setiap malam Adam duduk di hospital menemani Hafiz. Tidak pernah sesaat pun dia berasa jemu berada di wad itu. Kebiasannya dia hanya akan tidur di hospital dan akan ke pejabat seperti biasa pada keesokan harinya. Itu sudah menjadi rutinnya sejak Hafiz disahkan koma beberapa hari yang lalu.

            Di bilik itu dia hanya mampu termenung. Tidurnya tidak pernah lena. Kalau boleh dia ingin memastikan ada seseorang yang menemani Hafiz saat Hafiz tersedar nanti meskipun dia sendiri tidak tahu bilakah hari itu akan tiba.

            Selesai menunaikan solat Subuh, Adam berlalu sebentar ke kafetria. Perutnya terasa pedih kerana dia dia belum menyentuh makanan sejak petang kelmarin.

            Selepas menjamah sedikit kuih yang dibeli, dia kembali semula ke wad. Suasana masih sunyi di sekitar hospital kerana waktu melawat pesakit belum dibenarkan. Di tepi katil itu, Adam mengimbau kembali bila dan bagaimana ketika dia mula-mula dengan Hafiz.

            Memang sejak awal dia tidak menyukai Hafiz. Dan dia memupuk perasaan dendam dan marahnya selama empat tahun lamanya. Cuma kerana gara-gara Hafiz berjaya memiliki Nadya yang sudah sekian lama menjadi gadis idamannya. Ah, bodohnya dia kerana berperangai seperti budak-budak!

            Tanpa sedar air mata lelakinya jatuh lagi. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini mutiara jernih ini begitu murah nilainya. Dia terus keluar dari bilik wad itu dan melangkah ke bilik air. Mukanya dibasuh berkali-kali demi menahan dirinya daripada menangis lagi.

            Aku lelaki. Aku tak boleh nangis. Air mata tolonglah jangan keluar lagi, pinta hatinya bersungguh-sungguh.

            Tidak tahu berapa lama dia duduk memerap dibilik air, selepas hatinya sedikit tenang, dia melangkah semula ke bilik Hafiz. Ketika tangannya mahu menguak daun pintu, dia bertembung pula dengan Nadya. Degupan jantungnya bagai terhenti seketika tatkala anak matanya bertembung dengan mata bundar si gadis yang sudah sekian lama menghuni hatinya. Rupa-rupanya waktu melawat pesakit sudah tiba.

            Adam membuka pintu memberi laluan kepada Nadya untuk masuk mendahuluinya. Nadya yang masih kelihatan sugul terus masuk tanpa mengucapkan terima kasih. Ketika itu Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila sudahpun berada di bilik itu. Kedua-duanya duduk disisi Hafiz.

            “Dah lama mak cik dan pak cik sampai?” Nadya menyapa sopan. Dia meraih tangan Puan Sri Azila dan mencium tangan wanita itu.

            “Baru lagi,” jawab Puan Sri Azila tersenyum lesu. Nadya menarik sebuah kerusi dan duduk di sebelah bakal ibu mertuanya itu.

            “Adam dah lama berkawan dengan anak mak cik?” Pertanyaan yang keluar dari mulut Puan Sri Azila menyentak Adam yang sudah mengambil tempat duduk disebelah katil Hafiz.

            Adam terkedu seketika. Dia teragak-agak untuk memberi jawapan. Memang dia mengenali Hafiz sejak empat tahun yang lalu tapi dia tidak pernah pun berkawan dengan Hafiz. Dia memusuhi lelaki itu kerana mereka menyukai gadis yang sama. Adakah itu juga boleh dianggap berkawan?

            “Err… ya, mak cik. Semasa di tahun pertama, kitorang tinggal sebilik. Cuma jurusan berbeza,” jawab Adam mengiyakan kerana dia malas hendak menjelaskan dengan lebih panjang.

            Dan selepas itu Tan Sri Jamaluddin pula menyoal Adam seperti ingin mengajaknya berborak. Nadya dan Puan Sri Azila hanya memasang telinga mendengar perbualan mereka. Biarlah Tan Sri Jamaluddin bercakap dengan seseorang. Sekurang-kurangnya dapat memesongkan seketika kesedihan tentang anak lelakinya.

            “Oh, ya ke? Daddy Adam ada company? Apa namanya?” Tan Sri Jamaluddin kelihatan berminat dengan topik perbualan yang dibuka oleh Adam. Maklumlah, sama-sama orang bisnes.

    “HS Holdings.” Adam menjawab.

            “Apa maksud HS?”tanya Tan Sri Jamaluddin lagi.

            “Mmm… HS tu stands for Husin and Syafik. Husin ayah saya, Syafik business partnernya. Diorang berkawan lama. Kemudian sama-sama buka perniagaan,” ujar Adam.

            Tan Sri Jamaluddin mengangguk-angguk.

            “Dah berapa lama company tu?”

            “Dalam…” Adam tidak sempat menghabiskan kata-kata saat matanya terpandang jemari Hafiz yang bergerak-gerak. Dia membulatkan mata.

            “Nadya, mak cik, pak cik, Hafiz dah sedar!”

            Pandangan mata Tan Sri Jamaluddin, Puan Sri Azila dan Nadya saling melekat untuk beberapa saat. Serentak itu masing-masing bergegas mengelilingi katil. Putaran alam terasa bagaikan terhenti untuk seketika tatkala Hafiz membuka kelopak matanya perlahan-lahan.

            Masing-masing kejung seperti patung. Dan pada saat itulah sebaris senyuman manis bertapak di wajah pucat Hafiz.

            “Hafiz dah sedar nak!” Tan Sri Jamaluddin terus mendakap anaknya.

            “Ibu risau, Hafiz. Kenapa Fiz takutkan ibu?” Puan Sri Azila merangkul Hafiz sambil menangis. Dahi anaknya itu dicium bertalu-talu.

            Adam sempat melirik ke wajah Nadya. Dilihatnya gadis itu tersenyum dan menangis dalam masa yang sama. Dan Adam tahu itu air mata kegembiraan. Ini kali pertama dia melihat Nadya tersenyum selepas Hafiz disahkan koma. Dan baginya, tiada apa yang lebih membahagiakan selain melihat gadis kesayangannya gembira.

            Hafiz menoleh ke arah Adam yang berdiri di sisinya.

            “Adam, kau kat sini?” Hafiz terkedu saat melihat Adam yang sebelum ini memusuhinya turut berada disini menemaninya.

            “Kau jangan banyak cakap, Fiz. Kau belum sembuh. Aku panggilkan doktor, ya?” Adam ingin keluar memanggil doktor untuk memaklumkan tentang Hafiz sudah sedar daripada koma namun Hafiz lebih pantas mencekup tangannya.

            “Jangan panggil. Tolong jangan panggil,” rayu Hafiz perlahan.

            Adam serba-salah, namun melihatkan keadaan Hafiz yang merayu kepadanya, dia tidak tergamak untuk menolak. Akhirnya dia akur.

            “Baiklah, aku tak panggil.” Adam mengalah. Dia bagaikan bingung seketika dan tidak mengerti kenapa Hafiz menegahnya untuk memanggil doktor.

            “Adam, aku minta maaf,” ungkap Hafiz. Setitis air matanya gugur dari kelopak mata. Tangannya terus erat menggenggam tangan Adam.

            “Untuk apa? Kau tak buat salah apa-apa pada aku. Aku yang sepatutnya minta maaf,” balas Adam turut membalas genggaman tangan lelaki itu. Matanya sendiri sudah bertakung dengan mutiara jernih yang bila-bila masa sahaja akan meniris ke pipi.

            “Kau jangan nangis, Adam. Lelaki tak boleh nangis. Kau kan macho. Nanti hilang macho kau tu,” ujar Hafiz dengan senyuman yang mekar menghiasi wajahnya.

            Adam tertawa kecil.
            “Kau ni ada-ada saja. Siapa cakap aku macho?”
            “Akulah yang cakap!”
            Adam ketawa lagi.

            “Aku nak bercakap dengan Nadya,” pinta Hafiz. Wajahnya kian pucat. Nadya beralih tempat ke sisi Hafiz. Dia mengesat air matanya.

            “Nadya, saya cinta awak,” ungkap Hafiz lirih, nafasnya tercungap menahan kesakitan.

            Adam yang mendengarnya meneguk air liur, pelbagai perasaan bergelodak dikalbunya dikala ini. Entah marah atau cemburu, dia tidak pasti. Namun apa yang dia tahu, dia sudah redha menerima hakikat bahawa Nadya memang tidak tercipta untuknya.

            “Saya jatuh cinta pada pandangan pertama. Waktu saya langgar awak semasa hari pendaftaran dulu. Awak ingat tak?”

            Nadya mengangguk perlahan-lahan dengan bibir yang diketap erat. Hatinya menahan gelora didalam dada dan menahan perasaan yang berkecamuk. Minda kembali memutarkan peristiwa 4 tahun yang lalu.

            “Saya nak minta maaf kalau selama ni saya ada buat salah pada awak. Saya sayangkan awak sampai bila-bila. Sampai ke akhir hayat saya.” Hafiz meluahkan isi hati. Setulus dan seikhlas jiwanya.

            Nadya memejamkan mata. Setitis lagi air mata bercucuran ke pipi. Bibirnya terketar-ketar menahan rasa.

            “Adam, kalau aku dah tak ada lagi, tolong jaga Nadya untuk aku, ya?”

            Permintaan Hafiz membuatkan semua orang terkejut.

            Adam menggeleng-geleng. “Kau takkan pergi mana-mana. Kau akan sembuh.”

            “Tolong janji dengan aku!” Hafiz semakin erat menggenggam tangan lelaki itu.

            Adam menelan air liur yang terasa kesat. Mula tidak sedap hati. Dia bagaikan sudah memahami maksud Hafiz namun hatinya terlalu berat untuk mengiakan.

            “Baiklah... aku janji. Aku janji, Fiz. Selagi aku bernyawa, aku akan jaga Nadya. Aku akan jaga dia lebih daripada nyawa aku sendiri,” ucap Adam perlahan. Hatinya berat untuk mengungkapkan, namun dia juga tidak tegar untuk menolak.

            Hafiz tersenyum. Lapang dadanya selepas mendengar janji yang diperoleh.

            “Hafiz, maafkan aku atas kesalahan aku selama ni,” bisik Adam.
            Hafiz tersenyum manis. “Aku dah lama maafkan kau.”
            “Adam, aku perlu beritahu kau sesuatu…”

            Adam melekapkan telinganya ke bibir Hafiz. Dengan bibir yang semakin pucat dan suara yang tenggelam timbul, Hafiz membisikkan amanat terakhirnya.

            “Adam, aku tahu aku takkan hidup lama. Kalau lepas ni kita tak berjumpa lagi, aku nak kau tolong carikan kembar aku. Hafiz… Hafizuddin namanya. Dia kembar aku yang terpisah sejak kecil. Aku dan ibu ayah aku tak pernah jumpa dia. Tolong, Adam… tolong tunaikan permintaan aku. Tolong cari dia, Adam…”

            Tarikan nafas Adam mulai tidak sekata. Degupan jantungnya kencang mendengar permintaan yang satu itu. Bukannya dia keberatan untuk menunaikan, tetapi hatinya tidak mahu mengiyakan. Dia masih mahu Hafiz berada disini. Andai kata Nadya bukan tercipta untuk dirinya, dia sudah redha menerima. Kali ini dia hanya mahu Hafiz sembuh seperti sedia-kala.

            “Adam, tolong…” Rayuan suara Hafiz yang kian lemah meletakkan lelaki itu dalam posisi serba-salah. Kepalanya diangguk perlahan.

            “Insya-Allah. Aku akan tunaikan...”
            Hafiz tersenyum lega.
            “Ibu, ayah…” Hafiz memandang kedua-dua ibu bapanya.

            “Terima kasih sebab dah jaga dan besarkan Hafiz selama ni. Hafiz takkan lupa jasa ibu dan ayah. Tolong halalkan makan minum Hafiz selama ni...”

            “Ya, ibu dan ayah halalkan,” bisik Puan Sri Azila lalu mencium dahi Hafiz. Beberapa titis air mata wanita itu jatuh ke wajah anak lelakinya.

            “Ibu… ayah… kaki Hafiz dah hilang… kaki Hafiz dah tak ada…” beritahu Hafiz dalam payah. Dia tidak merasa apa-apa pada kakinya. Sakitnya hilang, kakinya juga seperti sudah hilang.

            “Hafiz tenat mak cik, pak cik. Kita kena panggil doktor!” ujar Adam panik. Dia serba tidak kena melihat Hafiz yang tercungap-cungap cuba mengambil nafas. Kakinya terus dihayun keluar berlari mencari doktor.

            “Ajar Hafiz mengucap, Nadya!” pinta Tan Sri Jamaluddin.

            Nadya menangis sambil mengajar Hafiz mengucap. Tan Sri Jamaluddin berusaha memujuk isterinya yang sedang meraung itu. Dia terpaksa membatalkan niatnya untuk mengajar anaknya mengucap melihatkan keadaan isterinya yang seperti sudah hilang kawalan.

            Hafiz akhirnya mampu mengikut syahadah yang diajarkan tunangannya. Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila masih berpelukan sambil menangis.

            “Hafiz dah tak ada lagi,” tangis Nadya. Seluruh tubuhnya menggigil melihat kepala Hafiz terkulai disisinya.

            Adam yang baru tiba bersama beberapa orang doktor dan jururawat terpempan. Kedatangan doktor dan jururawat sudah tidak bermakna lagi.

            Adam terduduk di lantai dengan air mata yang mengalir bagai air terjun. Rasa kesal menghimpun dihati. Tahulah dia kenapa Hafiz menegahnya memberitahu doktor. Tahulah dia kenapa Hafiz memintanya untuk berjanji akan menjaga Nadya. Hafiz seakan sudah meramalkan semua ini akan terjadi.

            Dan tidak lama selepas itu, Puan Sri Azila turut rebah bersama raungannya. Dia diangkat beberapa orang jururawat keluar dari wad ICU itu.

            Nadya tersandar di dinding dengan tangisan yang gagal dibendung lagi. Tangannya yang menggigil mengelap air mata yang tidak jemu-jemu menjamah pipinya.

            “Nadya, saya janji selagi saya hidup saya akan selalu lindungi awak. Saya akan jaga awak sampai bila-bila kerana awak adalah bakal ibu kepada anak-anak saya dan saya sayangkan awak lebih daripada nyawa saya sendiri...” Ucapan itu bagaikan menderu ditelinga, memberi secebis bahagia dihatinya. Terasa seakan-akan baru semalam Hafiz mengungkapkan kata-kata itu kepadanya. Kata-kata yang pernah diungkap oleh lelaki itu usai majlis pertunangan mereka.

            Kini semua itu tiada lagi. Naim Mohd Hafiz sudah pergi buat selama-lamanya...
******************************

Setahun kemudian...

SUDAH banyak kereta yang diletakkan di perkarangan masjid. Nadya yang kelihatan anggun mengenakan busana pengantin serba putih duduk bersimpuh disebelah ibu angkatnya, Puan Sri Azila seakan tidak mampu membendung kegelisahannya.

Ramai rakan Adam dan Nadya serta saudara-mara yang hadir untuk menyaksikan upacara akad nikah yang bakal diadakan itu. Pihak media dari majalah dan akhbar turut hadir bagi membuat liputan untuk memuatkan cerita di hari perkahwinan antara anak seorang ahli korporat terkenal itu dengan pasangannya di dada akhbar dan majalah.

            Waktu yang dinanti-nanti telah pun tiba. Seorang lelaki tua berserban putih, kini duduk bersila dihadapan pengantin lelaki. Sesekali si pengantin lelaki menjeling ke arah pengantin perempuan yang tampak gelisah pada raut wajahnya.

            Puan Sri Azila memainkan peranan sebagai ibu dengan sehabis daya. Dia menggenggam jari-jemari Nadya yang merah berinai itu. Sentuhan wanita separuh umur itu sedikit sebanyak meredakan degupan jantungnya. Kini, meskipun Nadya bukan lagi bakal menantu mereka, namun Puan Sri Azila dan Tan Sri Jamaluddin tetap menganggap gadis itu seperti anak mereka sendiri. Hanya Nadya lah satu-satunya yang mereka punya selepas pemergian Hafiz.

            “Aku nikahkah dikau Mohd Adam bin Husin dengan Nurul Nadya binti Asnawi dengan mas kahwinnya RM100 tunai…”

            Dan disambut pula dengan lafaz tenang oleh pengantin lelaki: “Aku terima nikahnya Nurul Nadya binti Asnawi dengan mas kahwinnya RM100 tunai...”

            Kini termeterainya ikatan suci antara mereka. Masing-masing menarik nafas lega. Adam yang melutut di hadapan Nadya menyarungkan cincin ke jari manis isterinya. Nadya meraih tangan Adam dan mencium hormat tangan suaminya lalu dibalas dengan ciuman kasih Adam di dahi isterinya pula.

            Kegembiraan jelas terpancar di wajah si pengantin lelaki. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman setiap kali ada lensa kamera menghala ke wajahnya. Tangan Nadya digenggam erat, menunjukkan betapa dia bangga memiliki Nadya sebagai pasangannya. Kasihnya pada gadis yang baru bergelar isterinya itu tidak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata.

            Begitu banyak halangan yang terpaksa ditempuhinya sebelum ini. Selepas pemergian arwah Hafiz, muncul pula selebriti terkenal tanah air, Rafi Mohd Thaqif yang turut menyimpan perasaan terhadap Nadya.

            Beberapa kali juga dia bertengkar dengan artis terkenal itu semata-mata hanya kerana Nadya. Dan kini peluangnya untuk memiliki Nadya sudah terbentang luas kerana Rafi sudah berkahwin dengan Hani kerana ditangkap khalwat.

            Adam tahu penantiannya selama ini tidak akan sia-sia. Dan ternyata semua itu berbaloi. Nadya kini adalah hak mutlaknya.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

5 comments:

hannah said...

nice gile prolog ni.
nak lagiiiiii!!!!!!!!!!!

budak blur said...

akanku tunggu sambungannya........

zahra said...

plot twist sungguh.khwin dgn adam juga akhirnya

Unknown said...

Sakit dada ni baru baca prolog je.. Huhu sadis weyyyyyy ada mati² ni.
Sedih lahhh T_T

E-la Adiey said...

ct roxalynna - xyah la sedih.. aloo... mucuk2... hahaha