Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Tuesday, March 3, 2015

Kutemui Cinta 7

NADYA mengambil gambar keluarga yang diletakkan di atas meja belajarnya itu. Gambar itu direnungnya penuh kasih. Ada abah, ummi, arwah kak long, ucu dan dirinya sendiri. Dia cuma tiga beradik. Dulu keluarga mereka sangat bahagia tapi ummi yang telah merubah segala-galanya.

            Ummi! Seorang ibu yang tak sepatutnya layak digelar ibu. Tapi walau apapun yang berlaku, Nadya tahu dan sedar ummi tetap ibu kandungnya. Darah ummi mengalir dalam tubuhnya.
            Dia teringatkan lagi di saat-saat terakhir sebelum ummi dan abah bercerai. Mereka bergaduh besar kerana abah menegur cara berpakaian ummi yang mencolok mata. Kemudian ummi terus pergi mengikut lelaki lain.

            Tidak dinafikan ummi memang seorang wanita yang jelita suatu ketika dahulu. Wajahnya menjadi kegilaan pemuda-pemuda di kampung. Apabila ummi memutuskan untuk menikahi abah yang hanya seorang askar berpangkat prebet, maka ramailah yang merana dan kecewa. Selepas lebih lima tahun berkongsi hidup dengan abah dan dikurniakan tiga orang puteri, ummi mula berubah sikap.

            Apa saja yang abah lakukan ada saja yang tidak kena di mata ummi. Ummi juga suka merendah-rendahkan abah yang hanya berpangkat prebet. Sejak dulu tak pernah naik pangkat. Ummi suka keluar malam. Abah sudah tidak larat untuk menghalang. Peristiwa lalu mula berputar di ingatannya... satu-persatu.
****************************

“AWAK nak ke mana malam-malam ni, hah?” Mencerlung mata abah memarahi ummi yang kelihatan bersiap-siap pada malam itu seperti ingin keluar. Ummi hanya memakai seluar jeans ketat dan singlet yang menampakkan lurah dada. Sungguh tidak sopan dan memalukan!

            “Hei, saya dah bosanlah dengan awak ni, tau tak? Nak keluar pun tak boleh! Nanti pukul sebelas saya baliklah!” balas ummi sambil menyapu bedak ke mukanya. Ummi memang cantik namun sayangnya ummi tidak tahu menggunakan kecantikannya untuk menambat hati suami sebaliknya mahu menambat hati lelaki lain di luar sana.

            Nadya yang ketika itu baru berumur lima tahun hanya terkelip-kelip memandang ummi dan abah yang sedang bergaduh. Dia memeluk ucu yang baru berusia setahun yang menangis kerana ketakutan. Kak long pula dari tadi menutup telinga. Tidak tahan mendengar jerit pekik ummi yang melawan kata-kata abah.

            “Nak keluar pun tak boleh ke pakai sopan sikit?”

            “Yang awak peduli sangat apasal? Baju saya, tubuh saya, ikut suka hati sayalah nak pakai apa pun! Ingat ya, saya dah pun failkan penceraian kita. Tak lama lagi kita akan bercerai, awak tak berhak nak larang saya!”

            “Tapi selagi awak masih lagi isteri saya yang sah, awak kena ikut cakap saya!”

            Ummi tersenyum sinis.

            “Saya dah lama tak anggap awak tu suami saya! Dasar lelaki miskin! Askar prebet!” pekik ummi lantang. Serentak itu juga satu tamparan menghinggapi muka ummi.

            Mata abah kelihatan merah. Nafasnya kencang turun naik menahan amarah.

            “Siapa beri awak hak nak tampar saya, hah?!”

            “Dasar isteri nusyuz!” ucap abah. Kesabarannya kini sudah berada di puncak.

            Sebentar kemudian, kedengaran bunyi hon kereta di luar pagar rumah. Tanpa berlengah lagi, ummi terus mengambil tas tangan dan keluar dari rumah.

            Nadya mengintai melalui tingkap. Dia lihat ummi menaiki kereta bersama dengan seorang lelaki muda. Dia mungkin masih kecil tapi dia mengerti segala hal yang berlaku di sekelilingnya.

            Selepas penceraian ummi dan abah, mereka tiga beradik tinggal bersama abah. Ummi langsung tidak menjenguk mereka lagi selepas itu. Mungkin ummi sedang berseronok bersama teman lelaki barunya.

            Dan kenapa bagi Nadya cinta yang berakhir dengan kebahagiaan itu cuma mitos? Inilah sebabnya! Cinta ummi dan abah berakhir dengan penceraian. Dan arwah kak long? Arwah kak long juga pernah berkahwin namun perkahwinan yang diharap berakhir dengan kegembiraan sebaliknya berakhir dengan kematian yang cukup tragis.

            Orang lain mungkin tidak mengerti tapi kerana itu Nadya cukup takut untuk jatuh cinta pada sesiapa. Sepanjang dia hidup selama 20 tahun, belum ada lagi perkahwinan yang dengan kebahagiaan.

            “Nadya.”

            Suara Suraya mematikan terus lamunan Nadya. Cepat-cepat dia menyeka air mata yang ingin gugur ke pipi.

            “Dahlah Nadya. Saya faham perasaan awak. Tentu awak rindukan keluarga awak, kan?”

            Nadya sekadar tersenyum. Suraya sendiri juga tidak tahu kenapa cinta yang berakhir dengan kebahagiaan itu cuma mitos.

            “Nadya, saya nak tanya ni. Petang nanti saya, Maya dan Zul nak pergi Pasar Budaya. Awak nak pergi tak?” pelawa Suraya cuba menceriakan wajah Nadya yang kelihatan sugul.

            Nadya tersenyum manis dan mengangguk. Suraya terus keluar dari bilik itu dan pergi ke bilik sebelah untuk memaklumkan bahawa Nadya turut ingin ke Pasar Budaya bersama mereka.

            Gambar yang digenggam terus disimpan di dalam laci. Nadya mengeluh. Cinta zaman sekarang tak ubahnya seperti sebuah mitos rekaan. Dongengan semata-mata.
 *****************************
WAKTU petang itu Nadya dan rakan-rakannya menghabiskan masa dengan bersiar-siar di Pasar Budaya. Sudah lama Nadya tidak ke situ. Kali terakhir ketika umurnya 13 tahun. Waktu itu dia mengikuti rombongan sekolah ke Kuala Lumpur selepas tamat Penilaian Menengah Rendah (PMR). Abahnya pula masih lagi seorang askar dan mereka sekeluarga menetap di Selangor.

            Nasib baik rombongan itu percuma. Kalau tidak, tidak merasalah Nadya mengikuti rombongan sekolah itu kerana Nadya bukan dilahirkan daripada golongan berada. Sejak dulu kehidupan mereka sekeluarga memang susah. Berapa sen sangatlah gaji abah yang baru dinaikkan pangkat sebagai Lans-Koperal.

            Nadya berjalan ke sebuah kedai cenderahati yang menjadi kegemarannya. Dia memang sukakan barang-barang yang boleh dibuat hadiah seperti itu terutamanya barangan berkilau seperti kristal. Sekurang-kurangnya nanti dia tidak akan pulang dengan tangan kosong apabila pulang ke kampung semasa cuti semester nanti.

            Rakan-rakannya turut sama melihat-lihat barangan di sekitar Pasar Budaya. Mereka terpisah selang beberapa buah kedai.

            “Assalamualaikum.”

            Nadya terkejut mendengar suara lelaki dari belakang. Dia terus berpaling.

            “Waalaikumussalam,” jawab Nadya memandang Hafiz yang sedang tersenyum kepadanya. Matanya tepat memandang ke wajah lelaki yang sentiasa mampu menggetarkan hati dan membuai perasaannya itu.

            Macam mana mamat ni boleh ada kat sini? bisik hatinya. Dia sendiri hairan. Sejak akhir-akhir ini ke mana saja dia pergi pasti dia akan bertemu dengan Hafiz. Di kampus, kafe, perpustakaan, depan tandas dan sekarang Pasar Budaya.

            “Seronokkan datang sini?”

            Nadya mengangguk dan pura-pura tersenyum. Hatinya berdoa agar Suraya, Maya dan Zulaikha cepat datang.

            “Awak beli apa?”

            “Tak beli apa-apa. Belum ada yang berkenan,” ujar Nadya. Sebenarnya bukan tidak ada yang berkenan tapi apabila Hafiz datang, dia terus hilang mood untuk membeli.

            “Nadya, jom kita pergi minum petang.”

            “Err... tak apalah.”

            Matanya meliar mencari kelibat rakan-rakannya. Tapi bayang mereka pun tak kelihatan.

            “Saya dah janji dengan kawan-kawan saya tadi,” ujar Nadya gelisah.

            “Saya dah beritahu diorang.”

            “Beritahu apa?” Nadya terperanjat.

            “Beritahu yang saya nak belanja awak minum petang ni.”

            “Tak apalah. Saya belum rasa haus. Tak nak minum lagi,” ujar Nadya.

            Mahalnya hatimu Nadya, keluh hati Hafiz.

            “Janganlah macam tu. Saya dah bagitahu diorang tadi. Marilah.” Hafiz cuba memujuk.

            “Kalau lelaki dan perempuan berjalan berdua-duaan, nanti timbul fitnah.” Nadya menjelaskan.

            Hafiz terdiam. Terusik hatinya mendengar kata-kata gadis itu. Memang dia tidak mengenali Nadya tapi dia yakin dan pasti bahawa Nadya datang dari keluarga yang baik-baik. Peribadinya cukup sopan dan terpelihara. Dan dia tahu menjaga dirinya di tempat asing.

            “Apa awak nak sebenarnya?” Pertanyaan itu meletus keluar dari bibir Nadya.

            “Saya cuma nak bercakap dengan awak,” ujar Hafiz berterus-terang apa yang dia mahu.

            “Okey, cakaplah.”

            “Hari tu saya ada beri awak peluang untuk fikir semula. Saya harap awak...”

            “Saya tetap kata tidak!” potong Nadya pantas. Hafiz terpempan.

            “Kita tak kenal satu sama lain. Kita pernah jumpa pun atas nama kebetulan, faham tak?”

            “Atau mungkin juga sebab saya ni cuma anak orang miskin, betul tak?” Hafiz menguji perasaan Nadya. Matanya tidak lekang memandang wajah Nadya untuk melihat reaksi gadis itu bila dia memberitahu bahawa dia anak orang miskin.

            Namun Nadya hanya terdiam seribu bahasa. Sekarang baru dia tahu lelaki dihadapannya ini sebenarnya anak orang miskin. Mungkin mereka juga ada persamaan; taraf keluarga yang sama. Sama-sama datang dari keluarga kurang berada. Tapi bukan atas alasan itu dia menolak Hafiz. Tapi dia punya sebab sendiri. Dan tidak mungkin sesiapapun akan mengerti.

            “Kenapa diam?” soal Hafiz memecah kebisuan. “Betulkan? Awak tak suka saya sebab saya anak orang miskin?”

            “Sayang sekali tanggapan awak tu salah,” balas Nadya memanah tepat ke dalam anak mata Hafiz. “Saya bukan perempuan matrealistik. Malahan saya sendiri pun sedar siapa diri saya. Saya cuma gadis kampung, anak bekas pesara askar. Kalau betul saya ada perasaan cinta pada awak, tentu saya akan terima awak seadanya but the problem is, saya langsung tak suka awak apatah lagi cinta. Tolonglah, saya tak kenal awak pun!”

            Hafiz meneguk air liur. Wajahnya yang tadi cerah kini bertukar merah. Mungkin malu atau tersinggung kerana Nadya bukan saja mengucapkan kata-kata itu dihadapannya tapi juga dihadapan tauke kedai cenderhati itu dan beberapa orang pelanggan yang berdekatan. Terasa bagai semua mata memandang mereka.

            Nadya terus melangkah pergi dan terus menuruni anak tangga Pasar Budaya. Hafiz cuba mengejarnya.

            “Nadya, tunggu!”

            “Awak ni nak apa lagi?” Nadya menoleh. Dia terpaksa berhenti melangkah kerana orang ramai mula memandang gelagat mereka berdua. Malu kerana menjadi bahan tontonan.

            Dengan teragak-agak Hafiz cuba bersuara.

            “Nadya, terus terang saya cakap, saya sebenarnya memang dah jatuh cinta dengan awak. Alasan tu yang dah beri saya kekuatan untuk berhadapan dengan awak walaupun kita tak saling kenal. Saya tentu akan menyesal seumur hidup kalau tak beritahu awak. Walaupun dengar macam budak-budak, tapi at least saya jujur dengan apa yang saya rasa.”

            Nadya menarik nafasnya dalam-dalam. Dia tahu semenjak pertemuannya dan Hafiz beberapa bulan yang lalu, ada satu perasaan lain telah mekar dalam dirinya. Dia tidak tahu apa dan jika itu adalah cinta, dia telah cuba untuk memadamnya lama dulu. Tapi semakin lama dia menipu hatinya, semakin kuat perasaan hati kepada Hafiz. Dan kini lelaki itu telah datang meluahkan perasaannya.

            “Malang sekali sebab saya tak cintakan awak!” Nadya terpaksa mengungkapkannya walaupun dia tahu itu akan menyakiti hati Hafiz.

            Nadya terus pergi dan melangkah dengan pantas.

            Hafiz terkial-kial sendirian sambil memandang Nadya yang semakin menghilang. Dia berjeda sendiri.
**************************

“AWAK semua pergi mana tadi, hah?”
            Wajah Nadya yang putih kemerahan itu nampak semakin merah apabila dia marah. Rakan-rakannya tidak menjawab. Mereka sedikit takut kerana tidak pernah melihat wajah Nadya marah sedemikian.

            “Sorrylah Nadya, Hafiz yang beria-ia sangat. Tadi aku memang dah tak nak bagi dia jumpa kau tapi si Suraya dengan Maya ni nak bagi,” ujar Zulaikha sedikit gugup.

            Nadya mengeluh.
            “Tak apalah, tapi lain kali jangan buat macam tu lagi.”
            Masing-masing diam. Takut untuk berkata apa-apa.
            “Nadya, kau marahkan kitorang ke?”

            “Tak adalah, lupakan aja. Saya minta maaf sebab dah marah awak bertiga tadi. Jom kita balik, saya belum solat lagi ni.”

            Nadya tersenyum manis. Itulah yang mahalnya sikap Nadya. Dia seorang yang penyabar. Kalau dia marah pun hanya untuk sementara sahaja. Dia juga akan segera meminta maaf apabila dia tersedar dia telah memarahi seseorang tidak kira orang itu salah atau tidak. Rakan-rakannya merasa cukup selesa berkawan dengan Nadya kerana gadis itu tidak pernah menunjukkan reaksi marah berpanjangan.
***********************

“AKU tak fahamlah dengan Nadya tu, Mir,” luah Hafiz.

            “Kenapa?” Amir mengerutkan dahi.

            “Dia cakap dia tak sukakan aku.”

            “Apa yang kau tak faham? Rasanya dia dah bercakap dalam Bahasa Melayu, kan?”

            “Bukan tu... dia cakap dia tak sukakan aku tapi dari mata dia, aku tahu dia bohong. Dia macam nak cakap benda lain tapi benda tu tak terkeluar dari mulut dia.”

            “Entahlah Fiz, malas aku nak komen apa-apa,” ujar Amir. Mereka berjalan beriringan balik ke asrama.

            “Aku memang betul-betul pasti dia bohong. Aku rasa dia sebenarnya sukakan aku tapi dia macam teragak-agak nak mengaku. Dan aku tak tahu macam mana cara nak buat dia mengaku.”

            “Kita kena ingat Fiz,kita ni student.Perjalanan kita masih jauh.Lupakanlah Nadya, tumpukan pada pelajaran,” nasihat Amir walaupun dia tahu Hafiz tidak akan mendengar nasihatnya.

Dia kenal benar dengan Hafiz. Dulu Hafiz juga pernah mempunyai teman wanita. Walaupun ketika itu masih tingkatan 6, Hafiz bijak mengimbangkan antara teman wanitanya dengan pelajaran. Tapi sayang hubungan mereka terputus akibat desakan keluarga yang tidak menyukai hubungan mereka.

Selepas menghantar Hafiz ke asrama, Amir terus pulang ke rumah sewanya yang dekat dengan universiti.

Apabila Hafiz sampai di biliknya, dia lihat Adam tiada di dalam bilik itu. Selepas mandi dan menukar baju, dia berbaring di katil namun masih belum dapat memejamkan matanya.

Dia meletakkan tangan di bawah kepala. Mindanya hanya ternampak wajah ayu Nadya, datang bertubi-tubi tanpa diundang. Sungguh cantik dan comel. Sungguh santun orangnya.

Aku takkan lepaskan dia, bisik hati kecilnya. Akhirnya dia terlelap juga dan Nadya masih menjadi perencah mimpinya!
****************************

AZRIEL memandang ke dada langit. Duduk di atas bangku sambil mengira bintang-bintang dilangit tidak pernah menjemukannya. Fikirannya menerawang memikirkan arwah ibu dan ayahnya. Kalaulah ibu dan ayah tahu bahawa anak tunggal mereka satu-satunya ini sudah semakin hampir menuju ke menara gading.

            Di langit dia nampak Buruj Biduk. Buruj itu berbentuk senduk dan menunjukkan arah Utara. Dia teringat lagi, dulu ketika berumur 8 tahun,dia suka mengusik ibunya dengan menyembunyikan senduk ketika ibunya hendak memasak. Apabila ibunya tahu, ibunya mengejarnya sekeliling rumah dengan batang senduk itu dan tempat yang paling selamat untuk dia bersembunyi daripada ibunya yang garang itu adalah di belakang ayah yang lembut dan penyabar. Setiap kali mengingatkan hal itu,dia tersenyum sendiri. Sayang, kini kedua-duanya sudah pergi dipanggil Tuhan.

            “Coke?”

            Azriel memandang Adam yang datang secara tiba-tiba. Dia tersenyum dan mengambil minuman berkarbonat Coca-Cola yang dihulurkan Adam kepadanya.

            “Dah sampai mana? London ke Amerika?”ujar Adam bersahaja sambil meneguk minumannya.

            Dahi Azriel sedikit berkerut.

            “Apa yang kau mengarut ni?”

            “Habis aku tengok kau termenung macam orang angau dari tadi,” balas Adam tersengih.

            “Teringatkan Maya,ya?” usik Adam.

            “Hisy, tak adalah!” nafi Azriel. Maya, rakan Nadya jurusan Kejuruteraan Awam itu. Gadis itu memang cantik dan bijak. Dulu dia bukannya rapat sangat dengan Maya tapi sejak mereka bekerjasama untuk menjayakan satu pembentangan, dia selalu memikirkan tentang gadis lincah itu. Tapi entahlah, dia malas nak bercinta masa tengah belajar. Takut hayut dengan perasaan sendiri.

            “Aku sebenarnya teringatkan ibu dan ayah aku.Mesti diorang bangga kalau diorang tahu yang aku dah masuk universiti,sesuatu yang sangat diorang harapkan selama ni,”jelas Azriel sambil mendongak ke langit.

            “Jadi,kau nak bercakap tentang tu sekarang?”

            Azriel menggeleng. “Tak, kau macam mana? Dah hafal bacaan sujud?”

            “Bacaan sujud tu aku dah tahu. Aku ni bukanlah jahil sangat sampai semua benda tak tahu. Cuma sampai sekarang bacaan rukuk tu masih merangkak-rangkak lagi. Aku susahlah nak belajar. Asyik rasa bersalah je sebab aku dah marah kau semalam. Aku minta maaf sebab dah marah kau semalam.”

            “Tak apa, aku dah lupa pasal tu. Tapi aku pun nak minta maaf sebab cakap kau lembab.”

            “Jadi kau setuju nak jadi tok guru aku lagi?”

            “Sorry, aku tak nak jadi tok guru. Aku nak jadi guru aja. Aku belum sedia nak dapat pangkat tok,” gurau Azriel.

            Adam ketawa.

            “Nadya macam mana?” soal Azriel ingin tahu.

            Dia mahu juga tahu tentang gadis yang sudah berjaya merubah sahabatnya itu secara perlahan-lahan. Mungkin dia patut berterima kasih kepada si gadis polos itu kerana telah berjaya membuat Adam kembali ke pangkal jalan. Walaupun mungkin bukan sepenuhnya.

            Adam hanya menjongket bahu menjawab pertanyaan Azriel.

            “Tak tahu? Apa yang kau tak tahu?”

            “Aku tak tahu macam mana nak berkawan dengan dia,” jawab Adam.

            “Maksud kau?”

            “Dia tu pendiam. Kalau aku tanya, baru dia jawab. Dan dia cuma bercakap benda-benda yang dia rasa penting aja. Kalau aku tak call dia, dia pun tak call aku. Susahlah!”

            Nadya memang lain dari yang lain. Dia bukannya kaya. Bapanya cuma bekas pesara askar. Cantik? Ya! Dia anak bekas tentera tapi anak bekas askar itulah yang sombong dengannya. Gadis lain pasti akan merayu-rayu untuk merebutnya, apatah lagi jika mereka tahu dia anak orang kaya. Tapi Nadya? Dia sendiri kadang-kadang pelik dengan Nadya. Nadya memang begitu baik dengannya tapi itulah...

            Kebaikannya bukan melambangkan dia cintakan Adam. Sekadar kebaikan seorang sahabat. Dan bagi Adam, Nadya memang gadis paling mahal yang pernah dikenalinya. Gerak laku dan tutur katanya penuh kelembutan. Lambang kehalusan gadis Timur. Dan kerana itulah dia tertarik dengan Nadya! Perasaan tertariknya lebih kepada sifat, bukannya paras rupa.

            “Adam, you know something?”
            “What?”
            “Love story kau dengan Nadya ni macam pernah aku jumpalah.”
            “Jumpa? Kat mana?”
            “TV.Macam cerita Kiamat Sudah Dekat.”
            Berkerut dahi Adam.
            “Kiamat Sudah Dekat? Cerita apa tu?”

            “Ala, cerita Indonesia. Seorang lelaki nak tackle perempuan bertudung dan dia ni jahil agama. Kerana perempuan tu,dia mula berubah. Dia belajar sembahyang dan mengaji. Tapi bezanya kau tak belajar ilmu Ikhlas macam dalam cerita tu,”beritahu Azriel.

            “Sorrylah, aku cerita-cerita Indonesia ni aku tak layan sangat,” balas Adam dan terus meneguk sisa-sisa minumannya.

            Azriel sekadar tersenyum. Dia tahu benar perangai Adam. Mat saleh celup itu bukannya minat sangat filem dan drama dari negara seberang. Dia lebih suka menonton filem barat. Cuma sejak akhir-akhir ini tabiatnya itu seakan beransur hilang. Kelihatannya dia semakin hilang minat untuk menonton filem-filem seperti itu.

            “Kau ada awek tak, Aril?” tanya Adam tiba-tiba.
            “Orang macam aku ni siapalah yang nak. Harta pun tak ada…”
            “Tapi kau handsome je aku tengok.”

            “Iyalah tu.Yang kau puji aku lebih-lebih ni kenapa?Aku bukannya ada duit nak bagi. Ada duit pun mungkin bapak kau kasi atau biasiswa.”

            “Betullah, aku tak tipu!”

            “Sebenarnya Adam, aku nak belajar sungguh-sungguh. Kau pun tahu kehidupan aku macam mana. Tak macam kau, aku anak yatim piatu. Aku sekarang cuma sebatang kara. Apa yang aku ada Adam? Bagi aku ,cuma pelajaranlah harta yang paling berharga.” Perlahan saja suara Azriel.

            “Janganlah cakap macam tu, Riel. Terasa pulak aku…”

            Azriel tergelak.

            “Sorrylah, aku memang tak nak berawek-awek sekarang ni. Biarlah aku kerja dulu dan berbakti pada bapak kau yang dah banyak tolong aku selama ni. Aku nak kumpul sedikit harta dulu dan lepas tu baru fikir pasal awek,” jelas Azriel ketawa kecil.

            Adam cuma tersenyum dan menghabiskan sisa-sisa minumannya. Sejak dulu papanya, Dato’ Husin memang selalu menolong Azriel dari segi kewangan sejak Azriel kehilangan kedua-dua ibu bapanya.

            Adam, Yusof dan Azriel sudah seperti adik-beradik. Kadang-kadang dia sendiri pun boleh terlupa bahawa Azriel sebenarnya hanya sahabatnya yang tiada langsung pertalian darah dengannya.

            “Adam,” panggil Azriel perlahan.

            “Yup?”

            “Kau betul-betul sukakan Nadya?” Serius wajah Azriel bertanya.

            Adam terdiam. Lama. Dan selepas itu dia ketawa terbahak-bahak.

            “Suka? Jangan nak buat lawaklah, Riel. Perempuan kampung macam tu bukan taste akulah. Kau kan tahu aku cuma nak permainkan dia aja. Lepas aku dapat aku yang aku nak, aku tinggal ajalah!”

            “Betul ke?” Ada nada sinis di hujung suara Azriel.

            “Riel, you know me, right? Kau pun tahu kenapa aku dekati dia selama ni, kan? Ini cuma sebahagian daripada rancangan aku. Dan sekarang pun,aku tengok dia dah makin tergoda dengan aku.”

            Azriel tersenyum.

            “Tergoda? Siapa yang dah tergoda dengan siapa sebenarnya ni?”

            Adam terdiam.

            “Sepanjang perkenalan kau dengan dia, aku tengok perangai dia biasa-biasa aja. Tak ada pulak dia tunjuk sebarang minat nak goda kau. Kau tu je dari dulu beria-ia nak pikat dia. It’s up to you nak mengaku ke tak, tapi dengarlah nasihat aku ni. Bukalah mata hati kau untuk melihat hakikat yang sebenarnya. Kalau betul kau langsung tak ada hati dengan dia, buat apa kau susah payah nak belajar sembahyang, nak mengaji dan berhenti merokok? Sedangkan aku tahu kau tu tak boleh hidup tanpa rokok. Aku tahu sangat falsafah zaman sekarang ni; baik putus cinta dari putus rokok. Tapi demi Nadya, kau sanggup nak tinggalkan tabiat tu.

            Itu sebab apa? Itu sebab kau dah tergoda dengan dia! Bukannya dia yang tergoda dengan kau. Mana ada seorang kaki perempuan sanggup berubah untuk perempuan yang tak suka. Kalau kau tak sedar sekarang, sampai bila-bila pun kau takkan dapat dia tau?”

            Adam menyepi. Ungkapan Azriel terus membuatkannya kehilangan kata-kata. Mereka kemudiannya berjalan beriringan balik ke asrama. Mereka berpisah balik ke bilik masing-masing. Azriel di tingkat satu dan Adam di tingkat tiga.

            Adam berbaring di katil. Hafiz yang sudah lena di katil sebelah tidak dipedulikan. Dia teringatkan kata-kata Azriel tadi. Benarkah dia yang sebenarnya sukakan Nadya? Dia tidak tahu. Sebelum ini dia tidak pernah jatuh cinta walaupun sudah banyak kali bercinta.

Tapi dia mulai perasan, ada ketikanya dia berdebar setiap kali Nadya bersamanya. Dia juga berasa tenang dan bahagia sekali melihat Nadya senyum dan ketawa. Kalau boleh dia ingin selalu menghiburkan gadis itu agar dia selalu ceria dan ketawa. Sesuatu yang tidak pernah dilakukannya kepada gadis-gadis lain selama ini!

            Perasaan apakah itu?

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

1 comment:

hannah said...

fuuu
adam dah jatuh chenta