Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Saturday, April 11, 2015

Kau Bidadariku... 10

ENCIK JAMAL tidak boleh berlama-lama di Malaysia kerana kekangan masa dan kesibukan urusan pejabat. Sehari selepas majlis di banglo Tan Sri Jamaluddin itu, Encik Jamal terpaksa pulang terus ke Auckland.

            Awal-awal pagi lagi Adrian yang sudah bersiap dengan baju pejabat menghantar Encik Jamal ke KLIA bersama kedua ibu bapanya.

            “Jaga diri, Adrian. Kalau tak busy, rajin-rajin call daddy. Takpun hantar e-mail, okey?” pesan Encik Jamal saat berpelukan dengan anak kesayangannya itu.

            Adrian mengangguk tanda faham. Dia tahu meskipun Encik Jamal sering sibuk dengan tugas-tugasnya, namun Encik Jamal sangat mengambil berat perihal dirinya. Jika dia memerlukan Encik Jamal, ayah angkatnya itu sedaya upaya cuba meluangkan masa untuknya. Dan meskipun kini dia sudah punya ibu dan ayah kandungnya, Encik Jamal tidak akan dipinggirkan. Baginya, Encik Jamal tetap ayahnya dunia akhirat.

            Dan tidak pernah walau sedetik pun hatinya menyimpan perasaan dendam atau marah terhadap Encik Jamal dan arwah Puan Sophia walau pada saat pertama kali dia mengetahui bahawa dia hanyalah anak angkat. Baginya, setiap orang pernah berbuat kesilapan. Mummy dan daddynya juga sudah mendidik dan membesarkannya dengan cukup baik. Sungguh dia tidak akan mampu membalas jasa dan pengorbanan mereka.

            “Nanti contact abang long jugak. Ingat, kau masih ada keluarga disini,” ujar Tan Sri Jamaluddin saat bersalaman dengan adiknya.

            Encik Jamal mengangguk sahaja. Kebaikan yang ditunjuk oleh abang dan kakak iparnya itu benar-benar membuatkan hatinya terharu. Semakin menebal rasa bersalah atas perbuatannya selama ini. Alangkah mulia hati mereka kerana sudi memaafkan dirinya yang sudah bertindak melarikan anak mereka ke luar negara 30 tahun yang lalu.

            “Saya pergi dulu, abang long, kak long. Nanti ada masa saya call. Tolong tengok-tengokkan Adrian ya,” ujar Encik Jamal.

            Sebaik mendengar pengumuman akhir yang dibuat, Encik Jamal terus menjinjit briefcasenya dan melangkah masuk ke balai berlepas.

            “Adrian ada masa tak?” Puan Sri Azila bersuara ketika mereka bertiga berjalan pulang meninggalkan bangunan KLIA itu.

            “Kenapa, bu?”

            “Ayah dah nak pergi ofis. Takde siapa nak sarapan dengan ibu.”

            Adrian terdiam. Namun beberapa saat selepas itu dia tersenyum pula. Amboi, boleh tahan manja ibunya itu. Cakap jelah nak suruh teman makan sekali.

                        “Ish… abang bukan tak nak teman makan, tapi pagi ni abang betul-betul ada hal penting nak uruskan,” sampuk Tan Sri Jamaluddin. Wajahnya yang sengaja dicemikkan.

            Puan Sri Azila buat-buat tak dengar. Dia mengelip-ngelipkan mata kepada Adrian, mengharapkan jawapan postif dari anaknya itu. Maklumlah, mereka baru sahaja dapat bersatu semula. Kalau boleh setiap hari dia mahu meluangkan masa bersama Adrian dan menjadi kawan rapat kepada anaknya itu.

            Adrian menjeling sekilas jam tangannya. Jarum panjang baru beralih ke angka tiga manakala jarum pendek berada di tengah-tengah antara sembilan dan sepuluh.

            Kalau diikutkan pagi ini juga dia perlu ke pejabat, tetapi dia tidak mahu menghampakan ibunya. Sudah menjadi lumrah. Apabila usia semakin lanjut dan anak-anak sudah meningkat dewasa, ibu bapa mahukan perhatian daripada anak mereka. Ada orang tua yang suka marah-marah, ada yang suka merajuk, ada juga yang tiba-tiba menjadi manja. Tapi tujuannya sama saja; mahukan perhatian dari anak masing-masing.

            “Okeylah, ayah pergilah ofis. Biar Adrian teman ibu breakfast,” jawab Adrian.

            Dan selepas mereka berpecah, Tan Sri Jamaluddin menaiki keretanya menuju ke pejabat sementara Puan Sri Azila menaiki BMW 3 series milik Adrian pulang ke banglo.

            “Kenapa kita tak breakfast dekat kedai je, bu?”

            “Tadi sebelum keluar ibu tengok Mak Munah tengah siapkan sarapan, tapi ibu tak sempat nak jamah.”

            “Oh…” respons Adrian pendek sambil matanya tekun pada jalan raya.

            Tangannya menyumbat ear bud ke telinga dan mendail nombor telefon pejabat. Tidak lama selepas itu setiausahanya menyambut.

            “Assalamualaikum, selamat pagi. Brilliant Sdn. Bhd. Siapa disana?”

            “Waalaikumussalam. Widad, saya ni.”

            “Bos ke? Maaf, ada apa bos?”

            “Saya masuk ofis lambat sikit. Apa schedule saya pagi ni?”

            “Sebentar ya…” Widad terus mencapai buku nota yang mencatat segala aktiviti dan urusan majikannya.

            “Pagi ni bos takde tugas kat luar, tapi petang ni pukul 2.00 bos ada meeting dengan kontraktor. So semua report dan bahan untuk meeting petang ni saya dah letak atas meja bos untuk disemak,” jawab Widad lancar.

            “Okey, hari ni saya masuk lambat sikit. Kalau ada apa-apa, terus call saya.”

            “Baiklah, bos.”

            Dan talian terus diputuskan. Puan Sri Azila yang duduk dipenumpang sebelah mengerling anaknya.

            “Banyak kerja dekat pejabat?”
            “Tak, pagi ni tak ada apa-apa. Petang nanti ada meeting.”

            Puan Sri Azila hanya mengangguk dengan wajah yang ceria. Hatinya terasa berbunga-bunga bangga melihat Adrian yang sudah membesar menjadi seorang manusia yang berjaya. Dia tahu dia sememangnya patut berterima kasih kepada adik iparnya kerana telah memberi pendidikan dan ilmu agama yang cukup kepada Adrian.

            Dulu dia dan suaminya juga ingin menghantar arwah Hafiz belajar di luar negara, tetapi Hafiz berkeras ingin belajar di Universiti Malaya sahaja, dekat dengan kawan-kawannya; Amir dan Azhar. Namun semenjak kematian Hafiz, dua orang sahabat baik anaknya itu menghilang begitu sahaja.

            Entah berapa lama Puan Sri Azila mengelamun, sedar-sedar saja kereta Adrian sudah selamat tiba dihadapan perkarangan banglo putih milik Tan Sri Jamaluddin itu.

            Pada pagi itu, Adrian bersarapan bersama Puan Sri Azila dan Mak Munah. Teh tarik dengan nasi goreng sambal belacan yang disediakan oleh pembantu rumah tersebut.

            “Aik, nampak berselera je. Macam dah biasa je makan belacan. Kat overseas ada jual belacan ke?” usik Puan Sri Azila melihat anaknya menambah nasi ke dalam pinggan.

            Adrian tergelak kecil. “Dulu tu bila, bu? Dah lama sangat. Adrian pun bukannya baru pindah Malaysia. Dah dekat 8 tahun kerja kat sini. Dulu masa mula-mula maid Adrian buat sambal belacan, Adrian menambah sampai tiga pinggan!”

            Tergelak spontan Puan Sri Azila. Wajah Mak Munah bersinar ceria melihat Adrian yang menyukai masakannya.

            “Baguslah kalau Encik Adrian suka. Makanlah lagi. Kalau dah habis, Mak Munah boleh masak lagi. Nak bawa bekal ke pejabat pun boleh!” seloroh pembantu rumah itu.

            Adrian tersenyum manis dengan mulut yang laju mengunyah nasi goreng. Indahnya bila memiliki keluarga sendiri. Punya orang tua yang begitu mengasihi dirinya. Encik Jamal juga sayang padanya, cuma ayah angkatnya itu jarang menghabiskan masa bersamanya kerana waktu yang sangat terhad berikutan kesibukan tugas masing-masing.

            Selepas ini dia tidak perlulah ke rumah Daniel sekerap dulu lagi. Dia tidak perlu menumpang kasih dengan keluarga Daniel lagi.

            “Lepas ni Adrian nak tengok bilik dengan barang-barang Hafiz boleh tak?” pinta Adrian tiba-tiba membuatkan Puan Sri Azila dan Mak Munah tergamam seketika.

            “Kenapa pandang macam tu?” Adrian angkat kening melihat kedua-duanya merenungnya tanpa berkelip.

            “Adrian tak boleh tengok ke? Kalau tak boleh tak apalah…”

            “Taklah, sayang…” Puan Sri Azila melemparkan senyuman. “Bukan tak boleh tengok. Ibu terkejut aja sebab Adrian tiba-tiba bercakap tentang arwah Hafiz. Boleh, nanti lepas makan ibu bawa Adrian tengok bilik Hafiz. Ada kat tingkat atas depan sekali.”

            Adrian membalas senyuman ibunya. Nasi goreng yang terhidang cuba dihabiskan sampai licin. Dia sendiri sudah tidak sabar mahu menjelajah kamar yang pernah menjadi milik kembarnya itu. Tidak tahu kenapa hatinya tiba-tiba tergerak mahu melihat barang-barang milik Hafiz. Dia mahu mengetahui semua perkara tentang Hafiz. Bagaimana masa silamnya, apa barang-barang kesukaannya dan siapa orang-orang terdekatnya.

            Terasa seperti ada sesuatu yang hilang. Seperti ada benda yang masih tinggal dan belum diketahuinya.
*****************************

YASMIN menggigit kuku-kuku jarinya yang runcing dengan penuh gelisah. Semuanya serba tak kena. Moodnya untuk bekerja hari ini hilang sama sekali. Segala dokumen yang yang memerlukan tandatangannya juga langsung tidak dijengah.

            Bagaimana mahu bekerja kalau jelmaan wajah Adam sana-sini menghantui fikirannya. Pandang cermin nampak muka Adam, pandang komputer nampak muka Adam, berjumpa dengan staf lelaki pun dia tersilap memanggil staf dengan nama Adam!

            Perasaan resah menghuni hatinya. Tak boleh jadi… dah angau macam kurang cell body je ni!

            Yasmin termangu sendiri. 11 tahun sudah dia berpisah dengan bekas teman lelakinya itu. Sangkanya dia sudah melupakan Adam sepenuhnya. Dia sendiri sudah bercinta dan bertukar ganti teman lelaki berpuluh-puluh kali.

            Tetapi kenapa apabila takdir kini mempertemukan mereka kembali, jantungnya masih berdetak kencang seperti dulu? Kenapa panahan dan lirikan anak mata lelaki itu masih menggetarkan hatinya seperti dulu?

            Dia akui, Adam yang meninggalkannya dan dia lari membawa hati ke luar negara. Kerana cemburu buta dan mengikut darah muda yang menggelegak di usia remaja, dia telah mengupah beberapa orang lelaki untuk mengugut Nadya. Dan kerana bahana akal pendeknya itu, dia menyesalinya sehingga kini. Bukan menyesal kerana perbuatan jahatnya pada Nadya, tapi menyesal kerana perbuatan itulah Adam meninggalkannya.

            Sungguh, hatinya begitu kecewa saat mengetahui Adam kini sudah menjadi milik wanita yang dibencinya itu!

            Tekaannya dari dulu sememangnya tepat. Adam memang ada hati pada Nadya meskipun lelaki itu berkali-kali menafikannya.

            “Kau sepatutnya jadi milik aku, Adam. Aku tak faham kenapa kau memilih dia…” Yasmin mengetap gigi. Akhirnya satu keluhan tercampak dari lubuk hatinya.

            Wajah Nadya ketika mereka menuntut di Universiti Malaya dulu terbayang-bayang di ruang mata. Gadis kampung yang kesana-sini dengan berbaju kurung. Habis bergaya pun pakai blaus dengan seluar slack. Apa yang ada pada dia? Muka aja comel tapi selekeh! Tak tahu bergaya, tak tahu bersolek dan kalah pada kehidupan kota. Yasmin tidak percaya Adam terpaut hati pada gadis seperti itu.

            Tapi, nanti. Kalau Adam kahwin dengan Nadya, apa dah jadi pada Hafiz? Lingkaran tanda tanya melilit benaknya. Mereka putus cinta ke? Apa Hafiz buat sekarang, ya?

            Yasmin menyelongkar tas tangannya pula dan mengeluarkan bedak kompak. Dia menilik wajah sendiri pada refleksi cermin bulat dengan riak bangga. Wajah jelita inilah yang pernah memikat hati Adam suatu ketika dahulu. Alis matanya yang lentik, pipinya yang mulus, tubuhnya yang ramping dan tinggi lampai bak model di pentas peragaan.

            “Tapi kenapa aku masih kalah pada Nadya?” Dia menyoal diri sendiri. Bayangan wajah Nadya menjulang api kemarahannya. Tidak sabar-sabar dia mahu lihat bagaimana rupa Nadya sekarang. Selekeh macam dulu ke? Teruknya taste Adam!

          Bunyi ketukan pintu bilik dari luar menyentak lamunannya. Tidak tentu arah seketika dibuatnya. Cepat-cepat dia menyimpan semula bedak kompak ke dalam tas tangan dan mencapai fail-fail yang bertimbun lalu dibelek-belek. Buat-buat tengah sibuk.

            “Masuk.”

            Pintu dikuak perlahan. Ternganga seketika Yasmin melihat papanya yang tiba-tiba menjengah ofis pada hari ini.

            “Min busy ke?” soal Dato’ Azman seraya melangkah mendekati meja anaknya.

            “Tak adalah busy sangat. Papa kenapa tiba-tiba datang? Selalunya waktu-waktu macam ni papa busy main golf dengan Tak Sri Khalil,” ujar Yasmin dengan wajah ceria. Dia sedikit hairan melihat papanya itu berkunjung ke RED Corporations hari ini. Semenjak kematian arwah mamanya empat tahun yang lalu, papanya sudah bersara dari dunia korporat dan lebih gemar bermain golf bersama rakan-rakan.

            Dato’ Azman tertawa kecil seraya menarik kerusi dihadapan anaknya. Meskipun kini sudah melewati usia 70-an, namun lelaki itu masih tampak segak dan kuat. Maklumlah, orang kaya. Mestilah selalu mengamalkan makanan tambahan dan kerap melakukan pemeriksaan kesihatan dengan doktor peribadinya.

            “Papa saja nak jenguk Min. Dah lama tak datang sini. Bagaimana perkembangannya? Okey?”

            “Semua okey, papa. Oh ya, baru-baru ni ada sebuah company dari Jepun datang ke Malaysia. Dengar cerita tengah cari sesiapa yang berminat dengan tender projek pelantar kat sana. Min rasa macam nak rebut peluang ni,” terang Yasmin cukup teruja.

            Dato’ Azman mengangguk cuma. Dia mengakui anak perempuannya itu cukup ligat bila menyentuh bab-bab perniagaan. Kerana itu dia tidak risau menyerahkan teraju syarikat ini kepada Yasmin.

            “Apa cerita joint venture dengan HS Holdings tu?”

            “Min dah sign MOU dengan Adam. Nanti proceed dengan endorsement pulak.”

           Sekali lagi Dato’ Azman mengangguk. Dia kurang berminat untuk tahu hal projek itu kerana dia lebih tertarik dengan nama yang disebut oleh Yasmin di awal ayatnya tadi.

            Adam. Mohd Adam bin Dato’ Husin. Dia tahu Pengarah Urusan HS Holdings itu dulu merupakan teman lelaki anaknya. Dia pernah berkawan dengan Dato’ Husin ketika projek usahasama mereka semasa Adam dan Yasmin masih di bangku sekolah.

            Cuma persahabatan dia dengan Dato’ Husin terputus begitu sahaja selepas projek usahasama mereka selesai. Masing-masing tidak berusaha untuk mengekalkan hubungan persahabatan itu. Dan kebetulan pula ketika itu anak mereka baru saja berpisah. 

            “Dah lama sangat papa tak contact Dato’ Husin tu. Dia dah bersara ke? Apa khabar dia sekarang ya?” Hati Dato’ Azman baru terdetik mahu bertanya soal kawan lamanya itu.

          “Aik, papa tak tahu? Seriously? Ayah Adam dah meninggal dua tahun lepas!”

            “Astaghfirullahalazim…” Beristighfar panjang Dato’ Azman mendengar khabar tersebut.

            Dia terdiam. Ada perasaan bersalah yang berlingkar di hati. Kalau Yasmin tidak menyuarakan hasrat mahu mengadakan urusniaga dengan HS Holdings, mungkin sampai ke sudah dia tidak akan tahu kawan lamanya itu sudah kembali ke rahmatullah.

                        “Ish, papa ni. Kata kawan baik. Ke berkawan sebab bisnes aja?” sindir Yasmin.

            Dato’ Azman pura-pura ketawa dengan wajah yang sedikit merah. Betullah tu, berkawan kerana bisnes.

            “Min dengan dia contact lagi? Ke ada harapan nak berbalik semula macam dulu?”

            Warna merah sudah menyerbu ke segenap wajah jelita Yasmin mendengar usikan papanya itu. Dia menunduk dan perlahan-lahan menggeleng.

            “Dia kan dah kahwin, papa. Atau papa tak kesah kalau anak papa ni bermadu?”

            Pandangan mata Yasmin melegari wajah Dato’ Azman. Sengaja hendak menduga reaksi papanya itu. Dato’ Azman diam sahaja dengan segaris senyuman.

            “Papa gurau aja tadi. Suami kamu biarlah jadi hak milik ekslusif kamu je, Yasmin. Papa tak suka Min berkongsi kasih dengan wanita lain.”

            Terjuih bibir Yasmin. Dia sudah mengagak pasti jawapan itu yang akan keluar dari mulut Dato’ Azman. Kasih sayang dan naluri seorang ayah. Jarang ada seorang bapa dalam dunia ini yang sanggup melihat anaknya bermadu.

            Hmph, tapi aku tak nak bermadu. Aku mahu Adam menjadi hak milik aku sorang!

            Yasmin akui Adam memang kacak orangnya. Anak mat saleh celup katakan. Lelaki itu bukanlah lelaki paling kacak yang pernah ditemuinya. Namun Adam memiliki keistimewaan yang mampu memikat hati wanitanya. Jujur, dia sebal kerana terpaksa mengakui dia masih mencintai lelaki pan Asian itu sama seperti dulu.

            “Min, berangan ke?” Dato’ Azman mencuit lengan anaknya, sekaligus mematikan segala teori yang menerawang dikepala.

            Yasmin menggeleng. Matanya menjeling ke arah jam yang terpaku di dinding.

            “Dah nak tengah hari rupanya. Papa, jom kita lunch sekali. Min teringin nak makan fast food, boleh tak?” Yasmin memesongkan perbualan, enggan bercerita tentang isi hatinya. Masak nanti kalau papanya tahu dia suka suami orang.

            Dato’ Azman tidak banyak soal dan bersetuju sahaja dengan ajakan anaknya itu.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

7 comments:

ain said...

apa agaknya rancangan yasmin ek

siti nadzirah said...

manjanya adrian dgn ibu dia.ehhee.....x sbr nk tahu reaksi adrian bila tahu tntang nadya

sehijau warna daun said...

nak lagi! best3

Unknown said...

tak sabar nak tau apa terjadi seterusnya... cepat2 sambung..best...tq.

Jessica Latisya said...

best

Eddayu said...

jeng jeng jeng.. ulat beluncas dh keluar.. hati2 laaa

E-la Adiey said...

ain - jeng3 :P

siti nadzirah - tunggu ya ;D

sehijau warna daun, Miza Lan, Jessica Latisya - terima kasih manyak2.. tunggu sambungannya ya.. terima kasih skali lg ^_^

kak Eddayu - ulat ea? haha..yasmin lettew