Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Tuesday, April 28, 2015

Kau Bidadariku... 15

JARUM jam sudah pun bergerak ke angka 12.00 tengah hari. Matahari semakin menyengat kepanasan dengan sinar cahayanya yang menyilaukan. Lily sudah keluar untuk makan tengah hari di medan selera pusat membeli-belah tersebut. Nadya pula hanya duduk di butik sambil menguruskan stok-stok baju yang ditempah melalui online. Kesemuanya harus dihantar ke pejabat pos pada petang ini. Kesibukannya dengan hal-hal butik membuatkan dia tidak terasa lapar.

            Ketika dia tekun mengemaskan baju-baju yang sudah siap diletakkan didalam paket plastik Pos Laju, bunyi loceng pintu butik menendang pendengarannya. Dia bergegas keluar untuk meninjau ke ruang hadapan.

            “Maaf ya, sekarang waktu re…” Suaranya tersekat disitu tatkala melihat Puan Sri Azila tercegat di pintu masuk. Bibirnya serta-merta mengukir senyuman.

            “Assalamualaikum, Nadya. Sibuk ke?”

            Nadya menggeleng. Dia terus mendapatkan ibu angkatnya itu. Mereka berdua saling bersalaman dan berpelukan.

            “Waalaikumussalam. Tak sibuk manalah, ibu. Mari duduk.”

            Nadya mempelawa Puan Sri Azila duduk di sofa. Namun dia agak kaget tatkala melihat wajah Adrian yang berdiri tidak jauh dari situ. Lelaki yang segak memakai sut pejabat itu sekadar berdiri sambil menghulurkan senyuman.

            Nadya membalas seadanya. Sangkanya Puan Sri Azila datang bersendirian seperti selalu.

            “Ibu ajak Adrian teman ibu ke sini. Boring jugak asyik datang sorang. Lagipun apa salahnya kalau ibu nak perkenalkan Nadya dengan Adrian dengan lebih rapat, kan? Dua-dua pun anak ibu, jadi korang kenalah berkawan. Hehehe…” ujar Puan Sri Azila dengan ceria.

            Nadya tersengih sumbing. Anak matanya sempat melirik pada Adrian yang tampak bersahaja. Lelaki itu kelihatan tenang seperti selalu.

            Pada telahan Nadya, Adrian ini bukan macam arwah Hafiz. Adrian agak pendiam, tapi Hafiz pula peramah. Bila terlalu diam dan tenang, Nadya pula yang terasa kekok. Takut Adrian tidak selesa. Selalunya orang pendiam ni jarang menunjukkan perasaan sebenar.

            “Duduklah, Encik Adrian.” Nadya mempelawa sopan.

            Adrian sekadar membalas dengan anggukan. Dia mengambil tempat duduk disebelah ibunya yang kelihatan sibuk menyusun mangkuk tingkat yang dibawanya.

            “Ibu bawa apa ni?” Nadya membenamkan punggung ke sofa.

            “Makanan tengah hari dari rumah. Ada nasi, ikan goreng, sup sayur… macam-macamlah. Nasib baik Nadya ada, ingatkan dah keluar makan tadi. Ibu lambat sikit sebab jalan jam kat luar tadi,” terang Puan Sri Azila.

            “Oh, kenapa ibu tak call dulu tadi?”

            “Saja nak buat surprise kat Nadya. Hehe… sorry ibu dah lama tak datang. Ibu busy sikit. Maklumlah, baru jumpa semula dengan Adrian.”

            Nadya melontarkan tawa halusnya.

            “Tak apalah, bu. Nadya faham,” ucapnya pula sambil membantu Puan Sri Azila menyusun makanan yang dibawa ke atas meja.

            “Pinggan dengan sudu ada tak, Nadya? Ibu lupa pulak nak bawa tadi.”

            “Oh, ada kat dalam ofis. Kejap Nadya ambilkan.”

            Nadya ingin bangun namun Puan Sri Azila cepat-cepat menegah.

            “Tak apalah, Nadya susun makanan aja. Biar ibu ambilkan.”

            Puan Sri Azila segera bangun dan melangkah ke pejabat mini Nadya di bahagian belakang.

            “Biar saya tolong.”

            Nadya agak terkejut apabila Adrian mula bersuara. Lelaki itu mengambil alih tugas Puan Sri Azila menyusun makanan di atas meja. Nadya terasa canggung dan sedikit serba-salah.

            Kenapa dengan mamat ni agaknya? Kenapa jarang bercakap? Agak-agak dia okey ke datang sini? Ke datang sebab ibu ajak je? Mesti dia tak selesa sebab dia bukannya kenal aku pun, Nadya berbisik sendiri didalam hati. Peribadi Adrian yang terlalu ‘cool’ itu sedikit sebanyak merimaskannya. Nak ajak bersembang pun susah.

            “Encik Adrian okey ke datang sini? Tak sibuk dengan kerja dekat ofis?” Nadya memberanikan diri untuk memulakan arena perbualan. Sampai bila nak senyap?

            “Sekarang kan waktu lunch. Lagipun saya bos, waktu kerja tak terikat sangat,” jawab Adrian tenang.

            Nadya senyum herot. Adam pun ada syarikat sendiri, tapi mereka jarang punya waktu untuk makan tengah hari bersama. Hmm… Adrian anak yang baik. Nadya yakin Adrian ke sini hanya untuk menemani ibu kesayangannya.

            Adrian memandang wajah Nadya untuk seketika. Ini pertemuan kali keduanya dengan wanita itu. Cuma kalau dulu, dia hanya menganggap Nadya sebagai isteri kepada Adam tetapi sekarang tanggapannya sudah sedikit berbeza selepas mengetahui wanita itu juga punya kisah silam dengan kembarnya.

            Dia tidak terkejut sekiranya arwah Hafiz terpikat pada Nadya. Dia lihat Nadya bukan sahaja hampir sempurna paras rupanya, tetapi juga lemah-lembut dan pandai mengambil hati orang tua. Patutlah Puan Sri Azila pun sayang pada dia.

            Tapi Adrian yakin, kalau Puan Sri Azila bertemu dengan arwah Jessica, ibunya juga pasti akan menyukai gadis Indonesia itu. Meskipun Jessica tidaklah selembut dan sejelita Nadya, namun gadis yang berasal dari Surabaya itu punya daya tarikannya yang tersendiri. Cinta yang sudah sekian lama dipupuk buat gadis itu membuatkan dirinya tidak mampu memandang wanita lain.

            “Assalamualaikum…” Ada satu suara garau memberi salam. Dia dan Nadya menoleh hampir serentak ke muka pintu.

            “Encik Adrian?” Adam terkejut melihat Adrian berada di butik isterinya.

            Adam mengetap gigi. Hatinya diterpa rasa cemburu melihat Nadya berdua-duaan bersama lelaki itu.

            “Abang, kenapa abang tak beritahu nak datang?” Lembut suara Nadya menujah telinganya.

            Namun belumpun sempat dia menjawab, retinanya menangkap kelibat Puan Sri Azila yang baru muncul dari ruang belakang membawa beberapa biji pinggan dan sudu.

            “Eh, Adam? Larh… Nadya dah janji nak date berdua dengan Adam ke?” Puan Sri Azila terkesima seketika.

            “Tak adalah, mak cik. Saya datang tak beritahu Nadya pun. Saja nak buat surprise. Tak sangka ada tetamu hari ni!” ujar Adam cepat-cepat mengawal emosi. Dadanya sedikit lega melihat Puan Sri Azila turut berada di situ. Nasib baik dia belum bersangka bukan-bukan terhadap Nadya dan Adrian.

            “Mak cik pun tak bagitahu Nadya nak datang. Mak cik selalu datang sini naik teksi, malas nak drive sendiri. So hari ni Adrian temankan mak cik, dia yang jadi driver mak cik hari ni.” Puan Sri Azila berseloroh.

            Adam tersenyum sahaja, namun riak wajah Nadya jelas serba-salah melihat suaminya juga membawa bungkusan makanan. Biasanya Adam keluar makan tengah hari bersama Yusof atau Azriel. Tak sangka pula Adam ingin membuat kejutan untuknya hari ini.

            “Kalau macam tu kita semua makan sekali jelah.” Adrian yang diam sahaja sedari tadi mengusulkan gagasan, membuatkan masing-masing yang sempat terkaku beberapa ketika kembali ke dunia nyata.

            “Saya ada beli makanan dari Marrybrown. Rezeki untuk semua oranglah hari ni. Nasib baik saya ada beli lebih,” ujar Adam tersenyum ikhlas. Mungkin bukan rezekinya untuk berdua-duaan bersama isteri tersayang tengah hari ini. Tak apalah, mungkin ini peluangnya untuk berkenalan lebih dekat dengan Adrian.

            Sementara Puan Sri Azila dan Adrian membantu menghidangkan makanan yang dibawa oleh Adam, Adam pula berlalu ke belakang sebentar untuk mengambil pinggan lebih. Nadya cepat-cepat mengekori suaminya.

            “Abang.”
            “Yes, angel?”
            “Abang marah Nadya ke?”
            Adam mengangkat sebelah keningnya.
            “Kenapa tanya macam tu?”

            “Yalah, takut abang tak suka ibu dengan Adrian ada kat sini. Kenapa abang tak beritahu abang nak datang? Abang cakap ada urusan dengan Yasmin, kan? Dah settle ke semua?”

            “Dah settle dah. Abang okey jelah. Apa salahnya diorang datang? Lagipun Nadya bukan berdua-duaan dengan Adrian, kan?” tutur Adam dengan senyuman yang terhias di bibir.

            Nadya terdiam. Adam mengusap-usap pipi isterinya.

            “Dahlah, kita cakap kat rumah nanti. Jom keluar, kita makan dengan diorang.”

            Nadya mengangguk perlahan. Dan pada hari itu, mereka berempat menikmati makanan tengah hari bersama di butik tersebut. Mulut Puan Sri Azila tidak habis-habis berceloteh. Masing-masing hanya menadah telinga. Nadya cukup senang melihat ibu angkatnya itu kini sudah kembali ceria. Terima kasih kepada Adrian yang sudah memberi sinar hidup baru kepada kedua orang tua kandungnya.

            “Encik Adrian, sikit je makan. Diet ke?” Adam menegur. Adrian orang pertama yang menghabiskan nasi didalam pinggannya.

            “Saya memang makan banyak ni je,” beritahu Adrian jujur.

            Adam tertawa halus lalu menghulurkan ais-krim jeli didalam satu beg plastik Marrybrown yang belum dibuka.

            “Makanlah ni, pencuci mulut.”

            “Err… thanks.” Adrian menyambut sahaja tanpa banyak tanya. Orang memberi, kita merasa. Orang berbudi, kita berbahasa. Rezeki depan mata, takkan nak tolak. Hehe…

            “Sayang, meh makan ais-krim sundae dengan abang.” Adam mengambil satu lagi beg plastik dan mengeluarkan pencuci mulutnya pula.

            Adrian melirik. Sambil membuka bekas plastik ais-krim jeli, dia memerhati sahaja tingkah pasangan suami isteri itu. Adam menyuapkan ais-krim ke mulut Nadya dan mengesat sisa makanan yang terlekat di tepi bibir isterinya dengan jari.

            Sweet, getus Adrian tersenyum dalam hati. Melihat Adam dan Nadya, dia teringatkan Daniel dan Cinta. Bertahun-tahun sudah mendirikan rumah tangga, tetapi romantis seperti pasangan bercinta.

            Adrian tahu, cinta yang halal itu memang indah, lebih-lebih lagi apabila kita hidup bersama orang yang kita cintai. Bohong kalau dia sedikitpun tidak terasa cemburu mahupun kesunyian tanpa teman hidup, tetapi hatinya sudah dibiasakan dengan semua ini.

            “Hish, korang ni buat ibu jealouslah. Tiba-tiba ibu rasa rindu kat ayah!” sakat Puan Sri Azila melihat kemesraan Adam dan Nadya.

            Wajah Nadya berona kemerahan. Adam tergelak besar. Adrian pula seperti biasa, sekadar memalitkan senyuman.

            “Mak cik trylah call pak cik kat ofis tu. Mana tahu pak cik pun tengah rindu kat mak cik sekarang,” seloroh Adam pula.

            “Tak ada maknanya, Adam. Entah-entah nanti dia cakap mak cik buang tebiat!” Puan Sri Azila ketawa.

            Adam turut tertawa. Dia menjeling sekilas pada Adrian yang diam membisu sahaja. Lelaki itu kalau tidak diajak bercakap, memang suaranya tidak akan keluar.

            “Hah, Encik Adrian nanti masuk ofis balik pukul berapa? Waktu lunch dah nak habis ni.” Adam buat-buat bertanya sambil melihat jam pada pergelangan tangannya.

            “Itukan company saya, jadi tak payah patuh sangat tentang jadual. Lagipun schedule saya tak padat hari ni,” terang Adrian lurus. Wajahnya serius seperti sedang memberitahu sesuatu yang sangat penting.

            Tersengih-sengih Adam mendengarnya. Hmm… aku bercakap dalam nada bergurau, cara kau jawab macam aku tanya masalah negara. Kau ni tak ada sense of humor langsung ke apa? desis Adam sendiri.

            “Haih, ibu ni nak tegur pun serba-salah. Tapi ibu rasa ibu nak cakap jugaklah,” sampuk Puan Sri Azila. Pinggan nasinya yang sudah kosong itu diletakkan di atas meja.

            “Ibu anggap Adrian, Nadya dan Adam semua macam anak-anak ibu. Ibu tak berapa sukalah dengar korang berencik-encik, berpuan-puan ni. Formal sangat. Panggil nama je tak boleh ke?”

          Mata Adrian berkalih ke arah pasangan suami isteri yang tersengih sumbing itu.

            “Bukannya apa, bu. Kami kan belum kenal rapat. Nadya dengan Adam pun baru lagi jumpa dengan Encik Adrian…” Nadya menjelaskan, namun Puan Sri Azila cepat-cepat memintas.

            “Habis tu kalau berencik-encik ni akan jadi rapat ke? Kata panggilan tu akan jadi tembok pemisah antara korang. Panggil nama je cukup!” ujar wanita itu lembut namun tegas.

            Nadya serba-salah. Dilihatnya Adrian biasa-biasa sahaja, tidak menunjukkan respons pada permintaan Puan Sri Azila.

            Adam sudah angkat kening. Dia suruh Adrian rapat dengan bini aku ke? Motif?

            “Adrian dengan Adam pun sama. Tak payah encik-encik, berbulu telinga mendengarnya.”

            Adam tersenyum simpul. Kepalanya perlahan-lahan dianggukkan.

            “Boleh ke, Encik Adrian?” Adam bertanya kepada Adrian meminta kepastian.

            “Ish, tak nak dengar encik-encik lagi!” tekan Puan Sri Azila mengerutkan kening, sengaja menggunakan kaedah ini agar hubungan mereka lebih rapat. Nadya dan Adam juga anak-anaknya, jadi automatik Adam dan Nadya adalah adik-beradik angkat Adrian.

            Adam ketawa seraya angkat tangan tanda menyerah.

            “Boleh, tak ada masalah,” sahut Adrian dengan senyuman yang terhias ditepi bibir. Seperti biasa, dia memang tidak akan membantah kata-kata ibunya.

            Namun lain pula halnya dengan Adam. Pada zahirnya dia tersenyum, namun dalam hati punya sedikit rasa tidak puas hati dengan permintaan Puan Sri Azila tadi.

            Puan Sri Azila mahu dia berkawan dengan Adrian, dia tiada masalah. Malah inilah yang dinanti-nantinya; berkawan dengan orang yang berwajah persis Hafiz. Sekurang-kurangnya terubat sedikit rasa rindu yang sudah sekian lama bergelut di kolam hati terhadap sahabat lamanya itu.

            Tapi… Adrian dengan Nadya? Tidak. Tidak mungkin dia akan membenarkan. Melihat Adrian dan Nadya duduk berdua tadi pun hatinya sudah dibelit rasa cemburu, inikan pula jika dia melihat isterinya berkawan dengan lelaki itu.

            Adrian itu wajahnya sangat mirip dengan Hafiz dan dia takut seandainya kemiripan itu membuatkan Nadya kembali mengimbau nostalgia lama dan jatuh hati dalam diam terhadap Adrian. Dia benar-benar takut jika perkara itu menjadi realiti!
*************************

NADYA meraup wajah selesai berwirid untuk beberapa ketika usai menunaikan solat Isyak. Selepas menanggalkan kain telekung dan menyangkutnya dengan cermat pada tempat penyidai, dia melangkah keluar ke ruang tamu.

            “Abang.” Nadya menegur Adam yang dilihatnya tekun dengan kertas kerja. Suaminya itu sudah solat diawal waktu tadi.

            “Banyak kerja? Nak Nadya buatkan air?”

            Adam melemparkan senyuman manis sambil menepuk-nepuk tempat duduk disebelahnya.

            “Tak perlulah. Mari duduk sini, teman abang buat kerja.”

            Nadya menurut. Dia terus melabuhkan punggung disebelah suaminya. Dilihatnya kertas kerja dan fail yang menimbun di atas meja.

            “Kalau Nadya bosan ke, bukalah TV,” ujar Adam lagi dengan mata yang masih melekat pada kertas dan laptop.

            “Tak apalah, menganggu konsentrasi abang pulak nanti.”

            “Ish, mana ada. Abang tak kesahlah. Sebelum ni Nadya buka TV pun mana ada abang marah.”

            Adam terus mengambil alat kawalan jauh dan menekan punat ON. Terpampang drama Melayu bersiri lakonan Rafi Mohd Thaqif.

            “Wah, ni drama apa ni? Tak pernah tahu pun!” Nadya mengelip-ngelipkan mata melihat rakan lama yang sedang beraksi di layar televisyen itu.

            Adam menjeling. “Nadya suka Rafi lagi ke?”

            “Mana adalah. Nadya terkejut je sebab dah lama tak tengok drama dia. Tiba-tiba malam ni muncul pulak,” jelas Nadya jujur.

            Dia akui, memang lama dahulu dia mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon dan penyanyi terkenal tanah air itu. Tapi itu cerita lama. Kini selepas dia berbahagia dengan Adam, Rafi juga sudah tidak muncul lagi dalam kehidupan mereka.

            Dan selepas bercerai dengan Hani, Rafi hidup membujang selama 2 tahun. Selepas itu dia berkenalan dan berkahwin dengan seorang pelakon wanita dan bahagia sehingga ke hari ini bersama seorang cahaya mata.

            “Abang gurau jelah. Abang tahu Nadya dengan Rafi pun dah tak contact sekarang, kan? Cuma itulah… hilang seorang pesaing, muncul pesaing baru pulak.”

            Nadya mengangkat sebelah kening seperti dapat menghidu sindiran dalam kata-kata suaminya.

            “Abang maksudkan Adrian, betul tak?”

            “Eh, abang tak sebut nama dia pun. Ke Nadya yang terfikir pasal dia?” Adam sengaja menjolok.

            Nadya tarik muka. Adam seperti sengaja hendak mengenakannya. Melihat wajah Nadya yang cemberut, Adam ketawa. Tangannya terus mendarat diatas tangan isterinya.

            “Gurau jelah, sejak bila isteri abang sensitif bebenor ni?”

            Nadya merengus kecil. Mana tidaknya, sejak Adrian muncul, setiap kali itu Adam akan cemburu atau menyindirnya. Dia tak suka. Agaknya lepas ni dia perlu tampal kertas di dahi bertulis ‘Nadya tak suka Adrian!’.

            “Abang gurau je, sayang. Abang tahu Nadya tak simpan apa-apa perasaan pada Adrian, tapi abang nak cakap sesuatu. Tentang tengah hari tadi.”

            Nada suara Adam bertukar sedikit serius. Dia meninggalkan kerjanya seketika dan memusingkan badan betul-betul menghadap isterinya.

            “Ingat tak apa Mak cik Azila cakap?”
            “Banyak yang dia cakap. Mana satu?”
            “Tentang Adrian. Mak cik suruh kita berkawan dengan Adrian.”
            “Kenapa? Abang tak nak ke?”

            Adam tersenyum. “Abang tak kesah, sayang. Lagipun, abang dah lama rindu nak tengok balik wajah seseorang yang mirip dengan arwah Hafiz. Bila tengok Adrian, abang rasa seolah-olah Hafiz ada dekat dengan abang…”

            Nadya diam, menunggu kata-kata Adam yang seterusnya. Adam menghela nafas perlahan sebelum menyambung kembali.

            “Tapi abang keberatan untuk benarkan Nadya berkawan dengan dia. Lelaki dan perempuan berkawan boleh timbul fitnah, tahu kan? Abang tahu abang tak alim, tapi sebagai seorang suami, dah memang tanggungjawab abang untuk melindungi Nadya, betul tak?”

           Nadya memandang Adam tanpa berkelip sambil otak cuba mencerna luahan suaminya sebentar tadi. Sebaris senyuman tercalit di bibir mungilnya.

            “Nadya faham. Kalau abang tak suka, Nadya tak kawan dengan Adrian. Janji!”

            “Thank you. Sayang isteri abang ni.”

            Dada Adam terasa sedikit lapang mendengar jaminan dari isterinya. Tubuhnya kembali dihalakan ke meja menghadap laptop untuk meneruskan kerja yang tergendala tadi.

            “Ni semua kerja-kerja dekat Wisma Putra dengan Yasmin pagi tadi ke?”

            Adam terkedu. Soalan spontan dari Nadya membuatkan dirinya teringat kembali apa yang berlaku sebelum waktu makan tengah hari siang tadi. Hati dan fikiran yang mulai sejuk kembali menggelegak saat terimbau kata-kata celupar Yasmin.

            “Hmm… untunglah Nadya tu, ya. Dia tak pernah lahirkan zuriat untuk you pun, tapi you sayang dan manjakan dia sepenuh hati.”

            Berdesing telinga dia mendengarnya. Siapa yang sanggup bersabar andai orang luar yang tiada kena-mengena berbicara seperti itu tentang isteri sendiri?

            Adakah dia patut membatalkan sahaja urus niaga ini? Tapi mana mungkin. Jika dia melakukannya, pasti dia terpaksa menjawab pelbagai persoalan dari ahli lembaga pengarah pula. Membatalkan sesuatu urusan bisnes kerana masalah peribadi adalah sesuatu yang tidak professional. Tetapi apa yang Yasmin katakan tentang dia dan isterinya juga adalah tidak professional.

            “Abang, dengar tak Nadya tanya tadi?” Suara Nadya membantutkan sel-sel otaknya yang sedang berhubung dikala itu.

            “Abang dengar.” Adam kembali mengawal emosi. “Sayang, boleh tolong buatkan abang hot chocolate? Tiba-tiba rasa dahaga pulak.” Tanpa menjawab soalan isterinya, dia melencong ke topik lain.

            “Boleh, tunggu kejap.” Nadya terus bangkit dari sofa.

            Adam mengeluh. Hanya anak matanya yang menuruti derap langkah Nadya yang sudah menghilang menuju ke dapur.

            Hilang fikiran tentang Adrian, timbul pula ingatan terhadap Yasmin. Sangkanya selepas bertahun-tahun tidak bertemu, wanita itu sudah berubah. Dan kerana itu dia berani mengambil risiko ini; mengadakan kerjasama dengan syarikat bekas teman wanitanya itu.

            Rupa-rupanya kali ini dia benar-benar sudah tersalah langkah!

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

4 comments:

hannah said...

best3

Unknown said...

Adrian x mcm dlm ZC.mesti jd camtu sbb jessica

Eddayu said...

Adam dgn kuat cemburunye..
Adrian dgn xda perasaannye..
Nadya juga yg tersepit..
knp la beku sgt jiwa Adrian nie?? dh serupa patung cendana je gayanya..

E-la Adiey said...

kak Eddayu - patung cendana? huahahuahahahahahaha!!!!!!!tergelak2 sy baca komen akak