BANGLO tiga tingkat itu sudah penuh dengan rakan-rakan bisnes dan
staf Kiara Holdings. Tan Sri Jamaluddin dan Adam berdiri di luar menanti
kedatangan orang-orang masjid yang telah dijemput untuk majlis tahlil dan doa
selamat itu. Nadya pula sibuk membantu Puan Sri Azila didapur menyiapkan
makanan yang disediakan untuk dijamu pada para tetamu.
Selepas waktu
Isyak, Adrian hadir bersama Encik Jamal. Daniel yang mendukung Dania sambil
tangannya menggenggam jari-jemari Cinta menurut dari belakang. Masing-masing
kelihatan kemas dan segak memakai baju Melayu dan baju kurung.
Encik Jamal
kelihatan serba-salah sebaik melihat wajah abangnya. Dimana harus disorokkan
muka setelah dia tanpa rasa berdosa telah memisahkan Adrian dengan Tan Sri
Jamaluddin dan Puan Sri Azila tiga puluh tahun yang lalu?
Tempoh hari ketika
Adrian menghubunginya dan mengatakan dia telah menemui ibu bapa kandungnya,
Encik Jamal cukup gembira. Akhirnya beban rasa bersalah yang dipikulnya selama
ini bagaikan terhempas begitu sahaja. Namun sebaik Adrian menyatakan mahu dia
pulang ke Malaysia kerana majlis kenduri doa selamat yang diadakan sempena
meraikan kepulangannya, Encik Jamal jadi serba tak kena.
Lama dia duduk
termenung dan berfikir. Adakah dia perlu pulang ke Malaysia? Beranikah dia
untuk berhadapan dengan abang dan kakak iparnya? Bagaimana kalau mereka berdua
tidak dapat menerima kehadirannya dan dia dihalau seperti kucing kurap?
Tapi kata orang,
berani buat berani tanggung. Dia sepatutnya sudah bersedia dengan sebarang
risiko yang bakal diterima akibat perbuatannya. Akhirnya Encik Jamal memutuskan
untuk menangguh segala urusan bisnes dan mengambil tiket penerbangan pulang ke
Malaysia. Dan sepanjang dalam penerbangan itu dia hanya berdoa, berdoa dan
berdoa agar abang serta kakak iparnya mampu memaafkan dirinya.
“Assalamualaikum,
ayah. Maaf kami lambat sikit. Jalan jam dekat depan sana.” Suara Adrian
menyedarkan Encik Jamal daripada lamunannya.
Adrian tersenyum
lalu mencium hormat tangan Tan Sri Jamaluddin. Kemudian dia berjabat tangan
dengan Adam yang mesra menyambut kedatangannya.
Encik Jamal yang
sedari tadi berdiri dibelakang Adrian sedaya-upaya untuk mengawal riak
wajahnya. Dia perasan air muka Tan Sri Jamaluddin yang sedikit berubah sebaik
melihat dirinya, namun abangnya itu tetap menghulurkan tangan dan memaniskan
muka.
“Sihat, Jamal? Lama
tak jumpa,” sapa Tan Sri Jamaluddin sebaik Encik Jamal menyambut tangannya.
Mereka bersalam seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku.
Encik Jamal
mengangguk lambat-lambat dengan rasa kekok.
“Alhamdulillah,
saya sihat. Abang long dengan kak long sihat?”
“Sihat alhamdulillah,
jemput masuk. Dah ramai orang kat dalam.” Tan Sri Jamaluddin mempelawa dengan mesra
meskipun rasa marahnya masih berbekas. Dia seboleh-bolehnya enggan menunjukkan
emosi dihadapan para hadirin. Tidak kira siapa pun, tetamu memang wajib diraikan.
Adam mengiringi mereka
semua masuk. Daniel dan Cinta yang berada dibelakang sekali hanya mampu saling
berbalas pandangan sambil tersenyum. Mereka tahu ini satu pertemuan yang sukar
untuk Encik Jamal dan Tan Sri Jamaluddin. Yalah, bagaimana harus mereka
bersemuka setelah berpisah selama berpuluh-puluh tahun dek kerana khilaf masa
lalu?
Sememangnya Daniel
dan Cinta tahu apa sebenarnya yang telah terjadi kerana hanya mereka berdua
sahabat baik Adrian. Tempat Adrian mengadu nasib dan meluahkan perasaan. Syukurlah, Adrian menerima
dan menyayangi ibu bapa kandungnya dengan hati yang terbuka meskipun saling
tidak mengenali selama ini.
Dan seperti yang
dijangka, kemunculan kali pertama Adrian bersama Encik Jamal membuatkan staf-staf
lama Kiara Holdings tergamam dan terkejut. Meskipun mereka sudah dimaklumkan
tentang Adrian, namun apabila dapat melihat dengan mata sendiri, ada diantara
mereka yang tidak mampu meluahkan rasa kerana raut wajah Adrian mengingatkan
mereka kepada arwah Hafiz yang pernah menerajui syarikat sebelum ini.
Namun Adrian
seperti biasa, dia tetap tenang melayan pertanyaan setiap rakan bisnes Tan Sri
Jamaluddin yang tidak dikenalinya itu. Ada diantara mereka yang mampu melayan
baik kedatangan Encik Jamal meskipun tahu konflik yang pernah terjadi dan
ada juga yang terang-terangan mempamerkan riak sinis. Mereka beranggapan Encik
Jamal seperti tidak tahu malu kerana masih berani muncul setelah apa yang
dilakukannya.
Selepas selesai
majlis tahlil dan doa selamat, tetamu yang hadir dijamu dengan juadah yang
disediakan. Dimasak sendiri oleh Puan Sri Azila, Nadya dan Mak Munah. Puan Sri
Azila menolak cadangan Tan Sri Jamaluddin yang ingin mengambil perkhidmatan
katering pada mulanya. Katanya, dia mahu menjamu para tetamu dan anaknya dengan
air tangannya sendiri.
Sambil menikmati
juadah, Adam memperkenalkan Adrian kepada rakan-rakannya pula. Yusof, Azriel,
Suraya, Zulaikha dan Maya. Mereka semua adalah rakan-rakan sekampus, belajar di
tahun dan semester yang sama dengan arwah Hafiz.
“Pengalaman mencari
selama 7 tahun sangat mencabar, Encik Adrian. Bukan setakat dalam KL, satu
Malaysia kitorang dah pusing semata-mata untuk misi tu. Tapi tak sangka, ada
kat Shah Alam je rupanya! Hairan macam mana tak pernah terserempak pun sebelum
ni,” ujar Yusof cuba menghidupkan suasana ceria.
Dia begitu gembira
kerana akhirnya dapat bertemu dengan lelaki bernama Muhammad Hafiz Adrian itu.
Kadang-kala terasa sedikit canggung untuk memanggil seseorang yang berwajah
seperti Hafiz dengan nama lain, namun semua itu harus dibiasakan mulai
sekarang. Kata Adam, Adrian yang tidak mahu dipanggil dengan nama Hafiz.
“Takdir, Encik
Yusof. Segala yang terjadi adalah aturan dari-Nya. Belum jumpa sebelum ni
mungkin kerana Allah belum mengizinkannya. Kadang-kadang, ada perkara yang kita
tak perlu faham, tapi kita perlu redha menerimanya,” ungkap Adrian tenang.
Yusof mengangguk
sahaja. Sedikit tersipu dengan jawapan Adrian. Tutur katanya penuh kematangan
sehingga Yusof tidak mampu menambah ataupun mengulas.
“Kawan-kawan Encik
Adrian, right? Study sekali masa dekat Australia?” soal Azriel pula. Dia sudah
berkenalan dengan Daniel dan Cinta.
“Aah, diorang
dikira kawan rapatlah. Kawan-kawan lain dah takde, semua dah balik negara
masing-masing,” jawab Adrian ringkas.
Daniel dan Cinta
hanya menguntumkan senyuman. Dania yang lincah dan peramah sudah dibiarkan
bermain dengan anak-anak Suraya, Maya serta Zulaikha. Mereka kelihatan seronok
bermain bersama biarpun baru sahaja bertemu.
Kanak-kanak. Mereka
lurus dan tidak memilih siapa kawan mereka. Yang penting boleh bergelak ketawa.
“Oh ya, lupa pulak.
Nadya belum berkenalan dengan Encik Adrian, kan? Mana dia pergi?” sampuk Maya
pula.
Mereka terjengah-jengah,
baru menyedari Nadya tidak turut serta dalam kumpulan mereka. Mungkin masih
sibuk didapur.
“Kejap aku
panggilkan. Haish, isteri aku tu kalau dah buat kerja susah nak berhenti. Sibuk
mengalahkan tuan rumah.” Adam sempat berceloteh sebelum melangkah ke dapur
mencari isterinya.
“Siapa Nadya? Kawan
Hafiz jugak ke?” Soalan yang terpacul tiba-tiba dari bibir Adrian itu
membuatkan masing-masing terkedu untuk seketika.
Hmm… nak jawab apa,
ek? Bekas tunang a.k.a bakal isteri tak jadi arwah Hafiz. Boleh ke jawab macam
tu?
“Isteri Adam, dia
pun study sekali dengan Hafiz masa dekat UM,” jawab Suraya menyelamatkan
keadaan. Yang lain-lainnya buat muka blur.
Adrian mengangguk
sahaja. Dan tidak lama selepas itu Adam kembali semula bersama Nadya yang baru
menurunkan lengan baju kurungnya yang disisingkan kerana membasuh pinggan mangkuk
tadi.
“Sorry, busy sangat
kat dapur tadi,” ujar Nadya sambil membetul-betulkan tudung.
“Ish, dia ni.
Dahlah jarang boleh berkumpul macam ni, sibuk nak basuh pinggan
mangkuk. Lesing dengan lutut kang baru tahu,” omel Zulaikha dengan nada bergurau.
Masing-masing
spontan ketawa. Isteri Yusof itu memang agak brutal dan tidak berlapik cara
percakapannya. Meskipun sudah bergelar isteri dan ibu, namun sifat tomboynya
dari zaman remaja sukar dikikis sehingga kini.
“Hehe… janganlah
marah, tak jelitalah macam ni,” usik Nadya tersengih seraya menyinggung bahu
Zulaikha.
“Eh, aku tak
jelita, aku cute. Semua orang tahu aku paling cute, kan? Kan? Kan?,” sela
Zulaikha seraya mengibar-ngibarkan selendang yang dipakainya.
Yusof tersenyum
sumbing. Dia pula yang naik segan melihat telatah isterinya. Terlalu selamba
walaupun dihadapan Adrian, Daniel dan Cinta yang tidak dikenalinya.
“Oh ya, kenalkan
ini isteri saya, Nadya. Nadya, ni Adrian. Nadya dulu kawan Hafiz,” ujar
Adam sambil menekankan perkataan ‘kawan’. Meskipun dia cemburu, namun
fikirannya masih rasional. Dan entah kenapa dia cemburu, dia sendiri tidak tahu
sebenarnya. Mungkin hanya paranoid kerana wajah lelaki itu mirip Hafiz.
Adrian hanya
mengangguk sopan sebaik diperkenalkan kepada Nadya. Sememangnya dia sendiri
tidak dibiasakan berjabat tangan dan menyentuh yang bukan mahramnya sejak
dahulu lagi.
Ketika zaman sekolah,
dia juga agak bebas dalam pergaulan. Namun dia sedikit demi sedikit berubah
sejak berkawan dengan Daniel di Australia. Sahabat baiknya itu suka memberi
nasihat tentang agama dan mengingatkan dirinya tentang solat. Dan kini sifat
Daniel itu sedikit-sebanyak mempengaruhi bicara dan perilakunya.
Nadya membalas
senyuman Adrian seadanya. Dia sudah melihat Adrian dari jauh semasa majlis
tahlil yang dijalankan sebentar tadi namun tidak berminat untuk mendekati
lelaki itu kerana sibuk menghidangkan lauk-pauk dan membereskan dapur.
Dan tambahan pula,
dia isteri orang. Hati suaminya perlu dijaga kerana dia sendiri sedia maklum
Adam mencemburui Adrian tanpa sebab-musabab yang munasabah. Kalau
hanya sebab wajah Adrian, rasanya itu alasan yang agak kurang
relevan bagi Nadya.
Benar, memang wajah
Adrian membuatkan Nadya terkenang kepada masa lalunya. Namun semua itu tidak lagi menjentik tangkai hatinya. Yang
lepas tu lepaslah. Sekarang dia sudah sah menjadi milik Adam dan dia ikhlas
mencintai suaminya.
“Saya rasa macam
pernah jumpa Puan Nadya sebelum ni…” Adrian mengecilkan matanya seperti sedang
cuba mengingati sesuatu.
“Aah, haritu kita
pernah jumpa. Dekat supermarket.” Laju Nadya menjawab.
Adrian termangu
seketika. Otaknya ligat memutarkan kembali peristiwa beberapa minggu sebelum
ini. Seingatnya dia ada menolong seorang wanita yang tidak berjaya
mencapai barang yang lebih tinggi ketika mengikut Daniel berbelanja di pasar
raya.
“Oh, saya ingat.
Puan Nadya yang dekat supermarket tu, kan?”
Nadya mengangguk dengan
senyuman yang luas.
Adrian pula sudah
tertawa halus. Bila teringat semula kejadian itu, rasa kelakar pun ada. Patutlah
ketika itu Nadya merenungnya macam tak pernah nampak orang. Meskipun hanya
memandang wajah wanita itu sekilas, namun dia mampu mengecamnya sehingga ke
saat ini. Hmm… dunia ini sungguh kecil rupanya.
“Encik Daniel,
boleh ceritakan Encik Adrian ni macam mana orangnya? Dulu masa study dekat
Canberra berapa orang awek dia?” soal Adam sengaja mahu mencelah. Dia tidak
suka kemesraan yang begitu cepat terjalin antara isterinya dengan Adrian.
Tadi sebelum Nadya
datang, Adrian bersembang langsung tak ketawa. Mukanya serius dan hanya
tersenyum sekali-sekala. Tapi baru bercakap beberapa patah perkataan dengan
Nadya, Adrian sudah mula melontarkan tawa halusnya. Adam cemburu dan tidak suka!
“Adrian ni banyak
awek masa di Canberra. Hot stuff katakan, awek bersusun!” ujar Daniel sengaja
hendak mengenakan Adrian.
Adrian menjegilkan
biji mata. Bahu Daniel ditumbuknya perlahan. Cis, awek bersusun konon. Padahal dari dulu dia
mana pernah bercinta. Bertahun-tahun menunggu arwah Jessica yang tidak pernah
sedar tentang perasaannya.
Ketika Daniel asyik
menceritakan Adrian begitu dan begini suatu ketika dahulu, Adrian terpandang ke
arah Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila yang duduk di sofa ruang tamu
bersama Encik Jamal. Kelihatannya seperti ada benda serius yang sedang dibincangkan.
Ketika itu orang-orang masjid dan para tetamu yang hadir sudah beransur pulang.
“Saya minta diri
kejap, boleh? Saya nak jumpa ibu dengan ayah saya.”
Adrian pamit lalu
mengatur langkah menghampiri kedua ibu bapanya sementara Daniel kembali
menyambung cerita tentang Adrian yang tergendala sebentar tadi.
“Ibu, ayah, bincang
apa ni?”
“Eh, Adrian tak
bersembang dengan diorang?” Puan Sri Azila mengembalikan pertanyaan sambil
melirik ke arah Adam, Nadya dan kawan-kawannya yang rancak berborak.
Adrian mengukir
secalit senyuman seraya melabuhkan punggung ke sofa bersebelahan ibunya.
“Dah borak kejap
tadi. Ibu dengan ayah bincang apa dengan daddy?”
Encik Jamal diam
sahaja dengan wajah yang tenang. Beberapa saat menunggu tanpa jawapan, Adrian
bersuara lagi.
“Ada apa-apa yang
tak kena ke?”
Tan Sri Jamaluddin
berjeda beberapa ketika. Dia dan isterinya sudah duduk berbincang dari hati ke
hati dengan Encik Jamal. Kalau tidak mengenangkan Jamal adiknya, ingin sahaja
dia membawa kes ini ke muka pengadilan atas tuduhan menculik dan memisahkan seorang
anak dari ibu bapa kandungnya.
Tetapi selepas
mengetahui sebab mengapa Encik Jamal membawa lari Adrian ke luar negara 30
tahun yang lalu, perasaan marahnya sudah beransur hilang. Masa memang tidak
boleh diputarkan semula. Apa yang sudah terjadi, biarlah ianya berlalu. Yang
penting, Encik Jamal berani tampil mengakui kesalahannya dan memohon maaf.
“Ibu dan ayah dah
bincang dengan daddy Adrian. Kami dah maafkan dia. Tak guna nak berdendam atau
marah lama-lama. Apapun, kita semua tetap satu keluarga.”
Tersenyum Adrian
mendengar kata-kata ayahnya. Alhamdulillah, syukur ibu dan ayahnya itu lembut
hati orangnya. Kini dia mengerti kenapa setiap kali dia bertanyakan kepada
sesiapa tentang arwah Hafiz, jawapan mereka selalunya, “Hafiz pemaaf dan mudah
mengalah,” atau “Kemarahan Hafiz selalunya kena pada tempatnya. Dia takkan
marah kecuali kesabaran dia benar-benar teruji.” Rupa-rupanya sifat kembarnya
itu adalah kerana diwarisi oleh Tan Sri Jamaluddin serta Puan Sri Azila.
“Cuma satu ayah nak
tanya, Adrian berminat tak nak kerja dekat Kiara Holdings? Company tu sekarang
ayah yang uruskan, tapi yelah… ayah pun dah tua. Lambat-laun, ayah perlu
serahkan company tu pada anak ayah.”
Kali ini Adrian
terdiam. Bekerja di Kiara Holdings? Kalau begitu, siapa yang akan menguruskan
Brilliant Sdn. Bhd.? Dia serba-salah melihat air muka Encik Jamal yang sedikit
berubah mendengar pertanyaan tersebut. Mungkin tidak menyangka Tan Sri
Jamaluddin akan mengajukan soalan sebegitu.
“Adrian selesa bekerja
dekat Brilliant sekarang. Adrian minta maaf. Adrian tak boleh, ayah…” ujarnya
menolak dengan nada selembut yang mungkin agar tidak menyinggung perasaan orang
tuanya.
“Tapi ayah perlukan
pewaris, Adrian. Ayah dah tak ada anak lain. Kalau Hafiz masih hidup, tentu
ayah tak kesah kalau Adrian tak nak ambil alih,” pujuk Tan Sri Jamaluddin.
Encik Jamal yang
mendengarnya mengeluh dalam diam. Bibir bawahnya digigit perlahan. Kenapa abang
longnya boleh bertanya soalan itu dihadapannya? Memang Adrian bukan anak
kandungnya, tapi Adrian sudah lama menguruskan anak syarikatnya itu. Sekarang baru
jumpa, tiba-tiba mahu Adrian bekerja di Kiara Holdings pula. Habis siapa yang
mahu menguruskan syarikatnya? Dia juga tiada anak lain selain Adrian.
“Ayah, ibu, Adrian
dah cukup lama uruskan Brilliant dan Adrian serasi dengan tempat kerja tu.
Insya-Allah kalau hati Adrian terbuka suatu hari nanti, Adrian akan
pertimbangkan semula. Tapi buat masa sekarang, Adrian nak kekal dalam Brilliant.”
Jawapan Adrian
membuatkan Encik Jamal tersenyum lega dalam hati. Namun tidak bagi Tan Sri
Jamaluddin dan Puan Sri Azila. Kedua-duanya jelas kelihatan kecewa dengan
pendirian anak mereka. Tapi apa boleh buat? Tidak
mungkin mereka akan mendesak kerana mereka baru sahaja ingin merapatkan
hubungan dengan Adrian.
Puan Sri Azila
memalitkan senyuman di wajah. Rambut Adrian diusapnya penuh kasih.
“Tak apalah kalau
macam tu. Ibu takkan paksa. Kalau Adrian nak kerja di Brilliant, kerjalah. Tapi
ibu ada satu permintaan…”
Masing-masing
menanti kata-kata Puan Sri Azila dengan wajah yang sedikit gelisah.
“Ibu nak Adrian
pindah rumah. Adrian tak payahlah tinggal sorang-sorang dekat apartment tu
lagi. Adrian tinggal dengan ibu dan ayah kat sini ya?”
Terpana seketika
Adrian mendengarnya. Dia menoleh sekilas pada Encik Jamal yang tidak bereaksi
apa-apa.
“Err… tapi
apartment Adrian tu nanti…”
“Tinggalkan kosong
je, Adrian. Buat tempat persinggahan sekali-sekala aja. Tentang maid tu jangan risau,
bagi gaji penuh kat dia bila dah nak pindah nanti.” Encik Jamal memotong,
seolah-olah memberi keizinan kepada Adrian untuk tinggal bersama Tan Sri
Jamaluddin dan Puan Sri Azila.
Adrian terdiam
tunak. Hanya kelopak matanya yang terkelip-kelip membalas pandangan ibu dan
ayahnya yang masih menantikan jawapan.
“Okeylah kalau
macam tu. Nanti Adrian cari waktu bila boleh start kemas
barang,” respons Adrian.
Puan Sri Azila
gembira tidak terkata. Tangannya mengusap-usap tangan Adrian dengan perasaan
yang begitu bahagia. Akhirnya… inilah saat yang ditunggu-tunggunya selama ini.
Menunggu anak yang dirinduinya selama ini pulang ke pangkuannya. Pulang dan tinggal bersamanya seperti satu keluarga.
“Terima kasih,
Adrian. Ibu sayang anak ibu ni.”
Puan Sri Azila mendekatkan bibirnya ke dahi Adrian lantas mengucup dahi anaknya penuh syahdu.
Puan Sri Azila mendekatkan bibirnya ke dahi Adrian lantas mengucup dahi anaknya penuh syahdu.
Adrian terkedu
seribu bahasa. Hatinya terasa sejuk serta-merta sebaik menerima kucupan hangat sang
ibu. Wajah lembut Puan Sri Azila ditatapnya dengan jiwa yang mulai terasa
lapang. Ada rasa bahagia yang mula menyelinap diruang hati. Perasaan bahagia yang
sudah sekian lama tidak dikecapinya.
Kalaulah Adrian
tahu begini perasaannya bertemu dengan ibu bapa kandung sendiri, pasti dia
sudah mencari Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila sejak 7 tahun yang lalu!
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)
6 comments:
best.... dah bertemu semula..... Adam janganlah cemburu sangat..
dh jumpa tp x tertarik antara satu sama lain pun.nasib baik.hehehe
terima kasih Miza Lan & Yuri Kiko ^_^
nanti sy sambung lagi. stay tune!
so sweet adrian dgn ibunya
agak2 siapa eak yg jatuh cnta dlu?nadya ke adrian?hihihi
yeaaaaaa... i loikee ;)
Post a Comment