Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Wednesday, May 6, 2015

Kau Bidadariku... 17

YUSOF mengecilkan matanya. Betulkah apa yang diceritakan oleh adiknya itu? Dia bergerak ke tingkap, menarik bidai dan merenung pemandangan di luar sana.

            “Betul ke Yasmin cakap macam tu?” soalnya dengan mata yang masih tertancap ke luar jendela.

            “Terserahlah nak percaya ke tak. Tapi lepas ni urusan dengan Yasmin, aku tak nak ikut. Anything just informs me later. Aku nak kau yang handle benda ni,” kata Adam.

        Sejak kejadian beberapa hari yang lalu, dia sudah tidak menghubungi Yasmin lagi walaupun gadis itu pernah menelefon dan meninggalkan SMS untuknya. Setelah apa yang telah Yasmin katakan tentang Nadya, Adam sudah tidak mampu untuk berhadapan dengan Yasmin sama seperti sebelum ini. Dia benar-benar terkilan dan sakit hati.

            “Aku dah agak, Adam.  Yasmin memang takkan berubah…” keluh Yusof setelah lama menyepi.

            Dia sudah menghidu dari awal. Telahannya tidak mungkin salah. Yasmin pernah mengupah beberapa orang lelaki untuk mengugut Nadya suatu masa dahulu. Dan Yusof yakin bahawa wanita itu masih menyimpan perasaan terhadap adiknya sehingga kini.

            “Nak buat macam mana, Adam? Dah buat endorsement, sekarang tunggu result je. Kalau belum buat apa-apa, mungkin kita masih boleh batalkan. Nak tak nak, kita terpaksa juga jumpa dia kalau ada apa-apa hal tentang projek tu.”

            Adam berjeda beberapa ketika. Dia yang berdiri sambil menyandarkan tubuh pada meja hanya memerhati raut wajah tenang Yusof.

            “Aku tak cakap pun nak batalkan. Cuma aku dah tak nak jumpa dia lagi lepas ni.”

            Yusof tersenyum. Dia menghampiri Adam. Bahu adiknya ditepuk-tepuk perlahan.

            “Banyak-banyakkan bersabar, okey? Aku cuba fikirkan macam mana caranya nanti,” tutur Yusof cuba mententeramkan perasaan adiknya itu.

            Adam sekadar mengangguk dengan wajah tanpa emosi. Dan selepas itu terus beredar dari bilik ofis Yusof.

            Yusof hanya mampu menggeleng. Nasiblah kalau masih nampak kacak dan muda. Kekasih lama yang sudah menghilang sedekad yang lalu pun boleh jatuh cinta balik.

            Saat mendengarkan cerita Adam, Yusof langsung tidak terkejut. Macamlah dia tak kenal siapa Yasmin. Sebelum ini sudah berkali-kali dia menasihatkan Adam, namun adiknya itu hanya buat endah tak endah. Jangan buruk sangka katanya.

           Tapi sekarang Yasmin semakin berani menyindir. Dalam diam ingin mengatakan Nadya tidak mampu hamil. Sedarkah dia itu semua takdir dan ketentuan Allah SWT?

            Adam dan Nadya bukannya tidak berusaha. Mereka telah membuat ujian kesuburan di hospital dan hasilnya kedua-duanya subur. Dan setahunya Nadya juga telah melakukan IVF (In Vitro Fertilisation) beberapa tahun yang lalu namun rezeki belum berpihak kepada mereka.
**************************

“YUSOF…”

            Yusof berpaling. Dia yang baru sahaja keluar dari bangunan pejabat HS Holdings menghalakan pandangan ke arah Yasmin. Wanita tinggi langsing bak model itu melangkah menghampirinya dengan gaya jalan catwalk penuh elegan. Hari ini Yusof hanya makan tengah hari bersama Azriel memandangkan Adam tidak berselera untuk makan dan ingin memerap sahaja didalam bilik.

            Yasmin tersenyum melirik dengan gayanya yang manja dan menggoda. Shades hitamnya yang tersarung pada mata segera disauk ke atas kepala.

            “Adam mana, ek? Dia tak keluar makan?”

            Yusof menjungkitkan kening. Apahal minah ni tiba-tiba datang sini? Tak ada kerja lain ke? Hatinya tertanya-tanya. Dia pasti wanita itu punya agenda tersendiri. Kalau tidak takkanlah tiba-tiba rajin singgah ke HS Holdings.

            Dari gaya Yasmin, pasti wanita itu masih belum mengetahui apa yang diceritakan oleh Adam kepadanya. Boleh pula Yasmin berlagak selamba macam tiada apa berlaku.

            “Dia malas nak makan,” jawab Yusof sepatah.

            “Oh ye ke?” Yasmin pura-pura ketawa. “Banyak ke kerja dia nak kena buat? Actually I ada benda nak discuss pasal projek Dubai tu.”

            Yusof melorekkan senyuman sinis sebelum menepuk-nepuk bahu Azriel.

            “Kau pergi tunggu aku dekat kereta, boleh? Aku nak cakap dengan Yasmin.”

            Azriel mengangguk. Dia tersenyum sambil menundukkan sikit kepala tanda hormat kepada Yasmin sebelum beredar pergi.

            Anak mata Yusof memanah wajah Yasmin sebelum dia kembali bersuara.

            “Really? You nak discuss apa dengan Adam? Discuss dengan I pun boleh. I pun director HS Holdings,” ungkapnya bersahaja, sengaja ingin menduga reaksi Yasmin.

            Dan seperti telahannya juga, ekspresi wajah Yasmin terus berubah. Wanita itu kelihatan kurang selesa sambil pura-pura menguntumkan senyuman.

            “Eh, tak apalah. I tak nak menyusahkan you. I akan tunggu sampai Adam free nanti. Okeylah, I pergi dulu,” dalih Yasmin. Dia ingin cepat-cepat pergi.

            “Nanti dulu, Yasmin.”

            Yasmin terkaku mendengar suara Yusof yang bernada tegas itu. Reaksi mukanya masih cuba dikawal seboleh yang mungkin saat matanya menentang wajah Yusof.

            “I nak cakap sikit, boleh?”
            “Tentang apa?” Yasmin mula tidak sedap hati.
            “Tentang Adam.”

            “Cakaplah,” respons Yasmin sambil mengemas kepitan purse dicelah lengannya.

            “Kenapa you asyik cari Adam? Kalau nak kata pasal kerja, kita kan tengah tunggu result untuk endorsement hari tu. Dan kalau ada hal sekalipun, you boleh discuss dengan I atau Tan Sri Syafik. Kalau nak kata you masih keep in touch macam dulu dengan Adam, memang taklah kan? Rasanya you dengan dia dah lebih 10 tahun tak jumpa.”

            Yasmin telan saliva yang bertakung. Tanpa sedar giginya menggigit bawah bibir sebaik cuping telinganya ditujah dengan kata-kata Yusof yang berbaur sindiran itu.

            “Tak kan berkawan pun tak boleh? I bukannya baru kenal dengan you dan Adam. Kita dulu satu sekolah sama-sama, kan?” balas Yasmin pula.

            Bibir Yusof sekadar memalitkan senyuman. Ekspresi mukanya masih tenang menentang anak mata Yasmin yang mulai kelihatan gelisah.

           “Yasmin, biarlah I terus-terang dengan you…” Yusof menghela nafas seketika.

            “I tahu apa yang you katakan pada Adam hari tu.”
            “I kata apa pada dia?” Detak jantung Yasmin semakin kencang.
            “Apa yang you katakan tentang Nadya, I tahu semuanya.”
            “Yalah, I ada cakap apa?!” Nada suara Yasmin semakin tertekan.
            “You cakap Nadya mandul.”

            Yasmin mencerlungkan biji mata. “What? Eh, siapa yang berani nak fitnah I ni?” Riak wajah dan nada suara wanita jelita itu semakin berubah.

            “You tak cakap secara direct, tapi you menyindir. Adam dah beritahu I. You cakap, Nadya tak pernah lahirkan zuriat untuk Adam tapi Adam sayang dan manjakan dia sepenuh hati. So what’s wrong with that? Dia memanjakan isteri dia, pasangan halal dia. Kalau dia tak bermanja dengan isteri dia, you nak dia nak bermanja dengan siapa? Dengan you?”

            Berderau darah Yasmin naik ke muka. Gigi gerahamnya diketap kuat dengan tangan yang mengepal buku lima.

           “Adam yang sensitif sangat. I gurau sikit, takkan tak boleh!” tepis Yasmin geram.

            “You nak tahu something, Min? You boleh bercakap buruk tentang sesiapa sahaja depan Adam, tapi jangan sesekali libatkan nama isteri dia. Don’t… don’t… don’t…” tegas Yusof sambil mengangkat jari telunjuk kanannya.

            “Adam loves his wife very much. You pun mesti ingat apa yang pernah berlaku dekat UM dulu, kan? Masa you tengah couple dengan dia pun dia sanggup tinggalkan you untuk Nadya, inikan pula sekarang bila Nadya dah jadi pasangan dia yang sah.”

            Mendidih darah Yasmin apabila Yusof mula mengungkit apa yang pernah terjadi suatu masa dahulu. Ya, memang dulu Adam yang meninggalkannya kerana Nadya. Dan kerana itu dia berdendam dengan Nadya sehingga ke hari ini.

            “Maaf kalau I sakitkan hati you, tapi kalau you masih nak berkawan dengan Adam dan berhubung dengan dia macam biasa, lebih baik you pergi minta maaf dia. Janji yang you takkan ulang lagi hal yang sama,” ujar Yusof mengendurkan nada suara.

            Dia tahu mungkin kata-katanya sebentar tadi mengguris hati Yasmin, tetapi dia tidak mahu berpura-pura. Kalau Yasmin baru dikenalinya beberapa minggu yang lalu, mungkin dia masih boleh berlapik. Tetapi hakikatnya, bekas teman wanita adiknya itu sudah dikenalinya sejak dibangku sekolah lagi. Dan dia tahu perangai Yasmin.

            “Huh, whatever!” Tanpa sebarang pamitan, Yasmin terus berlalu pergi. Musnah harapannya ingin mengajak Adam keluar makan bersama. Hamburan kata-kata Yusof membuatkan jiwanya semakin menggelodak dengan api kemarahan dan dendam kesumat.

            Dia tidak peduli. Kalau dulu lain cerita. Itu zaman budak-budak. Sekarang dia sudah dewasa, punya wang dan harta. Kali ini dia pasti akan akan melakukan apa sahaja demi mendapatkan kembali bekas teman lelakinya itu. Pasti!
*****************************

“AIK, awalnya balik. Tak busy ke? Papa baru ingat nak keluar dengan kawan papa.” Dato’ Azman menegur sebaik melihat kelibat anak perempuan tunggalnya yang muncul di kediaman mewah mereka walaupun masih belum masuk waktu makan tengah hari.

            “Papa nak keluar, keluar jelah!” balas Yasmin sedikit kasar seraya menghempaskan tubuhnya ke sofa empuk di ruang tamu. Purse dan beberapa buah fail yang dibawanya dibaling ke atas meja dan dibiarkan berselerak.

            Dato’ Azman mengerutkan kening melihat wajah anaknya yang tegang itu. Dia terus menghampiri Yasmin.

            “Min, kenapa ni?”
            “Tak ada apa-apa!”

            “Kalau tak ada apa-apa takkan macam ni?” Lembut sahaja suara Dato’ Azman.

            Yasmin mengurut kepala. Otaknya terasa berdenyut. Bukan kerana simbahan bahang matahari yang tegak diatas kepala, tapi kerana bahang kemarahan terhadap Yusof.

            Ada hati nak ceramah aku? Kau tengok apa aku buat nanti! gerutu hatinya nekad.

                        “Yasmin, kenapa ni? Cuba bagitahu papa.” Dato’ Azman mengulangi soalannya. Dia melabuhkan punggung disisi Yasmin, melihat raut wajah si anak yang cemberut itu.

            “Papa, salah ke kalau Min sukakan suami orang?” luah Yasmin tiba-tiba, membuatkan Dato’ Azman terkebil-kebil untuk seketika.

            “Perempuan tu perampas. Kalaulah dulu dia tak muncul, mesti sekarang Adam kahwin dengan Min. Tapi sekarang perempuan tu dah rampas Adam daripada Min!”

            Kening Dato’ Azman bertaut. “Apa Min cakap ni?”

            “Urghh, papa! Don’t you understand? Min nak Adam balik. Adam sepatutnya jadi milik Min, bukan perempuan kampung tu!” Yasmin meninggikan suara. Rambutnya yang bersanggul kemas diramas-ramas sehingga menjadi serabai. Nampak macam orang gila.

            Terkejut besar Dato’ Azman dibuatnya. Bukankah tempoh hari dia sudah memberitahu dia tidak suka anaknya bermadu dan berkongsi kasih dengan wanita lain?

            “Min, kan Min dah tahu Adam tu suami orang? Yang lepas tu lepaslah. Min boleh dapat lelaki lain yang lebih baik daripada dia,” pujuk Dato’ Azman perlahan. Dia masih cuba menggunakan pendekatan yang baik demi mengubah fikiran anaknya itu.

            Yasmin merengus. Lelaki lain yang lebih baik? Siapa? Selepas berpisah dengan Adam, dia sudah berkenalan dengan ramai lelaki tapi satu pun tak boleh pakai. Tiada lelaki yang boleh mencairkan hatinya seperti Adam Dato’ Husin!

            “Perempuan tu tak adil, papa. Dia main kotor. Dia bomohkan Adam supaya Adam tinggalkan Min. Dahlah mandul. Kalau Adam kahwin dengan Min, entah-entah kitorang sekarang dah ada anak pun. Tunggu si mandul tu beranak, entah bila!” Yasmin melempiaskan kemarahannya. Pertemuannya dengan Yusof hari ini semakin membakar hatinya dan membuatkan dia semakin bertekad.

            Lagipun, dia pasti dia subur. Dan juga cantik. Kalau Adam berkahwin dengan dia, pasti mereka akan mendapat anak yang comel-comel, kaya dan bergaya. Tak perlu tunggu anak dari keturunan kampung itu!

            “Bawa mengucap sikit, Yasmin. Tak baik cakap macam tu. Syaitan apa yang dah merasuk kamu ni? Kalaulah papa tahu ini yang akan terjadi, papa takkan setuju masa Min nak buat joint venture dengan HS Holdings!” cetus Dato’ Azman kesal.

            Namun Yasmin hanya mendengarnya bagai angin lalu. Kata-kata itu langsung tidak berbekas dihatinya. Apa sangat papanya boleh buat? Dia pemilik RED Corporations dan dia yang menerajui legasi itu. Dia boleh lakukan apa sahaja yang dia mahu.

            “Min tak pedulilah, pa. Adam tu lebih dari mampu. Lagipun isterinya tu mandul. Dah 7 tahun kahwin tapi sampai sekarang belum ada anak. Adam mesti takkan menolak sebab dia perlukan pewaris sebagai peneraju HS Holdings suatu hari nanti!”

            Dato’ Azman benar-benar terkedu. Tangannya sudah memegang dada. Yasmin tidak pernah bersikap seperti ini. Dia tidak pernah nekad untuk mendapatkan mana-mana lelaki. Namun baru beberapa minggu bertemu kembali dengan bekas teman lelakinya itu, sikap Yasmin sudah berubah 360 darjah.

            Dato’ Azman tidak sedap hati. Dia dapat melihat api dendam dimata Yasmin.

            “Yasmin, dengarlah cakap papa ni. Tolong ja…” Belumpun sempat Dato’ Azman menyudahkan ayatnya, Yasmin sudah mengangkat punggung dan berlari meniti anak tangga menuju ke kamarnya. Kakinya sengaja dihentak-hentak ke lantai tanda protes.

            Dato’ Azman berjeda beberapa ketika. Apa sudah jadi pada anakku, ya Allah?
*************************

11 tahun yang lalu…

“I nak cakap sikit dengan you.”

            Nadya tergamam seketika melihat Yasmin yang tercegat didalam bilik hostelnya. Hatinya skeptikal. Kenapa teman wanita Adam datang mencarinya?

            “Nadya, you ada hubungan dengan Adam ke?”

            Nadya terkedu mendengar soalan itu. Terlalu telus dan berterus-terang.

            “Kenapa tanya macam tu? Kan awak tahu Adam cuma kawan saya.”

            Yasmin angkat kening. Dengan riak angkuhnya, dia menyelongkar tas tangan dan mengeluarkan sekeping cek.

            “Ini cek bernilai lima belas ribu ringgit. I nak you jangan ganggu Adam lagi lepas ni. Berkawan dengan dia pun jangan.”

            Nadya terdiam. Hampir ternganga dia melihat sejumlah angka yang ditulis pada cek tersebut. Tangannya digenggam sekuat-kuat hati. Dia tidak boleh menerima penghinaan sebegini. Meskipun Yasmin tidak menghinanya secara terang-terangan, namun perbuatan Yasmin ini sama seperti menghinanya. Ya, dia hanya gadis kampung tetapi dia datang ke Universiti Malaya ini demi menuntut ilmu dan mendapatkan segulung ijazah. Bukannya memikat anak orang kaya dan memeras ugut duit orang.

            “Maaf, awak simpan ajalah duit tu.”
            Yasmin tersenyum sinis. “Tak cukup ke? Baik, you cakap berapa you nak.”

            “Yasmin…” Nadya melepaskan satu keluhan kecil.

           “Terima kasih atas pemberian awak, tapi menerima duit ni sama seperti menjual harga diri saya sendiri. Seperti yang saya katakan sebelum ni, saya dan Adam cuma kawan biasa. Saya sedar siapa saya. Masakan pipit boleh terbang bersama enggang. Tapi satu hal yang awak perlu tahu, harta tak boleh dibawa ke mati. Tentang saya dan Adam pulak, kalau awak tak suka tengok saya dekat dengan dia, awak cakaplah sendiri pada dia supaya jangan muncul contact saya lagi, kerana dia yang mulakan persahabatan antara kami. Dan oh ya, tak sangka harga untuk beli Adam cuma 15 ribu ringgit.”

            Panjang lebar bicara Nadya membuatkan Yasmin terpinga-pinga. Ternganga mulutnya kerana tidak percaya kata-kata itu dihamburkan kepadanya. Kata-kata yang begitu menjulang api kemarahannya. Dasar orang miskin ada hati nak bahasakan aku?!

            Dan sejak kejadian itulah Yasmin terus menyalakan api dendamnya. Tak dapat cara halus, dia menggunakan cara kasar. Dek kerana tidak berjaya menyogok Nadya dengan wang ringgit, Yasmin mengambil tindakan drastik dengan mengupah beberapa orang lelaki untuk menakut-nakutkan Nadya.

            Setelah semua orang mendapat tahu siapakah dalang kepada lelaki-lelaki itu, Adam tidak menunggu lama. Dia terus meninggalkan Yasmin sehingga Yasmin merajuk membawa diri ke luar negara.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

5 comments:

Eddayu said...

apa punya bengang la si Yasmin nie.. mehhh sini nk lempang laju2 bdk x cukup akal tue.. x hbs2 la buat perangai otak x center tue..
bagus Yusof g sound bdk mereng tue.. next time Yusof sila bg back hand ke Yasmin tue.. nie la bab kate pepatah bodoh x blh diajar, cerdik x blh di ikut... eeeeeiiii naik geram plak akakkkk...

Unknown said...

padan muka yasmin tu yusof sound dia.hahahaha

siti nadzirah said...

yasmin ni mmg keji dulu kini dan selamanya.geram giler aku

Unknown said...

Yasmin!!!! Kau memang keji. Jahat.benci.

E-la Adiey said...

kak Eddayu - erkk.. kak marahnya.. takut lak baca.. hahaha.. ni klu Yasmin baca komen akak mau dia terjun gaung :P

Liyana Azman - haha.. yeah!

siti nadzirah - hahahaha

nurul nuqman / kak weeda - hahaha..bertenang kak..bertenang...huuuu