ADAM bungkam sendiri. Berpinar seketika pandangan matanya saat
melihat isi kandungan sekeping sampul surat yang diletakkan diatas mejanya pada
pagi itu. Kata Huda, ada seorang lelaki yang tidak dikenali meninggalkan sampul
berisi gambar-gambar tersebut di meja receptionist untuknya.
Gambar-gambar yang
memaparkan aksi Nadya dan Adrian di Butik NADYA’S diselerakkan di atas meja. Ada
lebih kurang enam keping gambar kesemuanya. Sampul berwarna coklat itu
dibelek-belek untuk seketika. Hanya tertulis perkataan ‘Kepada Adam Dato’ Husin’ tanpa nama pengirim.
Nadya dengan Adrian
ada jumpa berdua tanpa pengetahuan aku? bisiknya sendiri dengan penuh tanda
tanya. Bibirnya diketap, menahan gelora didalam dada. Agaknya jika
gambar-gambar tersebut tidak sampai ke tangannya hari ini, mungkin sampai
bila-bila dia tidak tahu tentang pertemuan Nadya dan Adrian di butik.
Dia yakin isterinya
berjumpa dengan Adrian lebih daripada sekali kerana kedua-duanya memakai baju
yang berbeza dalam setiap kepingan gambar. Tapi kenapa Nadya merahsiakan
pertemuan itu daripadanya? Bukankah dia seorang suami? Dia berhak tahu apa pun
aktiviti isterinya.
Tapi apa yang lebih
membingungkan, siapa yang memberikan gambar-gambar ini kepadanya? Apa motif si
pemberi? Siapa yang rajin sangat mahu menyelidik dan mengawasi pergerakan
isterinya di tempat kerja?
Adam menarik nafas
dalam-dalam sebelum tangannya menekan punat interkom. Gambar-gambar yang
berselerak di atas meja disembunyikan dibawah longgokan fail.
“Huda, tolong masuk
kejap!”
Tidak sampai
sepuluh saat, kepala Huda sudah tercangak dihadapan pintu.
“Ya, Encik Adam?”
“Awak ada tengok ke
apa isi dalamnya?”
Huda menggeleng.
“Tak, receptionist suruh saya beri pada bos. Jadi saya terus letak atas meja
bos je.”
Kali ini Adam
mengangguk. Sedikit lega hatinya mendengar jawapan Huda. Bukannya apa, dia cuma
tidak mahu orang luar tahu urusan rumah tangganya. Takut juga kalau Huda tahu,
dua tiga hari nanti tersebar pula berita isteri bos main kayu tiga dengan
lelaki lain di butik. Setiausahanya itu bukan boleh percaya sangat. Kaki gosip
nombor satu.
“Err… kenapa bos?
Ada apa-apa yang tak kena ke?” soal Huda musykil.
“Tak apalah, awak boleh
keluar…” Adam mengawal ekspresi muka. Raut wajahnya cuba dimaniskan.
Huda mengangguk dan
terus menutup semula pintu bilik majikannya. Adam mengeluh sendiri. Hatinya
benar-benar tidak keruan selagi tidak mendapat kesahihan daripada Nadya
sendiri. Dia tidak akan menilai sesuatu perkara berdasarkan gambar dan dia tahu
dia perlu menangani hal itu dengan bijak selaku pemimpin dalam rumah tangga.
Telefon bimbitnya
dikeluarkan. Lambat-lambat nombor Nadya ditekan. Tidak lama menunggu,
panggilannya bersambung dengan talian dihujung sana.
“Assalamualaikum,
abang. Aik, baru pergi kerja dah call Nadya. Rindu ek?” Lembut suara sang
isteri menampan cuping telinga, meredakan sedikit rasa marah dan cemburu yang
menerpa serentak dikala ini.
“Err…
waalaikumussalam. Sayang ada dekat mana tu?”
“Baru sampai butik.
Tengah kemas fail. Kenapa, bang?”
“Abang nak jumpa
Nadya kejap, busy tak?”
“Umm… pagi ni tak
busy sangat. Kalau abang nak datanglah butik kejap.”
“Okey, abang on the
way ke sana.”
Dan talian terus
diputuskan. Kaget Nadya dibuatnya. Matanya terkelip-kelip merenung telefon
bimbit sendiri dengan penuh kehairanan. Pelik, lenggok suara Adam tidak
kedengaran manja seperti selalu.
***************
NADYA bingkas mengangkat punggung tatkala mendengar bunyi loceng
berdecing di pintu, menandakan ada seseorang menguak pintu butik. Majalah
Hijabista yang dibelek-beleknya di sofa sementara menanti kedatangan Adam
diletakkan semula ke atas meja.
“Assalamualaikum,
abang.” Dia menyapa ramah, menghulurkan senyuman manis saat melihat wajah
suaminya itu.
“Waalaikumussalam.
Jom kita bincang dalam ofis,” balas Adam mendatar, langsung tidak membalas
senyuman isterinya. Dia melangkah bersahaja mendahulu Nadya ke ruang ofis di
belakang.
Nadya
terkelip-kelip kebingungan, semakin tidak mengerti apa sebenarnya yang sedang
berlaku. Namun dia tetap menuruti rentak kaki suaminya.
“Duduklah dulu.”
“Tak apalah, abang
nak berdiri.”
Nadya mengetap
bibir. Entah kenapa debaran dihati tiba-tiba bergendang melihat wajah serius
Adam. Dia yang pada awalnya ingin melabuhkan punggung ke kerusi terpaksa
membatalkan niatnya. Pintu ofis dikunci dari dalam, tidak mahu ada sesiapa
mencuri dengar perbualan mereka.
“Nadya tengok ni.”
Adam menghulurkan sampul surat yang dibawanya.
Nadya terus menyambut
dan mengeluarkan isi kandungan sampul itu. Sebaik melihat beberapa keping
gambar yang terpampang jelas wajah dia dan Adrian, dia terus terkedu seribu
bahasa.
“Ini gambar Nadya
dengan…”
“Ya, gambar Nadya
dengan Adrian,” pintas Adam.
Nadya telan air
liur. Sarafnya dirasakan paralyse untuk seketika. Lidah pula terasa kelu,
hilang terus kebolehan untuk berkata-kata melihat gambar-gambar yang tidak
diduga itu. Benar-benar tidak menyangka pergerakannya di butik selama ini
diperhatikan.
“Abang upah orang
untuk intip Nadya?” Sedikit bergetar nada suaranya saat mengajukan soalan itu. Dia
terasa sedikit kecewa kerana menyangkakan Adam tidak mempercayainya sehingga
perlu mengupah orang untuk mengawasinya.
Adam menggelang
tenang. “Abang tak upah sesiapa. Ada orang hantar gambar-gambar ni pada abang.
Dia tinggalkan sampul surat ni dekat kaunter receptionist.”
Nadya tergamam. Dia
tertunduk tunak dengan pelbagai rasa. Jadi kalau bukan Adam, siapa yang
melakukan semua ini? Setahunya dia tiada musuh. Siapa yang begitu tegar memberi
gambar-gambar ini kepada suaminya?
Dia yakin sungguh
ada seseorang cuba memburukkan namanya. Kalau tidak, kenapa hanya gambar-gambar
dia dan Adrian yang sampai ke tangan Adam? Kenapa tidak gambar pelanggan-pelanggan
lelaki lain yang berkunjung ke butik itu?
“Nadya, pandang
abang…” Adam bersuara lembut, masih mengawal intonasi suara agar isterinya itu
tidak tersentuh. Dia tidak mahu marah-marah atau meninggikan suara kerana itu
adalah satu tindakan emosi. Dan pasangan suami isteri yang bergaduh hanya akan
membuat para iblis dan syaitan bersorak kegembiraan kerana berjaya memecah belahkan
ikatan suci itu.
Nadya mengangkat
muka, merenung anak mata Adam tanpa berkelip.
“Abang nak tahu apa
sebenarnya yang berlaku. Nadya ada jumpa Adrian kat butik tapi kenapa tak
beritahu abang? Bukan jumpa sekali dua, tapi berkali-kali.”
Nadya terdiam
seketika. Oksigen dihela perlahan, masuk ke dalam alveolus sebelum dia
menjawab.
“Abang, Nadya minta
maaf sebab tak beritahu abang. Nadya cuma rasa benda tu tak penting sebab
Adrian cuma datang untuk hantar dan ambil makanan. Abang pun tahu yang selama
ni Nadya selalu bertukar-tukar makanan dengan ibu, kan? Driver ibu pergi umrah,
sebab tu Adrian yang hantarkan,” terangnya lurus.
“Tapi takkanlah
Nadya tak boleh beritahu abang walau sepatah pun? Waktu malam kita jumpa, pagi
sebelum pergi kerja pun kita jumpa. Kenapa tak pernah beritahu?” soal Adam
bertubi-tubi. Dia tidak marah, cuma kurang berpuas hati dengan alasan longgar
isterinya.
“Sebab Nadya rasa
benda ni tak penting. Setakat hantar dan ambil makanan. Nadya dan dia tak
pernah berborak panjang pun. Lainlah kalau dia duduk dan makan kat sini. Adrian
tu pun cuma ikut arahan ibu,” ujar Nadya lagi. Nada suaranya ditekan, memberi
isyarat bahawa dia sudah memberi memberi penjelasan yang sebenar-benarnya.
Suasana menghening
seketika. Adam mengulum bibir. Otaknya cuba mencerna kata-kata isterinya.
Entahlah, kalau
diikutkan ada benarnya juga kerana dia sememangnya tahu Nadya dan Puan Sri
Azila sering bertukar-tukar makanan sejak dulu lagi. Dan dia pula tidak pernah
bertanya kerana Nadya selalunya akan memasak selepas dia pergi bekerja. Mungkin
juga dia hanya cemburu tentang Adrian. Entahlah… mungkin…
“Abang…” Nadya
meraih tangan suaminya. Rasa bersalah mencengkam jiwanya melihatkan wajah Adam
yang bertukar mendung, seakan kecewa dengannya.
“Nadya minta maaf
sangat-sangat. Nadya tak ada niat tak nak beritahu abang. Nadya tak terfikir akan
jadi sampai macam ni. Nadya anggap Adrian tu sama je macam driver ibu yang
selalu datang hantarkan makanan, sebab tu Nadya tak beritahu abang. Nadya minta
maaf…”
Nadya tunduk, mengucup
hormat tangan suaminya. Dia sedar dia juga sudah melakukan khilaf. Walau apa
pun alasannya, dia sememangnya tidak patut berjumpa dengan lelaki lain tanpa
pengetahuan Adam.
“Nadya, abang tak
marah Nadya…” Suara Adam bagaikan separuh berbisik. Kepala Nadya dielus-elus
kasih.
Dia tahu hubungan
Nadya dan Adrian tidak rapat. Dia boleh melihat dengan jelas berdasarkan
gambar-gambar yang diterimanya. Nadya dan Adrian tidak kelihatan mesra dan
tiada babak-babak ketawa lepas. Kerana itu dia datang hanya untuk bertanya,
untuk mendengar penjelasan isterinya. Bukan untuk mengeruhkan lagi keadaan.
“Abang tak marah
pun. Abang cuma tanya sebab abang dapat gambar-gambar tu pagi tadi. Abang takut
kalau orang luar tahu, orang akan bagi persepsi buruk pada Nadya. Abang mestilah
nak jaga maruah isteri abang,” ujar Adam dengan secalit senyuman.
Dia memagut dagu
Nadya, mengangkat wajah isterinya itu. Tangannya naik membelai pipi Nadya,
sebelum kening wanita kesayangannya itu dikucup lembut.
“Abang sayang Nadya.
Sayang Nadya sepenuh hati abang. Maaf kalau abang nampak macam mengongkong,
tapi abang cuma melindungi hak abang. Tolonglah jaga hati abang, ya sayang.
Lepas ni kalau jumpa Adrian atau mana-mana lelaki sekalipun, tolong beritahu
abang, ya?”
Nadya terdiam. Bibirnya
diketap erat, menahan rasa berdosa dan bersalah kepada Adam. Teguran lembut
suaminya, tingkah suaminya yang begitu tenang semakin menambahkan rasa bersalah
yang bersarang di jiwa. Mungkin juga dia patut berterima kasih kepada
‘pengintip’nya itu. Jika ‘pengintip’ itu tidak memberikan gambar-gambar
tersebut kepada Adam, mungkin dia juga tidak akan menyedari kesilapannya
sehingga kini.
“Nadya janji,
abang. Nadya ingat pesanan abang. Dan Nadya takkan jumpa Adrian lagi kalau
abang tak suka.”
“Tak perlulah sampai
macam tu sekali. Jumpa aja macam biasa, tapi kena bagitahu abang. Jaga batas
dan jangan terlalu rapat.”
Nadya mengangguk
perlahan. Mata bundarnya membalas renungan anak mata suaminya dengan raut wajah
yang kembali ceria.
“Seksi isteri abang
ni. Abang rasa macam tak nak balik ofis pulak.” Adam sengaja mengusik dengan
suara menggoda. Wajahnya didekatkan pada Nadya, namun isterinya itu spontan
menolak lembut dadanya.
“Jangan
mengada-adalah, abang. Kan kita dekat ofis ni!” Nadya menekup mulut menahan
gelak dengan wajah yang sudah tersipu-sipu kemerahan.
“I love it when you
blush.” Adam terus menarik lengan Nadya. Sepantas itu satu ciuman hangat
singgah di pipi isterinya.
“Yeay, dapat kiss!”
Nadya gigit bibir. Malu.
Adam tersenyum melihat reaksi isterinya. Tubuh Nadya dirangkul erat.
“Nurul Nadya binti
Asnawi, bidadari abang… I love you so much,” bisik Adam halus di cuping telinga
isterinya. Masalah tadi terus dilupakan begitu sahaja.
Dia suka memanggil
Nadya dengan gelaran bidadari kerana baginya Nadya adalah isteri solehah yang
akan menjadi ketua bidadarinya di syurga kelak. Sungguh mulia dan sempurna seorang wanita
solehah itu, tarafnya di sisi Allah SWT lebih tinggi daripada bidadari, malahan
bidadari hanyalah ibarat gundik-gundik yang mengiringi setiap pergerakannya.
“Err…
abang…”
“Jomlah
kita hug kejap. Nanti abang baliklah ofis…” Suara Adam tiba-tiba pula bertukar
manja. Pelukan dikemaskan. Ubun-ubun isterinya kembali dikucup penuh kasih.
Nadya
terkebil-kebil, cuba melepaskan diri. Namun saat rangkulan Adam semakin kuat,
dia mengalah dan membalas pelukan hangat itu dengan perasaan seperti kuda
belang.
*******************
SELESAI menunaikan solat Isyak dan mengaji, Nadya duduk berteleku di
sejadah sambil beristighfar dan berselawat ke atas Nabi. Sesudah itu pula, dia
mengambil sebotol air mineral bersih dan membaca doa kesuburan lalu ditiup
kepada air tersebut.
Kebiasannya air itu
akan digunakan dengan menyapu pada bahagian pusat dan turut ke bawah sebanyak
tiga kali sambil membaca doa kesuburan berulang-ulang kali.
Antara doa
kesuburan yang sering menjadi amalannya adalah doa Nabi Zakaria a.s yang
bermaksud: “Dan (sebutkanlah peristiwa)
Nabi Zakaria, ketika dia merayu kepada Tuhan-Nya dengan berkata; Wahai Tuhanku!
Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat) dan engkaulah jua sebaik-baik
mewarisi.” (Surah Al-Anbiyaa’ ayat 89)
Ia merupakan satu amalan yang
kerap dilakukannya sepanjang 7 tahun hidup bersama Adam demi mendapatkan
zuriat. Insya-Allah dengan amalan ini, bahagian yang bermasalah akan pulih
dengan izin-Nya. Jika ada saluran yang tersumbat maka akan terbuka saluran itu.
Dia tidak pernah
berputus asa dalam berikhtiar. Selain mengamalkan doa-doa, dia juga mengamalkan
pelbagai petua pemakanan untuk meningkatkan kesuburan seperti memakan
buah-buahan segar, kentang panggang, tiram serta sayur-sayuran berwarna kuning,
oren dan merah.
Usai itu, Nadya
menyimpan botol air tersebut dengan cermat di atas meja solek dan melipat kain
telekung. Sambil kakinya melangkah menghala ke ruang tamu, dia mengerling ke
arah jam bulat yang terpaku di dinding.
Sudah hampir pukul
9.15 malam, namun Adam masih belum pulang. Ada mesyuarat dan makan malam dengan
klien katanya. Seperti biasa, kalau suaminya pulang lewat, dia hanya akan
menonton TV sebelum masuk tidur.
Baru sahaja jarinya
menekan punat alat kawalan jauh, telinganya pula menangkap bunyi telefon
bimbitnya yang berdering kuat. Terus dia berlari-lari anak berpatah balik ke
bilik mendapatkan telefonnya.
“Assalamualaikum,
ibu…” Nadya melebarkan senyuman melihat nama Puan Sri Azila muncul di skrin.
“Waalaikumussalam.
Nadya sihat? Dah makan ke belum?”
“Siang hari tadi
dah, bu. Malam tak makanlah, tengok TV je,” jawab Nadya dengan senyuman yang
tidak lekang dibibir.
“Tak makan? Adam
tak balik lagilah tu, ya?” telah Puan Sri Azila.
Nadya tergelak. Ibu
angkatnya itu seperti sudah menghafal rutinnya. Maklum sajalah, dulu selepas
pemergian arwah Hafiz, Puan Sri Azila tiada anak lain. Jadi tidak hairan jika
dia tahu setiap aktiviti Nadya kerana sebelum ini segala kasih-sayang dan
perhatiannya ditumpahkan buat Nadya seorang.
“Aah, dia balik
lambat. Ibu pulak macam mana? Dah makan?”
“Minum-minum je.
Ibu dengan ayah baru lepas habis borak dengan Adrian sambil makan biskut tadi,”
cerita Puan Sri Azila.
Nadya tersenyum
sahaja. Dari nada suara Puan Sri Azila, dia pasti ibu angkat kesayangannya itu kini
cukup bahagia. Walaupun hanya bercerita tentang makan biskut, tapi lenggok suaranya
kedengaran begitu gembira, macam baru lepas main pondok-pondok.
“Lupa nak SMS Nadya
semalam. Ibu nak ucap terima kasih sebab masakkan lauk asam pedas tu. Untung
anak ibu ni orang Melaka. Sedap sungguh rasanya, lain dengan asam pedas yang
Mak Munah selalu buat.”
Nadya hanya mampu
tersengih mendengar pujian itu.
“Alhamdulillah
kalau ibu suka. Nanti kalau nak lagi beritahu je. Nadya akan masak lagi.”
“Hehe… bagus,
bagus. Ni sayang Nadya lebih ni. Umm… esok ibu rasa nak masak lauk ayam kurma
merah. Macam biasalah, nanti ibu suruh Adrian hantarkan.”
Nadya terdiam. Wajahnya
sedikit berubah mendengarkan kata-kata itu. Adrian hantarkan? Segera dia
teringat tentang perbincangannya dengan Adam pagi tadi. Meskipun Adam masih
membenarkan dia untuk bertemu dengan Adrian seperti biasa, namun dia sudah
tidak selesa setelah mengetahui pergerakannya diperhati dari jauh.
Mungkin juga si
pengintip itu cuma orang upahan musuh perniagaan Adam. Tapi kali ini dia harus
lebih berhati-hati. Dia tidak mahu nama Adam tercemar dikalangan rakan-rakan
bisnes kerana gosip murahan seperti ini.
“Err… ibu, Pak
Wahab cuti lagi ke?” soalnya sedikit teragak-agak.
“Lah… ibu kan dah
cakap, driver ibu tu pergi umrah. Pak Wahab balik hujung minggu ni.”
“Oh…” Nadya
menggumam perlahan dengan riak serba-salah.
“Kenapa? Nadya tak
suka ke ibu selalu suruh Adrian? Nadya tak selesa ya?” soal Puan Sri Azila
lurus tanpa berselindung.
“Eh, tak, tak,
bukan macam tu.” Cepat-cepat Nadya menepis telahan Puan Sri Azila walaupun
itulah yang sebenarnya yang bergolak dihatinya saat ini. Takut sekiranya ibu
angkatnya itu terasa hati.
“Err… Nadya
tiba-tiba rasa macam nak jumpa ibu esok. Nadya pergi rumah ibu jelah, boleh
tak? Kita makan sama-sama.” Dia memberi jawapan selamat. Mungkin kaedah ini
lebih baik agar Puan Sri Azila tidak mengesyaki apa-apa.
“Tapi esok ibu ada
hal. Dah janji nak teman Datin Juliana shopping. Ada handbag Gucci new arrivals
dekat KLCC. Tu yang nak pergi grab mana-mana design yang berkenan dihati. Hehehe…”
Nadya tekup mulut.
Nyaris terburai tawanya dengan telatah Puan Sri Azila. Maklumlah, ibu angkatnya
itu banyak sangat waktu lapang. Bershopping, bersantai dan bersosial dengan
ahli kelab datin sajalah kerjanya.
“Kalau Nadya nak
jumpa, dalam pukul 4 petanglah. Tengah hari ibu tak ada. Nadya okey ke makan tengah
hari lambat?”
“Boleh je, Nadya
pun tak ada aktiviti sangat esok. Makan dengan Adam pun jarang-jarang.”
“Okeylah kalau
macam tu, tak perlulah ibu suruh Adrian balik temankan ibu makan esok, betul
tak?”
“Betul, dia pun
mesti busy dengan kerja-kerja ofis,” tokok Nadya pula.
Puan Sri Azila
mengurut-urut dagu seraya tersenyum simpul.
“Okeylah, ibu letak
telefon dulu ya. Nak tengok apa ayah tengah buat. Senyap je sorang-sorang dalam
bilik tu. Esok kita jumpa tau.”
“Yalah, jangan lupa
kirim salah pada ayah. Insya-Allah esok petang Nadya datang sana. Babai, ibu.
Assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam
warahmatullah…” Salam terakhir itu mengakhiri bicara mereka.
Nadya menghela
nafas perlahan sambil merebahkan tubuh ke katil.
Dia tersenyum dalam
hati. Syukur Alhamdulillah, makan bersama Puan Sri Azila bererti tidak perlu
bertemu dengan Adrian esok. Takut juga kalau ada pengintip yang mengekorinya ke
rumah Puan Sri Azila dan merakam lagi gambar-gambarnya bersama Adrian.
Di dunia akhir
zaman sebegini, sekeping gambar pun boleh menimbulkan salah faham dan dijadikan
bahan fitnah. Apa yang telah berlaku pada hari ini benar-benar memberi
pengajaran kepadanya dan dia berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)
5 comments:
How sweet adam.tenang je.nasib baiklah adam bijak dlm mengawal emosi.huhu.kalau xmmg bergaduh la jawabnya.
so sweet adam
nurul nuqman / kak weeda - hehehe... hero kan.. x mau marah2... ;p
ain - :)
adam is so sweet.i wish i can marry a guy just like him.huhuhu...hye ela,lama i tak komen tau ;)
Alhamdulillah Adam x naik angin.. bagus2 siasat dlu br betul.. klo nk cemburu buta je x aman rmh tangga..
Post a Comment