Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Thursday, May 14, 2015

Kau Bidadariku... 21

“TERIMA KASIH tolong hantarkan makanan, Pak Wahab. Kirim salam pada ibu ya.”

            Pak Wahab membalas dengan anggukan bersama seulas senyuman manis.

            “Kalau tak ada apa-apa Pak Wahab balik dulu, ya. Selamat menjamu selera. Lusa Pak Wahab datang lagi untuk ambil bekas,” ujar pemandu peribadi Puan Sri Azila itu.

            Nadya tersenyum ringkas. Terus dia melangkah mengiringi Pak Wahab keluar setelah lelaki berusia pertengahan abad itu pamit untuk pulang. Bekas mangkuk tingkat dalam beg plastik ditangannya dibelek-belek.

            Ada juadah lauk kari ayam yang dimasak oleh Puan Sri Azila, disertakan bersama dengan cenderahati berupa minyak attar Mekah dan tasbih dari Pak Wahab. Rupa-rupanya Pak Wahab juga ada membelikan sesuatu untuknya sepanjang mengerjakan umrah di tanah suci.

            Hari ini merupakan hari pertama Pak Wahab bertugas semula. Jadi selepas ini, tugas menghantar dan mengambil makanan akan diambil alih semula oleh pemandu itu. Syukurlah, dia tidak perlu lagi merangka pelbagai alasan untuk tidak bertemu dengan Adrian selepas ini.

            Fikirannya menerawang kepada pertemuannya dengan Puan Sri Azila beberapa hari yang lalu. Ketika menemani ibu angkatnya itu makan, dia sudah memaklumkan yang dia tidak mahu lagi Adrian menghantarkan makanan ke butik. Pada awalnya Puan Sri Azila menyangka Adam tidak senang dengan kehadiran Adrian, namun Nadya segera menepis andaian wanita itu.

            “Nadya dengan Adam okey je dengan Adrian, bu. Cuma Nadya serba-salah sebab Adrian kena ulang-alik hantarkan makanan. Dia pun mesti banyak kerja lain dekat ofis.”

            Puan Sri Azila mencemik mendengar penjelasan anak angkatnya.

            “Tapi Adrian tak ada cakap apa-apa pun. Dia okey je setiap kali ibu suruh.”

            “Adrian tu pegang jawatan besar dalam company dia, bu. Tugas dia mesti sesibuk tugas Adam. Dan mungkin dia tak bantah sebab dia tak nak tolak permintaan ibu, betul tak?” Nadya menjelaskan lagi, menggunakan alasan lain meskipun sebab sebenarnya memang kerana Adam. Dia tidak mahu melibatkan nama suaminya dalam hal ini.

            Puan Sri Azila terdiam seketika, cuba mencerna kata-kata Nadya didalam benaknya. Ya tak ya, Adrian pasti ada tugasnya sendiri di pejabat. Rupa-rupanya selama ini dia mementingkan diri. Menyuruh Adrian itu, ini tanpa bertanya langsung tentang kesibukan jadual anaknya itu.

            “Hmm... kesian Adrian. Ibu selalu suruh dia balik rumah semata-mata nak suruh hantarkan makanan sepanjang Pak Wahab tak ada,” keluhnya perlahan.

            Nadya mengetap bibir. Dirinya diterpa rasa bersalah melihat wajah Puan Sri Azila yang tidak seceria tadi. Jemari runcingnya membelai-belai tangan tua wanita itu.

            “Adrian tu anak yang baik, ibu. Sebab tu dia berusaha untuk penuhi segala permintaan ibu. Cuma kalau boleh, ibu tak perlulah suruh dia lagi. Nanti kalau ada masa, Nadya datang sini teman ibu makan. Lagipun weekend ni kan Pak Wahab dah balik.”

            Puan Sri Azila memekarkan senyuman. Cair juga hatinya mendengar pujukan anak angkat kesayangannya. Akhirnya dia mengangguk tanda setuju dan terus menghabiskan sisa-sisa lauk yang terhidang di atas meja.

            Syukur... ibu seorang yang memahami, getus hati Nadya lega. Meskipun terpaksa berbohong sedikit, namun dia bernasib baik kerana Puan Sri Azila menerima alasan itu.

            Dan sejak hari itu, Nadya pasti akan singgah ke kediaman Puan Sri Azila untuk makan tengah hari sehinggalah Pak Wahab kembali bekerja pada hari ini. Dan sepanjang itu juga dia tidak pernah langsung bertembung dengan Adrian.

            “Adrian dah tak datang ya, kak?”

            Terbejat lamunannya mendengar suara Lily.

            “Kenapa tanya? Rindu Adrian ke?” Nadya sengaja menjolok.

            Lily yang duduk di kaunter terus mencebik. Wajahnya yang sedikit kemerahan menggeleng-geleng.

            “Mana ada, kak. Saya saja tanya sebab dah lama tak nampak dia.”

            Nadya tergelak kecil. Macam biasa, Lily memang tak pernah nak mengaku. Biasalah, budak-budak remaja memang cepat jatuh cinta. Nampak yang handsome atau cantik sikit, terus suka. Tapi bila nampak orang lain, suka orang lain pulak. Aduhai…

            “Dia dah tak datang. Pak Wahab pun dah balik dari umrah. Jadi lepas ni Pak Wahab yang akan hantar makanan macam selalu kalau Puan Sri tak datang.”

            “Ohh...” Riak Lily kelihatan sedikit hampa.

            “Tapi kalau Lily nak, akak boleh kasi number phone dia. Akak ada simpan.”

           Lily senyum herot. Dia menggeleng sambil garu belakang leher yang tidak gatal.

            “Tak naklah, kak. Malu...” Nadya tertawa halus.

           “Okey, tak nak sudah. Dahlah, akak nak buat kerja kat dalam. Makan dengan akak tau. Ibu ada masak kari ayam hari ni,” ujarnya sebelum melangkah masuk ke ofis.

            Lily tersengih pula. Tidak lama selepas itu kedengaran bunyi loceng butik berdecing. Dia terus berjalan ke pintu, mendapatkan pelanggan yang singgah.

            Leka dia melayan pelanggan tanpa menyedari seorang lelaki yang mengawasi dari jauh. Lelaki berjaket kulit itu pura-pura membelek helaian surat khabar di sebuah bangku beberapa meter dari lokasi butik.
************************

- DALAM beberapa hari ni, Nadya sangat berhati-hati. Sejak saya hantar gambar-gambar tu pada Adam, saya dah tak nampak lelaki tu datang ke butik. Kita kena guna cara lain untuk kenakan Nadya, Cik Yasmin.

            Yasmin membentak geram. Tangannya menghempas fail dimeja sekuat hati selesai membaca kiriman SMS yang diberi oleh Jay.

            Dia sepatutnya sudah mengagak ini akan berlaku. Mungkin dia tersilap langkah kerana bertindak terburu-buru. Dia yakin sungguh Adam sudah tidak membenarkan Nadya untuk bertemu dengan Adrian selepas melihat gambar-gambar yang dikirimkan.

            Susahlah kalau macam ni. Rancangan aku masih berjalan, aku tak nak gagal! desis Yasmin sambil menggigit bibir. Tangannya diramas-ramas geram sambil memikirkan rencana ampuh yang mampu menjayakan misinya.

            Walau apapun yang terjadi, Adam mesti jadi milik aku. Adam bekas teman lelaki aku dan Nadya yang rampas Adam dari aku. Dasar betina tak sedar diri! seranahnya lagi.

            Beberapa minit dia bersandar di kerusi empuk sambil membiarkan otaknya berfikir dengan tenang, dia mendapat akal. Ada suara bisikan syaitan menghasutnya untuk terus berusaha selagi pelan meruntuhkan institusi perkahwinan Adam dan Nadya belum berjaya. Alang-alang sudah separuh jalan, dia tidak mahu wangnya habis sia-sia.

            “Tak apa, Nadya. Kau tunggulah. Aku akan pastikan Adam ceraikan kau suatu hari nanti!” Yasmin melakarkan senyuman sinis dihujung bibirnya.

            Tangannya kembali mencapai telefon bimbit, menaip arahan baru kepada Jay. Tindakan kali ini harus lebih berani. Setakat bagi gambar pada Adam, apalah sangat. Taraf budak-budak amatur baru nak mula jadi jahat bolehlah.
**************************

ADAM yang baru melangkah pergi dari sebuah tapak projek yang dilawatinya sedikit terkejut tatkala poket seluarnya bergegar tiba-tiba. Tangannya pantas menyeluk kocek mengambil telefon bimbit.

            - Kau nak tahu apa yang bini kau buat kat belakang kau? Aku ternampak dia tengah syok bermadu asmara dekat Taman Tasik Shah Alam dengan lelaki lain. Kalau tak percaya, datang tengok sendiri. Aku kesiankan kau, tak nak kau kena tipu dengan bini sendiri. Apa-apa pun, kau nilai sendiri.

            Tersirap darahnya membaca kiriman SMS dari satu nombor yang tidak dikenalinya. Serasa beku seketika otaknya dengan nafas yang tersekat di saluran peparu.

            Nombor itu didailnya demi mencari kepastian, namun panggilannya tidak dijawab. Si pengirim SMS seakan sengaja mematikan telefon.

            Adam merengus geram. Emosinya mengocak dalam diam. Dia ingin mendail nombor Nadya pula, namun niatnya dibatalkan serta-merta.

            Macam mana kalau SMS ni betul? Kalau aku tanya Nadya, mestilah dia akan cakap dia ada dekat butik, hati Adam mendesis mulai tidak sedap hati. Teringat gambar-gambar yang pernah dikirimkan kepadanya sebelum ini. Banyak yang memusykilkannya.

            Demi mencari kebenaran, dia mahu bertindak sendiri. Kakinya pantas berlari ke kereta yang diparkir tidak jauh dari situ.
****************************


ADRIAN khusyuk menatap monitor komputer riba. Memeriksa data-data kewangan syarikat yang telah diprogramkan untuk semakan. Sejak beberapa hari ini, jadual kerjanya sudah kembali seperti biasa berikutan Puan Sri Azila tidak lagi memintanya untuk menghantar dan mengambil makanan di Butik NADYA’S seperti selalu.

            Pada awalnya dia sedikit hairan ketika ibunya mengatakan Nadya ingin menemaninya makan di rumah sehingga Pak Wahab pulang. Yalah, kenapa baru sekarang Nadya mengusulkan cadangan itu? Kenapa selepas hampir dua minggu dia menjadi ‘driver tak berbayar’, menjadi orang tengah antara Puan Sri Azila dan Nadya?

            Tapi persoalan itu hanya dibiarkan bergelut dihatinya dan tidak diluahkan kepada sesiapa. Biarlah, asalkan perkara itu tidak membawa sebarang masalah mahupun kerugian kepadanya, dia tidak berminat untuk ambil tahu.

            Sedang dia leka dengan tugasannya, pintu biliknya pula diketuk dari luar. Selepas diberi arahan masuk, Widad terus menguak daun pintu.

            “Saya dapat call dari seseorang bernama Puan Nadya. Dia ada tinggalkan pesanan untuk bos,” ujar Widad lancar.

            Adrian angkat kening. “Nadya?” Suaranya perlahan. Dia sedikit pelik.

            “Err... dia nak apa ya?”

            “Dia kata ada masalah. Dia minta encik jumpa dia dekat Taman Tasik Shah Alam sekarang. Urgent katanya.”

            “Urgent?” Adrian kaget. “Urgent kenapa?”

            Widad menjungkit bahu. “Saya tak tahu, bos. Lepas dia minta bos datang, dia terus matikan telefon.”

            “Oh…” Adrian terkelip-kelip bingung. “Okey, Widad. Terima kasih.”

            Widad mengangguk dan kembali menutup pintu bilik Adrian.

            Berkerut-kerut wajah Adrian memikirkan kata-kata setiausahanya. Nadya ajak jumpa kat taman? Urgent? Kereta rosak ke? Kenapa tak call husband sendiri? Kenapa call nombor ofis aku? Kan aku ada bagi number phone aku kat dia. Pelbagai persoalan mengasak-asak dikepalanya tika itu.

            Dia menjeling sekilas jam dipergelangan tangan yang sudah menunjukkan hampir pukul 3.00 petang. Tanpa berfikir panjang, dia terus melangkah keluar dari ofis menuju ke tempat parking kereta dan memandu menghala ke Taman Tasik Shah Alam.

            Sebaik tiba di taman yang berhampiran dengan Kompleks PKNS itu, Adrian terus memakirkan keretanya dan mendail nombor telefon Nadya. Tidak lama menunggu, panggilan terus dijawab.

            “Hello, assalamualaikum…”

            “Waalaikumussalam. Err… Nadya, ada dekat mana ya?” Adrian sedikit teragak-agak. Terasa segan berhubung seperti ini dengan isteri orang. Tapi dia cuba bersangka baik. Mungkin Nadya menghubunginya kerana Adam tidak menjawab panggilan.

            “Saya dekat Taman Tasik Shah Alam.”

            “Oh, awak tunggu kat mana?”

            Nadya menaikkan kening, terasa hairan dengan pertanyaan Adrian. Namun soalan itu tetap dijawab.

            “Tepi tasik, kenapa ya?”

            “Tunggu sana.” Belumpun sempat mendengar jawapan Nadya, Adrian terus mematikan talian dan keluar dari kereta. Dia berlari-lari anak menuju ke tasik yang dikelilingi landskap hijau itu.
            Tidak lama kemudian, matanya menangkap susuk tubuh Nadya yang sedang berdiri dekat dengan laluan joging yang disediakan.

            “Nadya.”

            Nadya berkalih ke arah suara yang memanggil namanya. Riak wajahnya kelihatan terkejut saat melihat Adrian.

            “Ada masalah ke? Kereta rosak?” Adrian menyoal sebaik menghampiri Nadya.

            “Kereta rosak?” Berkerut-kerut dahi Nadya dibuatnya. “Awak buat apa kat sini?”

            Kali ini Adrian pula yang pelik. “Eh, bukan awak yang call ofis saya tadi? Awak cakap pada setiausaha saya yang awak nak jumpa saya kat sini.”

            Nadya tercengang. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu.

           “Mana ada saya call ofis awak. Tadi saya dapat call dari staf suami saya. Katanya suami saya nak jumpa saya kat sini. Awak pulak buat apa kat sini?” Nadya mengulang pertanyaannya. Dia benar-benar hairan melihat Adrian tiba-tiba muncul disitu.

            Baru tadi semasa di butik, ada seseorang dari pejabat HS Holdings menelefonnya dan menyuruh dia segera ke Taman Tasik Shah Alam. Si pemanggil yang mengaku sebagai salah seorang pekerja Adam itu mengatakan Adam ada menyediakan sebuah kejutan untuknya. Kerana itu dia bergegas meninggalkan butik dan terus datang ke sini.

            “Tapi…” Suara Adrian tergantung disitu. Bibirnya bergerak-gerak, namun tiada sepatah kata pun yang keluar dari kerongkongnya. Dia sendiri bagai kelu untuk bersuara.

            Mungkinkah Widad tersalah orang? Tapi setahunya dia tidak mengenali orang lain yang bernama Nadya selain Nadya yang berdiri dihadapannya saat ini.

            “Maaf, saya rasa setiausaha saya tersilap orang,” ujar Adrian perlahan meskipun dalam hati masih terselit rasa hairan.

            Sungguh dia terasa seperti membuang masa. Sepatutnya dia menelefon Nadya terlebih dahulu sebelum keluar meninggalkan tugasannya yang melambak-lambak di ofis. Salahnya sendiri kerana tidak berfikir panjang.

            “Jomlah kita balik.” Suara Nadya mematikan angan pendek Adrian.

            Melihat kemunculan Adrian di taman yang sama membuatkan Nadya galau tiba-tiba. Entah kenapa dia merasakan pertemuan ini ada kaitan dengan si pengintip yang mengirimkan gambar-gambarnya kepada Adam beberapa hari yang lalu. Mungkin kerana  Adrian sudah tidak muncul di butik, jadi pengintip itu menggunakan kaedah lain untuk memerangkapnya. Tapi kenapa Adrian yang jadi sasaran? Aduh…

            Nadya menghela nafas perlahan. Hatinya sebal memikirkan kemungkinan ada orang cuba mempermainkannya.

            “Tak nak tunggu husband awak sampai?”
            Nadya menggeleng sahaja mendengar soalan Adrian.
            “Tak perlulah… saya rasa ada orang nak main-mainkan kita.”
            “Main-mainkan kita? Awak ada musuh ke?”

            Tersentap Nadya mendengar soalan itu. Musuh? Dia tidak pasti. Hidupnya sebelum ini aman bahagia tanpa sebarang masalah, sampailah Adrian muncul.

            “Entahlah, rasanya tak ada,” jawab Nadya, enggan bercerita mengenai gambar-gambar mereka yang ditangkap secara curi-curi beberapa hari yang lepas.

            Adrian diam, tidak menunjukkan sebarang reaksi. Apa yang berlaku pada hari ini memang pelik dan dia mahu pulang ke pejabatnya semula secepat mungkin. Gusar andai terpalit fitnah kerana berdua-duaan seperti ini dengan wanita yang bukan mahramnya.

            “Jomlah,” ajak Nadya.

            Mereka berdua melangkah beriringan meninggalkan kawasan tasik itu. Masing-masing membisu sepanjang perjalanan. Nadya mengelamun sendiri, terasa kesal kerana tidak menghubungi suaminya sebelum keluar dari butik.

            Harap-harap ini adalah pertemuan terakhir antara dia dan Adrian. Sejak mengenali kembar arwah Hafiz itu, musuh entah dari mana tiba-tiba muncul ingin menggugat keharmonian rumah tangganya.

            “Nadya.”

            Nadya terdengar panggilan daripada seorang lelaki tatkala mereka berdua sudah sampai di tempat letak kereta. Dia terus menoleh mencari kelibat si pemanggil.

        Ah, sudah… apa yang ditakutinya benar-benar berlaku. Tidak jauh dari tempat dia dan Adrian berdiri, Adam sedang merenungnya sambil menyandarkan tubuh pada kereta.

            “Oh, tu dia suami awak,” ujar Adrian yang tidak tahu apa-apa.

            Nadya meneguk liur. Dadanya serta-merta dihempap debaran melihat Adam yang berjalan menghampirinya.

            “Apa khabar?” Adam berjabat tangan dengan Adrian. Dia berlagak selamba.

            “Baik, alhamdulillah.” Adrian tersenyum dan menunduk sedikit tanda hormat.

            Aik, mana satu betul ni? Tadi kata ada orang nak main-main, ni tiba-tiba husband dia muncul pulak kat sini, detik Adrian dalam hati.

            “Okeylah, saya balik dulu. Ada banyak lagi kerja dekat ofis yang tertangguh,” ujar Adrian. Dia tidak berminat untuk bertanya lebih lanjut dan ingin segera meminggir kerana tidak mahu mengganggu pasangan suami isteri itu.

            “Okey, hati-hati memandu.” Adam menghulurkan sebaris senyuman. Nadya sempat melirik ke wajah suaminya. Dia tahu, itu adalah senyuman yang tidak ikhlas.

            Setelah Adrian melangkah ke kereta, Adam terus menarik tangan isterinya. Terkedu Nadya melihat anak mata Adam yang memanah tepat ke matanya.

            “Jom balik rumah. Sekarang.” Dingin suara Adam mengeluarkan arahan.

            Nadya tidak berani untuk bersuara. Namun dia yakin kali ini sekali lagi dia telah dijadikan bahan fitnah seseorang. Kakinya terus melangkah mendapatkan Kia Optimanya yang diparkir tidak jauh dari situ, sementara Adam pula sudah menghidupkan enjin kenderaannya.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

6 comments:

Unknown said...

Ish!!!! Jahatnya yasmin.jahat....benci..sdh.apalah yg bkal jd pd nadya.ish! Debar.

Eddayu said...

byk betul dugaan utk Nadya.. harap Adam jgn nk naik angin x tentu pasal..
nyahhh ko skg Yasmin.. benciiiii tau

E-la Adiey said...

nurul nuqman / kak weeda & kak Eddayu - tunggu next chapter ;D

Unknown said...

hrp2la adam n nadya x gaduh....jgnla pisahkan mereka...takut baca chapter ni

hannah said...

makin best
suspen

Ainulrida said...

Boleh tak awak buat character Adam x mcm cerita2 novel lain yg akan terburu2 membuat keputusan bila berdepan masalah yg begini? Biar Adam tenang & tanya pada Nadya walau hati penuh rasa curiga. Itu yg kita nak tonjolkan yg kita patut ajar readers benda yg sepatutnya dibuat & bukan benda yg x patut dibuat. Biar Yasmin yg gila meroyan sorang2 sebab segala apa yg dia buat x menjadi & dia yg akan malu sendiri nanti.