Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Wednesday, May 27, 2015

Kau Bidadariku... 26

“IBU, ayah, Adrian nak pergi ofis kejap. Nanti tak perlu tunggu Adrian baliklah. Adrian ada bawa kunci spare,” ujar Adrian sambil menuruni anak tangga bersama gugusan kunci ditangannya.

            “Pergi ofis? Eh, kan dah tengah malam ni. Pergilah pagi esok,” sambut Puan Sri Azila yang duduk menonton televisyen bersama suaminya.

            Adrian tersenyum. “Terpaksa. Nak buat kerja malam ni, tapi laptop tertinggal kat ofis. Adrian nak pergi ambil, kejap je. Kalau ibu dengan ayah mengantuk tidurlah dulu.”

            Puan Sri Azila mendekati anaknya. Dia mendengus kecil, seakan keberatan untuk melepaskan anaknya keluar malam-malam buta begini.

            “Nak ibu temankan, tak?”

            Adrian menggumam bibir menahan ketawa. Sampai begini sekali ibunya risau tentang keselamatan dirinya, tapi dia bukanlah anak kecil yang perlu diawasi selalu. Lebih 7 tahun hidup menyendiri tanpa pemantauan sesiapa di Malaysia, keadaannya baik-baik sahaja. Jangankan pukul 12 tengah malam, pukul 3 pagi pun dia pernah ke pejabat seorang diri untuk menyiapkan tugasan bertangguh.

            “Tak apalah, ibu. Ibu tidur dulu, ya. Adrian tak apa-apa.”
            “Tapi…”

            “Zila, pandailah Adrian tu jaga diri. Dia bukannya budak tadika,” sampuk Tan Sri Jamaluddin yang masih elok bersantai di sofa. Pening juga dia kadang-kadang melihatkan sikap over protective isterinya.

            “Okey, Adrian gerak dulu.”

            Tangan Puan Sri Azila dan Tan Sri Jamaluddin cepat-cepat dikucupnya sebelum keluar dari rumah. Takut kalau berlama-lama disitu, ibunya benar-benar mahu mengikutnya ke pejabat.

            BMW 3 seriesnya dipandu tenang melalui Lebuhraya Persekutuan menuju ke Shah Alam. Suasana jalan yang sudah sedikit sunyi menjadikan pemanduannya lancar tanpa gangguan trafik. Kira-kira 20 minit setelah itu dia tiba di hadapan bangunan pejabat Brilliant Sdn. Bhd.

            “Assalamualaikum, Encik Adrian. Ada kerja lagi malam ni?” sapa Pak Cik Latif, pengawal keselamatan yang duduk dihadapan pintu masuk saat melihat kelibat Adrian.

            Dia sememangnya tidak terkejut kerana ini bukan kali pertama Adrian datang menjengah pejabat pada larut malam dengan hanya memakai selipar, T-shirt, seluar tidur dan sweater. Sempoi habis CEO Brilliant Sdn. Bhd. ni.

            “Waalaikumussalam. Aah, datang nak ambil laptop. Aik, sorang je pak cik? Hamid mana?” Adrian bertanya tentang seorang lagi pengawal yang selalu bertugas dengan lelaki tua itu.

            “Hamid cuti dua hari, balik kampung. Terpaksalah berjaga sorang-sorang,” jawab Pak Cik Latif dengan senyuman yang tidak lekang dibibir. Dia sememangnya menyenangi Adrian kerana pemuda itu sangat merendah diri dan tidak pernah melayannya seperti seorang pekerja.

            “Oh… okeylah, pak cik. Saya nak masuk ambil laptop kejap. Lepas ni kita pergi mamak pekena teh tarik, nak?”

            Kaget seketika Pak Cik Latif mendengar pelawaan itu.

            “Teh tarik? Habis ofis ni macam mana, encik?”

            “Kunci je kejap. Lepas minum datang sini balik. Insya-Allah tak ada apa-apa.”

             Pak Cik Latif mengangguk sambil tersenyum mesra.

            “Okeylah, boleh juga tu. Tapi sebelum tu saya kena tunggu dulu, ada adik Cik Widad masuk tadi. Katanya nak ambil barang kakak dia yang tertinggal. Lepas dia keluar baru saya boleh kunci pintu ofis.”

            Kata-kata Pak Cik Latif membuatkan senyuman di bibir Adrian mati tiba-tiba. Dia mengerutkan dahi memandang pengawal keselamatan itu.

            “Adik Widad? Adik setiausaha saya?”

            Pak Cik Latif mengangguk. “Aah, dia kerap datang sini malam-malam buta macam ni. Katanya nak tolong kakak dia ambil barang. Hairan juga saya, kerap ya Cik Widad tu tertinggal barang kat ofis?”

            Adrian terdiam. Rasa hairan bercampur terkejut menjadi satu. Sepanjang Widad bekerja dengannya, dia lihat wanita itu seorang yang teliti dan jarang terlupa sesuatu. Mustahil Widad ada tertinggal barang, kecuali kalau dia sengaja meninggalkan barang tersebut di pejabat.

            “Okey, pak cik. Saya masuk dulu…” ungkap Adrian perlahan. Dia terus melangkah pantas ke arah lif. Hatinya menelah sesuatu yang tidak kena.

            Sebaik tiba di ruang pejabatnya, Adrian tidak terburu-buru. Dia perlahan-lahan keluar dan bersembunyi disebalik dinding untuk melihat sendiri apa sebenarnya yang dilakukan oleh adik Widad dipejabatnya tengah-tengah malam begini.

            Saat itu kornea matanya mengesan pergerakan di dalam bilik peribadinya. Sah, memang ada sesuatu yang tidak kena. Kalau adik Widad mahu mengambil barang Widad, kenapa perlu masuk ke bilik pejabatnya sedangkan meja Widad terletak di luar bersama dengan staf-staf lain?

            Tidak berfikir lama, Adrian terus menuju ke biliknya.

            “Hoi, mencuri ke?!” Adrian menjerkah dari belakang, membuatkan figura yang sedari tadi duduk dalam gelap di bilik itu tersentak.

            Dia kelam-kabut menutup zip beg sandangnya dan terus melarikan diri keluar dari bilik tersebut. Tubuh Adrian ditolaknya sekuat hati, membuatkan Adrian terdorong beberapa langkah ke belakang.

            Adrian terus mengejar. Dengan hayunan kakinya yang laju dan panjang, mudah sahaja dia menyaingi larian si ‘pencuri’ tadi. Kolar baju ‘pencuri’ itu berjaya dipegangnya dari belakang.

            “Lepaskan saya. Saya bukan pencuri!” Terkial-kial dia cuba melepaskan diri.

            “Eh, kau ni siapa hah? Apasal masuk dalam bilik aku?” Adrian menyinga. Tangannya sudah kejap memegang lengan ‘pencuri’ itu. Dia memang pantang sungguh sesiapa yang tidak dikenali menyentuh barang-barang peribadinya. Sedangnya setiausahanya sendiri pun tidak pernah dibenarkan mendekati mejanya.

            “Saya tak ambil apa-apalah!”

            Kening Adrian saling bertaut. Macam suara perempuan. Dia cuba untuk melihat wajah gadis itu dengan lebih jelas, namun tidak berjaya kerana kebanyakan lampu pejabat tidak dinyalakan pada waktu malam. Tambahan pula gadis tersebut menutup sebahagian wajahnya dengan topi, membuatkan Adrian semakin sukar untuk membuat pengecaman.

            “Ikut aku!”

            Lengan gadis itu diheretnya hingga ke lif. Butang G ditekan. Adrian terus membuka topi gadis tersebut, membuatkan rambutnya yang sengaja disembunyikan didalam topi terus jatuh. Panjang mengurai hingga ke paras dada.

            “Perempuan sejati rupanya, ingatkan pengkid!” sindir Adrian sinis.

            Sebaik tiba di tingkat bawah, Adrian yang masih memegang lengan gadis itu terus melangkah menuju ke arah Pak Cik Latif. Gadis itu meronta-ronta minta dilepaskan, namun dengan tenaga perempuannya, apa sangatlah yang dia mampu lakukan.

            “Pak cik, dia ke adik Widad?” tunjuk Adrian.
            Pak Cik Latif mengangguk beberapa kali.
            “Kenapa pak cik benarkan dia masuk ofis saya?”

            Pak Cik Latif terkesima melihatkan wajah majikannya yang agak tegang itu.

            “Maaf, encik. Tapi dia cakap dia masuk untuk ambil barang Cik Widad aja. Saya tak benarkan dia masuk bilik encik pun. Saya tak tahu yang dia ada kunci bilik encik.”

            Adrian merengus. Dia ingin membalas, namun tidak sampai hati mahu marah-marah saat melihatkan wajah tua Pak Cik Latif. Matanya melotot ke arah si gadis yang sedari tadi menundukkan wajahnya kerana ketakutan.

            “Mana kau dapat kunci bilik aku? Kakak kau yang bagi?”

            Gadis itu menggeleng-geleng. “Tak, saya ambil sendiri. Tolong jangan bagitahu kakak saya tentang hal ni. Dia tak tahu apa-apa…”

            Adrian tergelak sarkastik. Aik, dah buat salah boleh lagi buat permintaan?

            “Cakap dengan aku, apa kau buat dalam bilik aku?”

            “Saya nak letak coklat je, pastu saya kuncilah balik. Saya memang tak ambil apa-apa pun!” tegas gadis itu lagi, kali ini membuatkan Adrian tertegun seketika.

            “Oh, jadi yang aku selalu jumpa coklat atas meja aku tiap-tiap pagi, itu semua kerja kaulah ek?”

            Malam ini, segala persoalan yang bergelut dihatinya sudah terjawab. Patutlah sejak beberapa bulan kebelakangan ini dia sering menerima coklat setiap pagi dan tiada sesiapa yang mengetahui tentang hal itu. Adik Widad punya kerja rupanya. Ambil kunci ofis senyap-senyap tanpa pengetahuan Widad pula tu.

            “Eh, awak ni. Lepaskanlah tangan saya. Awak memang kasar macam ni ke dengan perempuan?” Gadis tersebut menarik-narik lengannya dari cengkaman Adrian, namun Adrian semakin menguatkan pautannya.

            “Aku tak kasar dengan perempuan, aku kasar dengan orang yang berani masuk ofis aku tanpa kebenaran aku!”

            “Eh, habis tu awak ingat saya ni bukan perempuan ke?”

            Adrian mengecilkan matanya. Tak padan kecik, kuat melawan. Penampilan gadis berketinggian sederhana itu ditelitinya atas bawah. Imej boyish; T-shirt dengan kemeja lengan panjang diluar, seluar jeans dan berkasut. Masih muda, mungkin baru awal 20-an.

            “Umur kau berapa? Takde kerja ek? Pagi esok tak sekolah?”

            “Sekolah apa? Saya dah habis IPT tau. Minggu depan hari konvokesyen saya!”

            “So, kau ni memang budaklah. Perangai tak senonoh. Ikut aku!”

            “Tak nak!” Gadis itu membentak dan melompat-lompat seperti anak kecil.

            “Err… encik, encik nak bawa dia pergi mana?” Pak Cik Latif cuba mententeramkan keadaan. Dengan suasana bangunan pejabat yang sunyi, jeritan gadis tersebut nyaring kedengaran. Berdengung telinga dibuatnya.

            “Saya nak bawa dia berbincang kat luar je, sakit telinga dengar dia menjerit dalam bangunan ni,” ujar Adrian. Pak Cik Latif tidak membalas, hanya membiarkan. Mendengarkan kata-kata Adrian, gadis itu berhenti meronta-ronta. Kakinya terus melangkah mengekori Adrian sehinggalah tiba di luar perkarangan bangunan.

            “Aku lepaskan lengan kau, tapi jangan lari. Kalau kau lari, aku pecat kakak kau.”

            Gadis itu mengangguk beberapa kali. Adrian perlahan-lahan melepaskan pegangannya.

            “Sakitlah… eeeiii… kasar tau awak ni…” Lengannya yang terasa ngilu digosok-gosok. Kalau lebam ni, aku tonyoh lubang hidung kau!

            “Bagitahu aku, apa tujuan kau letak coklat atas meja aku?” Adrian melontarkan soalan sambil menyeluk kedua-dua belah tangannya kedalam kocek seluar. Keluhan si gadis yang mengaduh kesakitan langsung tidak dipedulikan.

            “Sebab saya suka awaklah. Saya secret admire awak. Takkan itu pun tak boleh nak agak? Huh!”

            Terbeliak biji mata Adrian mendengarnya. Pengakuan berani mati didalam keheningan malam. Dari planet mana asalnya perempuan ini? Tak ada rasa malu langsung ke?

            “Sejak bila kau suka aku?”

            “Kan kakak saya kerja dengan awak. Adalah saya tengok dua, tiga keping gambar awak yang kakak saya simpan. Masa outstation, mesyuarat. Tak tahulah kenapa saya boleh suka awak. Tapi saya memang sukalah. Pastu saya stalk lah awak setiap kali awak pergi dan balik kerja. Saya suka tengok awak dari jauh…”

            Terlopong mulut Adrian. Serasa kejung sekejap otaknya mendengar kata-kata yang langsung tidak diduga itu. Sangat berani dan jujur, tapi sayang tak tahu malu. Macam budak sekolah nak bercinta!

            “Kau ni psiko, eh? Stalker tahap budak sekolah menengah tak lepas SPM. Kau dengar sini, aku tak suka kau dan aku takkan suka mana-mana perempuan pun. Jadi lepas ni jangan datang ofis aku lagi. Faham?”

            Gadis itu menjeling selamba. “Tak suka perempuan? Awak gay, ek? Eiii… menyesal saya suka awak!”

            “Hah, baguslah kalau menyesal. Aku memang gay pun. Dah, blah!”

            “Nanti dulu, awak nak tahu tak kenapa saya suka awak? Sebab nama saya Adriana, nama awak Adrian. Kan kita nampak sepadan.”

            Perghhh!!! Adrian gagal mengawal diri. Terus dia ketawa terbahak-bahak disitu juga. Si gadis yang bernama Adriana itu pula hanya bereaksi selamba, langsung tidak kelihatan tersinggung Adrian mentertawakan dirinya.

            “Adriana or whatever your name is…” Adrian bersuara sambil menyeka air mata yang keluar kerana terlalu galak ketawa. “Aku rasa kau ni mabuk ketum. Kau suka aku sebab nama? Habis tu kalau Amin kena kahwin dengan Aminah? Amir kena kahwin dengan Amirah? Hadi kena berpasangan dengan Hadirah? Wow, logiknya tahap pemikiran kau. Macam budak tadika.”

            Adriana mencemik. Sinis sungguh kata-kata lelaki pujaannya itu. Bicara celupar bagaikan peluru berpandu yang menujah-nujah koklea pendengaran, namun entah kenapa tidak pula dia terasa hati. Makin suka adalah. Pelik… pelik…

            “Okey fine, Encik Muhammad Hafiz Adrian. Lepas ni saya takkan datang sini sebagai stalker lagi!”

            “Bagus, pergi balik sekarang. Kau datang sini lagi, aku report kat kakak kau.” Adrian mengeluarkan ugutan dan terus berlalu meninggalkan Adriana begitu sahaja.

            Adriana terkebil-kebil. Agak lama dia berdiri di hadapan bangunan Brilliant Sdn. Bhd. Akhirnya dia melebarkan senyuman.

            “Yahoo!!! Akhirnya dapat face to face dengan Adrian!” Dia bersorak ceria dan terus pulang ke rumah tanpa sebarang kerisauan.
***********************

“KAU pergi mana baru balik?” Adriana terperanjat. Rasa nak tercabut nyawa dari tubuhnya. Melayang seketika semangatnya ditegur dalam keadaan gelap-gelita.

            Widad yang duduk di sofa seorang diri tidak senang duduk menunggu adiknya pulang. Pening dia dengan kerenah adiknya yang seorang itu. Sejak habis belajar, Adriana sering pulang lewat malam. Maklumlah, jadi penganggur sepenuh masa.

            “Saya keluar dengan kawanlah. Akak janganlah risau, saya pandai jaga diri.”

            Widad mencekak pinggang lalu melangkah menghampiri adiknya yang bersahaja mengibas-ngibas tubuh dengan topi.

            “Kau tahu tak yang akak ni stress jaga kau? Kalau macam nilah perangai kau, baik kau balik duduk kat kampung dengan mak ayah!”

            Adriana mengherotkan muka.

            “Akak ni… tunggulah saya dapat kerja. Nanti takdelah saya keluar lepak lagi.”

            “Kau keluar dengan kawan atau kau pergi menghendap pejabat bos akak?”

            Adriana tergamam mendengar serkap jarang kakaknya. Namun cepat dia menepis.

            “Eh, mana ada. Saya keluar dengan kawanlah!”

            Widad menadah tangan dengan mata bulat. “Bak sini kunci akak. Akak cari tadi kunci tu tak ada.”

            Adriana tersengih-sengih. Alamak, kantoi… kakak kesayangannya itu sudah tahu rutinnya. Lambat-lambat dia menyelongkar beg sandang lalu menyerahkan kunci pejabat Brilliant Sdn. Bhd. yang diambil curi-curi daripada kakaknya.

            “Apa nak jadi dengan kau ni, Adriana? Kalau kau kena cekup dengan bos akak, habis akak kena buang kerja tau? Kalau akak pun menganggur, siapa yang nak tanggung makan minum kau kat KL ni? Jangan harap akak nak minta duit Abang Irham untuk belanja kau,” bebel Widad geram.

            Sejak tiga bulan yang lalu, dia sebenarnya sudah tahu apa aktiviti adiknya. Semuanya gara-gara Adriana sudah tangkap cintan dengan Adrian selepas melihat gambar bosnya itu. Sejak itu Adriana selalu keluar sembunyi-sembunyi dan rajin meletakkan coklat di meja Adrian. Berlagak macam secret admire kononnya.

            “Dulu bos akak pernah tanya akak, siapa yang selalu letak coklat atas meja dia. Akak terpaksa cover untuk kau, tau? Akak cakap akak tak tahu. Pleaselah, hanya sebab nama korang nak dekat-dekat sama, that doesn’t mean you’re meant for each other. Wake up! Dia tu CEO, bos Brilliant Sdn. Bhd. Kita ni siapa je?”

            Adriana menjelir, buat-buat tak dengar dan terus masuk ke biliknya.

            “Orang tak cakap pun nak kahwin dengan dialah!” ujar Adriana. Pintu biliknya dikunci dari dalam.

            “Arghhh… kuat melawan!” Widad melepaskan geram. Bantal di sofa ditumbuknya sekuat hati sebelum dia melangkah ke bilik utama. Suaminya sudah tidur sejak pukul 11.00 tadi. Dialah yang terpaksa jadi burung hantu, semata-mata kerana Adriana. Payah sungguh menjaga anak dara seorang!

            Sementara Adriana yang sudah berada di bilik menghempaskan tubuh ke katilnya. Rambutnya diramas-ramas, teringat tentang pertemuannya dengan Adrian sebentar tadi.

            Kalaulah Widad tahu yang dia sebenarnya sudah dicekup oleh Adrian, apalah agaknya reaksi kakaknya yang garang itu. Silap hari bulan dia dikejar keliling rumah dengan batang penyapu. Paling teruk, Widad letak jawatan sebab dah malu dengan Adrian kerana perangai tak semenggah adiknya.

            Adriana menyimpan senyum. Dia tahu perbuatannya agak tidak wajar. Menceroboh masuk ke dalam pejabat orang pada waktu malam adalah satu perbuatan yang salah, tapi rasanya dia tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah. Dia tidak mencuri, bahkan langsung tidak menyentuh barang-barang Adrian yang lain. Dia masuk ke bilik Adrian hanya untuk meletakkan coklat, itu sahaja.

            Sepanjang tiga bulan menjadi pemuja rahsia Adrian, baru malam ini dia kurang bernasib baik. Sebelum ini tak pernah pula dia terserempak dengan lelaki itu tengah-tengah malam buta begini.

            “Haish, kau tu budak lagi. Bos akak tu umurnya dah 32 tahun, kau baru 24. Jauh sangat bezanya. Pergilah cari boyfriend yang sebaya dengan kau!”

            Itu kata-kata yang pernah diucapkan Widad kepadanya tiga bulan yang lalu ketika dia berterus-terang tentang perasaannya. Tapi walau apa pun kata kakaknya, dia tidak mahu ambil pusing. Yang dia tahu, dia suka pada Adrian dan tidak kisah jika terpaksa menjadi pemuja dari jauh sampai bila-bila.

            Dia akui, ramai lelaki yang cuba mendekatinya. Semasa menuntut di UiTM Shah Alam, bukannya seorang dua lelaki yang ingin memikatnya. Bersusun-susun! Tapi satu pun tidak dipandangnya, tapi sebaik melihat Adrian, dia terus terpaut hati pada lelaki itu.

            Adriana mengeluarkan telefon bimbitnya dan membuka bahagian Gallery. Beberapa keping gambar Adrian yang diambil secara curi-curi ditatap untuk seketika. Biarpun hanya gambar, namun wajah Adrian begitu mengocak perasaannya. Membuatkan adrenalinnya bergerak laju macam terlebih dos. Angau!

            Sejujurnya, bukan paras Adrian yang membuatkan dia jatuh hati tetapi kerana kisah silam lelaki itu. Kakaknya sudah cukup lama bekerja dengan Adrian, sejak Adrian mula-mula menerajui Brilliant Sdn. Bhd. lagi. Dari zaman Widad anak dara sehinggalah kini sudah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga.

            Tiga bulan yang lalu dia ternampak gambar-gambar Widad ketika menemani Adrian outstation ke Alor Setar. Bila ditanya, Widad mengatakan Adrian majikannya. Seorang yang baik, prihatin dengan semua staf dan sangat setia pada seorang gadis.

            “Mana-mana gadis yang berniat nak mengurat dia, baik lupakan ajalah hasrat tu. Dia takkan pandang sesiapa pun. Dihati bos akak cuma ada arwah Jessica,” ujar Widad ketika menceritakan kisah percintaan Adrian kepadanya.

            Hmm… susah nak cari lelaki setia sampai ke tahap begini. Kata Widad, Jessica merupakan rakan baik Adrian sejak mereka menuntut di Canberra lagi. Saat kedua-duanya merencana untuk berkahwin, Jessica meninggal dunia kerana penyakit jantung.

            Kesian, gumam Adriana penuh simpati.

            Dan kerana cerita itulah Adriana mula jatuh hati pada bos kakaknya itu. Dia tahu Adrian bukan gay. Kerana itu juga setiap kali ada kelapangan, dia suka singgah ke pejabat Adrian. Dia ingin memberikan sesuatu untuk lelaki yang diminatinya, meskipun lelaki itu sendiri tidak mengetahui kewujudannya.

            Tapi mulai malam ini, situasi sudah berubah. Dia sudah dicekup dan Adrian sudah menyedari kehadirannya.

            Hmm... Adrian sudah tahu; itu satu petanda baik atau buruk sebenarnya?
***********************

ADRIAN berjalan beriringan pulang ke Brilliant Sdn. Bhd. bersama Pak Cik Latif sesudah mereka berdua duduk melepak lebih sejam di kedai mamak berhampiran.

            “Hati-hati, pak cik. Jaga diri. Saya balik dulu.”

            Tangan Pak Cik Latif dicium tanda hormat. Dulu Pak Cik Latif sering menolak setiap kali Adrian ingin mengucup tangannya kerana segan dengan pangkat dan kedudukan Adrian. Tetapi bagi Adrian, orang tua harus dihormati tidak kira siapa.

            “Encik Adrian, pak cik minta maaf sekali lagi tentang hal tadi. Pak cik salah. Pak cik memang tak sepatutnya benarkan orang luar masuk ke dalam bangunan ni. Tak sangka pulak pak cik yang adik Cik Widad tu masuk bilik encik. Selama ni dia masuk, pak cik ingatkan dia memang ambil barang Cik Widad,” ujar Pak Cik Latif perlahan. Kebaikan dan kepercayaan yang diberikan Adrian kepadanya selama ini semakin membuatkan hatinya dibelit rasa bersalah kerana culas dengan amanah yang diberi.

            “Tak apalah, pak cik. Saya tak marah pak cik. Cuma lain kali pak cik lebih hati-hati, ya? Nasib baik memang adik Widad yang masuk, kalau orang lain yang menyamar, habis semua barang berharga dalam ofis dikebasnya.”

            Pak Cik Latif tersenyum kelat. “Baik, pak cik minta maaf sekali lagi ya?”

            “Tak apa, pak cik. Oh ya, saya tak nak Widad tahu tentang hal ni. Dia tak tahu apa-apa. Biar ini jadi rahsia kita aja, okey?” Bahu Pak Cik Latif digosok-gosoknya perlahan sambil tersenyum.

            Setelah itu Adrian terus pamit meminta diri. Sebaik melangkah masuk ke dalam kereta, laptop bersama coklat bar pemberian Adriana yang diambil dari atas meja kerjanya tadi diletakkan di seat sebelah. Keretanya dipandu meninggalkan kawasan itu dengan seribu macam perasaan. Bingung memikirkan apa yang sudah berlaku malam ini.

            Adik Widad adalah peminat rahsianya selama ini? Itu benar-benar tidak dijangka. Langsung tidak terlintas difikirannya!

             Melihatkan sikap gadis bernama Adriana itu membuatkan Adrian hairan. Biasanya kalau seseorang dicekup melakukan kesalahan, si pelakunya akan menggelabah dan meminta maaf. Tapi Adriana, dia boleh buat muka toya dan mengaku terang-terangan tentang perasaannya. Benda yang paling kelakar, Adriana mengaku menyukainya kerana persamaan nama mereka.

            Dasar perempuan pelik. Perangai macam budak-budak, tak senonoh! kecamnya dalam hati.



p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

7 comments:

ain said...

superb watak adriana ni!kipidap!

intan razak said...

yes adriana dh kuar!

zulhelmi said...

adriana poyo,but i like it
hahaha
tahniah cik writer kerana buat sye gelak

Unknown said...

heroin dah keluar.

Unknown said...

f.i.l with Adriana! hahaha~

IVORYGINGER said...

perghh...heroin yg sempoi and berani... kn la dgn Andrian yg cool tu...hehehe...
Perasan tak sbb Andriana, Andrian ketawa tbahak2, bkn dia susah ketawa n senyum ka? hehe... Akhirnya dia bwk blik juga coklat tu...
Hope kehadiran Andriana dpt jauhkan conflik yg dirancang Yasmin utk Nadya & Adam...

E-la Adiey said...

ain & intan razak - hehehehehe :)

zulhelmi - terima kasih ;D ahax

baby mio - yup2... :3

Ct Roxalynna - hahah.. heroin yg ct tunggu2...

IVORYGINGER - ahax... i hope so.. adriana mmg senget dan itu yg akan ubah hidup adrian :D