Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Sunday, August 17, 2014

Zikir Cinta 24

BEBERAPA minggu kemudian…

Daniel sudah siap menyarungkan jaket kulit hitam ke tubuhnya; jaket pemberian Jessica. Dia merenung tiket penerbangannya yang diletakkan di atas katil.

Mengikut jadual, dia akan mengambil tiket bas ke Sydney di stesen bas Jolimont Centre. Menaiki bas Murrays terus ke Sydney International Airport. Kemudian dari Sydney barulah dia menaiki pesawat MAS Airlines yang akhirnya akan membawa dia pulang ke Malaysia.

Tiga tahun dia tidak pulang dan ini adalah saat yang paling dinanti-nantikan. Ibu, tunggu kepulangan Daniel ya? Daniel akan pulang, bu…

Dia berlalu ke meja belajar dan mengambil album gambar di atas meja tersebut. Perlahan-lahan tangannya menyelak halaman pertama. Ada gambar dia bersama Adrian dan Jason Lee. Mereka bertiga berpelukan bersama segulung ijazah pada hari konvokesyen mereka, beberapa hari yang lalu.

Benar seperti yang dijangka rakan-rakan dan pensyarahnya, tahun ini sekali lagi dia mendapat anugerah dekan. Jason Lee juga tidak terkecuali.

Aku sayang korang Adrian, Jason… getus hatinya lalu membawa album gambar itu ke dada. Rasa sebak tiba-tiba datang menghimpitnya. Selepas ini mereka akan pulang ke tempat masing-masing. Entah bila mereka dapat bertemu lagi.

Kemudian dia membelek pula halaman yang seterusnya. Selakannya mati pada sekeping gambar. Gambar dia bersama Cinta ketika melawat Currumbin Wildlife Sanctuary di Gold Coast.

Teringat pula saat-saat akhir sebelum hari konvokesyen, hubungan antara mereka bertambah baik. Adrian juga sudah tidak sedingin dulu dan sudah mula menerima Cinta.

Selepas percutian itu tamat, Adrian pulang ke Auckland tapi cuma beberapa hari sahaja dan selepas itu dia kembali semula ke Australia untuk persiapan konvokesyen.

Di ANU, cuma ada dua sesi graduasi, iaitu ketika musim salji (sekitar bulan Julai) dan ketika musim panas (sekitar bulan Disember atau Januari). Jadi waktu mereka menunggu sehingga majlis graduasi tidak lama. Cuma dalam sebulan lebih sahaja. Dalam tempoh itu, sempat juga Daniel dan Jessica bekerja sementara di restoran untuk menambah wang saku.

Pelajar ANU sebenarnya boleh memilih sama ada mahu konvokesyen ketika musim panas atau musim salji. Cuma kebanyakan pelajar lebih suka memilih tarikh konvokesyen yang paling dekat kerana mahu segera pulang ke tanah air masing-masing.

Pada awalnya, seorang pensyarah sudah menawarkan pekerjaan buat Daniel di syarikat milik kawannya di Canberra kerana keputusan peperiksaan Daniel yang cemerlang setiap semester.

Namun Daniel tersenyum sahaja dan menolak tawaran kerja itu. Rasanya lebih baik dia bekerja di Malaysia sahaja, dekat dengan ibunya. Lagipun Malaysia masih memerlukan ramai tenaga kerja dan graduan sepertinya.

Mata Daniel tertancap pada gambar gadis yang amat dicintainya sejak dulu. Siapa lagi kalau bukan Cinta Aulia. Hanya gadis itu yang senantiasa bertahkta dihatinya. Gadis itu adalah cinta pertamanya.

Ya, memang dia sudah berbaik dengan Cinta tapi itu tidak bererti Cinta akan membalas perasaannya. Dia masih sedar asal usul dan keturunannya. Masakan anak seorang hartawan mahu bergandingan dengan anak seorang penjual kuih. Dan kalau Cinta membalas perasaannya sekalipun, dia tidak fikir dia akan menerimanya. Hatinya sudah cukup menampung kelukaan selama ini. Biarlah kekal sebagai kawan sahaja, itu lebih baik.

Dia menarik nafasnya dalam-dalam dan terus memasukkan album gambar tu ke dalam beg pakaiannya. Selepas semuanya siap dikemas dan yakin tiada apa lagi yang tertinggal, dia menjinjit sebuah beg pakaian besar dan menarik beg troli keluar dari bilik itu.

Adrian dan Jason Lee sedang duduk di ruang tamu menantinya. Sebaik melihat Daniel, Adrian dan Jason Lee terus mendapatkannya lalu mereka berpelukan. Lama.

“Dah sampai Malaysia jangan lupa call aku, okey?” pesan Adrian dengan suara yang tenggelam timbul.

“Jangan lupakan aku. Rajin-rajin call kalau tak sibuk nanti,” ujar Jason Lee sambil tertawa. Dia tidak mengambil penerbangan bersama Daniel walaupun destinasi mereka sama. Ibu bapanya mahu datang mengambilnya di sini.

Mereka meleraikan pelukan. Adrian merenung Daniel, seperti tidak akan melihat sahabatnya itu lagi selepas ini.

“Nanti aku pujuk parents aku supaya beri aku kerja kat Malaysia, okey?”

Daniel tertawa halus dan hanya mengangguk.

“Mari aku hantarkan kau sampai stesen bas.” Adrian menawarkan bantuan tapi kali ini Daniel menggeleng pula.

“Aku tak nak terus pergi sana. Aku nak pergi ke satu tempat dulu.”

“Ke mana? Biar aku hantarkan.”

“Tak, tak apa. Aku dah call teksi. Aku nak sendirian.”

Adrian terus kehilangan kata-kata. Jason Lee pula terkebil-kebil sendiri sambil membuntuti langkah Daniel ke muka pintu. Daniel sempat menghadiahkan sebuah senyuman yang manis kepada rakan-rakannya itu sebelum menaiki teksi meninggalkan rumah sewa mereka.

Adrian melepaskan keluhan. Dari gaya Daniel, dia tahu sahabatnya itu sedang kesedihan.

***************

HARI ini Cinta akan pulang ke Malaysia. Penerbangan domestiknya menaiki Qantas Airlines dari Canberra ke Melbourne tinggal lagi dua jam.

Cinta gelisah. Benda yang dicarinya tidak ditemui. Dari tadi dia menyelongkar almari baju dan meja belajar tapi semuanya menemui kegagalan. Benda itu sungguh penting buat dirinya. Hanya benda itu satu-satunya kenangan dia bersama jejaka impiannya.

            Tiket penerbangan? Benda itu tak penting pun! Kalau tiket hilang, dia boleh membatalkan penerbangan dan menempah tiket baru pada hari lain. Wang? Benda itu juga tidak penting!

            “Ya Allah, mana perginya ni…” keluh Cinta mulai putus asa.

            Tapi dia tahu dia tidak boleh mengalah. Kalau dia tidak menemui benda itu hari ini, dia betul-betul akan membatalkan penerbangan dan hanya akan pulang ke Malaysia apabila benda yang dicarinya ditemui.
            “Kau cari ni ke?” Satu suara di muka pintu.

            Pantas Cinta menoleh. Tersirap darahnya melihat rakannya tercegat di muka pintu. Sesuatu ditangan Erma menarik perhatiannya. Gambar!

            Cinta terus meluru ke arah Erma dan cuba mengambil gambar-gambar di tangan kawannya itu tapi Erma lebih pantas menyembunyikannya dibelakang.

            “Give it to me!”

            “Oh, jadi ini yang kau buat ya? Ingatkan pergi melancong dengan family, tapi rupa-rupanya kau dah masuk group budak-budak miskin tu!” Tajam mata Fatin saat melemparkan kata-kata itu.

            Cinta diam. Dia tahu lambat laun mereka akan tahu juga. Salahnya sendiri kerana meletakkan gambar-gambar kenangan bersama Daniel, Adrian, Jason Lee dan Jessica didalam laci meja tanpa berkunci.

“Kau sendiri tahu kan si Daniel dengan Jessica tu siapa? Diorang tu anak orang miskin. M.I.S.K.I.N!” Hana mengeja satu persatu, membuatkan telinga Cinta panas mendengarnya.

“Macam mana kau boleh selamba derk je berkawan dan duduk berkumpul dengan bebudak macam tu? Kau tak rasa jijik ke?” tokok Fatin pula.

Cinta membalas pandangan rakan-rakannya yang tajam menikam.

“Ya, aku berkawan dengan diorang. So what’s the problem?” Entah dari mana muncul kekuatan dalam dirinya untuk membela diri sendiri.

“Oh, kau pun nak jadi parasit macam diorang?” sindir Erma.

Cinta telan air liur. Terasa darah menyerbu ke muka. Bengang sungguh dia mendengar Erma menyamakan Daniel dan Jessica sebagai parasit. Kalau dulu kata-kata itu dianggap biasa, tapi hari ini dia terasa ingin sahaja menampar mulut Erma.

“Nak tahu siapa yang parasit sebenarnya?” Dia kembali menyoal. “Kita! Kita semualah parasit selama ni! Orang yang suka memandang rendah pada orang lainlah sebenarnya yang jijik!”

Terpempan rakan-rakan Cinta mendengar kata-kata yang cukup lantang itu. Belum pernah ada sesiapa yang berani menghina mereka seperti itu.

“Orang-orang miskin tak kotor. Malahan mereka jauh lebih mulia dari kita, anak orang kaya yang hidup penuh dosa dan noda. Apa yang membezakan seseorang itu cuma iman, bukan harta benda!”

“Oh my god, ada orang nak berlagak jadi ustazah kat sini. Wow Cinta, it’s so over the top,” ejek Erma lalu ketawa berdekah-dekah bersama yang lain-lain.

Cinta mengeleng-geleng kesal. Baru kini dia menyedari dengan siapa dia berkawan selama ini.

“Come on, Cinta. Baru kawan sekejap dengan budak-budak miskin tu, kau ingat kau dah cukup layak nak ceramah kitorang? Pleaselah, ini bukan diri kau. Kami nak Cinta Aulia yang lama, kawan kami yang lama.” Suara Erma kembali lembut, berniat memujuk.

“Tak, korang bukan kawan-kawan aku.” Kepala Cinta menggeleng rakus. “Kawan-kawan aku yang sebenarnya ialah Daniel, Jessica, Adrian dan Jason. Bukan korang.”

Berubah wajah masing-masing mendengarnya.

“Hei, apa yang mamat sewel tu dah racun kau, hah? Minah Indon tu… perempuan si…” Belum sempat Fatin menghabiskan kata-katanya, sebiji penampar singgah di pipinya. Mencerlung biji mata Fatin dengan pipi yang sudah kemerahan.

“Jangan sekali-kali hina kawan-kawan aku!” Cinta memberi amaran.

“Berani kau tampar aku? Dasar perempuan hipokrit, berlagak baik. Perempuan ja…” Sebiji lagi penampar hinggap di pipi sebelah lagi.

“Dan jangan pernah berani hina aku. Seteruk-teruk aku pun, aku belum pernah berzina. Tanya diri kau sendiri, sudah berapa ramai lelaki yang menjamah tubuh kau. Dah berapa puluh hotel kau masuk dengan lelaki yang berbeza. Aku doakan semoga Allah bukakan pintu hati korang semua untuk berubah.”

Mencuka wajah masing-masing mendengar kata-kata Cinta. Bagai satu tamparan yang begitu besar buat diri mereka.

Cinta terus merampas gambar-gambar miliknya dari tangan Erma. Tangannya mencapai dua buah beg pakaiannya lalu keluar dari bilik itu. Semua orang memberi laluan kepadanya.

Di pertengahan jalan, Cinta sempat berpaling ke arah anak-anak orang kaya yang pernah menjadi rakannya dikala gembira itu.

“Nak tahu sesuatu? Seorang sahabat sejati akan menyokong apa sahaja tindak-tanduk sahabatnya selagi perkara tu tak bertentangan dengan agama. Seorang sahabat sejati akan sentiasa menarik sahabatnya melakukan kebaikan, bukan mengheretnya ke lembah kemaksiatan. Dan seorang sahabat sejati tidak akan memandang pangkat dan harta sebelum menerima seseorang itu menjadi sahabatnya.”

Masing-masing seolah-olah terpukau mendengar kata-kata itu. Benarkah gadis yang bernama Cinta Aulia Dato’ Razak yang berkata-kata saat ini?

“Andai kata papa aku jatuh muflis dan terpaksa merempat ditepi jalan, sanggup ke korang terima aku masa tu? Sanggup ke?”

Tiada sesiapa yang menjawab.

“Tak, aku tak rasa korang akan terima aku. Pada waktu tu aku akan dianggap parasit macam yang korang selalu katakan. Korang akan pandang jijik pada aku. Kerana itu aku berani cakap yang korang sebenarnya bukan kawan-kawan aku.”

Usai menghabiskan ayatnya, Cinta terus berlalu dengan hati yang puas. Dia lega kerana akhirnya tidak perlu berlagak seperti Erma, Hana dan Fatin lagi. Dia akan menjadi dirinya sendiri mulai hari ini. Dia akan mencari sahabat yang akan sentiasa bersamanya, tanpa mengira pangkat dan harta.

Di tingkat bawah apartment, dia lihat Jessica tercegat berdiri seorang diri. Memang dia ada menelefon Jessica untuk menghantarnya ke airport kerana selepas dia pulang ke Malaysia, Jessica akan menjaga keretanya disini untuk sementara. Jessica tidak terus pulang ke Surabaya kerana masih bekerja untuk mengumpul duit.

“Dah lama tunggu? Kenapa tak telefon tadi?” Wajah Cinta kelihatan ceria menyambut kedatangan Jessica. Terus dia lupa tentang pergaduhannya dengan Erma, Hana dan Fatin sebentar tadi.

Jessica tersenyum. “Nggak lama kok. Baru aja. Yuk kita ke airport.”

Cinta menggeleng.

“Aku nak jumpa Daniel,” ujarnya dengan wajah yang begitu berharap. Dia tahu dia harus bertemu dengan Daniel hari ini. Kalau dia terlambat, dia tidak tahu adakah dia masih berkesempatan untuk bertemu dengan lelaki itu lagi.

“Okey, ayuh kita ke rumah dia!” ajak Jessica.

Cinta tersenyum dan pantas mengangguk dengan wajah yang bersinar-sinar.
**************

BUTA ke? Punyalah besar bagak doorbell kat luar tu, ketuk jugak pintu. Kalau pecah pintu rumah aku ni, siapa nak ganti? Ganti pakai bulu hidung dia ke? Adrian menggerutu seraya melangkah malas menghala ke pintu rumah sewanya yang diketuk dengan kuat tidak henti-henti sejak dari tadi.

            Matanya bulat seketika sebaik melihat dua susuk tubuh tercegat berdiri di hadapannya. Dia mengangkat kening ala-ala Ziana Zain.

            “Adrian, Daniel ada?”

            Adrian telan air liur. Wajah gadis pujaan Daniel, Cinta kelihatan begitu resah. Dia menoleh kepada Jessica yang berdiri disebelah gadis itu. Jessica memberi isyarat, menggesanya untuk menjawab soalan tersebut.

            “Mana Daniel?” Cinta bertanya lagi.

            Mulut Adrian terkumat-kamit seperti ingin menyatakan sesuatu tapi tiada satu perkataan pun yang keluar dari mulutnya. Jessica hilang sabar lalu meluru ke arah Adrian dan menggoncang kedua-dua belah bahu lelaki itu berkali-kali.

            “Adrian, kami nggak punya waktu buat basa-basi. Kami mau tau di mana Daniel. Dia masih ada di dalam atau sudah ke stesen bas?”

            Adrian seakan baru tersedar apabila bahunya digoncang. Dia menatap wajah Jessica, satu-satunya gadis yang mampu menggetar jiwanya. Punyalah ramai gadis Malaysia, gadis Indonesia ini juga yang dia suka.

            “Dia tak ada kat dalam.”

            Cinta dan Jessica kaget. Mereka saling berbalas pandang.

            “Dia dah pergi stesen bas ke? Jawablah Adrian!” desak Cinta.

            “Tak tahu…” Adrian menggeleng.

            “Adrian, kenapa sih kamu itu benci banget sama Cinta? Apa gak cukup dia udah mempertaruh nyawanya untuk Daniel waktu kemalangan dulu? Apa kejadian itu masih belum cukup untuk membuka mata kamu kalau selama ini kamu udah membuat justifikasi yang gak adil sama Cinta?” Lantang dan laju ayat itu keluar dari mulut Jessica.

            “Cik Jessica, saya tak benci Cinta!” tegas Adrian. Dia mulai hilang sabar. Dari tadi dia diserang bertalu-talu tanpa langsung diberi peluang membela diri.

            “I swear, I really don’t know where he is. Kalau saya tahu saya akan cakap.”

            “Masa kamu nggak tahu? Daniel kan teman baik kamu.” Jessica tidak percaya.

            “Ya, tapi saya tak tahu!”

            “Kamu…”

            “Sudahlah, jangan bergaduh lagi.” Cinta cuba mententeramkan kedua-duanya bila keadaan mulai kelihatan tegang.

            “Adrian…” Cinta memandang Adrian penuh berharap. “Saya betul-betul kena jumpa Daniel sekarang. Kalau saya tak jumpa dia hari ni, mungkin bila dah sampai Malaysia kami akan lost contact. I have something really important to tell him. Please...”

            Adrian menyedut oksigen yang memasuki rongga alveolusnya. Kasihan pula dia melihat Cinta.

            “Cinta, kalaulah saya tahu dia pergi mana, awak akan jadi the first person yang akan saya beritahu. Tapi percayalah, saya tak tipu. Saya memang tak tahu dia ada kat mana.”

            Cinta hampa mendengar jawapan Adrian. Sedaya upaya dia cuba menahan empangan air matanya daripada pecah. Jessica pula sudah mengusap-usap belakangnya.

            “Dia ada cakap yang dia nak pergi ke satu tempat dulu sebelum ke stesen bas. Dia tak beritahu ke mana dia nak pergi. Tapi sebelum pergi tadi, muka dia nampak sedih.” Adrian menokok.

            Cinta memandang anak mata Adrian bagai mencari kepastian. Kemudian memandang Jessica pula.

            Cinta meraup wajah dan bersandar di dinding rumah itu. Agaknya memang dia tidak ditakdirkan untuk bertemu lagi dengan Daniel. Segala-galanya telah berakhir.

            Adrian dan Jessica merenungnya simpati. Air mata Cinta mengalir turun tanpa disekat-sekat lagi. Agaknya inilah hukuman buat dirinya kerana telah mempermainkan perasaan lelaki. Dan sekarang Daniel telah pun pergi meninggalkannya.

“Bila bersedih, saya sentiasa ke atas dan sentiasa mengingati yang paling atas. Selain duduk di atas tikar sejadah mengadu pada Allah, di sini buat saya bersyukur dengan kekuasaan dan kebesaran-Nya.” Kata-kata Daniel dulu tiba-tiba kembali menjengah ruang memorinya.

Sentiasa ke atas… nanti! Sentiasa ke atas? Rasanya dia tahu di mana Daniel berada.

“Saya tahu kat mana Daniel sekarang!” Katanya tiba-tiba. Matanya kembali bersinar ceria.

Adrian dan Jessica terkelip-kelip memandangnya.

“Bila bersedih, sentiasa ke atas dan sentiasa mengingati yang paling atas. Dulu saya tak tahu apa maknanya, tapi sekarang saya dari tahu. Saya dah faham!”

“Err… Cinta…” Adrian serba-salah. Gaya Cinta yang terlalu gembira itu menakutkannya. Manalah tahu kalau-kalau dia kecewa selepas Daniel meninggalkannya, dia jadi…

Hish, harap-harap tak. Muka cantik, jangan jadi tak siuman sudah! getus hatinya.

“Saya nak pergi. Saya nak pergi cari Daniel!”

Cinta terus melangkah pergi meninggalkan Jessica. Jessica terpinga-pinga.

“Cinta, kamu mau tinggalin aku?”

“Maaf, aku ada urusan. Kau terus pergi airport ya?” laung Cinta dari jauh. Dia terus melompat masuk ke dalam kereta dan pergi begitu sahaja.

Jessica menggaru-garu kepala yang tidak gatal dengan wajah bingung.

“Jess, jom saya hantar awak pergi airport.” Adrian mempelawa sambil tersengih-sengih.

Jessica sekadar mengangguk tanpa mempedulikan sengihan Adrian.


p/s: Okeyla... hari ni aku pos bab 24 sebab dah ada orang marah aku. Katanya aku pos lambat sangat. Huahua... maafkan saya.. saya juga manusia biasa. Dah beberapa hari menghadap Microsoft Word tapi takde perkataan yang keluar akibat ketandusan idea =,="

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Thursday, August 14, 2014

Kutemui Cinta 1

PEJABAT pendaftaran pelajar di Universiti Malaya semakin sesak walaupun jam telah menunjukkan 11.00 pagi. Nadya masih lagi sedang beratur di barisan panjang untuk mengambil borang pendaftaran.

            “Excuse me.” Nadya berpaling ke belakang apabila ada satu suara gadis menegurnya.

            “Ya, saya?”

            “Awak course apa?” tanya gadis itu ramah.

            Nadya tersenyum.

            “Perundangan. Awak?”

            “Business Administration.”

            Nadya mengangguk-angguk.

            “I’m Suraya. Just call me Su.” Gadis manis itu memperkenalkan dirinya. Dia menghulurkan tangan.

            “Nadya,” ucap Nadya ringkas lalu menyambut tangan Suraya sebagai tanda salam perkenalan.

            Tidak sangka, begini cepat dia mendapat kenalan baru di universiti ini. Sebetulnya sejak mula-mula melangkah keluar dari Stesen Bas Klang di Puduraya lagi perasaan gembira, resah dan takut bercampur-baur dalam dirinya. Dia gembira kerana dapat melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka itu. Namun dia resah dan takut kerana sebelum ini dia tidak pernah berjauhan dengan keluarga. Sejak kecil, dia tidak pernah keluar dari negeri Melaka, tempat kelahirannya melainkan bersama dengan abah.

            Tapi kali ini berbeza. Dia kini berseorangan di Kuala Lumpur. Tiada ahli keluarga yang datang menghantarnya. Abah hanya mampu menghantarnya sampai di Stesen Bas Alor Gajah dan selepas itu, dia harus pandai-pandai membawa haluannya sendiri. Apa yang dibawanya dari kampung hanya doa dan harapan abah yang menginginkan dia berjaya.

            Sebenarnya abah yang mahu dia belajar di Universiti Malaya. Katanya bukan semua anak Melayu berjaya ke universiti tertua di Malaysia ini. Abah mahu dia merebut peluang yang telah terbentang di depan mata. Kalau hendak diikutkan hatinya, dia lebih suka belajar di Politeknik Melaka. Lebih dekat dengan rumah. Tetapi itu permintaan abah, dan dia tidak mahu mengecewakan seorang bapa yang sangat disanjunginya selama ini.

            Selepas kematian kakak sulungnya,dialah yang menggantikan tempat kakaknya sebagai anak sulung dalam keluarga. Dan sebagai anak sulung, dia harus menjadi idola yang baik untuk adiknya.
*******************************

HAFIZ sedang mengisi borang pendaftaran di sebuah meja yang disediakan. Dia dibantu oleh rakan-rakannya, Amir dan Azhar yang kini berada di tahun akhir untuk memilih mata pelajaran yang bakal diambil olehnya.

            “Hah, ini subjek wajib. Satu lagi ni, Business Law,” beritahu Azhar sambil merujuk kepada ruangan jurusan Perniagaan pada borang pendaftaran Hafiz.

            Hafiz mengangguk. Dia tidak membantah cadangan Azhar. Lagipun, dia memang berminat dalam bidang perniagaan. Darah seorang ahli perniagaan bagaikan sudah sebati mengalir dalam dirinya kerana ayahnya, Tan Sri Jamaluddin merupakan antara salah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Pilihan Azhar memang tepat.

            “Okey, dah siap! Duduk sini dulu tau. Aku pergi hantar borang-borang ni kejap,” ujar Hafiz sambil menyusun borang-borangnya dan terus ke kaunter untuk menghantar borang-borangnya.
******************************

ADAM, Yusof dan Azriel baru tiba di pejabat pendaftaran itu. Mata mereka liar memerhati keadaan sekeliling. Suasana agak sesak dan hingar-bingar.

            Sangka mereka kalau mereka datang lewat sedikit mungkin suasana di pejabat itu semakin lengang kerana sepatutnya pada waktu begini majoriti pelajar sudah selesai mendaftar tapi sangkaan mereka jauh meleset.

            Orang bukannya semakin berkurang malah semakin ramai pula. Mungkin kerana yang lain-lainnya juga berpendapat seperti mereka.

            “Ini yang papa cakap universiti terbaik? Kalau macam ni, baik aku study kat UK je!”Adam merungut sambil mengunyah gula-gula getahnya.

            “Okeylah ni, apa pulak masalahnya, Adam?” Yusof, saudara kembar Adam meningkah kenyataan adiknya.

            “Habis kau ingat baguslah? Kau tahu, dari dulu impian aku nak ke overseas. Entah apa yang istimewanya pasal U ni sampai papa suruh kita belajar kat sini!” gerutu Adam geram.

Baginya, perbuatan papanya, Dato’ Husin memaksanya belajar di sini tidak wajar sama sekali. Kata papa, dia mesti belajar di sini atau duit poketnya disekat. Kalau duit poketnya disekat, pasti dia tidak boleh berseronok ke pub dan mencari perempuan seperti selalu.

“Hei, bukan senang nak masuk sini tau. Jarang anak-anak Melayu macam kita dapat masuk sini sebab bersaing dengan budak-budak Cina. Aku tak boleh percayalah kau cakap macam tu,” celah Azriel pula.

Selalunya dia akan menyebelahi Yusof kerana Yusof lebih matang berbanding Adam.
            Azriel bukan tidak kenal dengan perangai dua kembar seiras itu. Dia bersahabat dengan mereka sejak di tingkatan satu lagi sampailah kini umur masing-masing mencecah 21 tahun. Walaupun seiras, tapi Yusof sebenarnya jauh lebih matang berbanding Adam yang setiap harinya hanya tahu melepak dan berseronok.

            Adam menghulurkan beg sandang yang dipegangnya kepada Yusof dan menyuruh mereka tunggu di situ sementara dia mahu mengambil borang pendaftaran untuk mereka bertiga.

            Dilihatnya barisan orang yang beratur sangat panjang dan tidak mungkin dia akan mendapat borang itu dengan cepat. Mungkin setengah jam nanti baru gilirannya tiba, tapi itu pun belum tentu. Dia terus ke hadapan dan memotong barisan tanpa ada rasa bersalah langsung kerana mahu mendapatkan borang lebih awal.

            “Apa ni, brader? Main potong-potong pulak. Beraturlah kat belakang!” Seorang lelaki di belakang Adam tidak puas hati apabila Adam memotongnya sedangkan sudah lama dia beratur.

            “Encik, tolong beratur kat belakang. Orang lain dah lama tunggu.” Jurukaunter itu bersuara lembut. Dia juga kurang setuju dengan tindakan Adam yang tidak beradab itu.

            Adam bengang. Dia pantang kalau ada sesiapa yang memerintahnya. Tambahan pula dia masih marahkan papanya. Bila ada orang mahu mencari pasal dengannya, memang elok sangatlah. Dia pun memang memerlukan sesuatu untuk melepaskan geramnya.

Dengan riak mengejek, dia berpaling menghadap lelaki di belakangnya. Semua mata tertumpu ke arahnya.

            “Apa kau cakap? Kau nak suruh aku beratur kat belakang? For your information, aku Adam, anak Dato’ Husin. Aku takkan ikut arahan sesiapa apa lagi arahan tu keluar dari mulut orang macam kau ni!” ujar Adam bongkak. Dia merasakan pangkatnya cukup besar hanya kerana bergelar anak seorang tokoh korporat.

            “Apa? Kau ingat kau anak Dato’ aku takut?” balas lelaki yang tidak dikenalinya itu.

            Adam tersentak apabila lelaki itu membalas semula kata-katanya dengan berani. 

            “Ooo... jadi kau nak cari pasal dengan aku? Nak fight aku?” Tidak semena-mena bahu lelaki itu ditujahnya dengan kuat.

            Suasana menjadi kecoh. Hafiz yang baru menghantar borangnya tidak sedap hati melihat kejadian itu. Takut kalau berlaku adegan tumbuk-menumbuk, padahal baru hari pendaftaran. Mahu tidak mahu, dia harus juga meleraikan dua lelaki yang sedang berperang mulut itu.

            “Wei, korang boleh tak jangan bergaduh kat sini? Semua perkara boleh diselesaikan baik-baik," celah Hafiz.

            “Kau ni siapa pulak nak masuk campur?” soal Adam dengan nada suara yang sengaja ditinggikan.

            Dia menolak tubuh Hafiz seperti mahu mencabar. Hafiz masih cuba bersabar.

            “Aku tahu kau nak cepat. Orang lain dah beratur dari tadi tapi tak dapat-dapat lagi borang tu. Kalau kau lambat pun, borang tu takkan lari.” Lembut suara Hafiz cuba menenangkan Adam.

            “Haah. Dia ingat dia anak Dato’ kita takut!” celah lelaki yang berkelahi dengan Adam tadi membuatkan perasaan Adam yang baru hendak sejuk kembali panas.

            “Sekali lagi kau buka mulut aku...” Adam sudah memegang kolar baju lelaki itu dan mengepal buku limanya.

            “Sudahlah, lebih baik kau beratur aja kat belakang,” ujar Hafiz. Dia masih bercakap dengan nada yang selembut mungkin.

            “Untuk pengetahuan kau, Adam Dato’ Husin takkan ikut arahan sesiapa, faham?” Adam mengulangi kata-katanya dengan angkuh.

            Hafiz tersenyum mendengar pengakuan Adam. Dia memang sudah masak dengan perangai anak orang kaya macam Adam. Selalu saja mencanang sana sini yang mereka berasal dari keluarga kaya sedangkan yang kaya itu ibu bapa mereka, bukan mereka.

            “Jadi kau anak Dato’? Dato’ mana yang malang sangat dapat anak macam kau ni? Apa nama kau tadi? Adam, kan? Kau ni nama aja Adam tapi langsung tak ada budi bahasa.” Hafiz semakin hilang sabar berhadapan dengan makhluk bernama Adam ini.

            “Hei, kau jangan cari pasal. Kang tak pasal-pasal lebam biji mata!” Oktaf suara Adam semakin tinggi. Lagaknya seperti sengaja hendak menarik perhatian orang ramai supaya melihat gelagatnya.

            Mengeluh panjang Hafiz dibuatnya. Semakin dilayan, semakin menjadi-jadi pula perangai anak Dato’ yang seorang ini. Dia tahu kalau dia membalas lagi, itu ibarat dia  mencurah minyak tanah ke dalam api. Dia beristighfar dalam hati.

            “Bang, bagi ajalah borang tu pada dia,” ujar lelaki yang bergaduh dengan Adam tadi kepada jurukaunter. Biarlah dia mengalah. Dia sendiri malas mahu bergaduh dengan sesiapa. Dia cuma mahukan borangnya.

            “Tapi...” Jurukaunter itu kelihatan serba salah.

            “Tak apa, bagi jelah."

            Jurukaunter itu tiada pilihan. Dia terus memberikan tiga set borang seperti yang diminta oleh Adam. Dia sedikit terkejut apabila borang yang dihulurnya diambil dengan cara kasar. Sekarang api kemarahannya dilempiaskan kepada jurukaunter pula.

            Sebelum Adam pergi, dia sempat menjeling tajam kepada Hafiz. Sesiapa yang berani melawannya akan dianggap sebagai musuh. Dan oleh kerana Hafiz telah melawannya, jadi mulai saat ini Hafiz adalah musuhnya.

            “Apa nak jadilah? Tua-tua bangka pun bergaduh lagi!” tutur Suraya tergeleng-geleng apabila melihat babak pergaduhan tadi dari jauh.

            “Entahlah, dah melangkah masuk ke IPT pun perangai budak-budak masih tak berubah-ubah," respons Nadya yang kini menjadi sahabat barunya.

            “Hmmm... awak dah siap ke belum isi borang tu?” soal Suraya apabila melihat Nadya masih membelek borangnya.

            Nadya mengangguk.

            “Dah.”

            “Cepatlah hantar borang tu. Saya tunggu sini."

            Nadya bangkit dari kerusi dan menuju ke kaunter untuk menghantar borang yang telah siap diisi.

            Selepas keadaan berbalik ke sedia-kala, Hafiz melangkah menuju ke arah rakan-rakan yang sedang menunggunya. Sambil berjalan, fikirannya menerawang memikirkan tentang pergaduhan tadi.

            Adam Dato’ Husin, betapa sombongnya lelaki itu. Sudahlah sombong, perangainya juga kebudak-budakan. Entah apa akan jadi selepas ini kalau mereka bertembung didalam kampus.

            “Masya-Allah!”

            Itu ayat pertama yang keluar dari mulut Hafiz sebaik dia tersedar dari lamunannya. Dia yang sedang melayan diri dari tadi cuma tersedar apabila bahunya terlanggar seorang gadis yang berjalan ke arah bertentangan dengannya hingga menyebabkan borang-borang yang berada di tangan gadis itu berterabur di atas lantai.

            “Maaf, saya tak sengaja,” ujar Hafiz lalu membantu gadis itu mengutip borang-borangnya.

            Gadis tersebut cuma tersenyum manis apabila melihat lelaki di hadapannya itu. Dia sendiri sebenarnya tidak perasan kerana dia terlalu asyik membelek borang itu kerana takut ada yang tersilap.

            “Saya pun tak sengaja."

            Hafiz memekarkan senyuman. Dia sempat melirik kepada nama yang tercatat pada borang itu; Nurul Nadya Bt Asnawi.

            “Nurul Nadya. Nama awak Nadya?” soal Hafiz.

            Gadis bertudung litup yang bernama Nadya itu cuma mengangguk dan mengambil borang-borangnya dari tangan Hafiz.

            “Saya Hafiz.” Entah kenapa, Hafiz memperkenalkan dirinya pula.

            Tidak berkelip matanya memandang wajah cantik si gadis. Senyuman yang polos bersama raut wajah yang lembut, sejuk hati sesiapa yang memandang.

            Nadya serba-salah. Dia tidak selesa direnung sebegitu. Jantungnya mula berdetup-detap dengan pantas. Berderau darahnya buat seketika. Cepat-cepat dia berdehem.

            “Saya... saya pergi dulu. Terima kasih sebab tolong.”

            Nadya pantas melangkah pergi untuk menghantar borangnya. Hatinya yang mengalun debar cuba ditahankan. Pelik, kenapa tiba-tiba nak berdebar?

            Hafiz masih lagi tercegat ketika merenung gadis itu dari jauh. Nadya, namanya secantik orangnya.

            “Woi!!!” Sergahan itu mematikan lamunannya.

            Amir dan Azhar kini sedang berdiri dihadapannya.

            “Kat sini kau rupanya. Puas kitorang cari tau!” marah Amir.

            “Apasal cari aku?” tanya Hafiz masih bingung.

            “Kau ni dah tak betul ke apa? Barang-barang kau kan ada dengan kitorang. Ke kau tak nak beg baju kau tu? Kalau tak nak tak apa, kitorang boleh pergi lelong. Dapat jugak duit," sela Azhar selamba.

            Hafiz tersengih sinis. Dari jauh dia perasan ada mata yang memandangnya. Gadis yang bernama Nadya itu. Dia lihat Nadya sedang bercakap-cakap dengan seorang gadis. Mungkin kawannya.

            “Wei, kau tengok siapa?” tanya Amir yang turut memandang ke arah tempat yang sama.

            Hafiz pantas menggeleng. Dia tidak dapat menyembunyikan senyumannya.

            “Jomlah.”

            Hafiz terus berlalu. Amir dan Azhar membuntutinya.

            “Nadya, tadi saya nampak lelaki tu langgar awak. Dia cakap apa dengan awak? Kot-kot dia nak mengorat awak tak,” usik Suraya pada kawan barunya itu.

            Nadya tersenyum nipis mendengar usikan Suraya.

            “Tak adalah..."

            Gema suara dari hailer, meminta pelajar-pelajar baru berbaris untuk mendaftar. Hafiz beratur dalam barisan. Dia ternampak gadis yang bernama Nadya itu lagi. Entah apa yang menarik tentang gadis itu, dia terasa gadis itu bagaikan magnet dan dia pula besi yang telah tertarik kepada ‘magnet’ itu.

Selepas menyelesaikan segala bayaran yang perlu, semua pelajar baru diberi beberapa risalah dan kunci bilik. Selepas giliran Hafiz tiba, dia cuba mencari Nadya lagi. Namun sayang, gadis itu sudah hilang entah ke mana.


p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Tuesday, August 12, 2014

Zikir Cinta 23

“AKU tengah panaskan enjin kereta. Sementara tu korang letaklah dulu all stuffs dalam boot,” ujar Adrian semasa mereka berkumpul di tingkat bawah lobi hotel bersama beg pakaian masing-masing.

            “Kat parking lot ke?” Jason Lee mengajukan pertanyaan.

            “Tak, aku letak kat depan hotel ni je. Mudah sikit nak bertolak nanti.” Jawapan Adrian itu hanya disambut dengan anggukan.

            Daniel sudah mengangkat begnya dan melangkah keluar dari hotel menuju ke kereta Adrian yang diletakkan dihadapan hotel.

            Ketika dia sedang sibuk menyusun beg didalam boot kereta Adrian, dia terasa lengannya disentuh seseorang.

            Bila dia menoleh, terkejut beruk dia melihat lengannya itu dipegang oleh Cinta. Terasa seperti terkena renjatan elektrik. Sudahlah tidak berlapik. Lidahnya kelu serta-merta. Tarikan nafasnya mula tidak sekata.

            “Saya nak tanya sesuatu boleh?”

            Daniel meneguk liur. Kepalanya mengangguk beberapa kali. Setelah itu barulah Cinta melepaskan pegangannya. Daniel terasa dirinya ibarat patung statue saat ini. Tubuhnya terus kaku selepas dipegang oleh Cinta.

            “Adrian, Jason dan Jessica tahu saya pergi mana malam tu?”

            “Malam bila?”

            “Kat Gold Coast. Saya pergi nightclub. Diorang tahu tak?” soal Cinta kelihatan sedikit gusar.

            Daniel lambat-lambat menggeleng. “Saya tak beritahu. Saya cakap saya jumpa awak tengah-tengah jalan kat kedai cenderamata.”

            Cinta mula mengukir senyuman. Hatinya kembali lega. Syukur, Daniel melindungi maruahnya. Tidak membuatkan imejnya tampak buruk dimata Adrian, Jessica dan Jason Lee. Patutlah keesokan harinya Jessica tidak bertanya apa-apa langsung.

            Sejenak menghayati wajah lelaki itu, Cinta sedar semacam ada sesuatu yang meresap ke dalam kalbunya. Alangkah suci hati seorang Daniel. Dia bukan jenis orang yang suka menceritakan keburukan orang lain. Dan hal itu semakin mendorong keinginan hatinya untuk menyayangi Daniel.

            Cinta mengeluh. Dia mengutuk perbuatannya selama ini. Dia tidak pernah berlaku adil kepada Daniel.

            “Danny, saya tak tahu macam mana nak cakap. Saya banyak kali sakitkan hati awak tapi awak tak pernah berdendam. Tiga tahun saya asyik kutuk awak. Saya nak minta…”

            Daniel terus mengangkat jari dan meletakkan ditepi bibirnya sendiri. Mengisyaratkan Cinta agar tidak meneruskan kata-katanya dan mengingatkan Cinta tentang janji yang pernah dibuat gadis itu agar tidak lagi mengungkit tentang peristiwa yang pernah terjadi antara mereka sebelum ini.

            Mata Cinta berkaca-kaca dengan rasa bersalah yang menggunung tinggi. Dia memandang Daniel dengan rasa terkilan. Barulah kini dia tahu kenapa Daniel memintanya berjanji. Janji yang dianggapnya terlalu mudah kini ibarat batu besar yang menghimpit penyesalan. Rasanya terlalu sakit dan menyeksakan!

            Dia sememangnya sudah merasa bersalah diatas perbuatannya, tetapi keengganan Daniel untuk menyebut lagi tentang apa yang pernah terjadi selama tiga tahun di sini menambah lagi kekesalan hatinya. Beban rasa bersalah yang menghimpit hatinya telah terkepung oleh janji yang pernah dilakukannya.

            Daniel hanya tersenyum tepi melihat wajah Cinta yang mendung. Ketika matanya menoleh sekilas ke arah jalan raya, dia ternampak seorang lelaki tua bertongkat yang ingin melintas jalan seorang diri ke seberang sana. Daniel terus berlari-lari anak ke arah lelaki tua itu dan membantunya melintas jalan. Cinta tersenyum sahaja melihat perilaku Daniel.

            Apabila lelaki tua itu sudah selamat tiba di stesen bas, dekat dengan Hyde Park diseberang jalan, Daniel ingin menyeberang semula ke hotel. Dalam kelekaannya melihat wajah jelita Cinta di tengah-tengah jalan, Daniel sendiri cuai dan tidak menyedari sebuah kereta Falcon GT-F yang sedang meluru ke arahnya.

            Mata Cinta yang sememangnya sedari tadi memandang ke arah Daniel, tergamam melihat kereta Falcon GT-F yang meluncur laju itu.

            “Daniel, ketepi!”

            Daniel menoleh. Dia tergamam melihat kereta yang semakin mendekatinya. Kakinya pula seakan dipaku pada tar jalan. Tubuhnya sudah tidak mampu bergerak dan dia hanya mampu redha dengan nasibnya.

            Cinta pantas berlari mendapatkan Daniel dan menolak lelaki itu sekuat hati. Daniel jatuh terjelepok di bahu jalan.

            Bam!!!

            Telinga Daniel menangkap bunyi dentuman yang kuat. Kepalanya terus menoleh ke jalan raya. Terkedu dirinya saat melihat Cinta yang sudah terbaring di atas tar jalan. Falcon GT-F tadi terbabas terlanggar kereta lain sehingga kemik dibahagian depan. Mungkin terlalu panik sehingga hilang kawalan.

            Dia terus bangun dan berlari mendapatkan Cinta.

            “Cinta! Cinta! Ya Allah, apa awak buat ni?” Daniel memekik kuat.

            Tangannya terus memangku kepala Cinta yang terkulai. Menggigil tubuhnya melihat darah yang mengalir disebalik helaian rambut gadis itu.

            Cinta sudah tidak sedarkan diri. Sikunya melecet dan seluar jeansnya sudah terkoyak dibahagian lutut.

            “Oh god… what’s happening?!” jerit Jason Lee dari jauh. Dia baru sahaja turun bersama beg-beg pakaiannya. Terus dia berlari mendapatkan Daniel dan Cinta bersama Adrian dan Jessica. Orang ramai sudah berkerumun ke arah mereka.

            Jessica cemas melihat kepala Cinta yang sudah berdarah.

            “Danny, kenapa bisa jadi seperti ini?”

            Lidah Daniel sudah kelu untuk bersuara. Hanya kedengaran deruan nafasnya yang kian sesak melihat Cinta yang tidak bermaya.

            “Cepat Danny, kita bawa dia ke hospital!” Jeritan Adrian menyedarkan Daniel.

            Daniel menarik nafas dalam-dalam. Tubuh Cinta terus dicempungnya menuju ke kereta Adrian. Meskipun menyentuh ajnabi bukan kebiasaannya, namun perkara itu terpaksa ditolak ketepi untuk seketika kerana keadaan yang sedang darurat. Mereka semua tiba di St Vincent's Hospital dengan bantuan beberapa orang penduduk tempatan.

            Dua orang jururawat mengangkat tubuh Cinta dan diletakkan di atas stretcher. Cinta dibawa ke bilik rawatan kecemasan. Daniel hanya mampu duduk dikerusi menunggu sambil sesekali meraup wajah.

            “Everything will be just fine. Don't worry, Danny,” pujuk Jason Lee.

            Jessica disebelahnya hanya mampu mengeluh. Sesekali tangannya mengurut dada kerana jantungnya saat ini dirasakan berdegup dengan begitu kencang seperti mahu meletup. Wajahnya pucat kerana lelah. Satu simptom yang biasa sebagai pesakit lemah jantung. Ianya berbahaya, namun Jessica menganggapnya sebagai perkara biasa kerana sering mengalaminya sejak kecil lagi.

            “Iya, Jason benar. Kita berdoa aja. Moga dia baik-baik aja,” sampuknya perlahan.

            Daniel menunduk memandang lantai. Dia benar-benar tidak menjangka apa yang telah Cinta lakukan untuknya hari ini. Cinta sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkannya. Dia tahu ini semua adalah salahnya kerana melintas tanpa melihat kiri kanan.

            “Daniel.” Adrian mendekati sahabatnya selepas bercakap sesuatu dengan jururawat bertugas.

            “Nurse cakap Cinta okey. Dia tak kena langgar dengan kereta pun. Dia sempat mengelak. Mungkin dia cedera sebab terhentak dekat tar jalan.”

            Penjelasan Adrian sedikit sebanyak meredakan beban gelisahnya. Namun dia tetap merasa bersalah.

Kenapa sampai begini Cinta sanggup mempertaruhkan nyawanya? Cinta hanya bernasib baik kerana sempat mengelak. Bagaimana jika dia benar-benar dilanggar? Pasti Daniel akan merasa bersalah seumur hidup.

Tidak lama kemudian seorang doktor keluar dari bilik rawatan. Dia mengizinkan mereka melihat Cinta yang telah sedar dari pengsan. Daniel orang yang mula-mula sekali masuk ke dalam bilik rawatan tersebut. Rasa bersalahnya kian menebal melihat tangan dan kepala Cinta yang berbalut.

“Awak macam mana?”

Cinta menghadiahkan senyuman yang cukup manis kepada lelaki yang sudah bertakhta dihatinya itu. Dia menggagahkan diri untuk bangun dan bersandar di kepala katil. Jessica cepat-cepat membantunya.

“Saya tak apa-apa. Tak serius pun. Nasib baik sempat elak. Kalau tak dah mati dilanggarnya.” Lemah suara itu tapi nadanya tetap bersemangat.

Terpaku dia merenung kedua-dua belah pipi Daniel yang melekuk dalam itu. Dia suka melihat pemuda itu tersenyum, menyerlahkan lagi lesung pipitnya. Lega hatinya kerana lelaki itu baik-baik sahaja.

“Doktor cakap kecederaan awak tak serius. Sekarang pun dah boleh balik. Doktor suruh rehat kat rumah,” sampuk Jason Lee turut menguntumkan sebaris senyuman.

Cinta menarik nafas lega. Nasib baik dia tidak ditahan diwad. Dia tidak mahu kerana kecederaannya, rancangan mereka ingin untuk pulang ke Canberra hari ini tertangguh.

Tidak sampai dua jam di hospital itu, Cinta sudah dibenarkan pulang. Jessica langsung tidak membenarkan Cinta berbuat apa-apa. Dia mengangkat semua beg mereka dan memasukkan ke dalam boot kereta. Akhirnya Cinta hanya mampu berdiri di tepi jalan dan melihat sahaja. Kereta Falcon GT-F yang terbabas tadi masih dikerumuni orang ramai walaupun pemandunya sudah tiada. Mungkin juga sudah dibawa ke hospital.

Cinta menggumam bibir. Dia merasa tidak layak mendapat layanan sebaik ini. Kecederaannya pun bukannya serius sangat. Setakat melecet di lengan dan luka sedikit di kepala. Bukannya lumpuh pun. Dia pengsan tadi pun kerana pening setelah terhentak di tar jalan. Nasib baik tak serius.

“Cinta.”

Cinta menoleh ke arah suara yang memanggil namanya. Adrian berdiri disebelahnya dengan muka yang tanpa emosi.

Cinta mengeluh. Apa lagi agaknya yang Adrian mahu? Adakah Adrian mahu mengatakan dia berlakon untuk mendapatkan simpati? Siapa yang gila sangat sanggup mengambil risiko mempertaruhkan nyawa semata-mata untuk meraih rasa kesian orang lain?

“Apa awak nak?” Daripada panggilan ‘I’ ‘you’ kini telah bertukar kepada ‘saya’ ‘awak’. Sejujurnya, dia sudah letih mahu bergaduh dengan Adrian.

Adrian mengetap gigi gerahamnya.

“Aku… err… saya…” Adrian membetulkan dengan sedikit teragak-agak.

“Saya nak minta maaf.”

“Minta maaf? Awak ada buat salah ke?” Cinta angkat kening kehairanan.

Adrian berjeda seketika dan bersuara. “Saya tahu saya salah sebab selama ni tak pernah beri awak peluang untuk berubah. Saya selalu sakitkan hati awak tapi lepas apa yang awak buat hari ni, saya dah sedar yang awak betul-betul dah berubah. Kalau awak betul-betul accident dilanggar kereta tadi, tentu saya adalah orang yang paling rasa bersalah.”

Terpaku seketika Cinta mendengarnya. Namun tidak lama selepas itu dia tersenyum pula.

“Kalaulah saya tahu dengan cara ni je saya boleh buat orang maafkan saya dan yakin saya dah berubah, dah lama saya biarkan diri saya dilanggar kereta.” Suaranya bernada sinikal.

“Saya cuma tak dapat terima apa yang awak buat pada Daniel dulu. Dia kawan baik saya, saudara rapat saya. Dalam tempoh tiga tahun ni, we have been through a lot together. Mestilah bila dia disakiti, saya rasakan hal yang sama. Cuma mungkin dia bukan jenis melawan, jadi orang senang nak buli dia. Tapi selembut-lembut hatinya, ada kalanya keras jugak. Dan bila hati dia keras, takkan ada sesiapa pun yang mampu merubah keputusan dia,” tutur Adrian panjang lebar.

Dia diam seketika. Mengambil nafas dan bersuara lagi.

“Daniel cuma nak awak berubah lebih baik, Cinta. Sebab tulah walaupun awak dah banyak kali sakitkan hati dia, dia tetap buat baik pada awak. Kejahatan tak semestinya dibalas dengan kejahatan. Dia pernah cakap, siapa yang tidak marah pada masa yang sepatutnya dia marah itu adalah keldai dan siapa yang tidak menghapuskan kemarahannya pada ketika dia mampu, dia adalah syaitan.

Saya sendiri kagum dengan dia. Jarang nampak dia marah, kadang-kadang macam tak marah langsung walau orang suka buat tahi kat dia. Dulu masa mula-mula kenal dia, saya hairan macam mana sebegitu cepat dia lupakan kemarahan dia. Dan bila saya tilik-tilik, rupa-rupanya bila ada masalah dia lagi suka duduk atas sejadah daripada luahkan pada manusia.”

Cinta menunduk. Hanya mampu telan air liur. Sekarang tahulah dia kenapa Daniel tidak pernah marah dengan apa jua yang pernah dilakukannya. Daniel sentiasa kelihatan tenang kerana sering mengadu kepada Allah SWT. Meletakkan pengharapan kepada-Nya seratus-peratus. Itu kunci utamanya.

“Cinta, sudi maafkan saya dan jadi kawan saya?”

Cinta mengangkat muka. Tidak berkelip kelopak matanya memandang Adrian yang sudah mengukir senyuman kepadanya. Buat pertama kalinya sepanjang tiga tahun di bumi Australia, Adrian melemparkan senyuman yang cukup ikhlas kepada gadis yang pernah dibencinya itu.

Cinta menganggukkan kepalanya. “Okey… dan saya pun nak minta maaf atas apa yang pernah terjadi sebelum ni.”

“Thanks,” ucap Adrian sepatah.

“Hei, asyik borak je dua orang yang baru berbaik ni. Kalau tak asyik bercakar je macam King Kong dengan dinosaur. Cepatlah, perjalanan kita jauh lagi ni!” sindir Jason Lee yang sudah siap menyusun barang-barang didalam kereta.

Cinta dan Adrian tergelak. Selepas itu mereka semua meneruskan perjalanan ekspres pulang ke Canberra. Kereta Cinta dipandu oleh Daniel kerana kata mereka Cinta perlu banyak berehat.

Lebih tiga jam didalam kereta, Jessica yang duduk disebelah Cinta akhirnya terlelap. Cinta terus meletakkan kepala Jessica di atas bahunya.

Dulu kata rakan-rakannya, anak-anak orang miskin kotor dan tidak layak untuk disentuh. Tapi rasanya kata-kata itu tidak relevan sama sekali. Lebih kepada bersifat menghina.

Sebenarnya, orang miskin atau kaya sama sahaja. Yang membezakan hanyalah iman dan taqwa. Menyentuh orang miskin tidak kotor, malahan orang-orang seperti Daniel dan Jessica lah yang telah menyedarkan dirinya dari lena yang panjang selama ini.

Segalanya ketentuan Ilahi. Dalam sekelip mata hati manusia boleh diubahnya. Kun faya kun…

            Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia yang Hidup Kekal lagi terus menerus menguruskan (makhluk-Nya), tidak mengantuk dan tidak tidur. Keupayaan-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa-apa yang dihadapan mereka dan dibelakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Baqarah ayat 255)


p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)