p/s: Sila baca PROLOG dulu sebelum baca Bab 1. Hehe...
Sekarang…
“SAYANG, buat apa kat bilik tu? Marilah tolong ikat tali leher
abang!” Suara Adam dari ruang tamu menerbangkan segala perkara yang bermain
dalam minda sedari tadi. Nadya cepat-cepat menyimpan kembali gambar yang
dipegangnya ke dalam almari pakaian.
“Sekejap abang.”
Nadya menyusun langkah keluar dari kamar beradu dan terus mendapatkan suaminya
yang sedang sibuk membelek-belek rambut di hadapan cermin.
Nadya tersenyum
sahaja. Dia tahu benar, suaminya itu suka kelihatan tampan dan kemas setiap
kali ke pejabat.
“Mari Nadya
ikatkan.”
Adam terus
menghadap isterinya. Melihatkan sahaja wajah comel ratu hatinya itu, bibirnya
serta-merta mengukir senyuman yang cukup luas.
Dia menunduk,
memerhati sahaja Nadya yang tekun mengikat tali lehernya. Sudah lebih 7 tahun
berkahwin, dan beginilah rutin mereka hampir setiap pagi. Hanya Nadyalah
penghibur dan tempat dirinya bergelak ketawa kerana sehingga ke saat ini mereka
masih belum dikurniakan cahaya mata.
Selesai mengemaskan
tali leher Adam, Nadya ingin melangkah ke sofa mengambil briefcase suaminya
yang diletakkan di situ, namun Adam lebih cepat menarik tangan isterinya. Tubuh
Nadya terus dipeluknya. Kemas.
“Abang, janganlah
macam ni. Nanti lambat pergi ofis,” ujar Nadya lembut. Sedikit malu kerana dia
masih belum mandi dan masih memakai baju tidur. Sedangkan Adam sudah bergaya
dengan sut dan kemejanya.
Tubuh Adam cuba
ditolaknya perlahan, namun dakapan suaminya itu semakin lama semakin kemas
sehingga akhirnya Nadya tidak mampu bergerak lagi. Akhirnya dia mengalah dan
melentokkan kepala ke dada sasa suaminya itu. Bau haruman yang digunakan Adam
cukup membuatkan jantungnya berlari kencang. Wangian yang sungguh sensual.
“Abang cinta
Nadya,” ungkap Adam, cukup lembut dan perlahan.
Nadya tertawa halus.
“Abang, kenapa ni?”
Adam merungkaikan
sedikit pelukannya. Nadya mendongak. Wajah sang suami dipandang lama. Tidak
berkelip. Wajah inilah yang sudah menemani hari-harinya tidak kira semasa susah
mahupun senang sejak dulu lagi.
“Sayang lupa hari
ni hari apa?”
Berkerut muka Nadya
mendengar pertanyaan itu.
“Hari apa, abang?”
“Birthday
sayanglah. Hari ni sayang officially dah masuk umur 32 tahun!”
Nadya terpempan
untuk seketika. Kemudian dia ketawa seraya menepuk dahi.
“Allah… Nadya
betul-betul lupa. Sejak akhir-akhir ni busy uruskan butik. Kan butik tengah
buat renovation. Kejap lagi ibu…”
Belum pun sempat
Nadya menyudahkan ayatnya, Adam terus mengucup bibir isterinya itu. Lama bibir
mereka bertaut sehingga membuatkan Nadya terbuai untuk seketika.
“Dah, berhenti
bercakap. Hal butik tu uruskan kat butik. Bila kita berdua, jangan cakap
tentang kerja,” ujar Adam perlahan dengan mata tajam yang memanah ke dalam anak
mata isterinya.
Nadya mengetap
bibir. Lambat-lambat kepalanya dianggukkan dengan wajah yang sedikit kemerahan.
Oh, cium sebab nak suruh berhenti bercakap aja ya?
“Abang pergi ofis
dulu. Nanti bila abang balik, pakai cantik-cantik. Abang nak dinner dengan
sayang malam ni,” pesan Adam. Hidung comel isterinya dicuit manja.
Nadya mengangguk seraya
menguntumkan senyuman. Dia terus menuruti suaminya melangkah ke muka pintu. Sejak
mula-mula berkahwin hinggalah sekarang, mereka hanya tinggal berdua sahaja di
kondominium mewah ini. Meskipun pernah Adam menawarkan untuk mencarikan
pembantu rumah untuk meringankan beban tugas isterinya itu, namun Nadya menolak
kerana lebih selesa menguruskan rumah tangganya sendiri. Dia ingin menjaga
makan pakai Adam dengan air tangannya sendiri.
Selesai Adam
menyarungkan kasutnya, tubuh Nadya sekali lagi diraih ke dalam pelukannya. Dahi
serta pipi Nadya dicium lembut sebelum pelukan dileraikan.
Nadya pula
menyambut tangan suaminya dan dikucup syahdu.
“Gonna miss you, my
angel,” luah Adam. Sepanjang 7 tahun mengemudi bahtera rumah tangga,
dia sering cuba menyemai rasa rindu-rinduan. Ingin mengeratkan hubungan yang
telah terbina sejak 7 tahun dengan luahan rasa rindu dan sayang. Mungkin ini
rahsia rumah tangga mereka kekal bahagia walaupun belum dikurniakan anak.
Adam sendiri tidak
kisah sekiranya ditanya orang disekelilingnya tentang anak. Baginya, itu semua
rezeki dari Allah SWT. Mungkin belum ada rezeki dia untuk menimang cahaya mata
sendiri. Kalau ada rezeki, dia akan menerimanya dengan hati yang gembira. Dan
jika belum ada, maka dia akan terus menunggu dan berusaha.
“Gonna miss you
too, hubby.” Nadya membalas.
Selepas Adam pergi
ke ofis, Nadya melangkah semula ke kamar. Gambar yang disimpannya didalam
almari pakaian tadi diambilnya semula.
Nadya menghela
nafas panjang. Gambar majlis pertunangannya dengan arwah Hafiz ditenungnya lagi.
Gambar yang dirasakan begitu menggamit memori dan perasaannya. Teringat
kejadian yang berlaku 8 tahun yang lalu. Arwah Hafiz meninggal dunia kerana
kemalangan jalan raya semasa hari lahirnya yang ke-24.
Kadang-kala
terdetik juga dihatinya, adakah dia berdosa kerana sering mengimbau kembali
memori bersama lelaki lain yang bukan suaminya? Tidak, hatinya sudah menjadi
milik Adam. Dia sudah mencintai suaminya dengan sepenuh hati, cuma dia tidak
dapat melupakan arwah Hafiz sehingga ke hari ini kerana amanat terakhir dari
lelaki itu.
Arwah Hafiz mahu
Adam mencari kembarnya semula. Dan kini sudah 7 tahun Adam berusaha, namun
usahanya itu seakan tidak membuahkan sebarang hasil. Kembar Naim Mohd Hafiz
seolah-olah hilang seperti tidak pernah wujud.
Sepanjang dalam
tempoh pencarian, Adam juga dibantu oleh ibu bapa arwah Hafiz, Tan Sri
Jamaluddin dan Puan Sri Azila. Kini kembar Hafizlah satu-satunya anak mereka
selepas Hafiz meninggal dunia. Cuma sehingga kini mereka tidak dapat memastikan
dimanakah keberadaan kembar Hafiz itu. Kalau masih hidup, di mana dia? Dan
kalau sudah meninggal dunia, dimanakah pusaranya?
“Ya Allah, bantulah
kami. Bantulah kami dalam meneruskan pencarian ini…” Itulah doanya yang tidak
putus-putus sejak dahulu lagi. Semoga mereka semua berjaya dalam misi ini.
Semoga Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila bersatu kembali dengan anak mereka
setelah terpisah lebih 30 tahun.
Gambar yang
digenggamnya disimpan kembali. Dia terus melangkah ke bilik air. Mahu
bersiap-siap untuk ke butiknya pula.
***********************************
Auckland, New Zealand
ADRIAN tersenyum dan memejamkan matanya. Dia menarik nafas
dalam-dalam dan cuba menghidu bau alam dan bau rumput-rumput hijau didalam
udara pagi yang menyegarkan. Panorama indah bandar Auckland kelihatan
terbentang luas dari puncak Mount Eden yang berketinggian 197 meter itu. Ia
merupakan puncak tertinggi di Auckland.
Lambat-lambat dia
membuka kelopak mata. Anak matanya yang hitam pekat memandang ke arah sebuah kawah
gunung berapi yang besar dan kini telah ditumbuhi dengan rumput hijau dan telah
menjadi padang meragut kambing biri-biri. Bibirnya tersenyum tenang tatkala
melihat seorang lelaki tua yang sedang mengembala kambing-kambingnya di situ.
Subhanallah, pemandangan yang cukup indah.
Encik Jamal yang
duduk disebelah anaknya itu tertawa kecil melihat Adrian. Sedar tak sedar,
Adrian kini sudah masuk usia awal 30-an. Dia begitu sibuk dengan urusan
bisnesnya sehingga tidak menyedari anaknya itu kini sudah dewasa sepenuhnya.
Dan yang
sebenarnya, Adrian bukanlah anak kandungnya. Adrian hanya anak saudaranya, anak
kepada abangnya yang dibela sejak kecil lagi. Kasih sayang dan perhatian yang
melimpah-ruah dicurahkan kepada Adrian tidak berbelah bahagi membuatkan dia menyayangi
Adrian melebihi segala-galanya.
“Adrian, bila
Adrian nak balik Malaysia?” Suara Encik Jamal memecah kebisuan.
Adrian berpaling
memandang wajah Encik Jamal.
“Esok. Adrian
takkan ambil masa lama pun. Adrian datang sini pun sebab nak jenguk daddy je.
Kat Malaysia tu bukannya Adrian ada sesiapa pun,” ujar Adrian perlahan.
“Tak ada sesiapa?
Eh, Daniel kawan baik Adrian tu kan ada kat sana?” soal Encik Jamal pelik.
Adrian tersenyum
sumbing.
“Memanglah, tapi
dia dah kahwin, daddy. Dia ada hidup dia sendiri. Adrian ni bujang lagi, tak
sama macam orang dah kahwin,” tukasnya seraya tertawa dihujung suara.
Daniel. Kadang-kala
dia cemburu dengan kehidupan sahabat baiknya itu. Daniel sudah berkahwin dengan
seorang gadis cantik bernama Cinta Aulia dan kini dikurniakan seorang cahaya
mata perempuan yang comel, diberi nama Nur Qaseh Dania.
Kehidupan
sahabatnya cukup lengkap dan sempurna. Cuma dia yang masih menyendiri. Bukan tidak ada gadis yang sudi menjadi suri
hidupnya, tapi entahlah… semenjak kematian bakal isterinya 7 tahun yang lalu,
hatinya seakan sudah tertutup untuk menerima gadis lain dalam hidupnya. Dia
tidak mampu mencintai mana-mana gadis seperti dia mencintai Jessica Lidya
Arfan.
“Kalau macam tu
cepat-cepatlah kahwin. Daddy pun dah lama rasa nak timang cucu.” Encik Jamal
cuba mengusik.
Adrian menyepi.
Usikan daddynya itu tidak menghiburkan hatinya. Berkahwin? Entah. Kalau boleh
dia ingin membujang sahaja seumur hidupnya, dengan harapan dia bertemu jodoh
dengan arwah Jessica di syurga nanti. Bolehkah begitu?
“Adrian, kamu bukan
jodoh aku didunia ini. Tapi… aku berdoa agar Allah menetapkan jodoh kita… di
syurga nanti. Aku mencintai kamu sepenuh hati aku, Adrian. Dan aku akan
mencintai kamu sehingga habis nyawa aku.” Kata-kata itu bagai terngiang-ngiang
di cuping telinganya. Kata-kata terakhir sebelum Jessica menghembuskan nafas
terakhirnya. Gadis kesayangannya itu meninggal dunia kerana penyakit lemah
jantung yang dihidapinya sejak kecil lagi.
Arwah Jessica.
Gadis Indonesia yang ayu. Jessica yang bertudung litup dan cukup cantik pada
pandangan mata Adrian.
Sekali lagi Adrian
memejamkan matanya. Nafas yang kian sesak dan dada yang berombak cuba
ditahankan. Tangannya digenggam kemas. Cuba mencari kekuatan yang tersimpan
didalam diri sendiri.
Entah kenapa,
hatinya sering dirundung duka setiap kali mengingati arwah Jessica. Sudah 7
tahun Jessica pergi, dan 7 tahun juga dia akan menangis setiap kali mengingati
gadis itu.
Dia hanya tersedar
apabila terasa jari-jemari tua Encik Jamal memegang tangannya. Dia tidak
mengendahkan dan hanya membiarkan diri sendiri tenggelam dalam kenangan memori
silam.
Pelbagai peristiwa
suka dan duka yang dilaluinya ketika dia masih menuntut di Australian National
University (ANU) Canberra, Australia tujuh tahun yang lalu. Mereka empat
sekawan; Adrian, Jessica, Daniel dan Jason Lee. Sering bersama tidak kira walau
apa pun yang berlaku.
Dia dan Jessica
bukanlah pasangan bercinta. Mereka hanya berkawan biasa. Sama seperti Adrian
berkawan dengan Daniel dan Jason Lee. Cuma setelah tamat pengajian, Jessica
bekerja di anak syarikat Encik Jamal yang diterajui oleh Adrian di Malaysia,
Brilliant Sdn. Bhd, Adrian telah melamar Jessica untuk menjadi isterinya. Adrian
tidak mahu bercinta kerana dia menginginkan Jessica sebagai pasangan yang halal
dalam hidupnya.
Namun sayang,
manusia hanya merancang Allah yang menentukan. Ketika mereka merencana mahligai
indah bersama, Jessica telah jatuh sakit kerana menghadapi masalah jantung
peringkat kronik. Dan setelah Jessica menghembuskan nafas terakhirnya di Prince
Court Medical Centre, jenazahnya dibawa pulang ke kampung halamannya di
Surabaya, Indonesia.
Sungguh, dia
menyintai Jessica dan rasa cintanya semakin bertambah semenjak kematian gadis
itu. Tidak! Tidak mungkin dia akan mencari pengganti Jessica. Jika ditakdirkan
hatinya tidak berjaya ditembusi oleh mana-mana gadis, biarlah dia terus begini.
Dan dia rela menyendiri seumur hidupnya.
Daniel sudah
mendirikan rumah tangga dan Jason Lee juga begitu. Jason Lee yang berbangsa
Cina itu sudah masuk Islam dan berkahwin dengan seorang wanita berbangsa
Arab-Inggeris dan kini menetap di United Kingdom bersama keluarganya.
Adrian mengakui dia
kesunyian di Malaysia. Encik Jamal menetap terus di Auckland dan menguruskan
syarikat induk di sini sementara dia pula menguruskan anak syarikat di
Malaysia. Tetapi dia beruntung kerana Daniel sudi menerima kunjungannya. Hanya
kepada keluarga Daniel lah dia menumpang kasih. Terubat sedikit kesunyiannya
setiap kali melayani keletah anak perempuan Daniel yang mesra dipanggil Dania
itu.
“Ya Rabb,
tetapkanlah hati ini dalam keimanan kepada-Mu sehingga ke akhir waktu…” doa
Adrian tulus. Cukup perlahan suaranya. Dan kemudian dia kembali membuka mata
dan tersenyum.
Moga hati aku kuat
menahan rindu ini, desis hatinya.
Encik Jamal
tersenyum tenang. Meskipun perlahan, namun dia dapat mendengar doa yang dibaca
oleh anaknya itu. Sejuk hatinya melihat Adrian. Dia tahu dia dan arwah
isterinya sudah membesarkan Adrian dengan baik. Dia sudah memberikan bekalan
ilmu agama yang cukup untuk Adrian.
Ya, dia tahu
anaknya itu bersedih. Dia tahu Adrian sering terluka mengenangkan perkahwinan
yang tidak kesampaian bersama arwah Jessica, namun dia yakin Adrian sudah redha
dan menerima segala ketentuan dari Allah SWT. Sentiasa yakin dengan setiap
perancangan dari-Nya, kerana Dia tahu apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.
'Dan milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan (pengetahuan) Allah meliputi segala sesuatu.' (Surah An-Nisa, 4:126)
'Dan milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan (pengetahuan) Allah meliputi segala sesuatu.' (Surah An-Nisa, 4:126)
“Kenapa sampai
sekarang Adrian tak nak cari kembar Adrian tu?” Encik Jamal menyoal.
Adrian menelan air
liur. Kesat. Dia tersenyum tepi seraya mengangkat bahu.
“Entah, Adrian selesa dengan apa yang Adrian ada sekarang,” jawabnya.
“Adrian tak nak
kenal ibu bapa kandung Adrian sendiri?” duga Encik Jamal.
Dia merenung
anaknya yang diam menunduk seperti sedang berfikir. Dulu selepas kematian arwah
isterinya, dia sudah menceritakan segala-galanya kepada Adrian. Dia sudah
membongkarkan segala rahsia yang dipegang kemasnya selama ini.
Adrian tahu Encik
Jamal cuma ayah saudaranya dan dia dapat menerimanya dengan hati yang terbuka.
Cuma sehingga ke saat ini dia belum menunaikan hasrat Encik Jamal yang satu
itu. Encik Jamal mahu dia mencari ibu bapa kandungnya semula kerana Adrian
sebenarnya mempunyai seorang saudara kembar!
Jauh di sudut hati,
Encik Jamal masih dibelenggu rasa bersalah. Dia tahu dia sememangnya bersalah
kerana telah memusnahkan kepercayaan abang dan kakak iparnya 30 tahun yang
lalu. Jamaluddin dan Azila!
Mengikut syarat
yang diberikan oleh Jamaluddin, dia dan isterinya, Puan Sophia perlu
menyerahkan semula Adrian kepadanya setelah usia Adrian mencecah 10 tahun.
Namun dek kerana terlalu menyayangi Adrian dan tidak memiliki zuriat sendiri
bersama isterinya, Encik Jamal dan isterinya nekad membawa Adrian pergi selepas
baru dua bulan Adrian diserahkan kepada mereka.
Adrian dibawa lari
ke Auckland, kampung halaman Puan Sophia. Wanita itu merupakan bangsa Inggeris New
Zealand dan masuk Islam selepas berkahwin dengan Encik Jamal. Mereka yakin di
bumi kiwi ini, tiada siapa yang dapat mencari mereka. Encik Jamal benar-benar
nekad bertindak memutuskan tali persaudaraan dengan menukar nombor telefon dan
berpindah syarikat induknya ke New Zealand.
Dan dengan pengaruh
yang dimilikinya, Encik Jamal telah menukar sijil kelahiran Adrian. Adrian yang
sebelum ini bernama Mohd Hafizuddin telah diubah namanya kepada Muhammad Hafiz
Adrian. Semua ini dilakukannya agar Jamaluddin dan Azila tidak dapat menjejaki
mereka.
Adrian dibesarkan
di bumi New Zealand sehingga berusia 9 tahun. Dek kerana risau Adrian tidak
tahu bertutur dalam Bahasa Melayu kerana bergaul dengan anak-anak mat saleh di
sekolah, Encik Jamal dan Puan Sophia akhirnya membawa Adrian pulang semula ke Malaysia.
Semata-mata kerana mahu Adrian mahir bertutur dalam bahasa ibundanya.
Dan di Malaysia
pula, mereka kerap berpindah-randah. Tidak tinggal lama di sesebuah tempat
kerana khuatir Jamaluddin dan Azila berjaya menemui mereka. Adrian kerap
bertukar sekolah. Membuatkan dia tidak punya ramai kenalan dan rakan.
Selepas tamat
peperiksaan SPM, barulah mereka kembali membawa Adrian tinggal di New Zealand.
Sekurang-kurangnya apabila bersekolah di Malaysia, Adrian sudah tahu bercakap
dalam bahasa Melayu. Beberapa tahun selepas itu Adrian dihantar pula
melanjutkan pelajaran ke Australian National University (ANU) di Canberra,
Australia.
Namun setelah Puan
Sophia meninggal dunia 8 tahun lalu, barulah Encik Jamal tersedar. Sampai bila
dia harus hidup dalam ketakutan? Sampai bila dia harus menyembunyikan Adrian?
Dan sampai bila dia harus menipu Adrian tentang siapa dirinya yang sebenar?
Dia baru menyedari bahawa
dirinya selama ini hidup dalam keadaan berdosa kerana telah memutuskan pertalian
antara Adrian dengan kedua ibu bapa kandungnya. Kerana itu dia menceritakan
segala-galanya kepada Adrian. Dia mahu Adrian mengenali siapa orang tuanya yang
sebenar.
Dan sekarang sudah
8 tahun berlalu. Sudah 8 tahun Adrian mengetahui hakikat itu, namun Adrian tidak
pernah mengambil langkah untuk mencari ibu bapa kandung dan saudara kembarnya. Hatinya
bagaikan sudah tertutup untuk mengenali orang baru. Yang Adrian punya kini cuma
Encik Jamal, kawannya baiknya Daniel dan kenangan silamnya bersama arwah
Jessica.
“Entah… Adrian
keliru, daddy. Kalau daddy nak, daddylah tolong carikan ibu bapa kandung
Adrian,” putus Adrian akhirnya.
Encik Jamal
melepaskan keluhan. Sejujurnya, dia sendiri tidak tahu di mana lokasi abang dan
kakak iparnya itu. Beberapa tahun yang lepas, dia pernah cuba pergi ke alamat
rumah lama yang disimpannya 30 tahun yang lalu, namun usahanya menemui
kegagalan kerana rupa-rupanya mereka sudah berpindah dan menjual rumah tersebut.
“Adrian…”
“Ya, daddy?”
Encik Jamal
menghela nafas perlahan. Sinar matanya yang redup dan penuh kebapaan itu merenung
wajah Adrian.
“Daddy terpaksa
tinggal dekat sini, sebab syarikat induk kita bertapak di sini. Tapi Adrian
tinggal dekat Malaysia, dah dekat sangat dengan ibu bapa kandung Adrian.
Tolonglah nak, daddy mohon supaya Adrian penuhi permintaan daddy…”
Adrian menggumam
bibir. Air liurnya ditelan lagi. Mana mungkin dia tegar menolak permintaan
seorang ayah yang sudah membesarkannya dengan segala pekat tepu kasih sayang
selama ini. Kerana selama dia menghirup udara di muka bumi ini, Encik Jamal
tidak pernah menolak apa jua permintaannya. Apa sahaja!
Jika Encik Jamal
sudah menunaikan beribu-ribu kemahuannya, kenapa dia tidak boleh menunaikan
permintaan Encik Jamal yang satu itu? Hanya satu. Takkan dia mahu menolaknya?
“Insya-Allah,
daddy. Adrian akan cuba.”
Tersenyum lega
Encik Jamal mendengarnya. Kepala Adrian dibelai-belai lembut. Alhamdulillah…
dia tahu Adrian pasti tidak akan menghampakan dirinya. Doanya agar Adrian
segera dipertemukan dengan Jamaluddin dan Azila, kerana dia sudah tidak sanggup
lagi menanggung beban dosa yang merengkuh ingatan saban waktu.
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)
p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)
7 comments:
aaaaaaaaaaaaaa!!!!!!!
adrian!!!!!!!!!!!!!!!!
oh adrian...huhu.... sambung lagi.x sabar nk tahu apa akn jd bila adam,nadya btemu dgn adrian
awww sweetnye adam ngan nadya.tp cam kejam ke xde anak.huhuhuhu
harap mereka bertemu semula... next n3 pls.tq
omg.....adrian1000X!!i love you
lain mcm je kali ni.harap2 kemunculan adrian xkan beri kesan pd nadya n adam.jgnlah dipisahkan psgn bahagia itu
Terasa berat...
Berat dalam bahagia.
Beban dalam derita...
😟
Post a Comment