Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Tuesday, March 17, 2015

Kau Bidadariku... 1


p/s: Sila baca PROLOG dulu sebelum baca Bab 1. Hehe...

Sekarang…

“SAYANG, buat apa kat bilik tu? Marilah tolong ikat tali leher abang!” Suara Adam dari ruang tamu menerbangkan segala perkara yang bermain dalam minda sedari tadi. Nadya cepat-cepat menyimpan kembali gambar yang dipegangnya ke dalam almari pakaian.

            “Sekejap abang.” Nadya menyusun langkah keluar dari kamar beradu dan terus mendapatkan suaminya yang sedang sibuk membelek-belek rambut di hadapan cermin.

            Nadya tersenyum sahaja. Dia tahu benar, suaminya itu suka kelihatan tampan dan kemas setiap kali ke pejabat.

            “Mari Nadya ikatkan.”

            Adam terus menghadap isterinya. Melihatkan sahaja wajah comel ratu hatinya itu, bibirnya serta-merta mengukir senyuman yang cukup luas.

            Dia menunduk, memerhati sahaja Nadya yang tekun mengikat tali lehernya. Sudah lebih 7 tahun berkahwin, dan beginilah rutin mereka hampir setiap pagi. Hanya Nadyalah penghibur dan tempat dirinya bergelak ketawa kerana sehingga ke saat ini mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.

            Selesai mengemaskan tali leher Adam, Nadya ingin melangkah ke sofa mengambil briefcase suaminya yang diletakkan di situ, namun Adam lebih cepat menarik tangan isterinya. Tubuh Nadya terus dipeluknya. Kemas.

            “Abang, janganlah macam ni. Nanti lambat pergi ofis,” ujar Nadya lembut. Sedikit malu kerana dia masih belum mandi dan masih memakai baju tidur. Sedangkan Adam sudah bergaya dengan sut dan kemejanya.

            Tubuh Adam cuba ditolaknya perlahan, namun dakapan suaminya itu semakin lama semakin kemas sehingga akhirnya Nadya tidak mampu bergerak lagi. Akhirnya dia mengalah dan melentokkan kepala ke dada sasa suaminya itu. Bau haruman yang digunakan Adam cukup membuatkan jantungnya berlari kencang. Wangian yang sungguh sensual.

            “Abang cinta Nadya,” ungkap Adam, cukup lembut dan perlahan.

            Nadya tertawa halus. “Abang, kenapa ni?”

            Adam merungkaikan sedikit pelukannya. Nadya mendongak. Wajah sang suami dipandang lama. Tidak berkelip. Wajah inilah yang sudah menemani hari-harinya tidak kira semasa susah mahupun senang sejak dulu lagi.

            “Sayang lupa hari ni hari apa?”

            Berkerut muka Nadya mendengar pertanyaan itu.

            “Hari apa, abang?”

            “Birthday sayanglah. Hari ni sayang officially dah masuk umur 32 tahun!”

            Nadya terpempan untuk seketika. Kemudian dia ketawa seraya menepuk dahi.

            “Allah… Nadya betul-betul lupa. Sejak akhir-akhir ni busy uruskan butik. Kan butik tengah buat renovation. Kejap lagi ibu…”

            Belum pun sempat Nadya menyudahkan ayatnya, Adam terus mengucup bibir isterinya itu. Lama bibir mereka bertaut sehingga membuatkan Nadya terbuai untuk seketika.

            “Dah, berhenti bercakap. Hal butik tu uruskan kat butik. Bila kita berdua, jangan cakap tentang kerja,” ujar Adam perlahan dengan mata tajam yang memanah ke dalam anak mata isterinya.

            Nadya mengetap bibir. Lambat-lambat kepalanya dianggukkan dengan wajah yang sedikit kemerahan. Oh, cium sebab nak suruh berhenti bercakap aja ya?

            “Abang pergi ofis dulu. Nanti bila abang balik, pakai cantik-cantik. Abang nak dinner dengan sayang malam ni,” pesan Adam. Hidung comel isterinya dicuit manja.

            Nadya mengangguk seraya menguntumkan senyuman. Dia terus menuruti suaminya melangkah ke muka pintu. Sejak mula-mula berkahwin hinggalah sekarang, mereka hanya tinggal berdua sahaja di kondominium mewah ini. Meskipun pernah Adam menawarkan untuk mencarikan pembantu rumah untuk meringankan beban tugas isterinya itu, namun Nadya menolak kerana lebih selesa menguruskan rumah tangganya sendiri. Dia ingin menjaga makan pakai Adam dengan air tangannya sendiri.

            Selesai Adam menyarungkan kasutnya, tubuh Nadya sekali lagi diraih ke dalam pelukannya. Dahi serta pipi Nadya dicium lembut sebelum pelukan dileraikan.

            Nadya pula menyambut tangan suaminya dan dikucup syahdu.

            “Gonna miss you, my angel,” luah Adam. Sepanjang 7 tahun mengemudi bahtera rumah tangga, dia sering cuba menyemai rasa rindu-rinduan. Ingin mengeratkan hubungan yang telah terbina sejak 7 tahun dengan luahan rasa rindu dan sayang. Mungkin ini rahsia rumah tangga mereka kekal bahagia walaupun belum dikurniakan anak.

            Adam sendiri tidak kisah sekiranya ditanya orang disekelilingnya tentang anak. Baginya, itu semua rezeki dari Allah SWT. Mungkin belum ada rezeki dia untuk menimang cahaya mata sendiri. Kalau ada rezeki, dia akan menerimanya dengan hati yang gembira. Dan jika belum ada, maka dia akan terus menunggu dan berusaha.

            “Gonna miss you too, hubby.” Nadya membalas.

            Selepas Adam pergi ke ofis, Nadya melangkah semula ke kamar. Gambar yang disimpannya didalam almari pakaian tadi diambilnya semula.

            Nadya menghela nafas panjang. Gambar majlis pertunangannya dengan arwah Hafiz ditenungnya lagi. Gambar yang dirasakan begitu menggamit memori dan perasaannya. Teringat kejadian yang berlaku 8 tahun yang lalu. Arwah Hafiz meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya semasa hari lahirnya yang ke-24.

            Kadang-kala terdetik juga dihatinya, adakah dia berdosa kerana sering mengimbau kembali memori bersama lelaki lain yang bukan suaminya? Tidak, hatinya sudah menjadi milik Adam. Dia sudah mencintai suaminya dengan sepenuh hati, cuma dia tidak dapat melupakan arwah Hafiz sehingga ke hari ini kerana amanat terakhir dari lelaki itu.

            Arwah Hafiz mahu Adam mencari kembarnya semula. Dan kini sudah 7 tahun Adam berusaha, namun usahanya itu seakan tidak membuahkan sebarang hasil. Kembar Naim Mohd Hafiz seolah-olah hilang seperti tidak pernah wujud.

            Sepanjang dalam tempoh pencarian, Adam juga dibantu oleh ibu bapa arwah Hafiz, Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila. Kini kembar Hafizlah satu-satunya anak mereka selepas Hafiz meninggal dunia. Cuma sehingga kini mereka tidak dapat memastikan dimanakah keberadaan kembar Hafiz itu. Kalau masih hidup, di mana dia? Dan kalau sudah meninggal dunia, dimanakah pusaranya?

            “Ya Allah, bantulah kami. Bantulah kami dalam meneruskan pencarian ini…” Itulah doanya yang tidak putus-putus sejak dahulu lagi. Semoga mereka semua berjaya dalam misi ini. Semoga Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila bersatu kembali dengan anak mereka setelah terpisah lebih 30 tahun.

            Gambar yang digenggamnya disimpan kembali. Dia terus melangkah ke bilik air. Mahu bersiap-siap untuk ke butiknya pula.
***********************************

Auckland, New Zealand

ADRIAN tersenyum dan memejamkan matanya. Dia menarik nafas dalam-dalam dan cuba menghidu bau alam dan bau rumput-rumput hijau didalam udara pagi yang menyegarkan. Panorama indah bandar Auckland kelihatan terbentang luas dari puncak Mount Eden yang berketinggian 197 meter itu. Ia merupakan puncak tertinggi di Auckland.

            Lambat-lambat dia membuka kelopak mata. Anak matanya yang hitam pekat memandang ke arah sebuah kawah gunung berapi yang besar dan kini telah ditumbuhi dengan rumput hijau dan telah menjadi padang meragut kambing biri-biri. Bibirnya tersenyum tenang tatkala melihat seorang lelaki tua yang sedang mengembala kambing-kambingnya di situ. Subhanallah, pemandangan yang cukup indah.

            Encik Jamal yang duduk disebelah anaknya itu tertawa kecil melihat Adrian. Sedar tak sedar, Adrian kini sudah masuk usia awal 30-an. Dia begitu sibuk dengan urusan bisnesnya sehingga tidak menyedari anaknya itu kini sudah dewasa sepenuhnya.

            Dan yang sebenarnya, Adrian bukanlah anak kandungnya. Adrian hanya anak saudaranya, anak kepada abangnya yang dibela sejak kecil lagi. Kasih sayang dan perhatian yang melimpah-ruah dicurahkan kepada Adrian tidak berbelah bahagi membuatkan dia menyayangi Adrian melebihi segala-galanya.

            “Adrian, bila Adrian nak balik Malaysia?” Suara Encik Jamal memecah kebisuan.

            Adrian berpaling memandang wajah Encik Jamal.

            “Esok. Adrian takkan ambil masa lama pun. Adrian datang sini pun sebab nak jenguk daddy je. Kat Malaysia tu bukannya Adrian ada sesiapa pun,” ujar Adrian perlahan.

            “Tak ada sesiapa? Eh, Daniel kawan baik Adrian tu kan ada kat sana?” soal Encik Jamal pelik.

            Adrian tersenyum sumbing.

            “Memanglah, tapi dia dah kahwin, daddy. Dia ada hidup dia sendiri. Adrian ni bujang lagi, tak sama macam orang dah kahwin,” tukasnya seraya tertawa dihujung suara.

            Daniel. Kadang-kala dia cemburu dengan kehidupan sahabat baiknya itu. Daniel sudah berkahwin dengan seorang gadis cantik bernama Cinta Aulia dan kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang comel, diberi nama Nur Qaseh Dania.

            Kehidupan sahabatnya cukup lengkap dan sempurna. Cuma dia yang masih menyendiri.  Bukan tidak ada gadis yang sudi menjadi suri hidupnya, tapi entahlah… semenjak kematian bakal isterinya 7 tahun yang lalu, hatinya seakan sudah tertutup untuk menerima gadis lain dalam hidupnya. Dia tidak mampu mencintai mana-mana gadis seperti dia mencintai Jessica Lidya Arfan.

            “Kalau macam tu cepat-cepatlah kahwin. Daddy pun dah lama rasa nak timang cucu.” Encik Jamal cuba mengusik.

            Adrian menyepi. Usikan daddynya itu tidak menghiburkan hatinya. Berkahwin? Entah. Kalau boleh dia ingin membujang sahaja seumur hidupnya, dengan harapan dia bertemu jodoh dengan arwah Jessica di syurga nanti. Bolehkah begitu?

            “Adrian, kamu bukan jodoh aku didunia ini. Tapi… aku berdoa agar Allah menetapkan jodoh kita… di syurga nanti. Aku mencintai kamu sepenuh hati aku, Adrian. Dan aku akan mencintai kamu sehingga habis nyawa aku.” Kata-kata itu bagai terngiang-ngiang di cuping telinganya. Kata-kata terakhir sebelum Jessica menghembuskan nafas terakhirnya. Gadis kesayangannya itu meninggal dunia kerana penyakit lemah jantung yang dihidapinya sejak kecil lagi.

            Arwah Jessica. Gadis Indonesia yang ayu. Jessica yang bertudung litup dan cukup cantik pada pandangan mata Adrian.

            Sekali lagi Adrian memejamkan matanya. Nafas yang kian sesak dan dada yang berombak cuba ditahankan. Tangannya digenggam kemas. Cuba mencari kekuatan yang tersimpan didalam diri sendiri.

            Entah kenapa, hatinya sering dirundung duka setiap kali mengingati arwah Jessica. Sudah 7 tahun Jessica pergi, dan 7 tahun juga dia akan menangis setiap kali mengingati gadis itu.

            Dia hanya tersedar apabila terasa jari-jemari tua Encik Jamal memegang tangannya. Dia tidak mengendahkan dan hanya membiarkan diri sendiri tenggelam dalam kenangan memori silam.

            Pelbagai peristiwa suka dan duka yang dilaluinya ketika dia masih menuntut di Australian National University (ANU) Canberra, Australia tujuh tahun yang lalu. Mereka empat sekawan; Adrian, Jessica, Daniel dan Jason Lee. Sering bersama tidak kira walau apa pun yang berlaku.

            Dia dan Jessica bukanlah pasangan bercinta. Mereka hanya berkawan biasa. Sama seperti Adrian berkawan dengan Daniel dan Jason Lee. Cuma setelah tamat pengajian, Jessica bekerja di anak syarikat Encik Jamal yang diterajui oleh Adrian di Malaysia, Brilliant Sdn. Bhd, Adrian telah melamar Jessica untuk menjadi isterinya. Adrian tidak mahu bercinta kerana dia menginginkan Jessica sebagai pasangan yang halal dalam hidupnya.

            Namun sayang, manusia hanya merancang Allah yang menentukan. Ketika mereka merencana mahligai indah bersama, Jessica telah jatuh sakit kerana menghadapi masalah jantung peringkat kronik. Dan setelah Jessica menghembuskan nafas terakhirnya di Prince Court Medical Centre, jenazahnya dibawa pulang ke kampung halamannya di Surabaya, Indonesia.

            Sungguh, dia menyintai Jessica dan rasa cintanya semakin bertambah semenjak kematian gadis itu. Tidak! Tidak mungkin dia akan mencari pengganti Jessica. Jika ditakdirkan hatinya tidak berjaya ditembusi oleh mana-mana gadis, biarlah dia terus begini. Dan dia rela menyendiri seumur hidupnya.

            Daniel sudah mendirikan rumah tangga dan Jason Lee juga begitu. Jason Lee yang berbangsa Cina itu sudah masuk Islam dan berkahwin dengan seorang wanita berbangsa Arab-Inggeris dan kini menetap di United Kingdom bersama keluarganya.

            Adrian mengakui dia kesunyian di Malaysia. Encik Jamal menetap terus di Auckland dan menguruskan syarikat induk di sini sementara dia pula menguruskan anak syarikat di Malaysia. Tetapi dia beruntung kerana Daniel sudi menerima kunjungannya. Hanya kepada keluarga Daniel lah dia menumpang kasih. Terubat sedikit kesunyiannya setiap kali melayani keletah anak perempuan Daniel yang mesra dipanggil Dania itu.

            “Ya Rabb, tetapkanlah hati ini dalam keimanan kepada-Mu sehingga ke akhir waktu…” doa Adrian tulus. Cukup perlahan suaranya. Dan kemudian dia kembali membuka mata dan tersenyum.

            Moga hati aku kuat menahan rindu ini, desis hatinya.

            Encik Jamal tersenyum tenang. Meskipun perlahan, namun dia dapat mendengar doa yang dibaca oleh anaknya itu. Sejuk hatinya melihat Adrian. Dia tahu dia dan arwah isterinya sudah membesarkan Adrian dengan baik. Dia sudah memberikan bekalan ilmu agama yang cukup untuk Adrian.

            Ya, dia tahu anaknya itu bersedih. Dia tahu Adrian sering terluka mengenangkan perkahwinan yang tidak kesampaian bersama arwah Jessica, namun dia yakin Adrian sudah redha dan menerima segala ketentuan dari Allah SWT. Sentiasa yakin dengan setiap perancangan dari-Nya, kerana Dia tahu apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.

'Dan milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan (pengetahuan) Allah meliputi segala sesuatu.' (Surah An-Nisa, 4:126)

            “Kenapa sampai sekarang Adrian tak nak cari kembar Adrian tu?” Encik Jamal menyoal.

            Adrian menelan air liur. Kesat. Dia tersenyum tepi seraya mengangkat bahu.

            “Entah, Adrian selesa dengan apa yang Adrian ada sekarang,” jawabnya.

            “Adrian tak nak kenal ibu bapa kandung Adrian sendiri?” duga Encik Jamal.

            Dia merenung anaknya yang diam menunduk seperti sedang berfikir. Dulu selepas kematian arwah isterinya, dia sudah menceritakan segala-galanya kepada Adrian. Dia sudah membongkarkan segala rahsia yang dipegang kemasnya selama ini.

            Adrian tahu Encik Jamal cuma ayah saudaranya dan dia dapat menerimanya dengan hati yang terbuka. Cuma sehingga ke saat ini dia belum menunaikan hasrat Encik Jamal yang satu itu. Encik Jamal mahu dia mencari ibu bapa kandungnya semula kerana Adrian sebenarnya mempunyai seorang saudara kembar!

            Jauh di sudut hati, Encik Jamal masih dibelenggu rasa bersalah. Dia tahu dia sememangnya bersalah kerana telah memusnahkan kepercayaan abang dan kakak iparnya 30 tahun yang lalu. Jamaluddin dan Azila!

            Mengikut syarat yang diberikan oleh Jamaluddin, dia dan isterinya, Puan Sophia perlu menyerahkan semula Adrian kepadanya setelah usia Adrian mencecah 10 tahun. Namun dek kerana terlalu menyayangi Adrian dan tidak memiliki zuriat sendiri bersama isterinya, Encik Jamal dan isterinya nekad membawa Adrian pergi selepas baru dua bulan Adrian diserahkan kepada mereka.

            Adrian dibawa lari ke Auckland, kampung halaman Puan Sophia. Wanita itu merupakan bangsa Inggeris New Zealand dan masuk Islam selepas berkahwin dengan Encik Jamal. Mereka yakin di bumi kiwi ini, tiada siapa yang dapat mencari mereka. Encik Jamal benar-benar nekad bertindak memutuskan tali persaudaraan dengan menukar nombor telefon dan berpindah syarikat induknya ke New Zealand.

            Dan dengan pengaruh yang dimilikinya, Encik Jamal telah menukar sijil kelahiran Adrian. Adrian yang sebelum ini bernama Mohd Hafizuddin telah diubah namanya kepada Muhammad Hafiz Adrian. Semua ini dilakukannya agar Jamaluddin dan Azila tidak dapat menjejaki mereka.

            Adrian dibesarkan di bumi New Zealand sehingga berusia 9 tahun. Dek kerana risau Adrian tidak tahu bertutur dalam Bahasa Melayu kerana bergaul dengan anak-anak mat saleh di sekolah, Encik Jamal dan Puan Sophia akhirnya membawa Adrian pulang semula ke Malaysia. Semata-mata kerana mahu Adrian mahir bertutur dalam bahasa ibundanya.

            Dan di Malaysia pula, mereka kerap berpindah-randah. Tidak tinggal lama di sesebuah tempat kerana khuatir Jamaluddin dan Azila berjaya menemui mereka. Adrian kerap bertukar sekolah. Membuatkan dia tidak punya ramai kenalan dan rakan.

            Selepas tamat peperiksaan SPM, barulah mereka kembali membawa Adrian tinggal di New Zealand. Sekurang-kurangnya apabila bersekolah di Malaysia, Adrian sudah tahu bercakap dalam bahasa Melayu. Beberapa tahun selepas itu Adrian dihantar pula melanjutkan pelajaran ke Australian National University (ANU) di Canberra, Australia.

            Namun setelah Puan Sophia meninggal dunia 8 tahun lalu, barulah Encik Jamal tersedar. Sampai bila dia harus hidup dalam ketakutan? Sampai bila dia harus menyembunyikan Adrian? Dan sampai bila dia harus menipu Adrian tentang siapa dirinya yang sebenar?

            Dia baru menyedari bahawa dirinya selama ini hidup dalam keadaan berdosa kerana telah memutuskan pertalian antara Adrian dengan kedua ibu bapa kandungnya. Kerana itu dia menceritakan segala-galanya kepada Adrian. Dia mahu Adrian mengenali siapa orang tuanya yang sebenar.

            Dan sekarang sudah 8 tahun berlalu. Sudah 8 tahun Adrian mengetahui hakikat itu, namun Adrian tidak pernah mengambil langkah untuk mencari ibu bapa kandung dan saudara kembarnya. Hatinya bagaikan sudah tertutup untuk mengenali orang baru. Yang Adrian punya kini cuma Encik Jamal, kawannya baiknya Daniel dan kenangan silamnya bersama arwah Jessica.

            “Entah… Adrian keliru, daddy. Kalau daddy nak, daddylah tolong carikan ibu bapa kandung Adrian,” putus Adrian akhirnya.

            Encik Jamal melepaskan keluhan. Sejujurnya, dia sendiri tidak tahu di mana lokasi abang dan kakak iparnya itu. Beberapa tahun yang lepas, dia pernah cuba pergi ke alamat rumah lama yang disimpannya 30 tahun yang lalu, namun usahanya menemui kegagalan kerana rupa-rupanya mereka sudah berpindah dan menjual rumah tersebut.

            “Adrian…”
            “Ya, daddy?”

            Encik Jamal menghela nafas perlahan. Sinar matanya yang redup dan penuh kebapaan itu merenung wajah Adrian.

            “Daddy terpaksa tinggal dekat sini, sebab syarikat induk kita bertapak di sini. Tapi Adrian tinggal dekat Malaysia, dah dekat sangat dengan ibu bapa kandung Adrian. Tolonglah nak, daddy mohon supaya Adrian penuhi permintaan daddy…”

            Adrian menggumam bibir. Air liurnya ditelan lagi. Mana mungkin dia tegar menolak permintaan seorang ayah yang sudah membesarkannya dengan segala pekat tepu kasih sayang selama ini. Kerana selama dia menghirup udara di muka bumi ini, Encik Jamal tidak pernah menolak apa jua permintaannya. Apa sahaja!

            Jika Encik Jamal sudah menunaikan beribu-ribu kemahuannya, kenapa dia tidak boleh menunaikan permintaan Encik Jamal yang satu itu? Hanya satu. Takkan dia mahu menolaknya?

            “Insya-Allah, daddy. Adrian akan cuba.”

            Tersenyum lega Encik Jamal mendengarnya. Kepala Adrian dibelai-belai lembut. Alhamdulillah… dia tahu Adrian pasti tidak akan menghampakan dirinya. Doanya agar Adrian segera dipertemukan dengan Jamaluddin dan Azila, kerana dia sudah tidak sanggup lagi menanggung beban dosa yang merengkuh ingatan saban waktu.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

7 comments:

h said...

aaaaaaaaaaaaaa!!!!!!!
adrian!!!!!!!!!!!!!!!!

Unknown said...

oh adrian...huhu.... sambung lagi.x sabar nk tahu apa akn jd bila adam,nadya btemu dgn adrian

intan razak said...

awww sweetnye adam ngan nadya.tp cam kejam ke xde anak.huhuhuhu

Unknown said...

harap mereka bertemu semula... next n3 pls.tq

siti nadzirah said...

omg.....adrian1000X!!i love you

Jessica Latisya said...

lain mcm je kali ni.harap2 kemunculan adrian xkan beri kesan pd nadya n adam.jgnlah dipisahkan psgn bahagia itu

Unknown said...

Terasa berat...
Berat dalam bahagia.
Beban dalam derita...

😟