Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Wednesday, June 24, 2015

Kau Bidadariku... 30

NADYA melangkah lesu keluar dari hotel mewah itu. Air mata masih tidak henti-henti menjamah pipinya. Kakinya terasa lemah. Dia bagaikan sudah tiada daya untuk menghadapi dugaan ini. Dalam sekelip mata, kebahagiaan yang dikecapinya bersama Adam hancur begitu sahaja.

            Segala penghinaan dan herdikan Adam sebentar tadi bagai terdengar-dengar di kokleanya. Bayangan wajah Adam yang membengis dan merenungnya dengan penuh kebencian terpapar di bening pandangan hati.

            “Ya Allah, apa salah aku? Ujian apa yang sedang melanda rumah tanggaku ini?”

            Tubuhnya menggigil menahan rasa sebak yang menggigit hati. Perlahan-lahan dia melorot ke tanah dengan tangan yang sudah diletakkan ke dada kirinya. Hati terasa bergetar menahan rasa. Sedaya upaya cuba ditahan hatinya agar tidak pecah berderai.

            “Aku akui, tujuh tahun kau kahwin dengan aku, kau memang isteri yang baik. Kau memang setia, sampailah jantan tak guna tu muncul dalam hidup kita. Sebab apa? Sebab muka dia! Aku rasa kalau awal-awal dulu aku cari si Adrian tu, agaknya dah lama kau pergi pada dia. Aku pun tak perlu bazirkan tujuh tahun usia aku untuk hidup dengan betina mandul macam kau!”

            Tangannya menekup telinga. Kepalanya digeleng-geleng perlahan. Serasa hendak pecah pembuluh darahnya saat kata-kata itu bergema memenuhi benaknya.

            Benarkah itu lelaki yang pernah melafazkan cinta pada aku? Benarkah itu lelaki yang berjanji akan menjaga dan mencintai aku sehingga ke hembusan nafas terakhir? Diakah lelaki yang selalu mengatakan aku bidadari syurganya? Adakah dia masih lelaki yang sama? Adakah? kalbunya mendesis hiba.

            Tujahan kata-kata Adam terlalu kasar. Bagaikan bukan suaminya yang sedang berbicara saat itu. Adam tidak pernah sekasar itu selama ini.

            “Nadya.”

            Ada suara memanggilnya dari belakang. Dia berpusing melihat Adrian yang melangkah longlai mendekatinya dengan darah kering yang di wajah dan bajunya.

            Pandangan Nadya sempat singgah sebentar pada kaca jernih hotel. Dari tempat duduknya, dia dapat melihat staf-staf hotel dan beberapa orang pelanggan tercengang melihatkan keadaan Adrian yang keluar dalam keadaan berdarah-darah. Pelbagai spekulasi dan rumusan melegari kotak minda masing-masing. Entah menyangkakan ini kes main kayu tiga atau kes cemburu buta, masing-masing hanya mampu menelah dalam hati. Dan Nadya tidak berminat untuk ambil tahu apa tanggapan orang lain buat masa ini.

            Matanya kembali menghala ke arah Adrian. Keadaan lelaki itu tampak kusut dan comot. Nadya jatuh kasihan. Adrian tidak seharusnya melalui semua ini. Pemuda itu langsung tidak bersalah dan tidak tahu apa-apa sama sekali!

            “Please tell me what’s going on?” soal Adrian sambil memegang kepala. Tidak cukup dengan kepalanya yang masih pening bahana kloroform, tidak semena-mena dia dibelasah oleh Adam tanpa diberi peluang langsung untuk membela diri.

            Dia hanya berbaring beberapa ketika di lantai sebelum menguatkan tubuhnya untuk bangun meninggalkan bilik hotel itu meskipun dengan kepala yang sakit dan penglihatan yang sedikit kabur. Sehingga ke saat ini dia tidak mengerti apa sebenarnya yang sedang berlaku. Segala-galanya terlalu pantas dan tiba-tiba.

            Nadya bingkas bangun menghadap Adrian. Rasa bersalah begitu menyentak-nyentak tangkai hatinya melihatkan wajah Adrian yang bengkak dan berdarah.

            “Adrian, saya minta maaf… saya kena culik siang tadi. Apa yang saya ingat, saya ditarik ke sebuah kenderaan lain oleh beberapa orang lelaki dan saya pengsan lepas diorang beri ubat pelali. Bila saya sedar, saya dah ada dekat hotel ni dengan awak.”

            Adrian terkejut. Dia juga cuba menelusuri apa yang berlaku sebelum ini. Yang dia tahu, semasa perjalanan pulang ke rumah pada waktu Maghrib tadi, dia ditahan beberapa orang lelaki. Dia tidak ingat bagaimana dia boleh pengsan dan sampai ke sini.

            Poket seluarnya yang terasa sedikit berat ditepuk beberapa kali. Kunci keretanya masih tersimpan disitu. Dan dompet miliknya ada didalam bilik hotel tadi. Matanya melilau pula melihat keadaan sekeliling. Dia nampak BMW 3 seriesnya tersadai ditempat letak kereta berhadapan dengan hotel. Betul-betul bersebelahan dengan Kia Optima milik Nadya. Hairan, kes rompakankah ini? Kenapa barang-barang berharga tidak diambil?

            “Saya rasa ini kerja orang yang sama yang perangkap kita dulu. Masa kita tak sengaja jumpa dekat tasik dulu,” tokok Nadya lagi sambil mengesat pelupuk matanya.

            Adrian tergeleng-geleng. Bicara Nadya semakin menyerabutkan kepalanya yang sakit dikala ini. Mengingatkan dia dikasari sebegini oleh suami wanita itu membuatkan hatinya panas tiba-tiba.

            “Dahlah, saya nak balik. Awak tahu tak? Sejak saya kenal awak dengan Adam, macam-macam bala yang menimpa diri saya. Kalau korang ada masalah, tolong selesaikan sendiri. Jangan libatkan orang lain!”

            Nadya tersentap. Hamburan kata-kata Adrian yang tidak disangka-sangka itu sekali lagi mengguris perasaannya. Untuk kesekian kalinya, air matanya menitis lagi.

            “Ya Allah… saya pun tak tahu apa-apa, Adrian. Saya betul-betul minta maaf. Saya tak tahu siapa yang buat semua ni,” ucapnya lirih. Nafasnya kembali tercungap menahan sendu yang memberat dihati.

            Adrian meramas rambut. Terdengar dia merengus.

            “Dahlah, saya tak nak jumpa awak atau Adam lagi. Korang berdua ni mendatangkan masalah. Tujuh tahun saya hidup sorang-sorang, tak pernah sekalipun berlaku perkara macam ni. Jangan muncul depan saya lagi dan jangan contact ibu saya!”

            Usai kata-katanya, Adrian terus melangkah pergi meninggalkan Nadya sendirian. Digagahkan jua dirinya untuk memandu pulang meski dalam keadaan terhuyung-hayang.

            Nadya menekup mulut, cuba mengurangkan bunyi tangisannya agar tidak didengari sesiapa. Hanya panahan matanya yang sayu mengekori langkah Adrian. Kini bukan sahaja Adam, tetapi Adrian juga menyalahkan dirinya atas apa yang telah berlaku.

            Kepalanya mendongak ke langit. Merenung langit hitam pekat yang langsung tidak dihiasi bintang. Malam yang sungguh suram. Sesuram hatinya dikala ini.

            Allahuakbar… hanya kepada-Mu aku menyembah, dan hanya kepada-Mu aku meminta pertolongan. Bantulah aku, Ya Allah… sesungguhnya Engkau tahu apa sebenarnya yang terjadi, doanya tidak putus-putus didalam hati.
**************************

BEBERAPA jam memandu tanpa arah tuju, akhirnya Adam melabuhkan keretanya dikawasan berbukit di Shah Alam, tempat persinggahan sinonimnya dengan Nadya setiap kali ingin menghabiskan masa romantis berdua di luar rumah tanpa gangguan sesiapa.

            Namun malam ini, pertama kali dalam hidupnya, dia ke sini sendirian. Tiada Nadya menemaninya. Dan Nadya tidak akan menjadi pendampingnya lagi selepas ini.

            Entahlah, dia cuma mahu bersendirian saat ini. Dia tidak mahu pulang ke rumah sekiranya terpaksa memandang wajah Nadya lagi. Dia sudah tidak mampu untuk merenung isterinya sama seperti dulu lagi. Tidak selepas wanita itu dengan mudahnya menyerahkan kesucian tubuhnya kepada lelaki lain. Hanya kerana lelaki itu persis Hafiz!

            “Aku benci kau!” seranah Adam tiba-tiba. Dia memekik sekuat-kuat hati. Memecah kesunyian dan kesejukan malam yang kian mencengkam.

            Air matanya gugur lagi. Hati terasa sakit. Pijar. Dadanya ditekan kuat. Dia teresak-esak sendirian menghadap pemandangan dari atas bukit itu. Akhirnya dia terduduk. Lututnya terkulai menyembah ke lantai bumi.

            “Apa kurangnya aku, Nadya? Aku banyak berkorban untuk kau selama ni. Aku dah banyak bersabar. Masa kau bercinta dengan Hafiz, aku sabar. Aku langsung tak cakap apa-apa. Mula-mula kahwin, kau tak sayang aku. Tapi aku tak pernah merungut. Aku tunggu sampai kau bersedia untuk bukakan pintu hati kau untuk aku. Tak cukup baik ke aku, Nadya? Baru dua bulan kenal Adrian, perasaan cinta kau pada aku mati macam tu aja? Semudah tu, Nadya?” luahnya sebak dengan air mata yang laju menuruni pipi.

            Kelopak matanya dipejamkan untuk seketika. Segala peristiwa yang pernah terjadi beberapa tahun lalu terlayar di ruang mata.

            Dulu selepas kematian Hafiz, Nadya memutuskan untuk mengahwini Rafi setelah sekian lama hatinya tertutup untuk mencintai mana-mana lelaki. Dan Adam ketika itu hanya mampu tersenyum dan mengucapkan tahniah kepada kedua-duanya.

            Dan sebulan selepas itu, sesuatu yang tidak terduga terjadi. Perkahwinan Nadya dan Rafi dibatalkan kerana Rafi ditangkap khalwat dengan Hani, bekas kekasihnya. Rafi terpaksa mengahwini Hani demi menjaga aib keluarga. Nadya pula menerima lamaran Adam atas desakan abahnya dan atas permintaan papa Adam sendiri, arwah Dato’ Husin.

            Diawal perkahwinan mereka, jiwa Adam cukup terseksa. Hidupnya bersulam duka mengenangkan sang isteri yang tidak pernah mencintai dirinya. Nadya menjauhi dirinya dan mereka tidak tidur sekamar. Adam pula terus bersabar, sedikitpun tidak mengeluh. Bahkan tidak pernah culas menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami.

            Beberapa bulan kemudian, Nadya jatuh sakit dan disahkan menghadapi masalah buah pinggang kronik. Kasihnya seorang suami, Adam mendermakan sebelah buah pinggangnya buat Nadya agar bidadari kesayangannya itu hidup sihat seperti sedia kala.

            Dan Adam merahsiakan bahawa dialah sebenarnya penderma buah pinggang ketika itu kerana tidak mahu Nadya mengasihinya kerana pengorbanan tersebut. Dia mahu Nadya mencintai dia dengan seadanya, bukan kerana terhutang budi semata-mata. Dia yang menjaga Nadya siang malam sehingga isterinya itu sihat kembali.

            Setelah beberapa lama, akhirnya terbongkar rahsia sebenar tentang kes khalwat Rafi dan Hani. Rupa-rupanya Hani yang memerangkap Rafi sehingga memaksa lelaki itu mengahwininya. Apabila Rafi sudah meninggalkan Hani dan ingin kembali kepada Nadya, Adam pasrah andai Nadya juga ingin bersatu kembali dengan lelaki itu. Adam rela mengundurkan diri andai itu mampu membuatkan wanita kesayangannya bahagia. Dia tidak mahu terus mengikat Nadya dalam alam perkahwinan yang tidak diredhainya.

            Semasa dalam proses penceraian, baru Nadya menyedari hakikat sebenar. Barulah Nadya membalas cintanya. Ketika itulah Nadya mengakui tidak mampu berjauhan darinya dan tidak mahu meneruskan penceraian mereka. Di saat-saat akhir itulah baru Nadya mengetahui siapakah insan yang sanggup mendermakan buah pinggang untuknya.

            Selepas dia berbahagia bersama Nadya, Rafi tetap meneruskan penceraiannya dengan Hani. Dan Rafi sudah tidak muncul lagi dalam hidup mereka selepas itu. Rafi hilang begitu sahaja dan kini sudah berkahwin pula dengan wanita lain.

            Sangka Adam, dia akan hidup bahagia selama-lamanya bersama Nadya. Seperti kisah dongeng Cinderella dengan prince charming, Beauty and the Beast dan seperti Princess Aurora dengan Prince Phillip.

            Dia tidak peduli andai tidak dikurniakan zuriat seumur hidupnya, asalkan dia memiliki Nadya hingga ke akhir hayatnya. Namun malam ini dia sedar, semua dongengan itu tidak akan pernah berlaku didunia nyata. Kisah cinta seperti Cinderella bersama prince charming, Beauty and the Beast, Princess Aurora dan Prince Phillip tidak wujud sama sekali. Tiada kisah cinta sebegitu didunia ini!

            “Kenapa kau buat aku macam ni, Nadya? Apa lagi yang tak cukup pada aku ni?” rintihnya perlahan. Dia kembali membuka kelopak mata dengan bibir yang terketar-ketar menahan rasa.

            Dia tidak percaya semua ini terjadi. Adrian tampak baik. Malah dalam gambar-gambar yang diterimanya sebelum ini, Nadya dan Adrian langsung tidak kelihatan rapat. Kerana itu dia tidak menyangka kedua-duanya berkelakuan sebegini dibelakangnya.

            Dia sama sekali tidak menyangka perkenalan singkatnya dengan Adrian telah merenggut segala kebahagiaannya kini. Pandai sungguh mereka berlakon dihadapannya.

            “Mama… papa… tolong Adam. Adam sedih… kenapa isteri Adam buat Adam macam ni…” Suaranya tenggelam timbul dalam tangis. Dikala perasaannya dihunjam perit, dia begitu merindui kedua-dua arwah orang tuanya.

            Akhirnya dia tersandar di pintu kereta. Air matanya dibiarkan mengalir sepi. 

****************************

JAM tiga pagi, Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila terdengar bunyi pintu pagar automatik dibuka. Mereka terus berlari keluar sebaik sorotan lampu kereta Adrian memancar masuk ke perkarangan banglo putih itu.

            Masing-masing bercekak pinggang dihadapan kereta Adrian, isyarat tidak puas hati dengan apa yang berlaku pada malam ini. Ketat wajah mereka berbalut rasa geram yang tertahan sejak Maghrib tadi kerana Adrian langsung tidak menjawab panggilan.

            Tidak senang duduk Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila sepanjang malam sehingga tidak mampu untuk melelapkan mata. Risau sungguh mereka andai berlaku perkara yang tidak diingini kepada anak kesayangan mereka itu.

            “Adrian, cepat keluar. Ibu nak rotan ni. Kenapa balik lambat?” Puan Sri Azila sempat bergurau setelah Adrian menutup enjin BMW 3 seriesnya.

            Adrian tidak bersuara. Dia melangkah lambat-lambat keluar dari kereta lalu menghampiri ibu dan ayahnya.

            Saat itu juga, wajah Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila berubah mendadak. Kaget masing-masing melihatkan keadaan muka Adrian yang bukan sahaja kusut-masai, tapi tampak sungguh lesu dengan muka yang sudah bengkak sana-sini.

            “Astaghfirullahalzim! Adrian, kenapa ni sayang?” Puan Sri Azila terus berlari mendapatkan anaknya. Wajah Adrian dibelek-beleknya dengan penuh rasa terkejut.

            “Adrian, kenapa ni? Kena rompak ke?” Bulat mata Tan Sri Jamaluddin memandang anaknya.

            Tangannya ingin mengesat darah kering dihidung Adrian, namun Adrian segera menggeleng. Menafikan pertanyaan ayahnya tadi. Ini bukan kes rompak kerana keretanya tidak dicuri. Dompet, jam tangan dan lain-lain barang berharga langsung tidak berusik. Cuma apa motif si pelaku, semuanya masih kelihatan kabur di pandangan Adrian kala ini.

            Tangannya kembali menyentuh kepala. Serasa bau klorom itu bukan sahaja memeningkan kepalanya, tetapi juga merosakkan sel neuron dalam tubuhnya. Membuatkan dia terasa lemah dan hendak pitam. Tadi pun semasa memandu, beberapa kali dia hampir terlelap sehingga nyaris terbabas. Mujur tidak berlaku kemalangan.

            “Ayah… ibu…” Matanya merenung Tan Sri Jamaluddin dan Puan Sri Azila.

            Bibirnya bergerak-gerak ingin mengatakan sesuatu, namun tiada sebarang suara keluar dari bibirnya. Matanya berpinar-pinar. Akhirnya dia rebah tidak sedarkan diri.

            “Astaghfirullah… Adrian!”

************************

NADYA menggagahkan dirinya memijak lantai. Tubuhnya menggigil. Pemandangannya berbayang sejurus melangkah masuk ke kondominium itu. Suis lampu ruang tamu sedia menyala, menandakan Adam ada pulang sebentar tadi. Beg pakaian Adam juga masih bergelimpangan ditepi pintu. Sejambak ros putih diatas meja menarik perhatiannya.

            Tangannya terus mencapai kad kecil yang terselit dicelahan bunga itu. Matanya kembali berkaca membaca setiap bait ucapan cinta yang ditulis oleh Adam.

            Memang sepanjang perkahwinan mereka, Adam tidak pernah lupa untuk membelikannya sesuatu untuknya setiap kali pulang dari outstation. Dan dalam banyak-banyak pemberian Adam, dia paling sukakan bunga ros putih. Kerana baginya, ros putih adalah lambang kesucian, keluhuran dan cinta sejati.

            “I love you too, abang. I love you so much,” cetusnya sendiri, seolah-olah membalas semula ayat yang ditulis oleh suaminya itu.

            Mengenangkan Adam, dia sematkan hakikat dalam hatinya. Kad ini ditulis sebelum kejadian mengaibkan di hotel itu. Adakah sekarang Adam masih mencintainya?

            “Kau jangan muncul depan aku lagi. Aku benci kau!” Ucapan Adam tadi masih terngiang-ngiang didalam kepala.

            Nadya menarik nafas dalam-dalam. Dia sudah tiada daya untuk menangis lagi. Ros putih dan kad ucapan itu didakapnya penuh kasih. Lebih seminggu tidak bertemu Adam, hanya Tuhan yang tahu betapa dia rindu untuk mendakap tubuh suaminya saat ini. Sungguh dia tidak menyangka pertemuan kali pertamanya dengan Adam kali ini bertukar sebegini rupa. Malam ini telah meninggalkan satu kenangan terburuk dalam hidupnya.

            “Jangan tinggalkan Nadya, abang. Nadya tak kuat tanpa abang…” Dia bermonolog lagi. Rasa sebak yang menjalar dihati cuba ditahankan.

            Ya, dia akan bertahan. Dia pasti akan bertahan demi ikatan suci ini.


P/S: Kisah Kau Bidadariku... ditamatkan sampai disini sahaja di blog kerana akan diterbitkan. Bila? Saya tak boleh nak janji sebab manuskrip ni belum siap sepenuhnya. Doakan saya utk siapkan kisah Adam, Nadya & Adrian secepat yang mungkin ya. Akhir kata, terima kasih kepada semua yang sudi baca dan mengikuti kisah ini dari awal. Adios amigos!

7 comments:

Unknown said...

kesiannya pada Nadya. kejam betullah adam sebab xpercayakan Nadya. benci Adam huh!


Adrian pun salahkan Nadya? Kesian depa jadi mangsa Yasmin senget tu huh!

Cik Roxa said...

sedih... :'(

Anonymous said...

alaaa sis...mendadaknya stop...
bg lah sikit lagi...hehe

btw thanks..and selamat pengantin baru :)

E-la Adiey said...

nurul nuqman/kak weeda - haha..huhu... tq kak :D

ct roxalynna - terima kasih ct! :P

anonymous - hehe.. maaf, terpaksa stop sbb dah mcm terlajak sebenarnya. mcm dh separuh cerita. risau lak. teaser sy akan update kat group facebook. tak dela update slalu, tp ada la update nnti. hehe.. btw, terima kasih ya <3

Unknown said...

Sis dah x smbung ke?

E-la Adiey said...

soffy malik - masih dalam penilaian.. tunggu ya ;D

Bubble said...

Hai sis novel kau bidadariku ni dah keluar ke mcm mana nak dapatkan ya